Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Renault Koleos 2016 – risalah untuk pasaran Malaysia didedahkan, bakal dilancarkan September ini

    Klik untuk besarkan

    Renault Koleos baharu dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada September ini, dan kami mempunyai perincian mengenai model spesifikasi tempatan ini.

    Kami memperoleh risalah Koleos baharu ini di bilik pameran Renault Malaysia di Glenmarie, di mana ia sedang mempamerkan model replika jentera lumba Renault RS 16 Formula One 2016 sehingga 7 Ogos 2016.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, enjin petrol empat-silinder ini menjanakan kuasa sehingga 170 PS pada 6,000 rpm dan tork 226 Nm pada 4,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT. Walau bagaimana pun, risalah ini tidak memberikan perincian mengenai kapasiti enjin, namun berdasarkan angka kuasanya, ia adalah unit 2.5 liter sama seperti T32 X-Trail.

    Klik untuk besarkan

    Mengenai prestasinya, Koleos dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j, dengan 0-100 km/j dalam hanya 9.5 saat. Menurut New European Driving Cycle (NEDC), SUV ini hanya menggunakan sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km.

    Bagi luarannya, Koleos dilengkapi lampu utama LED sepenuhnya (dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C), rim aloi Argonaute 18-inci, pengesan parkir depan dan belakang, serta kamera pandang belakang.

    Di dalamnya, ia turut menampilkan tempat duduk berkuasa (bersama pelarasan sokongan belakang) bagi pemandu, tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan hanya sentuhan pada butangnya, paparan instrumen TFT berwarna 7-inci, sistem infotainmen R-Link 2 dengan skrin sentuh berwarna 8.7-inci. Bagi keselamatan, ia turut disertakan dengan enam beg udara dan sistem amaran titik buta.

    Menjelang pelancarannya pada September ini,Renault Malaysia dijangka akan mengumumkan tempahan Koleos baharu ini bakal dibuka tidak lama lagi. Pembeliannya turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun. Namun, harganya masih belum didedahkan lagi.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda Future FI – kapcai 125 cc yang kita terlepas pandang; adakah harganya berpatutan?

    Honda Future F1 02

    Pilihan dalam pasaran tempatan bagi motosikal underbone atau kapcai sangat banyak. Ini kerana, motosikal kuasa rendah seperti itu menjadi semacam satu kaedah pergerakan yang paling cekap dan jimat bagi kebanyakan orang. Dan, Boon Siew Honda sejak dahulu lagi menjadi satu nama yang sinonim dalam menawarkan motosikal ‘cub’.

    Siapa yang boleh melupakan model-model ikonik massa seperti Honda C70 atau EX-5, sebuah model yang kini tidak dapat dinafikan sebagai kapcai terpenting dan mungkin saja menjadi model paling laris yang pernah dikeluarkan oleh Boon Siew Honda untuk pasaran Malaysia.

    Kita lihat pula penawaran kapasiti enjin sebahagian kapcai yang ada; juga sangat pelbagai. Mondenas misalnya ada model-model 100 cc, 110 cc, 115 cc serta 130 cc. Begitu juga dengan pesaing utama Honda, Yamaha memiliki banyak juga penawaran enjin bagi kapcainya; selain 110 cc, paling popular mungkin 135LC yang mendominasi pasaran kapcai.

    Yang terbaharu, kapcai dengan enjin 150 cc pula diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Dengan terlalu banyak pilihan, serta sesaran enjin yang berbeza hanya beberapa cc antara motosikal-motosikal terbabit, bagaimana untuk memilih mana satu yang lebih sesuai?

    Bagi motosikal jenis ini, sedikit perbezaan sahaja, misalnya pada kapasiti enjin, sudah cukup untuk memberikan kelainan yang agak ketara. Tidak dinafikan, bagi kebanyakan orang, sedikit perbezaan harga di antara semua pilihan yang ada ini turut menjadi penentu kapcai mana yang akan dimiliki. Walaupun melibatkan perbezaan prestasi, ramai yang melihat kepada aspek harga mana yang lebih bersesuaian dengan kemampuan poket masing-masing dalam membuat keputusan akhir.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BMW Driver Training – asah kemahiran memandu

    20160625_1017

    Saban tahun, BMW akan mengadakan program BMW Driver Training khas untuk anda mengasah bakat pemanduan. Dua kategori kelas disediakan iaitu kelas Advanced Driver Training yang menekankan asas keselamatan semasa memandu manakala kelas Intensive Driver Training yang akan memberikan panduan dan latihan terhadap pemanduan berprestasi tinggi.

    Tahun ini saya bertuah kerana dijemput untuk menyertai BMW Advanced Driver Training yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Selain dari BMW, Continental Tyres Malaysia juga turut hadir sebagai pembekal tayar untuk program ini. Kami berada seharian di SIC bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang, dipenuhi dengan pelbagai latihan memandu yang mengujakan menggunakan BMW 120i M Sport baharu, dibimbing oleh tenaga pengajar profesional.

    20160625_1064

    Program dimulakan dengan kelas teori pemanduan terlebih dahulu yang diadakan selama 60 minit. Setelah itu, kelas praktikal pertama dimulakan dengan cara-cara mendapatkan posisi yang betul semasa memandu.

    Secara ringkas, posisi yang betul untuk duduk di tempat duduk pemandu adalah; kepala anda perlu berjarak empat jari dari bumbung (untuk memastikan mata anda mendapat sudut pandangan paling jelas), kepala berada pada perehat kepala dengan jarak minimum (untuk memastikan leher tidak menanggung beban berlebihan sekirannya anda dilanggar dengan kuat dari bahagian belakang), dan dada tidak terlalu jauh atau terlalu dekat pada stereng dengan memastikan stereng berada pada pergelangan tangan ketika anda duduk tegak (untuk memastikan anda boleh menekan pedal brek sepenuhnya jika diperlukan).

    Kemudian kami bergerak ke lapangan latihan memandu yang pertama – untuk latihan slalom. Latihan ini adalah untuk membiasakan kami menggunakan teknik yang betul memutar stereng tanpa menyilangkan tangan. Teknik ini memerlukan kami sentiasa memegang stereng pada kedudukan pukul-2 dan pukul-10, dan menggunakan teknik menolak roda stereng jika putaran melebihi 180 darjah diperlukan.

    20160625_1090

    Selesai aktiviti slalom, kami bergerak pula untuk latihan mengelak halangan secara mengejut. Aktiviti ini memerlukan kami mengelak halangan pada kelajuan 70 km/j tanpa menekan brek iaitu simulasi mengelakkan sesuatu yang tidak diduga ketika sedang memandu di lebuh raya. Sebuah kon diletakkan di tengah laluan yang perlu kami elakkan dengan ruang yang cukup sempit.

    Perkara utama untuk lulus dalam latihan ini adalah, kami diajar untuk melihat kepada ruang yang ada untuk mengelak, berbanding terus melihat kepada objek yang menjadi halangan berkenaan. Ternyata, tunjuk ajar dari tenaga pengajar terbukti benar, setelah kami berjaya mengelak halangan secara mengejut dengan memfokuskan ruang mengelak yang ada, walaupun pada jarak yang sangat sempit.

    Latihan diteruskan selepas rehat makan tengah hari, di mana kali ini kami diberikan latihan untuk mengagak jarak berhenti ketika membuat brek kecemasan. Untuk permulaan kami dibiasakan dengan karekter sistem ABS pada kereta ketika brek ditekan sepenunhnya semasa kecemasan. Kemudian, teknik membrek kami diperkemaskan dengan latihan mengagak jarak ketika membrek kecemasan pada kelajuan-kelajaun tertentu.

    Selepas itu, latihan diteruskan pula dengan latihan memperbetulkan arah kereta ketika berlakunya understeer. Understeer ialah situasi di mana kereta tidak mahu bergerak kearah pusingan stereng, sebaliknya terus terbabas kehadapan. Ia biasanya berlaku jika pemandu masuk keselekoh dengan kelajuan yang terlalu tinggi atau dalam keadaan jalan yang basah. Untuk latihan ini, kami diajar untuk menggunakan sepenuhnya sistem Kawalan Stabiliti Kenderaan (ESP) yang dilengkapi pada BMW 120i M Sport ini, meredah selekoh buatan yang telah pun dituang dengan cecair yang licin.

    Setelah selesai dengan latihan understeer, kini tiba untuk latihan yang paling seronok dalam program ini iaitu mematikan sistem ESP dan mengawal pergerakan oversteer BMW 120i M Sport. Oversteer dalam bahasa mudahnya seringkali dirujuk sebagai ‘buang belakang’. Latihan ini dilakukan diselekoh yang sama, dengan dituang bahan pelincir yang sama ketika latihan understeer.

    Mengapa sistem ESP perlu dimatikan ketika latihan ini? Kereta-kereta baharu yang dilengkapi sistem ESP adalah mustahil untuk ter’buang belakang’ kerana kesemua angkup breknya dikawal oleh komputer ESP. Oleh itu, satu-satunya cara untuk merasai oversteer adalah mematikan sistem ESP.

    Sebelum kami diajar bagaimana untuk mengawal oversteer, setiap peserta dimestikan merasa bagaimana kereta berpusing di selekoh. Jadi kesemua kami perlu untuk menekan maksimum pedal pendikit di selekoh yang licin, dan nyata aktiviti ini mengukir senyuman setiap peserta.

    Selepas itu, kami diajar pula bagaimana untuk mengawal kereta dari berpusing ketika situasi ini. Secara asasnya, sekali lagi pemandu perlu melihat ruang dan arah yang tuju selamat. Kemudian, pedal pendikit perlulah dilepaskan dan roda stereng dikawal kearah laluan yang telah ditentukan tadi. Untuk peserta yang berpengalaman, ini masanya untuk memperlihatkan kemahiran drift mereka!

    Latihan terakhir adalah ujian untuk menggunakan seluruh kemahiran yang telah diajar sepanjang hari ini. Sebuah litar gymkhana kecil dibuat menggunakan kon – merangkumi laluan slalom, selekoh ‘U’ besar, diakhiri dengan sebuah petak berhenti – dan setiap peserta perlu bertanding antara satu sama lain untuk mencatatkan masa terpantas dalam litar tersebut. Masa keseluruhan yang dicatat akan ditolak lima saat untuk setiap kon yang dilanggar oleh peserta.

    20160625_1320

    Sebelum program ini tamat, kesemua peserta diberi peluang untuk duduk didalam BMW 120i M Sport yang dipandu oleh pemandu professional, mengelilingi litar lengkap SIC.

    Dengan disiplin yang ditunjukkan oleh tenaga pengajar dan peserta, acara ini tamat tepat pada waktunya iaitu sekitar pukul enam setengah petang. Ia diakhiri dengan minum petang serta majlis penyampaian sijil untuk semua peserta dan juga penyampaian hadiah untuk mereka yang mencatatkan masa terpantas dalam perlumbaan gymkhana.

     
     
  • Naza Kia tawar rebat istimewa sempena Merdeka

    SONY DSC

    Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi bagi jenama Kia di negara ini turut mengambil kesempatan bagi meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-59 tahun dengan menawarkan rebat istimewa untuk semua model Kia.

    Bagi yang berminat dengan Kia Cerato KX, ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM79,000 (tanpa insurans), berbanding RM89,888 ketika dilancarkan pada 2014 lalu. Ia dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma D-CVVT empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 130 PS dan tork 157 NM serta dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Selain itu, rebat sehingga RM14,888 turut diberikan kepada model Kia yang lain termasuk Rio Sedan, Rio lima-pintu, Cerato, Cerato Koup dan Optima K5. Walau bagaimana pun, kempen istimewa ini tidak melibatkan model Sorento dan Sportage serba baharu.

    Menurut Naza Kia Malaysia lagi, tawaran ini hanya terhad sepanjang bulan kemerdekaan ini sahaja. Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai, sila berkunjung di mana-mana bilik pameran Kia berhampiran.

     
     
  • Yamaha Ego Avantiz sah dijual pada harga RM5,717

    2016 Yamaha Avantiz Ego -8

    Baru saja dilancarkan beberapa minggu lalu dengan harga anggarannya, Hong Leong Yamaha Motor (HYLM) hari ini mengesahkan harga jualan bagi model Yamaha Ego Avantiz 125cc iaitu RM5,717. Harga berkenaan termasuk GST, namun tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran nombor plat.

    Yamaha Ego Avantiz, sebuah skuter peringkat kemasukan bagi Yamaha, dikuasakan oleh enjin 125cc Single Overhead Camshaft (SOHC), sistem suntikan minyak, sejukan udara dan teknologi BlueCore. Ia disifatkan mampu memberi janaan kuasa yang padu bagi saiznya, yang menyumbang kepada pengalaman tunggangan menyeronokkan, sesuai dengan imej yang ingin ditampilkannya.

    Antra ciri-ciri menarik lain bagi model Ego Avantiz adalah seperti berikut:

    • Penggayaan agresif dengan lampu depan LED boleh laras yang lebih terang
    • Rekaan lampu brek moden
    • Palang pemegang tempat duduk pembonceng lebih ergonomik
    • Ruang simpanan berkapasiti 14 liter
    • Penggunaan brek cakera di bahagian depan
     
     
  • Perodua rasmi masjid di ibu pejabatnya di Rawang

    EMY_0021

    Perodua melaksanakan solat Jumaat pertamanya di masjid yang terletak di Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang, hari ini selepas tempoh dua tahun pembinaannya dengan jumlah kapasiti sebanyak 3,000 jemaah

    Masjid ini merupakan salah satu inisiatif daripada Tanggungjawab Korporat Perodua bertujuan untuk membina hubungan kemasyarakatan di sekitar kawasan ibu pejabat serta memberikan kemudahan kepada warge Perodua sendiri.

    “Kami berharap dengan terbinanya masjid ini ia mampu untuk menjadi pusat yang dapat memenuhi keperluan masyarakat. Selain itu, rumah ibadat ini juga dapat memberi manfaat kepada warga Perodua terutamanya para muslimat untuk melakukan ibadah solat Jumaat dengan mudah dan selamat,” kata Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua.

    Keluasan kawasan masjid adalah 3.74 ekar, manakala pembinaannya berkeluasan sebanyak 0.92 ekar menelan belanja sebanyak RM9.8 juta. Kos ini termasuk kos pembinaan dan kos kelengkapan masjid.

    EMY_0327

    Selain daripada ruang solat, masjid ini juga mempunyai kemudahan seperti gerai jualan makanan dan juga ruangan untuk aktiviti kemasyarakatan (perkahwinan, urusan pengkebumian dan sebagainya).

    Masjid ini juga telah diserahkan kepada masyarakat melalui amalan Islam “Waqaf”. Waqaf ditakrifkan sebagai memberi; jika seseorang mendermakan barang atau hartanya untuk kegunaan dan manfaat semua secara kekal (selaras dengan garis panduan Syariah) atas nama Allah SWT.

    Mengikut undang-undang negeri, masjid ini akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang seterusnya menyerahkan tugas pentadbiran ini kepada jawatankuasa Penaja Masjid Perodua yang diketuai oleh Tuan Haji Noor Hashiman Sulaiman, yang juga merupakan Pengerusi Badan Agama Islam Perodua (BAIP).

    Turut hadir di majlis penyerahan tersebut adalah wakil daripada Istana Selangor, YDH Dato’ Haji Aman Shah Mohd Sahar, Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor, Dato’ Hj Haris Kasim, Pengarah JAIS, Abu Bakar Yang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Dr Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd dan Mohamad Zain Abdul Hamid, Yang DiPertua, Majlis Daerah Hulu Selangor.

     
     
  • Toyota tawar rebat tunai dan hadiah lain Ogos ini

    Screen-Shot-2016-08-05-at-2.15.35-PM_BM

    Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, Toyota menawarkan pelbagai rebat dan aksesori percuma dengan setiap pembelian enam model mereka iaitu Vios, Corolla Altis, Hilux, Camry Hybrid, Avanza dan Innova.

    Untuk pelanggan yang membeli Toyota Vios, mereka akan ditawarkan dengan rebat tunai RM6,500 untuk varian 1.5 TRD Sportivo. Pelanggan juga turut akan menerima sistem infotainmen DVD-Video dan navigasi lengkap dengan kamera undur secara percuma.

    Toyota-Merdeka-Roadshow-Vios_BM

    Untuk pembelian Vios varian 1.5G automatik pula, pelanggan akan menerima sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera dan lampu nyalaan siang (DRL) secara percuma. Manakala untuk pembelian varian 1.5E automatik, anda akan menerima aksesori percuma yang terdiri dari sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera undur, filem penapis haba dan keselamatan Toyota Premium, DRL dan lampu ruang kaki hadapan. Pembelian kedua-dua varian ini turut diberikan rebat tunai sebanyak RM7,500.

    Pembelian Vios varian paling rendah 1.5J (manual/automatik) turut diberikan hadiah iaitu sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera undur, filem penapis haba dan keselamatan Toyota Premium, DRL dan lampu ruang kaki hadapan serta rebat tunai berjumlah RM6,500.

    Toyota-Merdeka-Roadshow-Altis_BM

    Pelanggan yang memilih untuk membeli sebarang varian Toyota Corolla Altis pula akan menerima rebat tunai RM5,500 serta ditawarkan aksesori percuma yang terdiri dari sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera undur, kit aero dan perakam video digital. Khas untuk pembeli Corolla Altis 1.8 G dan 1.8E, mereka turut akan menerima lampu nyalaan siang.

    Jika anda memilih untuk membeli trak pikap Hilux Double Cab 2.8G (AT) 4X4, Double Cab 2.4 (MT) 2X4 dan 2.4G (MT) 4X4, anda akan menerima rebat tunai sebanyak RM2,000. Manakala untuk pembelian varian Double Cab 2.4G (AT) 4X4 pula, anda akan menerima rebat tunai RM4,000.

    Screen-Shot-2016-08-05-at-2.14.28-PM-e1470377928451_BM

    Toyota turut memberikan Camry Hybrid dengan rebat lumayan sebanyak RM8,000 serta pelbagai aksesori percuma. Untuk setiap pembelian Avanza semua varian juga akan menerima rebat tunai sebanyak RM1,500.

    Akhir sekali, untuk MPV Innova, untuk pembelian varian 2.0G automatik akan menerima sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera undur, filem penapis haba dan keselamatan Toyota Premium, monitor bumbung serta pam tayar mudah alih. Tiada rebat tunai ditawarkan untuk model ini.

    Toyota-Merdeka-Roadshow-Innova_BM

    Untuk Innova 2.0E (manual/automatik) pula, pembeli akan menerima sistem infotainmen navigasi DVD-audio dengan kamera undur. Pembeli Innova 2.0E versi manual akan menerima rebat tunai RM4,000 manakala untuk versi automatik pula pembeli akan menerima rebat tunai RM6,000.

    Promosi ini hanya sah sehingga 31 Ogos 2016, sementara stok masih ada. Acara Toyota Nationwide Roadshow pula akan bermula 10 Ogos ini hingga November nanti.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Innova baharu dikesan di M’sia

    spyshots-new-innova-malaysia-1

    Toyota Innova serba baharu merupakan antara empat model yang bakal diperkenalkan oleh UMW Toyota sebelum 2016 melabuhkan tirainya.

    Ketika pelancaran Toyota Alphard dan Vellfire baharu semalam, UMW Toyota telah mengesahkan Innova 2016 akan dilancarkan tidak lama lagi, selain Sienta, Vios dan Camry.

    Hari ini kami menerima kiriman foto spyshot Innova serba baharu dari pembaca Daran, yang memakai trade plate dan menutup logonya.

    Perubahan kelihatan pada Innova baharu pada bahagian hadapan, di mana ia menampilkan gril dengan kepingan krom, yang disambungkan pada lampu utama halogen. Malah lampu belakang baharu juga ditampilkan.

    Pertama kali diperkenalkan di Indonesia pada November tahun lalu, Innova menawarkan dua pilihan penjana kuasa iaitu enjin petrol 2.0 liter Dual VVT-i 1TR-FE empat-silinder (139 PS pada 5,600 rpm dan 183 Nm pada 4,000 rpm) atau unit turbodiesel 2.4 liter 2GD-FTV empat-silinder yang sama pada Hilux (149 PS pada 3,400 rpm dan 359 Nm pada 1,200 hingga 2,600 rpm).

    Di pasaran Indonesia, tiga varian ditawarkan iaitu G Type, V Type dan spesifikasi tertinggi Q Type. Ia turut dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED (varian G dan V hanya lampu utama halogen reflektor), sistem hiburan dengan skrin sentuh lapan-inci, tujuh beg udara dan kawalan kestabilan elektronik VSC.

    Buat masa ini, menerusi foto spyshot yang dipaparkan, tidak banyak memberikan perincian elemennya bagi Innova baharu yang bakal diperkenalkan di Malaysia. Kena tunggu menjelang hari pelancarannya.

    GALERI: Toyota Innova baharu di IIMS 2016

     
     
  • Mitsubishi XM Concept akan membuat kemunculan sulung di GIIAS 2016 – bakal mencabar Honda BR-V

    mitsubishi_concept_xm-e1470362262851_BM

    Mitsubishi Motors Corporation (MMC) akan memperkenalkan model konsep Mitsubishi XM buat pertama kali untuk peringkat global di GAIKINDO Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016. Kereta konsep ini merupakan sebuah MPV crossover yang memberikan versatiliti MPV dengan kekuatan dan kebolehan seperti SUV. Model ini dilihat akan menjadi pencabar kepada SUV Honda BR-V, iaitu sebuah crossover tujuh tempat duduk yang dibina berasaskan MPV Honda Mobilio (yang juga diasaskan dari Honda Brio).

    Seperti juga model-model Mitsubishi terbaharu, XM Concept menampilkan rekaan bahagian muka ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi. Gril bahagian atas direka dengan nipis dan diapit lampu hadapan direka dengan sangat tirus. Kedua-dua sisi bampar hadapan direka kelihatan ‘berotot’ dan mengalir ke bahagian dapra.

    Keseluruhan badan XM Concept ini juga kelihatan sasa dan teguh berikutan ruang roda hadapan dan belakang direka dengan agak lebar. Kemasan bar hitam ditempatkan pada tiang-D SUV ini bagi menampakkan bumbungnya kelihatan seperti terapung. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz agak besar untuk mendapatkan kelegaan tanah yang luas, bagi membolehkan ia berfungsi sebagai SUV sebenar. Kemasan berwarna perak juga dipadankan pada bahagian bawah bampar hadapan dan bahagian sisi, berperanan sebagai pelindung bahagian bawah.

    Ruang dalaman SUV ini menampilkan bentangan tempat duduk tiga baris, bagi membolehkan ia membawa tujuh orang penumpang dengan selesa. Tempat duduk berkenaan juga boleh diubah dengan pelbagai konfigurasi susunan. Papan pemuka direka dengan susunan melintang dan konsol tengah yang lebar diletakkan pada kedudukan tinggi, menyerlahkannya sebagai sebuah MPV. Keseluruhan bahagian dalaman model konsep ini diberikan tema warna hitam-putih bersama kemasan berwarna perak.

    Versi produksi MPV Mitsubishi XM Concept ini akan dikilangkan bermula Oktober 2017 di kilang baharu Mitsubishi yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia turut akan dipamerkan bersama model Pajero Sport dan Mirage facelift di GIIAS 2016 yang akan berlangsung minggu hadapan.

     
     
  • D-Max bantu lonjakan jualan untuk Isuzu Malaysia bagi separuh pertama 2016 – meningkat 10.6%

    isuzu-d-max-v-cross-093

    Isuzu Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media mengenai rekod jualannya bagi separuh pertama 2016. Model trak pikap D-Max dilihat sangat membantu meningkatkan jualan dengan pertambahan sebanyak 10.6% atau 3,069 unit berbanding tempoh sama pada tahun 2015. Perkongsian pasarannya juga meningkat sebanyak 3.4% untuk mencatat penguasaan 14.7% dalam segmen trak pikap.

    Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Hajime Machimura berkata permintaan tinggi terhadap D-Max kekal konsisten. Biarpun di sebalik corak pasaran dan sentimen pengguna yang kurang memberangsangkan.

    “Kenderaan Isuzu dilihat dapat meyakinkan pengguna kerana ia mampu menawarkan penyelesaian yang terbaik, menerusi aspek nilai, kebolehpercayaan dan karekter pemanduan yang cemerlang. Ia sememangnya memberi kelegaan ketika pengangkutan menjadi satu beban yang terpaksa dipikul oleh pengguna,” kata Machimura.

    Pada 23 Mei lalu, Isuzu Malaysia telah melancarkan D-Max Beast yang hanya dihasilkan sebanyak 360 unit. Ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri asas D-Max varian tertinggi tetapi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan dan aksesori ‘edisi-terhad’ bagi meletakkannya pada tahap tersendiri.

     
     
  • Khairul Idham Pawi dihadiahkan no.plat PATRIOT 89

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-18-850x567

    Pelumba Moto3 Negara, Khairul Idham Pawi menerima no. plat PATRIOT 89 sebagai tanda penghargaan atas jasanya mengharumkan nama negara, lapor BHOnline.

    No. plat berkenaan dihadiahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Yayasan Patriot Negara Malaysia dan beliau bebas sama ada untuk menggunakannya pada kenderaan sendiri atau menjualnya untuk membiayai kos pegawai pengiring.

    Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata plat berkenaan diletakkan tanda harga bidaan antara RM30,000 hingga RM50,000 dan beliau berharap syarikat swasta atau badan korporat lain tampil memberi penajaan tanpa mengira ganjaran berbentuk wang atau sumbangan lain. Ini bagi memastikan kebajikannya terjaga, sekali gus terus menjulang nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

    Sementara itu, Pengarah Kreatif Yayasan Patriot Negara Malaysia, Yann Razal mengucapkan tahniah kepada Khairul Idham berikutan kejayaannya bergelar juara Moto3 sebanyak dua kali, iaitu pada saingan GP Argentina dan Jerman. Katanya, kejayaan yang dicapai pelumba muda itu membanggakan negara selain dapat dijadikan inspirasi kepada golongan muda dan mampu memupuk semangat patriotik serta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

     
     
  • Proton melanjutkan operasi 7 hari di pusat servis, kurangkan harga bagi alat ganti sehingga 30%

    proton-pasir-gudang-johor-3s-a

    Proton telah memperluaskan operasi tujuh hari di pusat-pusat servis terpilih yang terdiri daripada cawangan 3S dan 2S, berkuatkuasa pada 6 Ogos 2016. Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengutamakan pelanggan, syarikat ini mahu memperhebatkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya.

    Operasi selama tujuh hari ini bertujuan untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan untuk kereta mereka dibaiki dan memberikan lebih pilihan untuk mereka menghantar kereta bagi tujuan servis dan penyelenggaraan pada hujung minggu.

    “Apabila kita memulakan operasi selama tujuh hari di pusat-pusat servis yang terpilih sebelum ini, ia hanya menyediakan perkhidmatan servis biasa dan waktu operasi hanya sehingga pukul 12 tengahari pada hari minggu. Tetapi sekarang, bagi pusat-pusat servis yang terpilih kami telah melanjutkan waktu operasi pada hari Ahad iaitu sehingga jam 5 petang.”

    “Dengan penambahbaikan yang diberikan ini, pelanggan kami kini lebih mudah untuk menghantar kereta mereka untuk diservis dan membuat tuntutan jaminan pada hujung minggu. Ini merupakan antara langkah bagi menyediakan kemuadahan kepada mereka terutamanya jika mereka tidak berkesempatan untuk mengambil cuti pada hari biasa,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Bermula 6 Ogos ini, sembilan pusat servis akan menyediakan perkhidmatan tujuh hari ini termasuk tuntutan jaminan dan pembaikan. Dari Johor ke Pulau Pinang, cawangan-cawangan yang terlibat ialah Plentong, Johor Bahru, Peringgit, Melaka, Senawang, Seremban, Temerloh, Alor Setar, Jalan Tunku Abdul Rahman, Ipoh, Juru Pulau Pinang, Mutiara Damansara Petaling Jaya dan Pusat Kecemerlangan di Subang.

    Manakala dari 1 Oktober ini pula, penambahan 14 lagi pusat servis akan menyusul dan empat cawangan seterusnya akan mula memberikan perkhidmatan yang sama pada 1 Disember 2016.

    Waktu perniagaan bagi kesemua cawangan ini adalah dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dari Isnin hingga Ahad, dan untuk memastikan kekosongan slot bagi servis, pelanggan dinasihatkan untuk membuat temujanji di cawangan-cawangan ini, temujanji secara ‘walk in’ juga sangat dialu-alukan.

    Dalam masa ya g sama, mula 1 Ogos lalu, Proton telah melaksanakan kajian semula harga bagi alat-alat ganti terpilih termasuk pengecas turbo, ECU dan himpunan transmisi. Kajian semula harga pada alat-alat ganti ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pelanggan menggunakan alat ganti tulen yang sepatutnya dipasang di semua pusat perkhidmatan yang diiktiraf dan membantu memperbaiki kos pemilikan kereta-kereta Proton. Pengurangan harga bagi alat-alat yang terlibat dalam kajian semula harga ini akan menyaksikan pengurangan sekitar 12% hingga 30%.

     
     
  • Jalan gandar baharu mungkin bakal dibina – Liow

    liow tiong lai

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengeluarkan kenyataan, kementeriannya akan mengemukakan kertas cadangan pembinaan jalan gandar baharu untuk mempertingkatkan produktiviti pengangkutan kepada kabinet bulan ini.

    Katanya, pelaksanaan jalan gandar yang dicadangkan itu akan dapat mengurangkan ketidakcekapan logistik disebabkan kesesakan lalu lintas, masa menunggu dan penggunaan aset yang rendah, laporan Bernama.

    Di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memuktamadkan Kajian Jalan Gandar (Jambatan) di Laluan Persekutuan dan Jalan Utama Negeri di Semenanjung Malaysia pada April lalu. Ia bertujuan meningkatkan produktiviti pengangkutan darat dengan menambah baik kapasiti syarikat pengangkutan.

    “Penambahbaikan seperti itu adalah satu daripada pelaksanaan di bawah Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan (2015-2020) iaitu termasuk bagi fasiliti pengangkutan,” katanya kepada pihak media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Logistik Kebangsaan di Kementerian Pengangkutan semalam.

     
     
  • Ruili DoDa V8 – klon Toyota Alphard dari China

    ruli-v8-china-1-660x475_BM

    Selain dari model-model eksklusif yang hanya dikeluarkan untuk pasarannya, China juga turut terkenal dengan lambakan model-model kereta tempatan dengan rekaan klon yang diambil rekaan jenama-jenama terkenal antarabangsa – contohnya Landwind X7, klon seiras Range Rover Evoque. Sebuah lagi model klon seiras muncul menurut laporan CarNewsChina.com, yang menjadikan Toyota Alphard terbaharu sebagai sasaran.

    MPV bersaiz besar ini dikenali sebagai Ruili DoDa V8. Enjin V8? tidak, ia hanya sebagai nama. Ruili DoDa V8 hanya dijana enjin petrol empat silinder sebaris 2.4 liter yang dibekalkan oleh Mitsubishi, berbanding Toyota Alphard sebenar yang dijana oleh enjin petrol V6 3.5 liter. Papan pemuka DoDa V8 ini pula kelihatan seiras dengan Alphard generasi sebelum ini. Mengapa? ini kerana DoDa V8 dibina berdasarkan MPV Joylong Aifei, iaitu klon Alphard generasi kedua.

    Untuk dimensi, Alphard dan Ruili DoDa V8 mempunyai lebar yang sama iaitu 1,890. Alphard asli diukur sedikit panjang dan dan sedikit tinggi dengan ukuran 4,925mm panjang dan 1,850mm tinggi berbanding DoDa V8 yang berukuran 4,900 mm panjang dan 1,830 tinggi. Jarak roda DoDa V8 pula berukuran 2,950 mm panjang, manakala Alphard asli diukur 50 mm lebih panjang.

    Ruili DoDa V8 belum lagi dilancarkan, tetapi dilaporkan akan dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding Joylong Aifei apabila menembusi pasaran kelak. Dan ia dijangka akan mula masuk ke bilik pameran pasaran China pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Bosch Malaysia mencatatkan jualan sejumlah RM664 juta untuk tahun 2015, naik 10% berbanding tahun lalu

    Bosch-Annual-report_BM

    Bosch Malaysia mencatatkan angka jualan RM664 juta untuk tahun 2015, daripada jumlah keseluruhan RM306 bilion yang dicatatkan kumpulan tersebut untuk peringkat global. Jumlah berkenaan mewakili kenaikan sebanyak 10% berbanding angka jualan tahun lalu.

    “Kami telah melangkaui jangkaan perniagaan kami sendiri pada tahun lalu dengan perkembangan di atas pasaran untuk semua jabatan kami,” kata Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Simon Song.

    Pertambahan jualan berkenaan adalah hasil pelaburan sebanyak RM138 juta pada operasinya di Malaysia, dengan majoriti dari pelaburan tersebut adalah digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini merupakan sebahagian dari RM28 bilion pelaburan global untuk R&D, iaitu sekitar lapan hingga 10% dari pulangan global, kata Song.

    Proton_Iriz_Review_-003

    Bosch turut memperbesarkan lagi kilang multimedia kereta mereka di Pulau Pinang pada April tahun ini, dalam usaha mereka untuk projek pembangunan solusi perhubungan kenderaan masa hadapan. Untuk penyelesaian mobiliti, jualan Bosch juga dilihat meningkat, yang disumbangkan dari segmen produk baharu seperti minyak pelincir kenderaan dan barang-barang yang cepat dijual lain.

    Pada 2015, kilang automotif Bosch di Pulau Pinang mula membekalkan sistem stereng berkuasa elektrik untuk pengeluar automotif tempatan (secara spesifiknya untuk Proton Iriz) iaitu segmen OEM baharu untuk operasi mereka di sini. Malaysia juga dipilih sebagai fasiliti R&D global untuk pembangunan Unit Kawalan Perhubungan (CCU), untuk pasaran Eropah dan China.

    Untuk 2016 pula, Bosch menjangkakan pendapatan mereka akan berkembang antara tiga hingga lima peratus bagi peringkat global. Bosch Malaysia merupakan penyumbang kedua terbesar dalam operasi Bosch Asia Tenggara, dan mempunyai kakitangan seramai 2,600 orang – lebih 4,000 orang jika digabungkan bersama staf operasi pengeluaran – menjadikan ia pasukan kakitangan Bosch terbesar dalam rantau ASEAN.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025