CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah mengakui pengeluar kereta nasional itu telah kehilangan kelebihan nilai untuk wang pada produknya berbanding jenama luar, akibat tempoh pinjaman yang dipanjangkan kepada sembilan tahun. Tempoh pinjaman yang lebih lama tersebut membolehkan pengguna membeli kereta yang lebih mahal.
Harith memberitahu media semalam, semasa tempoh pinjaman yang lebih pendek sebelum ini, Proton mempunyai kelebihan yang besar dalam jualan – menjangkaui 60% dalam pasaran tempatan. Tetapi dengan kemampuan pengguna untuk membeli kereta yang lebih mahal sekarang, tambahan pula kegagalan untuk memenuhi pasaran segmen-B yang agak besar, Proton telah kehilangan kelebihan tersebut.
“Kami hilang faktor nilai untuk wang tersebut kerana kemampuan untuk membeli kereta telah meluas,” kata beliau. “Kami gagal untuk menguasai segmen ini, dimana ia lebih tertumpu pada jenama.”
Beliau juga turut kesal dengan orang ramai membeli kereta dari jenama lain walaupun dibekalkan dengan ciri keselamatan dan kelengkapan ditahap yang lebih rendah. “Kami perlu membuat analisa berkaitan hal ini. Kami telah memberikan yang terbaik dari segi prestasi, keselamatan dan kelengkapan. Enam beg udara, rating keselamatan lima-bintang dari ANCAP – semua ini sejak 2012. Kami telah melengkapkan segalanya dalam kereta kami,” katanya.
Harith menambah kerana persepsi negatif terhadap Proton, pembeli tidak mahu cuba untuk memandu uji model Proton, jadi mereka tidak mengetahui sebenarnya kemampuan sebenar model terbaharu Proton seperti Preve, Suprima S dan Iriz. “Anda perlu memandu uji model-model ini, kerana ia telah terbukti, apabila anda memandu uji, peluang untuk memilih membeli Proton adalah tinggi,” kata beliau.
Sentimen ini merupakan penggerak utama dibelakang kempen ‘ It’s in the Drive‘ Proton, menggalakkan orang ramai untuk memandu uji sendiri kereta baharu, berbanding hanya berpegang kepada perasaan prejudis yang dipendam sekian lama. Ini juga sebab mengapa Proton sekarang ini menganjurkan peraduan Pandu Uji dan Menang, yang mana setiap orang yang memandu uji Proton layak berpeluang memenangi hadiah, termasuk sebuah Suprima S jika mereka menempah kereta baharu.
Harith berkata Proton bergelut di bawah Polisi Automotif Nasional (NAP), di mana tempoh pinjaman sewa-beli maksima ditambah dari lima tahun ke sembilan tahun. “Jika kerajaan atau Bank Negara membuat keputusan untuk memendekkan tempoh masa bayaran pinjaman maksimum ke lima tahun, anda boleh lihat perubahan drastik pada angka jumlah jualan kami. Saya agak yakin tentang perkara ini,” tambah beliau.
“Saya berpendapat pinjaman sewa beli kereta tidak patut dipanjangkan sehingga sembilan tahun. Jika pembayaran dipanjangkan sebegitu lama, apabila anda membuat keputusan untuk menjual kereta selepas dua tahun, anda perlu membayar lebih kepada bank berbanding harga pasaran kereta tersebut sebelum dapat menukar kereta,” ujar beliau.