Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • smart Malaysia lancar program smartCO untuk pemiliknya – rangkaian dan keistimewaan komuniti

    smart Malaysia lancar program smartCO untuk pemiliknya – rangkaian dan keistimewaan komuniti

    Dalam majlis pelancaran smart #3 semalam, smart Malaysia turut mengumumkan program smartCO untuk pemilik kenderaan smart. Menurut smart Malaysia, program tersebut direka untuk mencipta komuniti dalam kalangan penggemar automotif dan mengubah hobi mereka menjadi usahawan yang berjaya.

    Selain itu, ia turut menawarkan banyak peluang perniagaan bagi pemilik smart dan keistimewaan eksklusif dari perniagaan yang dipromosikan oleh pemilik smart. “Kami berhasrat untuk menggalakkan lebih banyak pembangunan bersama untuk meningkatkan nilai kualiti jenama yang kami hargai, mencipta komuniti yang kuat kepada jenama smart, kata Zhang Qiang, CEO smart Malaysia.

    Dalam majlis berkenaab juga, smart Malaysia telah mengumumkan kerjasama dengan dua Penyedia Perkhidmatan Pengecasan (CPO) tambahan iaitu DC Handal dan Carput. Hal Ini dapat meningkatkan jumlah keseluruhan CPO kepada enam di bawah rakan kongsi Pro-Net yang secara signifikan memperkasa ekosistem IHU dan Aplikasi Hello smart untuk memberikan akses kepada maklumat stesen pengecasan secara langsung sehingga 80% di seluruh negara.

    Untuk pasaran Malaysia, smart #3 ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling padu Brabus pula RM255,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • Aplikasi MyJalan terima 16,410 aduan sejak Ogos 2023; 87.51% kes selesai – Kementerian Kerja Raya

    Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan bahawa aplikasi MyJalan yang dilancarkan pada Ogos lalu, telah menerima sejumlah 16,410 laporan dari orang awam setakat 5 Julai 2024.

    Selain kerosakan jalan raya, laporan yang boleh disalurkan menerusi aplikasi berkenaan termasuklah lampu isyarat, lampu jalan dan papan tanda yang tidak berfungsi serta melibatkan fasiliti awam yang lain.

    Daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima itu, hanya 30.01% (4,925 laporan) yang membabitkan jalan selian KKR, dan selebihnya iaitu 11,485 laporan pula melibatkan jalan di bawah pengurusan majlis perbandaran tempatan, jalan kampung (di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan pejabat daerah) dan jalan pertanian (di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran). Walau bagaimana pun, laporan tersebut disalurkan ke jabatan yang terlibat.

    Aplikasi MyJalan terima 16,410 aduan sejak Ogos 2023; 87.51% kes selesai – Kementerian Kerja Raya

    Bagi jalan di bawah KKR, sebanyak 4,310 (87.51%) laporan telah diselesaikan, di mana 3,476 (80.65%) diselesaikan antara satu hingga 15 hari, dan 834 (19.53%) diselesaikan selepas 15 hari. KKR turut berkata, terdapat 615 laporan masih belum diselesaikan.

    Aplikasi MYJalan merupakan salah satu inisiatif KKR yang membolehkan orang ramai menyalurkan semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR termasuk maklumat melibatkan lampu jalan, lampu isyarat dan fasiliti jalan raya yang lain.

    Bagi memastikan aduan yang dihantar dapat diproses untuk tindakan selanjutnya dengan segera, pengguna perlu mengemukakan aduan dengan menyatakan maklumat peribadi yang sah, e-mel yang betul dan tidak menggunakan nama samaran. Pengguna juga perlu menghantar lokasi aduan yang tepat dan jatuhkan pin pada peta (Pinned map) mengikut lokasi aduan yang sebenar serta lampirkan foto yang jelas.

     
     
  • Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

    Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

    Selain dari Ford Escort, ada satu lagi model ikonik dari Ford British yang begitu digilai dari era 70’an iaitu Ford Capri; ia lebih besar serta lebih ‘seksi’ dengan direka dengan badan coupé dua-pintu dan juga bonet hadapan panjang. Tahun 2024, Ford nampaknya ‘menghidupkan’ semula Capri, tapi untuk mereka yang mahu bernostalgia ini mungkin bukan untuk anda, kerana Ford Capri 2024 direka sebagai sebuah SUV dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV)!

    Ford Capri ini generasi baharu ini diasaskan dari platform MEB dari Volkswagen AG, yang dikongsi bersama model seperti Volkswagen ID.5 dan diproduksi di kilang Ford Cologne, Jerman. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,634 mm, lebar 1,946 mm, tinggi 1,626 mm dan jarak roda sejauh 2,767 mm. Ini bukan model pertama Ford yang dihasilkan dari platform MEB, kerana Ford Explorer EV yang diperkenalkan pada tahun lalu turut menggunakan platform yang sama.

    Walaupun Capri 2024 ini direka sebagai SUV, Ford memberikan beberapa perincian rekaan bagi mengaitkannya kepada model asal Capri, antaranya bahagian belakang yang direka seakan fastback, cermin tingkap sisi dan juga cermin suku belakang yang direka bulat seperti rekaan ikonik pada Capri asli, dan juga jalur-jalur LED pada lampu hadapan yang direka bagi memberikan imej seakan Capri Mk1 dan Mk3 dalam versi lampu hadapan berkembar.

    Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

    Model ini ditawarkan dalam dua tahap kemasan iaitu Capri standard dan Capri Premium. Bagi versi standard, ia menerima set rim aloi 19-inci dengan tayar 235/55R19 di hadapan dan 255/50R19 di belakang. Sementara versi Premium pula datang dengan rim 20-inci dengan tayar 235/50R20 di hadapan dan 255/45R20 di belakang bersama lampu hadapan Dynamic LED Matrix.

    Tak kira mana-mana varian kemasan, pembeli turut boleh memilih opsyen untuk mengenakan rim aloi 21-inci dengan tayar 235/45R21 di hadapan dan 255/40R21 di belakang.

    Namun pada bahagian dalaman, tiada sebarang perincian yang boleh mengingatkan kita kepada Ford Capri asli. Ia menerima rekaan papan pemuka ringkas dengan elemen melintang, menampilkan skrin sesentuh menegak SYNC Move bersaiz 14.6-inci, skrin paparan instrumen digital 5-inci dan juga diberikan ruang storan ‘MegaConsole’ pada konsol tengah dengan kapasiti 17 liter.

    Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

    Bagi Capri standard, ia menerima perincian asas seperti tempat duduk pemandu dengan fungsi pengurut, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan roda stereng, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, pad pengecas tanpa wayar dan juga sistem bunyi dengan tujuh-pembesar suara termasuk soundbar yang diletak pada papan pemuka.

    Manakala untuk Capri Premium, ia menerima tambahan lampu suasana kabin yang boleh dilaras, fungsi tanpa sentuh untuk pintu tailgate belakang, dan juga sistem bunyi dari B&O yang dilengkapi 10-pembesar suara. Kapasiti ruang kargo belakang adalah sama untuk kedua-dua kemasan iaitu 627 liter dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,510 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

    Tidak kira varian kemasan, Capri ditawarkan dalam dua jenis rangkaian kuasa iaitu Extended Range RWD dan Extended Range AWD. Versi asas Extended Range RWD menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 286 PS dan tork maksima 545 Nm, memacu roda belakang bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri NMC berkapasiti 77 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 627 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

    Manakala Extended Range AWD pula menerima tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan yang memberikan kebolehan pacuan semua roda, serta kuasa keseluruhan 340 PS dan tork maksima 545 Nm, bagi membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat. Model ini turut menerima bateri NMC tetapi dengan kapasiti lebih besar berjumlah 79 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 592 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Kedua-dua versi rangkaian kuasa ini mencapai kelajuan maksima yang sama iaitu 180 km/j dan juga input pengecas AC maksima 11 kW. Namun bagi model AWD ia boleh menerima sistem pengecas pantas DC dengan kapasiti lebih tinggi iaitu 185 kW berbanding 135 kW pada model RWD. Ini membolehkan cas bateri versi AWD dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 26 minit berbanding 28 minit pada versi RWD.

    Manakala untuk keselamatan pula, Ford Capri 2024 ini menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, amaran lintasan trafik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan kamera undur. Sekiranya pembeli memilih opsyen Driver Assist Pack, ia akan ditambah dengan paparan head-up, bantuan parkir aktif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong dan kamera 360-darjah.


     
     
  • Malaysia tanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu akibat kemalangan jalan raya – Menteri MOT

    Malaysia tanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu akibat kemalangan jalan raya – Menteri MOT

    Negara menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu yang mewakili 1.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Katanya lagi, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian pada tahun terdahulu, laporan Berita Harian.

    “Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2% daripada KDNK. Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

    Beliau menjawab demikian susulan pertanyaan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta penjelasan jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan langkah efektif diambil bagi mengatasi masalah itu.

    Malaysia tanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu akibat kemalangan jalan raya – Menteri MOT

    Loke turut berkata antara langkah efektif dijalankan bagi mengatasi masalah itu, kementeriannya membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).

    “Penetapan PKJRM 2022-2030 adalah untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50% menjelang 2030. Ia selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

    Selain itu, katanya, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD). Melalui inisiatif itu, ia bermatlamat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

    Jelasnya, melalui kerjasama rentas kementerian itu, secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko nahas jalan raya.

     
     
  • Harley-Davidson DRT Experience beri peluang uji jentera atas jalan biasa, offroad dan litar di Thailand

    Harley-Davidson DRT Experience beri peluang uji jentera atas jalan biasa, offroad dan litar di Thailand

    Bila disebut tentang Harley-Davidson (H-D), dalam pemikiran ramai orang mungkin hanya ada bayangan motosikal cruiser yang digunakan untuk tunggangan santai. Namun, sejak beberapa tahun lepas semuanya sudah berubah apabila pengeluar Amerika Syarikat itu mula memperkenalkan model adventure touring dan prestasi.

    Demi membuka mata ramai terhadap hala tuju baru syarikat ini, mereka menganjurkan Harley-Davidson DRT Experience untuk wakil media dan tahun ini kami menjadi antara yang terpilih untuk menyertainya di Pattaya, Thailand.

    DRT adalah singkatan daripada Dirt, Road and Track, yang membawa makna dalam satu hari tersebut, kami akan dapat merasakan pengalaman menunggang beberapa model semasa H-D dalam tiga keadaan berbeza iaitu jalan offroad, jalan biasa dan juga dalam litar.

    Selepas taklimat dan bergambar di Litar Bira, sesi kami bermula sedikit lambat, pada waktu tengahari bagi memberi peluang kepada beberapa lagi kumpulan peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand sendiri, India, Vietnam dan Indonesia.

    Model pertama yang kami tunggang adalah Road Glide tahun 2023, yang merupakan sebuah cruiser dan terletak antara yang teratas dalam barisan model H-D. Suasana pada masa itu juga sangat menyenangkan, dengan perilaku peserta dalam kumpulan serba elok, cuaca mendung dan tidak panas serta keadaan jalan Thailand yang terjaga.

    Memikirkan tempoh atas motosikal tidak begitu lama, kami tidak cuba untuk banyak bermain dengan tetapan yang ada, tetapi sekadar menyerap rasa tunggangan yang mampu diberikan oleh model ini. Tidak sampai 15 minit selepas itu, kami bertukar pula kepada Road Glide tahun 2024.

    Harley-Davidson DRT Experience beri peluang uji jentera atas jalan biasa, offroad dan litar di Thailand

    Model ini baru sahaja dilancarkan di Malaysia bulan Mei lalu dengan harga bermula RM211,900 dan ia melibatkan banyak peningkatan termasuk penampilan, enjin serta kelengkapan. Untuk mendapatkan model tunggang uji di Malaysia mungkin akan mengambil masa lama lagi, jadi peluang yang diberi ini kami ambil dengan rasa besar hati dan terima kasih.

    Terus boleh dirasakan, model baru ini adalah lebih lancar dan ia mungkin disebabkan oleh peningkatan yang dibuat pada bahagian enjin. Daripada unit Milwaukee Eight 107 sebelumnya, Road Glide 2024 kini menggunakan enjin Milwaukee Eight 117 yang berkapasiti lebih tinggi, iaitu 1,923 cc.

    Sudah tentu, dengan peningkatan saiz silinder ini, kuasanya juga bertambah menjadi 107 hp pada 5,020 rpm dan tork 175 Nm pada 3,500 rpm. Digabungkan dengan bunyi yang dalam keadaan standard pun sudah memuaskan, setiap pulasan pendikit membawa kepada gelak seronok di dalam helmet.

    Berakhirnya sesi Road 15 minit selepas itu, kami rasakan Road Glide ini boleh mengubah persepsi orang terhadap motosikal kegemaran mereka. Hati-hati jika anda kata tidak minat kepada “moto kangkang.” Kalau sudah cuba Road Glide ini mungkin tidur boleh jadi tidak lena dan sentiasa tengok akaun bank jika ada baki lebih untuk memilikinya.

    Seterusnya kami ke sesi Dirt, yang diadakan berdekatan dan melibatkan apa lagi kalau bukan Pan America. Bagi model tahun 2024, tidak banyak peningkatan yang dibuat pada model adventure touring ini, dengan yang utama pada sistem infotainmennya.

    Jadi, model yang disediakan kebanyakannya adalah daripada tahun 2023 dan salah satu diberikan kepada kami. Walaupun begitu, ia tidak menjadi penghalang untuk menjadikan sesi ini sebagai sesi yang paling kami nikmati.

    Harley-Davidson DRT Experience beri peluang uji jentera atas jalan biasa, offroad dan litar di Thailand

    Sebabnya, waktu di jalan tanah sebeginilah kita boleh melakukan aksi-aksi “bermain” dengan motosikal seperti sliding, melompat atau meredah lopak sehingga basah satu badan. Semua ini dapat dilakukan bersama Pan America.

    Sudah tentu, motosikal yang mencatat berat hampir 260 kg ini tidak selincah model biasanya lebih fokus kepada jalan offroad, tapi sekurang-kurangnya anda boleh tahu bahawa apabila anda menunggang Pan America dan tiba-tiba bertemu dengan jalan tidak berturap, anda masih boleh teruskan perjalanan dengan yakin dan tidak perlu rasa risau.

    Dalam waktu singkat bersama Pan America ini, kami rasa ia mudah untuk dibiasakan. Apabila duduk, kedudukan pemegangnya mungkin rasa sedikit tinggi, tetapi apabila penunggang sudah mula berdiri ia rasa selesa untuk dikawal. Kemudiannya, penukaran mod berserta penutupan ABS dan kawalan cengkaman, yang mana adalah penting sewaktu berada atas jalan offroad juga dapat dilakukan dengan mudah dan pantas.

    Pada penghujung sesi offroad, titik-titik hujan mula terasa dan kami pulang ke Litar Bira untuk sesi seterusnya, Track. Sudah tiba, hujan semakin lebat dan sesi ditangguh buat seketika. Sama seperti keadaan langit, harapan untuk kami merasa potensi sebenar CVO Road Glide ST yang disediakan untuk sesi itu juga dilihat gelap.

    Walaupun begitu kami tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan model yang berharga lebih RM340k di Malaysia ini sudah tersedia depan mata. Walaupun hujan masih rintik-rintik dan jalan basah, kami terus juga hidupkan enjin dan masuk ke dalam litar dengan persetujuan penganjur.

    Untuk pengetahuan, model ini bukan setakat mempunyai enjin yang lebih berkuasa berbanding Road Glide biasa, tetapi ia juga menerima pelbagai peningkatan prestasi termasuk suspensi Showa boleh laras sepenuhnya, ekzos Screamin’ Eagle dan 11.3 kg lebih ringan. Penampilannya juga dijadikan istimewa dengan grafik ulang tahun ke-25 CVO serta panel-panel gentian karbon.

    Rasa geram untuk memerah model prestasi ini dalam litar mestilah ada, tetapi kami sekadar mengambil langkah berhati-hati untuk memastikan hari tunggang uji di sana berakhir dengan semua yang terlibat masih dapat tersenyum dan berada dalam keadaan gembira.

    Sebagai penutup, pada waktu makan malam semua peserta dipanggil seorang demi seorang untuk menerima sijil sebagai tanda melengkapkan acara yang unik – menunggang pelbagai model H-D dalam pelbagai keadaan jalan berbeza.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Julai kekal RM2.05 untuk RON 95, RM3.47 untuk RON 97 dan RM3.35 untuk diesel

    Harga minyak 11-17 Julai kekal RM2.05 untuk RON 95, RM3.47 untuk RON 97 dan RM3.35 untuk diesel

    Kini masanya sekali lagi untuk kemas kini harga minyak di Malaysia, dengan Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Julai 2024.

    Tiada perubahan untuk harga petrol RON 97, dengan kekal pada RM3.47 seliter, sama seperti minggu lalu, manakala petrol RON 95 pula terus dijual pada harga siling RM2.05 seliter, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan pada Februari 2021.

    Harga untuk diesel juga tidak berubah, dengan masih dijual pada harga seperti waktu program rasionalisasi subsidi dilaksana sejak 10 Jun lalu untuk Semenanjung Malaysia. Diesel Euro 5 B10 dan B20 dijual pada harga RM3.35 seliter, manakala Euro 5 B7 ditetapkan pada RM3.55 seliter.

    Ini bagaimanapun tidak menjejaskan harga diesel di Sabah dan Sarawak, yang masih dijual pada harga RM2.15 seliter dan RM2.35 seliter untuk masing-masing gred biasa dan B7.

     
     
  • Bajaj Freedom dilancar di India – motosikal CNG pertama di dunia, enjin 125 cc berkuasa 9.4 hp

    Bajaj Freedom dilancar di India – motosikal CNG pertama di dunia, enjin 125 cc berkuasa 9.4 hp

    Di India, Bajaj telah melancarkan sebuah model yang mereka katakan sebagai motosikal kuasa CNG (gas asli termampat) pertama di dunia, dipanggil sebagai Freedom. Ia dijual dalam beberapa varian, dengan harga yang bermula pada 110,000 rupee (RM6,205).

    Freedom sebenarnya bukanlah motosikal 100% CNG, tetapi enjin pembakaran dalaman satu silinder 125 cc empat strok dengan sistem penyejukan udaranya juga boleh dihidupkan dengan petrol sebagai sokongan. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 9.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.7 Nm pada 5,000 rpm.

    Tangki CNG pada Freedom terletak di bawah tempat duduk, dengan berkapasiti 12.5 liter atau dua kilogram, manakala tangki petrol pula terletak di hadapan dengan kapasiti dua liter. Menurut Bajaj, motosikal ini boleh bergerak 200 km serta memberikan kelajuan maksimum 90.5 km/j apabila menggunakan CNG, manakala penggunaan petrol boleh membawa motosikal sejauh 130 km dan laju maksimum 93.4 km/j.

    Penukaran sumber kuasa CNG atau petrol boleh dilakukan sendiri oleh penunggang dengan menggunakan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang. Selain sumber penggerak, Bajaj juga menyatakan bahawa motosikal ini mempunyai tempat duduk unik, yang panjang khas untuk memberi “ruang tempat duduk tambahan.”

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Freedom adalah seperti panel meter LCD dengan sambungan bluetooth, lampu hadapan LED, kerangka trellis, rim 17 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, fork teleskopik, monoshock di belakang serta brek cakera di hadapan (belakang menggunakan dram).

     
     
  • Singapura haramkan pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu bermula 1 Januari 2025

    Singapura haramkan pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu bermula 1 Januari 2025

    Seperti yang telah diumumkan dalam Parlimennya pada Mac 2021, kerajaan Singapura akan menghentikan pendaftaran bagi kereta-kereta dan juga teksi yang menggunakan enjin diesel bermula 1 Januari 2025. Menurut laporan The Straits Times, langkah ini adalah salah satu usaha negara berkenaan bagi memastikan semua kenderaan yang berjalan di atas jalan rayanya digerakkan dengan tenaga lebih bersih menjelang 2040.

    Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura menyatakan bahawa buat masa sekarang pendaftaran kereta dan teksi diesel baharu masih kekal rendah pada kadar 1% secara keseluruhan.

    Laporan ini menyebut sehingga Mei 2024, terdapat 19,972 kereta dan teksi menggunakan diesel yang masih menggunakan jalan raya di Republik itu bagi membentuk minoriti kecil daripada 164,759 kenderaan diesel di sini, yang sebahagian besarnya adalah kenderaan barangan dan bas.

    Manakala secara keseluruhan hanya kira-kira 17% daripada semua kenderaan di Singapura masih menggunakan diesel. Sementara dalam keseluruhan jumlah kereta penumpang di sana, kira-kira 2.7 peratus daripada populasi 650,001 adalah dijana oleh diesel.

    Akhbar itu turut melaporkan walaupun kebanyakkan teksi masih menggunakan diesel, majoriti besar telah beralih kepada model hibrid petrol-elektrik atau elektrik sepenuhnya. Sehingga Mei, kira-kira 16.8 peratus daripada 13,330 teksi di Singapura masih menggunakan kuasa diesel.

    Singapura haramkan pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu bermula 1 Januari 2025

    Pada masa yang sama, kerajaan Singapura turut telah melakukan usaha bagi menggalakkan pemilik kenderaan komersial beralih daripada diesel kepada bahan api yang lebih bersih, seperti Skim Perolehan Awal (ETS) dan Skim Emisi Kenderaan Komersial (CVES).

    Menerusi ETS, pemilik kenderaan komersial lama boleh bertukar kepada yang baharu dengan emisi yang lebih bersih dengan membayar kadar diskaun harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan bukannya perlu membida yang baharu. Manakala di bawah CVES, pemilik kenderaan barangan ringan diberi insentif tunai jika mereka memilih model yang lebih bersih, terutamanya EV.

    Dalam laporan ini turut ada menyatakan sehingga Mei lalu, 88.6% daripada 143,565 kenderaan barangan di Singapura adalah berkuasa diesel, peningkatan daripada 95.8% pada akhir 2020. Bagi bas, 97.4% daripada 18,007 yang didaftarkan di negara tersebut adalah berkuasa diesel.

    LTA juga telah berjanji untuk hanya membeli bas awam yang menggunakan tenaga yang lebih bersih, dan menggantikan separuh daripada flit yang terdiri daripada hampir 6,000 bas awam yang kebanyakannya dikuasakan oleh diesel dengan yang menggunakan tenaga elektrik menjelang 2030.

    Singapura haramkan pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu bermula 1 Januari 2025

    Beberapa pengendali bas persendirian juga telah beralih kepada model bas elektrik sepenuhnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung, yang juga merupakan menteri pengangkutan pada 2021, memberitahu Parlimen pada masa itu bahawa kenderaan bermotor di Singapura mengeluarkan kira-kira 6.4 juta tan karbon dioksida setahun.

    Tetapi jika semua kenderaan ringan – termasuk kereta dan teksi – menggunakan tenaga elektrik, jumlah pengurangan karbon bersih akan meningkat kira-kira 1.5 juta hingga dua juta tan setahun, iaitu kira-kira 4 peratus daripada jumlah pelepasan nasional Singapura.

    Ong juga menjelaskan ketika itu sekiranya penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman ditukar kepada kenderaan berkuasa bateri akan membawa kepada penjimatan karbon bersih sebanyak 50 peratus. Beliau turut menambah penjimatan tersebut turut dapat dicapai walaupun tenaga elektrik yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan elektrik dijana oleh bahan api fosil seperti gas asli.

    Singapura haramkan pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu bermula 1 Januari 2025

    Walau bagaimanapun, LTA menyatakan bahawa pemilik-pemilik kereta diesel sedia ada masih boleh memperbaharui COE selepas tarikh akhir 2025 berkenaan, namun kos untuk cukai jalan yang dikenakan akan lebih tinggi untuk tidak menggalakkan sijil itu diperbaharui.

    Ini adalah sebahagian daripada polisi sedia ada untuk mengenakan surcaj cukai jalan sebanyak 10% hingga 50% bagi kenderaan yang berumur lebih daripada 10 tahun, bergantung kepada umur kenderaan, kata laporan itu. Namun, LTA menyatakan sekatan ke atas pendaftaran kereta diesel baharu tidak akan dikenakan ke atas import dan pendaftaran kereta di bawah skim Kenderaan Klasik dan Kenderaan Vintage.

    Di bawah skim tersebut, kenderaan klasik mestilah berumur sekurang-kurangnya 35 tahun dari tarikh pendaftaran asalnya dan memenuhi keperluan pendaftaran dan teknikal tertentu. Manakala kenderaan vintaj pula adalah kereta, motosikal atau skuter yang dipelihara dengan baik, kaya dengan warisan yang telah dikeluarkan sebelum Januari 1940.

     
     
  • Kerajaan masih tanggung RM10 bilion subsidi diesel — RM3.3 bil untuk kekalkan harga di Sabah, Sarawak

    Kerajaan masih tanggung RM10 bilion subsidi diesel — RM3.3 bil untuk kekalkan harga di Sabah, Sarawak

    Kerajaan memaklumkan masih menanggung lebih daripada RM10 bilion subsidi diesel setahun walaupun telah melaksanakan penyelarasan semula bahan api itu, yang menyaksikan harga seliter diesel naik kepada RM3.35.

    Menurut Kementerian Kewangan, ini adalah dari subsidi yang ditawarkan dari beberapa saluran, lapor New Straits Times. Ini termasukah sejumlah RM1.8 bilion agihan tunai yang diagihkan melalui Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi, yang menyediakan bantuan tunai RM200 kepada penerima yang layak dalam kategori tersebut.

    Selain itu, RM3.3 bilion diperuntukkan kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, sementara RM4 bilion diagihkan untuk sektor pengangkutan awam/logistik, yang mana harga diesel seliter kekal RM1.88 seliter untuk 10 jenis pengangkutan awam dan RM2.15 seliter bagi 23 jenis kenderaan logistik di bawah sistem kawalan diesel subsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0. Nelayan juga terus menikmati RM1.2 bilion subsidi diesel, dengan harga RM1.65 seliter.

    Bagaimanapun, kerajaan juga menjelaskan yang perbelanjaan operasi negara berkaitan subsidi diesel telah berjaya diturunkan sebanyak RM4 bilion daripada RM14 bilion kesan daripada peralihan kepada subsidi bersasar ini. Kementerian memaklumkan perkara ini dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang bertanyakan tentang penjimatan daripada penyelarasan semula subsidi diesel.

    Tahun lalu, peruntukan untuk subsidi ialah sekitar RM81 bilion, dan sebahagian besar daripadanya adalah untuk menampung subsidi untuk mengekalkan RON 95 pada harga RM2.05 seliter. Penjimatan RM4 bilion yang dinyatakan ini akan digunakan untuk menambahbaik prasarana pengangkutan awam serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

     
     
  • BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Selain model SUV off-road BJ40, model SUV segmen C ini, X55 telah diumumkan untuk menjadi dua model terawal jenama itu yang akan dipasarkan di Malaysia. Mei lalu, harga anggaran untuk kedua-duanya telah pun dimaklumkan, dan serahan kepada pelanggan dijangka dilakukan pada suku keempat tahun ini.

    Namun, unit yang ditampilkan dalam galeri ini merupakan model CBU dari China, bagi kelompok terawalnya. Model pemasangan CKD juga sudah ada dalam perancangan, yang akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka dan bakal menyusul juga pada suku keempat nanti.

    Bakal menjadi pesaing bagi model lain seperti Proton X70 dan Honda CR-V, serta juga Chery Tiggo 7 Pro, BAIC X55 akan ditawarkan dalam dua varian — Standard dan Premium, dengan harga anggaran dari RM12xk-RM14xk. Model ini mempunyai ukuran dimensi 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi.

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Model ini hampir 100 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding X70, manakala jarak rodanya pula 2,735 mm ialah 65 mm lebih panjang.

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder suntikan terus yang menghasilkan 188 PS pada 5,500 rpm dan 305 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.8 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).

    Rekaan luarannya tajam, dengan DRL LED bentuk L yang nipis, kedudukan lampu utama LED yang lebih rendah, rekaan tingkap yang tajam serta kemasan krom di kelilingnya. Wajah depan yang tertutup memperlihatkannya sebagai sebuah EV, ditambah pula dengan rekaan bampar dengan corak hexagon ala Lexus RX. Pemegang pintunya juga tersorok.

    BAIC X55 2024 di Malaysia — SUV segmen C 1.5T jana 188 PS, 7DCT, anggaran harga dari RM12xk-RM14xk

    Kami sempat meluangkan masa untuk mencuba sendiri aspek pemanduan model ini. Namun, sekali lagi, ini merupakan unit CBU dari China yang tidak mencerminkan dengan tepat misalnya spesifikasi lengkap versi yang akan ditawarkan di sini dalam bentuk CKD nanti.

    Disebabkan itu, anda akan perasan yang unit ini masih lagi menggunakan nama “Beijing” sebagai jenamanya, dan bukannya BAIC. Begitu juga dengan kelengkapan keselamatan dan teknologi lain — sebagai contoh, unit ini belum dilengkapi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, sebaliknya model CKD nanti khabarnya akan tersedia ciri berkenaan — spesifikasi lengkap dan disahkan untuk model ini akan diperoleh bagi unit CKD selepas pelancarannya nanti.

    Dari pengalaman singkat bersama SUV ini, boleh dikatakan ia memberikan pemanduan yang agak baik dari banyak aspek. Ia terasa ringan dengan maklum balas pedal minyak yang juga cepat dan responsif. Begitu juga dengan kendalian sterengnya, tidak mengecewakan — baik ketika memandu biasa dalam persekitaran dalam bandar yang banyak kereta mahupun ketika di lebuhraya. Tiada rasa yang model ini kurang kuasa.

    Sepanjang yang dapat diperhatikan, penggunaan minyak dalam keadaan sebenar yang sempat diperhatikan ialah sekitar 7.5 km per 100 km. Ini tidaklah lari terlalu jauh berbanding angka yang dinyatakan di atas kertas tersebut.

    Untuk berada di dalam kabinnya juga cukup selesa. Dapat dilihat yang BAIC cuba memberikan kemasan dan nilai terbaik bagi model ini, yang mungkin varian tertingginya nanti akan ditampilkan sebagai pilihan lebih premium. Rekaan papan pemuka serta permukaan lembut di atasnya, begitu juga dengan bahagian atas panel pintu antara sentuhan yang boleh dipuji.

    Perkara yang kurang digemari pula ialah skrin dan sistem yang ada di dalamnya. Paparan atau antaramuka penggunanya terasa terlalu asas seperti versi lama, dan hampir semua kawalan — dari pendingin hingga kepada cermin sisi — perlu dilakukan di dalam sistem ini. Walhal, semuanya lebih pantas dan mudah jika kawalan bagi perkara yang asas dan kerap dilakukan itu berada di luar skrin. Ruang di belakang juga luas, dengan adanya juga bumbung panoramik.

    Kelengkapan standard yang lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektrik dan enam beg udara. Premium pula menerima tambahan lampu ambient 10-warna.

    Sistem bantuan pemandu pula masih belum jelas penawarannya. Unit ini tidak dilengkapi sistem tersebut, tetapi BAIC memaklumkan versi jualan nanti akan ada ciri seperti amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan amaran titik buta. Tiada ciri pengekalan lorong atau ke tengah lorong, begitu juga ciri AEB yang belum disahkan. Jadi, kita tunggu maklumat yang lebih lengkap bagi X55 ini ketika pelancarannya kelak.

     
     
  • Budi Madani RM200 sebulan cukup untuk 80% pemilik kenderaan diesel – Kementerian Kewangan

    Budi Madani RM200 sebulan cukup untuk 80% pemilik kenderaan diesel – Kementerian Kewangan

    Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan negara menerusi pemberian bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada rakyat yang layak menerusi skim Budi Madani, bagi merasionalisasikan pemberian subsidi diesel selepas penyasaran subsidi terhadap bahan api itu yang menyebabkan ia dijual pada harga RM3.35 seliter.

    Kenyataan ini dibuat bagi menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang ingin mengetahui mengenai bagaimana kerajaan dapat menjimatkan kos sekiranya pengguna diesel yang layak menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen semalam, dan dipetik oleh Bernama.

    Menurut kenyataan itu lagi bantuan tunai sebanyak RM200 adalah mencukupi kerana ia ditetapkan menerusi hasil kajian mendalam dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi serta industri.

    “Berdasarkan data daripada Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia,” tulis kenyataan itu lagi.

    MoF turut menjelaskan kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup

    Bulan lalu dilaporkan bahawa sejumlah 76,000 orang dari 100,000 orang pemohon Budi Madani telah menerima bayaran pertama mereka.

     
     
  • smart #3 EV dilancar di Malaysia – Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Selepas diperkenalkan pada Mei lalu, petang ini smart #3 telah pun rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV coupe elektrik ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling padu Brabus pula RM255,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

    Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

    Varian Pro diberikan bateri Lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak gerak hingga 325 km dengan pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan dengan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar cecah 66 kWh, di mana Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km, kedua-duanya dengan pengecasan tunggal.

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan pada tahap yang sama di bawah 30 minit.

    Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.

    Seperti mana yang pernah dikhabarkan sebelum ini, #3 merupakan model kedua dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz, dengan model pertamanya ialah #1. Seperti juga #1, SUV dengan gaya ala coupe ini menerima sentuhan rekaan daripada Mercedes-Benz. Selain dimantapkan dengan dinamik pemanduan yang dipertingkatkan, pastinya rekaan luaran dan dalaman menjadi taruhan bagi #3 ini.

    #3 diberikan rekaan avant-garde dan fastback yang dinamik dengan gaya ala coupe, termasuk membawakan beberapa elemen rekaan yang pastinya menarik perhatian. Ini termasuklah dengan bumbung berbentuk busur dengan elemen flying wing. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang yang sporty, ditambahkan garisan sudut atas bahagian yang ala berotot dan juga gaya hadapan ala hidung jerung sekaligus menampakkan wajahnya lebih agresif dan maskulin.

    SUV ala coupe ini ditampilkan dengan gril hadapan bercahaya bersama unit lampu utama CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, serta liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid. Bentuk lampunya senada dengan bahagian belakang yang menerima unit dynamic LED. Bagi varian Pro dan Premium, ia diberikan roda aloi dengan saiz 19-inci.

    Menariknya, #3 ditampilkan dengan suis tailgate tersembunyi yang terletak pada abjad “a” pada perkataan smart. Cuma tekan saja “a”, maka tailgate akan terbuka secara automatik. Memantapkan lagi penggayaannya, #3 turut diberikan logo iluminasi, Welcome Light, pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik Halo,

    Untuk varian Brabus, pastinya diberikan ciri luaran tambahan yang bersesuaian dengan imejnya yang lebih ranggi. Ini termasuklah gril hadapan iluminasi roda merah, spoiler belakang yang lebih sporty, bumbung warna kontras merah eksklusif, logo luaran Brabus, roda Starlink lima-jejari 20-inci bersama kaliper sport berwarna merah, Brabus Welcome Light, hud hadapan yang lebih sporty dan logo hitam berkilat.

    Memantapkan lagi tahap aerodinamiknya hingga mampu mencapai pekali seretan hingga 0.27, smart ditampilkan dengan ciri aerodinamik pada bahagian rim aloi, wind deflector roda hadapan dan belakang, gril pengambilan udara aktif, wind blade air curtain dan juga cermin pandang belakang.

    smart #3 EV dilancar di Malaysia –  Pro, Premium, Brabus; hingga 428 PS/543 Nm, 455 km; dari RM175k

    Menjengah kabin #3, rekaannya lebih kurang dengan #1 yang juga ditampilkan dengan kokpit pintar walau pun rekaannya bersifat minimalis tanpa elemen futuristik yang sarat. Antara ciri yang ditampilkan untuk #3 termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, corong pendingin hawa ala-turbin dengan corong di kedua belah sisi berbentuk bujur dan bulat untuk di tengah (tidak seperti #1 yang hadir dengan corong berbentuk bujur untuk sisi dan tengah), tempat duduk sport yang disambungkan dengan perehat kepala, paparan instrumen definisi-tinggi LCD 9.2-inci, skrin konsol tengah 12.8-inci dan unit utama (head unit) warna penuh 10-inci.

    Selain itu, ia juga diberikan sistem bunyi Beat dengan 13-pembesar suara, pencahayaan ambien dwi zon 64-warna, pengecas tanpa wayar dengan empat unit USB port dan konsol tengah dilengkapi chiller. Tambahan untuk Brabus, ia diberikan bunyi enjin palsu yang dikatakan diinspirasi dari bunyi enjin V6.

    Pastinya elemen dalaman varian Brabus lebih sporty dengan kehadiran gaya dalaman eksklusif hitam Brabus, roda stereng gaya sport balutan Alcantara dengan jahitan kontras merah dan logo iluminasi Brabus, jaluran jahitan merah pada panel pintu, tali pinggang keledar sporty rona merah, tempat duduk dengan elemen ‘rivet’ dibaluti microfibre suede dan perehat kepala eksklusif Brabus, dan pedal aluminium sport.

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, #3 dihadirkan dengan 23 penderiaan berketepatan tinggi dengan satu unit kamera pandangan hadapan, tiga unit kamera kokpit, empat unit kamera pandangan sekeliling, lima unit millimeter wave radar dan 12 unit ultrasonic radar.

    Ciri penderiaan berkenaan adalah bagi menyokong 21 fungsi ADAS bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, antaranya kelajuan kawalan adaptif (ACC), amaran ketibaan lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous, mitigasi pelanggaran hadapan (FCM) dan banyak lagi.

    Untuk setiap pembelian #3, ia turut didatangkan dengan waranti lapan-tahun/200,000 km bagi bateri voltan tinggi, lapan-tahun/150,000 km untuk komponen voltan tinggi, empat-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan serta dua-tahun tanpa had perbatuan bagi alat ganti serta bantuan tepi jalan 24/7.

    Selain itu, pembeli #3 juga bakal menerima barangan secara percuma yang terdiri daripada smartCharge home Charger 22 kWh bernilai RM3,200 (dengan waranti dua-tahun), pakej aksesori yang merangkumi enam barangan bernilai RM2,500, Vehicle to Load (V2L) Adaptor (dengan waranti dua-tahun) bernilai RM800 dan data Internet percuma selama lima-tahun dengan keseluruhan berjumlah 60Gb dan pakej waranti standard komprehensif.

    Untuk mendapatkan gambaran awal mengenai pandu ujinya, sila KLIK PAUTAN INI.

    smart #3 Brabus

    smart #3 Premium

    smart #3 Pro

     
     
  • Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Polisi kementerian pengangkutan sekarang tidak melarang Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan daripada memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing, kata timbalan menteri pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam Dewan Rakyat, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Hasbi turut menambah bahawa mereka yang termasuk dalam kategori ini boleh memohon lesen tersebut dengan mendapatkan pengesahan kesihatan daripada pengamal perubatan berdaftar. Kenyataan Hasbi ini dibuat sebagai jawapan kepada soalan ahli parlimen Subang, Wong Chen yang bertanyakan tentang garis panduan untuk membenarkan pemandu kurang upaya dengan lesen A atau A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, serta rancangan kerajaan untuk membenarkan mereka mendapatkan lesen PSV.

    Lesen A adalah untuk individu kurang upaya mengendalikan motosikal dengan berat tanpa muatan tidak lebih 450 kg, manakala lesen A1 adalah untuk OKU mengendalikan kenderaan dengan berat tanpa muatan tidak lebih 3,500 kg.

    Pada masa ini, polisi lesen memandu PSV tidak membenarkan pemandu kurang upaya dengan lesen A atau A1 memohon lesen vokasional sebarang kelas. “Perkara ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mensyaratkan seorang pemohon membuat akuan dalam borang ditetapkan sama ada menghidap apa-apa penyakit atau ketakdayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduan menjadi punca bahaya kepada orang lain,” kata Hasbi.

    Tiada larangan untuk individu dengan masalah pendengaran memiliki lesen PSV – Hasbi Habibollah

    Apabila ditanya oleh ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sama ada terdapat sebarang pengecualian untuk individu kurang upaya dalam sektor e-hailing, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bahawa ada pengecualian yang dibuat, tetapi kekurangan fizikal pemegang lesen A dan A1 tersebut perlu diambil kira.

    “Ada yang mungkin tidak boleh di peringkat pengecualian tetapi sebagaimana dalam dasar kita, kita memang ‘pro’ kepada pemandu OKU sebab kita melihat mereka juga mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan mampu menjadi pemandu berhemah dalam perkhidmatan e-hailing.

    “Selagi mereka dapat membuktikan bahawa dari segi fizikal mereka boleh memandu, kita cuba beri pengecualian. Cuma dalam borang pendaftaran mereka memerlukan pengecualian daripada Kementerian Kesihatan dan kita akan buat kajian dan penambahbaikan perkara ini,” kata Loke.

     
     
  • Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    Persatuan Peniaga dan Pencelup Tayar Malaysia meminta kerajaan agar membenarkan pekerja asing bekerja sebagai juruteknik di bengkel-bengkel memandangkan agak sukar untuk mencari anak-anak tempatan yang berminat untuk bekerja dalam bidang tersebut, lapor The Star.

    Presiden persatuan itu, Goh Kiang Weng menyatakan bahawa pengedar dan pengusaha bengkel tayar buat masa sekarang sedang menghadapi kesukaran untuk mencari pelapis bagi dalam industri tersebut kerana kerja-kerja yang dilakukan dianggap “kotor”.

    “Terdapat kekurangan juruteknik bengkel yang serius di negara ini, terutamanya di Johor Bahru kerana jaraknya yang dekat dengan Singapura. Industri ini menghadapi jurang besar di mana juruteknik sedia ada semakin tua dan bersara, namun tidak ada pengganti daripada generasi akan datang,” katanya temu bual oleh akhbar tersebut.

    Menurutnya lagi bilangan mereka yang berkerja di bengkel-bengkel mula berkurangan dalam beberapa dekad sebelum ini, dan situasi itu telah menjadi lebih teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Pengedar tayar mahu k’jaan benarkan ambil pekerja asing; anak tempatan tak minat kerja ‘tangan kotor’

    “Kami merasakan bahawa mengupah pekerja asing adalah penyelesaian terbaik seterusnya. Tetapi kerajaan tidak membenarkan kami berbuat demikian kerana dikatakan terdapat pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang mencukupi di negara ini yang boleh diambil bekerja.

    “Sebagai pemain industri, kami melihat situasi yang berbeza kerana pemegang SKM muda lebih suka bekerja sebagai pemandu e-hailing, penunggang penghantaran makanan, dan rangkaian kedai makanan dan minuman berbanding bekerja dalam industri pembaikan automotif, yang menyebabkan tangan mereka kotor,” tambah Goh.

    Beliau turut menjelaskan bahawa persatuan itu pernah membangkitkan perkara ini dengan wakil kerajaan pada masa lalu, dan sekali lagi merayu kepada pihak berkuasa untuk membenarkannya pengambilan pekerja asing untuk mengisi kekosongan itu.

    “Dalam era pendigitalan dan peralihan model perniagaan, kami perlu menangani isu ini dengan serius atau berisiko disingkir oleh industri dan pengedar terpaksa ditutup,” jelasnya.

     
     
  • Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Sejak Mac lalu, semua berkenaan kenderaan Peugeot di Malaysia diambil alih oleh Stellantis Malaysia, dan menjelang April mereka melancarkan model 408 untuk pasaran. Terbaru berkaitan jenama ini, pada bulan lalu mereka mengumumkan perubahan pada tempoh waranti yang diberi secara standard dengan pembelian kenderaan. Perkara ini sekarang diperjelaskan.

    Pada mulanya, Peugeot Malaysia menawarkan waranti tujuh tahun, 200,000 km untuk 408, dan diberi kepada semua kenderaan Peugeot baru yang dibeli melalui Stellantis Malaysia. Kemudiannya, waranti tersebut ditukar pula kepada lima tahun, 150,000 km, supaya pelanggan mempunyai fleksibiliti untuk memilih tempoh waranti lima tahun, bersama rebat harga pembelian.

    “Keputusan ini dibuat berdasarkan maklum balas pelanggan yang mengatakan mereka tidak memerlukan [perlindungan waranti tujuh tahun] dan lebih suka untuk mengambil rebat penjimatan daripada bayaran muka. Pakej waranti tambahan baru ini juga dibuat untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis pelanggan dan keperluan berbeza,” kata syarikat itu kepada paultan.org.

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    “Pelanggan yang mahu menjual kenderaan Peugeot mereka dalam masa tiga tahun pertama pemilikan masih boleh membeli waranti tambahan ini, sehingga 90 hari sebelum tempoh waranti tiga tahun tersebut berakhir, dan ini mungkin dapat memberikan nilai jual balik yang lebih tinggi bagi kenderaan tersebut, dan memberi tambahan ketenangan kepada pemilik seterusnya,” kata syarikat itu.

    Sebagai tambahan, kenyataan yang dikeluarkan turut memberitahu bahawa kebanyakan pemilik kenderaan Peugeot baru sehingga waktu ini telah memilih waranti penuh tujuh tahun, sementara mereka yang memilih perlindungan lima tahun adalah pelanggan korporat atau pelanggan yang tidak mempunyai rancangan memiliki kenderaan dalam masa panjang.

    Pilihan waranti tambahan ini turut disediakan bagi trak pikap Landtrek, namun perlindungannya adalah sedikit berbeza. Secara standard, ia diberikan dengan waranti tiga tahun, 100,000 km, dan kemudiannya boleh ditambah kepada lima tahun atau 150,000 km, atau tujuh tahun, 200,000 km.

    Peugeot Malaysia perjelas pilihan waranti tujuh tahun – tiada kos tambahan, perlindungan penuh

    Peugeot Malaysia sekali lagi mengingatkan bahawa waranti tambahan tujuh tahun yang ditawarkan memberi perlindungan sama seperti waranti kilang, dan ini merangkumi “semua bahagian enjin, elektronik, keadaan cat dan badan serta komponen casis,” tetapi tidak termasuk bahagian lusuh pakai (wear and tear).

    Syarikat ini juga menjelaskan bahawa program waranti tambahan mereka adalah tidak sama seperti kebanyakan syarikat lain kerana waranti Peugeot Malaysia diuruskan oleh rakan kongsi waranti global oleh Stellantis, dan bukannya syarikat insurans.

    Rakan kongsi waranti ini dijelaskan sebagai penyedia servis diiktiraf untuk OEM global, dan menyediakan servis waranti khas untuk kumpulan Stellantis di pelbagai pasaran.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025