Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Bezza – Bank Rakyat tawar skim pembiayaan sepenuhnya, bayaran muka menggunakan kad kredit

    Perodua-Bezza-Launch-Stage

    Sempena pelancaran Perodua Bezza semalam, Bank Rakyat menawarkan pembiayaan sepenuhnya untuk pembelian sedan EEV pertama buatan tempatan berkenaan kepada pelanggan mereka. Tawaran tersebut adalah sebahagian dari kempen Ceria Beraya yang dijalankan oleh Bank Rakyat bermula 30 Mei lalu hingga 31 Julai ini.

    Kempen tersebut juga menawarkan fasiliti perbankan menarik yang lain termasuk Pembiayaan Kenderaan-i dan produk automotif lain serta peluang untuk pelanggan memenangi hadiah wang tunai berjumlah sehingga RM400,000.

    Menurut Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat Dato’ Mustafha Hj. Abdul Razak, pihaknya dan Perodua telah mewujudkan satu kerjasama strategik termasuk memperkenalkan dan mempromosikan produk masing-masing.

    Untuk program pembiayaan istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan pembiayaan 100% untuk kenderaan keluaran Perodua terutamanya untuk pelanggan yang mahu membeli Bezza dengan tempoh pembiayaan selama sembilan tahun.

    Bank Rakyat turut menawarkan skim bayaran ansuran tanpa faedah untuk pemegang Kad Kredit-i bagi tujuan membuat bayaran muka untuk pembelian kenderaan keluaran Perodua. Menurut Bank Rakyat lagi, mereka berharap agar inisiatif terbaharu yang ditawarkan ini mampu untuk meringankan beban pembeli.

    Perodua Bezza ditawarkan dengan tiga model iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. Ia ditawarkan dengan lima varian dan harga atas jalan (berserta insurans) seperti berikut:

    • Standard G (1.0 G manual) – RM37,300
    • Standard G (1.0 G automatik) – RM39,300
    • Premium X (1.3 X manual) – RM42,800
    • Premium X (1.3 X automatik) – RM44,800
    • Advance (1.3 AV automatik) – RM50,800

    Setiap pembelian Bezza hadir dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Bank Rakyat sebelum ini turut menawarkan pembiayaan sepenuhnya untuk penjawat awam dan swasta bagi pembelian Proton Perdana 2016 setelah sedan premium segmen-D berkenaan dilancarkan bulan lalu.

     
     
  • VIDEO: Perodua Bezza – temu ramah bersama ketua jurutera Albert Ngu berkenaan ciri baharu dari Perodua

    Perodua Bezza secara rasminya telah dilancarkan semalam dan dilengkapi pelbagai ciri yang baharu diadaptasikan kepada sebuah kereta Perodua. Ia merupakan sebuah kereta rekaan sepenuhnya (bukan ‘rebadge’ seperti model-model sebelum ini), model pertama yang menampilkan enjin VVT-i dan Dual VVT-i, Perodua pertama dengan sistem start/stop enjin automatik dan juga yang pertama dilengkapi sistem Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC).

    Jadi dengan pelbagai ciri yang baharu kepada Perodua, tentu banyak persoalan yang berlegar berkenaan ciri teknikal model terbaharu ini. Oleh itu, kami meminta ketua jurutera untuk projek Bezza iaitu Albert Ngu untuk menjawab semua persoalan berkenaan.

    Dibina berdasarkan platform yang sama dengan Axia, pelbagai perubahan dilakukan pada asas binaan Bezza bagi membolehkan ia mampu membawa ruang but tambahan serta enjin yang lebih besar. Untuk ini, ruang enjin telah mengalami sedikit ubahsuai untuk memuatkan enjin 1.3 liter Dual VVT-i pada varian Premium X dan Advance, memandangkan Axia hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter. Sistem suspensi juga telah ditala semula kerana perbezaan bentuk badan antara Bezza dan Axia.

    Perodua juga mengambil serius dalam hal mengurangkan berat keseluruhan Bezza. Untuk model 1.3 liter, berat keseluruhan Bezza ditimbang pada 865 kg – hanya 45 kg lebih berat dari Axia 1.0 liter Standard E manual, walaupun mempunyai pelbagai ciri dan ruang but tambahan. Ini dilakukan dengan penggunaan banyak komponen yang diperbuat dari besi berketegaran tinggi, yang juga menyumbang kepada tahap keselamatan semasa pelanggaran yang lebih tinggi.

    Seterusnya, kami bertanya kepada Ngu berkenaan sistem start/stop Henti Melahu (Eco Idle) dan sistem regenarative braking yang buat pertama kalinya diperkenalkan oleh Perodua menerusi Bezza 1.3L Advance. Banyak persoalan berkenaan sistem ini, termasuk kesesuaiannya penggunaannya di Malaysia dan ketahanan serta kos penyelenggaraannya.

    Ngu berkata, bateri, motor penghidup enjin dan alternator kawalan linear yang digunakan untuk ciri berkenaan mempunyai ketahanan sama seperti komponen sistem konvensional, dan ciri regenerative braking akan mengekalkan bateri dalam keadaan cas penuh. Walau bagaimanapun, kapasiti bateri untuk sistem ini lebih besar dari kapasiti bateri biasa, jadi ia sememangnya sedikit mahal harganya sekiranya bateri tersebut perlu ditukar.

    Perodua_Bezza_Advance_Ext-25

    Satu lagi kegusaran pengguna di Malaysia terhadap sistem Henti Melahu ini adalah berkenaan sistem penghawa dingin. Untuk sistem start/stop automatik yang dipadankan pada kebanyakkan kereta jenama import, pemampat sistem penghawa dingin turut akan terhenti dalam keadaan enjin termati. Situasi berkenaan biasanya akan mengundang ketidakselesaan kepada penumpang dalam kereta terutamnya ketika tersangkut di dalam kesesakan trafik ketika cuaca panas.

    Bahagian kabin Bezza dilengkapi dengan penderia suhu. Jika penderia berkenaan mengesan suhu di dalam kabin mula meningkat, isyarat akan dihantar supaya enjin dihidupkan semula agar penghawa dingin dapat berfungsi sepenuhnya. Menurut Ngu, sistem ini adalah khas untuk pasaran Malaysia, memenuhi kegunaan pelanggan tempatan. Satu lagi sistem baharu adalah sistem Kawalan Stabiliti Elektronik yang dipadankan ada varian Advance, dan menurut Ngu sistem berkenaan bakal dipadankan secara standard pada semua model-model Perodua akan datang.

    Untuk enjin pula, Bezza 1.0 liter menggunakan enjin 1KR-VE berbanding 1KR-DE pada Axia. Menurut Ngu, enjin 1.0 liter berkenaan tidaklah kekurangan tenaga untuk membawa badan sedan yang lebih besar kerana ia dilengkapi dengan sistem pemasaan injap bervariasi VVT-i, membolehkan kuasa 1hp dan tork 1 Nm lebih diekstrak berbanding enjin Axia dengan kuasa keseluruhan dihasilkan 67 hp/91 Nm.

    Perodua_Bezza_Advance_Int-8

    Untuk enjin 1.3 liter pula, enjin 1NR-VE Dual VVT-i berkuasa 91 hp/121 Nm adalah enjin baharu sepenuhnya, berbeza dengan enjin 1.3 liter K3-VE DVVT pada Myvi. Enjin baharu berkenaan menggunakan dengan blok aluminium yang lebih ringan, tork yang dipertingkat, penggunaan bahan api yang lebih cekap, serta talaan yang lebih diperhalusi.

    Ngu berkata walaupun kedua-dua enjin berkenaan adalah baharu, kos penyelenggaraannya adalah kekal murah, tambahan pula jarak perbatuan untuk servis kini telah dipanjangkan. Perincian keseluruhan kini diperhalusi dengan membina badan keseluruhan yang lebih tegar, tebatan bunyi serta aerodinamik yang dipertingkatkan.

    Jadi, ini merupakan antara ciri dan teknologi baharu yang diterapkan pada Perodua Bezza. Bagaimana pula prestasi sebenar sedan EEV keluaran Perodua ini? Baca ulasan pandu uji kami di sini.

    Perodua Bezza 1.3L Advance

     
     
  • Yamaha lancar Ego Avantiz 125cc, harga dari RM5,700

    2016 Yamaha Avantiz Ego -31

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HYLM) pagi ini melancarkan model skuter automatik terbaru, Yamaha Ego Avantiz 125cc sempena pameran Yamaha Automatic World Motorshow yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini di Berjaya Times Square.

    Yamaha Ego Avantiz dikuasakan oleh enjin 125cc Single Overhead Camshaft (SOHC), sistem suntikan minyak, sejukan udara dan teknologi BlueCore. Ia disifatkan mampu memberi janaan kuasa yang padu bagi saiznya, yang menyumbang kepada pengalaman tunggangan menyeronokkan, sesuai dengan imej yang ingin ditampilkannya.

    Pada bahagian meter, turut disertakan ialah isyarat ECO, bertujuan memberi petunjuk kepada penunggang berkaitan cara tunggangan semasa untuk penjimatan. Sistem kunci parkir baru juga diperkenalkan pada model ini.

    Ciri-ciri menarik lain bagi model Ego Avantiz adalah seperti berikut:

    • Penggayaan agresif dengan lampu depan LED boleh laras yang lebih terang
    • Rekaan lampu brek moden
    • Palang pemegang tempat duduk pembonceng lebih ergonomik
    • Ruang simpanan berkapasiti 14 liter
    • Penggunaan brek cakera di bahagian depan

    Yamaha Ego Avantiz 125cc ditawarkan pada harga RM5,700 termasuk GST, yang ketika ini masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. Tiga warna sebagai pilihan; Aggressive Black, Speedy Blue dan Raving Red. Yamaha mensasarkan jualan bulanan 1,000 unit skuter terbaharu ini.

    “Skuter ini mempunyai banyak ciri yang kami jangka akan mendapat perhatian pasaran. Ia akan mula berada di bilik pameran pengedar Yamaha seluruh negara dan di atas jalan hujung Ogos nanti,” jelas Pengarah Urusan HYLM, Datuk Jim Khor.

    Bagi mereka yang ingin mendekati Yamaha Ego Avantiz 125cc hujung minggu ini boleh berbuat demikian di pameran Yamaha Automatic World Motorshow yang berlangsung bermula hari ini hingga Ahad nanti, 24 Julai 2016, di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

     
     
  • Proton Preve pikap UTE oleh Bufori – Proton sedang membina trak pikap Arena generasi baharu?

    Proton-Preve-Ute-by-Bufori-01-850x439_BM

    Baru-baru ini telah tersebar berberapa gambar dalam laman sosial memaparkan bekas Pengerusi Proton, Tun Mahathir Mohamed memandu sebuah Proton Preve versi trak pikap di ibu pejabat Bufori, Kepong.

    Menerusi imej-imej berkenaan dapat disaksikan Preve berwarna hitam tersebut diubahsuai secara drastik dengan ‘menghilangkan’ pintu belakang, bahagian tempat duduk belakang dipotong dan ruang berkenaan dijadikan sebagai ruang kargo terbuka. Sedikit ruang ditinggalkan dibelakang tempat duduk hadapan, dan sepasang tingkap cermin belakang dengan gaya trak pikap ‘king-cab’ sebenar ditempatkan di belakang pintu hadapan.

    Pada bahagian dalaman, papan pemuka Preve kekal tanpa apa-apa perubahan. Apa yang menarik, tiada tuil penukar gear dan brek tangan pada Preve pikap ini. Kedua-dua ciri berkenaan diganti dengan butang penukar gear dan butang suis brek parkir elektronik. Ciri berkenaan nampaknya menyerlahkan ‘selera’ Tun yang tidak gemarkan dua ciri tersebut, kerana ‘Perdana Accord’ V6 Limosin yang dibina khas untuk beliau juga direka sedemikian.

    Ini bukan percubaan pertama Proton menghasilkan trak pikap sebegini kerana seperti yang diketahui, Proton telah pun memproduksi pikap Arena yang dibina berasaskan Proton Wira sedan. Trak pikap dengan konsep ini agak popular di Australia dan New Zealand dan digelar sebagai ‘Ute’ yang bermaksud ‘Coupe Utility‘ menyaksikan model seperti Holden VF Ute dan Ford Falcon Ute mendapat sambutan yang menggalakkan di sana. Arena juga tidak ketinggalan untuk meneroka pasaran berkenaan dan dijual di Australia dengan nama Proton Jumbuck.

    Kami sebenarnya menjangkakan ‘Arena generasi baharu’ ini tidak akan diproduksi dalam masa terdekat. Mengapa? Pertama, Tun bukan lagi Pengerusi Proton dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembuat automotif nasional berkenaan buat masa sekarang. Dalam kenyataannya selepas meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton Mac lalu, beliau menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang tidak diundang dalam hubungan Proton dan kerajaan, dan “>Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjelaskan lagi situasi berkenaan dalam kenyataannya semasa pelancaran Proton Perdana bulan lalu.

    Bufori terkenal dengan kebolehan mereka untuk mengubahsuai apa sahaja berkenaan kereta mengikut kehendak individu. Jadi dengan fakta Tun tidak ada kena mengena lagi dengan Proton, spekulasi yang boleh dibuat, ini bukanlah projek rasmi dari Proton dan ia adalah eksperimen semata-mata.

    Tambahan pula, Proton dilihat ‘terlalu sibuk’ tahun ini dengan empat model baharu – Perdana, Persona, Saga dan MPV berasaskan Suzuki Ertiga – yang dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini (Perdana sudahpun dilancarkan bulan lalu). Walau bagaimanapun jika benar projek pikap baharu benar-benar diproduksi, ia semestinya sesuatu yang menarik.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia umum rekod prestasi separuh pertama 2016 – meningkat 17%, 6,017 kenderaan telah dihantar kepada pelanggan

    MBM-1H-2016-performance-2

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan rekod prestasi bagi separuh pertama tahun 2016, malah telah berjaya memecahkan satu lagi rekod tahunannya.

    Syarikat ini berkata sebanyak 6,017 unit kenderaan telah dihantar pada enam bulan pertama tahun ini, dan jika rekod ini diteruskan sehingga penghujung tahun, ia mampu melepasi rekod pada tahun 2015 iaitu sebanyak 10,845 unit. Jumlah bagi separuh pertama 2016 ini mencatatkan peningkatan sebanyak 17% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Dengan rekod ini sekaligus menyumbang kejayaan baharu yang dicapai, termasuk prestasi suku kedua tahun ini yang dicatatkan sebagai yang terbaik buat masa ini. Dengan 3,359 unit kenderaan telah terjual dan Jun lalu turut menyumbang rekod bulanan terbaik iaitu sebanyak 1,203 telah dihantar. Secara keseluruhannya, jumlah ini membolehkan MBM menguasai perkongsian pasaran sebanyak 25% (hingga Jun 2016).

    Bagi segmen kereta kompak, jualan bagi A-Class, B-Class, CLA dan GLA dicatatkan sebanyak 1,278 unit. Di mana A-Class mendahului rekod dengan 570 unit, iaitu melonjak selepas pengenalan model facelift W176 pada Mac lalu. Manakala GLA pula dengan jualan sebanyak 329 unit, sementara CLA pula 341 unit.

    MBM-1H-2016-performance-1

    Seperti yang dijangka, sedan pemasangan tempatan telah mencatatkan rekod yang sungguh memberangsangkan iaitu sejumlah 2,534 unit W205 C-Class telah pun dihantar kepada pelanggan, sementara E-Class pula mencatatkan jualan sehingga 1,063 unit, ditambah dengan pengenalan W213 pada Jun lalu. Sementara W222 S-Class pula terjual sebanyak 549 unit.

    Selain itu, barisan model Dream Car(AMG GT S, CLS, S-Class Coupe, E-Class Coupe dan C-Class Coupe) terjual sebanyak 90 unit, sementara model baharu SUV yang diperkenalkan pada Januari, menyumbang sebanyak 577 dalam jumlah keseluruhan (483 unit untuk GLC dan 93 bagi GLE).

    Bukan itu sahaja, MBM turut meengumumkan rangkaian perkhidmatan selepas jualan dengan 52,500 kenderaan bagi enam bulan pertama tahun 2016, iaitu meningkat sebanyak 18% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.

    “Kami berasa berbangga dengan satu lagi pencapaian pada tahun ini, dengan melepasi sasaran jualan sebanyak 6,000 unit untuk separuh pertama 2016. Kunci kejayaan ini ialah dengan adanya barisan produk yang komprehensif, rangkaian pengedar yang kukuh dan juga strategi penghantaran untuk pelanggan bagi memberikan pengalaman yang terbaik buat mereka,” ujar timbalan presiden jualan dan pemasaran Mark Raine.

    Rekod pencapaian yang dicatatkan bagi separuh pertama 2016 pastinya tidak akan terhenti begitu sahaja. Pastinya lonjaka jualan bakal dicatatkan bagi separuh kedua 2016, apatah lagi MBM bakal melancarkan dua model baharu, dua varian tambahan, dan akan memperkenalkan dua enjin baharu bagi model facelift sedia ada.

    Walau tiada perincian, namun model yang dijangka berada dalam senarai termasuklah SLC dan A217 S-Class Cabriolet, termasuk GLS dan GLC Coupe.

     
     
  • MRT Jajaran Sg. Buloh-Kajang beroperasi Disember ini, semua stesen terlibat disediakan 600 petak parkir

    MRT_Sg_Buloh

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah memaklumkan fasa pertama Mass Rapid Transit (MRT) Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara Sungai Buloh dan Semantan dijangka mula beroperasi menjelang Disember 2016.

    Menurut Pengarah Pengurusan Operasi dan Aset syarikat tersebut, Mahmood Abdul Razak, kesemua 24 tren bagi operasi Fasa Satu telah diserahkan kepada Depot MRT Sungai Buloh, laporan Bernama

    “Kerja-kerja trek telah siap bagi laluan dan terowong. Pada masa ini, semua sistem menjalani ujian di seksyen Fasa Satu jejambat dan kami akan mengadakan operasi percubaan pada 1 Okt,” ujar beliau dalam taklimat kepada pihak media.

    Katanya lagi, sehingga akhir Mei, kemajuan keseluruhan MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang ialah 86.25%. Untuk bahagian bawah tanah, semua kerja-kerja struktur stesen telah siap, kecuali pintu masuk dan struktur lubang angin di atas permukaan tanah dan pintu masuk

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberitahu Fasa Dua antara Stesen Semantan dan Stesen Kajang akan beroperasi pada Julai 2017.

    Mahmood berkata, berikutan pelantikan Rapid Rail Sdn Bhd pada 1 Julai sebagai pengendali MRT Lembah Klang, bersama MRT Corp sebagai pemilik projek, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memastikan MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang berjalan lancar sepanjang operasi.

    “Rapid Rail Sdn Bhd akan bertanggungjawab bagi penyelenggaraan harian teknikal, khidmat pelanggan, kutipan tambang dan kemudahan di stesen manakala MRT Corp kekal sebagai pemilik aset termasuk struktur dan tren,” katanya.

    “Untuk Fasa pertama, sebanyak enam stesen akan mempunyai “park and ride” meliputi parkir kereta bertingkat dan parkir kereta terbuka, sebanyak 100 hingga 600 ruang parkir disediakan di setiap stesen yang terlibat.

    “Dari segi bayaran parkir pula, ia akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd dan pengguna yang meletakkan kenderaan di “Park and Ride”, mereka akan menikmati kadar bayaran parkir yang lebih murah,” kata beliau.

    Beliau berkata Rapid Rail Sdn Bhd juga akan mengendalikan 300 bas pengantara yang akan menyambungkan dengan rangkaian MRT.

    “Untuk Fasa pertama, sebanyak 140 bas pengantara akan digerakkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang dalam lingkungan 3 kilometer dari stesen MRT dengan anggaran bayaran tidak kurang RM2.

    “Bagaimanapun, bayaran bas itu bergantung kepada keputusan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) untuk menentukannya dan akan dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn Bhd,” kata Mahmood.

     
     
  • Wang jaminan minimum bawa kereta keluar dari Langkawi perlu dipertimbang semula – ADUN

    CR-V_Langkawi

    Berikutan keputusan Jabatan Kastam yang mahu mengetatkan syarat pengecualian cukai kenderaan kerana ketirisan yang berlaku menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian dalam pungutan cukai, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abd Hamid memohon Kementerian Kewangan mempertimbangkan untuk mengenakan wang jaminan atau bon minimum kepada penduduk Langkawi yang mahu membawa kenderaan mereka keluar dari pulau bebas cukai itu, lapor Bernama.

    Menurut Datuk Mohd Rawi, perkara berkenaan adalah perlu dalam memastikan penduduk tidak terbeban dengan keputusan Jabatan Kastam ingin mengetatkan syarat pengecualian cukai kenderaan import di Langkawi bermula 1 Ogos ini.

    “Penstrukturan semula itu (oleh Jabatan Kastam) memang perlu selepas didapati berlaku ketirisan dalam sistem pembayaran cukai hingga menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian dianggarkan lebih RM1 bilion.

    “Sebagai ADUN di Langkawi, saya berharap pihak terlibat dapat meminimum atau mengecualikan wang bon kepada pemilik kereta yang berasal dari Langkawi. Bon itu sepatutnya dikenakan kepada pemilik kereta mewah seperti Ferrari dan Lamborghini biasanya orang luar dari Langkawi,” katanya kepada wartawan.

    Tambah beliau lagi, apa juga tindakan yang bakal diambil perlu mengambil kira pandangan penduduk di Langkawi yang rata-ratanya bekerja sebagai peniaga.

     
     
  • Perodua Bezza – 8 perkara menarik mengenainya

    Perodua Bezza telah pun dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis gilang-gemilang di One World Hotel, Petaling Jaya malam tadi. Namun sejak dibuka tempahannya seminggu yang lalu, sedan pertama dari Perodua ini telah menerima sebanyak 4,028 tempahan!

    Nampak gayanya, ia bakal mengulangi kejayaan yang pernah dicatatkan oleh abang-abangnya iaitu Perodua Kancil dan Myvi yang menerima sambutan luar biasa apabila diperkenalkan. Mengapa? Ini kerana Bezza telah ditampilkan dengan x-factor yang tersendiri, dan Perodua ternyata telah melakukan usaha terbaik…hanya untuk memberikan yang terbaik buat rakyat Malaysia.

    Lihat video yang diulas oleh editor kami, Hazril Hafiz. Lapan perkara atau dalam bahasa mudahnya, keistimewaan yang ditonjolkan oleh Bezza, diulas menerusi video itu. Cukup mudah dan ringkas, tetapi inilah yang perlu anda tahu tentang Bezza.

    Perkara paling utama yang perlu anda tahu, sedan EEV pertama Perodua ini bukan model Rebadge. Di mana ia adalah sebuah model serba baharu walau pun menggunakan platform Axia. Ia adalah buatan Malaysia sepenuhnya dan khas untuk orang Malaysia.

    Perodua juga mendakwa, Bezza adalah model mereka yang bersifat paling aerodinamik dengan catatan 0.286 cd. Banyak ciri luarannya menampilkan sifat aerodinamik seperti lantai yang rendah dan sirip aerodinamik bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, tanpa mengurangkan kemantapan dalam pengendalian dan prestasinya.

    Bezza juga adalah sebuah sedan yang sangat ringan tetapi tidak berkompromi dalam soal ketegaran kerangkanya. Varian paling berat hanya 930 kg, iaitu 45 kg lebih berat berbanding Axia.

    Seperti mana yang diketahui, Bezza hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0L dan 1.3L. Apa yang menarik ialah kedua-dua enjin tersebut tidak sama dengan enjin 1.0L dan 1.3L pada model-model Perodua sedia ada. Untuk ulasan lebih lanjut mengenai enjin baharu Perodua ini, baca perincian penuh di sini.

    Seterusnya, apa yang lebih menarik buat Bezza, selain harga yang ditawarkan cukup kompetitif namun Bezza, khususnya varian spesifikasi tertinggi iaitu 1.3L Advance, ia dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini. Dengan harga RM50,800, antara elemen yang ditawarkan termasuklah sistem henti melahu (idle stop sistem), kemasukan tanpa kunci, dan juga kawalan kestabilan dinamik (VSC) yang semuanya pertama buat Perodua. Baca senarai elemen yang ada pada Bezza menerusi artikel ini.

    Ya, Bezza mengikut platform Axia, namun ia memiliki keluasan kabin yang lebih berbanding model kompak tersebut. Malah turut ditampilkan dengan konfigurasi tempat duduk 8+1.

    Perkara yang paling bikin teruja mengenai Bezza ini… ruang kargonya cukup besar! Siapa sangka, sedan Perodua ini memiliki ruang kargo yang lebih luas berbanding model pesaingnya termasuk Toyota Vios. Dengan kapasiti 508 liter, anda tak perlu risau untuk balik ke kampung, pergi bercuti atau membeli-belah kerana ruang yang luas itu mampu memuatkan lebih banyak barang.

    Bezza juga merupakan model pertama Perodua yang menampilkan ABS untuk semua varian. Selain itu, varian Advance yang turut dilengkapi dengan VSC turut melayakkan Bezza (juga model pertama Perodua) menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP.

    Kami telah melakukan pandu uji ringkas Perodua Bezza ini sebelum ia dilancarkan. Sila baca ulasan tersebut, dan jika anda tertarik dengan model sedan ini, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Perodua berhampiran untuk memandu ujinya dan mungkin ia juga boleh dijadikan pilihan sebagai kereta baharu (atau kereta kedua) anda.

     
     
  • Perodua Bezza versi kereta peronda dipamerkan

    Bezza_Security-3

    Semasa pelancaran Perodua Bezza yang berlangsung di Hotel One World Bandar Utama malam tadi, Perodua turut mempamerkan sebuah Bezza versi kereta peronda keselamatan. Kereta berkenaan diubahsuai untuk menunjukkan aspek versatil pada Bezza, dalam usaha Perodua menarik pembelian secara pukal oleh pihak seperti polis atau syarikat-syarikat kawalan keselamatan.

    Kereta peronda ini dibina daripada Bezza varian 1.3L Premium X, dikuasakan enjin 1NR-VE 1.3 liter Dual VVT. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm – cukup untuk melakukan tugas-tugas kawalan keselamatan. Kuasa dari enjin memacu roda hadapan menerusi kotak gear empat-kelajuan automatik.

    Untuk mentransformasi Bezza ini kepada kereta peronda sebenar, ia dilengkapi pelbagai aksesori tambahan seperti lampu bar dan lampu strob LED pada bahagian luar, pelekat dengan tema sebuah kereta peronda sebenar pada keseluruhan badan serta sistem hubungan radio dan panel kawalan lampu bar pada bahagian dalaman.

    Seperti dinyatakan tadi, Bezza peronda ini diasaskan dari varian Premium X. Jadi, ia masih dilengkapi dengan ciri standard varian berkenaan seperti roda aloi 14-inci, lampu kabus, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sambungan USB dan Bluetooth, slot punca kuasa USB, dua beg udara, brek ABS lengkap dengan EBD.

     
     
  • Perodua Bezza dilancarkan, enjin 1.0L VVT-i dan 1.3L Dual VVT-i, harga bermula dari RM37K hingga RM51K

    Bezza_Launch

    Perodua Bezza, sedan EEV pertama yang dibangunkan oleh pengeluar kenderaan nasional Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dilancarkan secara rasmi sebentar tadi di One World Hotel, Petaling Jaya.

    Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan diiringi Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin, Presiden Daihatsu Motor Co.Ltd Masanori Mitsui serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Seperti yang sudah pernah kami nyatakan sebelum ini di dalam laporan pandu uji pertamanya, Perodua Bezza, yang dibangunkan berdasarkan model kompak segmen A, Perodua Axia, merupakan kereta sedan pertama yang dibangunkan oleh Perodua di Malaysia, dan untuk Malaysia.

    Nama sedan ini diinspirasikan dari perkataan Bahasa Malaysia iaitu ‘Beza’. Dan ini “merupakan apa sebenarnya sedan EEV pertama Perodua – yang jelas berbeza.” Huruf ‘Z’ berkembar dalam nama Bezza ini juga melambangkan angka 22 – Perodua telah pun berada dalam pasaran selama 22 tahun pada tahun ini.

    Ya, ia dibangunkan berdasarkan Axia, jadi mungkin ramai yang menganggap ruang kargo Bezza mungkin tidak sebesar mana. Tetapi hakikatnya Bezza memiliki ruang kargo seluas 508 liter! Itu antara kelebihan yang ingin ditonjolkan oleh Perodua untuk produk terkininya ini.

    Ketiga-tiga varian juga ditawarkan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Bezza ditawarkan dengan enam pilihan warna termasuk dua warna baharu hanya hanya untuk varian 1.3L iaitu Ocean Blue, Sugar Brown, dan kesemua varian turut mendapat pilihan empat warna sedia ada iaitu Lava Red, Black Ebony, Glittering Silver dan Ivory White.

    Dua enjin baharu

    Antara perkara menarik yang perlu dinyatakan ialah Perodua Bezza ditawarkan dengan dua pilihan enjin baharu; 1.0L VVT-i (dengan ciri VVT-i, dan tambahan 1 hp dan 1 Nm berbanding enjin Axia) dan 1.3L Dual VVT-i, yang lebih maju berbanding enjin 1.3L yang ada pada Myvi.

    Bagi model 1.0L, Perodua Bezza dikuasakan oleh enjin 1KR-VE. Ia pada asasnya sama dengan enjin 1KR-DE pada Axia 1.0L, tetapi menerima pelbagai teknologi dan ciri terbaharu serta dibuat di kilang Perodua sendiri di Rawang. Berbanding enjin lama, enjin baharu ini menerima teknologi pemasaan injap bervariasi-pintar VVT-i (sebelum ini Perodua menggelarnya sebagai DVVT), nisbah mampatan yang lebih tinggi serta daya geseran dikurangkan.

    Enjin 1.3L pula merupakan enjin baharu sepenuhnya, menggantikan enjin 1.3L K3-VE yang telah digunakan sejak keluaran pertama Myvi 11 tahun lalu. Enjin baharu yang diberi kod 1NR-VE ini merupakan enjin yang sama boleh digunakan pada Toyota Avanza facelift dan diasaskan pembinaannya berdasarkan enjin K3-VE.

    Menurut Perodua, enjin Bezza adalah 70% sama dengan enjin pada Avanza, berbeza sedikit pada talaan (berikutan berat Avanza dan Bezza yang berbeza) serta pada bahagian cagak enjin (Avanza pacuan belakang, manakala Bezza pacuan hadapan). Kilang pengeluaran bagi kedua-dua enjin ini berkenaan juga berbeza; enjin Bezza dikeluarkan dari kilang enjin Perodua, di Sendayan, Negeri Sembilan.

    Hasil gabungan enjin-enjin baharu dengan kotak gear yang dikemaskini, membolehkan Bezza mencapai penggunaan bahan api yang lebih baik. Model 1.3 liter automatik disifatkan mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21 km untuk setiap liter, manakala model 1.0 liter manual pula mampu catat 22.8 km untuk setiap liter.

    Bagi model 1.0 liter varian automatik pula, ia mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km setiap liter dipandu dengan mod ECE, berbanding Axia yang hanya mencatatkan 20.1 km untuk setiap liter petrol.

    Tiga varian dan pakej aksesori GearUp

    Perodua Bezza ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. Begitu juga, sejak minggu lalu, harga bagi setiap varian ini bukan lagi rahsia. Ia bermula dari RM37,300 hingga RM50,800. Berikut merupakan perincian setiap daripadanya:

    Perodua Bezza Standard G

    Model asas Standard G ini didatangkan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE VVT-i (67 hp/91 Nm), dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Kedua-dua automatik dan manual ini turut menerima elemen yang sama.

    Elemen

    • Rim aloi 14-inci
    • Tempat duduk balutan fabrik
    • Roda stereng Polyurethane
    • Sistem audio dengan USB
    • Slot bagi telefon bimbit (di konsol belakang)
    • Perehat kepala tidak boleh dilaras pada tempat duduk belakang
    • Tempat duduk belakang boleh dibaringkan 60:40
    • Bukaan but jarak jauh
    • Cermin sisi manual
    • Indikator isyarat yang dipasang pada badan kenderaan
    • Pengesan undur
    • Cermin tingkap berkuasa
    • Dua beg udara (pemandu dan penumpang hadapan)
    • ABS dengan EBD

    Harga

    • 1.0 G Manual – RM37,300
    • 1.0 G Automatik – RM39,300

    Perodua Bezza Premium X

    Varian pertengahan pula ialah Premium X, yang didatangkan dengan enjin 1.3 liter 1NR-VE Dual VVT-i (94 hp/121 Nm). Seperti varian Standard G, ia juga didatangkan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Bagi Premium X, ia dilengkapi dengan elemen seperti berikut:

    em>Elemen

    • Sistem audio dengan USB dan Bluetooth
    • Slot telefon bimbit dengan port pengecasan 5V/2A USB charging port (pada konsol belakang)
    • Perehat kepala boleh laras untuk tempat duduk belakang
    • Kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin
    • Butang pembuka but pada bahagian but
    • Pemegang pintu krom
    • Indikator pada cermin sisi
    • Lampu kabus belakang
    • Pengesan parkir hadapan
    • Pelindung tingkap kuasa dari tersekat bagi bahagian pemandu
    • Kekemasan trim premium (hitam berkilat, kekemasan perak, fabrik pada bahagian panel pintu dalam)
    • Rantai kunci

    Harga

    • 1.3 X Manual – RM42,800
    • 1.3 X Automatik – RM44,800

    Perodua Bezza Advance

    Akhir sekali, bagi varian spesifikasi tertinggi Advance turut berkongsi penjana kuasa yang sama seperti Premium X, tetapi hanya dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Malah Advance juga dilengkapi dengan lebih banyak elemen yang lebih terkini, termasuk:

    Elemen

    • Rekaan berbeza bagi roda 14-inci
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Roda stereng balutan kulit dengan kawalan sistem multimedia
    • Sistem Henti Melahu (Eco Idle)
    • Skirting sisi
    • Cermin sisi boleh laras secara berkuasa
    • Pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan
    • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC)
    • Kawalan Cengkaman
    • Bantuan mula mendaki
    • Sistem Multimedia system dengan navigasi, Smart Link dan kamera undur
    • Kekemasan trim yang lebih terperinci

    Harga

    • 1.3 Advance Automatik – RM50,800

    Pakej GearUp

    Sebagai tambahan, Perodua Bezza turut ditawarkan dengan pakej aksesori GearUp sebagai pilihan. Terdapat empat pilihan pakej berbeza bagi aksesori berkenaan, dengan kos dari RM900 hingga RM2,600, yang boleh diserap ke dalam pinjaman dan bayaran ansuran pembelian kenderaan.

    Keselamatan – Asean NCAP lima-bintang

    Selain dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini yang menjadikan Perodua Bezza mempunyai nilai tambahan unik kepada pengguna, sedan pertama Perodua ini mempunyai satu lagi sebab untuk berbangga; ia telah diiktiraf menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang oleh MIROS.

    Perodua-Bezza-ASEAN-NCAP-1_BM

    Perodua Bezza 1.3L Advance yang dilengkapi dengan dua Amaran Pemakaian Tali Pinggang (SBR) hadapan dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) berjaya memperoleh 15.38 markah dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), membolehkan ia diiktiraf dengan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Bagaimanapun, bagi varian lain dengan spesifikasi yang lebih rendah dan tidak dilengkapi dua ciri berkenaan, ia tetap menerima penarafan empat-bintang.

    Perodua Bezza Standard G

    Perodua Bezza Premium X

    Perodua Bezza Advance

    Perodua Bezza GearUp

     
     
  • Perodua Bezza – tonton lintas langsung pelancarannya 8.15 malam ini, eksklusif di paultan.org

    Perodua mencatatkan lagi satu sejarah gemilang dengan melancarkan model terbaharunya, Perodua Bezza, sedan EEV yang pertama dari pembuat kereta nasional kedua ini. Saksikan lintas langsung majlis pelancarannya yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya, menerusi komputer, telefon bimbit atau tablet anda, eksklusif dari paultan.org. Ia akan disiarkan mulai jam 8.15 malam ini.

    Inilah masanya untuk anda saksikan sendiri penampilan penuh dan elemen yang ditonjolkan oleh Bezza ini. Maklumlah sebelum ini foto penuhnya tidak dapat dipaparkan. Jadi, menerusi siaran langsung ini, anda berpeluang melihat penampilannya sebelum berkunjung ke mana-mana bilik pameran Perodua.

    Perodua Bezza hadir dengan tiga model iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (dengan insurans) seperti berikut:

    • Standard G (1.0 G manual) – RM37,300
    • Standard G (1.0 G automatik) – RM39,300
    • Premium X (1.3 X manual) – RM42,800
    • Premium X (1.3 X automatik) – RM44,800
    • Advance (1.3 AV automatik) – RM50,800

    Ia turut hadir dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Bezza ditawarkan dengan enam pilihan warna termasuk dua warna baharu hanya hanya untuk varian 1.3L iaitu Ocean Blue, Sugar Brown, dan kesemua varian turut mendapat pilihan empat warna sedia ada iaitu Lava Red, Black Ebony, Glittering Silver dan Ivory White.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini di litar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya menerusi pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca di SINI.

     
     
  • Perodua Bezza – 4,028 tempahan dalam lima hari

    Perodua_Bezza_PremiumX_Ext-2

    Setelah pengumuman tempahannya dibuka mulai 16 Julai lalu, Perodua Bezza telah pun menerima tempahan sebanyak 4028 unit, lima hari sebelum ia dilancarkan.

    50% dari tempahan berkenaan adalah dari varian 1.3L Advance, 35% dari varian 1.3L Premium X, manakala 15% selebihnya adalah dari varian asas 1.0L Standard G manual dan automatik.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, sebanyak 7000 unit Bezza telah berada dalam simpanan stok Perodua buat masa sekarang, dan penghantaran pertamanya akan bermula esok.

    “Kami akan memastikan penghantaran Perodua Bezza tepat pada masanya kepada pelanggan yang kami hargai. Setakat ini kami mempunyai stok sebanyak 7000 unit sedan cekap tenaga di dalam simpanan stok dan penghantarannya akan bermula esok.

    “Sasaran kami adalah untuk memberikan pelanggan kami pengalaman yang mudah dan menggembirakan bersama kami selari dengan matlamat kami untuk meletakkan rakyat ditempat pertama dalam apa jua yang kami lakukan,” kata Aminar.

    Bezza dipamerkan dan boleh ditempah melalui 181 pusat jualan Perodua dan bakal pembeli disarankan untuk berjumpa dengan penasihat jualan bertauliah di seluruh negara.

    Perodua_Bezza_PremiumX_Ext-21

    Bezza diproduksi di kilang baharu Perodua Serendah dan mempunyai kandungan tempatan sebanyak 95%. Dijual pada harga antara RM37,300 untuk model 1.0 Standard G manual dan 50,800 untuk varian tertinggi 1.3 Advance automatik, Bezza dilengkapi dengan lampu belakang LED, sistem kunci pintar serta butang penghidup enjin, penderia parkir hadapan, port pengecas USB, sistem multimedia dengan skrin sesentuh, kamera undur dan Bantuan Mula Mendaki, merupakan antara ciri baharu dari Perodua.

    Untuk ciri keselamatan, semua varian dilengkapi dengan dua beg udara, Brek ABS serta EBD. Varian Advnce turut dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), membolehkan ia menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP (model lain tanpa ciri ini menerima empat-bintang) pertama untuk Perodua.

    Dua pilihan enjin ditawarkan untuk Bezza iaitu enjin 1.0 liter VVTi 1KR-VE berkuasa 67hp/91 Nm dan enjin 1.3 liter Dual VVT-i 1NR-VE berkuasa 94hp/121 Nm. Kesemua enjin ini dipadankan dengan dua pilihan kotak gear sama ada manual lima kelajauan atau empat kelajuan automatik.

    Anda boleh membaca ulasan pandu uji kami di sini. Kami juga membawakan siaran langsung pelancaran Perodua Bezza yang akan berlangsung bermula pukul 8.15 malam ini secara atas talian menerusi youtube di sini.

     
     
  • Ford Malaysia anjur rumah terbuka Aidilfitri mulai 22 hingga 24 Julai ini – rebat tunai untuk model terpilih

    Ecosport_Ext_04

    Kehangatan Syawal masih dirasai, justeru bagi meraikannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) akan menganjurkan ‘Rumah Terbuka Bersama Keluarga Ford di Hari Raya’ di semua bilik pameran Ford di seluruh negara mulai 22 hingga 24 Julai ini.

    Penganjuran rumah terbuka ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan semua pelanggan Ford dan sebagai tanda penghargaan kepada mereka sepanjang bulan Syawal ini. Para pengedar Ford akan menyediakan hidangan Hari Raya mulai 10 pagi hingga 6 petang pada tarikh tersebut.

    Selain memberi peluang para pengunjung melihat secara dekat barisan model baharu Ford dan memandu ujinya, mana-mana pelanggan yang menempah dan mendaftar sebuah Focus, Fiesta atau EcoSport pada rumah terbuka atau sebelum 31 Julai akan ditawarkan dengan rebat tunai yang menarik. Ini termasuklah rebat tunai sehingga RM14,000 untuk Focus, RM13,000 untuk Fiesta dan RM12,000 bagi model EcoSport.

    Rumah terbuka ini nyata lebih istimewa kerana hadiah akan disampaikan kepada pemenang peraduan Cabutan Bertuah Ramadan Raya yang berlangsung bulan lalu. Lima orang pelanggan bertuah akan membawa pulang 10g emas. Manakala 50 orang pemenang pula akan dihadiahkan dengan satu unit navigasi Garmin GPS.

    “Ford dan SDAC ingin menyatakan penghargaan kepada para pelanggan setia kami dengan menganjurkan rumah terbuka. Kami ingin menyebarkan kegembiraan Hari Raya dan meraikan perbezaan dalam kalangan pelanggan kami dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Pangarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

     
     
  • VIDEO: Hyundai i30 N – bunyi enjin yang menggiurkan

    Hyundai kini dalam percubaan mereka memasuki pasaran ‘hot-hatch’ berprestasi tinggi sebenar menjadikan Volkswagen GTI dan BMW M3 sebagai sasaran kayu ukur, dengan jenama N mereka kini diperkenalkan sebagai jenama penala rasmi mereka seperti Mercedes-AMG dan BMW M. Perkembangan terkini untuk projek berkenaan- Hyundai telah pun menyiarkan video model Hyundai i30 N, yang bakal berentap dengan VW Golf GTI dalam pasaran setelah ia dilancarkan pada lewat 2017 kelak.

    Dua varian bakal ditawarkan dengan kedua-duanya bakal dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa sekitar 260 hp. Hyundai mendakwa model baharu N yang akan diasaskan dari i30 generasi ketiga berkenaan adalah 40% baharu, termasuk enjin, transmisi serta suspensinya.

    Kuasa dan pretasi yang dihasilkan enjin tersebut meletakkan ia sebaris dengan ‘hot-hatch‘ terkini dalam pasaran seperti VW Golf GTI dan Ford Focus ST, manakala halatuju Hyundai N seperti yang disebutkan tadi disasarkan kearah BMW M. Ketua sub-jenama Hyundai N juga sebenarnya merupakan bekas ketua jurutera BMW M, Albert Biermann.

    Video yang disiarkan ini memaparkan antara aspek utama pada hatchback berprestasi tinggi yang bakal muncul berkenaan, iaitu bunyinya yang ‘meletup dan bersepah’ ketika beraksi seakan bunyi yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG A45, membezakan ia dari i30 versi standard.

     
     
  • SPYSHOT: Subaru XV Crosstrek tambah bodykit dan sedikit elemen dalaman tersendiri – RM143k

    Subaru-XV-Crosstrek-spyshots-2

    Nampak gayanya model facelift bagi Subaru XV yang dilancarkan pada Januari lalu bakal menerima varian terbaharu tidak lama lagi. Pembaca Zamil Syaheer telah menghantar beberapa keping foto crossover ini yang ditampilkan dengan bodykit baharu dan logo Crosstrek, memberikan bayangan bagi nama varian baharu ini. Sebelum ini, nama Crosstrek pernah digunakan untuk model edisi istimewa, yang hanya terhad sebanyak 55 unit sahaja.

    Kit baharu yang lebih sporty ini terdiri daripada deep chin spoiler, sambungan berwarna perak pada sudut hadapan, skirt sisi dan peresap belakang dengan kekemasan perak. Selain itu, spoiler belakang berwarna hitam seakan model pre-facelift STI Performance, tanpa logo STI. Selain itu, ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L baharu, rim aloi dua tona 17-inci dan lampu belakang LED.

    Pada sesi kereta SUV ini, tercatat harga RM119,500, di mana ia sedikit murah berbanding varian asas 2.0i yang dijual pada harga atas RM134,005 dengan insurans.

    Klik untuk besarkan imej

    Walau bagaimana pun, semalam kami sempat mengambil gambar senarai harga bagi Crosstrek ini di siri jelajah Motor Image yang sedang berlangsung di Mid Valley, di mana Levorg turut dipamerkan di situ. Di mana tertera harga sebenar bagi Crosstrek ini ialah RM142,706, iaitu RM8,700 lebih mahal berbanding 2.0i, dan RM4,350 lebih mahal daripada 2.0i-P.

    Jika Crosstrek ini adalah dari model asas 2.0i, bermakna beberapa elemen turut tiada termasuk tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem hiburan Kenwood dengan skrin sentuh, kamera undur dan banyak lagi. Namun mengikut senarai spesifikasi, varian Crosstrek ini bakal menerima elemen dalaman tambahan tersendiri termasuk material kulit lembut dan upholstery serta karpet unik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025