Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jalan Sultan Ismail bakal kembali jadi jalan sehala mulai 22 Julai untuk aliran trafik lebih stabil – DBKL

    Jalan Sultan Ismail bakal kembali jadi jalan sehala mulai 22 Julai untuk aliran trafik lebih stabil – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa berkuatkuasa 22 Julai 2024, Jalan Sultan Ismail dari persimpangan Jalan Raja Chulan ke persimpangan Jalan Bukit Bintang akan kembali menjadi jalan sehala.

    Menurut DBKL, perubahan lalu lintas itu dibuat selepas mengambil kira kajian dan aduan semasa pelaksanaan uji percubaan bermula pada 1 Mei lalu sehingga kini yang melibatkan Jalan Sultan Ismail.

    “Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) sentiasa komited dalam menangani isu kesesakan jalan raya terutamanya di Kuala Lumpur. Dengan mengembalikan Jalan Sultan Ismail kepada aliran asal (sehala), adalah diharap aliran lalu lintas akan kembali stabil khususnya di kawasan sekitar,” kata DBKL seperti dilaporkan Harian Metro.

    Pada Mei lalu, DBKL melaksanakan penukaran laluan daripada sehala kepada dua hala di persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Raja Chulan hingga persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Bukit Bintang. Nampak gayanya perubahan laluan tersebut mungkin kurang berkesan bagi menangani isu kesesakan di jalan berkenaan.

     
     
  • Perodua, Proton kuasai 62% pasaran tempatan bagi 1H 2024; diikuti Toyota (11.8%) dan Honda (10.1%)

    Perodua, Proton kuasai 62% pasaran tempatan bagi 1H 2024; diikuti Toyota (11.8%) dan Honda (10.1%)

    Dari angka jualan keseluruhan bagi jualan kenderaan dan EV bagi enam bulan pertama 2024 untuk pasaran tempatan, taklimat Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini turut menunjukkan prestasi membanggakan untuk dua jenama pengeluar automotif negara, Proton dan juga Perodua.

    Jika digabungkan, kedua-dua jenama nasional itu mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 62% bagi tempoh separuh pertama 2024, melebihi peratusan 60.3% yang dicapai bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut data MAA, jumlah jualan kereta baru bagi dua jenama nasional itu mencecah 241,937 unit bagi tempoh separuh pertama 2024, lebih tinggi berbanding baki jualan dari jenama bukan nasional yang hanya merekodkan 148,359 unit.

    Perodua masih mendahulu di tempat pertama dengan angka jualan kenderaan baru sebanyak 169,849 unit — ini juga melebihi angka yang dicapai bagi tempoh sama tahun lalu, melibatkan 144,690 unit. Ini membolehkan Perodua menguasai peratusan perkongsian pasaran sebanyak 43.5%.

    Perodua, Proton kuasai 62% pasaran tempatan bagi 1H 2024; diikuti Toyota (11.8%) dan Honda (10.1%)

    Proton bagaimanapun kekal berada di tempat kedua dengan jualan sebanyak 72,088 unit kenderaan sepanjang separuh pertama 2024. Angka ini sedikit berkurangan daripada jualan tempoh sama tahun lalu, yang merekodkan 76,012 unit — sekaligus mengurangkan peratusan perkongsian pasarannya daripada 20.8% tahun lalu kepada 18.5% bagi enam bulan pertama tahun ini.

    Toyota menduduki tempat ketiga dengan mencatatkan jualan 45,962 unit, sedikit berkurangan berbanding angka 48,145 unit yang dicapai bagi tempoh sama tahun lalu — ini melibatkan penurunan peratusan perkongsian pasaran dari 13.1% kepada 11.8%.

    Pesaing utamanya, Honda pula berjaya menjual 39,226 unit kenderaan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 33,732 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Ini melibatkan kenaikan perkongsian pasaran dari 9.2% tempoh sama tahun lalu kepada 10.1% ketika ini.

    Mazda pula menduduki tempat kelima dengan jualan sebanyak 8,389 unit bagi enam bulan pertama 2024. Angka ini turun sedikit dari 9,528 unit yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu — Mazda mengambil alih kedudukan Mitsubishi selepas jenama itu mencatatkan penurunan dari 11,811 unit kepada 8,265 unit untuk tempoh sama.

     
     
  • Jualan EV di M’sia naik 112% bagi tempoh 1H 2024

    Jualan EV di M’sia naik 112% bagi tempoh 1H 2024

    Dalam taklimat prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh separuh pertama tahun 2024 hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mendedahkan yang jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia melonjak naik sebanyak 112% melibatkan 6,617 unit daripada 3,117 unit yang direkodkan dalam tempoh sama 2023.

    Dengan ini, penggunaan EV di Malaysia menunjukkan corak peningkatan saban tahun: pada tahun 2023, sebanyak 10,159 unit EV terjual, manakala pada 2022 dan 2021 angka itu lebih rendah dengan masing-masing mencatatkan 2,631 dan 278 unit.

    Insentif EV oleh kerajaan yang sedang berjalan ketika ini sudah tentu menjadi antara pemacu jualannya. Ketika ini, EV CBU menikmati pengecualian duti import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025, sementara unit CKD pula dikecualikan daripada cukai dan eksais jualan sehingga 31 Disember 2027.

    Daripada data MAA, terdapat sejumlah 15,884 kenderaan hibrid terjual bagi tempoh separuh pertama 2024. Digabungkan dengan jualan EV, keseluruhan jualan kenderaan dengan elektrifikasi (xEV — termasuk hibrid, plug-in hybrid dan EV) yang terjual ialah 22,501 unit. Tahun lalu, keseluruhan EV yang terjual ialah 38,214 unit, naik berbanding 2022 (22,619 unit) dan 2021 (8,153 unit).

    Berbaki separuh tahun lagi untuk 2024, jualan keseluruhan tahun ini dijangka akan terus meningkat berbanding 2023. Bagaimanapun, semua angka jualan EV bagi 1H 2024 ini tidak termasuk jualan dari jenama Tesla di Malaysia, kerana syarikat itu bukan ahli MAA, setakat ini.

     
     
  • LRT3: Penutupan laluan, lencongan trafik di Damansara di Lebuhraya PLUS, SPRINT, 18-31 Julai

    Penutupan 1 (kiri) & Penutupan 2 (kanan)- Klik untuk besarkan

    Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd selaku pihak kontraktor bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) telah memaklumkan bahawa penutupan laluan dan lencongan trafik akan dilaksanakan di Lebuhraya PLUS dan SPRINT, berhampiran dengan Damansara iaitu setentang dengan Jalan Bridge 21/64. Ia akan dilaksanakan dari 18 hingga 31 Julai ini, setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

    Menurut syarikat terbabit, penutupan laluan dan lencongan trafik berkenaan adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan LRT3. Terdapat tiga fasa penutupan laluan dan lencongan trafik, iaitu Penutupan 1 melibatkan jalan susur ke Jalan Kayu Ara di Lebuhraya SPRINT (NKVE/ bertentangan dengan Petronas NGV, arah Damansara) yang akan ditutup secara berkala.

    Manakala Penutupan 2 pula membabitkan lorong tengah dan kiri di Lebuhraya PLUS (arah Damansara) bermula dari kedai hardware ke jalan bertentang dengan Petronas NGV yang akan ditutup secara berkala.

    Penutupan 3 (kiri) & Penutupan 4 (kanan)- Klik untuk besarkan

    Bagi Penutupan 3 pula melibatkan lorong paling kanan di Lebuhraya PLUS (arah Damansara) bermula dari kedai hardware ke jalan bertentangan dengan Petronas NGV yang akan ditutup secara berkala.

    “Hanya satu penutupan laluan akan dibuat pada satu-satu masa. Pengguna lebuhraya adalah dinasihatkan untuk mengikut papan tanda lencongan. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan dengan kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    “Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kerjasama dan kesabaran anda semasa kami membina LRT3 untuk penambahbaikan masa hadapan semua,” kata syarikat terbabit.

    Perkhidmatan LRT3 atau akan dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam ini melibatkan jajaran sepanjang 37.8 km ini. Ia menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

     
     
  • Jualan kenderaan 1H 2024 di M’sia naik 6.6% kepada 390,296 unit — ramalan TIV naik dari 740k kepada 765k

    Jualan kenderaan 1H 2024 di M’sia naik 6.6% kepada 390,296 unit — ramalan TIV naik dari 740k kepada 765k

    Jualan kenderaan bagi tempoh separuh pertama tahun 2024 di Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mendedahkan angka tersebut yang menyaksikan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh enam bulan pertama 2024 mencatatkan 390,296 unit, iaitu 6.6% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 366,176 unit.

    Perkembangan positif ini antaranya didorong oleh pasaran kenderaan penumpang, yang tumbuh sebanyak 9.2% (atau 30,162 unit) kepada 356,859 unit. Ini juga dapat menampung penurunan yang direkodkan untuk pasaran kenderaan komersial yang menurun sebanyak 15.3% (atau 6,042 unit) kepada 33,437 unit.

    Menurut MAA, antara faktor utama yang mendorong pertumbuhan ini termasuklah daya tahan ekonomi yang menyaksikan keluaran dalam negara kasar (GDP) meningkat sebanyak 4.2% pada suku pertama tahun ini, serta kadar polisi semalaman (OPR) yang kekal tidak berubah sebanyak 3% sejak Mac 2023. Pasaran kerja serta suasana sosio-politik yang stabil juga memainkan peranan.

    Peningkatan TIV itu juga didorong oleh beberapa pengenalan model baru (termasuk EV, yang jualannya meningkat sebanyak 112% kepada 6,617 unit) serta pesanan tertangguh yang banyak, terutama bagi kenderaan segmen A seperti Perodua Axia.

    Kesan daripada pencapaian memberangsangkan ini, MAA meletakkan ramalan TIV baru yang lebih tinggi untuk dicapai sepanjang baki tahun ini, naik daripada 740,000 unit kepada 765,000 unit, walaupun dengan kesan daripada penyelarasan subsidi serta peningkatan harga diesel RM3.35 seliter serta potensi kenaikan harga RON 95 pula selepas ini.

    Presiden MAA, Mohd Shamsor bin Mohd Zain juga menjelaskan, semua syarikat pengeluar kendearan yang menjadi ahli persatuan itu telah bersiap sedia dengan strategi masing-masing untuk berhadapan dengan kemungkinan peningkatan petrol RON 95 itu, memandangkan segmen utama kenderaan penumpang terdiri daripada kenderaan enjin petrol.

     
     
  • Sedia tambahbaik SOP pembinaan projek lebuhraya bagi elak kemalangan – Menteri Kerja Raya

    Sedia tambahbaik SOP pembinaan projek lebuhraya bagi elak kemalangan – Menteri Kerja Raya

    Prosedur operasi standard (SOP) dalam pembinaan projek lebuhraya sedia untuk ditambahbaik bagi mengelakkan kemalangan termasuk mengakibatkan insiden maut, kata Menteri Kerja Rara (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Jelas beliau, penambahbaikan itu bagi memastikan SOP ditetapkan benar-benar memberi impak dalam mengelakkan kesan buruk kepada proses pelaksanaan mana-mana projek, laporan Berita Harian.

    “SOP ini memang sudah ditetapkan tetapi kita sentiasa melihat sekiranya ada ruang dan peluang untuk ditambahbaik… ia tidak jadi masalah. Kita berusaha untuk menyesuaikan SOP dan mahu menggunakan cara terbaik kerana ia bersifat dinamik dan bukannya statik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP membabitkan projek pembinaan lebuhraya berhampiran laluan awam.

    Halimah juga ingin tahu sama ada kerajaan boleh mendedahkan laporan siasatan berhubung insiden maut dalam projek pembinaan lebuh raya supaya aspek tertentu boleh dipelajari kontraktor lain

    Alexander berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan kajian terbabit bagi makluman orang awam, sekiranya kemalangan berlaku dalam skala besar hingga meragut nyawa.

     
     
  • UMW Toyota jual 7,600 kenderaan pada Jun 2024 – jualan 6 bulan pertama 2024 cecah 47k unit, turun 3.4%

    UMW Toyota jual 7,600 kenderaan pada Jun 2024 – jualan 6 bulan pertama 2024 cecah 47k unit, turun 3.4%

    Sekejap saja masa berlalu, sekarang ini kita sudah memasuki separuh kedua tahun 2024, dan kebanyakan syarikat kini sedang melihat prestasi masing-masing untuk separuh pertama. Salah satunya ialah UMW Toyota Motor (UMWT), yang mengumumkan telah menjual sebanyak 7,600 kenderaan untuk Jun 2024.

    Angka ini menunjukkan penyusutan sebanyak 9.8% berbanding bulan sebelum ini, dan turun 12.3% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Di mana prestasi bagi enam bulan pertama 2024 juga menyusut sedikit, dengan sekitar 47,000 unit, 3.4% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, UMWT masih menganggapnya sebagai prestasi yang kukuh, yang disumbangkan dengan usaha promosi dan tumpuan terhadap kepuasan pelanggan dan tanggungjawab sosial. “Kami berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan pelanggan kami, menerusi jualan yang diperoleh bulan ini. Kepercayaan ini mengukuhkan komitmen kami kepada masyarakat dan sejajar dengan visi kami iaitu Move Your World,” kata presiden Ravindran Kurusamy.

    UMW Toyota jual 7,600 kenderaan pada Jun 2024 – jualan 6 bulan pertama 2024 cecah 47k unit, turun 3.4%

    Untuk mengekalkan momentum pada bulan ini, UMWT telah memperkenalkan promosi “Ketenangan Minda dengan Setiap Pemanduan” yang menawarkan 100% pembiayaan kewangan bagi model terpilih – di mana amalan ini akan ‘diharamkan’ tidak lama lagi. Juga terdapat diskaun sehingga RM7,000 untuk Yaris dengan ansuran bulanan serendah RM688, serta program Toyota Service Savers dengan ansuran serendah RM31.

    Juga dianjurkan bulan ini ialah Toyota Showroom Weekender yang berlangsung hujung minggu lalu. Dalam acara berkenaan, turut menawarkan jual-beli dan pilihan pra-pemilikan kereta Topmark. Syarikat ini juga akan menganjurkan lebih banyak acara yang sama, dengan berkata ia memberikan peluang untuk mendekati dan membabitkan penglibatan masyarakat setempat.

    “Kami teruja menganjurkan pelbagai acara seperti Toyota Showroom Weekender, yang memberi peluang untuk kami mendekati pelanggan dan masyarakat. Interaksi adalah penting untuk memenuhi komitmen dalam perkhidmatan kami dan selaras dengan visi Move Your World,” tambah Ravindra lagi.

     
     
  • Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

    Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

    Tiga tahun selepas diperkenalkan buat kali pertama, Toyota GR86 kini diberikan naik taraf, yang juga menyaksikan pengenalan model edisi khas di Jepun dan Amerika Syarikat. Menurut pengeluar Jepun itu, naik taraf ini dibuat bagi mendapatkan pengendalian yang lebih baik, dengan input daripada sukan permotoran.

    Kedua-dua GR86 manual dan automatik kini mendapat penyerap yang ditala semula, dengan fokus untuk memberikan rasa sentuhan dengan jalan yang lebih baik sambil mengekalkan maklum balas pengendalian yang terus.

    Sebagai tambahan, sistem stereng kuasa elektrik (EPS) kenderaan ini telah ditala semula untuk interaksi yang lebih baik kepada pemandu. Hasilnya menurut Toyota, kenderaan dapat memberi prestasi maklum balas lincah tanpa mengorbankan stabiliti stereng, sambil meningkatkan sensasi pengendalian pada prestasi puncak.

    Toyota GR86 dapat suspensi, EPS yang ditala semula serta pilihan edisi khas Hakone, Ridge Green Limited

    Khas bagi model transmisi manual, sistem kawalan tork enjinnya diubah suai supaya dapat memudahkan proses ‘blip‘ apabila melakukan ‘heel-and-toe‘. Kawalan pendikit juga menerima sedikit ubah suai untuk memberikan maklum balas yang lebih terus kepada operasi pedal, sekaligus juga memudahkan pengendalian pada prestasi puncak.

    Untuk model transmisi automatik pula, julat toleransi laju enjin ketika menurunkan gear telah diluaskan lagi, seterusnya membenarkan pemanduan sporty yang disokong oleh julat tork yang lebih luas. Toyota juga memberitahu terdapat tambahan sistem pemerhati tekanan angin tayar dan DRL pada GR86.

    Di Jepun, model edisi khas dipanggil sebagai Ridge Green Limited dan menggunakan asas daripada varian RZ. Ia didatangkan dengan warna luar Ridge Green dan rim warna gangsa, manakala bahagian dalam yang kebanyakannya menggunakan warna hitam diserikan dengan kemasan coklat serta sulaman khas pada panel pintu. Turut diberikan secara standard adalah brek Brembo dan penyerap Sachs.

    Sementara itu di Amerika Syarikat, model edisi khas ini dipanggil sebagai Hakone Special Edition, dengan mendapat peningkatan yang sama, tetapi dengan tambahan perincian seperti lencana pada penutup but, serta tombol gear dan lampu lantai yang mempunyai cop Hakone Edition.

    Hanya 860 unit model Hakone Special Edition akan ditawarkan di Amerika Syarikat, sementara di Jepun, jumlahnya lebih sedikit iaitu cuma 200 unit. Harga untuk GR86 2024 berada antara 2.936 juta ke 3.616 juta yen (RM87k ke RM107k), dan yang paling mahal adalah model Ridge Green Limited, dengan harga antara 3.897 juta ke 3.995 juta yen (RM115k ke RM118k) bergantung kepada transmisi.

    GALERI: Toyota GR86 2024 pasaran Jepun

    GALERI: Toyota GR86 Hakone Edition 2024 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • 14 jalan di sekitar ibu kota KL ditutup berperingkat pada 20 Julai bagi Istiadat Pertabalan YDP Agong

    14 jalan di sekitar ibu kota KL ditutup berperingkat pada 20 Julai bagi Istiadat Pertabalan YDP Agong

    Bagi kelancaran acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang bakal berlangsung pada 20 Julai 2024 (Sabtu ini), sebanyak 14 jalan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat.

    Jalan yang terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana, Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah selatan), Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, penutupan jalan sementara ini akan bermula jam 8 pagi bagi Istiadat Pertabalan dan pada jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja. Di mana penutupan jalan sementara itu bagi memberi laluan kepada tetamu-tetamu DiRaja melalui laluan yang terlibat dan sampai pada masa yang ditetapkan.

    “Semua 387 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu-lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu-lintas dan mengikut arahan-arahan anggota Polis Trafik yang bertugas di lokasi. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Hanya 19 dari 137 jenama EV China kekal untung menjelang 2030 kerana perang harga – penganalisa

    Hanya 19 dari 137 jenama EV China kekal untung menjelang 2030 kerana perang harga – penganalisa

    Hari demi hari, pelbagai jenama EV dari China yang timbul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dan apa yang agak menarik perhatian, persaingan ini membabitkan “perang harga” yang begitu drastik, menyaksikan jenama-jenama berkenaan mengurangkan harga model masing-masing untuk menguasai pasaran.

    Persaingan ini mungkin baik untuk pengguna, namun ia boleh ‘membunuh’ syarikat-syarikat dengan kedudukan kewangan yang kurang kukuh. Menurut laporan analisa yang dibuat oleh firma perunding global AlixPartners, dijangkakan hanya 19 dari 137 jenama EV dari China yang ada sekarang akan kekal menghasilkan keuntungan menjelang akhir 2030 nanti.

    Laporan yang dipetik oleh Bloomberg itu menyatakan syarikat-syarikat yang tidak mampu menjana keuntungan berkemungkinan akan keluar dari industri, bergabung antara satu sama lain atau perlu berjuang untuk bahagian pasaran yang kecil.

    Salah satu syarikat yang telah pun tumbang adalah WM Motor, yang telah memfailkan kebankrapan Oktober lalu selepas bergelut dengan hutang dan kerugian yang semakin meningkat. Perang harga yang telah berlangsung di China selama hampir dua tahun telah mengakibatkan margin berkurangan dengan ketara bagi sesetengah pembuat EV. Ia dilihat semakin parah apabila jenama yang lebih besar seperti BYD dan Tesla menumpukan usaha mereka untuk mengukuhkan penguasaan mereka.

    Hanya 19 dari 137 jenama EV China kekal untung menjelang 2030 kerana perang harga – penganalisa

    “Selagi pemain besar seperti BYD masih mempunyai margin kasar, akan sentiasa ada ruang untuk perang harga ini berterusan,” kata Stephen Dyer, pengarah urusan AlixPartners yang berpangkalan di Shanghai. Tahun lalu, purata harga jualan kereta di China jatuh sebanyak 13.4%, walaupun purata margin pengeluar kereta meningkat sebanyak 7.8% pada 2023 daripada 6.3% pada 2022. Ini didorong oleh langkah penjimatan kos yang melibatkan pembekal serta mempercepatkan pengeluaran model baharu ke pasaran.

    Menjelang penghujung dekad, pembuat kereta China dijangka menguasai 33% daripada pasaran automotif global dan 45% daripada jualan kenderaan tenaga baharu (NEV). Walaupun begitu, AlixPartners melihat bahagian pasaran untuk pembuat kereta China di Eropah menurun dari 15% kepada 12% disebabkan oleh pengenaan tarif sementara tambahan oleh Kesatuan Eropah (EU).

    Laporan ini turut mendedahkan bahawa kakitangan jenama-jenama EV China ini mampu untuk bekerja lebih masa sehingga 140 jam sebulan, atau tujuh kali lebih lama berbanding 20 jam maksimum untuk kerja lebih masa bagi pekerja-pekerja jenama automotif arus perdana.

    Hasil dari peningkatan produktiviti tersebut telah membantu jenama-jenama EV China ini mempercepatkan penghantaraan kepada pelanggan. Ia turut diperkukuhkan dengan inisiatif lain seperti meningkatkan daya saing termasuk pelaburan peringkat nasional dalam teknologi bateri dan bahan dengan integrasi menegak yang teguh melibatkan pembekal, memisahkan pembangunan perkakasan dan perisian, menubuhkan jenama NEV bebas dan juga sokongan kerajaan tempatan.

     
     
  • EVx 2024: Dekati SUV EV Kia EV9 6/7-tempat duduk — 385 PS, pacuan AWD dengan jarak perjalanan 505 km

    EVx 2024: Dekati SUV EV Kia EV9 6/7-tempat duduk — 385 PS, pacuan AWD dengan jarak perjalanan 505 km

    Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2024 anjuran paultan.org kembali lagi tahun ini dan bakal berlangsung hujung minggu ini, dari 20-21 Julai 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Merupakan penganjuran kali ketiga — dan ditaja secara bersama oleh Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp — ia menghimpunkan semua perkara berkaitan EV di bawah satu bumbung, dari kereta hinggalah kepada kelengkapan pengecasan.

    Antara model EV terbaru yang turut akan dipamerkan ialah Kia EV9 yang baru saja dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Untuk pasaran Malaysia, Kia EV9 datang dalam dua varian, iaitu GT Line enam-tempat duduk dan juga versi tujuh-tempat duduk, kedua-duanya dijual pada harga RM369,668 dan RM374,668 — yang merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    SUV tiga-barisan tempat duduk ini merupakan model kedua Kia yang menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran dimensi 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi dengan jarak roda 3,100 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 177 mm.

    Ia dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu cas penuh membolehkan EV9 mencapai jarak perjalanan hingga 505 km (WLTP). Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork — pecutan 0-100 km/j pula dalam masa hanya 5.3 saat.

    Baterinya boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 dengan 11 kW yang akan mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh. Dengan pengecas pantas DC CCS2 350 kW pula, ia boleh dicas dari 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), model ini juga lengkap dengan ciri vehicle-to-load (V2L) berkapasiti hingga 3.6 kW untuk membekalkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.

    EVx 2024: Dekati SUV EV Kia EV9 6/7-tempat duduk — 385 PS, pacuan AWD dengan jarak perjalanan 505 km

    Dekati dan ketahui lebih lanjut tentang model ini di EVx 2024. Selain Kia, jenama yang bakal ikut serta dalam pameran ini ialah Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, Hyundai, Chery, BYD, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    EVx 2024 akan menjadi tempat terbaik untuk anda mendekati segala aspek berkaitan EV dan memudahkan urusan anda untuk mengetahui lanjut tentangnya. Tidak ketinggalan, akan ada pratonton model EV terbaru serta sesi pandu uji, semuanya di satu lokasi.

    Dan, jika berminat untuk menjadi pemilik EV terbaru, ada tawaran menarik menanti. Tempah kereta baru anda di EVx dan nikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja. Jadi, kena cepat!

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • Jualan kenderaan tidak terkesan dengan pelaksanaan e-Invois, pinjaman penuh perlu dihentikan – Zafrul

    Jualan kenderaan tidak terkesan dengan pelaksanaan e-Invois, pinjaman penuh perlu dihentikan – Zafrul

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan, pelaksanaan e-invois secara berperingkat mulai 1 Ogos 2024 tidak akan memberi kesan ke atas jumlah keseluruhan industri (TIV) atau jualan kenderaan tahun ini.

    “Saya sudah berbincang dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan kami berpendapat tiada impak ke atas pelaksanaan e-invois. Cuma mungkin kegusaran daripada syarikat kecil memandang ia akan membabitkan sistem yang perlu mereka ada,” kata menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    “Jika kita melihat kepada garis masa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kita hanya akan bermula dengan syarikat yang memiliki pendapatan atau hasil melebihi RM100 juta,” tambah beliau.

    Zafrul menjelaskan, kebanyakan syarikat pengedar kereta tidak memperoleh pendapatan melebihi jumlah itu, jadi tidak banyak kesan kepada mereka. Walaubagaimanapun, beliau ada menyatakan bahawa terdapat beberapa pengedar yang menawarkan pinjaman penuh untuk kenderaan, dan ini akan dapat dibendung apabila e-Invois dilaksana.

    Jualan kenderaan tidak terkesan dengan pelaksanaan e-Invois, pinjaman penuh perlu dihentikan – Zafrul

    Sistem e-Invois baru ini disasarkan untuk menjadi satu transaksi yang lebih tepat dan telus, dengan jumlah yang dinyatakan dalam invois berkaitan sama dengan yang lain, sekaligus membendung amalan pinjaman penuh.

    Jika mengambil pinjaman penuh, pembeli tidak perlu membayar wang pendahuluan 10% bagi pinjaman 90% yang diberi. Sebaliknya, wakil jualan akan menaikkan harga dalam invois apabila membuat permohonan pinjaman kepada bank bagi menjadikan jumlah pinjaman yang diluluskan sama atau melebihi harga sebenar kenderaan.

    Selepas itu, wakil jualan akan menghantar invois dengan jumlah yang berbeza kepada kerajaan – penyelewengan informasi inilah yang mahu dibendung dengan pelaksanaan e-Invois. Apabila menggunakan sistem e-Invois, semua invois perlu melalui LHDN, jadi wakil jualan tidak boleh sesuka hati menaikkan jumlah sesuatu invois dan perlu memastikan kesemuanya adalah sama.

     
     
  • Kadar had laju di kawasan sekolah disaran turun 10 km/j menjadi 30 km/j; 323 kes kemalangan pada 2023

    Kadar had laju di kawasan sekolah disaran turun 10 km/j menjadi 30 km/j; 323 kes kemalangan pada 2023

    Bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak, kadar had laju di kawasan sekolah disaran supaya dikuatkuasakan kepada 30 km/j, berbanding 40 km/j pada masa ini.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Keseksaan Jalan Raya (JKMKKJR), laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, perkara itu menjadi antara isu yang dibincangkan susulan jumlah kematian purata setiap tahun membabitkan kemalangan maut di kawasan sekolah mencecah 67 orang.

    “Apa dicadangkan oleh jawatankuasa adalah menurunkan had laju kepada 30 km/j di kawasan sekolah (daripada 40 km/j ketika ini). Di samping itu pembinaan bonggol juga dicadangkan tanpa membabitkan peruntukan dari mana-mana kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama melakukannya,” katanya.

    Tambah beliau, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun lalu, sebanyak 323 kemalangan membabitkan kecederaan atau kematian dicatatkan di kawasan sekolah. Justeru, berdasarkan dapatan kajian antarabangsa sekiranya had laju dikurangkan 1km/j, ia mampu mengurangkan kadar kematian sehingga lima peratus.

    “Satu Pasukan Petugas perlu diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenalpasti zon mula dan tamat dan mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah. Sebagai satu tanggungjawab sosial, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kerjasama antara sekolah dan PIBG untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30 km/j lebih berkesan,” katanya.

     
     
  • EVx 2024: Chery Omoda E5 dengan AutoCharge — pasang dan cas; tidak perlu aplikasi, telefon atau kad

    EVx 2024: Chery Omoda E5 dengan AutoCharge — pasang dan cas; tidak perlu aplikasi, telefon atau kad

    Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2024 anjuran paultan.org kembali lagi tahun ini dan bakal berlangsung hujung minggu ini, dari 20-21 Julai 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Merupakan penganjuran kali ketiga — dan ditaja secara bersama oleh Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp — ia menghimpunkan semua perkara berkaitan EV di bawah satu bumbung, dari kereta hinggalah kepada kelengkapan pengecasan.

    Chery akan menjadi jenama yang akan mengambi bahagian dalam acara ini, dan akan mempamerkan model Omoda E5 EV. Versi elektrik bagi model Omoda 5 ini hadir dengan ciri unik — dengan Autocharge, anda boleh terus mengecas dengan memasang kepala pengecas tanpa sebarang aplikasi, telefon atau kad diperlukan.

    Ini merupakan hasil dari kerjasama antara Chery dan pengendali JomCharge EV Connection (EVC), dan Omoda E5 menjadi EV pertama di sini yang menerima fungsi tersebut. Apa yang diperlukan hanyalah pengaktifan sekali sahaja dan selepas itu, boleh terus pasang pengecas tanpa perlu melalui langkah pembayaran melalui aplikasi atau kad. Terdapat lebih daripada 200 pengecas DC untuk dimanfaatkan untuk menjadikan pengecasannya lebih mudah.

    Chery Omoda E5 dilengkapi motor elektrik di depan yang menjana 204 PS (150 kW) dan 340 Nm, yang membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat. Laju maksimum ialah 172 km/j. Unit bateri yang digunakan pula ialah 61 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang memberikan jarak 430 km mengikut kitaran WLTP. Penggunaan kuasanya ialah 15.5 kWh bagi setiap 100 km.

    EVx 2024: Chery Omoda E5 dengan AutoCharge — pasang dan cas; tidak perlu aplikasi, telefon atau kad

    Selain Chery, jenama yang bakal ikut serta dalam pameran ini ialah Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, Hyundai, Kia, BYD, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    EVx 2024 akan menjadi tempat terbaik untuk anda mendekati segala aspek berkaitan EV dan memudahkan urusan anda untuk mengetahui lanjut tentangnya. Tidak ketinggalan, akan ada pratonton model EV terbaru serta sesi pandu uji, semuanya di satu lokasi.

    Dan, jika berminat untuk menjadi pemilik EV terbaru, ada tawaran menarik menanti. Tempah kereta baru anda di EVx dan nikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja. Jadi, kena cepat!

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • Pusat 3S Chery Bukit Puchong dibuka secara rasmi – Lesydear bertukar dari pengedar Proton ke Chery

    Pusat 3S Chery Bukit Puchong dibuka secara rasmi – Lesydear bertukar dari pengedar Proton ke Chery

    Chery Auto Malaysia telah mengumumkan pembukaan rasmi pengedaran baharu di Bandar Bukit Puchong. Cawangan 3S baharu ini terletak di No. 2 Jalan BP 4, Bandar Bukit Puchong, 47120 Puchong, Selangor, dimiliki dan dikendalikan oleh Lesydear Automobile Sdn Bhd.

    Bagi yang mungkin familiar dengan nama Lesydear, syarikat ini dahulu pernah menjadi pengedar Proton, termasuk mempunyai kemudahan untuk menjual dan menyelenggara kenderaan Proton. Syarikat ini juga mengendalikan bilik pameran 1S di Bandar Baru Sri Petaling, yang kini telah bertukar dari Proton ke Chery.

    Bagaimanapun, pusat 3S baharu di Bandar Bukit Puchong mempamerkan model terkini Chery, dan dilengkapi dengan ruang lounge untuk pelanggan, pusat servis dan juga bengkel. Ia dilengkapi dengan 12 petak selenggara dan dikendalikan oleh juruteknik Chery terlatih.

    “Pembukaan pengedaran ini membolehkan kami berhubung dengan lebih ramai pelanggan di hab komersil dan perniagaan yang sibuk di Puchong. Kami kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berkhidmat kepada mereka yang tinggal dan bekerja di daerah ini,” kata presiden Chery Auto Malaysia Leo Chen pada pelancaran cawangan tersebut.

    Bilik pameran Chery Bandar Bukit Puchong dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 8 mamalm dari Isnin hingga Sabtu dan dari 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad. Manakala untuk pusat servis pula, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang untuk setiap Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad serta cuti umum.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025