Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda CBR250RR – Gambar keseluruhan

    Penghujung Julai lalu, Indonesia menjadi negara pertama diseluruh dunia yang menyaksikan pelancaran model Honda CBR250RR untuk pasaran di sana. Berikut adalah gambar dan paparan menyeluruh segenap sudut motosikal berkenaan.

    Jentera dua roda yang dinanti-nantikan itu diumum akan menggantikan model terdahulu, Honda CBR250R. Dilengkapi dengan enjin 249.7 cc selari berkembar, lapan injap, sejukan cecair dengan sistem suntikan minyak PGM-FI. Ia juga dilengkapi dengan ciri ride-by-wire, yang pertama bagi motosikal Honda dalam kelas berkenaan. Indonesia menjadi pasaran pertama dunia yang menerima motosikal ini, bakal diikuti oleh Jepun selepas ini.

    Di sana, ia ditawarkan dalam dua varian; dengan ABS dan tanpa ABS, di dalam tiga pilihan warna – Racing Red, Anchor Grey Metallic dan Matte Gunpowder Metallic. Model dengan ABS dijual pada harga bermula 69-71 juta Rupiah (sekitar RM21,500) manaka model tanpa ABS pula pada harga 63-68 juta Rupiah (sekitar RM19,500).

     
     
  • GALERI: Honda RS150R 2016, pesaing kapcai 150 cc

    2016 Honda RS150R -20

    Selepas Yamaha Y15R, kini ada sebuah lagi model yang hadir untuk memberikan saingan, kali ini dari Honda RS150R, yang dilancarkan Jun lalu. Kedua-duanya kapcai, tetapi dengan ketelitian dan penawaran yang lebih menarik dan berkuasa. Bagi pengedarnya, Boon Siew Honda, ini merupakan model yang penting buat mereka. Mana tidaknya, sebelum ini motosikal Honda di Malaysia tidak diwakili oleh mana-mana model yang enjinnya bersesaran 150 cc.

    Dua varian tersedia sebagai pilihan. Versi Standard dijual pada harga RM8,213 manakala RM8,374 bagi versi Advanced. Motosikal ini dilengkapi enjin 149.7 cc, DOHC empat injap yang menjana 15.6 hp kuasa pada 9,000rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500rpm. Ia juga menggunakan kotak gear enam-kelajuan klac basah serta sistem suntikan minyak PGM-FI dengan piawaian Euro 3.

    Antara lain, Honda RS150R ini turut menggunakan lampu LED di bahagian depan dan belakang. Tangki minyaknya pula menampung 4.5 liter bahan api. Berat keseluruhannya ialah 122 kg, 10 kg melebihi berat motosikal dalam kelas yang sama.

    Honda RS150R Standard dijual pada harga RM8,213 dengan pilihan warna Matte Blue atau Matte Black. Bagi RS150R Advanced pula ia dijual pada harga RM8,374 dalam pilihan warna Metallic Red dan Repsol Racing, dan boleh di dapati dari pengedar Boon Siew Honda bermula bulan ini. Kami akan memberikan ulasan dan liputan lanjut berkenaan model ini sebaik sahaja memperoleh unit tunggang ujinya nanti.

    Galeri: Honda RS150R

     
     
  • GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Talaan Impul

    Serena Impul -1

    Nissan Serena S-Hybrid Talaan Impul mula masuk kepasaran Malaysia awal bulan lalu. MPV yang mampu memuatkan maksimum lapan orang penumpang ini, kini diberikan imej yang lebih bergaya dengan kit dari Impul, yang terdiri dari kit badan dan roda aloi Impul Aura SX-50 berdiameter 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3. Tiada ubahsuai atau peralatan ditukar pada sistem suspensi, ketinggian Serena ini kekal seperti model standard dan tidak ‘menyusahkan’ pemandu untuk sentiasa merisaukan kit badan yang labuh disekelilingnya.

    Kit Impul yang dipadankan untuk pasaran Malaysia ini tidaklah begitu agresif seperti model Serena Impul Premium Version yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi ia masih dapat memberikan imej yang jauh lebih premium berbanding Serena versi standard.

    Dua varian ditawarkan iaitu 2.0L Impul Highway Star dan 2.0L Premium Highway Star. Untuk galeri ini, kami bawakan anda varian Impul Premium Highway Star yan dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM160,477.12.

    Serena Impul -12

    Terdiri dari kit aero Impul (RM6,360), satu set roda aloi Impul Aura SX50 (RM5,830), tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 225/45/R18 (RM3,339), liang sisi sport kemasan krom Impul (RM1,113) kemasan bonet krom Impul (RM848), keseluruhan kit ini dijual pada harga RM17,490.

    Pemilik Nissan Serena S-Hybrid sebelum ini juga masih berpeluang untuk mendapatkan kit Impul ini secara berasingan. Tetapi tempat duduk balutan kulit Impul hanya dipadankan standard untuk varian Premium, dan tidak dinyatakan harga sebenarnya.

    Model talaan Impul ini masih mengekalkan unit janakuasa asal Serena S-Hybrid tanpa apa-apa perubahan – dijana oleh enjin petrol MR20DD dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 147 PS/210 Nm, dipadankan dengan sistem transmisi automatik Xtronic CVT, memacu roda hadapan.

    Bagaimana prestasi Serena ini? Nantikan ulasan pandu uji dari kami. Sebelum itu, jamu dahulu mata anda dengan galeri yang disediakan.

     
     
  • Teknologi Jepun akan bantu Malaysia mengkaji dan kenalpasti kawasan lereng berisiko tinggi – Fadillah

    Karak-landslide-05

    Malaysia akan menggunakan kelebihan pengalaman dan teknologi yang dimiliki oleh Jepun dalam mengkaji dan mengenalpasti lereng-lereng yang berisiko tinggi di seluruh negara. Ia adalah bagi mengatasi masalah tanah runtuh di kawasan berkenaan, ujar Menteri Kerjaraya Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Katanya, buat masa ini, pihak kementerian sedang mengkaji dengan menggunakan pengalaman dari negara matahari terbit itu untuk mengumpul data bagi mengenal pasti kawasan lereng berisiko, dengan bantuan Japan International Cooperation Agency (JICA), laporan Bernama.

    “Di Jepun, persediaan berhadapan dengan bencana alam dibuat dengan teliti menggunakan peralatan canggih. Oleh itu, mereka dapat mengenalpasti tanda-tanda awal bencana dengan tepat sebelum perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya kepada pihak media dalam Seminar Kerjasama Malaysia-Jepun bagi Pengurusan Lereng/Tanah Runtuh dan Kejuruteraan Gempa Bumi semalam.

    Beliau turut berkata, negara-negara lain juga perlu mengambil contoh dari Jepun dalam menanamkan kesedaran yang tinggi di kalangan rakyatnya bagi berhadapan dengan bencana alam.

    Pengurusan dan kejuruteraan lereng yang lebih terurus mampu membantu struktur yang lebih kukuh dan berketahanan tinggi di kawasan berlereng agar ia dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh dan sebagainya, tambahnya lagi.

     
     
  • ETCM panggil balik kenderaan Nissan di M’sia yang melibatkan 110,945 unit kerana isu beg udara Takata dan 22,177 unit bagi masalah penahan pintu belakang

    Nissan_Grand_Livina_launch_ 063

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengeluarkan kenyataan media berhubung dengan panggilan balik bagi 133,118 unit kenderaan Nissan disebabkan ia didapati mempunyai masalah inflator beg udara SDI untuk pemandu dan penumpang hadapan buatan Takata serta penahan pintu belakang.

    Bagi inflator beg udara SDI untuk pemandu, model yang terlibat ialah Navara D40 (CBU & CKD) (tahun buatan 2007-2014), Latio C11 (CKD) (tahun buatan Jun 2007-Okt 2014),Grand Livina L10 (CKD) (tahun buatan Julai 2007-Okt 2013) dan X-Gear L10 (CKD) (tahun buatan Nov 2010-Okt 2013).

    Manakala inflator beg udara bagi tempat duduk penumpang hadapan pula membabitkan model X-Trail T30 (CKD) tahun buatan Mei 2002 hingga Mac 2007 dan April 2007 hingga Disember 2008 , Teana J31 (CBU) (tahun buatan Apr 2007-Dis 2008) dan Liberty M12 (CBU) buatan 2003.

    nissan-serena-s-hybrid-c26-recalled

    Panggilan balik ini turut melibatkan beberapa model Nissan yang didapati mempunyai masalah penahan pintu belakang – Serena S-Hybrid C26 (CBU) tahun buatan September 2012 hingga November 2013, Serena S-Hybrid C26 (CKD) tahun buatan Februari 2014 hingga Mac 2016, X-Trail T32 (Ogos 2014 – Disember 2015) dan NV200 M20 (September 2011-Februari 2016).

    Pemilik kenderaan terbabit digesa untuk segera membawa kenderaan masing-masing ke Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS) untuk pemeriksaan dan penukaran komponen terbabit. Kos penukaran kompenen dan buruh ditanggung sepenuhnya oleh ETCM.

    Anda juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian bebas tol 1800-88-3838 atau layari lamab web Nissan VIN Checker bagi maklumat lanjut.

    Nissan_recall

     
     
  • TUNGGANG UJI: Yamaha NMax skuter terbaik kini?

    Yamaha NMax 25

    Jika anda sedang mempertimbang untuk memiliki sebuah skuter, dengan kapasiti enjin sekitar 150 cc dan untuk kegunaan harian, apa pilihan yang ada kini? Vespa mempunyai beberapa model dipertaruhkan, misalnya Vespa Sprint atau Vespa Primavera. Tetapi, model dengan reka bentuk moden dan bertembung secara langsung sebagai pesaing dalam pasaran adalah antara Yamaha NMax dan Honda PCX.

    Antara kedua-dua model buatan pengeluar Jepun ini, Yamaha NMax mempunyai sesaran enjin yang lebih besar, iaitu 155 cc, berbanding Honda PCX, yang jika merujuk laman web Boon Siew Honda, kapasitinya ialah 149 cc. Ini bagaimana pun berbeza dengan model PCX yang dijual di pasaran luar, ia dinyatakan bersesaran 153 cc. Mengambil kira kedua-dua angka itu, Yamaha NMax mempunyai kelebihan dari aspek ini.

    Dilancarkan pada Januari lalu, Yamaha NMax serta-merta mencuri perhatian ramai. Sudah lama peminat skuter di Malaysia tidak ditawarkan dengan model-model skuter yang menarik bagi kelas 150 cc. Dahulu, antara jenama dan model lain yang pernah mempertaruhkan model masing-masing adalah seperti Modenas Elit 150, serta model yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu, Suzuki VS150.

    Selepas itu, pasaran skuter kita hanya dibanjiri oleh skuter-skuter dengan kapasiti enjin yang lebih rendah, dengan rekaan yang lebih terarah kepada memenuhi keperluan penggunaan dalam bandar dan perjalanan jarak dekat.

    Dari sudut reka bentuk, Yamaha NMax nampak lebih tegap dan lebar; satu petanda bahawa ia juga mungkin sangat selesa untuk perjalanan jauh dan membolehkan penunggang dan penumpang kekal dalam keadaan rehat sepanjang perjalanan. Dimensi keseluruhannya adalah seperti berikut; 1,955 mm panjang, 740 mm lebar, 765 mm tinggi tempat duduk dan 135mm kelegaan dari permukaan tanah. Berat basahnya pula ialah 136 kg.

    Lampu depan menggunakan lampu LED. Ini menjadikan tunggangan di waktu malam lebih selamat dengan cahaya terang yang membolehkan penunggang lebih peka terhadap persekitaran. Rekaan bahagian depan memberikan identiti yang tersendiri bagi skuter ini; ia nampak tinggi dan tegap. Bahagian tepi juga menyumbang dalam memberikan imej yang lebih sporty terhadapnya, ada kalanya kelihatan seperti rekaan yang selalu terdapat pada skuter maxi yang saiznya lebih besar.

    Jika ada satu perkara yang kurang digemari berkaitan rekaan pada skuter ini, ia adalah pada bahagian belakangnya. Saya merasakan rekaan lampu belakang yang ditampilkan terlalu bersahaja dan kurang menarik, tidak mengimbangi kematangan rekaan yang sudah dipamerkan di bahagian hadapan.

    Dari sudut spesifikasi pula, tidak keterlaluan jika disifatkan agak mendahului pesaingnya. Melengkapi enjin 155 cc ialah pendekatan pembangunan enjin baharu oleh Yamaha yang dikenali sebagai teknologi Blue Core. Secara ringkas, enjin baharu ini diperkemas bagi menawarkan tiga perkara berikut; meningkatkan kecekapan pembakaran, mengurangkan kehilangan kuasa yang berlaku akibat pergeseran komponen enjin dan yang terakhir, meningkatkan daya penyejukan dengan lebih cekap.

    Enjin yang digunakan adalah dari jenis silinder tunggal, empat lejang dan empat injap SOHC, dengan sistem sejukan cecair. Ia menjana kuasa 14.8 hp pada 8,000 rpm, manakala tork pada kadar 14.4 Nm pada 6,000 rpm. Ia juga menggunakan sistem suntikan minyak, dengan transmisi automatik yang menggunakan tali sawat V-Belt. Kapasiti tangki minyaknya pula ialah 6.6 liter.

    Beberapa lagi ciri utama yang perlu dinyatakan tentang skuter ini ialah ruang barangan di bawah tempat duduk adalah cukup luas; boleh memuatkan sebuah helmet saiz penuh dengan masih ada sedikit ruang yang berbaki untuk barangan kecil lain yang dibawa.

    Selain itu, paparan meter LCD elektronik memberikan paparan data tunggangan yang jelas, sementara sistem brek cakera disertakan bagi kedua-dua roda hadapan dan belakang. Melihat semua ciri ini, agak sukar untuk mengetepikan Yamaha NMax; ia datang lengkap dan bersedia untuk memberikan nilai terbaik kepada pengguna.

    Yamaha NMax 64

    Bagaimana pula pengalaman tunggangannya? Saya boleh katakan sangat menyenangkan. Kuasa yang terhasil lebih daripada mencukupi. Dari Kompleks Yamaha di Sungai Buloh, ketika ingin kembali ke pusat bandar Kuala Lumpur, tunggangan di sepanjang lebuh raya bersama skuter ini sangat meyakinkan.

    Maklum balas pendikitnya juga sangat responsif dan tepat. Kuasa membrek juga padu. Paling utama, ruang lantai kaki yang tersedia panjang dan lapang, membenarkan walau penunggang yang tinggi untuk berada dalam keadaan rehat dan terus menunggang dengan bersahaja.

    Ketika menggunakannya bagi tujuan tunggang uji ini selama seminggu, saya semakin menggemari skuter ini dari segenap penggunaannya. Tunggangan dalam bandar juga lebih menyeronokkan. Mengendalikannya tidak sekali pun menimbulkan masalah.

    Daya tork cukup membantu memberikan tujahan yang diperlukan setiap kali skuter ini berada di dalam pergerakan perlahan atau kedudukan yang hampir pegun. Ini kelebihannya; ketepatan respon pendikitnya membolehkan penunggang untuk mengagak dengan betul sebanyak mana tahap input pulasan yang diperlukan dalam keadaan tunggangan atau suasana trafik yang berlainan.

    Sepanjang tempoh menggunakan unit ini, bacaan purata penggunaan minyak yang tercatat pada paparan meternya berada pada kadar 42.1 km per liter. Jika bersandarkan angka ini, anggaran satu tangki penuhnya mampu memberikan bacaan sekitar 278 km. Ia sudah semestinya bergantung kepada gaya tunggangan seseorang; Yang dinyatakan ini adalah bacaan sebenar yang diperolehi sepanjang seminggu menggunakannya, setiap hari.

    Jadi, adakah Yamaha NMax ini berbaloi untuk wang anda? Secara jujurnya, saya rasakan ya. Dengan harga jualan RM8,812 termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans, meletakkan Yamaha NMax ini selangkah lagi dihadapan pesaingnya. Untuk rekod, Honda PCX dijual pada harga RM11,990.

    Untuk tanggapan pertama, Yamaha NMax tampil dengan sangat meyakinkan dan memuaskan, baik di atas kertas mahupun pengalaman tunggangan yang ditawarkan. Adakah ia sesuai untuk perjalanan jauh? Dengan kuasa dan keselesaan yang ada, tentu saja boleh.

    Agak menarik juga untuk mengetahui pengalaman sebenar pemilikannya (penggunaan minyak, kos penyelenggaraan dan lain-lain). Jika anda memiliki skuter ini, harap tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman anda bersama kami untuk manfaat bersama.

    Galeri: Yamaha NMax

     
     
  • Honda Accord facelift 2016 – tempahan kini dibuka

    Accord-Facelift-Malaysia-e1470042357803_BM

    Honda Malaysia mengumumkan tempahan untuk Accord facelift 2016 kini secara rasminya dibuka. Tempahan kini boleh dibuat di semua 88 bilik pameran pengedar sah Honda di seluruh negara.

    Seperti juga model sedia ada, model facelift ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin, dalam tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Manakala pelancarannya pula dijangka akan diadakan pada suku ketiga tahun ini.

    Perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini sudah pastinya pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Accord facelift bakal dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu “Solid Wing” Honda, menampilkan bar krom yang tebal. Imej yang diberikan oleh pihak HM juga menunjukkan model berkenaan dilengkapi dengan lampu hadapan LED, di mana ia direka seperti bersambung dengan gril hadapan.

    Ia juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu serta bar LED pada lampu kombinasi belakang. Bahagian belakang juga diberi nafas baharu dengan pemadanan kemasan bar krom yang yang turut direka seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Tiada perubahan besar dilakukan pada bahagian sisi, kecuali roda aloinya kini menerima rekaan baharu. Model facelift ini juga ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu White Orchid Pearl dan Lunar Silver Metallic.

    Tahun ini, jenama Accord sudah pun berada dalam pasaran selama 40 tahun. Model facelift generasi kesembilan ini sebelum ini telah pun dilancarkan di Thailand pada Februari lalu, dan dipamerkan pada Bangkok International Motor Show bulan berikutnya. Untuk mereka yang mahu menyaksikan sendiri Accord ini hadapan mata, Honda Malaysia akan membawa kereta ini dalam satu siri jelajah dari 12 Ogos hingga 4 September 2016. Layari laman web Honda Malaysia untuk jadual penuh siri jelajah tersebut.

     
     
  • GALERI: Honda Civic 1.5T Premium 2016 di Malaysia

    HondaCivic_Ext-4

    Biarpun kini Perodua Bezza cukup hangat diperkatakan di pasaran Malaysia, namun jangan terlupa dengan kehadiran model-model lain, termasuk Honda Civic baharu, yang antara model hangat untuk tahun 2016.

    Kehadiran Civic generasi ke-sepuluh ini memang menjadi buah mulut kerana ia turut ditawarkan dengan varian turbo bagi enjin 1.5 liter. Malah, varian 1.5 Turbo ini juga ditawarkan dengan dua pilihan iaitu 1.5 Turbo dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbo Premium yang menghiasi ruangan galeri ini.

    Bagi 1.5 Turbo Premium, ia ditawarkan pada harga RM135,800, iaitu lebih mahal berbanding varian 1.8S (RM113,800) dan 1.5 Turbo (RM127,800). Semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans dan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

    Menurut Honda, orang membeli jentera seperti Civic untuk mendapatkan pemanduan yang lebih selesa, dalam masa yang sama pengendalian yang mantap serta pastinya penjimatan bahan api yang efisien. Bukannya seperti zaman dahulu, kebanyakannya mengaitkan Civic dengan aura serba sporty. Asal model Civic, mesti ditampilkan dengan sifat sporty dan garang.

    HondaCivic_Ext-22

    Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif. Malah ia umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang.

    Varian 1.5T Premium juga ditampilkan dengan lampu utama dan lampu kabus hadapan LED, selain lampu nyalaan siang LED, yang disambung pada bar krom yang agak lebar. Malah bampar hadapan tampak lebih sporty dengan adanya corong udara di bawahnya, serta lampu kabus dengan unit LED.

    Penampilan sisinya juga kelihatan lebih mantap dengan garisan sisinya yang nampak melunjur dari hadapan ke belakang merentangi gerbang roda hadapan. Malah Turbo Premium ini turut menerima pemegang pintu krom, berbanding warna yang sama dengan badan bagi varian lain. Bukan itu sahaja, ia turut dipadankan dengan rim aloi 17-inci, berbanding varian 1.8S yang hanya 16-inci.

    Pada bahagian belakangnya, lampu berbentuk-C yang nampak lebih garang bersama lampu LED, manakala lampu brek, indikator dan undur masih menggunakan mentol. Bampar belakang juga direka agar seiring sejalan dengan rekaan bahagian hadapan, dan ia turut menampilkan corong ekzos berkembar tersembunyi bagi model pengecas turbo ini.

    Mengenai ukurannya, ia ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

    Selain itu, Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

    Di dalamnya, ia dilengkapi dengan ciri premium yang menjalari segenap ruang. Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Ia turut menampilkan skrin bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta penghawa dingin dua-zon. Selain ditampilkan dengan skrin LCD warna-sepenuhnya untuk paparan meter, speedometer dan paparan pelbagai-info.

    HondaCivic_Int-34

    Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah terdapat juga dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak.

    Kit standard yang terdapat bagi semua varian termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Remote Engine Start (boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin dalam jarak antara 10-meter), dan Walk Away Auto Lock (yang boleh mengunci kenderaan dalam 30 saat, atau jarak kunci lebih dua meter dari kenderaan), kawalan kelajuan, dan tempat duduk pemandu dengan lapan-cara pelarasan berkuasa.

    Selain itu, semua model turut dilengkapi dengan stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dengan butang kawalan untuk suara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh tujuh-inci berserta kamera undur pelbagai-pandangan dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Model Turbo juga menerima kulit upholstery (dengan jaluran tengah efek-karbon seperti Mazda 2), cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear dan kekemasan aluminium, sementara Turbo Premium ditambah dengan navigasi dan penghawa dingin dua-zon.

    Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX. Walau bagaimana pun, paparan titik buta Honda LaneWatch seperti yang ada pada model 1.5 RS bagi spesifikasi Thailand, tiada bagi model pasaran Malaysia.

    Di bawah bonetnya, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu bagi varian 1.8S, enjinnya dikekalkan iaitu 1.8 liter i-VTEC SOHC naturally-aspirated empat-silinder, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 174 Nm pada takat 4,300 rpm.

    HondaCivic_Ext-32

    Manakala varian 1.5 Turbo pula dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo dengan hamburan kuasa sehingga 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork puncak 220 Nm antara 1,700 hingga 5,500 rpm.

    Membantu memperhebatkan lagi prestasi enjin, kedua-dua varian enjin ini turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu.

    Mengenai penggunaan bahan apinya, bagi varian 1.8, ia dikatakan mampu memberikan penjimatan sehingga 6.3 liter bagi setiap 100 km dan 1.5 Turbo pula lebih menjimatkan iaitu sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.

    Mahu mengetahui kehebatan pacuan dan pengendalian Honda Civic 2016? Anda boleh membaca ulasan pandu uji Civic baharu ini di Chiang Mai, Thailand, bagi model spesifikasi negara tersebut – di sini. Anda juga boleh mengetahui spesifikasi penuh dan elemen lengkap bagi semua model Civic baharu ini menerusi CarBase.my.

     
     
  • VIDEO: Toyota GT86 Initial D Concept hantar tauhu!

    Toyota UK sebelum ini telah mendedahkan sebuah kereta konsep mereka – Toyota GT86 Initial D Concept – khas untuk memperingati watak ikon automotif dalam dunia manga dan anime Jepun, Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno GT-Apex milik Kedai Taufu Fujiwara dalam siri popular Inital D.

    Dalam pendedahan model konsep sebelum ini, Toyota UK turut memaparkan kereta berkenaan beraksi berlatar belakangkan illustrasi oleh artis manga UK- Sonia Leong. Kini, syarikat berkenaan menyiarkan pula video jentera konsep berkenaan beraksi sebagai kereta drift dan penghantar tauhu.

    Selain dari aksi drift, penukaran gear manual dan teknik heel and toe yang sememangnya menjadi rencah dalam setiap episod Initial D, video tersebut juga turut memaparkan babak tauhu yang dihantar berkenaan di tempat duduk belakang kereta.

    Toyota GT86 Initial D diberikan warna badan keseluruhan dengan tema hitam-putih yang popular dengan jolokan “panda”. Model konsep ini juga menerima pelbagai modifikasi agar ia kelihatan seiras dengan AE86 yang dipandu oleh Fujiwara Takumi dalam ekspedisi pasukan Project D. Antara ciri yang dilengkapi adalah roda aloi 17-inci binaan khas RS Watanabe, bonet hadapan gentian karbon, lampu kabus kuning dan juga mud flap. Ia juga turut dipadankan dengan sistem suspensi TRD Sportivo lengkap dengan strut-bar dari Cusco.

    Untuk peminat Initial D di luar sana, adakah anda teruja dengan model GT86 yang diinspirasikan dari AE86 Kedai Tauhu Fujiwara ini? Kongsikan pendapat anda di ruang komen di bawah.

     
     
  • Jalan Sultan Ismail alami gangguan trafik sehingga 3 Ogos ini bagi pembinaan infrastruktur di TRX

    kl-city-jam

    TRX City Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan, mulai semalam sehingga 3 Ogos ini, sebahagian Jalan Sultan Ismail dan laluan susur keluar terowong SMART (arah Bukit Bintang) mengalami gangguan aliran trafik. Ia adalah bagi kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan jalan di Tun Razak Exchange (TRX).

    Syarikat tersebut turut berkata, penutupan jalan secara berperingkat akan bermula pada 12.01 tengah malam hingga 5 pagi dan melibatkan kerja-kerja merobohkan jejantas sedia ada serta lain-lain kerja yang berkaitan dengan projek berkenaan, laporan Bernama.

    Antara lokasi yang terlibat dengan penutupan jalan adalah sebahagian jejambat dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kampung Pandan, laluan susur keluar dari terowong SMART ke Jalan Sultan Ismail dan sebahagian Jalan Sultan Ismail ke kawasan Bukit Bintang.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan dan tanda arah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

     
     
  • Subaru Levorg 1.6 GT-S (RM200k) dan XV Crosstrek 2016 (dari RM120k) kini di Malaysia

    Subaru_Levorg_MV_Ext-2

    Subaru Levorg 1.6 GT-S dan XV Crosstrek 2016 kini telah pun berada di Malaysia, dengan harga RM199,720 dan harga pengenalan RM119,500 (tanpa insurans).

    Levorg (LEgacy, reVOlution, touRinG) yang dianggap model wagon bagi Impreza, merupakan varian tunggal 1.6 GT-S yang didatangkan khas dari Jepun, dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter DIT (Direct Injection Turbo) pengecas turbo empat-silinder.

    Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 170 PS pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan tork 250 Nm dari 1,800 hingga 4,800 rpm, dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive ciptaan Subaru, menyalurkan kuasa pada keempat-empat roda.

    Elemen standard termasuk lampu utama LED pelarasan auto, lampi posisi berbentuk-C, lampu kabus halogen, bumbung matahari berkuasa, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok LED, tip ekzos berkembar dan rim aloi aluminium 18-inci yang dibaluti tayar 225/45R18. Di dalamnya, ia menampilkan sistem kawalan suhu automatik dua-zon, paparan pelbagai-info dan kulit upholstery.

    Sementara itu, XV Crosstrek yang berdasarkan model XV facelift, yang dilancarkan pada awal tahun ini, ditampilkan dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P, dengan harga jualan terdahulu bermula RM138,588, dan kini RM138,788, selepas harga pengenalannya yang disebut itu ditamatkan.

    Ia ditampilkan dengan kit baharu yang lebih sporty terdiri daripada deep chin spoiler, sambungan berwarna perak pada sudut hadapan, skirt sisi dan peresap belakang dengan kekemasan perak. Selain itu, spoiler belakang berwarna hitam seakan model pre-facelift STI Performance, tanpa logo STI.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L baharu, rim aloi dua tona 17-inci dan lampu belakang LED. Elemen tambahan pada bahagian kabinnya termasuk tempat duduk dan alas lantai eksklusif edisi Crosstrek.

    Tiada perubahan pada penjana kuasanya, ia masih dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Kuasanya disalurkan ke sistem Symmetrical All-Wheel Drive menerusi Lineartronic CVT.

    GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S 2016

    GALERI: Subaru XV Crosstrek

     
     
  • Ferrari bekerjasama dengan Altair Product Design untuk platform modular generasi akan datang; mungkin dipadankan pada California baharu

    Ferrari-California-T-Deserto-Rosso-screenshot-01-2

    Ferrari akan kembali bergandingan bersama rakan kerjasama dalam perisian, kejuruteraan dan rekaan Altair Product Design bagi membangunkan platform generasi akan datang pengeluar kenderaan Itali itu. Menurut laporan Automotive News, platform baharu ini adalah bagi beberapa model terkini Ferrari.

    Menurut Altair, kerjasama dengan Ferrari ini telah terjalin lebih sedekad lalu, dan ia bertanggungjawab dalam kerja-kerja kejuruteraan dan rekaan bagi platform terbaharu jenama terkenal Itali ini.

    Platform generasi akan datang ini dikatakan 15% lebih ringan dan mampu meningkatkan NVH jentera prestasi tinggi Ferrari, serta menambahkan kualiti prestasinya lebih dari 20%. Selain itu, ia juga dapat membantu Ferrari mengurangkan tempoh pembangunan dan memberikan peluang kepada model-model dalam barisannya untuk berkongsi platform.

    Ketua Pegawai Teknologi Altair Product, Royston Jones, berkata, platform ini dilihat sebagai “penempatan struktur yang lebih optimum” dan “mengoptimumkan bentangan material” yang hasilnya mampu “mempertingkatkan karakteristik prestasi dan beratnya”. Dijangkakan model Ferrari pertama yang bakal menggunakan platform ini ialah California, yang dikatakan akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Calya dipamerkan di bilik pameran di Indonesia sebelum dilancarkan – 1.2 liter Dual VVT-i, RM46k

    Toyota-Calya-Indonesia-51_BM

    MPV kompak tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform segmen-A Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya dan juga sedan Perodua Bezza, iaitu Toyota Calya, kini telahpun mula dipamerkan dibeberapa bilik pameran pengedar di Indonesia sebelum ia dilancarkan secara rasmi untuk pasaran berkenaan pada Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) 2016 yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

    Laman web Indonesia, Autonetmagz.com telah bergegas ke salah sebuah bilik pameran tersebut untuk mendapatkan informasi dan gambar MPV berkenaan.

    Bersaiz lebih kecil dari Toyota Avanza, Cayla masih mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter. Ia bakal bersaing dengan Datsun GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia) dalam segmen LCGC tersebut.

    Seperti juga Avanza yang mempunyai kembarnya dalam pasaran dikenali sebagai Daihatsu Xenia, MPV kompak ini juga akan dilancarkan dibawah jenama Daihatsu dengan nama Sigra untuk pasaran Indonesia.

    Model ini juga merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014. Beberapa perincian pada rekaan dilihat telah diberikan sentuhan semula antara kereta konsep dan versi produksi ini, seperti bentuk pada tingkap sisi dan pada beberapa permukaan lain – menjadikan rupa keseluruhannya tidak begitu agresif.

    Walau bagaimanapun, muka kedua-dua MPV tersebut agak seiras serta kelihatan seperti Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia juga menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

    Dua varian ditunjukkan dalam gambar iaitu varian asas E (hitam) dan varian tertinggi G (perak), dimana varian G dilengkapi dengan kemasan krom, lampu kabus dan juga lampu isyarat membelok di cermin sisi. Calya dipadankan dengan roda berdimeter 14-inci bersama tayar Bridgestone Ecopia.

    Papan pemuka Calya hanya menampilkan rekaan dan ciri asas. Tuil penukar gear juga diletakkan papan pemuka, bersebelahan dengan panel suis kawalan penghawa dingin. Seperti juga Axia dan Bezza, kedudukan roda stereng Calya ini tidak boleh dilaras. Kesemua varian Calya dilengkapi dengan tingkap berkuasa di semua pintu, cermin sisi berkuasa, dan juga unit pemain audio utama yang sama, tetapi hanya varian G ditawarkan dengan hubungan Bluetooth.

    Toyota-Calya-Indonesia-46_BM

    Sebuah motor peniup penghawa dingin dipadankan untuk bahagian belakang, dan menurut Autonetmagz, motor berkenaan hanya menyedut udara sejuk dari bahagian kabin hadapan untuk dihembuskan ke bahagian belakang, bukan unit lengkap yang mempunyai unit cooling coil.

    Tempat duduk barisan kedua boleh dibaringkan dan digelangsarkan, manakala untuk masuk ke tempat duduk barisan ketiga (yang turut dilengkapi ruang storan bahagian sisi serta tali pinggang keledar), penumpang boleh menurunkan perehat badan tempat duduk barisan kedua dengan satu sentuhan tuil. Tempat duduk barisan terakhir boleh dilipat dengan hanya satu bahagian. Tayar gantian bersaiz penuh pula ditempatkan dibahagian belakang bawah badan kereta.

    Cayla dikuasakan dengan enjin Dual VVT-i 1.2 liter empat silinder 3NR-FE (Bezza 1.3 liter menggunakan enjin 1NR-VE), berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

    Untuk ciri keselamatan, kesemua Calya dilengkapi dengan dua-beg udara dan cagak IOSFIX secara standard. Hanya varian G dilengkapi dengan sistem brek ABS, dan varian tertinggi berkenaan dikhabarkan akan dijual dengan harga 150 juta rupiah (RM46,272).

     
     
  • Mercedes-AMG A 45 akan datang mampu terjah 400 hp

    Mercedes_A45-2

    Menurut laporan Autocar UK, model akan datang bagi Mercedes-AMG A 45 yang kini dalam fasa pembangunan, dikatakan mampu menghamburkan kuasa sehingga 400 hp. Terjahan lebih kuasa ini dikatakan sangat diperlukan bagi bersaing dengan model termasuk BMW M2 dan Audi RS3.

    A 45 baharu ini dikatakan bakal dipadankan dengan enjin M133 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, bersama satu siri peningkatan termasuk penyuntik bahan api yang disemak semula, pengecas turbo baharu dan proses pembakaran yang ditambahbaik. Secara tidak langsung, ia mampu membenarkan enjin meledakkan kuasa sehingga 400 hp, lebih signifikan berbanding yang ditawarkan oleh BMW dan Audi.

    Berbanding dengan model semasa A 45 (seperti dalam gambar), ia mampu menghamburkan kuasa 381 hp dan tork 475 Nm. Maka dengan model generasi akan datang A 45, ia akan memiliki lebih 19 hp (atau lebih) kuasa. Selain itu, penjana kuasa AMG juga dipertingkatkan termasuk kotak gear automatik klac-berkembar sembilan-kelajuan, menggantikan unit tujuh-kelajuan pada model semasa. Sistem pacuan empat-roda 4Matic dan electric diffirential juga dipertingkatkan.

    Berkenaan dengan prestasinya, menurut sumber dari pengeluar kenderaan Jerman yang memberitahu Autocar UK itu, A 45 akan datang mampu mencecah kelajuan dari 0-100 km/j kurang dari empat saat, mengatasi rekod model semasa iaitu 4.2 saat.

    Selain itu, A 45 baharu ini juga akan ditampilkan dengan binaan lebih banyak aluminium bagi memastikan beratnya tidak melebihi model semasa iaitu 1,555 kg. Struktur badannya juga dijangka ada perubahan, mungkin lebih panjang berbanding model semasa.

    Sementara A 45 akan terus diletakkan dalam model akan datang A-Class, laporan tersebut turut mengesahkan Mercedes juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model peringkat kedua bagi A-Class, iaitu sama seperti C 43, GLC 43, SLK 43 dan E 43. Model berkenaan mungkin memiliki sedikit persamaan dengan Volkswagen Golf GTI, namun kuasanya dari enjin M133 yang dipertingkatkan. Malah model plug-in petrol-electric hybrid baharu juga dikhabarkan bakal diperkenalkan bagi barisan baharu A-Class.

    GALERI: Model semasa Mercedes-AMG A 45 di Malaysia

     
     
  • Ford Kuga ST-Line tampil dengan perubahan kosmetik dan mekanikal dipertingkatkan, kuasa enjin kekal sama

    New Kuga ST-Line

    Selepas memperkenalkan Fiesta dan Focus St-Line, kemudian Mondeo ST-Line, kini Ford memperkenalkan pula Kuga ST-Line. Dengan suntikan kosmetik yang lebih bergaya, ia ditampilkan dengan kekemasan yang lebih gelap dan berkilat pada gril hadapan dan skid plate belakang, dipadankan dengan beltline hitam serta roda 18- atau 19-inci yang turut dibaluti kekemasan sama.

    Malah warna badan juga sama dengan skid plate hadapan, pemegang pintu, perumah cermin sisi dan skirt sisi, serta terdapat logo “ST-Line” yang menandakan ia bukannya Kuga biasa.

    Walau pun tiada perubahan daripada sudut kuasanya, namun SUV bersaiz sederhana ini meningkatkan lagi mekanikalnya termasuk palang anti-olengan yang lebih tebal, suspensi yang lebih keras dan pelarasan suspensi yang lebih sporty dengan pengurangan sebanyak 10 mm berbanding versi standard.

    New Kuga ST-Line

    Malah kadar pegas dan peredamnya juga telah dilaraskan bagi menawarkan keseimbangan yang lebih sempurna di antara prestasi dan keselesaan. Sementara itu, stereng berkuasa elektronik juga menerima penentukuran baharu bagi pengendalian yang lebih mantap.

    Pilihan enjinnya masih kekal sama dengan versi standard iaitu unit diesel 1.5 liter dengan 120 hp, dan 2.0 liter TDCI (150 hp dan 180 hp). Manakala bagi enjin petrol pula, didatangkan dengan unit 1.5 liter EcoBoost bersama kuasa 182 hp yang boleh dikurangkan talaannya kepada 120 hp dan 150 hp. Bergantung pada pemilihan enjin, bentangan pacuan semua-roda juga boleh didapati bagi cengkaman yang lebih jitu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025