Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi A4 B9 serba baharu di Malaysia, semakin hampir

    All-new B9 Audi A4 Malaysia teaser 2

    Mac lalu, Audi Malaysia memaparkan maklumat ringkas berkaitan model kereta yang dinanti-nantikan, Audi A4 B9 yang ketika itu dijangka akan diperkenalkan seberapa segera, namun sehingga kini masih belum berlaku.

    Hari ini, sekali lagi Audi Malaysia melalui laman webnya memberi petunjuk yang lebih meyakinkan bahawa model Audi A4 serba baharu bakal tiba di Malaysia dalam masa terdekat ini. Di dalam iklan ringkas berkenaan, ia membuka pendaftaran kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi yang terawal mencuba kereta berkenaan sebaik sahaja ia memasuki pasaran tempatan kelak.

    “Progress Is Intense”, begitu slogan yang mengiringi kemunculan Audi A4 B9 serba baharu ini di laman berkenaan. Ia dibangun menggunakan platform modular MLB yang diperkemas, ia merupakan sebuah jentera dengan pembaharuan dari segenap sudut kejuruteraannya, walaupun tampil dengan reka bentuk yang sinonim seperti sebelumnya.

    Tiga pilihan enjin petrol yang dijangka akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah 1.4L TFSI 150 hp/250 Nm, 2.0L TFSI 190 hp/320 Nm dan 2.0L TFSI 252 hp/370 Nm.

    Kepada mereka yang berminat untuk mendaftar bagi sesi pandu uji berkenaan, anda boleh berbuat demikian melalui pautan ini.

    GALERY: B9 Audi A4 di Venice, Itali

     
     
  • Honda Malaysia umum promosi bulan Merdeka – rebat tunai sehingga RM6k, kadar faedah serendah 2.24%

    honda-merdeka-fb-image

    Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-59 tahun ini, Honda Malaysia menawarkan promosi istimewa bagi semua model keluarannya (kecuali Civic terbaharu ), sah sehingga 31 Ogos. Promosi berkenaan termasuk kadar faedah serendah 2.24% atau rebat tunai sehingga RM6,000. Tidak hanya itu, pelanggan juga berpeluang mendapatkan My Malaysia Bonus bernilai sehingga RM4,000.

    Bermula dengan Honda Jazz, bagi semua varian 1.5L – S, E dan V boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.24% atau dengan rebat tunai RM4,000. Sebagai tambahan, My Malaysia Bonus sejumlah RM2,000 turut ditawarkan, serta Eco Tint Ray Barrier 4 bernilai RM1,500 sebagai pilihan.

    honda-merdeka-3

    Bagi Honda City, kadar faedah yang ditawarkan ialah 2.41% atau rebat tunai sebanyak RM3,000. Promosi ini sah untuk semua varian yang dijual, serta My Malaysia Bonus sehingga RM2,000 turut disediakan.

    Bonus istimewa bagi Honda HR-V pula ditawarkan sehingga RM3,000, dengan kadar faedah serendah 2.78% atau pilihan rebat tunai RM1,000. Ia turut ditawarkan bagi semua varian; HR-V 1.8 – S, E dan V.

    Ini diikuti dengan SUV lebih besar, Honda CR-V. Semua varian – 2.0L 2WD, 2.0L 4WD dan 2.4L 4WD kini boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.62% atau rebat tunai sehingga RM3,000, juga jumlah yang sama bagi My Malaysia Bonus yang untuk model ini.

    honda-merdeka-2

    Bagi Honda Accord pula, kadar faedah yang dikenakan ialah 2.36% dan sah bagi varian-varian 2.0L i-VTEC, 2.0L VTi-L and 2.4L VTi-L versi sebelum facelift. Rebat tunai yang ditawarkan pula ialah RM6,000, sementara bonus khas RM4,000.

    Yang terakhir; Odyssey pula ditawarkan dengan kadar faedah 2.75% atau rebat tunai RM2,000. Pembeli juga akan menikmati My Malaysia Bonus berjumlah RM1,000, beserta hadiah eksklusif Thermocafe Tumbler oleh Thermos.

     
     
  • UMW Toyota akan memperkenalkan empat model baharu untuk tahun 2016 – Sienta bulan ini; Innova generasi baharu; Vios dan Camry versi kemaskini

    Toyota_Sienta_Ext-2

    UMW Toyota akan melancarkan empat lagi model baharu tahun ini iaitu Sienta (Ogos), Innova serba baharu (akhir 2016) serta Vios dan Camry versi yang dikemaskini. Perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Presiden UMW Toyota selepas pelancaran Toyota Alphard dan Vellfire 2016 pagi tadi.

    MPV Toyota Sienta sebelum ini telah pun membuat beberapa kemunculan dikhalayak ramai iaitu semasa My Auto Fest 2016 Mei lalu, dan di bilik pameran Toyota Mitsui Outlet Park. Harga untuk Sienta juga telah diumumkan sebelum ini, jadi tidak mengejutkan pengumuman pelancarannya akan dibuat pada bulan ini.

    Sienta bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu varian asas yang bakal dijual pada harga bermula RM92,900, manakala varian tertinggi 1.5V akan dijual pada harga RM99,900. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Walau bagaimanapun, model yang dipamerkan sebelum ini hanyalah varian 1.5V.

    Untuk model Vios yang dikemaskini, ia berkemungkinan besar model Vios yang dipertingkatkan seperti model yang dijual di pasaran Thailand sekarang. Kami sudahpun melihat model berkenaan ketika ianya dipamerkan pada Bangkok Motor Show 2016 Mac lalu, yang ditawarkan dengan pelbagai ciri baharu.

    Vios 2016 pasaran Thailand dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), hadir bersama sistem ABS, EBD dan BA. Kotak gear empat kelajuan automatik juga digantikan dengan kotak gear CVT dengan tujuh-kelajuan maya. Enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i yang menjana Vios tersebut juga dikatakan mampu beroperasi menggunakan bahan api-bio E85.

    Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 108 hp/140 Nm, kurang 1 Nm tork berbanding enjin 1NZ-FE pada Vios sedia ada. Walau bagaimanapun, dijangka model baharu pasaran Malaysia bakal menggunakan enjin 2NR-FE kerana ketiadaan bekalan bahan api-bio E85 di sini.

    Untuk Camry, agak sukar untuk diagak pembaharuan yang dilakukan. Tetapi jika kami membuat jangkaan, ia mungkin model seperti Camry pre-facelift 2.0G X (gambar diatas) sebelum ini. Varian 2.0G X berkenaan akan diletakkan antara model 2.0G sedia ada dengan model tertinggi 2.5 Hybrid, dan dilengkapi pelbagai lagi kit.

    MPV Innova generasi baharu sebelum ini telahpun dilancarkan di Indonesia. Ia menampilkan rekaan serba baharu pada bahagian luaran dan dalaman, dan dilengkapi pelbagai ciri-ciri premium. Sistem keselamatan juga dipertingkatkan, termasuk dilengkapi tujuh-beg udara dan VSC untuk varian tertinggi.

    Innova serba baharu untuk pasaran Indonesia dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat-silinder (139 PS/183 Nm) atau enjin turbo diesel 2GD-FTV 2.4 liter baharu (149 PS/359 Nm) seperti yang terdapat pada Toyota Hilux terkini. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dengan mod manual atau transmisi manual lima-kelajuan. Kesemua varian boleh dipilih dengan kesemua pilihan enjin dan transmisi tersebut, kecuali Type Q yang hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter beserta transmisi automatik.

     
     
  • Shell meraikan ulang tahun ke-125 dengan kesenian

    Image 1 - Datuk Azman Ismail, Managing Director, Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. and Shell Timur Sdn. Bhd. with the artists for the Celebrating 125 Years art project

    Shell Malaysia memilih pendekatan berbeza bagi meraikan ulang tahun ke-125; dengan menganjurkan kempen Celebrating 125 Years, sebuah inisiatif yang melibatkan lapan artis seni yang memberikan sentuhan unik masing-masing dengan menghasilkan lukisan mural di stesen terpilih Shell.

    Lapan artis yang terlibat ialah Datuk Lat, Cheeming Boey, Sabek, Yap Hanzhen, Amey Sheikh Ali, Caryn Koh, Thomas Powell, dan Dmojo. Mereka akan menghasilkan 15 lukisan mural, dengan sekurang-kurangnya satu mural bagi setiap negeri di Malaysia.

    Lukisan berkenaan akan cuba memaparkan interpretasi setiap seorang daripada mereka terhadap kemajuan dan semangat perintis warga Malaysia. Lukisan berkenaan ada yang bakal mempamerkan mercu tanda di Malaysia, dan selebihnya suasana masyarakat.

    “Shell telah bersama Malaysia selama 125 tahun, dan bersamanya kami telah mengecapi pelbagai kejayaan dalam industri ini. Sebagai jenama minyak utama, kami ingin menyumbang kepada pembangunan semangat warga Malaysia, yang selama ini menjadi tunjang utama kejayaan negara,” kata Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur, Datuk Haji Azman Ismail.

    Image 2 - Datuk Lat (left) and Datuk Azman Ismail, Managing Director, Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. and Shell Timur Sdn. Bhd.

    Setiap mural yang akan dihasilkan menjadi cerminan kepada nilai-nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat, yang turut diterapkan oleh Shell; kepelbagaian, penyatuan, hormat-menghormati dan saling merangkumi.

    Selain itu, Shell turut menjalankan aktiviti lain bagi meraikan ulang tahun ini. Bulan lalu, Shell memulakan acara pemanduan kebajikan yang berlangsung selama tiga hari, #Pump123 sempena Hari Raya Aidilfitri. 1 sen daripada setiap liter minyak yang dijual di seluruh negara akan dermakan kepada enam badan kebajikan kanak-kanak, dan jumlahnya akan diumumkan dalam masa terdekat. Untuk maklumat lanjut berkaitan sambutan ulangtahun ke-125 Shell, ia boleh dicapai di sini.

     
     
  • GALERI: Toyota Alphard 3.5 dan Vellfire 2.5 2016

    Toyota_Alphard_Velfire-9

    UMW Toyota telah pun melancarkan MPV flagship mereka – Alphard dan Vellfire 2016 – yang hadir dalam dua varian untuk Alphard (3.5 dan 3.5 Executive Lounge) dan varian tunggal 2.5 untuk Vellfire. ‘Adik-beradik kembar’ ini walaupun berkongsi kerangka dan sebahagian rekaan luaran serta dalaman yang sama, mereka tetap diberikan gaya karekter tersendiri.

    MPV berwarna putih diatas merupakan model Alphard 3.5 manakala sebuah lagi yang berwarna ungu gelap atau nama spesifiknya Burning Black ialah Vellfire 2.5. Untuk luaran, Alphard menampilkan rekaan berkonsep “Berani dan Hebat” dengan gril besar kemasan krom seperti perisai berbentuk X dan menempatkan logo ‘heart of the snake’ pada bahagian tengah.

    Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED berbentuk-J larasan automatik (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED) serta sepasang lampu kabus dua diod LED yang ditempatkan pada perumah berbentuk segi empat, di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan .

    Vellfire pula direka dengan lebih sporty dengan menerapkan konsep “Garang dan Berani”.Muka hadapan Vellfire menampilkan gril hadapan besar dengan motif tiga bar krom tebal diapit dan diselang-selikan dengan sepasang lampu hadapan dua dek LED larasan automatik (dengan lampu membelok dan lampu nyalaan siang LED).

    Tidak seperti Alphard, gril bahagian atas dan bawah Vellfire diasingkan antara satu sama lain. Sepasang lampu kabus dipadankan pada perumah yang terletak dikedua-dua hujung gril bahagian bawah berkenaan.



    Toyota Alphard 3.5 (kanan), Vellfire 2.5 (kiri)

    Profil sisi kedua-dua kembar ini adalah hampir seiras, dilengkapi dengan roda aloi 18-inci dan cermin pandang belakang sisi yang sama. Kedua-duanya juga menampilkan tiang-B dihitamkan, yang menurut Toyota ia adalah rekaan “kabin yang mengalir, menyerlahkan kekuatannya.”

    Pada bahagian belakang, Alphard dan Vellfire berkongsi bampar dan unit spoiler dengan lampu LED bersepadu sama. Perbezaan pada kedua-duanya adalah pada lampu belakang di mana lampu belakang Alphard menampilkan lensa berwarna sementara Vellfire dilengkapi lensa lampu belakang tanpa warna dan bar kemasan krom yang direka seperti tertusuk ke kedua-dua belah lampu belakang berkenaan.

    Bahagian dalaman, kedua-dua model ini berkongsi rekaan berkonsep “Avant Gorgeous” yang sama dan hanya dibezakan dengan tema warna. Alphard menerima tema warna beige dengan kemasan kayu berwarna perang, manakala Vellfire pula menerima tema warna hitam dengan kemasan kelabu pada bumbung dan trim kayu berwarna hitam.

    Alphard dan Vellfire dilengkapi tujuh tempat duduk dengan bentangan konfigurasi 2-2-3. Tempat duduk barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang. Kedua-dua belah pintu gelangsar belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang.



    Toyota Alphard 3.5 (kanan), Vellfire 2.5 (kiri)

    Kedua-dua MPV ini juga dilengkapi paparan pelbagai informasi TFT Optitron 4.2-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen dan navigasi dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, lampu suasana 16-warna pada kabin belakang, skrin hiburan 10.2-inci (dengan kawalan jauh dan fon kepala tanpa wayar) di belakang, penghawa dingin tiga-zon berserta liang dan kawalan di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

    Alphard serba baharu ini dijana oleh enjin 2GR-FE 3.5 liter V6 DOHC Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 340 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter memacu roda hadapan. Manakala Vellfire pula dikuasakan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder sebaris DOHC Dual VVT-i menjana 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,100 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, memacu roda hadapan.

    Untuk model tertinggi Alphard 3.5 Executive Lounge, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit semi-aniline yang lebih premium yang boleh dipilih sama ada dengan warna hitam atau beige. Tempat duduk barisan kedua diberikan tempat duduk VIP berkuasa dengan fungsi Ottoman dan penghawa dingin. Varian ini juga dilengkapi dengan skrin infotaimen DVD-AVN lebih besar bersaiz 8-inci dihubungkan kepada 17-unit pembesar suara JBL, paparan pelbagai-visi elektro (EMV) dan roda stereng kayu VIP dengan butang fungsi kawalan kelajuan, audio, telefon dan pengecaman suara (model 3.5 hanya mempunyai fungsi kawalan kelajuan dan audio sahaja).

    GALERI: Toyota Alphard 3.5

    GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5

     
     
  • Toyota akan panggil semula 14,906 unit model 86 di Australia, versi pemanduan sebelah kanan terlibat

    Toyota 86 001

    Toyota mengumumkan akan memanggil balik 14,906 unit Toyota 86 yang terdapat di pasaran Australia. Ia melibatkan model-model yang dipasang antara April 2012 hingga Mac 2015 atas sebab kemungkinan berlakunya kehilangan kuasa steering assist.

    Panggilan semula ini melibatkan kenderaan pemanduan sebelah kanan (right-hand drive) yang dilengkapi dengan beg udara lutut dibahagian pemandu. Ini menjadikan model-model Toyota 86 yang dijual di Malaysia turut akan terlibat. Sebarang pengumuman rasmi, jika ada, akan diumumkan kelak.

    Disebabkan oleh susun letak pendawaian (wire harness) yang tidak betul, ada kemungkinan bahagian electric power stereng harness akan mengganggu bahagian bawah pelindung panel instrumen yang turut menempatkan beg udara lutut pada kenderaan spesifikasi Australia yang terlibat.

    Oleh itu, ada kemungkinan berlakunya kegagalan sentuhan elektrikal yang boleh mengakibatkan kehilangan kuasa bagi steering assist. Lampu amaran akan menyala pada papan pemuka beserta bunyi amaran singkat dan dalam keadaan itu, fungsi stereng manual akan dikekalkan.

    VIN Toyota 86 Recall - BM

    Bagi mengatasi masalah ini, unit kawalan stereng kuasa dan wire harness berkenaan akan diganti pada semua kenderaan yang terjejas. Kerja-kerja baik pulih itu hanya akan memakan masa sekitar satu jam, dan tiada sebarang caj akan dikenakan kepada pemilik.

    Toyota Australia menjangkakan alat ganti akan tiba penghujung bulan hadapan. Surat juga akan dikirimkan kepada semua pemilik yang mana kereta mereka mungkin terlibat dengan panggilan semula ini untuk membuat temu janji penukaran bahagian yang terlibat.

    Setakat ini, terdapat 62 laporan di Australia berkenaan masalah berkenaan, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan disebabkan masalah itu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE 500e 4Matic plug-in hybrid SUV dilancarkan di Thailand – harga bermula RM520k

    Mercedes-Benz-GLE-Class-15-e1470214847492

    Mercedes-Benz telah pun melancarkan GLE 500e 4Matic di Thailand. Model baharu ini ditambahkan dengan pilihan SUV bagi plug-in hybrid di negara berkenaan, termasuk BMW X5 xDrive40e, Porsche Cayenne S-E Hybrid dan Volvo XC90 T8 Twin Engine.

    The GLE 500e 4Matic – diperkenalkan pada Mac 2015 bersama model yang diberikan suntikan lebih segar dan namanya juga telah ditukar – dijanakan oleh enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 dari GLE 400, dengan kuasa 333 PS/480 Nm bagi varian bukan-hibrid. Ia juga disertakan dengan motor elektrik 116 PS dan bateri lithium-ion, yang memberikan gabungan kuasa sehingga 442 PS dan 650 Nm.

    Penggunaan bahan apinya pula dianggar antara 3.3 liter bagi setiap 100 km, dan emisi bagi CO2 pula hanya 78 g/kg. GLE 550e juga menawarkan pemanduan dengan semua-kuasa elektrik sehingga 30 km, pada kelajuan sehingga 130 km/j. Seperti plug-in Merc yang lain, GLE juga boleh dipacu dengan empat jenis mod iaitu Hybrid bagi pemanduan normal, E untuk elektrik sepenuhnya, E-Save untuk pemanduan EV dan Charge bagi meningkatkan penjanaan bateri.

    Mercedes-Benz-GLE-Class-22-e1470214966603

    Model baharu ini ditawarkan pada harga 4.49 juta baht (RM521,307) bagi Exclusive dan 4.99 juta baht (RM580,012) untuk AMG Dynamic (seperti dalam gambar). Seperti PHEV, harganya sedikit rendah kerana mendapat potongan cukai eksais dari kerajaan Thailand bagi kereta penumpang.

    Dengan harga ini, ternyata ia juga lebih rendah berbanding X5 dan XC90 iaitu dari 5.39 juta baht (RM626,558), semantara Porsche pula dari 7.99 juta baht (RM929,383).

    BMW X5 xDrive40e dan Volvo XC90 T8 Twin Engine turut dipasarkan di Malaysia sebagai model pemasangan tempatan. Dilancarkan pada Jun, dengan harga RM403,888, sementara PHEV X5 bagi M Sport ditawarkan pada harga RM388,800. Ia adalah lebih murah berbanding yang dijual di Thailand.

     
     
  • Ford beri rebat tunai sehingga RM15k sempena Hari Merdeka – empat model, sah sebelum 30 September

    Kuga

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar jenama Ford di Malaysia menawarkan rebat tunai menarik bagi beberapa model terpilih sempena sambutan Hari Merdeka 2016. Bermula hari ini hingga 30 September nanti, empat model terlibat di dalam promosi terbaharu ini, iaitu Kuga, EcoSport, Focus dan Fiesta.

    Bagi Ford Kuga, rebat sehingga RM15,000 disediakan, sementara rebat RM13,500 bagi EcoSport dan masing-masing rebat tunai RM8,000 bagi Ford Focus dan Ford Fiesta. Tidak ketinggalan ialah sebuah peraduan cabutan bertuah yang bermula dari sekarang hingga 31 Ogos nanti.

    Pelanggan yang menempah dan mendaftar mana-mana kenderaan Ford yang terlibat dalam tempoh promosi ini berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti 200,000 AirAsia Big Points, unit navigasi GPS dan baucar membeli-belah bernilai RM500 setiap satu.

    “Ketika kita sama-sama menyambut hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-59, kami berbesar hati untuk menawarkan promosi serta tawaran menarik ini kepada semua pelanggan setia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Maklumat lanjut mengenai promosi ini ada di sini, atau kunjungi mana-mana pengedar sah Ford di seluruh negara

     
     
  • Toyota Alphard dan Vellfire 2016 dilancarkan di M’sia – RM420k-RM520k untuk Alphard, RM355k bagi Vellfire


    Toyota Alphard (kiri) dan Toyota Vellfire (kanan)

    UMW Toyota hari ini telah melancarkan MPV Toyota Alphard dan Vellfire generasi terbaharu. Tempahan untuk kedua-dua model ini telah pun dibuka awal bulan lalu, dan diprebiu buat pertama kali di bilik pameran Toyota di Mitsui Outlet Park, di mana Alphard hadir dengan dua varian iaitu 3.5 dan 3.5 Executive Lounge, manakala Vellfire ditawarkan dengan varian tunggal 2.5.

    Toyota Alphard 3.5 dijual dengan harga RM419,900 dan 3.5 Executive Lounge dijual pada harga RM519,900. Untuk Vellfire 2.5 pula, ia dijual pada harga RM355,000. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk GST, tanpa insuran. Berbeza dengan model recond atau yang dibawa oleh pengimport persendirian, semua unit yang dijual oleh UMW Toyota ini hadir dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Toyota Alphard

    Toyota_Alphard_Ext-2

    Untuk luaran, muka MPV ini menampilkan gril besar kemasan krom, berbentuk X dan menempatkan logo ‘heart of the snake’ pada bahagian tengah. Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED berbentuk J larasan automatik (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED) serta sepasang lampu kabus yang ditempatkan di setiap sisi bahagian bawah bampar hadapan.

    Alphard spesifikasi pasaran Malaysia tidak didatangkan dengan kit aero, tetapi ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dan dibaluti tayar bersaiz 235/50R18 (roda aloi 18-inci ini hanya dipadankan pada model dengan kit aero untuk Aphard JDM).

    Bumbung matahari turut dipadankan pada bahagian kabin hadapan, manakala kabin belakang pula dilengkapi dengan moonroof. Sebuah kemasan bar krom tebal diletakkan diatas nombor pendaftaran belakang yang menempatkan logo Toyota di bahagian tengah, serta menghubungkan sepasang lampu belakang ‘two-piece’ yang direka seperti disikat keatas. Sebuah spoiler bumbung dengan lampu brek LED bersepadu juga dipadankan untuk melengkapkan bahagian belakang MPV ini.

    Toyota_Alphard_Ext-24

    Bahagian dalaman pula, Alphard 3.5 menampilkan tema warna beige dan dilengkapi tujuh tempat duduk dengan bentangan konfigurasi 2-2-3. Tempat duduk barisan kedua menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Perehat kaki Ottoman juga dipadankan pada tempat duduk hadapan sebelah penumpang. Kedua-dua belah pintu gelangsar belakang diberikan bantuan kuasa elektrik, begitu juga dengan pintu tailgate belakang. Empat warna badan ditawarkan untuk Alphard iaitu Putih Mutiara Mewah, Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

    Pada papan pemuka, Alphard 3.5 dilengkapi dengan paparan pelbagai informasi TFT Optitron 4.2-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen dan navigasi dengan skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci dihubungkan kepada lapan pembesar suara, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai-fungsi, kemasan kayu berwarna coklat, skrin hiburan 10.2-inci di belakang, liang dan kawalan penghawa dingin di belakang lengkap dengan teknologi nanoe Panasonic.

    Untuk membezakan varian 3.5 biasa dengan varian Executive Lounge, model tertinggi ini dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit semi-aniline yang lebih premium yang boleh dipilih sama ada dengan warna hitam atau beige. Tempat duduk barisan kedua diberikan tempat duduk VIP berkuasa dengan fungsi Ottoman dan penghawa dingin. Varian ini juga dilengkapi dengan skrin infotaimen DVD-AVN lebih besar bersaiz 8-inci dihubungkan kepada 17-unit pembesar suara JBL, paparan pelbagai-visi elektro (EMV) dan roda stereng kayu VIP dengan butang fungsi kawalan kelajuan, audio, telefon dan pengecaman suara (model 3.5 hanya mempunyai fungsi kawalan kelajuan dan audio sahaja).

    Alphard serba baharu ini dijana oleh enjin 2GR-FE 3.5 liter V6 DOHC Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 271 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 340 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter memacu roda hadapan.

    Toyota Vellfire

    Seperti yang dinyatakan tadi, hanya satu varian ditawarkan untuk model ini iaitu Vellfire 2.5. Seperti generasi sebelum ini, Vellfire menampilkan reka bentuk yang lebih sporty berbanding Alphard. Muka hadapan MPV ini menampilkan gril hadapan besar dengan motif tiga bar krom tebal diapit dan diselang-selikan dengan sepasang lampu hadapan LED larasan automatik (dengan lampu membelok dan lampu nyalaan siang LED). Ia juga dilengkapi dengan sepasang lampu kabus pada bampar hadapan. Empat warna badan ditawarkan iaitu Burning Black (deep purple), Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

    Sama seperti Alphard, Vellfire tanpa kit aero pasaran Malaysia turut dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 18-inci, bumbung matahari, moonroof belakang serta spoiler belakang dengan lampu LED bersepadu. Vellfire menampilkan rekaan sedikit berbeza dari Alphard pada bahagian belakang, menampilkan lensa lampu belakang tanpa warna dan bar kemasan krom yang direka seperti tertusuk ke kedua-dua belah lampu belakang berkenaan.

    Kelengkapan bahagian dalaman Vellfire 2.5 adalah sama dengan kelengkapan pada Alphard 3.5, kecuali pada kemasan keseluruhan dimana Vellfire dipadankan dengan tema warna hitam dengan kemasan kayu hitam serta balutan bumbung berwarna kelabu.

    Vellfire dikuasakan dengan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder sebaris DOHC Dual VVT-i menjana 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 235 Nm pada takat 4,100 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, memacu roda hadapan.

    Untuk keselamatan, semua varian Alphard dan Vellfire didatangkan standard dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi hadapan, tirai dan lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, ABS, bantuan mula mendaki dan pengesan parkir (hadapan dan belakang).

    Selain dari perlindungan waranti, apa lagi sebab lain anda perlu membeli Alphard dan Vellfire dari UMW Toyota berbanding pengimport persendirian? Menurut UMW Toyota, kedua-dua MPV ini tidak sama seperti model JDM – di mana mereka telah membuat talaan dan penyesuaian semula pada enjin, kotak komputer enjin, suspensi dan juga pilihan tayar khas untuk pasaran Malaysia. Ia juga dilengkapi dengan cermin sisi lebih besar serta pemain audio dengan carian stesen lebih luas, berbahasa Inggeris dan juga peta tempatan untuk sistem navigasi.

    Klik untuk besarkan imej

    GALERI: Toyota Alphard 3.5

    GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5

     
     
  • VW bakal gunakan ‘particulate filter’ bagi enjin petrol

    exhaust-smoke-a1-630x386

    Penapis zarah, atau lebih mudah dikenali sebagai particulate filter, biasanya digunakan pada kenderaan dengan enjin diesel. Namun, bermula tahun 2017 nanti, semua enjin suntikan TSI dan TFSI petrol yang dikeluarkan oleh VW Group akan dilengkapi gasoline particulate filter (GPF) secara berperingkat. Hasil daripada penggunaannya, pembebasan zarah halus dapat dikurangkan sehingga 90%.

    Menjelang 2022, jumlah kenderaan VW Group yang dilengkapi teknologi ini setiap tahun akan mencapai tujuh juta unit. Proses berkenaan akan dimulakan pada Jun 2017 dengan enjin 1.4 liter TSI baharu pada Volkswagen Tiguan dan enjin 2.0 TFSI pada Audi A5 baharu. Pelaksanaannya akan diikuti ke atas model-model lain dan generasi enjin selebihnya.

    “Berikutan peningkatan dalam kecekapan dan pengurangan pembebasan CO2, kami kini melanjutkan pengurangan tahap pembebasan hasil pembakaran dari enjin petrol dengan menjadikan penggunaan particulate filter sebagai ciri standard,” ujar Ketua Bahagian Kajian dan Pembangunan VW, Dr Ulrich Eichhorn.

    VW turut berusaha untuk mengurangkan tahap pencemaran dari enjin kenderaan dieselnya. “Untuk masa hadapan, semua model akan dilengkapi dengan teknologi catalytic converter SCR yang paling cekap,” tambah beliau.

    Menurut VM, melalui sukatan perbandingan, badan penguji bebas telah mengesahkan bahawa kedua-dua enjin diesel dan petrol EU6 yang dikeluarkan oleh kumpulan itu adalah yang paling bersih dalam pasaran. Sebagai contoh, dalam Indeks Kualiti Udara EQUA yang berpusat di London, daripada 440 model paling popular yang dinilai, pengeluar Jerman ini berada di kedudukan antara yang terbaik.

    Syarikat berkenaan sebelum ini pernah terlibat di dalam skandal “Dieselgate” itu mencatat kedudukan terbaik dalam tiga kategori; enjin petrol EU6, enjin petrol EU5 dan kenderaan hibrid EU6. Enam kenderaan diesel terbaik turut datangnya dari Volkswagen, Audi dan Skoda; daripada enjin EU5 diesel yang diuji, lima model berada dalam kelompok 10 teratas, termasuk dua dari Audi dan Skoda oleh VW Group.

     
     
  • Tiada cukai tersembunyi bagi petrol, diesel – Hamzah

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan penetapan harga petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di peringkat runcit yang diumumkan oleh kerajaan pada setiap akhir bulan adalah berdasarkan tiga faktor utama.

    Katanya, faktor tersebut ialah berdasarkan kepada ekonomi, kos sara hidup rakyat dan harga minyak mentah sedunia, laporan Kosmo.

    “Faktor tersebut diambil kira oleh kerajaan dalam menentukan harga minyak agar rakyat tidak terbeban dengannya. Malah kerajaan juga menilai pelbagai aspek terutamanya keadaan semasa rakyat sebelum harga bahan api tersebut ditentukan,” ujarnya kepada pihak media.

    Tegasnya lagi, harga yang diumumkan adalah berpatutan dan tiada cukai tersembunyi bagi petrol dan diesel seperti mana yang didakwa oleh Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR.

     
     
  • VIDEO: 8 perkara menarik tentang Honda Civic 2016

    Honda Civic 2016 yang dilancarkan awal Jun lalu memiliki banyak ciri termaju yang menarik untuk ditawarkan. Ia tidak sekadar pengenalan semula model kenderaan segmen C yang sebelum ini agak ‘sejuk’, model berkenaan sebenarnya mampu menarik minat dan perhatian ramai, terutama dengan penggunaan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Di dalam video ini, kami menggariskan lapan perkara menarik tentang Honda Civic 2016. Antaranya, kuasa yang dihasilan oleh varian 1.5 Turbo Premium (seperti yang ditampilkan dalam video ini) ialah 30 hp lebih berbanding varian dengan enjin 1.8L. Enjin memang lebih kecil kapasitinya, tapi kuasa yang dihasilkan adalah setara dengan kuasa dari enjin 2.4 liter.

    Enjin berkenaan menghasilkan 171 hp dan 220Nm tork. Dalam masa sama, ia juga memberikan bacaan penggunaan minyak yang sangat jimat, iaitu pada kadar 17.2 km per liter. Selain itu, ruang barangan dibahagian belakang juga cukup luas; 519 liter.

    Tonton video ringkas yang disediakan untuk maklumat lanjut tentang Honda Civic 2016, dan jangan lupa untuk kongsikan pautan ini.

    Galeri Honda Civic 1.5 Turbo Premium 2016

     
     
  • China miliki Transit Elevated Bus, kenderaan boleh melalui di bawahnya; sedang diuji di Qinhuangdao

    Transit-Elevated-Bus-China-4

    China, khususnya di Beijing, memang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, sama ada di kawasan bandar, mahu pun di lebuhraya. Kini, sebagai alternatif, China sedang menguji Transit Elevated Bus (TEB) di Qinhuangdao, bas bersaiz besar (sangat besar!) di mana kenderaan lain boleh melalui di bawahnya.

    TEB mula dicanangkan pada tahun 2010 sebagai penyelesaian kepada masalah trafik yang sungguh ketara di negara berkenaan. Malah model berskala mininya pernah dipamerkan di 19th China Beijing International High-Tech Expo pada Mei lalu.

    Namun bagi unit ujian yang sebenarnya (TEB-1), ia berukuran 22 meter panjang, 7.8 meter lebar dan setinggi 4.8 meter. Bagi tujuan ujian, bas ini hanya terhad bagi trek sepanjang 300 meter, tidak melalui kawasan trafik yang mencabar dan membuat pusingan.

    Ujian ini turut melibatkan jurutera dan beberapa pegawai terlatih untuk menentukan apa jua kemungkinan yang boleh berlaku dalam penggunaan TEB ini, termasuk seandainya berlaku perlanggaran jika ada kenderaan yang cuba menukar lorong atau pun sekiranya ada lori treler tiba-tiba melaluinya.

    Bas ini juga mempunyai 18 buah kerusi pada bahagian dinding, dua di tengah-tengah dan juga banyak ruang untuk berdiri. Malah di bahagian luar bas ini juga dipasang lampu isyarat pada empat sudutnya.

    Dijanakan oleh kuasa solar dan elektrik, TEB ini mampu dipacu dalam kelajuan sehingga 60 km/j dan mampu membawa 1,400 penumpang dalam satu masa. Selain sebagai penyelesaian terhadap masalah trafik, TEB ini juga merupakan sistem pengangkutan yang memberikan penjimatan kos iaitu kurang lima kali berbanding subway, menurut laporan Xinhua News Agency.

     
     
  • LRT, Monorail percuma Ahad ini sempena KL Marathon

    SCKL Road Closure Map

    Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan LRT dan Monorail percuma untuk empat jam bermula dari 2 pagi Ahad. Ini bagi kemudahan peserta, pegawai serta mereka yang ingin menyokong acara Standard Chartered KL Marathon 2016.

    Bernama melaporkan, Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata, bagaimana pun ia hanya melibatkan stesen-stesen terpilih sahaja, untuk mempercepatkan waktu perjalanan mereka yang terlibat.

    “Bagaimana pun, 11 stesen bagi laluan Monorail akan dibuka semuanya untuk tujuan itu. Peserta dan pegawai bertugas dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang disediakan sekitar stesen, dan menggunakan perkhidmatan yang disedikan untuk ke Dataran Merdeka, yang akan menjadi titik mula bagi acara berkenaan,” ujar beliau.

    Bagi LRT Laluan Ampang, stesen-stesen yang akan dibuka ialah Ampang, Pandan Indah dan Chan Sow Lin. Bagi LRT Laluan Sri Petaling pula, stesen yang terlibat ialah Chan Sow Lin, Bandar Tasik Selatan, Awan Besar, IOI Puchong Besar, Putra Heights, Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, Masjid Jamek, Hang Tuah dan Pudu.

    Stesen yang akan dibuka bagi laluan Kelana Jaya ialah Masjid Jamek, Gombak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Jelatek, KL Sentral, Taman Jaya, Kelana Jaya, Glenmarie dan USJ 21. Lee menjelaskan, perkhidmatan percuma itu akan berlangsung hingga 6 pagi.

    Semalam, polis trafik telah mengumumkan penutupan 24 jalan, termasuk dua lebuh raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur, yang akan ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berkenaan. Penutupan jalan akan dilakukan dari jam 2 pagi dan akan dibuka semula pada jam 11 pagi.

     
     
  • BMW 330e Plug-In Hybrid sah masuk pasaran Malaysia – 0-100 km/j dalam 6.3 saat, 2.1 l/100 km, dari RM240k?

    P90208287_highRes_bmw-330e-01-2016-e1470207501717-630x324

    Akhirnya BMW Malaysia sah akan membawa masuk BMW 330e Plug-In Hybrid untuk pasaran tempatan, seperti yang dapat dilihat melalui kempen baharu #ElectricDrivingPleasure. Seperti yang kami laporkan semalam, model 330e ini bakal menyertai SUV BMW X5 xDrive40e bagi barisan kenderaan PHEV yang ditawarkan di sini. Bila? Dijangka paling awal, penghujung Ogos nanti.

    Bagaimana pun, harga masih belum disahkan lagi. Namun, menurut sumber, ia akan dijual antara RM240k hingga RM260k. Ini akan meletakkan 330e berada di antara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800), menggantikan model-model 320d dan 320i M Sport (yang dijual pada harga RM269k dan RM259k) yang tidak lagi dijual sejak awal tahun ini.

    Dengan anggaran harg berkenaan, ada kemungkinan BMW Malaysia akan menawarkan 330e iPerformance dalam dua pakej; Sport Line dan M Sport. Bagi BMW X5 xDrive40e, yang dijual pada harga RM388,800, ditawarkan dalam pakej kemasan M Sport sahaja.

    BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder, motor elektrik dan kotak gear lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan 180 hp kuasa dan 290 Nm tork, dan digandingkan bersama motor elektrik 87 hp kuasa dan 250 Nm tork. Digabungkan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan 420 Nm tork; berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan 252 hp dan 350 Nm.

    BMW 330e iPerformance mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i; 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 22.5 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    Kempen #ElectricDrivingPleasure oleh BMW Malaysia memaparkan gaya hidup warga Malaysia yang berubah ekoran perkembangan inovasi, idea dan penyelesaiannya, seperti yang dapat dilihat dalam video ini:

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025