Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • EVx 2024: BYD Seal, Atto 3 dan Dolphin jadi tumpuan

    EVx 2024: BYD Seal, Atto 3 dan Dolphin jadi tumpuan

    Salah satu jenama automotif yang memeriahkan acara EVx tahun ini ialah BYD yang mengambil peluang mempamerkan tiga model EV terhangatnya iaitu Seal, Atto 3 dan Dolphin.

    Sejak diperkenalkan pada hujung 2022, ternyata BYD Atto 3 menjadi antara SUV EV yang terhangat di pasaran. Atto 3 yang telah meneerima versi kemaskini masih dilengkapi dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm, digerakkan oleh bateri Blade litium logam fosfat (LFP). Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC atau 345 km dalam kitaran WLTP.

    Bagi BYD Dolphin pula, ia ditawarkan dengan dua varian dan kedua-duanya diberikan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan. Model asas Dynamic Standard Range diberikan kuasa hingga 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm. Ia membolehkan varian ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini juga menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.9 kWh yang berkeupayaan memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.

    EVx 2024: BYD Seal, Atto 3 dan Dolphin jadi tumpuan

    Manakala BYD Seal pula menjadi model pertama yang dilengkapi teknologi CTB (sel pada badan) inovatif, yang menyepadukan Blade Battery ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan.

    Varian Premium menggunakan tetapan motor tunggal yang memacu roda belakang, dengan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.

    Varian teratas bagi sedan EV ini adalah Performance AWD, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan semua-roda, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium RWD, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).

    Selain Mercedes-Benz, jenama automotif lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini termasuklah BMW, MINI, smart, Hyundai, Kia, Lotus, Mercedes-Benz dan Chery, selain Kineta dan Trapo.

    Bagi yang menempah kereta baharu menerusi EVx 2024 ini, anda akan menerima baucar bernilai RM1,500 yang merangkumi baucar RM500 untuk filem penapis haba (V-Kool), RM500 untuk alas lantai kereta (DodoMat) dan RM500 untuk kerusi kulit kustom (DK Schweizer). Kesemua baucar ini akan diberikan secara terus di EVx 2024 dan terhad untuk 100 tempahan pertama sahaja.

    Menerusi acara EVx 2024 ini, anda juga berpeluang memandu uji mana-mana model yang berkenaan di hati. Selain itu, anda juga akan dapat mempelajari semua tentang pelbagai aspek elektrifikasi melalui ceramah oleh pakar industri dan mengetahui bagaimana rasanya hidup dengan EV melalui forum perbincangan pemilikan yang diadakan dalam acara selama dua hari ini. Jika ada kelapangan, jangan lupa ke Setia Convention Centre, Setia Alam kerana EVx 2024 akan berlangsung sehingga esok (21 Julai) dari jam 9 pagi hingga 7 malam dan kemasukan adalah percuma!

     
     
  • EVx 2024: Wheelcorp Premium bawa BMW i7, i5, iX2, iX, XM, serta MINI Cooper SE dan Countryman SE

    EVx 2024: Wheelcorp Premium bawa BMW i7, i5, iX2, iX, XM, serta MINI Cooper SE dan Countryman SE

    Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) sudah pun bermula hari ini dan akan diteruskan sehingga esok dengan pintu dibuka dari 9 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma, jadi jika anda berminat dengan kenderaan elektrik, jangan ketinggalan untuk mengunjungi acara ini.

    Salah satu jenama yang menyertai EVx 2024 adalah BMW, dengan diwakili oleh Wheelcorp Premium, dan mereka menawarkan rebat sehingga RM100,000 untuk pembelian kenderaan. Sudah tentu, ini tertakluk kepada terma dan syarat.

    Beberapa model elektrik dibawa oleh Wheelcorp Premium ke acara ini, bersama dengan SUV bersaiz besar BMW XM plug-in hybrid. Paling mewah adalah i7, dalam versi i7 xDrive60 M Sport, yang mampu menghasilkan kuasa 544 PS/745 Nm melalui tetapan motor berkembar dan pacuan semua roda. Bateri lithium ion 101.7 kWh yang membekalkan tenaga kepada model ini boleh membawa ia untuk perjalanan sehingga 625 km mengikut standard WLTP.

    EVx 2024: Wheelcorp Premium bawa BMW i7, i5, iX2, iX, XM, serta MINI Cooper SE dan Countryman SE

    Menyertai i7 di tapak pameran Wheelcorp Premium adalah satu lagi sedan iaitu i5 (dilancarkan di Malaysia hujung tahun lalu), dijual dalam versi eDrive40. Varian ini datang dengan motor elektrik belakang berkuasa 313 PS/430 Nm, dan mendapat tenaga daripada bateri 83.9 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 582 km.

    Turut dibawa oleh Wheelcorp Premium adalah model MINI elektrik, iaitu MINI Cooper SE, yang baru sahaja dilancarkan awal bulan ini, bersama MINI Countryman Cooper SE (dilancar Mei lalu).

    MINI Cooper SE dipacu oleh motor elektrik hadapan 218 PS/330 Nm, mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 170 km/j. Bateri nickel manganese cobalt (NMC) 54.2 kWh yang digunakan pada model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 402 km mengikut kitaran WLTP.

    Sama seperti EVx yang dianjurkan sebelum ini, anda juga berpeluang untuk memandu uji model-model tertentu, dan ia dilakukan di bahagian luar dewan pameran. Masuk adalah percuma, jadi jangan lepas peluang berkunjung ke Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2024.

     
     
  • EVx 2024: Gentari tawar Reload Pin RM100 kredit pengecasan untuk pembelian Power Pass RM899

    EVx 2024: Gentari tawar Reload Pin RM100 kredit pengecasan untuk pembelian Power Pass RM899

    Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org berlangsung hari ini dan esok, 20-21 Julai 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dengan tajaan bersama Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp dan TNB Electron.

    Gentari selaku penaja bersama EVx 2024 kini memperkenalkan Gentari Go, sebuah platform berasaskan aplikasi mudah alih bersepadu berkaitan ekosistem produk berkaitan EV dan perkhidmatan daripada rangkaian terbesar stesen pengecasan EV berlesen di Malaysia.

    Tersedia untuk peranti Apple iOS dan Android, Gentari Go disasar untuk menawarkan kepada pelanggan sebuah pengalaman gaya hidup mapan yang bersepadu, menghimpunkan aspek tenaga hijau bagi keperluan domestik, pengecasan dan kenderaan EV. Selain untuk mengetahui stesen pengecasan, Gentari Go juga menyediakan fungsi platform bersepadu yang meliputi roaming rentas sempadan, sewa EV, penyelesaian pengecasan di rumah dan banyak lagi.

    EVx 2024: Gentari tawar Reload Pin RM100 kredit pengecasan untuk pembelian Power Pass RM899

    Gentari akan menawarkan pakej khusus untuk pengunjung EVx 2024: bermula dengan Reload Pin RM30 untuk pengguna pertama aplikasi mudah alih Gentari Go. Pelanggan yang memuat turun mendaftar boleh menebus RM30 tersebut untuk digunakan di stesen pengecasan awam Gentari di seluruh Malaysia, bagi kedua-dua AC dan DC.

    Selain itu, Power Pass RM899 dengan Reload Pin RM100 membawakan rebat RM100 dalam bentuk kredit pengecasan, dan anda akan menikmati potongan 50% bagi kadar pengecasan di semua stesen pengecas Gentari — AC dan DC — di seluruh Malaysia.

    Bergantung kepada kelayakan EV, anda mungkin akan menikmati ciri AutoCharge: pas ini sah untuk 12 bulan selepas diaktifkan, dan resit langganan anda boleh digunakan untuk tujuan pengurangan cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat. Ketahui lebih lanjut berkaitan Gentari Go di sini.

    EVx 2024: Gentari tawar Reload Pin RM100 kredit pengecasan untuk pembelian Power Pass RM899

    Selain itu, terdapat banyak lagi jenama yang akan ikut serta dalam EVx 2024 seperti Mercedes-Benz, Hyundai, BMW, MINI, smart, BYD, Chery, Kia dan Lotus Cars. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta juga akan ikut serta.

    Bagi yang menempah kereta baru di EVx, mereka akan menikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di lokasi dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja.

    EVx 2024 berlangsung dari 20-21 Julai 2024. Masuk percuma.

     
     
  • EVx 2024: Mercedes-Benz EQS500, EQE350+, EQB350 dan EQA250 dipamerkan di ruang Hap Seng Star

    EVx 2024: Mercedes-Benz EQS500, EQE350+, EQB350 dan EQA250 dipamerkan di ruang Hap Seng Star

    Electric Vehicle Expo (EVx) 2024 anjuran paultan.org sedang yang berlangsung hari ini dan esok (20-21 Julai) bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam. Pameran EV edisi ketiga ini mendapat kerjasama rakan penaja Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp, menempatkan pelbagai model terkini EV termasuk kelengkapan pengecasannya. Mercedes-Benz antara jenama pengeluar kenderaan yang turut mengambil kesempatan mempamerkan model EV terkininya iaitu dari EQA hingga ke model flagship EQS.

    Bagi EQA 250 AMG Line, ia dijanakan oleh motor elektrik hadapan dengan 190 PS/375 Nm, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.9 saat. Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 66.5 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 496 km mengikut kitaran WLTP.

    Untuk EQB 350 pula, ia diberikan tujuh-tempat duduk dalam tiga barisan. Ia didatangkan dengan motor belakang ekstra untuk 292 PS/520 Nm dan 4Matic, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat. Bateri lithium-ion berkapasiti 66.5 kWh boleh membantunya mendapatkan jarak gerak hingga 423 km mengikut kitaran WLTP.

    Manakala bagi yang berminat dengan Mercedes-Benz EQS 500, ia turut dipamerkan di sini. Ditampilkan dengan penjana kuasa dwi-motor AWD 449 PS/828 Nm yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    EVx 2024: Mercedes-Benz EQS500, EQE350+, EQB350 dan EQA250 dipamerkan di ruang Hap Seng Star

    Satu lagi model yang turut dipamerkan ialah EQE 350+ yang merupakan varian paling asas bagi sedan EV keluaran Mercedes-Benz. Ia dilengkapi dengan hanya satu motor elektrik yang menghasilkan 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork maksima 565 Nm, menerima bekalan kuasa elektrik dari bateri litium-ion 400-volt dengan kapasiti 90.56 kWj. Ini membolehkan ia bergerak sejauh 682 km dengan satu cas penuh dalam kitaran WLTP.

    Motor tunggal berkenaan diletakkan pada gandar belakang untuk memacu hanya roda belakang. Prestasi kedua-dua sedan EV ini juga serupa dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.4 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 210 km/j.

    Setiap pembelian EQS 500 di EVx 2024 ini juga datang dengan Agility Plus, yang merangkumi sehingga 12 bulan ansuran, tanpa sebarang caj; insurans kenderaan bernilai sehingga RM6,388; empat pakej servis percuma; MobilityPlus, program jaminan kereta gantian sekiranya Mercedes-Benz anda perlu diperbaiki; dan ICE on Demand, sebuah kemudahan jangka pendek untuk menggunakan kereta enjin biasa Mercedes-Benz sekiranya diinginkan. Promosi ini hanya sah sehingga 31 Julai 2024 (tertakluk kepada terma dan syarat).

    Manakala jika menempah EQE 350+ sama ada varian Electric Art Line atau AMG Linedi EVx 2024, anda juga bakal menerima pelan pembayaran semula Agility (4 kali Compact Service + MobilityPlus). Untuk tempahan EQA 250 dan EQB 350 pula, bakal menerima insurans motor percuma (sehingga RM3.3k untuk EQA, RM3.7k bagi EQB)

    EVx 2024: Mercedes-Benz EQS500, EQE350+, EQB350 dan EQA250 dipamerkan di ruang Hap Seng Star

    Selain itu, bagi setiap model yang dipamerkan di ruang Hap Seng Star di EVx 2024 ini, pembeliannya juga ditawarkan dengan pilihan sama ada wallbox Mercedes-Benz secara percuma termasuk pemasangannya atau pengecasan tanpa had selama 18-bulan juga percuma dari Gentari.

    Selain Mercedes-Benz, jenama automotif lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini termasuklah BMW, MINI, smart, Hyundai, Kia, Lotus, BYD dan Chery, selain Kineta dan Trapo.

    Bagi yang menempah kereta baharu menerusi EVx 2024 ini, anda akan menerima baucar bernilai RM1,500 yang merangkumi baucar RM500 untuk filem penapis haba (V-Kool), RM500 untuk alas lantai kereta (DodoMat) dan RM500 untuk kerusi kulit kustom (DK Schweizer). Kesemua baucar ini akan diberikan secara terus di EVx 2024 dan terhad untuk 100 tempahan pertama sahaja.

    Selain menjamu mata melihat barisan model EV terbaharu di pasaran, anda juga berpeluang memandu uji mana-mana model yang berkenaan di hati. Anda juga akan dapat mempelajari semua tentang pelbagai aspek elektrifikasi melalui ceramah oleh pakar industri dan mengetahui bagaimana rasanya hidup dengan EV melalui forum perbincangan pemilikan yang diadakan dalam acara selama dua hari ini. Jika ada kelapangan, jangan lupa ke Setia Convention Centre, kerana EVx 2024 akan berlangsung sehingga esok (21 Julai) dari jam 9 pagi hingga 7 malam dan kemasukan adalah percuma!

     
     
  • EVx 2024: Lotus Eletre pelbagai varian dipamerkan

    EVx 2024: Lotus Eletre pelbagai varian dipamerkan

    Hyper SUV EV, Lotus Eletre sudahpun berada dalam pasaran tempatan sejak April tahun lalu. Seperti pasaran lain, Malaysia menerima SUV ini dalam varian Eletre S dan Eletre R, dan terbaharu Lotus Cars Malaysia hari ini turut mengumumkan harga baharu bagi varian asas Eletre dengan harga lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi tersebut.

    Sekiranya anda mahu lihat model ini secara lebih dekat, keliga-tiga varian berkenaan kini sedang dipamerkan di Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org, berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Bagi model asas Eletre ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM598,800, dan penghantaran terawal untuk pelanggan yang sudah menempahnya akan bermula Oktober ini. Manakala untuk Eletre S dan Eletre R, ia masing-masing dijual pada harga RM698,000 dan RM838,000.

    Kesemua varian Eletre ini menerima dua motor elektrik yang diletakkan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan kebolehan pacuan semua roda. Motor-motor elektrik pada varian asas Eletre dan Eletre S dibekalkan dengan kuasa 605 hp dan tork maksima 710 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 258 km/j.

    Manakala varian paling berkuasa Eletre R pula dibekalkan dengan kuasa 905 hp dan tork maksima 985 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.92 saat dan mencatatkan kelajuan maksimum 265 km/j. Kesemua varian menerima bateri 112 kWh, yang membolehkan Eletre dan Eletre S bergerak 600 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh, manakala Eletre R yang lebih berkuasa boleh mencapai jarak gerak sejauh 490 km.

    Unit rangkaian kuasa ini berfungsi menerusi asas seni bina elektrikal 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC 350 kW, memenuhkan bateri dari 10-80% dalam masa 20 minit.

    EVx 2024 berlangsung bermula hari ini, 20 Julai sehingga 21 Julai 2024 di buka dari 9 pagi hingga 7 malam setiap hari. Jadi nak tengok barisan model Lotus Eletre ini, datanglah ke SACC sekarang!

     
     
  • EVx 2024: Beli mana-mana EV Hyundai dan berpeluang menangi hadiah termasuk percutian 4H3M ke Korea

    EVx 2024: Beli mana-mana EV Hyundai dan berpeluang menangi hadiah termasuk percutian 4H3M ke Korea

    Ada pelbagai tawaran menarik menanti pengunjung Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org hari ini dan esok bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Acara yang ditaja bersama oleh Carro, Gentari, RHB JuiceUp dan TNB Electron ini menghimpunkan pelbagai aspek berkaitan teknologi kenderaan elektrik daripada pelbagai jenama.

    Hyundai menjadi antara jenama yang terlibat, dengan mempamerkan dua model EV semasa keluarannya: Ioniq 5 dan juga Ioniq 6. Khas untuk pengunjung EVx 2024 yang membeli mana-mana model EV daripada Hyundai akan menerima Samsung Music Frame* serta satu daripada yang berikut:

    • Subsidi kadar faedah serendah 1.28%*
    • Pengecas wallbox 11 kW percuma*
    • Subsidi insurans*

    Seorang pembeli bertuah juga berpeluang untuk memenangi tiket kelas perniagaan untuk dua orang untuk percutian 4H3M ke Korea Selatan termasuk kunjungan ke Hyundai Motorstudio Goyang.*

    EVx 2024: Beli mana-mana EV Hyundai dan berpeluang menangi hadiah termasuk percutian 4H3M ke Korea

    Secara ringkas tentang Ioniq 6, ia tampil dengan reka bentuk retro-futuristik yang unik dengan bacaan rintangan angin serendah 0.21, sekaligus menjadikannya kenderaan produksi paling aerodinamik. Dengan bateri lithium-ion polymer dengan kapasiti tenaga 77.4 kWh, Ioniq 6 memberikan jarak sejauh 614 km WLTP dengan sekali cas — paling jauh yang ditawarkan oleh EV Hyundai ketika ini.

    Dengan binaan elektrikal 800V yang digunakan — bukan sesuatu yang lazim dalam kalangan EV yang dijual hari ini — baterinya menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum yang banyak memerlukan 18 minit untuk penuh. Dengan pengecas yang serasi, pengecasan dari 10%-80% boleh dicapai dalam hanya 18 minit sahaja.

    Selain itu, ada banyak lagi jenama yang akan ikut serta dalam EVx 2024 seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Chery, Kia dan Lotus Cars. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta juga akan ikut serta.

    EVx 2024: Beli mana-mana EV Hyundai dan berpeluang menangi hadiah termasuk percutian 4H3M ke Korea

    Bagi yang menempah kereta baru di EVx, mereka akan menikmati baucar bernilai RM1,500 — baucar RM500 filem penapis haba daripada V-Kool, RM500 lagi daripada DodoMat dan RM500 yang terakhir untuk kerusi kulit kustom DK Schweizer. Semua baucar ini hanya akan diberikan di EVx pada 20-21 Julai ini dan terhad kepada 100 tempahan kereta baru terawal sahaja.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain.

    EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Masuk percuma.

    *Selepas berjaya mendaftarkan kenderaan sebelum 15 Ogos 2024. Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • EVx 2024: smart #1 Brabus diberi diskaun sehingga RM30k, smart #3 Premium, Brabus dipamer

    EVx 2024: smart #1 Brabus diberi diskaun sehingga RM30k, smart #3 Premium, Brabus dipamer

    Satu lagi jenama yang menyertai Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) hujung minggu ini (20-21 Julai 2024) adalah smart, dengan diwakili oleh Hap Seng. Kedua-dua model yang sudah dilancarkan di Malaysia, iaitu smart #1 dan smart #3 ada dipamerkan di acara ini, sekaligus memudahkan anda untuk mendekatinya.

    Untuk pasaran tempatan, smart #3 yang merupakan sebuah SUV coupe elektrik ditawarkan dalam tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling lengkap, Brabus pula dengan harga RM255,000. Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan dilengkapi motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala versi Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, dengan janaan kuasa penuh 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

    Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi varian Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

    EVx 2024: smart #1 Brabus diberi diskaun sehingga RM30k, smart #3 Premium, Brabus dipamer

    Varian Pro menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak hingga 325 km dengan satu pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar 66 kWh — Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km dengan satu pengecasan.

    Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10%-80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC, Pro mampu menampung 130 kW sementara Premium dan Brabus pula dengan 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10%-80% di bawah 30 minit.

    Pembelian #3 di EVx 2024 akan membolehkan anda menerima pakej pelancaran eksklusif serta beberapa barang percuma seperti pengecas rumah smartCharge bernilai RM3,200 dengan jaminan dua-tahun, pakej aksesori enam barangan bernilai RM2,500, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM800 dengan jaminan dua-tahun serta pelan data internet lima-tahun/60 GB.

    Model ini juga diberikan jaminan empat-tahun/tanpa had perbatuan, jaminan dua-tahun/tanpa had perbatuan untuk alat ganti, jaminan lapan-tahun/200,000 km untuk bateri, jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk komponen voltan tinggi serta bantuan tepi jalan 24/7.

    EVx 2024: smart #1 Brabus diberi diskaun sehingga RM30k, smart #3 Premium, Brabus dipamer

    smart #1 juga tidak ketinggalan diberikan promosi khas, dengan varian Brabus-nya diberikan potongan sehingga RM30,000. Sementara itu bagi varian asas pula, ia dijual pada harga bermula RM169,000. Tawaran ini sah sehingga 31 Julai 2024. Membuat tempahan kereta baru ketika acara ini juga akan membolehkan anda untuk menerima baucar bernilai RM1,500 secara percuma — RM500 bagi setiap jenama dari V-Kool, Dodomat dan DK Schweizer; namun ini hanya terhad bagi 100 tempahan EV terawal sahaja.

    Untuk kenderaan baru, terdapat banyak lagi jenama kenderaan EV yang akan ikut serta dalam EVx 2024, seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

    Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

     
     
  • Honda Vario 160 tiba dalam warna baru – RM10,498

    Honda Vario 160 tiba dalam warna baru – RM10,498

    Selepas beberapa tahun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Honda Vario 160 kini disegarkan kembali dengan pilihan dua warna baru iaitu hijau dan biru matte. Harga terkini yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd adalah RM10,498 tidak termasuk insurans.

    Ciri-ciri lain semuanya masih sama seperti waktu ia dilancarkan pada tahun 2022, bermula dengan enjin satu silinder penyejukan cecair 157 cc SOHC yang digabungkan bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Melalui model 160 ini juga masalah utama Vario 150 yang kelihatan ‘tergantung’ sebelum ini juga sudah diatasi dengan rekaan fender baru, bersama tayar yang lebih tebal (100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang) untuk membaluti rim 14 inci yang digunakan.

    Vario 160 pasaran Malaysia datang secara standard dengan ABS single-channel, untuk brek cakera hadapannya, sementara brek belakang pula walaupun masih menggunakan unit cakera, tidak disambungkan dengan sistem keselamatan tersebut.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dan kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk sistem kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, panel instrumen digital. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

     
     
  • PLUS umum Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik di laluan keluar Plaza Tol Saujana Putra mulai 22 Julai

    PLUS umum Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik di laluan keluar Plaza Tol Saujana Putra mulai 22 Julai

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pelaksanaan Ujian Rintis Awam Skim Penyaluran Trafik di laluan arah keluar Plaza Tol Bandar Saujana Putra (BSP), Lebuhraya ELITE bagi membantu mengurangkan kesesakan, sekaligus melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak di laluan tersebut bermula 22 Julai 2024 (Isnin ini).

    “Harap maklum bahawa laluan kenderaan berat yang menggunakan lorong tol paling kiri dan juga trafik yang ingin ke BSP atau Rimbayu akan diasingkan dengan trafik yang ingin menuju ke Lebuhraya SKVE sebagai inisiatif PLUS untuk melancarkan pergerakan trafik di lokasi.

    “Sila patuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS. Terima kasih atas kerjasama anda. Hati-hati memandu,” kata PLUS.

    Pada 7 Julai lalu, Jejambat BSP telah dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang awam. Jejambat sepanjang 820 meter yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), dibina untuk mengatasi masalah kesesakan trafik yang membelenggu pengguna kedua-dua lebuh raya dan penduduk sekitar.

    Walau bagaimana pun, selepas beberapa hari dibuka, ramai pengguna laluan berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hati kerana keadaan lalu lintas yang dikatakan ‘huru hara’ dari laluan arah keluar plaza tol BSP sebelum memasuki jejambat. Ia dikatakan sukar untuk pemandu yang menggunakan Smart Tag dan RFID untuk ‘mencilok’ ke kiri untuk ke BSP, bersimpang siur dengan kenderaan yang menggunakkan TnG untuk ke kanan bertujuan melalui jejambat berkenaan menuju ke Lebuhraya SKVE.

     
     
  • Bekas CEO MARii dipenjara setahun, denda RM100k terima RM5 juta tunai, tipu kontrak latihan RM6.4 juta

    Bekas CEO MARii dipenjara setahun, denda RM100k terima RM5 juta tunai, tipu kontrak latihan RM6.4 juta

    Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institur Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari telah dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 bagi kesalahan penipuan kontrak latihan bernilai RM6.4 juta. Dalam dakwaan berasingan atas dakwaan menerima RM5 juta tunai, Madani dijatuhkan hukuman setahun dan asetnya yang bernilai RM3.4 juta diarah untuk dirampas. Kedua-dua hukuman berjalan serentak.

    Menurut Bernama, hakim Mahkaman Sesyen, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman terhadap Madani, 57, kepada penjara setahun dan denda RM100,000 selepas dia mengaku bersalah atas memperdaya lembaga pengarah MARii untuk mempercayai bahawa nilai kontrak bagi Platform Pembelajaran LPS bernilai RM6.4 juta, sedangkan ia sebenarnya bernilai RM2.3 juta. Lembaga tersebut memberikan kontrak 6.4 juta kepada penyedia latihan itu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di KL Sentral pada Disember 2019. Madani didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dijatuhi hukuman 10 tahun penjara, dengan denda dan rotan, jika didapati bersalah. Hakim Rozina juga mengarahkan Madani untuk menjalani tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal menyelesaikan denda.

    Secara berasingan, seorang lagi hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menjatuhkan hukuman setahun penjara dan memerintahkan aset bernilai RM3.4 juta dirampas selepas dia mengaku bersalah bagi tuduhan menerima RM5 juta tunai daripada seorang lelaki berusia 49-tahun.

    Kesalah itu dilakukan di sebuah bank di Seksyen 15, Shah Alam pada Julai 2021. Untuk kes ini, Madani didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • Model EV Perodua sah akan dilancar suku ke-4 2025 – MCE Holdings meterai kontrak bekalkan komponen

    Model EV Perodua sah akan dilancar suku ke-4 2025 – MCE Holdings meterai kontrak bekalkan komponen

    Pengilang komponen Kelengkapan Asli Pengeluar (OEM) automotif MCE Holdings Berhad (MCE) dan juga subsidarinya iaitu MCE Group hari ini mengumumkan bahawa ia telah memuktamadkan kontrak bernilai RM19.6 juta dari Perodua bagi membekalkan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik untuk kenderaan elektrik penuh (EV) yang bakal dilancarkan oleh jenama automotif nasional itu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MCE menyatakan antara komponen EV yang bakal dibekalkan kepada Perodua termasuk unit paparan multimedia, kluster panel instrumen, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), pelbagai suis, lampu-lampu kabin dalaman dan pelbagai lagi.

    MCE turut menyatakan dengan jelas bahawa kontrak selama tiga tahun itu akan bermula pada suku kedua tahun kewangan kumpulan tersebut yang berakhir pada 31 Julai 2026. Ini bermakna Perodua akan memulakan produksi model EV itu pada suku keempat 2025 mengikut kelendar biasa apabila komponen-komponen tersebut mula dibekalkan.

    Model EV Perodua sah akan dilancar suku ke-4 2025 – MCE Holdings meterai kontrak bekalkan komponen

    Perodua sebelum ini telah pun mendedahkan prototaip EV yang berfungsi digelar sebagai emo-1 ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu. Prototaip berkenaan diasaskan dari Myvi generasi ketiga yang digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 68 PS (kadar 50 kW, dengan puncaknya pada 120 kW) dan tork 220 Nm (angka 315 Nm dipaparkan di skrin pameran), membolehkan ia mencapai 100 km/j dalam masa antara tujuh ke sembilan saat.

    Motor berkenaan menerima bekalan kuasa daripada bateri lithium-ion NMC berkapasiti 55.7 kWh (paparan di panel menunjukkan 56.7 kWh), dan menurut Perodua dapat memberikan jarak perjalanan 350 km (dipaparkan di skrin 400 km) dengan satu cas penuh. Ia mengambil masa lima jam untuk dicas sepenuhnya melalui pengecas AC 11 kW, manakala pengecas DC 50 kW memerlukan hanya satu jam lebih.

    Perodua turut mengumumkan bahawa projek ini tidak menyadur teknologi dari Daihatsu, sebaliknya ia dibangunkan sendiri oleh pembuat automotif dari Rawang itu bersama rakan teknikal dari Australia yang tidak dinamakan.

    Model EV Perodua sah akan dilancar suku ke-4 2025 – MCE Holdings meterai kontrak bekalkan komponen

    Dengan pengumuman dari MCE ini nampaknya mengesahkan bahawa versi produksi EV pertama dari Perodua tersebut akan dilancarkan pada suku ke-empat 2025. Ia juga selari dengan tempoh akhir yang diberikan kerajaan yang mahukan Perodua melancarkan EV pertamanya menjelang 2025.

    Dalam pengumuman yang diterbitkan dalam Bursa Malaysia hari ini, MCE turut menyatakan bahawa ia akan mengeluarkan pelaburan sebanyak RM12.8 juta untuk projek tersebut, dan menjangkakan model berkenaan akan memberikan sumbangan positif kepada syarikat itu selama 36-bulan bermula tahun kewangan yang dinyatakan.

     
     
  • WCE: Kutipan tol dilaksanakan di Plaza Tol Taiping Selatan dan Plaza Tol Trong mulai 24 Julai 2024

    Klik untuk besarkan

    Pengendali Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) telah mengumumkan bahawa Jajaran Seksyen 11 (Taiping Selatan – Trong – Beruas) akan melaksanakan kutipan tol bermula jam 12.01 tengah malam pada 24 Julai 2024. Di mana ia melibatkan dua plaza to iaitu Plaza Tol Taiping Selatan dan Plaza Tol Trong. Di mana kadar bayaran tol yang akan dikenakan adalah bermula antara RM1.88 hingga RM13.12 bagi Kelas 1.

    Menurut syarikat tersebut, kutipan tol Seksyen 11 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag (Plaza Tol Taiping Selatan dan Lekir sahaja) dan RFID.

    Pada 12 Mac lalu, Seksyen 11 yang melibatkan Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Bertingkat Beruas telah pun dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang ramai. Ia melibatkan jajaran sepanjang 35.5 km yang menghubungkan pengguna secara terus dari Lebuhraya PLUS di Changkat Jering ke Beruas, Perak.

    WCE: Kutipan tol dilaksanakan di Plaza Tol Taiping Selatan dan Plaza Tol Trong mulai 24 Julai 2024

    Bagi Seksyen 11 ini, ia mempunyai dua persimpangan iaitu Persimpangan Trong dan Persimpangan Taiping Selatan, dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit sahaja berbanding 55 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan ini pastinya memberikan penjimatan kos bahan api bagi pengguna yang menuju ke selatan Perak sehingga ke Selangor dan juga merupakan alternatif kepada Lebuhraya PLUS dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.

    Ia juga merupakan akses yang lebih mudah kepada pengguna untuk ke destinasi pelancongan menarik di sekitar negeri ini seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Hutan Paya Bakau Matang, Muzium Perak, Pantai Remis, Pulau Pangkor serta menjadi nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ulang Tahun ke-150 bandar Taiping.

    Sepanjang laluan Seksyen 11 ini, terdapat enam perhentian teduhan motosikal (untuk kedua-dua arah utara dan selatan).Selain itu, ia turut menyediakan dua terowong lintasan haiwan liar yang merentasi Hutan Simpan Bubu. Malahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) turut disediakan iaitu R&R Sungai Nyiur untuk kedua-dua arah utara dan selatan.

    Lebuhraya WCE merupakan lebuhraya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 km dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting.

    Ia merangkumi 11 seksyen iaitu tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak. Selain Seksyen 11, lima lagi seksyen WCE telah dibuka iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) di Selangor serta Seksyen 8 ( Hutan Melintang-Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir -Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak. Secara purata trafik harian mencecah 70,000 kenderaan yang melalui lima seksyen berkenaan.

    Tinggal lagi dua seksyen lagi yang masih dalam pembinaan iaitu Seksyen 1 (Banting-SKVE) dan Seksyen 2 (SKVE-SAE) untuk melengkapi keseluruhan jajaran WCE. Dijangkakan keseluruhan jajaran lebuhraya ini akan dibuka sepenuhnya pada akhir tahun 2025.

    :

     
     
  • Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

    Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

    Jenama SUV subsidiari Chery, Jaecoo hari ini secara rasmi telah melancarkan model pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu Jaecoo J7. Model ini terus dihasilkan secara pemasangannya tempatan (CKD) menerusi kilang baharu di Shah Alam. Ia ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan versi pacuan roda hadapan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM138,800, diikuti versi pacuan semua roda berharga RM148,800.

    Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J7, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan. Untuk pembeli-pembeli terawal juga, Jaecoo J7 ini juga ditawarkan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer.

    SUV yang berkongsi platform sama seperti Chery Tiggo 7 ini menampilkan saiz dengan dimensi panjang 4,500 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,689 mm dan jarak roda sejauh 2,672 mm. Jadi walaupun nampak seakan sangat besar, Jaecoo J7 ini sebenarnya merupakan SUV segmen-C dan bersaiz lebih kurang sama seperti Proton X70 dengan dimensi panjang 4,519 mm, lebar 1,831 mm, tinggi 1,694 mm dan jarak roda sejauh 2,670 mm.

    Kedua-dua varian menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu dijana enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang dibekalkan oleh Getrag.

    Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

    Ini membolehkan model AWD memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat, manakala model pacuan roda hadapan yang lebih ringan mencatatkan masa lebih pantas iaitu 9.2 saat. Kedua-dua varian ini mencapai kelajuan maksima yang sama iaitu 180 km/j.

    Tidak seperti model lain dalam kelas sama yang kebanyakkannya merupakan SUV gaya hidup dalam bandar, Jaecoo J7 terutamanya dalam versi pacuan semua roda merupakan SUV yang dibekalkan dengan kebolehan meredah off-road Ala-Range Rover.

    Sistem Intelligent 4WD berkenaan diberikan tujuh mod permukaan pemanduan untuk pelbagai situasi dan bentuk muka bumi termasuk Eco, Normal, Sports, Sand, Mud, Snowfield dan Off-road. Gandar belakang model AWD ini juga dengan mampu menampung beban sehingga 3,000 Nm. Model pacuan hadapan pula hanya diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports.

    Jaecoo J7 ini juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, membolehkan ia meredah air dengan kedalaman 600 mm, serta mempunyai sudut approach dan sudut berlepas masing-masing 21- dan 29-darjah.

    Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

    Kedua-dua varian ini hanya dibezakan dari sistem pacuan sahaja, manakala perincian lain adalah sama sepenuhnya. Pada sebelah luar Jaecoo J7 pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, lampu selamat datang, spoiler bumbung belakang, rel bumbung dan juga set rim aloi 19-inci Aurora Design.

    Manakala sebelah dalam, J7 diberikan papan pemuka yang direka ringkas dengan menampilkan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama liang sisi menegak, skrin tengah 14.8-inci untuk sistem infotainmen yang di letak secara menegak, serta skrin paparan instrumen digital LCD 10.25-inci tanpa perumah untuk pemandu bersama paparan head-up. Walau bagaimanapun, kami diberitahu bahawa selepas ini model 2WD akan diberikan dengan skrin infotainmen lebih kecil, namun bila ia akan diubah masih belum diketahui.

    Sistem infotaimen tersebut diberikan sistem navigasi bina dalam bersama fungsi arahan suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta dihubungkan kepada sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara. Ia juga menerima pengecas tanpa wayar 50 watt dengan fungsi penyejuk serta satu port USB Type-C dan port USB biasa.

    J7 ini diberikan upholsteri kulit sintetik, bersama tempat duduk hadapan diberikan fungsi larasan elektrik dan memori serta pemanas penderia induksi dan liang aliran udara. Tempat duduk penumpang hadapan pula diberikan mod Chauffeur, manakala tempat duduk pemandu menerima fungsi selamat datang dan larasan lumbar.

    Selain itu ia juga diberikan cermin sisi dengan fungsi memori dan pemanas, sistem pendingin hawa dua zon dengan sistem penyegar Udara N95, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, cermin privasi belakang, serta sistem kunci pintar bersama penghidup enjin kawalan jauh dengan fungsi pra-pendingin kabin.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk cermin hadapan akustik dan cermin penebat haba, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin 64-warna mengikut irama, perehat tangan tengah hadapan dengan kotak penyejuk di dalamnya dan bumbung suria panaromik.

    Untuk keselamatan pula, Jaecoo J7 pasaran Malaysia ini menerima dashcam hadapan, sistem pemantau pemandu, brek parkir elektronik dengan fungsi auto-hold, bantuan mendaki bukit dan menurun cerun, pengingat had laju dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju yang meliputi fungsi kamera panaromik 540-darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, pengesan titik buta, bantuan kelajuan selekoh, pemberitahu pergerakan kenderaan hadapan, amaran buka pintu, pengekal lorong kecemasan, Integrated Cruise Assist, sistem pengelak pintar, kawalan lampu hadapan pintar, bantuan tukar lorong, pengelak dan amaran keluar lorong, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kesesakan trafik.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Kedua-dua varian iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan juga Model Green.

    Jaecoo J7 AWD

    Pelancaran Jaecoo J7 pasaran Malaysia

     
     
  • Ducati Monster 30 Anniversario dilancar di Malaysia – model keluaran terhad, barangan prestasi, RM116k

    Ducati Monster 30 Anniversario dilancar di Malaysia – model keluaran terhad, barangan prestasi, RM116k

    Ducati Malaysia mengumumkan, model istimewa keluaran terhad Monster 30 Anniversario kini sudah tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM115,900 tidak termasuk insurans. Model ini dikeluarkan sebagai sambutan ulang tahun model Monster yang ke-30 dan dikeluarkan hanya 500 unit untuk seluruh dunia.

    Menjadikan penampilan motosikal ini unik pertamanya adalah warna Tricolore bersama grafik khas 30 Anniversario dan kemudian ditambah dengan pelbagai kemasan lain seperti plet nombor keluaran di atas triple clamp serta sulaman nombor 30 di atas tempat duduk.

    Bagi bahagian teknikal, Ducati bukan sekadar mengambil Monster Standard sebagai asas untuk model istimewa ini, tetapi menggunakan Monster SP. Ini bermakna, Monster 30 Anniversario mendapat barangan prestasi seperti fork hadapan Ohlins NIX30 43 mm boleh laras, angkup brek hadapan Brembo Stylema, bateri lithium ion serta ekzos Akrapovic.

    Tidak cukup dengan itu, ia dipertingkat lagi dengan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya, steering damper Ohlins boleh laras, rim lightweight berwarna emas, penghadang lumpur hadapan dan belakang gentian karbon serta tempat duduk jenis sport yang mempunyai binaan serta kemasan khas untuknya.

    Dengan semua perubahan yang diberi ini, Monster 30 Anniversario mencatat berat 184 kg dan didatangkan standard dengan tempat duduk berketinggian 840 mm (tempat duduk lebih rendah dijual sebagai aksesori). Bagi model ini Ducati memberikannya dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV.

    Kelengkapan lain adalah sama seperti Monster SP, termasuk enjin Testastretta 11 V-twin 111 hp/93 Nm (sama bagi semua model Monster), tambahan mod Wet kepada Sport dan Touring sedia ada, Ducati Quick Shift, Ducati Power Launch, skrin TFT 4.3 inci, Cornering ABS, Ducati Traction Control serta Ducati Wheelie Control.

     
     
  • Ducati DesertX Rally dilancar di Malaysia – RM160,900

    Ducati DesertX Rally dilancar di Malaysia – RM160,900

    Satu varian baru bagi DesertX, iaitu DesertX Rally, yang diperkenalkan pertama kali kepada dunia hujung thaun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM160,900 tidak termasuk insurans. Model ini dinaik taraf dengan pelbagai kelengkapan untuk menjadikannya lebih lasak, khas untuk penunggang yang sentiasa mencari cabaran.

    Penampilan DesertX Rally dijadikan unik dengan warna gabungan merah, putih dan tulisan Ducati besar di bahagian tepi tangki. Untuk kelengkapan luar, ia diberi penghadang lumpur tayar hadapan yang lebih tinggi, penghadang bawah enjin yang diperbuat daripada gentian karbon serta kerangka belakang yang berwarna merah.

    Peningkatan utama yang menjadikan motosikal ini lebih berkemampuan adalah di bahagian suspensi. Di hadapan ia mendapat fork Kayaba 48 mm USD closed cartridge yang boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, sementara di belakang ia dipasang dengan monoshock Kayaba 46 mm yang boleh dilaras sepenuhnya untuk mampatan dan lantunan, serta tombol pelaras pra beban.

    Selain menyediakan prestasi serapan yang lebih baik dan lasak, tetapan suspensi ini juga menyediakan jarak gerak yang lebih tinggi, iaitu peningkatan sebanyak 20 mm, menjadi 250 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. Kelegaan dari tanah pula bertambah 30 mm menjadi 280 mm manakala tinggi tempat duduk sekarang adalah 910 mm (DesertX biasa 875 mm).

    Tidak cukup dengan suspensi, Ducati juga telah menukar rim DesertX Rally ini dengan unit Excel Takasago khas untuk motosikal offroad yang lebih ringan dan lasak. Saiz rim ini masih sama, iaitu 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi menggunakan tetapan jejari hab di tengah dan memerlukan tiub di dalam tayar (Pirelli Scorpion Rally STR.

    Meningkatkan lagi pengendalian DesertX Rally adalah steering damper Ohlins yang boleh dilaras. Dengan semua peningkatan kelengkapan ini, DesertX Rally cuma mencatat tambahan berat satu kilogram berbanding DesertX biasa yang mencatat 223 kg (sedia untuk ditunggang). Tangki bahan api masih 21 liter.

    Ducati DesertX Rally dilancar di Malaysia – RM160,900

    Pakej kuasa motosikal ini masih sama dengan DesertX biasa, iaitu padanan enjin Testastretta 11 L-Twin 937 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter, mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 9,250 rpm dan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.

    Pengguna motosikal ini disediakan dengan enam mod tunggangan dan ia juga datang dengan pelbagai sistem bantuan dan kelengkapan elektronik yang termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control, cruise control serta skrin TFT lima inci.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025