Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CRF250 Rally 2024 tiba di Malaysia – RM28,599

    Honda CRF250 Rally 2024 tiba di Malaysia – RM28,599

    Selain NSS250, Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd juga hari ini mengumumkan pengenalan CRF250 Rally 2024, yang dijual pada harga RM28,599 tidak termasuk insurans, dalam satu warna yang dipanggil sebagai Extreme Red.

    Spesifikasi CRF250 Rally ini sebenarnya sama sahaja seperti model yang diperkenalkan pada tahun 2021, cuma tangki bahan apinya kini diberitahu berkapasiti 12.8 liter (sebelum ini 12 liter). Melihat kepada harga, ia telah naik RM600 kerana pada tahun 2021 ia dijual pada harga RM27,999.

    Dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, motosikal ini mampu menghasilkan kuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan tork 21.9 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac assist & slipper serta pacuan rantai.

    Sebagai sebuah motosikal yang dicipta untuk kegunaan lasak, CRF250 Rally datang dengan tetapan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik Showa 43 mm serta monoshock Showa dengan sambungan Pro-Link.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera tunggal 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard dan ia boleh ditutup dengan butang khas yang disediakan berhampiran panel meter LCD. Secara keseluruhannya CRF250 Rally ini mencatat berat 153 kg.

     
     
  • Honda Forza NSS250 tiba di Malaysia – RM25,888

    Honda Forza NSS250 tiba di Malaysia – RM25,888

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd hari ini melancarkan sebuah skuter baru, NSS250, yang ditawarkan dalam tiga warna iaitu kelabu, hitam dan merah, pada harga RM25,888 tidak termasuk insurans. Ini sebenarnya adalah model sama seperti yang dilancarkan di Indonesia pada bulan Jun tahun lepas, tetapi di sana ia dipanggil sebagai Forza 250.

    Jika dibandingkan dengan Forza 250 yang pernah dijual di pasaran Malaysia, NSS250 ini menerima pelbagai peningkatan, dengan bentuk serta kelengkapannya kini lebih banyak menyamai Forza 350 yang dijual di Thailand sejak Oktober tahun 2022.

    Menggerakkan NSS250 adalah enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 249.5 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 22.8 hp pada 7,750 rpm dan tork 24 Nm pada 6,250 rpm. Enjin dengan sistem suntikan bahan api ini dipadankan bersama transmisi automatik CVT eSP+.

    Demi memberi kemudahan kepada pengguna, NSS250 datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras secara manual, pengecas USB, sistem tanpa kunci serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet.

    Memegang badan skuter ini adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, disambung kepada rim yang masing-masing bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal 256 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Secara keseluruhannya, NSS250 mencatat berat 185 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 11.7 liter. Untuk ciri keselamatan, NSS250 datang dengan sistem brek ABS dual-channel serta sistem kawalan cengkaman HSTC.

     
     
  • BMW panggil semula hampir 400k unit kereta di AS kerana beg udara Takata; libatkan 3 Series 2006-2012

    BMW panggil semula hampir 400k unit kereta di AS kerana beg udara Takata; libatkan 3 Series 2006-2012

    Sudah lebih satu dekad inflator beg udara keluaran Takata Corporation dikesan bermasalah dan berpotensi menyebabkan kecederaan, dan lebih teruk boleh membawa kematian, seterusnya berlangsung panggilan semula terhadap banyak jenama automotif yang menggunakan komponen tersebut. Namun sehingga kini siri panggilan semula itu seakan tidak berpenghujung.

    Terbaharu, BMW dilaporkan membuat panggilan semula terhadap 394,000 unit kenderaan jenamanya yang dijual di Amerika Syarikat berhubung masalah sama.

    Notis panggilan semula yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat ini masih memberikan sebab yang sama iaitu unit inflator beg udara tersebut mungkin boleh pecah sewaktu mengaktifkan beg udara ketika kemalangan, seterusnya serpihan-serpihan besi dari badan inflator yang pecah berkenaan mungkin boleh menyebabkan kecederaan atau kematian kepada penumpang kenderaan tersebut.

    BMW menjelaskan bahawa penggilan semula kali ini turut melibatkan kenderaan yang sudahpun dipanggil semula sebelum ini, tetapi roda stereng kenderaan-kenderaan berkenaan berkemungkinan telah dipasang semula dengan beg udara gantian yang masih bermasalah.

    BMW panggil semula hampir 400k unit kereta di AS kerana beg udara Takata; libatkan 3 Series 2006-2012

    Panggilan semula terbaharu ini meliputi model BMW 3 Series Sedan dan Sportswagon keluaran 2006 hingga 2012 (merangkumi generasi E90 dan F30). Kesemua kereta yang terjejas ini akan diperiksa sama ada ia dipadankan dengan inflator beg udara yang mungkin rosak. BMW menyatakan bahawa tidak ada sebarang kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan penarikan semula baru ini dalam pengetahuannya.

    Manakala dalam laporan Reuters, NHTSA menyatakan bahawa pihaknya telah mengenal pasti kematian yang berlaku di AS dikaitkan dengan inflator beg udara Takata pecah dalam nahas BMW di Arizona pada 2020. Kegagalan beg udara Takata ini telah menyebabkan lebih 30 kematian di seluruh dunia – termasuk sekurang-kurangnya 26 di AS – dan beratus-ratus kecederaan sejak 2009. Mangsa-mangsa yang terlibat adalah pemandu dan penumpang yang berada dalam kereta yang dibuat oleh pelbagai jenama.

    Panggilan semula beg udara Takata ini juga belum berakhir di Malaysia. Mac lalu pengedar rasmi jenama Audi untuk pasaran tempatan iaitu PHS Automotive Malaysia (PHSAM) menggesa pemilik-pemilik kenderaan jenama tersebut agar memeriksa sama ada kereta mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini.

    Model-model Audi di Malaysia yang terjejas dengan panggilan semula itu termasuk Audi Q5, A5 Cabriolet, A5 Sportback, TT dan R8, manakala peratusan pemilik yang telah datang menukar komponen terjejas tersebut hanya berada pada kadar 25%.

     
     
  • GWM Tank 300 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – SUV offroad enjin petrol 2.0 turbo 220 PS, RM250k

    GWM Tank 300 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – SUV offroad enjin petrol 2.0 turbo 220 PS, RM250k

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan Tank 300 untuk jualan, pada harga RM250,000, bersama jaminan enam tahun tanpa had batuan. SUV lasak ini masuk sebagai unit import penuh (CBU) dan ditawaran hanya dalam satu varian.

    Ia dipacu oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) pada 5,500 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 3,600 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dengan sistem pacuan empat roda yang datang dengan fungsi 2H, 4H, 4L, serta pengunci differential hadapan dan belakang elektronik.

    Selain pelbagai tetapan yang disediakan untuk keadaan jalan berbeza, Tank 300 juga menyediakan fungsi Crawl Control yang boleh mengawal penyampaikan kuasa serta brek apabila bergerak perlahan di atas jalan offroad atau melalui rintangan). Satu lagi fungsi unik adalah Tank Turn, di mana radius pusingan dapat dijadikan lebih kecil apabila roda bahagian dalam diperlahankan apabila membuat pusingan U.

    Kenderaan yang mempunyai berat 2,155 kg ini mampu mencapai laju maksimum 175 km/j dan catatan lain yang berkaitan dengan offroad adalah seperti sudut junam 33°, sudut berlepas 34°, sudut tanjakan 23.1°, jarak dari tanah 224 mm dan keupayaan meredah air 700 mm.

    Melihat kepada badannya, SUV ini mencatat panjang 4,760 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,903 mm dan jarak roda 2,750 mm. Bentuknya pula nampak klasik dengan rekaan berpetak berserta kemasan keliling roda yang tebal.

    Lampu hadapan LED SUV ini menggunakan bentuk bulat, dengan terdapat jalur LED melintang di tengahnya, manakala pintu ruang barangan belakang dibuka ke tepi. Melengkapkan kenderaan adalah rim 18 inci dua tona, dibalut tayar Michelin Primacy HT 265/60.

    GWM Tank 300 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – SUV offroad enjin petrol 2.0 turbo 220 PS, RM250k

    Masuk ke dalam anda akan melihat rekaan yang seperti mendapat inspirasi daripada Mercedes-Benz G-Class, dengan corong pendingin hawa bentuk turbin, dua skrin 12.3 inci yang bersambung serta tempat pemegang di atas papan pemuka. Pergi kepada konsol tengah, terdapat tombol gear besar serta pemilih mod pemanduan, butang brek parkir serta sistem bantuan pemandu.

    Ciri lain yang diberikan adalah pendingin hawa automatik, tempat duduk kawalan kuasa, tempat duduk dibalut kulit Nappa tiruan, sistem bunyi Infinity sembilan pembesar suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria boleh buka, lampu suasana 64 warna, kaca akustik untuk cermin dan tingkap hadapan, pad pengecas tanpa wayar serta pedal penukar gear.

    Untuk kelengkapan keselamatan dan sistem bantuan pemandu, Tank 300 datang dengan beg udara hadapan, sisi dan bidai serta sistem ADAS penuh yang termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Lane Change Assist dan Rear Cross-Traffic Assist.

    Turut diberikan adalah pengesan jarak hadapan dan belakang, sistem pemerhati tekanan angin tayar, kamera 360 darjah, serta pandangan casis lutsinar yang sangat berguna untuk melihat keadaan sekeliling melalui skrin di tengah.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Tank 300 pasaran Malaysia ini, dengan yang utama adalah Dusk Orange seperti di dalam gambar, diikuti Fossil Grey, Crystal Black dan Pearl White.

    Selain daripada itu, 300 pembeli awal Tank 300 ini juga akan menerima jaminan lima tahun atau pakej penyelenggaraan percuma 100,000 km (termasuk upah dan alat ganti, untuk setiap 10,000 km atau setiap enam bulan), serta jaminan enjin dan transmisi sepanjang hayat tanpa had batuan.

     
     
  • Kerajaan masih teliti dan nilai semula subsidi untuk rakyat termasuk petrol RON95 – Kementerian Ekonomi

    Kerajaan masih teliti dan nilai semula subsidi untuk rakyat termasuk petrol RON95 – Kementerian Ekonomi

    Buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95, kata Kementerian Ekonomi.

    Menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PN-Pagoh) menerusi Dewan Rakyat di Parlimen semalam mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan yang terlibat serta pendekatan, kementerian terbabit menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95.

    “Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 ini akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat. Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan akan juga diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan serta mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis.

    Tambahnya, pelbagai cadangan sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan berdasarkan use case yang dijalankan menggunakan data PADU. Selain itu, pengagihan bantuan sosial juga sedang dikaji bagi memastikan rakyat, khususnya penerima bantuan tidak terlalu terbeban dengan jangkaan kenaikan harga barangan apabila Kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi.

    “Walau bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil oleh Kerajaan akan disampaikan dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan terhadap perancangan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

    “Kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan mempergiatkan usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” jelasnya.

     
     
  • MINI Cooper SE 2024 tiba di Malaysia – EV tiga pintu dengan kuasa 218 PS, jarak gerak 402 km, RM195k

    MINI Cooper SE 2024 tiba di Malaysia – EV tiga pintu dengan kuasa 218 PS, jarak gerak 402 km, RM195k

    Selepas diperkenalkan kepada dunia pertama kali September tahun lalu, MINI Cooper SE hatchback elektrik penuh (versi petrol dipanggil sebagai MINI Cooper S) kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam cuma satu varian sahaja, pada harga RM193,888 tidak termasuk insurans.

    Harga ini cuma RM500 lebih tinggi berbanding Cooper SE sebelumnya, dan ia dimasukkan sekali dengan jaminan tanpa had selama dua tahun. Jika mengambil jaminan empat tahun dan pakej servis, harganya menjadi RM200,188. Jaminan bateri lapan tahun/160,000 km diberikan secara standard dengan setiap pembelian.

    Menggunakan nama kod J01, Cooper SE ini dibangunkan atas platform yang dibina bersama dengan GWM dan dipacu oleh satu motor elektrik berkuasa 218 PS (160 kW) dan 330 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat.

    Dilengkapi bateri 54.2 kWh, Cooper SE ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 402 km mengikut kitara WLTP. Untuk pengecasan, ia boleh menerima input AC maksimum sehingga 11 kW dan DC sehingga 95 kW. Apabila menggunakan pengecas pantas DC, baterinya boleh naik dari 10 ke 80% dalam masa tidak sampai 30 minit.

    MINI Cooper SE 2024 tiba di Malaysia – EV tiga pintu dengan kuasa 218 PS, jarak gerak 402 km, RM195k

    Melalui model J01 ini, MINI mengambil peluang mengubah reka bentuk klasiknya kepada yang lebih minimalis. Sebagai contoh, tiada lagi hud depan jenis clamshell, kemasan tepi fender, kemasan krom serta kemasan plastik keliling roda.

    Sebaliknya, ia mendapat lampu DRL boleh ubah dengan lampu utama LED berbentuk bulat, serta lampu belakang LED matriks yang disediakan dengan tiga pilihan grafik pencahayaan. Untuk pasaran Malaysia, Cooper SE diberikan dengan rim Night Flash 18 inci yang dibalut tayar Maxxis.

    Perubahan lebih besar dapat ditemui di bahagian dalam, dengan beberapa skrin serta suis yang ada pada MINI hatch sebelum ini telah diganti dengan hanya satu skrin sesentuh OLED 9.2 inci di tengah, yang menggunakan sistem MINI Operating System 9 berasaskan Android. Paparannya boleh berubah mengikut mod pemanduan dan mempunyai kawalan suara yang dipanggil sebagai Spike.

    Beberapa butang fizikal masih dikekalkan di bawah skrin tersebut, untuk menghidupkan enjin, memilih gear dan penukaran mod pemanduan. Bahagian dalam kenderaan ini turut dijadikan lebih menarik dengan paparan lampu suasana pada papan pemuka serta panel pintu, balutan fabrik serta kemasan berwarna emas.

    Kelengkapan standard lain yang diberi adalah termasuk sistem tanpa kunci, cermin malap sendiri, pengawal pendingin hawa automatik dua zon, tempat duduk sport kawalan elektrik dengan fungsi memori, sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, head-up display, balutan fabrik Vecsin serta sistem bunyi Harman Kardon dengan 10 pembesar suara.

    Untuk sistem keselamatan, Cooper SE datang dengan pakej Driving Assistant Plus yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop and go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik serta sistem pengenalan tanda jalan. Melalui pakej Parking Assistant Plus, kereta ini mendapat fungsi Park Assist, Reversing Assist, kamera undur serta pandangan 3D melalui aplikasi telefon pintar.

     
     
  • Suzuki Swift 2024 dapat 3-bintang dari Euro NCAP

    Suzuki Swift 2024 dapat 3-bintang dari Euro NCAP

    Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) telah pun mengeluarkan penarafan keselamatan terkini, dengan menyaksikan Suzuki Swift baharu diberikan tiga-bintang menerusi ujian penilaian yang dilaksanakan. Pertama kali didedahkan sebagai model konsep pada Oktober lalu, kemudian diikuti dengan versi produksi pada Disember tahun yang sama, Swift menjalani perubahan rekaan yang radikal dan telah pun mula dijual di Eropah sejak awal tahun ini.

    Merujuk laporan Euro NCAP, Swift memperoleh sejumlah 67% mata bagi kategori perlindungan penumpang dewasa. Sementara itu, bagi kategori perlindungan penumpang kanak-kanak pula, ia menerima 65% mata, dengan ciri perlindungan leher yang bersifat ‘lemah’ kerana semasa ujian, ia menggunakan patung yang mewakili kanak-kanak berusia enam tahun dan terdapat kekurangan pada sistem pengesan kanak-kanak.

    Walau bagaimana pun, Swift menerima markah yang lebih baik untuk kategori pengguna jalan raya dengan 76% mata, di mana ia memberikan perlindungan yang baik atau mencukupi untuk pejalan kaki atau penunggang basikal sekiranya berlaku pelanggaran. Sistem brek kecemasan autonomous (AEB) juga bertindak balas secukupnya kepada pejalan kaki dan untuk penunggang basikal pula, ia ditandakan sebagai ‘baik’.

    Bagi kategori bantuan keselamatan pula, Swift menerima markah sebanyak 62% dan memenuhi keperluan perundangan dengan memiliki AEB, sistem kekal lorong kecemasan, pengehad kelajuan dan pengesanan keletihan pemandu. Euro NCAP telah menunjukkan bahawa model itu “memenuhi kewajipan yang ditetapkan tetapi melakukan lebih sedikit lagi,” kerana sistem lain seperti pengesanan penumpang belakang dan pemantauan status pemandu (keletihan pemandu) telah mengehadkan skor maksimumnya dalam kategori ini.

     
     
  • Toyota dedahkan bunyi & kelebihan enjin pembakaran dalaman generasi baharu, alternatif kepada EV

    Toyota dedahkan bunyi & kelebihan enjin pembakaran dalaman generasi baharu, alternatif kepada EV

    Menerusi Multipathway Workshop yang diadakan pada Mei lalu di Jepun, Toyota bersama dua sekutunya iaitu Subaru dan Mazda telahpun mengumumkan halatuju masing-masing untuk terus membangunkan enjin-enjin generasi baharu yang lebih bersih sebagai alternatif kepada kenderaan elektrik penuh (EV) bagi mencapai neutraliti karbon.

    Dalam acara yang sama, Toyota turut mendedahkan enjin pembakaran empat-silinder sebaris generasi baharu tersebut yang dihasilkan dalam beberapa variasi iaitu 1.5 liter turbo, 1.5 liter NA dan 2.0 liter turbo. Dan menerusi video terbaharu yang disiarkan oleh Toyota Times, beberapa karekter enjin baharu berkenaan termasuk bunyinya telah pun didedahkan.

    Dalam video berkenaan jurnalis Toyota Times, Yuta Tomikawa diberi peluang untuk duduk kerusi penumpang sebuah kereta rahsia yang sedang dibangunkan menggunakan enjin generasi baharu tersebut di litar Fuji Speedway, dipandu oleh Takashi Uehara iaitu ketua projek dan presiden untuk pembangunan unit rangkaian kuasa Toyota.

    Apa yang menarik, enjin berkenaan memberikan bunyi yang agak garang dan sesuai untuk sebuah kereta sport. Malah Uehara turut memandu dengan menggunakan mod manual dengan menukar gear menggunakan pedal penukar gear, yang memberikan penukaran gear agresif dan dapat dilihat kedua-dua mereka dalam kereta tersebut ‘tersentak’ setiap kali gear ditukar.

    Tomikawa juga perasan bahawa getaran yang dihasilkan oleh enjin berkenaan juga sangat kurang berbanding enjin-enjin lain. Uehara kemudiannya menerangkan bahawa enjin baharu ini direka bagi membolehkan ia diletakkan lebih rendah dan lebih kebelakang, seterusnya memberikan titik graviti lebih rendah yang bukan sahaja menyebabkan getaran tersebut kurang, malah menjadikan kereta berkenaan lebih stabil.

    Dalam penerangan oleh ketua pegawai teknologi Toyota, Hiroki Nakajima ketika berlangsungnya Multipathway Workshop tempoh hari, dengan kedudukan enjin yang lebih rendah ini juga membolehkan bahagian hadapan kereta direka lebih aerodinamik seakan model-model EV sebenar, seterusnya dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 12% untuk sebuah sedan.

    Bagi enjin 1.5 liter turbo, ia dihasilkan 10% lebih kompak berbanding enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang kini digunakan oleh model-model produksi Toyota sedia ada. Ini akan memudahkan ia digandingkan dengan sistem hibrid elektrik dan masih boleh dimuatkan dalam ruang enjin yang kecil dan rendah pada bahagian hadapan, seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih baik, eifisien dan mesra alam.

    Selain itu, enjin-enjin generasi baharu ini turut direka agar boleh berfungsi dengan bahan bakar bio dan juga sintetik, di mana Toyota turut bekerjasama dengan beberapa syarikat petroleum seperti Eneos, Idemitsu dan Mitsubishi Heavy Industries, bagi menghasilkan bahan bakar sedemikian yang bukan sahaja lebih mesra alam, malah lebih murah.

    Seperti yang telah disebutkan oleh pengerusinya Akio Toyoda berkali-kali sebelum ini, Toyota percaya EV bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk mencapai neutraliti karbon kerana musuh sebenar adalah karbon dan bukannya enjin pembakaran dalaman.

    Toyota juga menegaskan bahawa sekiranya ia hanya menumpukan terhadap teknologi EV, negara-negara dengan fasiliti capaian bekalan elektrik yang lebih rendah akan lebih ketinggalan kerana tidak mendapat teknologi lebih baharu, dan sebab itu neutraliti karbon ini perlu ditangani dengan pelbagai cara. Malah dengan pembangunan enjin-enjin generasi baharu ini juga dapat mengekalkan pekerjaan untuk mereka yang terlibat dalam industri penghasilan enjin.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 13-14 Julai sempena Hari Peneroka FELDA di MAEPS, Serdang

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 13-14 Julai sempena Hari Peneroka FELDA di MAEPS, Serdang

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 13 hingga 14 Julai 2024. Ia adalah sempena penganjuran Hari Peneroka FELDA yang berlangsung di MAEPS, Serdang Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di tapak parkir 1A dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Kuantan atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Honda tutup salah satu kilangnya di Thailand kerana saingan pembuat automotif China semakin sengit

    Honda tutup salah satu kilangnya di Thailand kerana saingan pembuat automotif China semakin sengit

    Kerana saingan yang semakin sengit dengan lebih banyak jenama China bertapak, Honda dilaporkan terpaksa menutup salah satu kilangnya di Thailand.

    Menurut laporan Nikkei Asia, Honda bakal menutup kilangnya di Ayutthaya menjelang 2025, kerana bahagian pasarannya di sana sudah semakin mengecil selepas permintaan pelanggan terhadap kenderaan elektrik (EV) dan jenama-jenama dari China meningkat.

    Jurucakap jenama itu menjelaskan bahawa operasi pemasangan kenderaan Honda akan diteruskan di kilang Prachinburi, sementara fasiliti di Ayutthaya akan diubah hanya bagi menghasilkan komponen kenderaan.

    Dengan persaingan yang kini semakin sengit, jumlah produksi Honda dari kedua-dua kilang di Thailand berkenaan jatuh di bawah 150,000 unit setahun dalam empat tahun kebelakangan ini. Untuk rekod, pada 2019 jumlah produksi keseluruhan Honda di Thailand mencapai 228,000 unit. Honda juga merekodkan jumlah jualan di bawah 100,000 unit setahun untuk empat tahun ke belakangan ini di negara tersebut.

    Honda tutup salah satu kilangnya di Thailand kerana saingan pembuat automotif China semakin sengit

    Seorang lagi jurucakap menjelaskan bahawa Honda akan membuat pelaburan tambahan untuk kilangnya di Prachinburi bagi beralih untuk menghasilkan model-model hibrid berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya. Honda juga telah mula memasang model EV di fasiliti berkenaan menerusi barisan produksi yang telah dikhaskan, bermula dengan model e:N1, iaitu SUV EV yang diasaskan dari HR-V.

    Laporan Nikkei Asia ini turut memberitahu bahawa jenama-jenama Jepun seperti Honda dan Nissan sudahpun terjejas dengan saingan sengit yang datang dari pengeluar-pengeluar China dan berpotensi kehilangan pelanggan di pasaran termasuk Asia Tenggara, selepas jenama-jenama China berkenaan berkembang secara agresif ke pasaran eksport dan membina kilang-kilang di luar negara.

    Salah satu gergasi automotif dari China iaitu BYD telahpun membuka kilang EV baharunya di Rayong minggu lalu, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 unit. Langkah itu adalah sebahagian daripada pelaburan bernilai lebih AS$1.44 bilion (RM6.8 bilion) daripada pembuat EV China yang sedang membina kilang di negara Thailand.

     
     
  • Mazda hentikan jualan MX-5 dengan enjin 2.0L di Eropah kerana peraturan emisi yang semakin ketat

    Mazda hentikan jualan MX-5 dengan enjin 2.0L di Eropah kerana peraturan emisi yang semakin ketat

    Mazda dilaporkan menghentikan jualan untuk kereta sport MX-5 varian yang dijana enjin 2.0 liter di Eropah kerana undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat. Jadi pelanggan di benua berkenaan kini hanya ditawarkan dengan MX-5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter.

    “Mazda akan menghentikan varian dengan enjin 2.0 liter Mazda MX-5 2024 di Eropah, manakala varian dengan enjin 1.5 liter akan terus ditawarkan. Keputusan ini adalah selari dengan komitmen Mazda bagi memberikan kenderaan yang memenuhi keperluan pasaran dan undang-undang emisi dalam masa yang sama mengekalkan keseronokan memandu,” kata pengurus perhubungan awam dan acara Mazda, Markéta Kuklová dalam email kepada Motor1.com.

    Mazda hentikan jualan MX-5 dengan enjin 2.0L di Eropah kerana peraturan emisi yang semakin ketat

    Walau bagaimanapun, Kuklová menyatakan bahawa pelanggan masih boleh membeli MX-5 dengan enjin 2.0 liter berkenaan selagi ada stok-stok terakhir yang disimpan oleh pengedar. Manakala untuk pasaran UK, MX-5 2.0 liter masih boleh dibeli di negara tersebut kerana ia sudah tidak lagi bersama Kesatuan Eropah (EU) dan tidak tertakluk terhadap undang-undang emisi berkenaan.

    Mazda MX-5 dengan enjin 2.0 liter empat-silinder NA SkyActiv-G menghasilkan kuasa 184 PS dan tork maksima 205 Nm. Manakala bagi enjin 1.5 liter empat-silinder NA pula hanya menghasilkan kuasa 135 PS dan tork maksima 150 Nm. Kedua-dua varian enjin ini boleh dipilih untuk dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, dan kuasa hanya dihantar kepada roda belakang.

     
     
  • Mazda CX-50 Hybrid 2025 dilancar di USA – 2.5L NA hibrid sama seperti Toyota RAV4 dengan 219 hp

    Mazda CX-50 Hybrid 2025 dilancar di USA – 2.5L NA hibrid sama seperti Toyota RAV4 dengan 219 hp

    Mazda CX-50 yang menerima penjana kuasa hibrid untuk model tahun 2025 telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat (USA), dengan harga dari USD33,970 hingga USD40,050 (sekitar RM159k hingga RM188k) dan menawarkan tiga varian. Varian hibrid diposisikan antara penjana kuasa biasa unruk CX-50 termasuk 2.5 liter tanpa-hibrid, dengan pilihan naturally-aspirated serta 2.5 liter turbo.

    CX-50 Hybrid mungkin masih baru di pasaran USA, tetapi ia telah pun dilancarkan di China awal tahun ini. Penjana kuasa hibridnya sama dengan yang memacu Toyota RAV4 Hybrid kerana kedua-dua jenama sedang bekerjasama, dan menampilkan enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol, bateri hibrid dan CVT elektronik dan tiga motor elektrik.

    Mazda CX-50 Hybrid 2025 dilancar di USA – 2.5L NA hibrid sama seperti Toyota RAV4 dengan 219 hp

    Dua motor elektrik diletakkan di hadapan iaitu satunya menjana generator, sementara satu lagi memacu roda hadapan. Manakala motor elektrik ketiga ditempatkan di belakang untuk memberikan pacuan semua-roda, dengan keseluruhan larasan mampu menghasilkan kuasa mencecah 219 hp dan tork 221 Nm, menggunakan bahan api octane 87, sama dengan RAV4 Hybrid yang dijual di USA.

    Mazda mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 38 mpg (6.2 l/100 km) untuk CX-50 Hybrid, iaitu 40% lebih baik berbanding varian CX-50 2.5 S. Versi hibrid ini ditawarkan dengan kemasan Preferred, Premium dan Premium Plus. Penghantarannya bermula akhir 2024 selepas model tanpa-hibrid tiba di cawangan wakil pengedaran pada bulan hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander capai angka pengeluaran ke-40k — pemilik bertuah akan nikmati percutian bernilai RM10k

    Mitsubishi Xpander capai angka pengeluaran ke-40k — pemilik bertuah akan nikmati percutian bernilai RM10k

    Diam-diam ubi berisi. Sejak diperkenalkan untuk pasaran tempatan hujung 2020, Mitsubishi Xpander kini sudah mencapai angka pengeluaran sebanyak 40,000 unit. Dan, untuk meraikan pencapaian itu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini menjalankan kempen bagi mencari pemilik Xpander yang ke-40k tersebut.

    Pelanggan yang bertuah itu akan membawa pulang baucar percutian sebanyak RM10,000 ke destinasi pilihan mereka. Selain hadiah utama tersebut, turut ditawarkan ialah ganjaran lain yang sedia menanti di bilik pameran.

    “Perjalanan kami di Malaysia sangat luar biasa, dan untuk tiba di angka jualan ke-40,000 unit ini adalah satu pencapaian yang membuktikan bahawa Xpander terus mendapat kepercayaan dan kesetiaan daripada pelanggan kami,” ujar CEO MMM Shinya Ikeda. Xpander juga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai MPV bukan nasional nombor satu di Malaysia setakat separuh 2024.

    “Sejak pengenalannya di Malaysia pada 2020, MPV pemasangan tempatan ini terus meraih perhatian pelanggan melalui rekaan bergaya, pengendalian yang baik serta pemanduan yang meyakinkan. Kami berharap Xpander akan terus memberikan pengalaman yang menyenangkan untuk semua pemiliknya,” tambah beliau.

    Dari 13-28 Julai, pengedar sah MMM akan mengaadkan acara khusus di bilik pameran bermula 10 pagi hingga 4 petang. Antara lain, pengunjung boleh menikmati tawaran rebat dan bonus yang disediakan.

     
     
  • smart Malaysia lancar program smartCO untuk pemiliknya – rangkaian dan keistimewaan komuniti

    smart Malaysia lancar program smartCO untuk pemiliknya – rangkaian dan keistimewaan komuniti

    Dalam majlis pelancaran smart #3 semalam, smart Malaysia turut mengumumkan program smartCO untuk pemilik kenderaan smart. Menurut smart Malaysia, program tersebut direka untuk mencipta komuniti dalam kalangan penggemar automotif dan mengubah hobi mereka menjadi usahawan yang berjaya.

    Selain itu, ia turut menawarkan banyak peluang perniagaan bagi pemilik smart dan keistimewaan eksklusif dari perniagaan yang dipromosikan oleh pemilik smart. “Kami berhasrat untuk menggalakkan lebih banyak pembangunan bersama untuk meningkatkan nilai kualiti jenama yang kami hargai, mencipta komuniti yang kuat kepada jenama smart, kata Zhang Qiang, CEO smart Malaysia.

    Dalam majlis berkenaab juga, smart Malaysia telah mengumumkan kerjasama dengan dua Penyedia Perkhidmatan Pengecasan (CPO) tambahan iaitu DC Handal dan Carput. Hal Ini dapat meningkatkan jumlah keseluruhan CPO kepada enam di bawah rakan kongsi Pro-Net yang secara signifikan memperkasa ekosistem IHU dan Aplikasi Hello smart untuk memberikan akses kepada maklumat stesen pengecasan secara langsung sehingga 80% di seluruh negara.

    Untuk pasaran Malaysia, smart #3 ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling padu Brabus pula RM255,000. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • Aplikasi MyJalan terima 16,410 aduan sejak Ogos 2023; 87.51% kes selesai – Kementerian Kerja Raya

    Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan bahawa aplikasi MyJalan yang dilancarkan pada Ogos lalu, telah menerima sejumlah 16,410 laporan dari orang awam setakat 5 Julai 2024.

    Selain kerosakan jalan raya, laporan yang boleh disalurkan menerusi aplikasi berkenaan termasuklah lampu isyarat, lampu jalan dan papan tanda yang tidak berfungsi serta melibatkan fasiliti awam yang lain.

    Daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima itu, hanya 30.01% (4,925 laporan) yang membabitkan jalan selian KKR, dan selebihnya iaitu 11,485 laporan pula melibatkan jalan di bawah pengurusan majlis perbandaran tempatan, jalan kampung (di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan pejabat daerah) dan jalan pertanian (di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran). Walau bagaimana pun, laporan tersebut disalurkan ke jabatan yang terlibat.

    Aplikasi MyJalan terima 16,410 aduan sejak Ogos 2023; 87.51% kes selesai – Kementerian Kerja Raya

    Bagi jalan di bawah KKR, sebanyak 4,310 (87.51%) laporan telah diselesaikan, di mana 3,476 (80.65%) diselesaikan antara satu hingga 15 hari, dan 834 (19.53%) diselesaikan selepas 15 hari. KKR turut berkata, terdapat 615 laporan masih belum diselesaikan.

    Aplikasi MYJalan merupakan salah satu inisiatif KKR yang membolehkan orang ramai menyalurkan semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR termasuk maklumat melibatkan lampu jalan, lampu isyarat dan fasiliti jalan raya yang lain.

    Bagi memastikan aduan yang dihantar dapat diproses untuk tindakan selanjutnya dengan segera, pengguna perlu mengemukakan aduan dengan menyatakan maklumat peribadi yang sah, e-mel yang betul dan tidak menggunakan nama samaran. Pengguna juga perlu menghantar lokasi aduan yang tepat dan jatuhkan pin pada peta (Pinned map) mengikut lokasi aduan yang sebenar serta lampirkan foto yang jelas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025