Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 19 pemain Leicester City terima hadiah BMW i8

    Leicster-BMW-i8-1

    Sebagai penghargaan kerana berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu, pengerusi Kelab Bola Sepak Leicester City yang berasal dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, telah menghadiahkan BMW i8 kepada 19 orang pemainnya.

    Billionaire terkenal ini telah membelanjakan sejumlah 2 juta pounds (RM10,524,196) untuk membeli kereta hybrid sport tersebut, yang berharga bermula 104,540 pounds (RM550,100) setiap satu, di United Kingdom.

    Pada mulanya, setiap pemain dijanjikan model B-Class Electric Drive, namun Srivaddhanaprabha mengubah fikiran dan membuat keputusan untuk memberikan jentera yang lebih sporty. Walau bagaimana pun, empat pemainnya iaitu Joe Dodoo, Andrej Kramaric, Yohan Benalouane dan N’Golo Kante, tidak menerima i8 ini.

    Manakala 19 pemain yang bertuah menerima i8 yang kesemuanya berwarna biru, dengan segelintirnya ditampilkan dengan rekaan rim yang berlainan. Jentera ini dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder TwinPower Turbo, dengan bantuan sistem pacuan elektrik eDrive.

    Leicster-BMW-i8-2

    Enjin ini berupaya memberikan gabungan kuasa sehingga 362 hp pada 5,800 rpm dan tork 570 Nm dari 1,200 hingga 5,000 rpm, dan penjana kuasa hibrid ini berupaya memacu i8 dari 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    Dengan penghargaan ini, pastinya membuak-buakkan lagi semangat para pemain Leicester City bagi memastikan trofi ini kekal di Stadium King Power. Malah Srivaddhanaprabha juga tidak kisah berbelanja lebih untuk menghargai para pemainnya jika mereka berjaya berbuat demikian, tetapi sayangnya bila musim baharu berlangsung baru-baru ini, mereka tewas dengan Manchester United dan ia bagaiman petanda yang kurang memberangsangkan.

    BMW i8 dilancarkan di pasaran Malaysia di pameran BMW World Malaysia 2015, dengan harga atas jalan RM1,188,800 tanpa insurans.

    Screen Shot 2016-08-08 at 4.38.33 PM

     
     
  • Proton memperkenalkan aplikasi mudah alih MyProton

    Proton telah memperkenalkan aplikasi mudah alih yang baharu yang dinamakan sebagai MyProton, bertujuan untuk memberi kemudahan kepada semua pelanggan yang memiliki kereta Proton. Pada masa yang sama, membenarkan mereka dan semua bakal pengguna Proton untuk membuat temu janji bagi memandu uji kereta Proton. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.

    Aplikasi ini memberikan beberapa kemudahan bagi penggunanya iaitu membuat temu janji untuk memandu uji kereta Proton, temu janji bagi servis atau penyelenggaraan kereta, sambungan ke panggilan Mobile Assist untuk bantuan dan maklumat mengenai semua model Proton.

    Selain itu, ia turut menyalurkan informasi terkini mengenai promosi dan acara semasa, lokasi jualan PROTON dan pusat-pusat perkhidmatan, sambungan ke saluran media sosial PROTON – Facebook, Instagram dan Youtube dan kalkulator pengiraan pinjaman.

    “Kami memahami bahawa dalam persekitaran yang pesat dan maju, cara terbaik untuk mencapai dan memaklumkan pelanggan adalah melalui aplikasi mudah alih ini. Justeru, kami menyediakan akses kemudahan untuk pelanggan bagi mendapatkan maklumat di hujung jari seiring dengan keperluan pelanggan yang semakin moden. Ini menjadikan perhubungan kepada pelanggan lebih cekap dan berkesan,” ujar Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Dalam fasa perkembangan seterusnya, MyProton akan turut menyediakan akses kemudahan bagi pelanggan untuk menyemak status tempahan kereta, rekod penyelenggaraan, peringatan untuk menyelenggara kereta mereka dan banyak lagi.

     
     
  • Renault Koleos 2016 dibuka tempahan – RM172,800

    Print

    TC Euro Cars (TCEC), pengedar utama bagi model Renault di Malaysia, telah mengumumkan tempahan bagi Renault Koleos 2016 kini mula dibuka. Dijangka dilancarkan pada September ini, harga pengenalan bagi SUV serba baharu ini ialah RM172,800 bagi Semenanjung Malaysia dan RM116,800 di Langkawi (harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans dan untuk pendaftaran persendirian).

    Bagi luarannya, Koleos dilengkapi lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C, rim aloi Argonaute 18-inci, pengesan parkir depan dan belakang, serta kamera pandang belakang.

    Di dalamnya, ia turut menampilkan tempat duduk berkuasa (bersama pelarasan sokongan belakang) bagi pemandu, tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan hanya sentuhan pada butangnya, paparan instrumen TFT berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen R-Link 2 dengan skrin sentuh berwarna 8.7-inci. Bagi keselamatan, ia turut disertakan dengan enam beg udara dan sistem amaran titik buta.

    Klik untuk besarkan

    Koleos serba baharu menampilkan rangkaian kuasa dan teknologi Renault yang telah terbukti. Enjin petrol 2.5 liter yang berkuasa dipadankan dengan transmisi automatik X-Tronic baharu untuk meningkatkan prestasi serta keseronokan memandu. Pada masa yang sama mengoptimumkan penjimatan bahan api.

    Enjin yang efisien ini mampu menjana kuasa maksimum 171 PS dan tork puncak 226 Nm. Ia juga sangat responsif pada kelajuan enjin yang rendah dan sederhana dengan tork 200 Nm boleh diperoleh pada 1,800rpm.

    Menurut Renault, Koleos serba baharu ini dijangka dipasarkan di setiap benua. Justeru, spesifikasi elemennya boleh disesuaikan dengan cuaca berbeza di mana sahaja ia akan dipandu.

    Malah ia juga hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun dan perbatuan tanpa had. Jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault dan tidak dikendalikan oleh mana-mana syarikat insurans. Maka terma dan syarat serta alat ganti yang dilindungi adalah konsisten dari tahun pertama pemilikan sehinggalah tempoh jaminan tamat.

    Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Koleos serba baharu ini dan ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenainya, bolehlah mendaftar di Renault Malaysia.

     
     
  • Jalan Persekutuan dari Teluk Intan ke Lekir dinaiktaraf

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 053

    Tidak mengabaikan jalan-jalan di kawasan luar bandar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM644.4 juta bagi menaiktaraf dan menyelenggara Jalan Persekutuan dari Teluk Intan hingga ke Lekir, Perak, laporan Berita Harian

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kerja naik taraf di bawah Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

    “Ia telah bermula September lalu dan kini sudah mencapai 10%, membabitkan tiga daerah iaitu Hilir Perak, Perak Tengah dan Manjung dengan jarak keseluruhan sejauh 31.5 kilometer. Kerja naiktaraf yang dijalankan di laluan berkenaan termasuk menjadikan jalan dua lorong kepada empat lorong bagi kedua-dua hala,” katanya pada pihak media.

    Beliau turut menambah, kerja naiktaraf dan penyelenggaraan secara keseluruhan projek itu dijangka akan siap sepenuhnya mengikut yang dijadualkan. Selain itu, kerajaan turut menaiktaraf lima buah jambatan dan enam buah jejantas di sepanjang laluan berkenaan.

    “Antara jambatan yang dinaiktaraf adalah Jambatan Sultan Yusuf, Sungai Dedap, Sungai Ranggam, Sungai Kayan dan Parit Hindu, yang kesemuanya menelan belanja hampir RM100,000,” katanya.

     
     
  • Malaysia akan bangunkan teknologi hibrid jentera LMP3 untuk perlumbaan Le Mans musim 2017

    2016-Onroak-Ligier-LM-P3-Wineurasia-Racing-27_BM

    Remanufacturing, Sustainable Production, and Enterprise Centre for Technology (RESPECT) dan Ultra Impact Technologies (UIT) akan bergabung untuk membangunkan teknologi cekap tenaga untuk kegunaan industri automotif. Projek berkenaan akan dimulakan dengan pembangunan Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (KERS) yang bersifat kos-efektif dan akan dipadankan jentera perlumbaan hibrid LMP3.

    Dengan menyasarkan menghasilkan teknologi cekap tenaga untuk pasaran yang besar, RESPECT akan mengetuai sepasukan pakar bidang automotif dari universiti-universiti dan institusi-institusi penyelidikan, sementara pembangunannya pula akan dibuat oleh UIT yang mengetuai pasukan rakan kongsi teknikal yang turut terdiri dari pengeluar kotak gear perlumbaan Hewland Engineering dari UK dan pengeluar casis LMP3 – Onroak Automotive dari Perancis.

    UIT akan menghasilkan KERS berasaskan kapasitor-ultra, dan sistem berkenaan akan dipasang pada jentera perlumbaan yang mungkin akan menyertai Le Mans Sprint Cup musim 2017 dalam kelas Hybrid, tetapi tidak layak untuk mengutip mata atau klasifikasi. Tujuannya adalah untuk mendemonstrasikan teknologi modular KERS, dengan menyasarkan pembangunan produk yang kos-efektif untuk tujuan penggunaan komersial.

    Ini adalah selari dengan Dasar Automotif Negara yang mensasarkan untuk menjadi hab serantau kenderaan cekap tenaga, termasuk mensasarkan 100,000 kenderaan elektrik akan memenuhi jalan raya Malaysia menjelang 2020. Kerjasama ini disokong oleh Agensi Inovasi Malaysia, iaitu badan yang diwujudkan untuk memperbanyakkan rekaan menerusi pengetahuan, teknologi dan inovasi.

    Selain dari pembangunan KERS modular, Ketua Pegawai Eksekutif UIT Azrai Razuan turut mengatakan, sebuah enjin dua lejang yang memenuhi undang-undang Euro 6 sedang dibina untuk teknologi hibrid cekap tenaga ini, tetapi enggan untuk mengulas lanjut berkenaan perincian enjin berkenaan.

     
     
  • Toyota Corolla dinobatkan sebagai kereta terlaris dunia bagi separuh pertama 2016, diikuti VW Golf

    2017-Toyota-Corolla-01

    Toyota Corolla telah mengungguli carta kenderaan terlaris di dunia bagi separuh pertama 2016, dengan menewaskan pencabarnya yang lain termasuk Volkswagen Golf, menurut data daripada Focus2move.

    Kajian yang dijalankan oleh syarikat Itali itu mendakwa, semua versi bagi segmen-C daripada Toyota, termasuk Corolla Axio dan Fielder serta semua model yang terjual di seluruh dunia (termasuk Malaysia), mencatatkan jualan sebangak 634,298 unit antara bulan Januari dan Jun tahun ini.

    Walau bagaimana pun, angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 1.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Di mana Toyota telah berjaya memecah rekod dengan sejumlah 1.3 juta Corolla pada tahun lalu.

    The-upgraded-Golf-1.4--e1458720344831

    Di belakangnya, Volkswagen Golf, turut mencatatkan jualan yang memberangsangkan iaitu melepasi 500,000 unit bagi separuh pertama tahun ini, dengan sejumlah 500,630 unit. Ia turut menyusut sebanyak 1.8% pada tempoh yang sama tahun lalu, berikutan kelemahan jualan di Amerika Syarikat dan Kanada, yang dipengaruhi oleh skandal “dieselgate”.

    Manakala model pikap trak Ford bagi F-Series turut mencatatkan jualan yang begitu menggalakkan iaitu mencecah 478,384 unit, meningkat 12.6% pada separuh pertama tahun ini. Focus2move turut berkata, ia mampu merampas kedudukan Golf bagi jualan sehingga akhir tahun ini.

    2016 Tucson

    Ford turut meletakkan satu lagi modelnya di tangga teratas iaitu Focus yang menduduki tempat ke-empat, dengan 367,479 unit, sementara Hyundai Elantra pula di belakangnya dengan 363,490 unit.

    Sementara itu, Volkswagen Polo pula mencatat jualan sebanyak 358,602 unit bagi separuh pertama 2016 dan meletakkannya di tangga ke-enam. Jualan terlaris bagi SUV pula dipegang oleh Toyota RAV4 iaitu sebanyak 346,791 unit berjaya dijual.

    Carta 10 kedudukan jualan kenderaan ini turut meletakkan Toyota Camry (339,611 unit), Honda CR-V (333,597 unit) dan Chevrolet Silverado (307,845 unit). Manakala Hyundai Tucson pula melompat sebanyak 94 anak tangga dan kini di tangga ke-16 dengan peningkatan sebanyak 202.4% iaitu dari 94,267 unit ke 286,060 unit pada separuh pertama 2016.

     
     
  • DRB-Hicom mahu jual semua kepentingan Proton, sasar syarikat asing untuk membelinya – laporan

    Proton_Iriz_Review_-019

    DRB-Hicom, dikatakan sedang mencari peluang untuk menjual semua kepentingannya di dalam Proton, laporan The Star berdasarkan Kajian Ekuiti CIMB. Menurut laporan tersebut, Kajian Ekuiti CIMB berkata pelupusan saham terhadap Proton memberikan harga yang cukup baik untuk saham yang ditawarkan.

    Laporan tersebut turut menyebut, DRB-Hicom Bhd menjangkakan sekurang-kurangnya akan ada tujuh bidaan untuk Proton pada pertengahan bulan ini dan ia mungkin akan menjual 100% kepentingan Proton kepada syarikat asing.

    Dalam laporan berasingan, Kajian Ekuiti CIMB menamakan syarikat Perancis, Groupe PSA dan Renault SA, syarikat Jerman, Volkswagen, General Motor dari Amerika Syarikat, Suzuki dari Jepun dan Geely dari China sebagai rakan atau pembeli potensi untuk Proton. Setiausaha Jawatankuasa Pemantauan Khas, Madani Sahari, baru-baru ini berkata, Proton perlu mengikut jejak langkah model kerjasama Perodua-Daihatsu bagi memacu kejayaan.

    Proton Perdana Test Drive 19

    Kajian CIMB turut berkata, pelan menjual Proton kepada syarikat asing bukanlah suatu perkata yang baharu. Malah pada tahun 2012, Volkswagen dan Peugeot-Citroen dilaporkan berminat untuk membeli saham Proton daripada DRB-Hicom.

    “Kami memandang dari sudut positif langkah DRB mahu melupuskan seluruh saham terhadap Proton. Kami percaya, dengan langkah menjual Proton kepada syarikat asing dilihat mampu mengembalikan semula kedudukan Proton kepada kedudukan yang lebih tepat, sekaligus menyuntik dana ekuiti yang diperlukan,” ujar laporan berkenaan.

    Proton dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion (atau 72 sen sesaham) pada Tahun Kewangan Ketiga/2016. Ini turut mempengaruhi kerugian yang dialami oleh DRB-Hicom dengan jumlah RM821.3 juta. Jika tidak mengalami kerugian tersebut dijangkakan DRB-Hicom mampu mencatatkan profit sebanyak RM578.7 juta. Untuk pengetahuan, DRB-Hicom membeli 100% kepentingan dalam Proton dengan jumlah RM3 bilion pada tahun 2012.

     
     
  • Mitsubishi adakan promosi Hari Merdeka; tawaran rebat tunai sehingga RM12k, pakej jaminan 5 tahun

    MMM Merdeka Promotion-BM

    Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) kini menjalankan promosi istimewa Hari Merdeka untuk pelanggannya, dengan menawarkan rebat tunai sehingga RM12,000 dan pakej jaminan sehingga lima tahun bagi model-model keluarannya yang terpilih.

    Bermula hari ini hingga 31 Ogos, pelanggan yang membeli model Triton Adventure layak menerima rebat tunai sehingga RM9,000 dan jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu).

    Turut ditawarkan ialah beberapa unit pameran Triton yang ditawarkan dengan potongan harga istimewa. Bagi unit ini, pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di bilik pameran Mitsubishi terdekat. Harga biasa Triton VGT Adventure ialah RM116,053.

    Bagi pelanggan yang memilih model ASX pula, rebat tunai yang ditawarkan ialah sehingga RM8,000 dan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. ASX dijual pada harga RM105,744 bagi varian ASX 2WD GL. Bagi ASX 2WD, ia dijual pada harga RM115,468, sementara ASX 4WD pula ialah pada harga RM129,010.

    Tidak ketinggalan ialah sedan eco Attrage; ia ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM12,000 dan pakej jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu). Mitsubishi Attrage dijual pada harga RM75,250.

     
     
  • Proton Saga 2016 – Imej ‘render’ terbaharu menjelang pelancarannya pada September ini, selepas Persona

    Proton-Saga-Theo-render-850x469

    Terbaharu dari pakar rendering di Malaysia, Theophilus Chin ialah Proton Saga 2016. Model yang dirancang akan diperkenalkan September nanti ini juga sudah dilihat beberapa kali sedang diuji. Imej ini dibayangkan oleh beliau berdasarkan gambar-gambar model lain terbaharu Proton, yang sudah dibocorkan ke dunia maya sebelum ini.

    Di bahagian depan, Saga 2016 kelihatan mewarisi pendekatan reka bentuk dari model Iriz. Antara kelainannya, palang berkembar pada gril depan yang lebih nipis jika dibandingkan dengan model hatchback berkenaan, termasuk juga bampar depan yang direka semula, menempatkan ruang kemasukan udara yang lebih kecil.

    Lampu depan dari unit projektor digunakan bagi imej bayangan ini. Bagaimana pun, bagi versi sebenarnya nanti, kami menjangkakan ia mungkin akan menggunakan lampu reflektor, sesuai dengan penawarannya sebagai sebuah model asas peringkat kemasukan, seperti yang ada pada Persona.

    Proton-Saga-Theo-render-2-850x430

    Dari bahagian tepi pula, imej rendering ini menampilkan garis badan utama yang melalui bahagian pemegang pintunya. Satu lagi garis badan, kali yang lebih halus dan berada di bahagian sedikit ke bawah badan kenderaan. Di bahagian belakang, Saga 2016 diberikan lampu belakang trapezoid – kelihatannya seperti menggunakan lampu bulb biasa dan bukannya lampu LED – dihubungkan dengan palang krom. Melengkapi bahagian ini ialah diffuser yang digabungkan sekali bersama lampu kabus.

    Spesikasi Proton Saga terbaharu nanti masih lagi belum diketahui dengan tepat. Namun, antara kemungkinan yang boleh dijangkakan ialah Saga 2016 itu nanti bakal menggunakan enjin 1.3 liter VVT Petrol dari Iriz (mungkin juga melibatkan penambah baikan mekanikal yang ketara) serta dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT.

    Selebihnya, enjin baharu 1.0 liter yang dibangunkan Proton, atau enjin 1.2 liter VVT tiga silinder mungkin juga akan ditawarkan bagi model ini, termasuk enjin 1.0 liter turbo. Kami jangkakan Saga akan dilengkapi dengan enjin-enjin bersesaran lebih rendah, dan berbeza dengan Persona yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat bulan Ogos ini.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan ingatkan pengguna jalan raya agar tidak bermain Pokemon Go ketika memandu

    liow tiong lai

    Kementerian Pengangkutan mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan permainan dalam talian Pokemon Go. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meluahkan rasa bimbang sekiranya pengguna jalan raya cenderung terlibat dengan kemalangan sekiranya leka dengan permainan atas talian berkenaan, memetik laporan The Star.

    “Tolong jangan main Pokemon Go ketika anda memandu. Melainkan anda penumpang, adalah sangat bahaya untuk anda berbuat demikian,” ujar beliau. Pengguna lalu lintas perlu berhati-hati, kerana di atas jalan raya, mereka tidak hanya bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri semata-mata, tetapi terhadap pengguna lain juga.

    “Adalah sangat jelas menjadi satu kesalahan jika menggunakan telefon bimbit ketika memandu; tak kisah sama ada untuk bermain Pokemon, menghantar mesej atau membuat panggilan,” tambahnya. Awal tahun ini, kementerian berkenaan melancarkan kempen “Focus on the Road, Not on the Hand” untuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya jika perhatian terganggu ketika memandu.

    Sementara itu, saman pertama berkaitan permainan Pokemon Go ini juga sudah dikeluarkan. Sin Chew Daily melaporkan seorang pemuda 32 tahun di Kuantan ditahan polis ketika dia bersama rakan-rakannya sedang memandu dan memburu Pokemon pada Sabtu lalu, ketika hari pertama permainan itu muncul di atas talian di Malaysia. Pemuda berkenaan disaman RM300.

    “Saya menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengetahui lokasinya (Pokemon) ketika saya memandu. Tangkapan yang saya perolehi untuk permainan itu sangat baik. Polis hanya senyum sebaik melihat skrin telefon saya dan menyerahan saman,” kata pemuda itu.

    Permainan augmented reality itu, yang mendapat sambutan luar biasa di Barat ketika diperkenalkan bulan lalu, turut menjadi penyebab kepada beberapa kemalangan di sana. Setakat ini, polis dan bomba di Lembah Klang menyatakan keadaan masih tidak terlalu meresahkan dan tiada laporan berkaitannya diterima, bagi tempoh hujung minggu pertama ia dilancarkan.

     
     
  • Proton Persona 2016 dipamerkan menerusi video keselamatan baharu – dilancarkan menjelang Merdeka

    Proton telah menyiarkan teaser pertama bagi Proton Persona 2016, menandakan detik pelancarannya kian hampir. Jika tiada aral melintang, ia dijangka akan dilancarkan menjelang Hari Kemerdekaan ini. Video Safety 360 ini dimuat naik oleh bekas CEO Proton (yang kini mengetuai jabatan Pembuatan & Pengedaran Automotif DRB-Hicom) Datuk Abdul Harith Abdullah, yang memaparkan sedan berdasarkan Iriz ini, tetapi masih dibaluti penyamaran.

    Video ini menunjukkan Persona dalam beberapa siri ujian di litar ujian, termasuk bagi ABS dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC). Sekurang-kurangnya kita dapat mengagak Persona ini bakal dilengkapi elemen tersebut, sekurang-kurangnya secara standard, sama seperti Iriz.

    Telah beberapa kali kami turut memaparkan Persona 2016 ini, dan ternyata ia cukup dipengaruhi oleh Iriz, namun sedan ini menerima kekemasan bahagian hadapan dengan bar krom pada bahagian atas lampu utama reflektor yang sedikit nipis, malah bampar hadapannya juga telah direka semula.

    Pada bahagian belakangnya, lampu berbentuk-badam seolah tersambung dengan bar krom, serta menampilkan peresap yang lebih besar. Malah menerusi video ini, bahagian dalam bagi Persona ini, kelihatan ditampilkan dengan konsol tengah dan kluster instrumen yang mirip dengan Iriz.

    Persona ini dijangka dipadankan dengan enjin yang sama dengan Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT, bersama transmisi manual lima-kelajuan atau CVT. Ia merupakan antara tiga model Proton yang bakal dilancarkan, termasuk Saga yang dijangka pada bulan hadapan, diikuti dengan MPV yang dibangunkan berdasarkan Suzuki Ertiga pada Oktober ini.

     
     
  • 47 kereta seludup bernilai RM1.3j disita di Terengganu

    Cloned-cars-1

    Jabatan Kastam cawangan Terengganu telah menyita 47 kereta seludup bernilai RM1.3 juta dari Jun hingga Ogos tahun ini.

    Menurut Pengarah jabatan berkenaan, Datuk Hamzah Sundang, cukai yang tidak berbayar bagi kereta berkenaan dianggarkan bernilai RM2.04 juta. Rekod tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu 35 unit kenderaan seludup pada tempoh yang sama, laporan The Sun.

    Katanya, kebanyakan kereta seludup itu adalah dari Singapura dan memiliki permintaan yang tinggi di pasaran. Malah pada Rabu lalu, Kastam turut menyita dua kereta seludup iaitu Nissan Sunny dan Mazda 3 yang bernilai RM35,000.

    “Kami memandang serius perkara kini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti ini,” tegasnya.

     
     
  • Honda NSX – RM2.67 juta di Singapura!

    HONDA NSX VALENCIA RED PEARL

    Honda NSX generasi baharu disahkan akan mendarat di seberang tambak dan supercar hibrid pacuan semua roda berkenaan disahkan akan dijual dengan harga SGD888,999 atau RM2.67 juta tanpa sijil kelayakan (COE).

    Sebelum ini, NSX diumumkan berharga 130,000 pound sterling (RM755k) di UK, 180,000 euro (RM815k) di Jerman dan AUD420,000 atau RM1.28 juta di Australia.

    Jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, NSX dijual jauh lebih mahal berbanding Ferrari 488 GTB (RM1.08 juta sebelum cukai) dan Lamborghini Huracan (RM2.1 juta termasuk cukai).

    Singapura sememangnya negara yang menjual kereta dengan harga tertinggi di dunia. Kerajaan mereka tidak menggalakkan rakyatnya memiliki kereta untuk mengelakkan berlakunya kesesakan yang teruk di republik yang kecil berkenaan dan ini digantikan dengan sistem pengangkutan awam yang cekap.

    Sebagai panduan, Perodua Axia varian tertinggi Advance yang dijual dengan harga RM42,530 di Malaysia, dijual pada harga RM231,827. Begitu juga dengan Honda Civic generasi kesepuluh, di mana harga varian tertinggi 1.5 VTEC Turbo Premium di Malaysia dijual dengan harga RM131,883.37, manakala untuk varian tunggal 1.6 SOHC i-VTEC di Singapura dijual pada harga RM318k.

     
     
  • Perodua siasat dakwaan Axia mengalami masalah stereng terkunci hingga mengakibatkan kemalangan

    13903441_1149734008397947_6994931019746018398_n

    Ekoran dakwaan seorang pemilik Perodua Axia yang memviralkan kisah mengenai kelemahan kereta kompak ini yang dikatakan boleh menyebabkan sterengnya terkunci sendiri serta brek dan beg udara tidak berfungsi, Perodua telah mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini.

    Menurut Perodua, berhubung dengan sebuah unit Axia 1000 E (manual) yang terlibat dengan satu kemalangan baru-baru ini dan pemiliknya mendakwa ia adalah disebabkan masalah stereng yang tiba-tiba terkunci sendiri, syarikat terbabit menjelaskan satu ujian terperinci telah pun dijalankan ke atas kereta terbabit. Hasil ujian tersebut mendapati sistem brek, beg udara dan stereng pada kereta itu berfungsi sepenuhnya.

    Bahkan Perodua juga telah menyerahkan laporan hasil ujian tersebut kepada pemandu kereta terbabit. Malah Perodua juga memberi kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pihak tersebut membuat laporan sebelum sebarang tindakan diambil.

    “Telah lebih 200,000 unit Axia telah pun dijual sejak ia dilancarkan pada September 2014, dan kami mengesahkan sehingga kini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan mengenainya daripada pelanggan kami,” ujar Dr.Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd menerusi kenyataan yang turut dipaparkan di Facebook rasmi Perodua sendiri.

    Walau bagaimana pun, Perodua tetap akan terus memastikan keselamatan kenderaan buatan syarikat ini diutamakan dan mengikut standard yang ditetapkan.

    PERODUA_AXIA_VIRAL

     
     
  • Peugeot Malaysia anjur promosi Hari Merdeka – libatkan empat model, penjimatan sehingga RM29k

    peugeot-ad-1200x630

    Peugeot Malaysia mengumumkan promosi istimewa Hari Merdeka bagi pelanggan yang ingin memiliki kenderaan baharu keluaran syarikat itu. Ia melibatkan empat model semasa Peugeot, dengan penjimatan sehingga RM29,000. Promosi sah sepanjang Ogos ini.

    Bagi pelanggan yang memilih Peugeot 308 THP, sebuah model hatchback yang menawarkan prestasi dan pemanduan yang tersendiri, mereka akan menikmati penjimatan sehingga RM9,000. Untuk sedan eksekutif Peugeot 508 THP pula, yang turut dilengkapi dengan teknologi turbo THP yang sama, akan memberikan lebih nilai kepada pemilik unit baharunya yang berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM15,000.

    Terdapat dua lagi model yang ditawarkan dengan promosi yang lebih berbaloi. Bagi model MPV Peugeot 5008, pelanggan yang ingin mendapatkannya kini mampu tersenyum dengan penjimatan sehingga RM25,000 yang ditawarkan. Begitu juga dengan model SUV 3008, menjadi model yang paling berbaloi untuk pembelinya bulan ini dengan penjimata sehingga RM29,000.

    Maklumat lanjut berkaitan promosi istimewa Hari Kemerdekaan dari Peugeot ada di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025