Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Accord 2.4 VTi-L 2016 diprebiu di Malaysia

    Honda_Accord_Preview-2

    Selepas mengesahkan tempahannya telah pun dibuka sejak 1 Ogos lalu, Honda Malaysia turut mengambil kesempatan mempertontonkan Honda Accord 2.4 VTi-L 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, dalam majlis sambutan Aidilfitrinya bersama pihak media.

    Walau pun masih berahsia mengenai tarikh pelancarannya, namun difahamkan ia bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

    Model facelift ini ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L serta dua pilihan enjin berbeza. Namun difahamkan, tiada perubahan mekanikal dan ia masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model sebelum ini. Bagi enjin 2.4 VTi-L, ia mampu menghamburkan kuasa 173 hp pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Manakala enjin 2.0 VTi pula dengan kuasa 153 hp pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Walau bagaimana pun, terdapat perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini iaitu pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Accord facelift dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu “Solid Wing” Honda, menampilkan bar krom yang tebal.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu hadapan LED, di mana ia direka seperti bersambung dengan gril hadapan. Ia juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu serta bar LED pada lampu kombinasi belakang.

    Bahagian belakang juga diberi suntikan yang lebih segar dengan padanan kemasan bar krom yang yang turut direka seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Walau bagaimana pun tiada perubahan besar dilakukan pada bahagian sisi, kecuali roda aloinya kini menerima rekaan baharu. Model facelift ini juga ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu White Orchid Pearl dan Lunar Silver Metallic.

    Untuk bahagian kabinnya, perubahan yang ditampilkan ialah skrin paparan pelbagai-info bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Malah antara elemen yang dijangkakan termasuklah Engine Remote Start, yang membolehkan enjin dan penghawa dingin dihidupkan dengan kunci (seperti mana yang ada pada Civic 2016) dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Walau bagimana pun, perincian lanjut mengenai Accord facelift 2016 akan boleh diketahui pada hari pelancarannya kelak. Begitu juga dengan harga yang bakal ditawarkan. Namun jika ada sebarang perkembangan, pastinya kami akan berkongsi dengan anda semua.

     
     
  • Lamborghini Huracan Avio dilancarkan di Hong Kong; 250 unit terhad, enjin 5.2L V10, 610hp

    lamborghini-huracan-avio-launch-in-hong-kong-3

    Selepas ditampilkan secara perdana di Geneva awal tahun ini, Lamborghini Huracan Avio kini telah pun dilancarkan oleh Lamboghini Hong Kong. Walau bagaimana pun, ia hanya ditawarkan untuk 250 unit terhad sahaja.

    Jentera prestasi tinggi ini dijanakan oleh enjin 5.2 liter V10 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 610 hp. Kuasa tersebut disalurkan ke kedua-dua gandar menerusi kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan yang mampu memacu Huracan Avio ini dari 0-100 km/j dalam hanya 3.2 saat sebelum dipecut sehingga kelajuan maksimum 325 km/j.

    Selain tiada perubahan daripada segi mekanikal, bahagian kabinnya juga tiada pembaharuan drastik. Melainkan ia dipadankan dengan material kulit berwarna hitam dengan Alcantara, menampilkan motif haksagon.

    Lamboghini juga menawarkan program Ad Personal Customization untuk para pelanggannya memilih kekemasan dan warna yang diingini untuk bahagian kabinnya. Kesemua model juga didatangkan dengan logo “L63” sebagai menandakan “Lamborghini” dan 1963, iaitu tahun di mana Ferruccio Elio Arturo Lamborghini membangunkan syarikat ini.

    Malah sebanyak lima warna baharu turut ditawarkan iaitu Grigio Falco, Verde Turbine (hijau), Grigio Nibbio (kelabu terang), Blu Grifo (biru), and Grigio Vulcano (kelabu gelap).

    Lamborghini Hong Kong telah mula membuka tempahan bagi Huracan Avio ini dengan harga bermula HK$4.48 juta (termasuk cukai).

     
     
  • GALERI: Jeep Wrangler Merdeka Edition – Pakej aksesori pada harga RM39,999, sah sepanjang Ogos

    Jeep_Wrangler_Merdeka_Ext-4

    Ketika usia Jeep menjengah angka 75 tahun kini, Malaysia turut menerima penawaran edisi khas sempena Hari Kebangsaan yang akan datang; pakej aksesori khas ‘Merdeka Edition’. Menariknya, pakej tambahan berkenaan kini ditawarkan pada harga RM39,999, lebih rendah daripada harga asalnya iaitu RM74,500.

    Pakej aksesori berkenaan merangkumi pelindung tayar ganti, penampan lampu belakang, palang lampu LED 50 inci, satu set rim Mopar dengan saiz 275/70/17 beserta tayar Cooper dan pemijak sisi. Jeep Malaysia menyatakan bahawa pakej ini hanya sah bagi pembelian model Wrangler Sport sahaja. Promosi ini akan berlangsung sepanjang Ogos atau selagi stok masih ada.

    Jeep Wrangler Unlimited Sport, seperti di dalam gambar, dijual pada harga RM288,889. Seperti juga dengan model-model Wrangler lainnya, ia dilengkapi enjin 3.6 liter Pentastar VVT V6 yang menghasilkan 284 hp dan 347 Nm tork pada 4,300 rpm kepada semua empat rodanya melalui transmisi automatik lima-kelajuan.

     
     
  • Toyota Calya didedahkan di Indonesia – harga jangkaan RM40k, akan dilancarkan di GIIAS 2016

    Setelah dijumpai sedang diuji, dan sebelum ini dipamerkan di beberapa bilik pameran, MPV segmen-A Toyota Calya telah didedahkan secara rasmi di Indonesia, sebelum pelancarannya yang akan diadakan pada Gaikindo Indonesian International Auto Show (GIIAS) 2016 bulan ini. MPV bajet yang menerima penarafan Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia ini ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas E dan varian tertinggi G dengan harga jualan jangkaan bermula 129.65 juta rupiah (RM40,146) hingga 150 juta rupiah (RM46,450), menurut laporan Otomotif.

    Di bawah undang-undang LCGC, semua varian Calya hanya hadir dengan pilihan enjin petrol tunggal 3NR-VE Dual VVT-i 1.2 liter empat-silinder berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm. Enjin 3NR-VE MPV yang dibina berasaskan platform Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya ini juga merupakan salah satu enjin dari siri NR, di mana varian 1NR-VE 1.0 liter digunakan pada Perodua Bezza. Dua pilihan transmisi ditawarkan iaitu manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Cayla bersaiz lebih kecil berbanding Avanza dengan dimensi 4,070 mm panjang (-120 mm), 1,655 mm lebar (+5 mm) dan 1,600 mm tinggi (-95 mm), dan jarak roda 2,525 mm (-130 mm). Sistem suspensi dan brek juga seiras dengan Axia/Bezza, menampilkan suspensi Topang Mcpherson dan brek cakera pada bahagian hadapan, manakala sistem suspensi gandar torsion beam dan brek dram pada bahagian belakang. Kesemua varian juga didatang standard dengan roda aloi 14-inci dua ton dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersaiz 175/65R14.

    Pada bahagian luaran, Calya direka seperti rekaan Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

    Semua varian Cayla hadir dengan lampu hadapan reflektor halogen, immobilser penderia undur dan penggera kawalan jauh, penghawa dingin manual (dengan liang tempat duduk barisan kedua), tingkap berkuasa untuk semua pintu, penunjuk ECO, paparan pelbagai info, tempat duduk barisan kedua boleh lipat nisbah 60:40 dengan satu sentuhan tuil dan tempat duduk barisan ketiga one-piece.

    Untuk membezakan varian asas dan varian tertinggi, varian G dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dilengkapi lampu isyarat membelok, kemasan perak pada pintu dan papan pemuka serta kemasan krom pada liang penghawa dingin dan tombol gear.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN dengan fungsi CD,USB dan AUX. Walau bagaimanapun hanya varian G mempunyai hubungan Bluetooth dan empat pembesar suara (varian E hanya dua pembesar suara).

    Untuk ciri keselamatan, kesemua Calya dilengkapi dengan dua-beg udara dan cagak IOSFIX secara standard. Hanya varian G dan E automatik dilengkapi dengan sistem brek ABS.

    Daihatsu Sigra Indonesia official

    Selain dari Toyota Cayla, kembarnya – Daihatsu Sigra – turut didedahkan di Indonesia. Sigra dijangka akan dijual dengan harga bermula 106 juta rupiah (RM32,710) dan 149 juta rupiah (RM45,980). Empat varian ditawarkan dalam barisan model Sigra iaitu D, M, X dan R.

    Varian D dan M akan dikuasakan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE empat silinder petrol dan hanya dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Varian X dan R pula menerima janakuasa yang sama dengan Calya iaitu enjin 1.2 liter 3NR-VE dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Pada bahagian luaran, rekaan Sigra dan Calya dibezakan dengan rekaan berbentuk heksagon pada bampar hadapan.


     
     
  • KL MRT: Operasi percubaan tidak libat orang ramai

    MRT Testing Semantan

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung tempoh percubaan bagi perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) selama tiga bulan mulai 1 Oktober ini.

    Namun menurut syarikat terbabit, sepanjang tempoh percubaan MRT ini, ia tidak akan melibatkan orang ramai kerana mahu memastikannya berjalan lancar sepenuhnya sebelum perkhidmatan ini dibuka untuk kegunaan awam, laporan BERNAMA.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Shahril Mokhtar, kemajuan projek untuk Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) adalah lancar.

    “Kami hanya mempunyai beberapa bulan untuk fasa satu Laluan SBK di antara stesen Sungai Buloh dan Semantan untuk beroperasi pada akhir tahun. Kemajuan untuk laluan itu kini 86%,” katanya kepada pihak media.

    Shahril berkata, buat masa ini kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrik sedang diuji manakala operasi percubaan untuk tren itu akan bermula pada Oktober seperti yang dijadualkan.

    Sementara itu, kerja pembinaan bagi fasa dua Laluan SBK yang meliputi bahagian bawah tanah serta bertingkat di bahagian selatan, berjalan lancar dan bersedia untuk operasi pada Julai 2017.

    Bagi Laluan SSP, Shahril berkata, proses memberi tender kepada kontraktor pakej kerja berjalan mengikut jadual.

    “Setakat ini, kami telah memberikan 21 pakej kerja. Kerja sudah bermula di beberapa lokasi melibatkan pembersihan tanah dan penetapan lokasi utiliti,” tambah beliau.

     
     
  • MIROS cadang pemusatan agensi-agensi berkaitan pengangkutan awam, adakan kerjasama lebih cekap

    Bus-10-Cars-NSE

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mencadangkan pemusatan semua agensi kerajaan yang penguruskan serta menyelia hal-hal berkaitan pengusaha pengangkutan awam bagi memantau kenderaan komersial dengan lebih berkesan, memetik laporan Bernama hari ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan ketika ini, agensi-agensi yang dimaksudkan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Miros dan Puspakom Sdn Bhd diletakkan di bawah bidang kuasa berlainan.

    SPAD berada di bawah seliaan Perdana Menteri, sementara JPJ dan MIROS di bawah Kementerian Pengangkutan. Puspakom pula merupakan sebuah syarikat pemeriksaan kenderaan swasta yang dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan seperti pemeriksaan bagi kenderaan awam dan komersial, termasuk juga kenderaan persendirian untuk pembiayaan sewa-beli, pindah milik serta insurans.

    Beliau percaya, jika semua agensi-agensi ini dipusatkan, mereka mampu berkerja sama dengan lebih cekap untuk menyiasat dan menganalisa kemalangan jalan raya, juga melaksanakan dan memantau bagi tujuan meningkatkan keselamatan jalan raya.

    Lee memberi maklum balas ketika memberi pandangan berkenaan peningkatan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial. Pada 10 Julai lalu, sebuah bas ekspres merempuh 10 kenderaan lain di Lebuhraya PLUS berdekatan Terowong Menora, Ipoh. Bas berkenaan didapati mempunyai 63 saman tertunggak bagi pelbagai kesalahan sejak 2011, sementara pemandunya mempunyai sembilan saman lainnya, termasuk bagi kesalahan memandu laju.

    Kemudian, pada 26 Julai lalu, 27 penumpang dan seorang pemandu terselamat apabila bas pelancong yang mereka naiki tergelincir di KM19, Jalan Keramat Pulai dekat Ipoh, ketika dalam perjalanan turun dari Cameron Highland menuju Pulau Pinang.

    Pada 27 Julai pula, pemandu bas pelancong meninggal dunia, sementara 25 penumpang warga China terselamat ketika bas yang dinaiki hilang kawalan dan terbalik di KM17.2, Jalan Genting Highlands – Kuala Lumpur.

    Lee menyatakan, sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan awam, semua agensi kerajaan yang terlibat akan menjalankan siasatan mereka secara berasingan. “Semua kerja ini boleh dilakukan dengan lebih berkesan dan cekap jika semua agensi-agensi ini dipusatkan di bawah satu kementerian sahaja,” jelas beliau.

    Menyentuh tentang cadangan yang disampaikan kepada kerajaan pada 2014 bagi menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Lee menyatakan setakat ini tiada apa yang dicapai walaupun cadangan berkenaan dibuat oleh panel penasihat bebas susulan daripada nahas bas di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013, yang mengorbankan 36 nyawa dan mencederakan 16 yang lain.

    “Jika boleh, saya fikir kita sepatutnya ada pegawai berpakaian biasa untuk menyamar menjadi penumpang dan memantau secara langsung pemandu dan perkhidmatan bas yang ada. Tentulah, pegawai berkenaan tidak akan dapat melakukannya dengan kerap. Tetapi, jika dilakukan secara berkala, mereka akan faham apa masalah sebenar dan cara yang bagaimana perlu diambil untuk menyelesaikannya,” tambah beliau.

     
     
  • 24 jalan utama di sekitar KL bakal ditutup secara berperingkat 7 Ogos ini sempena KL Marathon 2016

    kl-city-jam

    Sempena berlangsungnya Standard Chartered KL Marathon 2016 pada 7 Ogos ini, sebanyak 24 jalan utama di sekitar Kuala Lumpur dilaporkan akan ditutup secara berperingkat.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, Lebuhraya AKLEH akan ditutup pada jam 2 pagi hingga 9 pagi, manakala DUKE pula dari jam 2 pagi hingga 11 pagi pada tarikh tersebut.

    Selain itu, jalan lain yang terlibat ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching dan Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), laporan Bernama.

    Selain itu, ia turut melibatkan Jalan Langgak Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin dan Jalan Tanglin.

    Di mana jalan-jalan tersebut akan ditutup pada hari yang sama dari jam 4 pagi dan dijangka akan dibuka semula pada tengahari.

    Amar Singh turut berkata seramai 300 anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal aliran trafik di sepanjang 42 km laluan marathon berkenaan yang dijangka bakal disertai oleh 35,000 peserta dalam dan luar negara.

    Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan Monorail serta elak daripada menggunakan laluan yang terlibat jika memasuki pusat bandar pada tarikh tersebut.

     
     
  • Delphi Automotive mulakan ujian pengangkutan tanpa pemandu di Singapura – beroperasi menjelang 2022

    Pengeluar komponen automotif – Delphi Automotive, telah dipilih oleh Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) sebagai rakan strategik untuk implementasi konsep mobiliti tanpa pemandu di republik berkenaan.

    Dalam kenyataan rasmi syarikat tersebut mendedahkan, mereka akan menyediakan sejumlah kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya, yang terdiri dari enam buah Audi SQ5 yang mampu bergerak tanpa pemandu dengan menggunakan kamera, lidar dan radar untuk sistem pemanduan automatiknya. Delphi juga akan membina perisian mobiliti berasaskan permintaan berasaskan cloud sebagai salah satu bahagian dalam projek pengangkutan tanpa pemandu yang akan dilancarkan pada 1 Ogos.

    Menurut laporan dari The Verge dan Autoblog, Delphi akan menggunakan Audi yang bergerak sendiri tanpa pemandu pada tiga laluan yang telah ditetapkan, dengan jarak keseluruhan 8 km. Pada peringkat permulaan, pemandu akan diletakkan di dalam kereta, bersedia untuk mengambil alih tugas memandu sekira berlaku perkara kecemasan. Pada peringkat seterusnya pula, pemandu manusia akan digugurkan, dan jika projek ini berjalan lancar, roda stereng juga akan ditanggalkan sepenuhnya.

    Untuk mencapai sasaran, sudah tentu ia memerlukan banyak ujian, dengan program permulaan oleh LTA Singapura ditetapkan akan bermula dari 2016 hingga 2019, dan dirancang akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2022. Tujuan utama servis ini adalah untuk memudahkan pergerakan transit penumpang pada sebelum dan selepas mereka tiba di stesen transit utama (stesen MRT contohnya) dan antara rumah dan tempat kerja mereka.

    Langkah ini juga antara salah satu langkah dalam Inisiatif Kenderaan Tanpa Pemandu Singapura (SAVI), yang dibentuk pada 2014 untuk melihat serta menguruskan penyelidikan kenderaan tanpa pemandu, tempat ujian, serta pembangunan aplikasi dan penyelesaian oleh rakan industri bersama pihak yang berkepentingan.

    “Sebagai rakan kongsi dalam SAVI, Delphi akan menggunakan penemuan sama pada teknologi kenderaan yang membolehkan kami berjaya melengkapkan pemanduan sendiri dari pantai-ke-pantai di Amerika Syarikat pada 2015,” kata Jeff Owens, ketua pegawai teknologi Delphi.

    delphi-amod-0468-e1470122846165_BM

    “Membangunkan perisian berasaskan cloud yang mampu beroperasi dengan bersepadu bersama kenderaan menghasilkan solusi dari hujung-ke-hujung yang akan membolehkan pelanggan sedia ada kami, dan lebih banyak pelanggan yang berpotensi, sebagai kelebihan untuk masuk kepasaran mobiliti yang penting,” tambah beliau.

    Syarikat berkenaan telah pun melengkapkan pemanduan sendiri dari San Francisco ke New York tahun lalu, di mana sebuah SQ5 yang telah diubahsuai melengkapkan perjalanan sejauh 5,472 km. Delphi juga berharap untuk menggunakan pengetahuan yang mereka perolehi dari pelbagai ujian yang dijalankan sebelum ini untuk kereta penumpang, bas, kenderaan komersial, pod mobiliti binaan-khas dan kenderaan elektrik pada masa akan datang.

     
     
  • Op Laju bermula hari ini – kesan bas ekspres guna lorong kanan, saman RM300 serta-merta bagi pesalah

    jpj-roadblock-2-630x380

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksanakan ‘Op Laju’ bertujuan untuk mengesan pemandu kenderaan perdagangan terutamanya pemandu bas ekspres yang memandu di lorong kanan secara berterusan di sepanjang lebuh raya, lapor Bernama.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron menjelaskan operasi khas itu akan dilakukan secara berterusan dan bukan hanya ketika musim perayaan sahaja. Ini bagi memastikan pemandu bas ekspres menandu menggunakan lorong yang betul dan sepatutnya.

    “Kami banyak menerima aduan berkaitan kelakuan pemandu bas ekspres yang memandu di lorong paling kanan dan bukannya di lorong kiri seperti yang sepatutnya. Ini amat merbahaya kepada penumpang dan pengguna jalan yang lain,” jelas beliau.

    “Bas ekspres hanya boleh berada di lorong kanan untuk memotong sahaja, dan perlu masuk semula ke laluan kiri selepas itu,” tambah beliau.

    JPJ menggariskan tiga strategi pelaksanaan Op Laju, iaitu rondaan secara intensif anggota JPJ di sepanjang lebuh raya menggunakan kenderaan JPJ, penyamaran anggota penguat kuasa di dalam bas dan penyamaran anggota menggunakan kenderaan tidak berlogo jabatan berkenaan.

    Saman sebanyak RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan. Bas ekspres yang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau yang banyak pula akan disita mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tindakan sama juga akan dikenakan terhadap kenderaan berat lain seperti lori dan treler.

    Pada masa sama, operasi ini juga akan melihat kepada tujuh kesalahan utama yang kerap menjadi punca kemalangan jalan raya iaitu melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memandu lebih daripada had laju dibenarkan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar serta mengekori rapat kenderaan hadapan.

    Sebanyak 2,212 Notis 114/115 dikeluarkan kepada pemandu jalan raya, melibatkan 2,683 kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan sepanjang Op Hari Raya pada 22 Mei hingga 29 Julai lepas. Sepanjang tempoh itu, JPJ menerima sebanyak 796 aduan bergambar pelbagai kesalahan pengguna jalan raya dan akan mengambil tindakan berdasarkan bukti tersebut.

     
     
  • Mazda tidak rancang pembinaan kereta bajet untuk ASEAN; tumpu model SkyActiv generasi seterusnya

    Mazda-2-SkyActiv-D-Clean-Diesel-Challenge-16_BM

    Beberapa tahun kebelakangan ini, pengeluar-pengeluar kereta dari Jepun giat membina kenderaan kecil dan cekap tenaga untuk pasaran rantau ASEAN, untuk mengambil kesempatan dari pengecualian cukai yang diberikan seperti projek Kereta Eko di Thailand dan Low Cost Green Car (LCGC) di Indonesia.

    Insentif dari program-program berkenaan – yang memerlukan enjin 1.2 liter, saiz kompak dan rendah penggunaan bahan api – telah menghasilkan kereta seperti Honda Brio, Mitsubishi Mirage/Attrage, Nissan March/Almera, Suzuki Swift dan Toyota Yaris di Thailand dan kembar Daihatsu Ayla/Toyota Agya, Datsun GO/GO+ dan Suzuki Karimun Wagon R di Indonesia. Walau bagaimanapun, satu jenama dari Jepun iaitu Mazda, tidak dilihat menyertai segmen ini.

    Dalam pembentangan perniagaan untuk pasaran ASEAN di Jepun baru-baru ini, pegawai eksekutif untuk pasaran yang berkembang Hiroshi Inoue menerangkan mengapa Mazda mengelakkan dari terlibat dalam pasaran yang agak lumayan berkenaan. Syarikat kecil seperti Mazda, katanya, tidak mampu untuk mempelbagaikan portfolio produknya untuk memenuhi pasaran berbeza, kerana mereka tidak mempunyai aliran tunai yang cukup untuk melakukannya.

    Inoue menambah untuk membina kereta eko atau bajet, syarikatnya perlu untuk menskalakan semula pelaburan mereka untuk pembinaan kenderaan SkyActiv generasi seterusnya, iaitu bermula dari CX-5, yang menampilkan rekaan Kodo, unit janakuasa SkyActiv dan teknologi baharu.

    Mazda-2-SkyActiv-D-Clean-Diesel-Challenge-41_BM

    Sebaliknya, Mazda kini memfokuskan pembinaan model global utama mereka yang lebih premium dan lebih maju dari segi teknologi, serta mengharapkan lebih pembeli berkelas tinggi untuk tertarik dengan kereta-kereta mereka. Dan anggaran dari angka jualan mereka untuk pasaran ASEAN – yang menyaksikan peningkatan dari sekitar 78,000 unit pada 2014 hingga sekitar 102,000 pada 2015, peningkatan sebanyak 24,000 unit – menunjukkan strategi berkenaan sangat sesuai untuk Mazda.

    Sebenarnya, Mazda sudah pun mempunyai sebuah model yang diklasifikasikan sebagai kereta eko iaitu Mazda 2 SkyActiv-D 1.5 diesel di Thailand, yang telah pun memenuhi undang-undang kereta eko negara berkenaan, yang juga merupakan kereta diesel pertama menerima pengiktirafan tersebut. Jadi, kami menganggap Inoue merujuk kepada model yang direka khas untuk rantau ASEAN seperti Honda Brio dan Daihatsu Ayla/Toyota Agya.

    Mazda kini sedang menumpukan secara serius pasaran di Malaysia dan telah pun melancarkan barisan model diesel mereka iaitu CX-5, Mazda 6 2.2 SkyActiv-D, dan bakal memperkenalkan pula model MX-5 RF dan CX-9 pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

     
     
  • Tawaran rebat tunai Volkswagen Malaysia – RM10k bagi Vento, RM4k bagi Polo dan RM2k bagi Golf 1.4L

    2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-drive-13-630x330

    Volkswagen Malaysia kini memberikan tawaran istimewa bagi tiga model keluarannya; iaitu Vento, Polo dan Golf 1.4 bagi bulan Ogos. Pelanggan yang membeli satu daripada tiga model ini sebelum 31 Ogos nanti akan menikmati rebat tunai.

    Bagi Vento, RM10,000 rebat tunai akan diberikan; bayaran bulanannya kini bermula dari RM725 setiap bulan. Bagi varian tertinggi model berkenaan, Vento dikuasakan oleh enjin 1.2 liter turbocaj dengan janaan 105 PS pada 5,000 rpm manakala tork sejumlah 175 Nm daripada 1,550 hingga 4,100rpm.

    Bagi yang ingin memiliki Golf 1.4 pula, pelanggan akan menerima rebat tunai sebanyak RM2,000. Sementara bagi model Polo, jumlah rebat yang ditawarkan ialah RM4,000, termasuk unit audio dan infotainmen/navigasi Blaupunkt tujuh inci.

    Anda boleh menghubungi pautan Carbase.my Verified Sales Advisors bagi sebarang pertanyaan.

     
     
  • Honda NSX 2017 – RM1.28 juta di Australia

    Honda-NSX-TMS-40_BM

    Harga untuk Honda NSX generasi baharu telah disahkan di Australia iaitu AUD420,000 atau RM1.28 juta termasuk kos atas jalan, dan ditawarkan hanya dengan satu spesifikasi, menurut laporan CarAdvice.

    Harga berkenaan meletakkan NSX di Australia dalam saingan bersama Lamborghini Huracan LP610-4 berharga A$428,000 (RM1.305 juta), Ferrari 488 GTB berharga A$469,988 (RM1.433 juta), BMW i8 berharga A$299,000 (RM912,339) dan Porsche 911 Turbo S berharga A$456,500 (RM1.39 juta).

    Spesifikasi tunggal berkenaan dilengkapi dengan ciri standard tahap tinggi, yang turut termasuk pakej komponen gentian karbon pada bahagian luaran dan bahagian dalaman. Pakej komponen gentian-karbon pada bahagian luaran terdiri dari bumbung, penutup enjin, spoiler belakang, diffuser dan spoiler bawah hadapan gentian-karbon. Ia juga dilengkapi dengan cakera brek seramik-karbon, rim interwoven eksklusif dan kemasan ekzos krom gelap.

    Honda-NSX-TMS-48_BM

    Bahagian dalaman pula, pakej gentian-karbon terdiri dari visor meter, kemasan bahagian atas dan jejari roda stereng serta pedal gentian-karbon serta perehat kaki kemasan brushed aluminium. Ia turut dilengkapi dengan kemasan bumbung baldu Alcantara serta tempat duduk larasan berkuasa balutan kulit separa-aniline dan Alcantara.

    Tempahan untuk NSX kini telah dibuka untuk pasaran Australia, dan penghantaran pertama kepada pelanggan dijangka pada awal tahun hadapan. Ditawarkan dalam kombinasi lapan warna luaran dan empat warna kemasan yang boleh dipilih, supercar berkuasa 573 hp/645 Nm dengan enjin V6 turbo berkembar hibrid, pacuan semua roda, hanya boleh ditempah dari lima pengedar Honda terpilih.

     
     
  • BMW 330e iPerformance di Malaysia tidak lama lagi – 248 hp/420 Nm, sedan plug-in hybrid, dari RM240k?

    P90208285_highRes_bmw-330e-01-2016_BM

    Selepas BMW X5 xDrive40e dilancarkan dengan jayanya di Malaysia, dikhabarkan BMW 330e iPerformance pula akan tiba untuk pasaran tempatan selepas ini, dijangka seawal penghujung bulan Ogos. Khabar gembira lain yang diberikan kepada kami adalah model hibrid plug-in ini akan dijual pada harga luar biasa seperti X5, dianggarkan diantara RM240k-RM260k!

    Ini akan meletakkan 330e diantara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800) dalam barisan model 3 Series F30 LCI. Ia juga dilihat akan menggantikan model 320d dan 320i M Sport (sebelum ini dijual pada harga RM269k dan RM259k) dalam barisan model, kedua-duanya telah dihentikan penjualannya awal tahun ini.

    Dengan harga yang dianggarkan (RM240k-RM260k), tidak mustahil BMW Malaysia akan menawarkan 330e iPerformance dalam dua varian iaitu Sport Line dan M Sport. Model X5 xDrive40e dilancarkan pada harga RM388,800 dan memberikan saingan yang sangat sengit kepada semua pesaingnya, hadir dengan versi M Sport sahaja.

    Model 330e akan dijana oleh enjin yang sama dengan X5 xDrive40e dan 740e iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder dan motor elektrik, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Enjin petrol berkenaan mampu menjana 180 hp/290 Nm, manakala motor elektrik pula menjana 87 hp/250 Nm, menjadikan 330e ini mempunyai kuasa keseluruhan 248 hp/420 Nm, berbanding model 330i petrol sepenuhnya yang berkuasa 252 hp/350 Nm.

    Gabungan kuasa berkenaan membolehkan 330e iPerformance mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j, hampir kepada prestasi 330i yang mampu membuat pecutan yang sama dalam masa 5.8 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j. Tetapi model hibrid plug-in ini didakwa mampu mencatatkan penggunaan bahan api purata hanya 2.1 liter untuk setiap 100 km, berbanding 330i yang menggunakan bahan api purata 6.1 liter untuk setiap 100 km perjalanan. 330e ini juga mampu dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 22.5 km, dengan kelajuan maksima 120 km/j.

    Kami akan mendapat lebih maklumat berkenaan model ini tidak lama lagi. Jadi, jika harga anggaran ini benar, ia adalah peluang anda untuk mengambil kesempatan sepenuhnya atas skim EEV yang diberikan oleh kerajaan bukan?

     
     
  • Porsche Boxster 718 baharu dilancarkan di M’sia – 2 varian, harga bermula RM480k dan RM620k

    5D3_7862

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 718 Boxster baharu bagi pasaran Malaysia. Jentera mid-engined roadster yang telah dipertingkatkan ini didatangkan dengan dua varian iaitu 718 Boxster dan 718 Boxster S.

    Mengikut Porsche, 718 adalah model jentera junior sports baharu, yang diilhamkan dari jentera perlumbaan yang popular pada akhir tahun 50an. 718 baharu ini dikatakan mampu memberikan prestasi dan kuasa yang lebih dinamik berbanding generasi sebelumnya. Ia menggabungkan semangat dari jentera lumba 718 dengan teknologi masa hadapan.

    Bahagian hadapan dan belakangnya telah dipertingkatkan dengan lebih signifikan, memberikan lampu utama dan lampu belakang baharu, bersama lampu nyalaan siang LED berserta bar berkembar yang lebih menonjol. Malah bamparnya juga diberikan gaya baharu dan jaluran pada bahagian belakang dengan logo Porsche bersambung dengan lampu belakang. Pada bahagian sisinya, terdapat corong pengambilan udara yang besar dan pemegang pintu baharu.

    5D3_7766

    Di dalam kabin, bentangannya diilhamkan dari 918 Spyder baharu dengan roda stereng berongga, corong udara baharu dan sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dengan pilihan termasuk Connect (tempat letak dengan sambungan tanpa wayar antara telefon pintar dan kereta, Apple CarPlay), Navigasi (dengan kawalan suara, peta 3D) dan Connect Plus (semua termasuk).

    Di bawah bonetnya, ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter yang mampu menjanakan kuasa sehingga 300 hp dan tork 380 Nm dari 1,950 hingga 4,500 rpm untuk 718 Boxster. Ia membenarkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j hanya 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 275 km/j.

    Bagi 718 Boxster S pula, ia dijanakan oleh enjin yang lebih lebih besar iaitu enjin 2.5 liter pengecas turbo dan Variable Turbine Geometry (VTG). Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 350 hp dan tork 429 Nm dari 1,900 hingga 4,500 rpm. Iaitu lebih 35 hp dan 60 Nm dari enjin terdahulu 3.4 liter. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 4.2 saat (0.6 saat lebih pantas), sebelum mencecah kelajuan sehingga 285 km/j (lebih 8 km/j).

    5D3_7885

    Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau PDK klac-berkembar tujuh-kelajuan.

    Selain memberikan tambahan kuasa dan kelajuan, Boxster baharu ini juga mampu memberikan penjimatan lebih 13% dari yang terdahulu, iaitu 6.9 liter bagi setiap 100 km untuk kitaran NEDC, iaitu kurang 0.7 liter sebelum ini. Manakala 718 Boxster S pula dikatakan hanya menggunakan sekitar 7.3 liter bagi setiap 100 km.

    Ia ditawarkan pada harga bermula RM480,000 bagi 718 Boxster dan RM620,000 untuk 718 Boxster S, didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaran percuma. Harga ini termasuk dengan semua cukai tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

     
     
  • Nama ‘Supra’ pilihan utama untuk kereta sport Toyota

    Toyota_FT1_Studio_002

    Kereta sport Toyota yang sedang dibina bersama BMW, belum lagi diberi nama rasmi, tetapi kami menggelarnya Supra. Kini, jurutera Toyota sedang berusaha agar nama Supra itu akan terus melekat padanya menjadi kenyataan, menurut laporan CarAdvice.

    Ketua Jurutera Global Tetsuya Tada memberitahu CarAdvice bahawa dia mahu nama Supra diberikan kepada jentera baharu berkenaan. “Saya suka Supra dan saya suka nama Supra,” kata beliau. “Ia sangat bersejarah dan sangat penting buat Toyota. Kami berusaha untuk memberikan nama Supra untuk kereta baharu yang sedang dibina [bersama] BMW.”

    Tada turut menambah kerjasama bersama BMW itu berjalan lancar, dengan ujian dan pembangunan yang dilanjutkan dilakukan di seluruh dunia. “Boleh saya katakan kerjasama ini berjalan dengan baik, sangat lancar,” kata beliau. “Kami juga sedang melakukan ujian di seluruh dunia, bukan sekadar di Fuji dan Nurburgring, tetapi [di seluruh] dunia.”

    1998001_1994_Supra_Turbo

    Pembinaan Supra generasi terbaharu ini juga diinspirasikan dari model konsep FT-1 yang pernah dipamerkan di Detroit Auto Show 2014, dan akan diletakkan di atas model 86 dalam barisan kereta sport Toyota. Nama Supra sebelum turut diletakkan pada kedudukan tertinggi setelah ia dipisahkan dari Celica Supra (Celica XX), dan pasangan kembar Corolla AE86 Levin dan Sprinter Trueno berada dibawahnya.

    Toyota Supra dan BMW Z5 dijangka akan menggunakan sistem hibrid menggabungkan enjin binaan BMW (berkemungkian enjin petrol enam-silinder sebaris) dan motor elektrik yang dikuasakan oleh kapasitor super serta memacu semua roda. Kedua-dua jentera ini juga bakal menerapkan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12.

    Ahli lembaga BMW untuk jualan dan pemasaran Ian Robertson telah menyatakan sebelum ini walaupun kedua-dua jentera ini berkongsi banyak komponen dalam pembinaannya, BMW dan Toyota bersetuju untuk meletakkan Z5 dan Supra dalam dua pasaran kereta sport yang berbeza. “Satu perkara yang pasti sekarang ialah platform yang boleh membuatkan kedua-dua syarikat bekerja,” katanya.

    BMW Z5 1

    BMW Z5 yang dikaitkan dengan Supra dilihat sedang diuji

    “Kereta-kereta ini sendiri tidak perlu diletakkan pada kedudukan yang sama. Platform berkenaan boleh diasingkan kepada dua kedudukan. Kerja-kerja konsep, platform yang boleh dibawa dan kini kami mempunyai dua pasukan jurutera yang boleh dibanggakan – satu dari Jerman, satu dari Jepun – di mana mereka akan berjuang dan berselisih pendapat untuk kereta yang mereka mahu.”

    Kedua-dua syarikat telah berkerjasama untuk membina kereta-kereta berkenaan sejak 2012; walau bagaimanapun pembinaan kedua-dua model kini telah diasingkan. Setakat ini, hanya Z5 convertible dikesan sedang diuji diatas jalan raya, dan tiada lagi jentera Toyota dilihat sedang diuji. Tetapi difahamkan jentera Toyota kini dalam tahap pembinaan yang sama.

    GALERI: Spyshot BMW Z5


    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025