Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Accord Hybrid 2016 dilancarkan di Thailand – dilengkapi Honda Sensing, harga bermula RM193k

    2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-1_BM

    Honda Thailand secara rasminya telah melancarkan Honda Accord Hybrid, hanya beberapa bulan selepas model kemaskini berkenaan membuat kemunculan sulungnya pada April lalu. Dua varian ditawarkan untuk pelanggan di Thailand iaitu 2.0 Hybrid dan 2.0 Hybrid Tech, dan dijual pada harga 1,659,000 baht (RM192,691) dan 1,849,000 baht (RM214,782).

    Accord Hybrid 2016 dijana oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder i-VTEC lejang Atkinson berkuasa 145 hp/175 Nm dan disokong dengan dua motor elektrik sistem i-MMD baharu, yang dijana oleh pek bateri lithium-ion 1.3kWh, dengan kuasa maksima 184 hp/315 Nm. Kuasa keseluruhan yang dihasilkan oleh penjana Accord ini ialah 215 hp, dan kesemua kuasa berkenaan dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Unit janakuasa ini juga hadir dengan empat mod operasi.

    Dalam mod “Hybrid Drive”, enjin petrol akan memacu motor elektrik kedua/generator untuk mengecas pek bateri lithium-ion yang lebih kompak, manakala motor pendorong pula berperanan memacu roda hadapan. Mod “Engine Drive” pula akan mengaktif enjin petrol untuk memacu sedan ini, menggunakan mekanisma klac pengunci, roda hadapan akan dipacu dengan enjin petrol dan motor elektrik.

    2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-2_BM

    Untuk mod “EV Drive” pula akan mengaktif pemanduan elektrik sepenuhnya dalam jarak dekat (enjin petrol dimatikan) dengan kelajuan maksima 120 km/j. Mod yang terakhir iaitu mod “Sport Drive” adalah untuk mereka mahukan pemaduan yang sporty berbanding penggunaan bahan api yang cekap.

    Secara visual, Accord Hybrid baharu ini mempunyai penampilan luaran yang sama dengan Accord facelift. Walau bagaimanapun, model hibrid ini dilengkapi dengan lencana istimewa pada badannya, motif roda aloi yang berbeza serta unsur kebiruan pada lampu hadapan LED dan lampu belakangnya. Empat warna ditawarkan iaitu Grey Modern Steel, Lunar Silver, White Orchid Pearl dan Black Crystal Pearl, di mana dua warna terakhir memerlukan pelanggan membayar harga yang sedikit tinggi.

    Sama juga pada bahagian dalaman, Accord Hybrid dilengkapi dengan kemasan yang sama dengan Accord versi biasa. Ia didatangkan standard dengan tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala (dengan memori), butang penghidup enjin, paparan pelbagai informasi 7.7 inci, brek parkir elektronik, dan skrin infotainment bersaiz tujuh-inci dengan fungsi Apple Carplay, MirrorLink untuk telefon pintar serta WiFi Hotspot.

    2016-Honda-Accord-Hybrid-Thailand-launch-3_BM

    Yang membezakan model hibrid dengan model biasa adalah butang “EV Mode” yang terletak di bahagian kanan konsol tengah. Pelanggan juga boleh memilih tiga warna bahagian dalaman, bergantung pada warna luaran yang dipilih iaitu beige, hitam dan perang.

    Untuk sistem keselamatan, sistem Honda Sensing hanya dilengkapi pada model varian tertinggi 2.0 Hybrid Tech. Sistem berkenaan terdiri daripada Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Sistem Brek Pencegah Pelanggaran (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Sistem Bantuan Kekal Laluan.

    Honda Thailand memberikan waranti selama 10-tahun untuk bateri dan lima-tahun waranti untuk keseluruhan sistem Hybrid Honda, tanpa had perbatuan. Untuk tempoh masa terhad, Honda Thailand turut menawarkan Pakej Istimewa untuk memanjangkan tempoh waranti dengan tambahan dua tahun atau 40,000 km, dengan tempoh perlindungan keseluruhan lima tahun atau 140,000 km. Pelanggan juga ditawarkan dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun atau 100,000 km.

     
     
  • Caltex Delo 400 MGX SAE 15W-40 kini di Malaysia

    Chevron_1

    Chevron Malaysia telah melancarkan minyak pelincir bagi enjin diesel premium baharu iaitu Caltex Delo 400 MGX SAE 15W-40. Minyak ini ditawarkan dengan teknologi ISOSYN yang memberi perlindungan terbaik kepada kenderaan dalam keadaan bahan api diesel dengan sulfur rendah dan tinggi.

    Minyak enjin tugas berat ini mampu membantu meningkatkan prestasi bagi enjin diesel lama dan baharu dengan tahap sulfur antara 15 dan 5,000ppm. “Pengenalan Caltex Delo 400 MGX SAE 15W-40 dalam pasaran tempatan antara bukti komitmen dan matlamat kami untuk memberikan para pelanggan produk yang berkualiti, bukan setakat meningkatkan prestasi kenderaan, malahan mampu mengurangkan kos operasi,” ujar Lennard Kwek, Pengurus Pemasaran Asia Pasifik, Chevron Lubricants.

    Pengenalan minyak pelincir terbaharu ini adalah mematuhi spesifikasi terkini yang ditetapkan oleh American Petroleum Institute (API) dan mendapat kelulusan Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) Eropah. Malahan ia turut menawarkan prestasi seumpama pelincir sintetik yang dijual pada kos produk mineral.

    Chevron turut berkata, minyak pelincir ini juga mampu melindungi dan mengawal enapcemar untuk meningkatkan jangka hayat enjin serta membantu mengurangkan penggunaan bahan api.

    Caltex Delo 400 MGX SAE 15W-40 kini sudah pun berada di pasaran tempatan dengan harga yang disarankan iaitu RM9.50 bagi setiap liter.

     
     
  • Mazda BT-50 generasi berikutnya diumum akan diasaskan dari platform trak pikap Isuzu D-Max

    Mazda_BT-50_Hilux-based_Theo

    Pada pembentangan prestasi perniagaan Mazda untuk rantau ASEAN di Jepun hari ini, Pegawai Eksekutif Mazda untuk pasaran yang berkembang, Hiroshi Inoue mendedahkan beberapa fakta penting berkenaan kerjasama pembinaan kenderaan komersial Mazda bersama Isuzu.

    Pertama, beliau mengesahkan kerjasama berkenaan akan melibatkan pembinaan trak pikap BT-50 generasi berikutnya. Ini bermaksud BT-50 selepas ini tidak lagi berkongsi platform dengan Ford Ranger, sebaliknya akan dibina berasaskan Isuzu D-MAX generasi berikutnya.

    Inoue menambah model Isuzu dan Mazda akan dibezakan sama seperti BT-50 dan Ranger, yang menampilkan rekaan bahagian luar dan papan pemuka tersendiri untuk setiap jenama.

    Inoue turut mengatakan trak pikap Mazda berikutnya tidak akan diproduksi di kilang AutoAlliance Thailand (AAT) Rayong, di mana BT-50 sedia ada dibina di sana bersama Ranger. Sebaliknya, ia akan dibina bersama D-Max di salah sebuah fasiliti Isuzu di Thailand.

    Oleh itu, kapasiti Mazda di AAT – yang berkongsi 50/50 bersama Ford – akan digunakan untuk memasang kereta penumpang Mazda dalam usaha menangani kapasiti produksi yang semakin meningkat.

    Dalam responnya terhadap soalan mengenai rancangan untuk membangunkan SUV berdasarkan trak pikap seperti Isuzu MU-X, Inoue berkata tiada lagi rancangan sedemikian setakat ini, kerana permintaan terhadapnya mempunyai pasaran yang terhad seperti Thailand, Filipina dan beberapa negara Afrika.

    Inoue turut berkata permintaan terhadap SUV seperti CX-5 adalah lebih tinggi, yang lebih sesuai untuk banyak pasaran, dan menambah Mazda sebelum ini pernah berbincang dengan Ford untuk membina SUV berdasarkan Ford Everest, sebelum mengambil keputusan untuk menumpukan kepada pembinaan CX-5 sebagai langkah yang lebih baik.

     
     
  • Honda Malaysia pergiat usaha panggilan semula inflator beg udara Takata; perkenal Hab Khas untuk penukaran alat ganti dan pampasan RM50 sehari

    Honda airbag

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan pembukaan Hab Pusat Servis dan Hab Bergerak khas untuk mempercepatkan usaha memanggil semula semua kenderaan keluarannya yang terjejas kerana masalah pada inflator beg udara Takata. Syarikat berkenaan juga kesal dengan ketidakselesaan yang dihadapi pemilik kerana alat ganti dan kapasiti yang tidak dapat ditanggung oleh pusat servis sedia ada.

    HM juga turut mengumumkan pelan pembayaran balik pampasan untuk “kerugian kerana tidak boleh menggunakan kereta” kerana penangguhan penukaran inflator beg udara sebelah pemandu Takata berkenaan, sebagai salah satu komitmen mereka dalam memenuhi permintaan dan kegusaran pelanggan yang terjejas berhubung isu tersebut.

    Hab Pusat Servis sementara akan dibuka di berberapa lokasi khas untuk penukaran inflator beg udara Takata bermula 1 Ogos hingga 30 September 2016 dan ia akan beroperasi tujuh hari seminggu, dari 8 pagi hingga 7 petang. Lokasi Hab Pusat Servis berkenaan adalah :

    • Hab Utara (bersebelahan S.M.J.K. Convent Dato’ Keramat)
    Alamat: No.401, Jalan Dato’ Keramat, 10150 Georgetown, Penang

    • Hub Tengah – Soo & Sons Metal Works Sdn. Bhd. (bersebelahan Hospital Columbia Asia)
    Alamat: Lot 15 Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

    • Hub Selatan – Oriental Assemblers Sdn. Bhd.
    Alamat: 99 & 99A-C, Jalan Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor.

    Kesemua Hab Pusat Servis ini disasarkan untuk menampung kapasiti tambahan untuk menukar inflator beg udara berkenaan, dan juga menyediakan ruang simpanan alat ganti bagi memastikan ia mencukupi. Pelanggan boleh membuat temu janji dengan mana-mana Hab Pusat Servis ini dengan menghubungi talian bebas tol Honda 1-800-88-2020.

    Penukaran inflator beg udara berkenaan bukan sahaja melibatkan pada bahagian pemandu, ada juga model yang memerlukan inflator beg udara bahagian penumpang ditukar. Dalam situasi berkenaan, HM akan mengutamakan penukaran inflator bahagian pemandu terlebih dahulu, bergantung kepada stok alat ganti dan kerana kekurangan alat ganti untuk inflator bahagian penumpang. Honda Malaysia sekali lagi meminta maaf atas kesulitan berkenaan.

    Honda-Mobile-Hubs-1-e1469690447203_BM
    Honda-Mobile-Hubs-2-e1469690457881_BM

    Klik untuk besarkan

    Honda Malaysia turut memperkenalkan Hab Bergerak untuk memberikan lebih keselesaan untuk pelanggan agar penukaran inflator berkenaan dapat ditukar dengan segera. Sebanyak 24 Hab Bergerak akan diwujudkan di 21 stesen minyak Petron terpilih dan tiga lokasi acara Honda Family Road Trip. Hab-hab bergerak ini akan dibuka bermula 5 Ogos hingga 25 September 2016, dibuka setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di tiga lokasi berbeza, dari pukul pagi hingga 7 petang. Rujuk lampiran di atas untuk lokasi hab bergerak berkenaan.

    Honda Malaysia juga turut mewujudkan Pasukan Bergerak untuk menyokong Hab Pusat Servis dan Hab Bergerak. Pasukan dan staf di semua hab berkenaan terdiri staf Honda yang terlatih dari kilang Honda di Melaka. Pasukan berkenaan juga akan mengunjungi pengedar-pengedar kereta terpakai untuk memeriksa status kenderaan Honda yang dijual. Jika perlu, inflator beg udara pada kenderaan-kenderaan berkenaan akan terus ditukar. Untuk pemilik kenderaan terpakai jenama Honda juga boleh memastikan status kenderaan mereka secara atas talian di dengan memasukan nombor VIN kenderaan mereka di sini: http://productrecall.honda.com.my

    Honda-Malaysia-Airbag-Compensation-e1469690494291_BM

    Honda Malaysia juga faham mengenai kesulitan pelanggan yang terpaksa menunggu alat ganti yang diperlukan dalam panggilan semula ini. Oleh itu pampasan “kerugian kerana tidak boleh menggunakan kereta” akan diberikan kepada pelanggan yang terjejas. Pelanggan boleh mendaftar dengan Honda Malaysia menerusi laman web http://productrecall.honda.com.my bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM50 sehari atas kesulitan berkenaan. Tempoh pampasan berkenaan bermula 28 Julai dan berakhir pada 31 Ogos 2016. Pelanggan yang sudah mendaftar akan dihubungi sekiranya alat ganti mereka telah sampai dan akan dinasihatkan untuk menukarnya dalam masa dua hari. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pampasan ini di laman web yang dinyatakan diatas.

     
     
  • Modenas taja lima GT128 untuk kembara ke Mekah

    Modenas Ride To Hajj 2016 - BM

    Modenas menaja lima buah motosikal dari model GT128 edisi Harimau Malaya bagi kembara Ride To Hajj 2016. Konvoi lima peserta itu bakal memulakan perjalanan esok (29 Julai 2016) dan akan meliputi perjalanan sejauh 11,500 km.

    Idea kembara ini diusulkan oleh seorang ikon lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, 45, dan akan disertai oleh empat lagi individu; Haji Azman Baharuddin, 50, Meor Azhar Meor Raflan, 43, Othman Darus, 46 dan Napiah Mohd Noor, 50.

    Majlis perasmian pelepasan konvoi akan diadakan selepas solat Jumaat esok di Dewan Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. Perjalanan ke Mekah dijangka akan mengambil masa selama 45 hari dan merentasi tujuh buah negara, antaranya Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu sebelum sampai ke negara destinasi Arab Saudi.

    Majlis penyerahan motosikal-motosikal tersebut telah berlangsung di Ibu Pejabat EON, Glenmarie, Shah Alam dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah.

    “Kami memilih untuk menaja model Modenas GT128 kerana ia merupakan antara motosikal terbaik yang Modenas hasilkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abdul Kadir.

    Modenas GT128 antara lain dilengkapi ciri-ciri seperti sistem TPS (Throttle Positioning Sensor), yang membantu dalam penjimatan petrol, salutan Molybdenum pada komponen piston, yang dapat mengurangkan geseran antara piston dan dinding silinder, sekaligus berupaya meningkatkan kecekapan, prestasi dan jangka hayat enjin.

     
     
  • Pembinaan jejambat di simpang empat Dengkil bernilai RM100j diluluskan kerajaan, bakal siap 2019

    Jam_03

    Masalah kesesakan trafik di simpang empat di Dengkil terutamanya pada waktu puncak dijangka dapat dikurangkan apabila kerajaan telah meluluskan pembinaan jejambat di kawasan tersebut. Jejambat dengan anggaran kos hampir RM100 juta itu akan dibina di simpang empat Kampung Semarang, Dengkil, dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

    Persimpangan yang menghubungkan Cyberjaya dan Putrajaya ke Bandar Baharu Salak Tinggi turut dijadikan laluan alternatif untuk ke KLIA dan Nilai, laporan Harian Metro.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, kesesakan lalu lintas di simpang berkenaan berlaku sejak sekian lama terutama apabila penambahan kawasan perumahan penduduk di sekitar sini termasuk Putrajaya dan Cyberjaya selain faktor limpahan ekonomi.

    “Sekitar September ini, tinjauan tanah di kawasan berkenaan akan dilakukan manakala, kerja fizikal dijangka bermula pada April tahun depan,” katanya kepada pihak media.

    Beliau berkata, jejambat yang bakal dibina membabitkan empat lorong dengan jarak hingga dua kilometer dan turut disertakan susur keluar ke Pekan Dengkil dan Kampung Jenderam memandangkan ia menjadi laluan utama penduduk di situ.

    Pembinaan jejambat tersebut juga dilihat sangat penting bagi mengelakkan risiko kemalangan membabitkan pengguna jalan raya terutamanya penduduk berhampiran yang sering berulang-alik menggunakan persimpangan itu.

     
     
  • Projek HSR KL-Singapura masuk fasa kedua – SPAD

    Hitachi Super Express

    Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kini telah pun memasuki fasa kedua, lapor Bernama.

    SPAD merupakan pihak yang mengawal selia pelaksanaan projek berkenaan akan memastikan ia berjalan mengikut jangka masa dan spesifikasi yang dipersetujui kerajaan dan projek tersebut dimajukan oleh MyHSR Corp Sdn Bhd.

    “Sebagai langkah persediaan sebelum beroperasi, SPAD telah menghantar pegawai ke negara yang mempunyai kereta api laju bagi mempelajari kepakaran mereka,” katanya.

    Syed Hamid berkata limpahan kekayaan projek itu akan turut dinikmati masyarakat yang mendiami kawasan stesen persinggahannya termasuk Muar.

    HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

     
     
  • Subaru XV Hybrid tS – pra-tempahan di Jepun

    Subaru-XV-Hybrid-tS-1-

    Subaru Tecnica International (STI) telah mengumumkan pra-tempahan untuk Subaru XV Hybrid tS telah pun dibuka, dan model ini bakal mula dijual pada musim luruh ini menerusi pengedar Subaru di Jepun. Dijual pada harga bermula 3,226,400 yen (RM124,898), model edisi istimewa ini dibina berdasarkan model standard XV Hybrid, dan memperkenalkan suspensi yang dipertingkatkan eksklusif dari jabatan pemotoran Subaru, seakan sama dengan Forester tS.

    Komponen talaan-STI yang dipadankan termasuklah topang suspensi hadapan dan peredam belakang baharu, gegelung pegas (hadapan dan belakang), bersama tower bar fleksibel hadapan dan draw stiffener. Bagi meningkatkan lagi prestasinya, XV Hybrid tS juga menerima perincian luaran yang lebih unik.

    Dengan jaluran berwarna jingga yang merintangi dari bahagian spoiler bawah rekaan-STI, roda aluminium 17-inci (juga dengan kekemasan jingga), serta skirt sisi hingga spoiler bumbung. Perincian lain termasuk gril hadapan kelabu gelap, perumah cermin sisi hitam, dan logo STI serta tS.

    Di dalamnya, bentangan tema jingga menjalari ruang, termasuk jahitan kontras pada tempat duduk kombinasi suede hitam dan kulit hitam. Tempat duduk tersebut juga disulam dengan logo STI dan didatangkan dengan pemanas sekali (untuk hadapan sahaja).

    Selain itu, jahitan jingga turut didapati di bahagian perehat kepala hadapan dan belakang, serna kekemasan pintu berwarna kuning cair. Sentuhan terperinci pada panel instrumen berwarna hitam pekat, perehat tangan pada pintu berwarna jingga dan plat ambang sisi eksklusif STI.

    XV Hybrid tS dijanakan oleh enjin FB20 2.0 liter bentangan melintang empat-silinder (150 PS dan 196 Nm), ditambah dengan motor elektrik bersama transmisi Lineartronic CVR. Sistem Symmetrical All-Wheel Drive (AWD) Subaru berfungsi menyalurkan kuasa pada semua roda.

     
     
  • Caj parkir di empat kawasan bukan tumpuan perniagaan di KL bakal dikurangkan antara 25% hingga 50% – akan diumumkan kelak

    Public-Parking-Lots

    Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150% di tempat tumpuan perniagaan (CBD) pada 18 Julai lalu dan kawasan yang terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar,
    banyak pihak termasuk orang ramai memberikan maklumbalas yang kurang menyenangkan. Rata-ratanya tidak bersetuju dengan keputusan DBKL, malahan ia dianggap sebagai menambahkan beban kepada masyarakat.

    Dua hari kemudian, DBKL memutuskan untuk membatalkan kenaikan kadar parkir ini di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta-merta. Keputusan ini diambil selepas pihak DBKL berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

    Menurut laporan The Star hari ini, ada lagi empat kawasan yang mungkin akan dikurangkan kadar caj parkirnya, di antara 25% hingga 50%. Kawasan terbabit termasuk Bangsar, Sri Hartamas dan Solaris Mont Kiara.

    Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membincangkan isu ini dan dijangka keputusan bagi penstrukturan semula kadar caj parkir tersebut. Ia akan diumumkan mungkin pada hari ini atau pun esok.

    tengku adnan bernama pix

    Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di kawasan tumpuan perniagaan (CBD). Di mana caj parkir bagi kawasan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya. Kawasan terbabit termasuk
    Bukit Bintang, Bukit Damansara, Hartamas, Solaris Mont Kiara, TTDI dan Bangsar.

    Tengku Adnan berkata, “Kenaikan kadar caj parkir sebanyak RM2 untuk sejam pertama dan RM3 bagi jam yang berikutnya adalah untuk kawasan CBD sahaja. Kawasan penempatan penduduk seperti TTDI, Bangsar, Sri Hartamas dan kepong termasuk dalam CBD kalau mengikut pelan struktur lama DBKL.”

    Sambungnya lagi, “Saya telah meminta DBKL untuk menilai semula kadar ini dan mendengar pandangan dari semua pihak terlibat. Namun kadar bagi CBD akan dikekalkan.”

    Jika ia melibatkan penurunan sebanyak 25%, kadar caj sebanyak RM2 akan menjari RM1.50. Dan jika ia 50%, ia akan menjadi RM1 setiap jam. The Star turut mengutarakan, sekiranya penurunan 25% diluluskan, pengguna kenderaan, contohnya di Bangsar, yang memarkir kenderaan mereka selama lapan jam berterusan hanya perlu membayar RM12 berbanding RM23 mengikut kadar yang dinaikkan sebelum ini.

     
     
  • Renault Clio Edition One didedahkan – siri terhad

    Renault-Clio-Editon-One

    Mercedes-Benz baru-baru ini telah memperkenalkan versi Edition 1, dan ternyata langkah tersebut turut diilhamkan kepada Renault dengan membuat perkara yang sama bagi model segmen-B. Memperkenalkan Clio Edition One, yang bakal ditawarkan dengan siri terhad bagi model hatchback dan estate.

    Edition One ini bakal menerima semua kekemasan dan elemen yang ada pada varian Intens, bersama beberapa elemen tambahan, bermula dengan warna eksklusif iaitu Pearlescent White. Selain turut menawarkan beberapa pilihan warna lain termasuk Titanium Grey, Glacier White, Platine Grey dan Etoile Black.

    Selain itu, Clio ini juga bakal menerima pelekat bumbung, perumah cermin siri berwarna hitam, lampu utama Pure Vision LED sepenuhnya dan rim aloi Optemic Black potongan-berlian 17-inci. Bagi bahagian dalamnya, kekemasannya senada dengan luaran, termasuk penggunaan kulit upholstery bagi tempat duduk dan roda stereng.

    Elemen standard lain yang turut ditampilkan bagi Clio Edition One ini termasuklah cermin belakang gelap, perehat tangan di tengah hadapan, pedal aluminium, ambang pintu unik dan pengalas lantas, serta sistem bunyi Bose bersama enam-speaker dan subwoofer. Pilihan lain juga termasuk sistem infotainmen R-Link, kamera dan pengesan parkir, bumbung matahari.

    Harga ditawarkan dari 19,650 euro (RM88,366) di Perancis, Edition One ini didatangkan dengan pilihan enjin – TCe 90, TCe 120, dCi 90 dan dCi 110 – dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan klac-berkembar EDC. Manakala model estate dijual pada harga lebih 600 euro (RM2,698) berbanding hatchback.

     
     
  • GALERI: Mazda CX-9 baharu dipertontonkan di Jepun

    2016 Mazda CX-9 Japan 1

    Mazda CX-9 baharu akan menjadi salah satu model terbaharu yang bakal dilancarkan oleh Bermaz, sama ada hujung tahun ini atau awal 2017. Rakan sepasukan Paultan.org, Jonathan Lee, yang kini berada di Jepun untuk menguji model facelift Mazda 3, berkesempatan merakamkan foto model CX-9 generasi kedua ini.

    Menampilkan rekaan terkini Kodo Soul of Motion, CX-9 baharu ini memperagakan gril signatur Mazda termasuk dengan lampu utama LED (bersama lampu nyalaan siang LED). Malah model yang dipamerkan ini turut dibaluti warna baharu Mazda iaitu Machine Grey, menyertai Soul Red.

    Sementara itu, bahagian belakangnya menampilkan lampu belakang LED dengan rekaan 3D yang disambungkan bersama jaluran krom di bawah logo Mazda. Ia turut menampilkan tip ekzos berkembar dengan kekemasan krom terletak di bahagian sisi bawahnya.

    Bagi dalamannya, boleh dikatakan kesemuanya dirombak semula, dan ia lebih berketerampilan berbanding sebelum ini. Ini termasuklah paparan unit utama, sistem infotainmen MZD dan kawalan penghawa dingin automatik. Tempat duduk balutan kulit turut ditampilkan, dan bagi SUV tujuh-tempat duduk ini, ia turut menampilkan corong penghawa dingin bagi barisan kedua.

    Selain dari penampilan yang lebih segar, satu lagi daya tarikan yang ditonjolkan oleh CX-9 baharu ini ialah unit baharu di bawah hudnya. Ia menampilkan enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G suntikan-terus pengecas turbo empat-silinder dengan teknologi i-stop dan i-ELOOP.

    Enjin bagi model spesifikasi US mampu menghamburkan kuasa sehingga 250 hp dan tork 430 Nm dengan menggunakan bahan api petrol 93-oktana di US (227 hp dengan 87-oktana). Manakala bagi pasaran Australia, ia memberikan 228 hp dan 420 Nm dari enjin turbo ini (dengan penggunaan RON 91). Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik, serta sistem pacuan semua-roda i-Activ sebagai pilihan.

    Bagi aspek keselamatannya, CX-9 yang baru-baru ini menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP), didatangkan dengan elemen standard termasuk enam beg udara, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dan brek kecemasan sendiri dalam kelajuan rendah (AEB, lajak dan mengundur), yang sebahagian daripada keselamatan i-Activsense.

    Sedikit pelik, biarpun dibangunkan di Jepun, namun CX-9 tidak dijual di pasaran domestiknya sendiri. Namun bagi pasaran Malaysia, ia mungkin bakal tiba penghujung tahun ini atau awal 2017, dan sehingga kini Bermaz masih belum memberikan sebarang petanda mengenai harganya, namun menurut pengedar tempatan, CX-9 ini mungkin dijual di bawah harga RM250k.

    GALERI: Mazda CX-9 di Malaysia

     
     
  • Tiada bantahan untuk kenaikan tambang teksi sekiranya ia praktikal dan mengikut meter – FOMCA

    Malaysia-Taxi-03

    Kenaikan tambang teksi bermeter adalah dialu-alukan oleh pengguna sekiranya kadar baharu berkenaan adalah berpatutan, dan lebih penting, garis panduan perlu ditetapkan untuk mengelakkan pemandu yang tidak bertanggungjawab mengenakan tambang berlebihan kepada penumpang, kata Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menurut laporan The Sun Daily.

    Naib Presidennya Datuk Koris Atan berkata, orang ramai tidak kisah untuk membayar kadar tambang yang lebih sekiranya tambang berkenaan praktikal dan mengikut meter.

    “Majoriti pengguna bersedia untuk membayar amaun yang dipamerkan pada meter tambang walaupun ia telah dinaikkan. Masalahnya adalah ada sebahagian pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dan mengenakan bayaran berlebihan kepada penumpang,” katanya kepada The Sun.

    Memetik laporan laman web UK – London Cabs – yang menyifatkan teksi Kuala Lumpur merupakan yang terburuk di dunia dalam tinjauan mereka tahun lalu, Koris berkata beliau telah menggunakan perkhidmatan teksi di lebih 60 negara dan hanya ditipu sekali, tidak seperti di Malaysia.

    “Baru-baru ini, saya mengambil teksi dari Puduraya ke Brickfields dan pemandu berkenaan mahu mengenakan tambang RM50 untuk perjalanan tersebut!” kata beliau dan menekankan adalah tidak adil untuk “menghukum” pelanggan dengan cara tersebut.

    Beliau mencadangkan pemandu teksi yang melanggar undang-undang perlu dibuang atau sekurang-kurangnya lesen mereka dibatalkan untuk kesalahan yang dilakukan.

    Laporan sebelum ini menyebut kadar tambang teksi baharu sedang dirangka dan mungkin dinaikkan sebagai salah satu langkah yang diambil dalam rombakan operasi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) dan teksi bajet tidak lama lagi.

    Langkah yang dicadangkan berkenaan akan membantu teksi konvensional untuk bersaing dalam transformasi industri teksi yang turut akan membenarkan servis e-hailing beroperasi secara sah menjelang hujung tahun ini.

    Kali terakhir tambang teksi bermeter dinaikkan adalah pada Mac tahu lalu. Setakat ini, tambang TEKS1M bermula dari RM4, dengan 30 sen untuk setiap 200m manakala untuk teksi bajet pula tambang bermula dari RM30 dengan 25 sen setiap 200 meter.Kadar tambang berdasarkan masa untuk teksi bajet pula ialah 25 sen bagi setiap 36 saat manakala untuk TEKS1M pula ialah 30 sen untuk 36 saat.

     
     
  • Sistem Kad Pemandu mungkin dipertimbangkan dan diperkenalkan untuk pemandu Grab dan Uber – SPAD

    uber x car

    Sistem ‘Kad Pemandu’ untuk pemandu perkhidmatan Grabcar dan Uber mungkin akan dipertimbangkan dan diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), lapor Bernama.

    Menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan pemandu yang terlibat adalah individu persendirian dan tidak mempunyai lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

    “Kita akan membentangkan perkara ini kepada kerajaan khasnya mengenai syarat-syarat mentransformasikan industri pengangkutan awam yang berasaskan konsep teksi agar tidak timbul perasaan tersisih termasuk golongan pemandu teksi (biasa) yang menganggap mereka dibebankan oleh sistem sewa beli atau pajak,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laluan baharu bas Ekspres Mayang Sari di Bukit Pasir semalam.

    Menurut Syed Hamid lagi SPAD akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan pemain industri sebelum memuktamadkan keputusan berhubung cadangan itu.

    Pelan Transformasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal dibentangkan di Kabinet dan ia turut merangkumi isu berkaitan membenarkan Uber dan GrabCar beroperasi secara sah seterusnya memberikan persaingan sihat kepada pemandu teksi.

     
     
  • Data jualan kenderaan M’sia untuk Jun 2016 – Honda kembali ke tangga no.1 untuk segmen bukan nasional

    Civic lead 1

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kereta baharu berdasarkan jenama untuk bulan Jun 2016. Bulan Mei lalu, hanya sedikit peningkatan dicatatkan berbanding bulan sebelumnya. Tetapi untuk Jun, angka peningkatan yang dicatatkan dilihat lebih meyakinkan, mungkin hasil dari jualan istimewa yang ditawarkan banyak pengeluar sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Sebanyak 50,981 kenderaan penumpang dan 6,377 kenderaan komersial dijual pada bulan Jun, menjadikan jumlah keseluruhan jualan adalah 57,358 unit. Jumlah berkenaan adalah 29.5% atau 13,175 unit lebih tinggi berbanding April 2016, dan hanya kurang 78 unit berbanding bulan yang sama pada 2015. Walau bagaimanapun, angka jualan tahunan setakat ini yang dicatatkan pada 279,459 unit masih lagi kurang 13.28% berbanding tahun lalu yang mencatatkan jualan sebanyak 322,254 unit.

    Seperti juga bulan lalu, Perodua masih lagi mendahului tangga teratas keseluruhan untuk Jun 2016, dengan jualan sebanyak 20,044 unit, peningkatan sebanyak 4,797 unit (sekitar 31.5%). Proton turut mencatatkan peningkatan jualan pada Jun, dengan jualan sebanyak 6,961 unit kenderaan, iaitu 1,897 unit lebih banyak berbanding Mei (peningkatan sebanyak 37.4%). Untuk jualan tahunan, Perodua setakat ini telah menjual sebanyak 77,326 buah kenderaan, manakala Proton pula telah menjual sebanyak 28,766 kenderaan.

    Untuk kategori bukan nasional pula, Honda kembali mendahului dengan merampas kedudukan nombor satu dari Toyota (pada Mei) dengan menjual sebanyak 9,254 kenderaan pada bulan Jun. Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 3,595 unit atau sekitar 63.5%, sementara jualan tahunannya dicatatkan setakat ini adalah 39,654 unit. Ini menjadikan Honda berada di kedudukan kedua keseluruhan, di atas Proton.

    BMW-X1-vs-Mercedes-GLA-vs-Audi-Q3-003

    Toyota pula telah menjual sebanyak 6,803 unit kenderaan sepanjang Jun lalu, iaitu kurang 158 unit berbanding jualan Proton. Walau bagaimanapun, angka berkenaan 662 unit atau 10.8% lebih tinggi berbanding angka jualannya bulan lalu, dan menjadikan jualan tahunan Toyota kini mencecah 27,249 unit. Nissan pula berada ditempat kelima dengan 4,254 unit kenderaan keluaran mereka terjual sepanjang Jun, menunjukkan peningkatan sebanyak 1,148 unit atau 37% berbanding Mei. Mazda pula menduduki tangga ke tujuh dengan jualan sebanyak 1,295, 101 unit atau 8.4% lebih banyak dari bulan sebelumnya.

    Dalam segmen premium, Mercedes-Benz masih lagi mendahului kedudukan untuk bulan Jun, dengan jualan sebanyak 1,234 unit, 106 unit atau 9.4% lebih banyak berbanding bulan sebelumnya. BMW turut mencatatkan sedikit peningkatan dengan jualan 760 unit, atau 35 unit lebih banyak berbanding bulan Mei.

    Pengeluar-pengeluar lain turut mencatatkan peningkatan termasuk Ford (+32%), Hyundai (+37%), Subaru (+81%), Volvo (+126.7%) dan Renault (+11.6%). Namun, ada juga pengeluar yang mencatatkan penurunan jualan berbanding bulan sebelumnya seperti Volkswagen (-54.8%), MINI (-1.28%), Audi (-40.2%) dan Mitsubishi (-7.8%)

    Rujuk jadual lengkap di bawah untuk keputusan sepenuhnya, dan klik untuk versi yang lebih besar.

    June-2016-sales-data-by-brand_BM

     
     
  • Proton perlu membuat keputusan sendiri bagi memilih syarikat asing sebagai rakan strategik – Mustapa

    Proton Perdana Test Drive 18

    Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beberapa syarikat pengeluar kenderaan dari Eropah, China dan Jepun telah menyuarakan hasrat mereka untuk menjadi rakan strategik Proton.

    Beliau turut berkata, kerajaan akan memberikan peluang untuk Proton membuat keputusan sendiri, di mana syarikat tersebut mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan untuk memilih rakan strategik, laporan The Star.

    “Kerajaan mahu Proton memastikan rakan strategik itu memiliki keupayaan untuk menaikkan semula syarikat tersebut. Mereka perlu memiliki teknologi, modal dan rangkaian eksport,” ujar Mustapa lagi kepada pihak media.

    Tambahnya lagi, perkongsian strategik antara Proton dan rakan sejawat asing itu adalah perlu untuk membantu syarikat tersebut, sebagai pemain industri di peringkat antarabangsa, sekaligus mampu mengembangkan perniagaannya.

    Beberapa hari lalu, Madani Sahari, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) turut berkata, beberapa pengeluar peralatan tulen (OEM) di peringkat global telah menghantar kertas cadangan masing-masing, dan kini Proton sedang menilai setiap satu daripadanya.

    Proton telah menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan, namun ia perlulah menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan, termasuk mengenalpasti rakan kongsi asing. Sebagai tambahan, pelan strategik juga telah dipertingkatkan bagi memperluaskan pasaran tempatan, selain menembusi pasaran antarabangsa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025