Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GIIAS 2024: Honda StepWGN 2.0 e:HEV dipamerkan – bakal cabar Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy?

    GIIAS 2024: Honda StepWGN 2.0 e:HEV dipamerkan – bakal cabar Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy?

    Honda Prospect Motor (HPM) telah membawa MPV Honda StepWGN generasi ke-6 untuk dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 yang kini sedang berlangsung. Kami difahamkan ini bukan pratonton dan petunjuk bahawa model ini akan dilancarkan di pasaran tersebut, namun ia lebih kepada untuk mengkaji keperluan pengguna dalam pelbagai segmen di Indonesia.

    Walau bagaimanapun menurut presiden pengarah HPM Shugo Watanabe, ini bukan bermakna tidak ada kemungkinan MPV ini akan dilancarkan di negara tersebut. Ini kerana Odyssey sudah tidak lagi dijual di Indonesia, dan StepWGN mempunyai potensi untuk berhadapan terus dengan Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy.

    Unit yang dipamerkan ini menerupakan StepWGN dalam varian Spada e:HEV, iaitu model dengan unit rangkaian kuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Honda Civic dan CR-V e:HEV yang sudahpun ada dalam pasaran Malaysia.

    GIIAS 2024: Honda StepWGN 2.0 e:HEV dipamerkan – bakal cabar Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy?

    Sistem berkenaan menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm yang secara primari berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid. Manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 185 PS dan tork 315 Nm. Namun dalam situasi tertentu contohnya dalam kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.

    StegWGN generasi keenam ini tampil dengan rupa lebih ringkas berbanding model generasi kelima. Namun ia kini tidak lagi menampilkan rekaan pintu tailgate belakang “Wake-waku Gate” yang begitu praktikal pada model generasi sebelumnya, dan ia hanya diberikan pintu tailgate biasa.

    Namun ia masih lagi menawarkan kabin dan susunan tempat duduk yang praktikal, contohnya tempat duduk baris kedua yang boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan dan juga ke hadapan dan ke belakang, manakala tempat duduk baris ketiga boleh dilipat masuk ke lantai bagi memberikan ruang but lebih luas dengan lantai rata.

     
     
  • EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

    EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

    Hujung minggu ini, pada 20-21 Julai 2024 (9 pagi-7 malam setiap hari) akan berlangsung Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Di taja bersama oleh Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp, EVx 2024 bakal menghimpunkan pelbagai aspek berkaitan teknologi kenderaan elektrik daripada pelbagai jenama di bawah satu bumbung.

    Satu daripadanya termasuklah smart yang akan diwakili oleh Hap Seng. Kedua-dua model #1 dan #3 akan dipamerkan untuk membolehkan anda mendekati model berkenaan. #3 baru sahaja dilancarkan pada 10 Julai lalu.

    Untuk pasaran tempatan, SUV coupe elektrik ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling lengkap, Brabus pula dengan harga RM255,000. Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan dilengkapi motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala versi Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, dengan janaan kuasa penuh 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

    Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi varian Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

    EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

    Varian Pro menggunakan bateri Lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak hingga 325 km dengan satu pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar 66 kWh — Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km dengan satu pengecasan.

    Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10%-80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC, Pro mampu menampung 130 kW sementara Premium dan Brabus pula dengan 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10%-80% di bawah 30 minit.

    Pembelian #3 di EVx 2024 akan membolehkan anda menerima pakej pelancaran eksklusif serta beberapa barang percuma seperti pengecas rumah smartCharge bernilai RM3,200 dengan jaminan dua-tahun, pakej aksesori enam barangan bernilai RM2,500, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM800 dengan jaminan dua-tahun serta pelan data internet lima-tahun/60 GB.

    Model ini juga diberikan jaminan empat-tahun/tanpa had perbatuan, jaminan dua-tahun/tanpa had perbatuan untuk alat ganti, jaminan lapan-tahun/200,000 km untuk bateri, jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk komponen voltan tinggi serta bantuan tepi jalan 24/7.

    smart #1 juga tidak ketinggalan diberikan promosi khas, dengan varian Brabus-nya diberikan potongan sehingga RM30,000. Membuat tempahan kereta baru ketika acara ini juga akan membolehkan anda untuk menerima baucar bernilai RM1,500 secara percuma — RM500 bagi setial jenama dari V-Kool, Dodomat dan DK Schweizer; namun ini hanya terhad bagi 100 tempahan EV terawal sahaja.

    EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

    Untuk kenderaan baru, terdapat banyak lagi jenama kenderaan EV yang akan ikut serta dalam EVx 2024, seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2024 di Indonesia – enam varian, enjin diesel 2.4L VGT 184 PS/430 Nm, dari RM87k

    Mitsubishi Triton 2024 di Indonesia – enam varian, enjin diesel 2.4L VGT 184 PS/430 Nm, dari RM87k

    Selepas satu tahun Mitsubishi Triton generasi ketiga diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia di Thailand, ia kini memasuki pula pasaran Indonesia dengan kesemuanya ada enam varian termasuk pilihan badan double-cab dan single-cab.

    Untuk makluman, Triton terbaru ini juga akan dijual di Jepun, sekaligus menandakan kemunculan kembali model trak pikap tersebut di sana selepas 12 tahun. Berikut adalah pecahan varian dan harga Triton 2024 di Indonesia:

    • Double Cab Ultimate 4×4 AT – IDR525,600,000 (RM151,838)
    • Double Cab Exceed 4×4 MT – IDR491,850,000 (RM142,088)
    • Double Cab GLS 4×4 MT – IDR447,900,000 (RM129,388)
    • Double Cab HDX 4×4 MT – IDR426,650,000 (RM123,250)
    • Single Cab HDX 4×4 MT – IDR377,150,000 (RM108,946)
    • Single Cab GLX 4×2 MT – IDR301,350,000 (RM87,050)

    Di sebalik kulit badan Triton ini terdapat rekaan casis ladder frame yang kini mempunyai 65% lebih banyak kawasan cross-sectional berbanding model lama, serta mencapai tahap bending rigidity 40% dan torsional rigidity 60%. Badannya juga lebih ringan dengan penggunaan bahan logam high-tensile 1180 Mpa. Suspensi masih lagi menggunakan double wishbone di hadapan dan spring dedaun di belakang, dengan jarak gerak 20 mm lebih panjang bagi versi 4WD dan 2WD High-Rider.

    Menggerakkan Triton generasi ketiga ini adalah enjin diesel empat silinder 2.4 liter 4N16 DOHC, common rail, VGT, dan Indonesia mendapat versi pertengahan dengan jumlah kuasa 184 PS pada 3,500 rpm dan tork 430 Nm antara 1,500 rpm ke 3,000 rpm. Di negara lain, versi paling tinggi mampu menghasilkan 204 PS (150 kW) dan tork maksimum 470 Nm dari 1,500 rpm.

    Pembeli boleh memilih transmisi manual atau automatik pada Triton di Indonesia, dan kedua-duanya merupakan unit enam kelajuan. Melalui sistem Super Select-II yang ada pada trak pikap ini, tujuh mod pemanduan dapat disediakan.

    Untuk bahagian dalam, Triton pasaran Indonesia mendapat pemain audio dengan skrin lapan inci, kawalan pendingin hawa dua zon, pengecas telefon tanpa wayar, panel instrumen dengan paparan LCD tujuh inci, balutan kulit dan pelbagai lagi.

    Semasa diperkenalkan di peringkat global, trak ini boleh datang dengan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu, seperti Forward Collision Mitigation (Autonomous Emergency Braking), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta Adaptive Cruise Control – penambahan baru berbanding model sebelumnya. Turut disediakan adalah Active Stabilty Control, Traction Control, Hill Descent Control dan Hill Start Assist.

    Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pernah memberitahu mereka sedang cuba untuk memperkenalkan Triton baru pada tahun ini, tetapi kita masih belum mendapat maklumat berkenaan tarikh sebenar ketibaannya.

    GALERI: Mitsubishi Triton 2024 di Thailand

     
     
  • GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    Selain dari Prius, Toyota turut melancarkan satu lagi model ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 – ini dia, versi facelift untuk hot-hatch homologasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), Toyota GR Yaris 2024!

    Model ini telah membuat kemunculan sulung globalnya di Tokyo Auto Salon 2024 awal tahun ini, dan nampaknya Indonesia menjadi negara terawal di ASEAN yang menerimanya. Seperti yang diketahui sebelum ini, GR Yaris sudahpun ditawarkan dalam versi kotak gear manual, dan ia dijual pada harga 1,198,000,000 rupiah (RM345,900) di Indonesia. Versi manual juga masih ditawarkan, dijual pada harga lebih murah iaitu 1,150,000,000 rupiah (RM332,000).

    GR Yaris facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelumnya. Ketika diperkenalkan di Jepun Januari lalu, kuasa untuk enjin berkenaan diumumkan meningkat dari 272 PS/370 Nm kepada 304 PS/400 Nm. Namun untuk versi yang dieksport ini ia disahkan menghasilkan kuasa 280 PS and 390 Nm.

    Jadi ia sebenarnya mendapat tambahan kuasa sebanyak 19 PS/30 Nm kerana GR Yaris untuk pasaran luar Jepun sebelum ini menjana 261 PS/360 Nm. Ini cukup untuk membolehkan GR Yaris 2024 membuat pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, atau 0.3 saat lebih laju dari sebelum ini.

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    Bagi model manual, ia masih menerima kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala bagi pilihan versi transmisi automatik yang baru ditawarkan menerusi model facelift ini, ia dibekalkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang diberi nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

    Kotak gear ini akan “belajar” bagaimana rentak pemandu memijak pedal brek dan pedal pendikit bagi membolehkan ia membuat anggaran lebih tepat bila gear perlu ditukar walaupun sebelum perubahan dalam tingkah laku kenderaan berlaku. Dengan itu gear akan ditukar secara automatik dalam tempoh masa hampir sama ketika pemandu berniat menukar gear tersebut, seterusnya akan memberikan tukaran gear yang hampir sama bagaimana pemandu profesional menukar gear, dakwa TGR.

    Kotak gear AT ini didatangkan dengan penyejuk minyak ATF secara standard. Ia juga menggunakan material geseran yang sangat tahan panas pada klac penukar gear, bersama penambahbaikkan dibuat pada perisian kawalan transmisi bagi memberikan ‘tukaran gear berkelas-dunia’. Dengan jumlah gear yang lebih banyak berbanding versi manual, kotak gear automatik 8AT ini juga dapat memastikan enjin sentiasa berada pada lengkuk kuasa.

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    GR Yaris facelift ini juga menerima satu lagi perincian pemanduan baharu yang digelar Drive Mode Select. Menerusi fungsi ini, sistem stereng kuasa elektrik (EPS), penghawa dingin dan unit rangkaian kuasa (enjin dan kotak gear) akan menerima talaan spesifik Sport, Normal atau Eco yang boleh dipilih oleh pemandu. Manakala fungsi pemilih mod 4WD pula adalah sama seperti sebelum ini.

    Casis asal GR Yaris yang sememangnya sangat tegar diberikan lebih penambahbaikkan pada model facelift ini. Jumlah bolt yang mengikat badan kereta kepada penyerap hentak telah ditambah dari hanya satu kepada tiga bagi mengelakkan jajaran roda berubah ketika pemanduan, seterusnya meningkatkan input stereng serta memberikan kestabilan kawalan lebih baik.

    TGR turut menambah bilangan titik kimpalan (spot weld) sekitar 13% lebih banyak dan menambah jumlah kawasan di mana perekat sturktur digunakan sekitar 24% lebih banyak bagi memberikan ketegaran badan lebih tinggi, seterusnya memberikan pengendalian dan keselesaan ketika memandu.

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    Satu lagi ciri baharu pada GR Yaris facelift ini adalah Circuit Mode. Menerusi mod ini, ia akan memberikan talaan paling optima bagi pemanduan di litar dengan memberikan fungsi termasuk kawalan anti-lag, pengehad kelajuan dikurangkan sebaik sahaja kereta memasuki litar (dikesan melalui GPS), kipas enjin yang berpusing pada kelajuan penuh dan juga penunjuk penukar gear diberikan pada paparan instrumen. Setiap fungsi ini turut boleh diubah menerusi aplikasi telefon pintar.

    Pada bahagian luaran, perubahan rekaan yang dibuat bukan hanya bersifat kosmetik kerana ia berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Pada bahagian hadapan, gril pada bahagian bawah menampilkan mesh logam yang sangat nipis bagi mengurangkan beratnya, namun ia masih sangat kuat serta menyerlahkan tulisan “GR Four” pada elemen sarang lebah tersebut.

    Manakala kemasan pada bahagian bawah kedua-dua sisi bampar hadapan direka agar ia boleh diasingkan dari bahagian utama, bagi memudahkan sebarang pembaikan atau restorasi dibuat dengan lebih mudah. Liang aliran udara juga direka lebih besar untuk penyejukkan yang lebih baik.

    Terdapat juga liang udara pada bahagian sisi bagi mengeluarkan haba dari unit sub-radiator dan penyejuk minyak ATF. Liang udara pada bahagian bawah bampar belakang direka bagi membebaskan aliran udara bawah lantai, membolehkan daya seretan dikurangkan dan haba dari peredam bunyi juga dialir keluar.

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    Kluster lampu belakang baharu pada GR Yaris ini juga direka bukan hanya untuk rupa semata-mata. Menurut TGR, bahagian atas dan bawah lampu tersebut menampilkan rekaan yang boleh mengurangkan risiko kerosakan serta memberikan penglihatan lebih baik. Lampu brek ketiga juga tidak lagi diletak pada spoiler belakang, sebaliknya diasingkan bagi membolehkan spoiler tersebut direka lebih baik. Logo Toyota juga tidak lagi dilekat pada pintu hatch GR Yaris facelift ini.

    Model pasaran Indonesia ini didatangkan standard dengan Performance Pack (sama seperti model yang dijual di Malaysia sebelum ini), jadi ia menerima perincian seperti LSD jenis torsen pada gandar hadapan dan belakang, serta set rim aloi BBS 18-inci.

    Dalam kabin, perubahan lebih drastik diberikan terutamanya pada bahagian papan pemuka. Papan pemuka GR Yaris facelift ini mungkin nampak pelik, namun ia sebenarnya lebih mengutamakan pemandu dan direka diinspirasikan dari jentera lumba GR Yaris yang digunakan dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance dan dan juga Kejohanan Rali Jepun.

    Bahagian konsol tengah papan pemukan berkenaan telah dipalingkan 15 darjah menghadap pemandu, bagi memudahkan segala paparan dilihat dan juga suis pada bahagian tersebut mudah dicapai oleh pemandu. Bagi model manual, tombol gear telah dinaikkan 75 mm lebih tinggi berbanding tombol gear pada model CVT sebelumnya.

    GIIAS 2024: Toyota GR Yaris facelift 2024 di Indonesia – ada manual dan AT, 280 PS/390 Nm, bermula RM332k

    Berbeza dari versi pre-facelift yang hanya menampilkan paparan meter analog, model kemaskini ini menerima paparan instrument digital penuh dengan skrin 12.3-inci. Skrin berkenaan memberikan lebih banyak maklumat seperti suhu ATF bagi model automatik, penunjuk posisi gear dengan amaran tukaran gear, rekaan susunan meter berbeza mengikut mod pemanduan dan pelbagai lagi.

    Rekaan tempat duduk hadapan GR Yaris baharu ini mungkin nampak sama seperti sebelum ini. Namun sebenarnya Toyota telah merendahkan posisi duduk sebanyak 25 mm, selari dengan kedudukan roda stereng yang juga kini lebih rendah.
    Sudut pandangan pada cermin depan juga kini lebih baik kerana kedudukan cermin pandang hadapan di tengah telah dialih lebih ke atas serta konsol tengah telah direndahkan lagi 50 mm.

    Selepas dilancarkan di Indonesia, boleh dijangkakan Toyota GR Yaris facelift 2024 ini bakal dilancarkan di negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan juga Malaysia. Dengan adanya pilihan kotak gear automatik, mungkin saingan untuk mendapatkan hot-hatch yang dihasilkan terhad ini akan lebih sukar dari sebelum ini?

    Toyota GR Yaris facelift 2024 manual di GIIAS 2024

    Toyota GR Yaris facelift 2024 automatik di GIIAS 2024

     
     
  • Wuling Cloud EV di GIAAS 2024 – pesaing MG4 EV, DYD Dolphin; 136 PS, jarak 460 km; dari RM115k

    Wuling Cloud EV di GIAAS 2024 – pesaing MG4 EV, DYD Dolphin; 136 PS, jarak 460 km; dari RM115k

    Satu lagi model kereta elektrik (EV) yang dipersembahkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini ialah Wuling Cloud EV, susulan pelancarannya pada Mei. Ditawarkan dengan satu varian berharga 398.8 juta rupiah (about RM115k), Cloud EV mampu memberikan saingan buat BYD Dolphin dan MG4 EV.

    Berukuran 4,295 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,652 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm, saiz Cloud EV lebih kurang dengan pesaingnya, tetapi memiliki rekaan yang lebih unik termauk menampilkan lampu nyalaan siang lebar sepenuhnya seperti Air EV.

    Tiada gril tradisional pada Cloud EV, dengan hanya corong kecil pada apron bawah, di atasnya lampu utama LED. Lain-lain ciri termasuk pemegang pintu ‘pop-out’, roda aloi 18-inci, dan lampu belakang
    ‘Horizon Skyline’.

    Di dalamnya, diberikan bentangan papan pemuka yang ringkas dengan kluster instrumen digital 8.8-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 15.6-inci yang disepadukan dengan kawalan pendingin hawa. Kemasan tempat duduk adalah kulit sintetik, dengan material sentuhan lembut di beberapa bahagian dan juga panel rona rose gold.

    Ciri kelengkapan lain termasuklah corong udara di barisan kedua, penapis PM2.5, kamera 360-darjah, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, port USB 20W, pad pengecasan tanpa wayar, sistem bunyi enam-pembesar suara, tailgate pintar, tempat duduk hadapan larasan kuasa, pencahayaan ambien (sehingga 256 pilihan warna), sistem pemantauan tekanan tayar, ABSm EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki dan empat beg udara.

    Kelengkapan ADAS turut diberikaan merangkuimi kawalan kelajuan adaptif dengan bantuan selekoh, brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi pintar.

    Untuk penjana kuasanya, Cloud EV dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 50.6-kWh yang memberikan jarak gerak hingga 460 km mengikut standard CLTC. Dengan pengecas AC, status pengecasan 20-100% boleh dicapai sekitar tujuh jam, sementara dengan pengecas pantas DC, status bateri antara 30-100% disempurnakan dalam 30 minit.

    Kuasa bateri memacu motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 200 Nm. Angka ini bersaing dengan model pesaing Cloud EV, tetapi Dolphin dengan varian Premium Extended Range lebih padu dan mempunyai jarak gerak yang lebih panjang. Walau bagaimana pun, Cloud EV lebih murah berbanding pesaingnya, iaitu di bawah 400 juta rupiah (RM116k).

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo: Peruntukan RM32.8 juta setahun untuk selenggara rutin berperingkat – KKR

    Lebuhraya Pan Borneo: Peruntukan RM32.8 juta setahun untuk selenggara rutin berperingkat – KKR

    Kerajaan memperuntukan sejumlah RM32.8 juta setahun bagi pelaksanaan penyelenggaraan rutin Lebuh Raya Pan Borneo secara berperingkat, mengikut serahan selepas kontrak projek itu siap sepenuhnya, kata Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata, jumlah kelulusan dana itu mengambil kira kebolehlaksanaan tahun semasa, bagi memastikan jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

    Di mana pihak kementeriannya juga akan melantik syarikat konsesi melalui perjanjian penswastaan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan terdiri daripada kerja rutin, kerja berkala turapan, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa, laporan Bernama.

    “Di bawah skop kerja penyelenggaraan rutin, pihak konsesi yang dilantik perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu. Ini untuk memastikan jika terdapat sebarang kerosakan jalan seperti jalan berlubang, kerja tampalan lubang hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selaras dasar sifar lubang di Jalan Persekutuan seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Lebuhraya Pan Borneo: Peruntukan RM32.8 juta setahun untuk selenggara rutin berperingkat – KKR

    Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai perancangan jangka masa panjang kementerian melibatkan urusan pengendalian lebuh raya, jenis penyelenggaraan jalan dan jumlah peruntukan untuk menyelenggara Lebuhraya Pan Borneo setelah siap projek berkenaan.

    Jelas beliau, penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh ditetapkan.

    Menjawab soalan tambahan Ali mengenai sama ada kementerian bercadang mengkaji isu penggunaan ‘P-turn’ di Pan Borneo terutama di kawasan Saratok memandangkan banyak kemalangan berlaku, Nanta berkata, kajian sedemikian dilaksanakan sebelum ini.

    “Untuk makluman, pemilihan dan jarak setiap ‘P-turn’ yang dibina di Lebuhraya Pan Borneo berdasarkan kajian trafik yang dilaksanakan sebelum ini serta mengikut spesifikasi had laju selamat berhampiran dengan kawasan berpenduduk tinggi,” katanya.

     
     
  • Zeekr X 2024 dilancar di Thailand – negara pertama terima versi pemanduan kanan, harga dari RM156k

    Zeekr X 2024 dilancar di Thailand – negara pertama terima versi pemanduan kanan, harga dari RM156k

    Selepas membuat pengenalan jenama pada bulan Mac lalu, Zeekr kini melancarkan model X di Thailand. Kenderaan elektrik (EV) itu dibawa masuk sebagai model import penuh (CBU) dan ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard RWD pada harga jangkaan 1.199 juta baht (RM156k) serta Flagship AWD pada 1.349 juta baht (RM175k).

    Ini menunjukkan Zeekr X adalah lebih murah berbanding Volvo EX30, yang dijual pada harga 1.59 juta baht (RM206k). Kedua-dua EV ini dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Version SEA2, tetapi X mempunyai saiz yang sedikit lebih besar. Perlu dinyatakan di sini juga, Thailand menjadi pasaran antarabangsa pertama yang menerima X pemanduan sebelah kanan.

    Tempahan awal untuk X sebenarnya sudah dibuka sejak Mac lalu di Bangkok International Motor Show (BIMS), dan sekarang sudah ada empat kedai sementara yang dipanggil sebagai Zeekr House di Bangkok. Menjelang hujung tahun ini, 14 pusat pengedar Zeekr akan dibuka.

    Berkenaan spesifikasi, varian asas mendapat motor elektrik belakang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm. Ia mendapat tenaga daripada bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti 66 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 440 km mengikut standard WLTP (540 km NEDC).

    Zeekr X 2024 dilancar di Thailand – negara pertama terima versi pemanduan kanan, harga dari RM156k

    Untuk varian Flagship AWD, bateri yang sama digunakan, tetapi motor ditambah untuk menjadi dua unit, dengan kuasa 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm. Jarak gerak bagaimanapun berkurang menjadi 400 km (WLTP; 470 km NEDC). Kedua-dua varian boleh menerima pengecasan AC sehingga 22 kW dan DC sehingga 150 kW. Dengan sumber DC, bateri boleh naik 10-80% dalam masa 28 minit.

    Menurut Headlightmag, laju kedua-dua Standard RWD dan Flagship AWD adalah sama, iaitu 190 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j Standard RWD adalah lebih perlahan, dengan catatan masa 5.6 saat, berbanding 3.8 saat yang mampu dilakukan oleh Flagship AWD.

    Antara kelengkapan yang didatangkan standard pada kedua-dua varian adalah termasuk panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh untuk infotainmen 14.6 inci, pad pengecas tanpa wayar, pengawal suhu dua zon, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, lampu utama LED, DRL LED, pintu but bukaan kuasa, bumbung panoramik, head-up display AR, tempat duduk pemandu larasan kuasa serta status pengecasan yang dipaparkan pada B-pillar.

    Varian Flagship kemudiannya ditambah dengan rim 20 inci (Standard menggunakan unit 18 inci), sistem bunyi Yamaha 13 pembesar suara serta tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi mengurut dan liang udara.

    Zeekr X 2024 dilancar di Thailand – negara pertama terima versi pemanduan kanan, harga dari RM156k

    Sistem bantuan pemandu untuk kedua-dua varian adalah sama, dengan termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Lane Change, Lane Centring Assist, Autonomous Emergency Braking, Front and Rear Collision Mitigation, Door Open Warning, Front and Rear Cross Traffic Alert, Parking Emergency Braking, Blind Spot Monitor, Evasive Manoeuvre Assist dan Automated Parking Assist.

    Zeekr X di Thailand ditawarkan dalam warna luaran Crystal White, Palace Beige, Pine Green, Grid Grey atau Mist Grey, dengan empat pilihan pertama ditawarkan bersama bahagian dalam Charcoal Black/Stone Grey, manakala Mist Grey dipadankan dengan bahagian dalam Midnight Blue/Polar White.

    Sebagai promosi, 500 pelanggan pertama Zeekr X yang membuat tempahan dan menerima kenderaan mereka menjelang 31 Ogos ini akan diberi pengecas wallbox secara percuma. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun/150,000 km untuk kenderaan dan lapan tahun/180,000 km untuk bateri dan motor, manakala bantuan tepi jalan diberikan percuma.

    Zeekr X di BIMS 2024

     
     
  • Subaru Crosstrek 2024 di GIIAS – XV generasi ketiga dengan varian 2.0i-S EyeSight, harga RM159k

    Subaru Crosstrek 2024 di GIIAS – XV generasi ketiga dengan varian 2.0i-S EyeSight, harga RM159k

    Turut dipamerkan dalam Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 ialah Subaru Crosstrek baharu. Model generasi ketiga ini, sebelum ini dikenali sebagai XV, dilancarkan di sana pada tahun lalu dengan varian tunggal 2.0i-S EyeSight. Dibawa masuk dari Jepun, Subaru Crosstrek 2024 ini ditawarkan pada harga 549,500,000 rupiah (RM159,100).

    Crossover ini menerima penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu FB20 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder, yang mampu menghamburkan 156 PS pada 6,000 rom dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan Lineartronic CVT dan Symmetrical All-wheel Drive ciptaan Subaru sendiri dengan active torque split, serta X-Mode yang sesuai digunakan untuk pemanduan off-road.

    Masih dibangunkan dengan Subaru Global Platform, namun Crosstrek hadir dengan rekaan yang lebih menyerlah berbanding model sebelumnya, termasuk ditampilkan dengan lampu utama LED yang nipis bersambung dengan palang krom. Ia juga diberikan gril haksagon besar dan ada lapisan plastik hitam besar berbentuk-C pada sudut hadapan. Material yang sama juga digunakan untuk gerbang roda dan juga bampar belakang.

    Subaru Crosstrek 2024 di GIIAS – XV generasi ketiga dengan varian 2.0i-S EyeSight, harga RM159k

    Lampu belakang berbentuk-C, rel bumbung yang sedikit besar dan roda aloi dua-tona gaya ala turbin 18-inci turut diberikan. Di dalamnya, Crosstrek berkongsi banyak elemen dengan WRX terkini, tetapi tanpa kemasan Alcantara, roda stereng besar dan tempat duduk sport. Konsol tengah juga berbeza, tetapi dengan ruang storan tambahan.

    Dengan papan pemuka asas WRX, ciri yang diberikan termasuk skrin sesentuh potret 16-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi masih dikekalkan meter analog. Ciri standard lain termasuk tempat duduk hadapan larasan kuasa (dengan larasan bahagian lumbar untuk pemandu) dan bumbung suria.

    Subaru Crosstrek 2024 di GIIAS – XV generasi ketiga dengan varian 2.0i-S EyeSight, harga RM159k

    Seperti namanya, Crosstrek menampilkan kelengkapan bantuan pemandu EyeSight, termasuk brek kecemasan autonomous, brek kecemasan, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, reverse AEB dan pemantauan perhatian pemandu berdasarkan kamera. Sembilan beg udara diberikan, termasuk beg udara tengah dan beg udara kusyen tempat duduk.

    Crosstrek telah pun bersedia dilancarkan di kebanyakan pasaran ASEAN, tetapi masih belum ada perkhabaran untuk Malaysia. Model ini juga menjadi yang pertama dibawa masuk ke pasaran sini selepas Subaru mengumumkan perberhentian aktiviti pemasangan tempatan CKD di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Jadi, harganya dijangka akan mencanak berbanding model semasa XV yang berharga RM149,788.

     
     
  • Mekanisme penyasaran subsidi RON95 guna data PADU sepenuhnya – Kementerian Ekonomi

    Mekanisme penyasaran subsidi RON95 guna data PADU sepenuhnya – Kementerian Ekonomi

    Kementerian Ekonomi mengesahkan mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU) manakala penentuan kumpulan sasar ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.

    Sistem PADU adalah repositori data individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap yang berada di Malaysia. Setakat 31 Mac 2024, seramai 10.55 juta individu telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU, ujar kementerian terbabit

    “Ketika ini, sistem berkenaan berada dalam Fasa 2, penganalisisan data yang melibatkan proses penentuan isi rumah, perbelanjaan asas kehidupan wajar dan pendapatan boleh guna bersih,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis untuk Dewan Rakyat semalam.

    Ia bagi pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai jumlah pendaftaran penuh PADU dan mengapa data PADU tidak digunakan bagi permohonan subsidi bersasar diesel.

    Selain itu, kementerian berkata langkah penyasaran semula subsidi minyak dimulakan dengan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI). Di mana penyasaran subsidi diesel melalui BUDI MADANI telah menggunakan semua pangkalan data sedia ada kerajaan yang berkaitan.

    “Maklumat daripada BUDI MADANI akan dikongsi dan diintegrasi ke dalam PADU dari semasa ke semasa bagi menambah baik data tersedia,” katanya lagi.

     
     
  • GIIAS 2024: Chery Omoda 5 GT – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, DCT 7-kelajuan, suspensi multilink

    GIIAS 2024: Chery Omoda 5 GT – 1.6L TGDI, 197 PS/290 Nm, DCT 7-kelajuan, suspensi multilink

    Antara semua barisan model-model SUV Chery, Omoda 5 menampilkan rupa yang sangat berbeza dengan imej funky, berbanding imej SUV konvensional pada siri Tiggo. Ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 minggu ini, kami berpeluang membelek versi lebih sporty dan berkuasa SUV segmen-C tersebut iaitu Omoda 5 GT yang dipamerkan di reruai Chery, dan ia sememangnya dijual di pasaran negara itu.

    Berbanding Omoda 5 biasa yang turut dijual di pasaran Malaysia menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder berkuasa 147 PS/230 Nm, Omoda 5 GT ini disumbat dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) berkuasa 197 PS dan tork maksima 290 Nm. Sebab itulah model ini menampilkan lencana 290T pada pintu tailgate belakang, memberikan bayangan angka tork yang dibekalkan.

    Model GT ini juga menerima kotak gear lebih baik iaitu transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan berbanding CVT pada Omoda 5 biasa. Malah suspensi torsion beam belakang juga tidak lagi digunakan, digantikan dengan sistem multilink yang lebih jitu. Dua varian Omoda 5 GT dijual di Indonesia di mana varian asas hanya memacu roda hadapan berharga IDR 453.8 juta (RM131,500), manakala varian lebih tinggi diberikan sistem pacuan semua roda berharga IDR 493.8 juta (RM143,000).

    Selain dari sistem pacuan, ada sedikit perbezaan perincian diberikan pada Kedua-dua varian tersebut, di mana Omoda 5 GT AWD dibekalkan dengan rim 19-inci serta penambahan pengecas tapa wayar 50 watt dan kamera pemantau status pemanduan.

    Unit yang dipamerkan di GIIAS 2024 ini turut ‘disolek’ dengan beberapa perincian tambahan seperti kit pelekat grafik badan istimewa, set rim kemasan krom dan juga rak basikal yang dipasang pada bahagian belakang lengkap dengan basikal Merida.

    Kalau anda perasan, langsung tiada logo Chery dilekat pada sebelah luar Omoda 5 GT ini. Kami difahamkan Chery kini dalam usaha untuk menjadikan nama Omoda tersebut sebagai jenama bebas, seperti jenama-jenama dibawahnya yang lain termasuk Jaecoo dan Jetour.

     
     
  • Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

    Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

    Royal Enfield secara rasminya telah memperkenalkan sebuah lagi model 450 baru dipanggil sebagai Guerilla 450. Ia sebenarnya menggunakan asas yang sama seperti model touring/adventure Himalayan 450, tetapi diubah dengan penampilan serta kelengkapan yang lebih bersesuaian sebagai sebuah roadster dengan inspirasi scrambler.

    Seperti yang boleh dilihat, semua panel badan Guerilla 450 ini adalah lain berbanding Himalayan 450, termasuk tangki bahan api, tempat duduk dan pemegang, sementara rim pula menggunakan unit 17 inci yang dibalut tayar tanpa tiub 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Perkakasan suspensi masih lagi sama, terdiri daripada fork teleskopik 43 mm dan monoshock dengan linkage, daripada Showa, tetapi jarak geraknya adalah lebih pendek pada Guerilla 450, menjadi 140 mm di hadapan dan 150 mm di belakang (Himalayan 450 200 mm hadapan dan belakang). Hasil daripada tetapan ini, tempat duduk Guerilla 450 juga menjadi lebih rendah iaitu 780 mm berbanding 825 mm pada Himalayan 450.

    Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

    Sebagai sebuah motosikal yang lebih bersesuaian dengan penggunaan atas jalan biasa dan bandar, Guerilla 450 mempunyai tangki bahan api yang lebih kecil, berkapasiti 11 liter (17 liter pada Himalayan 450), dan beratnya keseluruhannya adalah 185 kg (196 kg bagi Himalayan 450).

    Bahagian lain kebanyakannya adalah sama, termasuk pakej enjin dan kuasa, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 452 cc DOHC penyejukan cecair bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

    Untuk mengawal penyampaian kuasa ini, penunggang disediakan dengan dua mod iaitu Eco dan Performance, dengan penukaran boleh dilakukan dengan satu butang di bahagian kanan pemegang.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dengan masing-masing bersaiz 310 mm dengan angkup dua piston dan 270 mm dengan angkup satu piston, lengkap bersama sistem ABS dual-channel secara standard (boleh ditutup menggunakan suis).

    Bergantung kepada varian, Guerilla 450 boleh datang dengan panel meter analog, iaitu untuk varian permulaan, ditambah dengan skrin TFT bulat kecil yang dipanggil Tripper untuk varian pertengahan dan meter TFT penuh empat inci Tripper Dash yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk memaparkan pelbagai fungsi termasuk navigasi penuh bagi varian paling tinggi.

    Tempahan untuk Guerilla 450 sudah mula dibuka di beberapa negara, dengan di India, ia bermula dari 239,000 rupee (RM13,343) hingga 254,000 rupee (RM14,180). Jika varian paling tinggi Guerilla 450 dan Himalayan 450 dibandingkan, harga Guerilla 450 adalah lebih murah 44,000 rupee (sekitar RM2.5k).

     
     
  • Kaiyi X3 Pro EV dilihat di M’sia – jenama milik Chery, SUV segmen-B, 163 PS/280 Nm, jarak gerak 401 km

    Kaiyi X3 Pro EV dilihat di M’sia – jenama milik Chery, SUV segmen-B, 163 PS/280 Nm, jarak gerak 401 km

    Salah seorang ahli dalam FB Group Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) bernama Har Chee hari ini telah memuat naik dua gambar sebuah SUV elektrik penuh (EV) yang tidak dikenali dan masih menggunakan trade plate dijumpai di Cyberjaya. Berdasarkan rupa dan lencana yang dikenakan, kami mengenalpasti model tersebut adalah Kaiyi X3 Pro EV.

    Model ini bukan sahaja satu lagi model EV dari China yang kini ‘membanjiri’ pasaran EV tempatan, malah Kaiyi merupakan satu lagi subsidiari dari gergasi automotif negara Tembok Besar itu iaitu Chery Automobile. Buat masa sekarang, selepas kembali semula ke Malaysia dengan jenamanya, Chery turut telah memperkenalkan dua lagi jenama di bawah subsidiarinya iaitu Jaecoo dan Jetour.

    Menurut spesifikasi yang kami ambil dari laman global Kaiyi, X3 Pro dihasilkan dengan dikensi 4,440 mm panjang, 1.831 mm lebar, 1,646 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,632 mm. Jadi Kaiyi X3 Pro ini adalah SUV EV dalam kelas segmen-B namun ia sedikit lebih besar dari Proton X50 dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,600 mm.

    Ia digerakkan dengan hanya sebuah motor elektrik berkuasa 163 PS dan tork maksima 280 Nm yang diletakkan pada gandar hadapan. Kaiyi mendakwa ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.77 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 53 kWj yang dibekalkan oleh CATL, membolehkan ia bergerak sejauh 401 km dalam ujian kitaran NEDC.

    Kaiyi X3 Pro EV dilihat di M’sia – jenama milik Chery, SUV segmen-B, 163 PS/280 Nm, jarak gerak 401 km

    Selain dari versi EV, di China dan pasaran tertentu X3 Pro ini turut hadir dalam versi dijana oleh enjin pembakaran dalaman di mana ia menerima gril dan bampar hadapan yang diberikan liang udara untuk sistem penyejukkan. Dalam laman web rasmi Kaiyi, model EV ini masih mengenakan muka yang sama seperti X3 Pro berkuasa petrol.

    Namun unit yang dijumpai di Malaysia ini nampaknya ia sudah diperbaharui dengan menampilkan perubahan pada bahagian muka di mana ia diberikan gril dan hampar hadapan berbeza tanpa liang. Antara perincian lain yang diberikan berdasarkan laman berkenaan, Kaiyi X3 Pro EV dilengkapkan dengan dua skrin 10.25-inci – satu untuk paparan instrumen digital pemandu dan satu untuk sistem infotainmen – dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Manakala untuk keselamatan pula, X3 Pro EV ini dibekalkan dengan empat-beg udara, kamera 360-darjah, amaran keluar lorong dan lain-lain. Semakan yang kami buat di laman CarNewsChina, Kaiyi X3 Pro EV dijual dipasaran negara asalnya bermula dari 119,900 yuan (RM77k) sehingga 176,600 yuan (RM113k).

     
     
  • Harga minyak 18-24 Julai – Semuanya tiada perubahan

    Harga minyak 18-24 Julai – Semuanya tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 Julai 2024, harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula, juga dikekalkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia seperti mana yang diumumkan pada 10 Jun lalu. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Pada 12 Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • GIIAS 2024: Toyota Prius 2024 di Indonesia – 1.8L hybrid dan 2.0L PHEV generasi ke-5; dari RM202k

    GIIAS 2024: Toyota Prius 2024 di Indonesia – 1.8L hybrid dan 2.0L PHEV generasi ke-5; dari RM202k

    Walau pun mengambil masa sedikit lama, akhirnya Toyota Prius generasi kelima dilancarkan di Indonesia menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang membuka tirai hari ini. Hatchback hibrid Toyota ini akan ditawarkan dengan versi biasa dan juga plug-in hybrid (PHEV).

    Buat masa ini, hanya model hibrid standard sahaja ditawarkan, dengan harga 698,000,000 rupiah (RM202,500). Diimport sepenuhnya dari kilang Tsutsumi di Aichi, Jepun, Prius ini hanya boleh dibeli menerusi tempahan inden (tempah dulu baru dapat stok), dengan waktu menunggu minimum tiga bulan.

    Walau pun ia baru, namun untuk pasaran Indonesia, ia masih menggunakan penjana kuasa 1.8 liter hibrid, sapa seperti yang diberikan pada Corolla Cross Hybrid. Enjin 2ZR-FXE VVT-i kitaran-Atkinson empat-silinder petrol dengan kuasa 98 PS dan 142 Nm, dan hasil kombinasi dengan motor elektrik 95 PS/185 Nm dan eCVTm sistem keseluruhan kuasa mencecah 140 PS.

    GIIAS 2024: Toyota Prius 2024 di Indonesia – 1.8L hybrid dan 2.0L PHEV generasi ke-5; dari RM202k

    Turut dipamerkan di ruang Toyota ini ialah varian PHEV. Di bawah bonetnya, ia diberikan unit M20A-FXS 2.0 liter Dynamid Force yang mampu menghamburkan kuasa 151 PS dan 188 Nm, dipadankan dengan motor elektrik 163 PS/208 Nm, menjadikan keseluruhan output cecah 223 PS. Bateri 13.6 kWh yang diberikan mampu mengerakkan jarak sehingga 105 km dan boleh dicas menggunakan pengecas AC sehingg 3.7 kW, yang mengambil masa sekitar empat jam 30 minit untuk pengecasan penuh.

    Dibangunkan dengan versi Toyota New Global Architecture (TNGA) yang disemak semula, Prius terkini ini lebih bergaya berbanding yang terdahulu. Dengan garisan bumbung yang agak rendsah, Prius baharu ini 50 mm lebih rendah berbanding sebelumnya. ia diberikan lampu utama berbentuk-C, pemegang pintu belakang tersembunyi dan lampu belakang lebar sepenuhnya dan pakej rupa yang sangat dramatik terutamanya dengan warna hero Mustard baharu. Walau bagaimana pun, versi Indonesia ini hanya diberikan roda kecil bersaiz 17-inci.

    Untuk bahagian dalam, ia ditampilkan lebih futuristik, meminjam paparan instrumen digital model elektrik bZ4X yang menempatkan maklumat kenderaan secara lebih dekat dengan penglihatan pemandu. Pembeli Indonesia juga menerima skrin sesentuh sembilan-inci yang lebih kecil, dengan unit freestanding ditemoatkan di atas corong udara tengah.

    GIIAS 2024: Toyota Prius 2024 di Indonesia – 1.8L hybrid dan 2.0L PHEV generasi ke-5; dari RM202k

    Dengan harga yang ditetapkan, Prius didatangkan dengan ciri keselamatan standard termasuk kelengkapan Toyota Safety Sense 3.0 untuk bantuan pemandu. Ia merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong dan lampu tinggi automatik.

    Kini Prius baharu telah pun mula dijual di negara ASEAN, mungkin kita boleh jangkakan ia bakal tiba di pasaran Malaysia? Pengedar UMW Toyota Motor telah pun mempertontonkan kereta ini menerusi acara Beyond Zero pada awal tahun ini, dengan model konsep 24h Le Mans Centennial GR Edition, tetapi ia adalah versi CBU yang tidak menerima insentif cukai hibrid.

    GALERI: Toyota Prius di BIMS 2023

    GALERI: Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition di Malaysia

     
     
  • EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    Tiga hari lagi, Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org akan bermula, dengan tajaan bersama Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp yang akan berlangsung pada 20-21 Julai di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Acara ini akan menampilkan pelbagai aspek dan model EV di bawah satu bumbung.

    Tidak ketinggalan, barisan kenderaan Carro Certified juga akan berada di sana untuk anda yang ingin mencari kenderaan terpakai dalam keadaan seperti baru. Semua unit kenderaan di bawah Carro Certified telah melalui pemeriksaan 160-poin dan datang dengan jaminan pulangan wang lima-hari serta jaminan 12-bulan untuk enjin dan kotak gear. Semua kereta berkenaan juga tidak diubah jarak perbatuannya, atau tidak pernah terlibat dengan sebarang kemalangan teruk, terbakar atau ada kerosakan akibat banjir.

    Lebih penting, semua harga kereta yang ditunjuk itu tidak datang dengan sebarang kos tersembunyi — maksudnya anda tidak akan dikenakan sebarang yuran memproses tambahan atau yuran pemeriksaan lain sekiranya ingin meneruskan pembelian kenderaan tersebut.

    Dan ada lagi — beli mana-mana kereta Carro Certified di EVx dan anda akan berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik. Hadiahnya termasuklah enam baucar Lazada RM100, empat baucar Aeon RM100, empat kad petrol Petronas RM250 serta hadiah utama Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899.

    EVx 2024: Beli kereta Carro Certified dan berpeluang menang sebuah Apple Watch Series 9 bernilai RM1,899

    Untuk kenderaan baru, terdapat banyak lagi jenama kenderaan EV yang akan ikut serta dalam EVx 2024, seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    EVx 2024 akan menjadi tempat terbaik untuk anda mendekati segala aspek berkaitan EV dan memudahkan urusan anda untuk mengetahui lanjut tentangnya. Tidak ketinggalan, akan ada pratonton model EV terbaru serta sesi pandu uji, semuanya di satu lokasi.

    Dan, jika berminat untuk menjadi pemilik EV terbaru, ada tawaran menarik menanti. Tempah kereta baru anda di EVx dan nikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja. Jadi, kena cepat!

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025