Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi: Imej ‘render’ dari model Passo baharu

    Myvi Rendering Theophilus BM

    Diam tak diam, sudah lima tahun model Perodua Myvi dari generasi kedua yang dijual kini berada dalam pasaran. Jadi, telahan seterusnya tentulah model generasi baharu Myvi akan diperkenalkan tak lama lagi. Versi terkini Toyota Passo/Daihatsu Boon yang menjadi asas kepada Myvi sebenarnya sudah diperkenalkan pada awal tahun, sekali gus boleh dijadikan gambaran bagaimana Myvi generasi baharu akan kelihatan nanti.

    Pakar rendering tempatan, Theophilus Chin memikirkan hal yang sama; dengan sentuhan digital tersendiri beliau membayangkan Myvi yang disandarkan pada model Passo terbaharu itu. Beliau menerapkan wajah depan yang ada dengan mengambil kira wajah Perodua Bezza, dan melekapkannya kepada badan Passo.

    Hasilnya agak menyenangkan. Rekaan gril lebar pada Bezza, serta ruang masukan udara di bahagian bawah muka depannya nampak serasi dengan rekaan badan Passo. Warna kuning cerah pada kereta ini juga turut membantu menaikkan serinya; warna sama terdapat pada Myvi 1.5 SE dan Myvi Extreme sebelum ini.

    Myvi generasi berikutnya dijangka akan menggunakan enjin baharu 1.3 liter dan 1.5 liter Toyota NR, termasuk enjin 1NR-VE 1.3 liter yang menjana 94 hp/121 Nm pada Bezza. Ia dijangka akan dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau Electronic Automatik Transmision (E-AT) empat-kelajuan.

    Turut dijangka akan diwarisi dari Bezza adalah teknologi-teknologi baharu yang diperkenalkan pada sedan itu, termasuk keyless entry, butang penghidup enjin, sistem Eco Idle serta kawalan kestabilan kenderaan (VSC) bagi varian paling tinggi. Memandangkan Myvi biasanya akan tiba setahun selepas model Toyota/Daihatsu yang diperkenalkan di luar, tidak keterlaluan jika jangkaan terhadap pengenalan Myvi baharu ini akan dilakukan tahun depan.

     
     
  • Mazda MX-5 – model ‘soft top’ akan dihentikan untuk pasaran Malaysia, diganti dengan model RF Hardtop

    Mazda MX-5 2.0 Review 8

    Sumber rasmi dari Bermaz – pengedar sah Mazda di Malaysia mengesahkan MX-5 versi bumbung fabrik atau soft top bakal dihentikan penjualannya di Malaysia. Model berkenaan akan digantikan dengan MX-5 versi RF Hardtop, iaitu model dengan bumbung logam yang boleh dilipat.

    RF adalah akronim kepada ’Retractable Fastback‘. Ia adalah rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa. Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah hampir kepada bentuk Fastback (seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama) dan tidak seperti Roadster hardtop lain. Selepas bumbung dibuka dan dilipat kedalam pula, penampilan RF ini lebih kepada sebuah kereta sport ‘Targa Top‘ (seperti Toyota Supra Targa Top atau Porsche 911 Targa), dan tidak kelihatan seperti Roadster.

    Bumbung, cermin belakang dan panel sisi berkenaan dilipat dan disimpan pada bahagian belakang, dengan bantuan elektrik dalam masa hanya 12 saat, dan boleh dioperasikan pada kelajuan di bawah 10km/j.

    Mazda-MX-5-RF-11-2

    Bermaz juga dikatakan akan membawa masuk MX-5 RF versi transmisi enam-kelajuan manual, berbanding model soft top sedia ada hanya ditawarkan dengan varian automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Pilihan enjin masih lagi kekal, di mana MX-5 RF dijana oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 158 hp/200 Nm.

    Model ini juga disahkan akan dilancarkan bersama MPV tujuh-tempat duduk CX-9 baharu, sama ada hujung tahun ini atau awal tahun 2017. Walau bagaimanapun, tiada lagi petunjuk untuk harga jualan ini di Malaysia, tetapi sumber berkenaan memberitahu versi hard top ini dijangka akan dijual sedikit mahal berbanding versi soft top yang kini dijual pada harga RM219,999 buat masa sekarang.

    GALERI: Mazda MX-5 2.0 RF Hardtop


    GALERI: Mazda MX-5 2.0 Soft Top

     
     
  • Triumph Bonneville T120, T120 Black dan Thruxton R 2016 turun harga – pengurangan sehingga RM8,000

    Triumph-Thruxton-R-53-850x567

    Pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes mengumumkan harga baharu bagi tiga model yang dibawa masuk; Bonneville T120 2016, T120 Black dan Thruxton R. Bagi Bonneville T120, harga baharunya ialah RM72,900 berbanding RM79,900 sebelum ini, dengan pengurangan sebanyak RM7,000. Bagi Thruxton R pula ialah RM83,900 berbanding RM91,900, dengan pengurangan RM8,000.

    Ketiga-tiga model ini dilancarkan pada Mei lalu sebagai sebahagian daripada barisan motosikal Sport Classic. Ia dilengkapi dengan enjin 1,200 cc selari berkembar Euro 4 sejukan cecair. Enjin berkenaan dipertingkat berdasarkan versi enjin sejukan cecair terdahulu yang digunakan pada model T100 dan Thruxton 900.

    Bagi model T120, enjinnya menjana 79 hp dan 105 Nm tork pada 3,100 rpm; 54% lebih tork berbanding enjin sebelumnya. Bagi Thruxton R pula, ia menjana 96 hp dan 112 Nm pada 4,250 rpm; 62% lebih tork berbanding yang sebelumnya.

    Bagi pelanggan yang sudah membeli mana-mana model antara Bonneville T120, T120 Black dan Thruxton R pula tidak perlu khuatir. “Sebagai sebahagian daripada Triumph Customer Care Plan, kami akan menawarkan baucar kredit yang setara dengan perbezaan harga yang terlibat ini kepada pemilik sedia ada model-model berkenaan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes, Datuk Razak Al-Malique Hussain.

    Triumph Bonneville T120 & T120 Black 2016

    Triumph Thruxton R 2016

     
     
  • Jualan kenderaan terjejas akibat senarai hitam – PTPTN akan berbincang dengan industri automotif

    Car-loan-purchase-bankrupt

    Akibat rungutan dari beberapa syarikat pengeluar kereta yang mendakwa jualan mereka terjejas kerana nama pembeli disenarai hitam dalam CCRIS disebabkan gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), perbadanan berkenaan akan mengadakan perbincangan bersama industri automotif dan bank perdagangan untuk menyelesaikan isu ini, menurut laporan Bernama.

    Perbincangan berkenaan turut akan diadakan dengan pemaju perumahan kerana peminjam PTPTN turut dilaporkan sukar untuk mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah.

    Menurut Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah, perbincangan dalam tempoh terdekat itu perlu bagi membantu mengurangkan rungutan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN kerana gagal untuk membuat pinjaman. Perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan itu adalah untuk mendapat pandangan supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada peminjam dan sekali gus membantu meringankan beban peminjam.

    “Peminjam kita yang namanya disenaraikan dalam CRISS bukan berpunca daripada PTPTN sahaja, tetapi kerana beberapa faktor lain seperti ada nama dari kalangan mereka sudah ada dalam sistem CRISS.

    “Keadaan ini berlaku kerana pinjaman mereka telah melebihi daripada kemampuan yang sebenarnya menyebabkan pinjaman mereka tidak diluluskan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri di Dataran Tampan semalam.

    Shamsul juga menegaskan bahawa penurunan jualan kereta boleh dipengaruhi oleh berbagai faktor dan bukan daripada PTPTN sahaja. Menerusi perbincangan berkenaan, beliau berharap satu jalan penyelesaian dapat dicapai bagi membantu rakyat dalam memudahkan urusan mereka mendapat pinjaman.

    Menurut Shamsul lagi, peminjam PTPTN yang mempunyai masalah berkenaan boleh pergi ke lebih 60 kaunter PTPTN di seluruh negara bagi mencari jalan penyelesaiannya.

    “Kalau ada aduan dalam media sosial dan Facebook ia tidak membantu kita untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

     
     
  • Bas ekspres bakal dilengkapi alat pengehad kelajuan menjelang 2020, giat usaha kurangkan kemalangan

    bus crash bernama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, menjelang tahun 2020, semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini akan dilengkapi dengan alat pengehad kelajuan. Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia, memetik laporan Bernama.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pelaksanaan pemasangan alat berkenaan dapat memastikan mana-mana bas ekspres hanya dapat bergerak pada had kelajuan 90 km/j sahaja. “Kita telah minta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat pengehad berkenaan mulai Januari tahun depan,” katanya.

    Bagi bas-bas lama pula, tempoh lima tahun diberikan untuk pengusaha terlibat memasang alat pengehad itu. Menjelang tahun 2020 semua bas dijangka sudah dilengkapi alat berkenaan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum itu turut mengulangi seruannya terhadap syarikat-syarikat bas ekspres agar memasang alat pengehad kelajuan pada bas yang diusahakan. Beliau juga menegaskan syarikat diberi tempoh setahun untuk mematuhinya atau bakal berdepan penggantungan.

    Menyentuh bagaimana cara dan kaedah alat pengehad itu berfungsi, Nadzri menyatakan hal berkenaan akan diteliti dan dikaji oleh pihaknya. “Mungkin kita akan bagi bonus (bergerak laju) 10 peratus (daripada 90km/jam) bila ia ingin memotong sebelum masuk semula ke lorong yang dibenarkan,” katanya.

    Had laju kebangsaan bagi kenderaan berat di lebuh raya ketika ini adalah dari 80 hingga 90 km/j. Manakala bagi jalan persekutuan dan negeri pula adalah 70 hingga 80 km/j.

    Nadzri juga dilaporkan berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) akan membantu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membangunkan satu sistem bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu.

    Katanya ketika ini JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan raya, manakala PDRM dan SPAD mempunyai sistem masing-masing.

    “Oleh itu, persetujuan telah dibuat supaya sistem sedia ada yang dilaksanakan secara masa nyata (real time) ketika ini dipertingkatkan khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan,” katanya.

     
     
  • Kadar baharu caj parkir di Kuala Lumpur dilaksanakan

    Public-Parking-Lots

    Hujung minggu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar baharu parkir seliaan DBKL di tiga kawasan di ibu negara. Ia merangkumi pusat bandar, luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar, ia telah dikuatkuasakan sejak 30 Julai lalu.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bagi pengguna di kawasan pusat bandar yang membuat bayaran secara tunai, caj RM1.50 dikenakan pada jam pertama dan RM2.50 pada jam kedua dengan tempoh parkir maksimum dua jam, laporan Bernama

    Bagi kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi antaranya Sentul, Bangsar dan Brickfields, bayaran tunai dikenakan bagi jam pertama dan seterusnya hanya RM1.

    Manakala bagi kawasan luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak pada jam pertama dan seterusnya ialah RM0.80.

    Tengku Adnan berkata bayaran tunai tersebut melibatkan kaedah pembayaran menggunakan syiling, Touch ‘N’ Go dan aplikasi telefon bimbit.

    Katanya melalui pengumuman kadar baharu itu juga, DBKL dan kementeriannya turut menetapkan hanya kawasan pusat bandar mempunyai tempoh parkir maksimum dua jam berbanding sebelum ini melibatkan semua parkir awam di ibu kota.

    Bagi pengguna parkir untuk jangka sederhana dan panjang, DBKL turut memperkenalkan sistem pembayaran secara pas bulanan yang dapat dilanggani secara dalam talian pada kadar amat berpatutan.

    tengku adnan bernama pix

    “Kadar bayaran pas bulanan di kawasan pusat bandar ialah RM300 sebulan, manakala kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan kawasan luar pusat bandar ialah RM150 sebulan.

    “Ketiga-tiganya melibatkan tempoh pembelian dari satu hingga tiga bulan dan pembelian pas bulanan ini boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keselesaan pengguna tanpa perlu beratur atau ke lokasi-lokasi tertentu untuk membuat pembelian,” katanya kepada pihak media.

    Beliau berkata bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

    Katanya pelaksanaan kadar baharu yang dinilai semula itu telah mengambil kira pelbagai keperluan pengguna dan berlandaskan prinsip ‘menggerakkan orang awam, bukan sahaja kenderaan’ (moving people, not just vehicles).

    “Menjadi hasrat DBKL apabila seluruh perancangan terlaksana kelak, warga kota akan menikmati satu sistem aliran lalu lintas yang lebih lancar dan efisien,” katanya.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin membuat pembelian pas bulanan dan mengetahui maklumat lanjut mengenai kemudahan disediakan DBKL boleh melayari portal www.citypark.my.

    Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150% di kawasan tumpuan perniagaan (CBD) iaitu Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

     
     
  • Harga bahan api untuk Ogos 2016 – RON95 dan RON97 kekal, diesel B7 dan Euro 5 naik 10 sen

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Selepas naik 5 sen bagi RON 95 dan RON 97 iaitu masing-masing menjadi RM1.75 seliter dan RM2.10 seliter pada bulan Julai 2016, Ogos ini, nampak gayanya tiada perubahan harga untuk kedua-dua bahan api petrol tersebut.

    Namun tidak bagi diesel kerana B7 dan Euro 5, kedua-duanya melibatkan kenaikan 10 sen iaitu RM1.70 seliter bagi diesel B7 dan RM1.80 untuk diesel Euro 5. Malah bulan Julai lalu, kedua-dua jenis diesel tersebut turut mengalami peningkatan sebanyak 5 sen iaitu RM1.60 dan RM1.70.

     
     
  • VIDEO: Acura NSX GT3 diuji

    Sebelum ini, Acura hanya menyiarkan beberapa gambar rasmi jentera perlumbaan NSX GT3, yang tidak terlalu mengujakan. Kini, jenama berkenaan menyiarkan pula video ‘teaser’ terbaharu jentera berkenaan yang dilihat sedang diuji. Walaupun hanya berdurasi 16 saat, ia cukup untuk membuatkan kita terleka dengan keasyikkan bunyi enjin V6 turbo berkembar jentera berkenaan.

    Jentera perlumbaan GT3 ini masih mengekalkan enjin asal 3.5 liter V6 DOHC dari NSX versi jalanan tetapi telah dirombak semula pada bahagian blok enjin, kepala silinder, injap, aci engkol, omboh, dan juga sistem pelinciran jenis kering, untuk mengestrak kuasa tambahan.

    Walau bagaimanapun, unit janakuasa hibrid yang terdiri dari kotak gear klac berkembar sembilan kelajuan dan Sistem Pacuan Semua Roda Hibrid Sport (SH-AWD) telah pun dibuang, dan Acura memilih untuk menyalurkan kuasa sepenuhnya dari enjin ke hanya roda belakang menerusi kotak gear perlumbaan enam kelajuan sequential-shift.

    NSX GT3 dalam video ini dilihat menggunakan bahan gentian-karbon untuk pembinaan komponen-komponen badannya, yang turut terdiri dari kit aero seperti sayap belakang yang besar, sirip hadapan, splitter, skirt sisi, cermin sisi lebih kecil, liang hud hadapan, diffuser bawah badan dan liang pada hud yang diperbesarkan.

    Jentera perlumbaan sebenar ini akan membuat kemunculan sulungnya pada ujian awam 28 Julai, ini semasa sesi latihan Pirelli World Challenge di Mid-Ohio Sports Car Course, dan dijadualkan akan dihomolagasi sebagai jentera perlumbaan kelas FIA GT3 akhir tahun ini.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • Renault Koleos 2016 – Spesifikasi dan harga untuk pasaran Australia didedah; empat varian, dari RM91k

    2016-Renault-Koleos-Australia-gallery-1-e1469777989471_BM

    Renault Koleos 2016 serba baharu akan mula menembusi pasaran Australia sedikit masa lagi, dan harga untuk SUV lima-tempat duduk tersebut kini didedahkan. Seperti dilaporkan sebelum ini, Australia akan menjadi negara pertama di dunia menerima Koleos, dan dijangka akan mendarat di Malaysia September ini.

    Koleos varian terendah untuk pasaran Australia ialah model Life 4×2, yang akan dijual pada harga AUD$29,990 (RM91,489). antara ciri standard untuk varian ini adalah termasuk upholsteri kain, penghawa dingin dua-zon, lampu hadapan automatik, sistem infotaimen R-Link dengan skrin sesentuh 7.0-inci, kamera undur, penderia parkir, Bantuan Mula Mendaki dan roda aloi 17-inci.

    Varian kedua adalah model Zen, yang hadir dengan versi 4×2 dan 4×4. Untuk varian 4×2 ia dijual pada harga AUD$33,990 (RM103,799), manakala untuk versi 4×4 pula dijual pada harga AUD$36,49 (RM111,435). Varian spesifikasi pertengahan ini dilengkapi dengan ciri seperti brek parkir elektronik, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem navigasi, sistem infotainmen R-Link 2, upholsteri balutan kulit dan roda aloi 18-inci.

    Varian tertinggi – Intens hanya ditawarkan dengan versi 4×4, dan ia dijual pada harga AUD$43,490 (RM132,812). Intens dilengkapi dengan ciri lengkap terdiri daripada lampu hadapan LED Pure Vision, skrin sesentuh bersaiz 8.7-inci untuk sistem infotainmen R-Link 2, 12-unit pembesar suara Bose, bumbung suria panaromik elektrik, pintu tailgate berkuasa tanpa sentuhan tangan, dan pakej sistem keselamatan yang terdiri dari Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Bantuan Brek Kecemasan, Amaran Keluar Lorong dan Amaran Titik Buta.

    2016-Renault-Koleos-Australia-gallery-9_BM

    Kesemua varian Koleos pasaran Australia dijana oleh enjin petrol 2.5 liter – enjin QR25DE-k2, iaitu enjin yang sama menjana Nissan X-Trail T32. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 169 hp/226 Nm untuk Koleos, dan ia dipadankan dengan kotak gear X-Tronic CVT. Enjin yang sama turut akan digunakan pada model pasaran Malaysia, dan masih lagi belum pasti sama ada versi 4×2 atau 4×4 (atau kedua-duanya) akan ditawarkan.

    Koleos generasi kedua ini dibina berasaskan platform yang sama dengan X-Trail iaitu platform kerjasama Renault-Nissan Common Module (CMF-CD), yang juga merupakan asas binaan Espace, Talisman, Kadjar dan Scenic. Untuk versi pemanduan sebelah kanan, Koleos akan dibina di Busan, Korea Selatan, manakala versi pemanduan sebelah kiri akan dibina di China.

    Untuk pasaran Malaysia, tempahan untuk Koleos akan dibuka pada bulan Ogos ini, tetapi masih lagi tiada apa-apa maklumat dikeluarkan berhubung harga jualannya nanti. Untuk mereka yang menunggu kehadiran SUV ini di Malaysia, apa ciri yang anda harapkan untuk Koleos ini? dan berapa harga yang anda sanggup bayar untuknya? Kongsikan bersama kami diruangan komen di bawah.

     
     
  • J.D Power CSI 2016 – Toyota di tempat pertama

    2016_Malaysia CSI_IG_v1_072616

    Klik untuk besarkan

    Keputusan Kajian Indeks Perkhidmatan Pelanggan (Customer Service Index) atau CSI J.D Power 2016 kini sudah pun dikeluarkan. Penilaian untuk kepuasan pelanggan di pusat servis ini menyaksikan Toyota menduduki tempat pertama.

    Kajian yang kini masuk tahun ke-14, dibuat berdasarkan respon dari 3,257 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan berjenama pasaran besar (tiada jenama premium) antara Februari 2014 dan Mei 2015, dan membawa kenderaan mereka untuk servis di pusat servis bertauliah antara Ogos 2015 dan Mei 2016.

    Kepuasan pemilik kenderaan baharu terhadap pengalaman perkhidmatan diukur dengan menilai pretasi pengedar dalam lima faktor (dalam susunan kepentingan): kualiti servis (32%); permulaan servis (22%); ambilan semula kenderaan; penasihat servis (15%); dan fasiliti servis (13%).

    Edisi tahun ini menunjukkan sedikit peningkatan dalam kepuasan pelanggan kenderaan berjenama pasaran besar, dengan purata 751 markah (dalam skala 1,000 markah) berbanding 749 markah tahun lalu. Faktor lain dilihat meningkat, cuma kepuasan terhadap penasihat servis telah menurun satu peratus.


    Klik untuk besarkan

    Toyota menduduki tempat pertama dengan mendapat 763 markah, naik tujuh markah berbanding tahun lalu. Kajian menunjukkan jenama berkenaan mempamerkan pretasi memberangsangkan dalam faktor permulaan servis, penasihat servis dan kualiti servis.

    Tempat kedua pula dirangkul oleh Mazda dengan 760 markah, diikuti Mitsubishi di tempat ketiga dengan 758 markah. Kemudian diikuti dengan Kia (755), Isuzu (753), Honda (752), dan Nissan (751).

    Perodua dan Volkswagen memperolehi markah yang sama iaitu 749, sedikit rendah berbanding markah purata keseluruhan, manakala Hyundai pula menduduki tangga kesepuluh dengan 748 markah, diikuti Proton dengan 745 markah. Ford pula berada di kedudukan terakhir dengan 745 markah.

    Kajian juga mendedahkan beberapa penemuan penting, di mana jenama nasional Malaysia menunjukkan peningkatan, dengan purata 747 markah, naik lima markah berbanding tahun 2015. Juga, kini lebih ramai pelanggan menerima peringatan rutin servis mereka iaitu 41% berbanding hanya 30% pada tahun lalu. Pelanggan juga kini dilihat lebih gemar berbincang berkenaan keperluan servis mereka sebelum menghantar kereta mereka ke pusat servis (26% tahun ini berbanding 22% tahun lalu).

    2016_Malaysia CSI_IG_v1_072616

    Klik untuk besarkan

    Penemuan lain yang diperolehi menunjukkan 31% (lebih dari 10%) responden perlu menunggu tiga atau lebih hari untuk purata temu janji dengan markah kepuasan keseluruhan 743. Pada sisi lain pula, pelanggan perlu menunggu dua hari atau kurang untuk purata temu janji (69% dari responden) dengan kepuasan keseluruhan 768 markah.

    Akhir sekali, pelanggan yang sangat berpuas hati dengan khidmat pengedar mereka (meraih 823 markah dan keatas), 46% daripada mereka mengatakan “pasti akan” kembali ke pengedar mereka untuk servis selepas tamat waranti dan 50% “pasti akan” mengesyorkan pengedar mereka kepada kawan dan keluarga yang lain.

    Untuk pelanggan yang tidak berpuas hati (meraih markah 690 dan ke bawah), hanya 15% daripada mereka mengatakan “pasti akan” kembali ke pengedar mereka untuk servis selepas tamat tempoh waranti dan hanya 11% daripada mereka “pasti akan” mengesyorkan pengedar mereka kepada kawan dan keluarga yang lain.

    Menurut J.D Power, untuk penilaian CSI ini, penasihat servis memainkan peranan yang penting dalam menentukan kepuasan pelanggan. “Ungkapan ‘anda hanya mempunyai satu peluang untuk memberikan tanggapan pertama yang bagus,’ merupakan huraian yang tepat untuk interaksi penasihat servis dengan pelanggan,” kata Rajaswaran Tharmalingam, ketua untuk Malaysia bagi J.D Power.

    “Dengan tekanan pada kehidupan moden, pemilik kenderaan di Malaysia jelas mempunyai waktu yang terhad bagi melengkapkan tugas penting tetapi memakan masa ini dengan cara mudah. Tambahan pula, adalah kritikal untuk pengedar memastikan mereka mempunyai penasihat servis dengan nisbah mencukupi yang akan menunjukkan kemahiran mengendalikan pelanggan berkualiti tinggi bagi memenuhi jangkaan pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • GALERI: MINI JCW Pro Edition kini di Auto Bavaria

    MINI JCW Pro Edition -1

    Mini Malaysia minggu ini memperkenalkan edisi khas khusus untuk pasaran Malaysia, MINI John Cooper Works Pro Edition, dengan hanya 20 unit terhad ditawarkan bagi model F55 MINI Cooper S 5-pintu berkenaan.

    Kini dipamerkan di Auto Bavaria Glenmarie, pakej JCW Pro Edition ini merangkumi bodykit aerodinamik yang terdiri daripada front splitter, bampar belakang, spoiler belakang dan kit sisi badan bernilai RM16,283. Ia disertakan dengan rim 18 inci JCW Pro Jet Black, bernilai RM14,858.

    Dari sudut prestasi, model khas ini turut melibatkan kemaskini enjin dan sistem peredam ekzos berinjap yang bernilai RM10,000. Ini membolehkan enjin B48 2.0L, turbocaj empat silinder petrol ini menjana 211 hp kuasa berbanding 192 hp, sementara tork pula ditingkatkan kepada 300 Nm, berbanding 280 Nm pada enjin standard.

    Pakej terhad JCW Pro Edition ini juga menampilkan ciri kawalan jauh Bluetooth bagi pilihan sistem ekzos yang didatangkan dengan dua mod; Sport bagi pemanduan seharian dan Track untuk pemanduan agresif.

    Sistem berkenaan diselia menggunakan teknologi Bluetooth 4.0 tanpa wayar, yang membolehkan pemandu menukar mod hanya dengan dua kali klik. Ekzosnya juga disertakan dengan perincian gentian karbon, bernilai RM3,000.

    MINI JCW Pro Edition dijual pada harga RM255,888 atas jalan, tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan jaminan empat tahun tanpa had MINI dengan servis berjadual percuma. Jika anda berminat untuk mendekati model ini sendiri, tempah slot temu janji anda.

     
     
  • GM dan Isuzu akhiri kerjasama pembangunan trak pikap di Asia – apa pula nasib Chevrolet Colorado?

    2017 Chevrolet Colorado High Country 2

    Semalam, kami melaporkan pengesahan Mazda bahawa trak pikap BT-50 generasi terbaharu keluarannya nanti akan dibangun berdasarkan model Isuzu D-Max, dan tidak lagi menggunakan model Ford Ranger sebagai asasnya seperti sebelum ini. Pegawai Eksekutif, Pasaran Membangun Mazda, Hiroshi Inoue memaklumkan wakin media Asean minggu ini bahawa trak pikap satu tan yang dibangunkan nanti akan dibezakan seperti mana perbezaan pada BT-50 dan Ranger dahulu.

    Dengan perkembangan terbaru ini, bagaimana pula dengan kerjasama antara Isuzu dan General Motors (GM) yang sebelum ini terlibat dalam usaha sama membangunkan Chevrolet Colorado? Ia akan ditamatkan. Pengeluar yang terlibat menyatakan pihak mereka telah membatalkan perjanjian pembangunan trak pikap pada 2014. Yang terakhir adalah di bawah perjanjian pembangunan bersama yang dimulakan sejak 2006, seperti dilaporkan Automotive News.

    Perkara ini turut disebabkan oleh peralihan fokus GM yang berpusat di Detroit untuk memberi tumpuan kepada kenderaan yang lebih mewah, manakala pengeluar Jepun pula kekal dengan tumpuan bagi menghasilkan kenderaan komersial. Syarikat berkenaan turut memaklumkan, perjanjian kerja sama berasingan, terutama yang melibatkan kenderaan komersial di Amerika, akan diteruskan.

    Colorado Xtreme and Trailblazer Premier 1

    “GM dan Isuzu bersetuju, disebabkan keperluan-keperluan unik kedua-dua syarikat, pembangunan bersama bagi trak pikap saiz sederhana generasi seterusnya bagi GM tidak lagi menjadi model optimum bagi projek berkenaan,” memetik kenyataan dari pihak GM.

    “Arah tuju yang ingin diambil oleh kedua-dua syarikat kini sudah berubah,” ujar seorang jurucakap Isuzu. Beliau turut menambah, syarikat Jepun itu berhasrat untuk meneruskan penghasilan trak pikap untuk digunakan sebagai jentera kerja lasak termasuk bagi pasaran Australia, Timur Tengah dan Asia.

    Seorang eksekutif GM menyatakan “keperluan unik” bagi syarikat itu ialah berkaitan peralihan strategik yang mula dilakukan tahun lalu di Asia Tenggara, di mana syarikat itu kini ingin memberi fokus dan bersaing dalam pasaran trak dan SUV yang lebih mewah di rantau ini.

    2017 Chevrolet Colorado 1

    Di sebalik menerima banyak manfaat dalam usaha sama itu, seperti perkongsian kos, eksekutif GM yang enggan namanya disiar itu memaklumkan Automotive News bahawa GM memutuskan untuk tidak akan meniru pesaing dari Jepunnya itu bagi pasaran yang didominasi oleh jenama-jenama seperti Isuzu, Toyota dan Mitsubishi.

    Buat masa ini, GM mengeluarkan Chevrolet Colorado yang diasaskan daripada model Isuzu D-Max. Begitu juga dengan SUV tujuh tempat duduk, Chevrolet Trailblazer, yang kedua-duanya turut dipasang di Thailand dan Australia.

    Tahun lalu, GM menyatakan akan kembali kepada segmen trak komersial tugas sederhana yang tidak diwakilinya sejak tujuh tahun lalu. Syarikat itu merancang untuk menjual trak pikap Isuzu sebagai model rebadge Chevrolet.

    Beberapa lagi perkembangan GM di Asia turut melibatkan penutupan kilangnya di Indonesia yang mengeluarkan MPV bajet, Spin, yang sangat mahal untuk dibangunkan. Dalam tempoh sama, syarikat itu juga mengumumkan penamatan pengeluaran model Sonic sedan dan hatchback di Thailand.

     
     
  • Kawasaki Z125 Pro dipanggil balik akibat masalah penyerap hentak belakang – bagi pasaran Amerika

    2016-Kawasaki-Z125-Pro-EFI-6-850x610

    Kawasaki di Amerika Syarikat memanggil semula model Z125 Pro 2016 akibat masalah yang dihadapi pada bahagian penyerap hentak bahagian belakangnya.

    Sejumlah 1,282 unit model berkenaan yang dikilangkan dalam tempoh 4 Februari hingga 7 June 2016 dipercayai dipasang dengan penyerap hentak belakang yang mudah bocor. Akibatnya, komponen berkenaan akan gagal berfungsi seperti yang sepatutnya dan meningkatkan risiko kemalangan. Untuk pasaran di sana, pemilik akan diberi komponen baharu tanpa sebarang caj dikenakan.

    Model Kawasaki Z125 Pro ini turut dijual untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan enjin 125 cc, silinder tunggal, empat injap dengan sejukan udara yang menghasilkan 9.8 PS pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 6,000rpm. Ia menggunakan sistem EFI, dan dijual pada harga RM10,435 termasuk GST.

    Sebarang maklumat lanjut berkaitan model ini di Malaysia, sama ada ia akan turut dipanggil semula akan dimaklumkan nanti.

     
     
  • PTPTN kaji mekanisme baharu bantu pengeluar automotif tingkatkan semula angka jualan kenderaan

    Car-loan-purchase-bankrupt

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal mengumumkan kaedah atau mekanisme baharu bagi mengatasi rungutan syarikat pengeluar kenderaan yang mendakwa jualan kenderaan terjejas akibat daripada nama pembeli yang disenarai hitamkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman PTPTPN.

    Menurut laporan Bernama, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat untuk kebaikan semua pihak.

    “Pendekatan yang diambil adalah bagi membantu syarikat jualan kenderaan yang kononnya terjejas akibat beberapa tindakan penguatkuasaan oleh PTPTN dan CCRIS terhadap peminjam,” katanya dalam sebuah sidang media di Lenggong, Perak semalam.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan penjualan kereta terjejas ekoran bank mengetatkan pinjaman kepada pemohon termasuk pemohon yang baru mendapat pekerjaan kerana mereka tidak membayar balik pinjaman PTPTN.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz A-Class generasi berikutnya dikesan sedang membuat ujian jalan raya

    2018-Merc-A-Class-spied-2_BM

    Sebuah Mercedes-Benz A-Class dijumpai sedang diuji di selatan Eropah. Model berkenaan dibina berasaskan platform MFA2 yang lebih ringan dan boleh dijana dengan lebih banyak pilihan unit janakuasa berbanding platform MFA yang sekarang ini digunakan untuk A-Class hatchback, crossover GLA dan coupe empat pintu CLA sedia ada.

    Penyamaran yang dikenakan pada kereta ini menyembunyikan rekaan hadapannya, dan penutup bonet menampakkan perubahan signifikan berbanding model sedia ada. Bahagian belakang juga memperlihatkan A-Class baharu ini akan dilengkapi dengan lampu belakang two-piece pada bahagian badan dan pintu tailgate seperti model GLA.

    Rekaan berkenaan adalah untuk menjadikan bukaan pintu tailgate tersebut menjadi lebih luas dan besar, memudahkan barang yang besar untuk dimasukkan ke ruang kargo. Bahagian profil sisi pula menyerlahkan A-Class generasi baharu ini masih mempunyai garis badan seiras dengan model sedia ada.

    2018-Merc-A-Class-spied-7_BM

    Khabar angin mengatakan dua bentuk badan akan ditawarkan iaitu bentuk standard hatchback lima pintu dan juga sedan empat pintu yang dibina lebih luas berbanding sedan CLA sedia ada, dimana model sedan berkenaan adalah untuk pasaran China. Model ini juga dijangka akan dikuasakan dengan enjin Mercedes-Benz empat silinder petrol dan diesel.

    Model berprestasi tinggi AMG pula dijangka akan menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dari enjin petrol 2.0 liter turbo dan turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda 4Matic. Sistem 4Matic ini juga turut dijangka akan dipadankan pada varian petrol dan diesel.

    Platform MFA2 ini juga dikatakan akan dijadikan asas kepada pembinaan model B-Class, CLA generasi seterusnya serta SUV baharu – GLB, sebagai sebahagian pelan Mercedes-Benz untuk merombak barisan modelnya agar lebih berkembang. Model A-Class generasi baharu ini dijangka akan membuat penampilan sulungnya pada Frankfurt Motor Show 2017, dan penghantaran kepada pelanggan dibuat pada 2018.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025