Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    Tiga hari lagi, Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org akan bermula, dengan tajaan bersama Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp yang akan berlangsung pada 20-21 Julai di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Acara ini akan menampilkan pelbagai aspek dan model EV di bawah satu bumbung.

    Tidak ketinggalan, barisan kenderaan Carro Certified juga akan berada di sana untuk anda yang ingin mencari kenderaan terpakai dalam keadaan seperti baru. Semua unit kenderaan di bawah Carro Certified telah melalui pemeriksaan 160-poin dan datang dengan jaminan pulangan wang lima-hari serta jaminan 12-bulan untuk enjin dan kotak gear. Semua kereta berkenaan juga tidak diubah jarak perbatuannya, atau tidak pernah terlibat dengan sebarang kemalangan teruk, terbakar atau ada kerosakan akibat banjir.

    Lebih penting, semua harga kereta yang ditunjuk itu tidak datang dengan sebarang kos tersembunyi — maksudnya anda tidak akan dikenakan sebarang yuran memproses tambahan atau yuran pemeriksaan lain sekiranya ingin meneruskan pembelian kenderaan tersebut.

    Dan ada lagi — beli mana-mana kereta Carro Certified di EVx dan anda akan berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik. Hadiahnya termasuklah enam baucar Lazada RM100, empat baucar Aeon RM100, empat kad petrol Petronas RM250 serta hadiah utama Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899.

    EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    Untuk kenderaan baru, terdapat banyak lagi jenama kenderaan EV yang akan ikut serta dalam EVx 2024, seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    EVx 2024 akan menjadi tempat terbaik untuk anda mendekati segala aspek berkaitan EV dan memudahkan urusan anda untuk mengetahui lanjut tentangnya. Tidak ketinggalan, akan ada pratonton model EV terbaru serta sesi pandu uji, semuanya di satu lokasi.

    Dan, jika berminat untuk menjadi pemilik EV terbaru, ada tawaran menarik menanti. Tempah kereta baru anda di EVx dan nikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja. Jadi, kena cepat!

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • EVx 2024: Terokai dan dekati barisan model EV terkini BYD termasuk Seal, Dolphin dan Atto 3 2024

    EVx 2024: Terokai dan dekati barisan model EV terkini BYD termasuk Seal, Dolphin dan Atto 3 2024

    Tiga hari lagi, Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org akan bermula, dengan tajaan bersama Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp yang akan berlangsung pada 20-21 Julai di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Acara ini akan menampilkan pelbagai aspek dan model EV di bawah satu bumbung.

    BYD antara yang akan membuat penampilan di dalam pameran ini. Sejak melancarkan model BYD Atto 3 pada penghujung 2022, syarikat itu kini menawarkan barisan EV yang meyakinkan, termasuklah model Seal yang menjadi EV terlaris jualannya di Malaysia walaupun hanya di perkenalkan pada hujung Februari.

    Rekabentuknya unik dan sangat dikenali, dengan bacaan rintangan angin serendah 0.219. Sedan ini boleh memberikan jarak sehingga 570 km dalam kitaran WLTP, serta mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Dengan prestasi seperti inilah yang melayakkannya untuk berada dalam senarai pendek anugerah European Car of the Year 2024.

    Selain itu ada juga BYD Dolphin, sebuah EV paling mampu milik di Malaysia ketika ini. Sesuai untuk kegunaan dalam bandar, saiznya yang kompak memudahkan kendalian di tempat sempit. Dolphin juga lengkap dengan pelbagai kelengkapan seperti skrin sentuh 12.8-inci dengan Apple CarPlay, sistem kamera 360-darjah dan kemampuan pemanduan autonomous Tahap 2. Ia memberikan sehingga 427 km jarak dengan kitaran WLTP.

    Dan yang terakhir ada BYD Atto 3. Bagi tahun 2024, model berkenaan telah menerima kemas kini dari segi penampilannya, serta dilengkapi dengan skrin sentuh 15.6-inci. Tambahan terbaru ini memberi kesegaran dan nilai tambah kepada semua cirinya yang sudah diketahui dan ditawarkan sebelum ini.

    EVx 2024: Terokai dan dekati barisan model EV terkini BYD termasuk Seal, Dolphin dan Atto 3 2024

    Selain BYD, jenama yang bakal ikut serta dalam pameran ini ialah Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    EVx 2024 akan menjadi tempat terbaik untuk anda mendekati segala aspek berkaitan EV dan memudahkan urusan anda untuk mengetahui lanjut tentangnya. Tidak ketinggalan, akan ada pratonton model EV terbaru serta sesi pandu uji, semuanya di satu lokasi.

    Dan, jika berminat untuk menjadi pemilik EV terbaru, ada tawaran menarik menanti. Tempah kereta baru anda di EVx dan nikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja. Jadi, kena cepat!

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • Pinjaman penuh untuk penjawat awam masih ada, bank akan tawarkan pembiayaan lebih fleksibel – MAA

    Pinjaman penuh untuk penjawat awam masih ada, bank akan tawarkan pembiayaan lebih fleksibel – MAA

    Bermula 1 Ogos nanti, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mula melaksanakan inisiatif e-invois dan ini dijangka memberi impak kepada pembelian kenderaan baru kerana ia dapat menghapuskan amalan pinjaman 100% (atau pinjaman penuh) yang sudah menjadi kebiasaan dalam industri. Walaupun begitu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tidak menjangkakan banyak kesan kepada jumlah jualan akibat langkah ini.

    Semasa satu sesi soal jawab bersama media semalam, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain memberitahu bahawa ini disebabkan Bank Negara telah menetapkan jumlah bayaran pendahuluan minimum, yang perlu dipatuhi oleh syarikat kereta dan juga bank.

    Tambah beliau, untuk berhadapan keadaan ini, banyak institusi kewangan memperkenalkan pilihan pembiayaan yang lebih fleksibel, seperti step-up financing (bayaran rendah untuk tempoh awal dan seterusnya menaik), untuk menjadikan pembelian kenderaan lebih mampu milik tanpa perlu mengambil pinjaman penuh. “Saya percaya, apabila sudah dilaksana (e-invois), akan ada program dan pakej yang diperkenalkan oleh bank,” kata Shamsor.

    Pinjaman penuh untuk penjawat awam masih ada, bank akan tawarkan pembiayaan lebih fleksibel – MAA

    Beliau turut menambah bahawa nampaknya masih ada bank yang menawarkan pinjaman penuh kepada penjawat awam dan MAA memandang skim e-invois ini satu langkah yang baik. “Kami rasa, pelaksanaan e-invois ini akan membawa perubahan positif kepada kecekapan dan ketelusan,” kata Shamsor.

    Walaupun terdapat potensi gangguan ini, MAA nampaknya bukan setakat mampu untuk mengekalkan sasaran jualan asal 740,000 buah kenderaan, tetapi malah meningkatkan lagi kepada 765,000 bagi tahun 2024. Ini dibuat selepas ia berjaya mencatat jualan separuh tahun pertama yang kuat, sebanyak 390,296 unit, yang bersamaan peningkatan 6.6% berbanding tempoh sama tahun lepas.

     
     
  • GIIAS 2024: Kia Carnival Hybrid dilancar di Indonesia – 1.6 liter turbo hibrid petrol 245 PS, lebih RM400k!

    GIIAS 2024: Kia Carnival Hybrid dilancar di Indonesia – 1.6 liter turbo hibrid petrol 245 PS, lebih RM400k!

    Kia Carnival facelift generasi ke-empat telah pun ditampilkan di khayalak ramai dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, dengan barisan varian yang dikemaskini termasuk menawarkan pilihan turbo hibrid baharu. MPV yang diberikan suntikan lebih segar ini pertama kali diperkenalkan di negara tersebut pada Mei lalu dengan varian Premiere dan Dynamic, dengan kesemuanya menerima enjin turbodiesel yang sama.

    Dengan pelarasan bagi barisan varian ini, Dynamic telah pun digugurkan, manakala Premiere masih dikekalkan. Varian ini terus menggekalkan enjin Smartstream D 2.2 liter empat-silinder sebaris CRDi turbodiesel dengan hamburan kuasa 194 PS dan tork 441 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan yang memacu roda hadapan.

    Tambahan baharu ialah Hybrid, dengan menampilkan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris dengan motor elektrik yang memacu roda hadapan. Kombinasi ini menghasilkan output sehingga 245 PS dan 367 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Penjana kuasa turbo ini lebih kurang dengan yang diberikan pada Sorento Hybrid dan dipertontonkan di Singapura pada Januari lalu.

    Bagi susunan tempat duduk, Premiere menawarkan tujuh- (bentangan 2+2+3) atau 11-tempat duduk (2+3+3+3) bersama empat barisan berbanding tiga – dengan Hybrid hanya menawarkan tujuh-tempat duduk. Harga rasmi bagi Carnival Hybrid ialah 1.388 bilion rupiah (sekitar RM402k), di mana ia lebih mahal berbanding Dynamic dengan harga 960 juta rupiah (sekitar RM278k), manakala harga Premiere bermula dari 998 juta rupiah (RM289k).

    Bagi kelengkapannya, semua varian Carnival facelift didatangkan ciri standard termasuk lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, tailgate kuasa pintar, dwi bumbung suria, dwi skrin 12.3-inci (instrumentasi dan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen), sistem bunyi premium Bose 12-pembesar suara, kawalan suhu tiga-zon, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan pandangan sekeliling dan pad pengecas tanpa wayar.

    Premiere 7-tempat duduk menerima roda 18-inci, sementara versi 11-tempat duduk juga seperti Hybrid 7-tempat duduk didatangkan dengan unit 19-inci. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan bagi ketiga-tiga varian adalah larasan kuasa dan didatangkan bersama fungsi pemanas dan pengudaraan. Spesifik untuk Premiere 11-tempat duduk dan Hybrid 7-tempat duduk diberikan tempat duduk relaxation untuk barisan kedua dengan larasan elektrik, sokongan kaki dan pengudaraan.

    GIIAS 2024: Kia Carnival Hybrid dilancar di Indonesia – 1.6 liter turbo hibrid petrol 245 PS, lebih RM400k!

    Sistem bantuan pemandu termaju juga diberikan untuk kesemu varian yang merangkumi kawalan kelajun adaptif, bantuan ikut dan kekal lorong, brek kecemasan autonomous dengan bantuan persimpangan serta pemantauan titik buta dan bantuan mengelak pelanggaran.

    Rekaan bagi Carnival juga banyak dipengaruhi Sorento dan EV9 terkini, termasuk lampu utama LED menegak dengan lampu nyalaan siang berbentuk-T yang disambungkan pada seksyen atas gril bersama paten baharu. Sementara itu, lampu belakang pula seperti lampu nyalaan siang hadapan yang diletakkan pada hujung MPV ini dan bersambung dengan tailgate.

    Di dalamnya, panel sesentuh baharu disemak semula ditempatkan di bawah skrin infotaimen, lebih kurang sama seperti yang diberikan pada EV6, manakala kawalan media dan suhu pula disepadukan kepada unit tunggal. Selain dari itu, ciri bagi kabin kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini.

     
     
  • GIIAS 2024: Hyundai Kona Electric 2024 pasang di Indonesia – bateri EV juga CKD, harga dari RM145k

    GIIAS 2024: Hyundai Kona Electric 2024 pasang di Indonesia – bateri EV juga CKD, harga dari RM145k

    Pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini menyaksikan Hyundai melancarkan Kona Electric generasi kedua, yang dipasang di dalam negara itu. Operasi CKD untuk model ini juga agak luas, dengan termasuk bateri yang digunakan, dan menjadikan Kona Electric sebagai model elektrik pertama Hyundai yang menggunakan bateri keluaran Indonesia.

    Awal bulan ini, Hyundai Motor Group mengumumkan kerjasama dengan LG Energy Solutions untuk pengeluaran sel bateri EV di Indonesia. Syarikat kerjasama dua pihak ini dipanggil sebagai PT Hyundai LG Indonesia (HLI) Green Power, dengan kilang pengeluaran sel bateri di Karawang, dan kemudiannya ia dihantar ke kilang PT Hyundai Energy Indonesia untuk dijadikan bateri, dengan kapasiti 50,000 unit setahun.

    Dua kilang ini melengkapi kilang PT Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) sedia ada yang kini memasang Ioniq 5 dan Kona Electric. Kilang ini dikatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 70,000 unit menjelang akhir tahun, dan kemudiannya akan bertambah kepada 150,000 unit setahun selepas itu.

    GIIAS 2024: Hyundai Kona Electric 2024 pasang di Indonesia – bateri EV juga CKD, harga dari RM145k

    Melihat kepada Kona Electric itu sendiri, ia dijual pada harga bermula 499 juta rupiah (RM145k) untuk varian Style Standard Range dan diikuti Prime Standard Range (515 juta rupiah atau RM149k), Prime Long Range (560 juta rupiah atau RM162k), Signature Standard Range (575 juta rupiah atau RM167k) dan Signature Long Range (575 juta rupiah atau RM171k).

    Berkenaan spesifikasi, semua varian Kona Electric datang dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan tork puncak 255 Nm. Bezanya adalah pada kuasa maksimum, di mana varian Standard Range menghasilkan 156 PS (154 hp atau 114.6 kW) manakala Long Range berkemampuan 217 PS (214 hp atau 160 kW).

    Kemudiannya, varian Standard Range didatangkan dengan bateri lithium ion 48.9 kWh dengan jarak gerak NEDC 448 km, manakala Long Range mendapat bateri berkapasiti lebih tinggi, iaitu 66 kWh untuk jarak gerak sehingga 602 km bagi Prime Long Range dan 549 km untuk Signature Long Range.

    GIIAS 2024: Hyundai Kona Electric 2024 pasang di Indonesia – bateri EV juga CKD, harga dari RM145k

    Secara standard, Kona Electric datang dengan sistem pendingin bateri, navigasi dengan fungsi tanda tempat penting (menunjukkan lokasi stesen pengecas), DRL, enam beg udara, ABS, Brake Assist, Hill Start Assist, brek parkir elektronik, skrin sesentuh 12.3 inci, panel instrumen digital 12.3 inci, pemula enjin kawalan jarak jauh, telematik Bluelink serta pengawal suhu dua zon.

    Untuk sistem bantuan pemandu, varian Style tidak mendapat sebarang fungsi ADAS, seperti Prime yang dilengkapi Autonomous Emergency Braking (dengan Junction Assist), Lane Following and Keeping Assist, Driver Attention Warning dan Active Cruise Control dengan stop and go.

    Varian Signature pula kemudiannya ditambah dengan sistem seperti Blind Spot Monitoring dengan Collision Avoidance Assist, Larking Collision-avoidance Assist apabila mengundur, pandangan kamera keliling kenderaan dan Rear Cross Traffic Alert dengan Avoidance Assist. Varian paling tinggi ditambah lagi dengan kelengkapan termasuk sistem bunyi Bose, pad pengecas tanpa wayar, bumbung kaca, pintu but pintar, fungsi vehicle-to-load (V2L) serta rim 19 inci.

     
     
  • Jaecoo J7 bakal dilancarkan di Malaysia 19 Julai ini

    Jaecoo J7 bakal dilancarkan di Malaysia 19 Julai ini

    Selepas dipertontonkan di Malaysia pada awal tahun ini, Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa SUV segmen-C Jaecoo J7 bakal dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan pada hari Jumaat ini, 20 Julai 2024. Pelancaran tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai saluran media sosial bermula pukul 3 hari berkenaan.

    Masih belum ada maklumat rasmi berkenaan spesifikasi model pasaran Malaysia yang akan dilancarkan ini. Namun ketika sesi pratonton Januari lalu, Jaecoo Malaysia telah mendedahkan J7 ini dalam dua varian. Kedua-duanya dijana oleh enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Apa yang membezakan kedua-duanya adalah sistem pacuan, di mana versi asas hanya memacu roda hadapan, manakala varian teratas dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda. Bagi varian pacuan semua roda, ia nampaknya direka sebagai sebuah SUV off-road yang agak serius dimana sistem AWD yang dibekalkan menerima tujuh mod permukaan bentuk muka bumi yang boleh dipilih.

    Jaecoo J7 ini juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, kemampuan meredah air dengan kedalaman 600 mm, serta sudut approach dan sudut berlepas masing-masing 21- dan 29-darjah. Dari segi saiz, J7 menampilkan dimensi 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan juga jarak roda sejauh 2,672 mm – yang sememangnya sesuai berada dalam kelas segmen-C.

    Beberapa perincian juga dapat dilihat ketika sesi pratonton tempoh hari, antaranya SUV ini diberikan rim aloi 19-inci dua-tona ‘Aurora-inspired’, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED. Manakala pada sebelah dalam, ia lengkapi paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, skrin infotainmen 14.8-inci, upholsteri kulit, pengecas tanpa wayar 50-watt dengan penyejuk udara, lampu suasana 64-warna, penghawa dingin dua-zon, bumbung panaromik dan pintu tailgate bantuan kuasa.

    Manakala untuk keselamatan, SUV ini diberikan 21 fungsi seperti AEB, cruise control adaptif, amaran penukaran lorong, kawalan lampu utama pintar, makluman ketika kereta depan bergerak, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan banyak lagi.

    Bagi membolehkan ia dijual pada harga kompetitif, Jaecoo J7 ini akan terus diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di mana fasilitinya yang terletak di Shah Alam sudahpun beroperasi secara rasmi bulan lalu. Tiada lagi harga rasmi diumum, namun ia disasarkan untuk berada di sekitar harga Chery Tiggo 8 Pro, iaitu di sekitar RM170,000.

    Jaecoo J7 di Malaysia

     
     
  • Daihatsu Rocky Crossfield di GIIAS 2024 – kembar Ativa bergaya ranggi; e-smart Hybrid dengan 2-tona

    Daihatsu Rocky Crossfield di GIIAS 2024 – kembar Ativa bergaya ranggi; e-smart Hybrid dengan 2-tona

    Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 baru saja membuka tirai, menyaksikan penglibatan pelbagai jenama automotif. Salah satunya, Daihatsu, yang mengambil peluang mempamerkan Rocky Crossfield, merupakan antara versi Rocky. Model konsep Crossfield ini pernah dipamerkan di Tokyo Auto Salon pada 2022, dan versi 2024 telah diserlahkan dengan penampilan yang lebih bergaya sebelum ini.

    Kelengkapan seperti rak bumbung dan lampu kabus kuning masih dikekalkan dan kemasan hitam pada roda aloi 16-inci juga masih ada, termasuk dengan tayar AT (Dunlop Grandtrek ATS) bersama tema putih.

    Walau bagaimana pun, Crossfield baharu kini diserlahkan dengan luaran Sand Beige dengan warna kontras pada bamparnya (dalam rona Black Doff) dan gril hadapan baharu bersama perkataan “Daihatsu” yang menyerlah pada bingkai seksyen atas. Pelekat hitam dengan perkataan ‘Rocky Crossfield’ pula ditempatkan pada sisi tepi bawah untuk melengkapkan gayanya.

    Daihatsu Rocky Crossfield di GIIAS 2024 – kembar Ativa bergaya ranggi; e-smart Hybrid dengan 2-tona

    Crossfield yang dipamerkan ini dilengkapi dengan enjin WA-VE 1.2 liter naturally-aspirated tiga-silinder, yang mampu menghasilkan sehingga 86 PS pada 6,000 rpm dan 105 Nm pada 4,200 rpm. Rocky juga dijual di Indonesia dengan enjin 1KR-VET 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder.

    Varian kedua Rocky yang turut dipamerkan di sini ialah Rocky e-Smart Hybrid. Model yang dipamerkan ini diberikan luaran dua-tona, dilengkapi lampu kabus hadapan, lapisan badan, penutup cermin sisi dan bumbung dalam warna biru, dengan kontras kemasan perak. Ia juga menerima roda dengan gaya agresif dan sporty.

    Bagi yang mungkin pernah terlihat fotonya, Rocky e-Smart Hybrid juga pernah dipamerkan di TAS 2022, yang sebelum ini dikenali sebagai Premium.

    GALERI: Daihatsu Rocky Crossfield di GIIAS 2024

    GALERI: Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid City Cruiser

     
     
  • KLIMS 2024 umum tema “Beyond Mobility” dan jenama yang akan ikut serta; tiket bermula dari RM10

    KLIMS 2024 umum tema “Beyond Mobility” dan jenama yang akan ikut serta; tiket bermula dari RM10

    Ketika taklimat prestasi jualan kenderaan bagi 1H 2024 semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mendedahkan lebih banyak perincian berkaitan Pameran Mobiliti Antarabangsar Kuala Lumpur 2024 (KLIMS24) yang akan berlangsung dari 5-11 Disember 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITIEC).

    Di beri jolokan sebagai pameran automotif utama Malaysia, acara ini menampilkan tema “Beyond Mobility” yang akan memberi tumpuan kepada kemapanan, elektrifikasi serta teknologi pemanduan autonomous. Penganjuran kali ini turut melibatkan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), yang akan menyediakan ruang untuk pengeluar kenderaan, vendor, pembekal kelengkapan pengecasan serta penyedia perkhidmatan berkaitan kenderaan elektrifikasi untuk mempamerkan produk.

    Selari dengan perubahan konsep ini, jenama kenderaan yang akan ikut serta dalam KLIMS tahun ini akan lebih cenderung ke arah syarikat kendearan elektrik. Setakat ini, beberapa kumpulan dan jenama sudah mengesahkan penyertaan mereka — Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, Kia, Mazda, GWM, MG, GAC, Stellantis, Jetour dan juga Tesla.

    Tidak ketinggalan ialah pempamer dari syarikat motosikal seperti Modenas (termasuk Kawasaki), Mforce, KTM dan Didi Group. Lebih banyak jenama akan diumumkan menghampiri tarikh pameran kelak, jelas MAA.

    KLIMS 2024 umum tema “Beyond Mobility” dan jenama yang akan ikut serta; tiket bermula dari RM10

    “KLIMS 2024 akan terus mempamerkan inovasi dan kemajuan teknologi terkini dalam industri automotif. Dengan pertumbuhan yang ketara dalam industri automotif Malaysia dan peralihan terhadap EV dan penyelesaian mapan, pasaran kelihatan sangat menjanjikan.

    “Kami sangat teruja untuk menghimpunkan semua pelopor industri, jenama global dan peminatnya di bawah satu bumbung di KLIMS 2024 yang akan mencerminkan masa depan mobiliti dan inovasi. Tahun ini kami berbangga untuk bekerjasama dengan MARii untuk mempertingkatkan lagi penganjuran KLIMS 2024,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.

    Acara berkenaan akan dibuka bermula 10 pagi hingga 8 malam pada hari bekerja dan dari 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad serta hari ulangtahun Sultan Selangor pada 11 Disember). Tiket akan dijual dengan harga RM20 bagi dewasa untuk hari bekerja dan RM25 pada hujung minggu. Sementara bagi remaja berusia 13-17 tahun serta siswa kolej dan universiti hingga 25 tahun hanya dikenakan RM10.

     
     
  • ChargeSini miliki lebih 750 pengecas EV setakat suku kedua 2024 – 300 lokasi baharu belum dipasang

    ChargeSini miliki lebih 750 pengecas EV setakat suku kedua 2024 – 300 lokasi baharu belum dipasang

    ChargeSini mengumumkan telah memasang lebih 750 pengecas kenderaan elektrik di Malaysia, dengan peningkatan ketara dalam penggunaan pada suku kedua 2024. Oleh itu, syarikat itu berkata ia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai charge point operator (CPO) terbesar dengan liputan terluas di negara ini.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, ChargeSini berkata pengecasnya diedarkan secara strategik di seluruh negara, dengan pembahagian tiga hala yang sama rata antara kondominium; pusat membeli-belah dan pasar raya, serta bangunan komersil (menara pejabat, restoran serta kemudahan awam dan swasta utama lain).

    Syarikat itu juga menekankan beberapa pencapaian yang dicapai pada Q2 2024, termasuk penubuhan 10 lokasi baharu dengan poin pengecasan, perkongsian dengan Charge+ untuk membentuk rangkaian pengecasan EV terbesar Malaysia-Singapura, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan KTC Arkz Group akan memasang 40 petak pengecas EV di Seri Iskandar Heights serta perasmian kemudahan pengecasan EV kediaman terbesar di Putrajaya di Tamara Residence.

    Pada Mei lalu, sebanyak 32 pengecas AC dan tiga pengecas DC telah dipasang di beberapa lokasi seperti The Food Merchant OUG dan Sunway Medical Centre Penang. Lain-lain penjanjian yang telah ditandatangani termasuk dengan Sunway Group dan Huawei Malaysia untuk memperluaskan stesen pengecas EV di kawasan hartanah seluruh Malaysia.

    Akhir sekali, pada bulan Jun, 14 stesen pengecas telah ditubuhkan dan perjanjian telah dimeterai dengan Pro-Net untuk menyepadukan pengecas DC ChargeSini ke dalam rangkaiannya bagi memberikan pengalaman pemilkan pintar pengecasan yang lebih lancar melalui aplikasi pintar Hello. MoU penyelidikan PhD dengan Universiti Multimedia (MMU) untuk perkongsian dikuasakan AI juga dibuat pada bulan yang sama.

    Untuk rancangan masa hadapan, ChargeSini memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi rangkaiannya dan mempunyai lebih 300 lokasi yang sedang menunggu untuk pemasangan. Menjelang akhir tahun, 26 stesen pengecas EV juga akan disediakan di seluruh Pulau Pinang.

     
     
  • Pulau Pinang bakal sediakan teksi air sebagai mod pengangkutan awam bagi kurangkan kesesakan trafik

    Pulau Pinang bakal sediakan teksi air sebagai mod pengangkutan awam bagi kurangkan kesesakan trafik

    Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan pihaknya telah menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi cadangan penyediaan perkhidmatan pengangkutan air atau teksi air (water taxi) di kawasan Pulau Pinang sebagai mod pengangkutan awam bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.

    “Beberapa siri perbincangan juga telah diadakan bersama pihak Kementerian dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memandangkan terdapat beberapa cadangan lokasi perkhidmatan teksi air tersebut berada dalam kawasan Had Pelabuhan Pulau Pinang yang dikawal selia oleh SPPP.

    “MOT menyambut baik akan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha untuk mengenal pasti mod pengangkutan alternatif bagi menyurai kesesakan lalu lintas kepada masyarakat tempatan. Walau bagaimanapun, MBPP perlu memastikan peraturan semasa dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang perkara berbangkit dari aspek keselamatan pelayaran, spesifikasi kapal atau feri yang digunakan sebagai teksi air dan sebagainya,” katanya menerusi jawapan bertulis untuk Dewan rakyat semalam.

    Ia bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji (PH-Jelutong) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan bercadang memperkenalkan teksi air di Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan semasa waktu puncak.

    Pada April 2022, kerajaan negeri telah memaklumkan pihaknya masih menantikan kelulusan dari MOT untuk melaksanakan perkhidmatan teksi air ini sebagai sebahagian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Di mana pemohonan telah pun diserahkan kepada MOT pada September 2021, selain sebagai salah satu mod pengangkutan awam, perkhidmatan teksi air ini juga dilihat mampu dijadikan salah satu daya tarikan bagi sektor pelancongan di negeri tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia anjur latihan kawal kebakaran EV bersama Bomba bagi tingkatkan tahap kesediaan

    Mercedes-Benz Malaysia anjur latihan kawal kebakaran EV bersama Bomba bagi tingkatkan tahap kesediaan

    Bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersedia untuk menghadapi kebakaran kenderaan elektrik penuh (EV), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini telah menganjurkan program ‘Electrification Drive: Fire and Rescue Team Orientation’.

    Program tersebut berlangsung di akademi latihan MBM di Puchong, Selangor dan disertai oleh 40 ahli Bomba. Kesemua yang menyertai program ini diberikan pelbagai informasi penting serta aspek teori, lengkap dengan latihan praktikal dalam menguruskan insiden yang tidak diingini seperti kebakaran EV secara selamat.

    Latihan tersebut termasuk mengenalpasti model-model EV, pengendalian bateri dan kenderaan bervoltan tinggi, penggunaan pengimbas bateri, penggunaan selimut kebakaran, protokol kecemasan dan penggunaan aplikasi Mercedes-Benz Rescue Assist App.

    Tidak seperti kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman biasa, kebakaran EV akan mewujudkan bahaya yang berlainan terutamanya pada bateri, dan ini memerlukan latihan dan juga kelengakapan khas bagi mengawal situasi.

    “Kami gembira dapat bekerjasama rapat dengan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selama ini untuk mewujudkan dan mengekalkan sistem sokongan yang penting, yang mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk EEV dan pemandu-pemandunya,” kata Amanda Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden MBM.

    “Inisiatif ini menekankan komitmen Mercedes-Benz Malaysia terhadap keselamatan awam dengan melengkapkan pasukan penyelamat dengan pengetahuan dan alatan yang diperlukan bagi menguruskan kecemasan EV. Ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan kedua-dua responden dan penumpang kenderaan tetapi juga meminimumkan masa tindak balas dan memaksimumkan kecekapan operasi,” tambahnya.

    “Dengan peningkatan dalam mobiliti elektrik, terdapat keperluan yang mendesak untuk memahami dan memanfaatkan potensi dan cabaran pemanduan EV. Ia adalah penting bagi responden kecemasan untuk dilatih mengenai prosedur keselamatan untuk mengendalikan kenderaan dan bateri voltan tinggi, dan menggunakan pengimbas bateri untuk menilai keadaan bateri,” kata pegawai kanan bomba I (PgKB I) I Mohd Tilmizi bin Mustapa pula.

    Sementara itu, naib presiden perkhidmatan pelanggan di MBM Edmin Naidoo pula berkata, “di Mercedes-Benz Malaysia, semua pakar teknikal kami di pusat servis bertauliah dilatih dengan rapi dan berkelayakan untuk mengendalikan komposisi kompleks EV. Tahap kepakaran ini membezakan kami, memastikan pelanggan kami menerima standard keselamatan dan perkhidmatan yang tertinggi. Memperluaskan kepakaran ini kepada Bomba, sejajar dengan komitmen kami untuk menegakkan standard keselamatan dan perkhidmatan tertinggi.”

     
     
  • VIDEO: Tular korek sendiri buat bunga tayar lori

    VIDEO: Tular korek sendiri buat bunga tayar lori

    Isu keselamatan berkenaan kenderaan berat sentiasa perlu diambil penting kerana apabila berlaku kegagalan kenderaan seperti ini atas jalan raya, ia bukan sahaja boleh mencederakan pemandunya sendiri, tapi juga pengguna jalan raya lain. Dan disebabkan saiznya yang besar, skala kerosakan pada pelbagai aspek juga adalah lebih besar.

    Terbaru, tular dalam X, dimuat naik oleh pemilik akaun @mhmmdhsm menunjukkan video seorang lelaki mengukir sendiri bunga tayar menggunakan satu alat tajam, pada sebiji tayar yang masih lagi melekat pada lori. Video itu juga menampakkan ayat “mai semua boleh buat roger ja sampai.”

    Sementara kita mungkin sudah pernah melihat tayar jenis “rethread” yang menggunakan kembali tayar botak, dan ditampal dengan satu lapisan berbunga baru, cara yang ditunjukkan dalam video ini pula berbeza dan dilihat lebih bahaya kerana tayar yang sudah nipis dikorek lagi untuk menghasilkan “longkang” seakan bunga tayar.

    Logiknya, perbuatan seperti ini menambahkan risiko tayar mudah pecah kerana ketebalan tayar tersebut, antara bahagian luar dan bahagian dalamnya sudah semakin nipis, tetapi masih perlu menahan beban berat muatan yang dibawa.

    Menjimatkan kos daripada menukar tayar baru mungkin adalah sebab cara ini digunakan, namun kita perlu tahu bahawa isu keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan. Apa agaknya langkah yang boleh dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan perkara ini?

     
     
  • Continental MaxContact MC7 tayar prestasi khas Asia Pasifik; lebih senyap, cengkaman basah lebih baik

    Continental MaxContact MC7 tayar prestasi khas Asia Pasifik; lebih senyap, cengkaman basah lebih baik

    Tayar Continental MaxContact MC7 sudahpun dilancarkan ke pasaran Malaysia pada April lalu. Penawaran tayar prestasi tinggi ini telah melengkapkan siri Generasi 7 dalam barisan produk jenama tayar dari Jerman tersebut, yang terdiri dari SportContact 7, Ultra Contact UC7 serta ComfortContact CC7.

    Dalam hierarki produk tayar Continental, MaxContact MC7 ini merupakan tayar prestasi tinggi yang diletakkan satu anak tangga di bawah tayar prestasi tinggi ultra (UHP) SportContact 7. Satu lagi fakta yang perlu anda tahu, MaxContact MC7 ini adalah tayar yang dihasilkan khas untuk pasaran Asia Pasifik.

    Walau bagaimanapun ini bukan bermakna MaxContact 7 ini merupakan produk ‘kelas kedua’, dan ia masih lagi dalam kategori premium. Continental mensasarkan kegunaan MaxContact 7 ini untuk model-model bermula sedan segmen-C seperti Honda Civic, kepada model sport seperti Mercedes-AMG A45S sehingga model mewah seperti Mercedes-Benz S-Class.

    Sebab itulah saiz rim paling kecil yang boleh dimuatkan dengan MaxContact MC7 ini adalah 16-inci, dan paling besar adalah 21-inci. Malah sebelum ini Continental turut telah memadankan tayar MaxContact MC7 ini pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1 yang dibekalkan dengan kuasa 750 hp dan tork maksima 900 Nm, dan ia boleh memberikan prestasi maksima tanpa masalah.

    Continental MaxContact MC7 tayar prestasi khas Asia Pasifik; lebih senyap, cengkaman basah lebih baik

    Dan bagi membuktikan prestasi sebenar tayar terbaharu ini, Continental Malaysia telah mengadakan sesi pandu uji di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini, yang bukan sahaja dibuka untuk pengedar dan pelanggannya, malah turut menjemput sekumpulan media.

    Empat ujian yang disediakan pada sesi kali ini iaitu ujian brek pada laluan basah, ujian pengendalian di selekoh basah, ujian pengedalian laluan kering dan juga ujian cengkaman atas litar slalom. Dan untuk semua ujian ini, Continental telah menggunakan sepenuhnya model-model dari Mercedes-Benz serta model-model prestasi sebenar Mercedes-AMG.

    Untuk ujian brek pada permukaan basah, penulis telah memilih untuk menguji menggunakan sedan sport Mercedes-AMG C43. Dalam ujian ini, penulis dapat memberhentikan kereta yang mencapai kelajuan hampir 100 km/j tersebut dalam jarak 33 meter pada permukaan jalan basah. Manakala dalam ujian menggunakan kereta sama terapi menggunakan tayar dari jenama pesaing, penulis hanya dapat menghentikan kereta berkenaan dalam jarak 37 meter, atau 5 meter lebih jauh.

    Manakala dalam ujian pengendalian permukaan basah pula, ujian dibuat menggunakan SUV prestasi Mercedes-AMG GLA35 di selekoh kedua Litar Antarabangsa Sepang, di mana selekoh tersebut sememangnya mencabar bukan sahaja kerana sudutnya yang tajam, malah ia turut dalam keadaan menurun bukit.

    Pada selekoh tajam yang dibasahi oleh air tersebut, GLA35 yang dilengkapi tayar MaxContact MC7 ini masih boleh melekat seperti rel dalam kelajuan 60 km/j. Manakala untuk model sama yang dilengkapi tayar pesaing, ia sudah mula terasa sedikit understeer pada selekoh yang sama pada kelajuan sama.

    Ada beberapa perincian baharu pada tayar MC7 ini bagi membolehkannya mencapai prestasi yang begitu baik dalam keadaan basah. Jika anda lihat pada bunga tayar, terdapat alur-alur halus dengan bentuk yang unik di mana ia dapat dihasilkan dengan proses pemotongan laser 3D.

    Alur-alur berbentuk kilat, bintang dan juga alur sisi yang dikenali sebagai Aquasipes itu mampu untuk ‘memotong’ air dalam pelbagai sudut berbeza seterusnya memberikan pengendalian dan prestasi membrek yang baik diatas permukaan basah, dakwa Continental.

    Bukan itu sahaja, ia juga dibantu dengan penggunaan material yang dikenali sebagai Reflex Compound sebagai binaan asas tayar ini. Dalam keadaan kering, teknologi polimer termaju dalam ReFlex Compound ini akan mengurangkan kehilangan tenaga ketika ia dipandu, tetapi teknologi pengubah haba pada kompaun tersebut akan diaktifkan ketika membrek seterusnya memberikan jarak pemberhentian yang lebih pendek.

    Manakala teknologi silika pula akan menambahbaik interaksi bahan pengisi, bagi memberikan cantuman polimer lebih kuat yang menghasilkan cengkaman lebih tinggi dalam permukaan basah.

    Seterusnya dalam ujian pengendalian kering yang buat bermula dari T3 hingga T6 di Litar Sepang ini bukan hanya memberikan penulis yang memandu Mercedes-Benz E350e merasa cengkaman dalam laluan kering pada selekoh laju, tetapi turut mendedahkan bahawa tayar ini masih lagi senyap pada kelajuan tinggi walaupun ia dihasilkan sebagai tayar prestasi tinggi.

    Ini adalah kerana MaxContact MC7 ini diberikan Noise Breaker 3.0 iaitu rekaan unik pada alur utama bunga tayar yang mampu ‘memecahkan’ frekuensi bunyi dari tinggi kepada rendah bagi mengelakkan bunyi dari tayar masuk ke kabin.

    Akhir sekali adalah ujian cengkaman atas litar slalom – untuk ujian ini penganjur menyediakan hadiah untuk sesiapa yang mencatatkan masa di atas litar Gymkhana ringkas yang disediakan bagi menggalakkan semua orang ‘membelasah’ tayar tersebut seterusnya membuktikan bahawa ia memberikan prestasi lebih baik.

    Dua buah Mercedes-AMG disediakan dalam ujian ini iaitu CLA45S dan juga A35 sedan. Dalam ujian yang dilakukan fokus untuk pemanduan laju pada litar sempit ini agak sukar untuk menyatakan karekter tayar MaxContact MC7 ini berbanding pesaingnya. Namun dapat dilihat dengan jelas, hampir kesemua orang mencatatkan masa yang lebih pantas dengan tayar Continental ini berbanding kereta yang menggunakan jenama pesaing.

    Menurut Continental antara perincian yang membolehkan tayar MC7 ini memberikan kelajuan yang lebih tinggi ketika meredah selekoh adalah kerana rekaan blok makro yang diberikan. Blok berkenaan dihasilkan pada bunga sebelah dalam tayar bersama bar penstabil pada bunga sebelah luar.

    Rekaan ini dapat mengekalkan bentuk bunga walaupun tayar tersebut sedang dibelasah ketika mengambil selekoh, seterusnya memberikan pengendalian dan cengkaman membelok lebih baik, serta respon dan ketepatan Kawalan stereng yang lebih dinamik, dakwa Continental.

    Sebagai kesimpulannya, Continental MaxContact MC7 ini adalah antara tayar yang memberikan prestasi terbaik tak kira kering atau basah dalam kelasnya, dalam masa yang sama masih lagi menghasilkan bunyi yang rendah untuk keselesaan ketika memandu. Jadi sekiranya anda sedang mencari tayar dengan karekter sebegini, mungkin MC7 adalah tayar yang perlu anda cuba selepas ini?

     
     
  • Honda ADV160 diperkenal dalam warna baru – RM13k

    Honda ADV160 diperkenal dalam warna baru – RM13k

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd sekali lagi memperkenalkan warna baru untuk ADV160, dan ini menjadikan kali kedua skuter tersebut diberikan penampilan baru, selepas ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia buat pertama kali Januari tahun lalu.

    Harga terkini yang dikeluarkan oleh BSH untuk ADV160 adalah RM13,249, tidak termasuk insurans, sekaligus menunjukkan sedikit peningkatan berbanding harga RM12,999 yang ditetapkan pada November tahun lalu. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Warna baru bagi ADV160 ini terdiri daripada dua pilihan iaitu kelabu dan putih, dengan rim untuk kedua-duanya masih menggunakan warna hitam. Menambah serinya adalah pelekat grafik dengan jalur hijau terang pada yang berwarna kelabu dan merah pada yang berwarna putih.

    Perincian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Selain dilengkapi brek ABS single-channel, model pasaran Malaysia juga tiba dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar, sistem start/stop enjin serta tangki bahan api 8.1 liter.

     
     
  • Kereta pengiring Nissan GT-R bukan beli guna duit kerajaan, jangan fitnah – Tengku Temenggong Johor

    Kereta pengiring Nissan GT-R bukan beli guna duit kerajaan, jangan fitnah – Tengku Temenggong Johor

    Baru sahaja sebentar tadi tular satu video sebuah Ford GT milik keluarga DiRaja Johor yang dilihat di Kuala Lumpur tular di laman sosial. Walau bagaimanapun, apa yang menjadi tumpuan adalah sebuah kenderaan pengiring Nissan GT-R R35 yang mengenakan grafik polis dan juga lambang DiRaja Kesultanan Johor, di mana ada warganet yang mendakwa kereta tersebut dibeli menggunakan duit kerajaan.

    Bagi menjawab perkara ini, Tunku Temenggong Johor (TTJ), Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim memberitahu perkara sebenar menerusi IG Stories akaun rasmi laman Instagram miliknya.

    Menurut TTJ, kereta pengiring Nissan GT-R tersebut adalah hadiah darinya sempena ulang tahun keputeraan Ayahandanya yang juga merupakan Yang DiPertuan Agong buat masa sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sembilan tahun lalu.

    “Bertenang anak-anak. Saya belikan kereta tersebut untuk Tuanku”, kata TTJ dalam IG Stories tersebut dan turut berkongsi gambar ketika kereta tersebut disiapkan dan mengingatkan semua orang agar jangan membuat sebarang fitnah.

    Ini bukan kali pertama Nissan GT-R berkenaan tular di internet. Pada 2015, kereta dengan nombor pendaftaran “JZ 42” tersebut turut telah tular di laman Facebook.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025