Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Levorg STi dan Forester Turbo baru ditemui di PJ – pelancaran pasaran Malaysia semakin hampir?

    Subaru Levorg STi dan Forester Turbo baru ditemui di PJ – pelancaran pasaran Malaysia semakin hampir?

    Dua model Subaru yang masih belum dilancarkan di Malaysia telah ditemui oleh pembaca kami, Jason Choo, yang menghantar gambarnya seperti yang boleh anda lihat dalam muatan ini. Ia adalah Subaru Levorg STi dan Forester Turbo baru, dengan lokasinya berada betul-betul di hadapan pusat pameran Subaru Petaling Jaya, Selangor.

    Levorg di dalam gambar ini dilihat mempunyai lencana STi, dan mempunyai penampilan sama seperti versi STI Sport dan STI Sport EX yang dipasarkan di Jepun. Model Levorg yang ada sekarang dipacu oleh enijn petrol empat silinder boxer 1.8 liter turbo, dengan kuasa 177 PS dan tork 300 Nm, dihantar kepada semua tayar melalui transmisi CVT.

    Turut dilihat bersama Levorg STi ini adalah Forester Turbo, yang juga menggunakan enjin petrol empat silinder boxer 1.8 liter turbo, menghasilkan 177 PS dari 5,200 ke 6,000 rpm dan 300 Nm dari 1,600 ke 3,600 rpm.

    Subaru Levorg STi dan Forester Turbo baru ditemui di PJ – pelancaran pasaran Malaysia semakin hampir?

    Kita boleh mengenali model ini adalah Forester Turbo, dan bukannya versi NA seperti Forester yang lain dengan melihat kepada bahagian rim serta ekzos yang mempunyai dua muncung (sama seperti Levorg STi). Juga sama seperti Levorg STi, Forester Turbo ini juga menggunakan transmisi CVT dan kuasa disampaikan ke semua tayar.

    Ketibaan model Forester turbo ini sudah tentu memberikan pilihan yang lebih berprestasi kepada pelanggan, berbanding model sedia ada yang cuma menggunakan enjin NA empat silinder 2.0 liter boxer berkuasa 156 PS dan 196 Nm. Harga model turbo ini juga dijangka lebih tinggi, berbanding model NA yang dijual antara RM164k ke RM186k.

     
     
  • Sime Darby, Porsche besarkan fasiliti pemasangan di Kulim – Cayenne S E-Hybrid Coupe dieksport ke Thai

    Sime Darby, Porsche besarkan fasiliti pemasangan di Kulim – Cayenne S E-Hybrid Coupe dieksport ke Thai

    Sime Darby dan Porsche telah bersama-sama mengumumkan pembesaran fasiliti pemasangan pembuat kereta itu di Inokom yang merupakan kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan Sime Darby di Kulim, Kedah.

    Kilang yang telah diperbesarkan itu kini seluas 11,000 meter persegi untuk memenuhi peningkatan kapasiti dan menempatkan barisan pengeluaran baharu bagi model keduanya, iaitu model plug-in hybrid Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé. Model versi baharu ini merupakan kenderaan Porsche pertama yang dipasang di Malaysia untuk dieksport ke pasaran Thailand. Setakat ini, fasiliti terbabit yang merupakan kilang pemasangan pertama di luar Eropah yang dibuka pada tahun 2022, telah pun mengeluarkan lebih 2,000 unit bagi Cayenne.

    “Usaha ini merupakan satu mercu jaya penting bagi Sime Darby bersama rakan kerjasama kami Porsche untuk memanfaatkan peluang baharu di rantau ASEAN sambil membuktikan keupayaan bakat tempatan kami yang berkemahiran tinggi. Kami tetap teguh untuk memenuhi komitmen kami dengan menawarkan produk konsisten yang memenuhi permintaan daripada pelanggan Porsche, yang memperluas pasaran domestik ke negara jiran kita, Thailand,” kata Dato’ Jeffri Salim Davidson, CEO Kumpulan Sime Darby.

    Sime Darby, Porsche besarkan fasiliti pemasangan di Kulim – Cayenne S E-Hybrid Coupe dieksport ke Thai

    Albrecht Reimold, Ahli Lembaga Eksekutif Pengeluaran, Porsche AG berkata, “Porsche telah mencipta sejarah apabila membuka kemudahan pemasangan tempatan di Malaysia pada 2022. Sejak itu, kami telah mencapai pelbagai mercu jaya penting, termasuk memasang lebih daripada 2,000 Cayenne di dalam negara dalam tempoh hanya dua tahun selepas kemudahan dibuka dan mendapat tempat di hati keluarga di Malaysia.

    “Kini, kami bersiap sedia untuk memenuhi permintaan masa depan dengan menaik taraf dan meluaskan kemudahan di Kulim bagi memastikan bahawa model Cayenne sulung yang bakal dieksport ke pasaran serantau untuk memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan.”

    Kemudahan pemasangan tempatan bagi Porsche telah direka dan dibina dengan mengambil kira piawaian kelestarian. Panel solar dengan sistem pemantauan pintar dipasang di atas bumbung untuk menjana kuasa yang diperlukan bagi operasi, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Sejajar dengan pembesaran kemudahan ini, kapasiti panel solar akan ditambah tidak lama lagi. Dalam pada itu, teknologi pengumpulan air hujan terus diguna pakai sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian menerusi penggunaan sumber asli yang berkesan.

    Berkenaan dengan Cayenne, model facelift bagi E3 CKD ini telah pun dilancarkan di sini pada Oktober 2023 dan berharga RM600k. Namun kita masih belum ada Cayenne S E-Hybrid sama ada dalam bentuk badan normal atau coupe, namun memandangkan PHEV ini kini dipasang di sini, kebarangkalian ia akan memasuki bilik pameran tempatan tidak lama lagi. Atau mungkin juga Cayenne Coupe dengan enjin 3.0L V6?

    Cayenne S E-Hybrid terkini menerima enjin 3.0L V6 turbo dengan kuasa 353 PS dipadankan bersama motor elektrik 176 PS. Jumlah keseluruhan output mencecah 519 PS dan tork 750 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.7 saat dan kelajuan maksimum cecah 263 km/j. Bagi jarak gerak elektrik sepenuhnya boleh cecah 90 km mengikut kitaran WLTP, hasil janaan bateri 25.9 kWh.

     
     
  • Mitsubishi Xpander kini ditawarkan dengan kos buruh percuma setahun dan rebat tunai hingga RM4k

    Mitsubishi Xpander kini ditawarkan dengan kos buruh percuma setahun dan rebat tunai hingga RM4k

    Mitsubishi Xpander kini ditawarkan dengan ganjaran ekstra yang berupa kos buruh percuma selama setahun untuk penyelenggaran dan juga rebat tunai. Secara spesifik, tawaran yang disenaraikan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) adalah “Kos buruh percuma 1-tahun + rebat tunai RM1,000”.

    Selain itu, terdapat juga rebat ekstra sebanyak RM2,000 untuk pemilik Mitsubishi dan tambahan RM1,000 bagi penjawat awam. Jika anda menepati semua penawaran di atas, rebat berkenaan boleh mencecah hingga RM4,000. Jika berminat, anda boleh ke bilik pameran Mitsubishi Motors berhampiran. Promosi ini akan berakhir pada 31 Julai 2024.

    Dalam masa yang sama, MMM turut bakal menghadiahkan pakej pelancongan bernilai RM10,000 untuk pembeli Xpander yang ke-40,000. Ia sempena dengan kejayaan pengeluaran unit yang ke-40,000 bagi MPV tujuh-tempat duduk tersebut. Pakej percutian tersebut membuka peluang untuk pemenang memilih sendiri destinasi yang ingin dikunjungi.

     
     
  • Xiaomi SU7 Ultra Prototype guna tetapan tiga motor, mampu hasilkan 1,548 PS, untuk kegunaan litar sahaja

    Xiaomi SU7 Ultra Prototype guna tetapan tiga motor, mampu hasilkan 1,548 PS, untuk kegunaan litar sahaja

    Kereta pertama Xiaomi, SU7, yang diperkenalkan pada tahun lepas untuk menentang Porsche Taycan anda mungkin sudah pernah lihat, tapi bagaimana pula hala tujunya selepas ini? Nampaknya pengeluar telefon pintar dari China itu tidak akan berhenti, malah mara lebih serius dengan pengenalan SU7 versi prestasi tinggi pula, dipanggil sebagai SU7 Ultra Prototype.

    Menggunakan nama yang sama seperti telefon Xiaomi yang paling mahal dan mempunyai penampilan seperti McLaren 720S GT3, SU7 Ultra ini jauh mengatasi prestasi Taycan Turbo GT. Sementara EV dari Porsche itu ditala supaya boleh digunakan atas jalan biasa, SU7 Ultra pula hanya dikhaskan untuk kegunaan litar. Disebabkan itu, ia boleh diubah suai seperti tiada had.

    Bermula di bahagian mekanikal, SU7 Ultra ini menggunakan tetapan tiga motor elektrik seperti Tesla Model S Plaid dan Lucid Air Sapphire, termasuk motor V8 keluaran sendiri Xiaomi. Dua daripada motor ini diletakkan di belakang, dengan setiap satunya menghasilkan 578 PS (425 kW) dan tork 635 Nm.

    Xiaomi SU7 Ultra Prototype guna tetapan tiga motor, mampu hasilkan 1,548 PS, untuk kegunaan litar sahaja

    Ia kemudiannya dipadankan dengan motor V6 daripada SU7 Max yang diletakkan di hadapan, dan hasilnya, kereta ini secara keseluruhannya dapat menghamburkan 1,548 PS (1,139 kW) kepada semua roda. Dilengkapi tayar slick Pirelli P Zero, SU7 Ultra dapat melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 1.97 saat, 0-200 km/j dalam 5.96 saat dan mencapai kelajuan maksimum 350 km/j.

    Memberikan tenaga kepada motor ini adalah bateri 897-volt (kapasiti tidak diberitahu) yang dikatakan direka secara spesifik untuk perlumbaan. Ia adalah bateri Qilin II pertama CATL, yang diberitahu mempunyai rintangan dalam sel sangat rendah dan masih boleh mengeluarkan kuasa maksimum sehingga 1,330 kW (1,808 PS); walaupun bateri berada pada tahap 20%, ia masih boleh mengeluarkan lebih 800 kW (1,088 PS).

    Dengan kuasa sebegini, bahagian brek juga dipertingkat dengan unit AP Racing enam piston di hadapan, bersama sistem penjanaan semula kuasa brek yang boleh mengumpul kembali sehingga 400 kW dan memberi daya henti sehingga 0.6g. Walaupun dengan panel badan gentian karbon, bahagian dalam yang dikosongkan serta berat yang dikurangkan lebih 500 kg, SU7 Ultra ini masih mencatat berat 1,900 kg.

    Xiaomi SU7 Ultra Prototype guna tetapan tiga motor, mampu hasilkan 1,548 PS, untuk kegunaan litar sahaja

    Menariknya, aerodinamik kereta spesifikasi lumba ini dapat menghasilkan downforce yang cukup untuk bertindak dengan beratnya. Ini adalah hasil penggunaan antaranya seperti splitter hadapan, diffuser, lubang udara pada lengkuk roda serta sayap belakang besar. Pada kelajuan 350 km/j, SU7 Ultra dapat menghasilkan daya tolak ke bawah 2,145 kg.

    Xiaomi mempunyai perancagan untuk membawa SU7 Ultra ini ke litar Nürburgring pada bulan Oktober untuk membuat cubaan memecahkan rekod masa kereta empat pintu production yang dipegang oleh Taycan Turbo GT (7m 7.55s). Selain daripada itu, tetapan tiga motor ini juga akan diperkenalkan pada SU7 jualan umum, dan juga dipanggil Ultra pada tahun hadapan.

     
     
  • Tiga lokasi di Lebuhraya NKVE dan SPRINT ditutup sementara pada 24 Julai-30 Okt, 11 malam-5 pagi

    Klik untuk besarkan

    Makluman buat pengguna Lebuhraya NKVE dan SPRINT, difahamkan terdapat laluan yang bakal ditutup sementara di tiga lokasi di kedua-dua lebuhraya terbabit bermula hari ini sehingga 30 Oktober 2024. Penutupan terbabit dilaksanakan bagi kerja-kerja pemasangan gantri oleh pihak ketiga di Lebuhraya NKVE, dari jam 11 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh yang dinyatakan itu.

    Lokasi-lokasi terbabit melibatkan lorong laju dan lorong satu menghala ke Kuala Lumpur, berhadapan dengan stesen minyak BHP berhampiran Kenanga. Lokasi kedua pula membabitkan lorong laju dan lorong tengah satu KM1.2 hingga KM0.0 di Lebuhraya SPRINT, Damansara Link.

    Manakala lokasi ketiga pula membabitkan lorong perlahan dan lorong tengah dua di KM1.2 hingga KM0.0 di Lebuhraya SPRINT, Damansara Link, juga menghala ke Kuala Lumpur.

    “Pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk memandu dengan berhati-hati serta mematuhi arahan papan tanda dan polis trafik di lokasi sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja ini,” kata LITRAK selaku pengendali Lebuhraya SPRINT.

     
     
  • Toyota Corolla bakal terima varian PHEV dengan teknologi BYD untuk jarak gerak hingga 2,100 km

    Toyota Corolla bakal terima varian PHEV dengan teknologi BYD untuk jarak gerak hingga 2,100 km

    Toyota Corolla generasi akan datang yang dikatakan akan diperkenalkan pada tahun 2026, bakal menerima teknologi plug-in hybrid dari pengeluar kereta China, BYD, menurut laporan Best Car Web. Dengan teknologi ini, ia dikatakan mampu memberikan jarak gerak sehingga 2,100 km.

    Varian PHEV ini juga akan dipadankan dengan unit baharu enjin petrol 1.5 liter, di mana Toyota menyasarkan untuk mencapai kecekapan terma sekurang-kurangnya 46.06%, meningkat daripada enjin Dynamic Force semasa pengeluar Jepun yang mencapai kecekapan terma 41% pada tahap tertinggi, menurut penerbitan Jepun terbabit.

    Enjin petrol baharu tersebut akan menggantikan unit terdahulu 1.5 liter dan akan menawarkan naturally aspirated dan pengecas turbo. Walau bagaimana pun spesifikasi sebenar masih belum didedahkan secara rasmi, namun Best Car Web menjangkakan enjin baharu ini bakal menghasilkan sekitar 130 PS dan 147 Nm dalam naturally aspirated, dengan kuasa 100 PS dan 127 Nm untuk hibrid dan sekitar 180 PS dan 225 Nm dalam bentuk pengecas turbo.

    Toyota Corolla bakal terima varian PHEV dengan teknologi BYD untuk jarak gerak hingga 2,100 km

    Penerbitan Jepun ini juga menyarankan unit enjin akan datang 1.5 liter pengecas turbo juga boleh diberikan untuk kategori enjin 2.5 liter, dan ia merujuk kepada model GA-K dari Toyota seperti RAV4, Vellfire/Alphard MPVs, dan Crown.

    Ia dikatakan akan dipadankan dengan teknologi plug-in hybrid dari BYD, dan penerbitan itu mendakwa Toyota menyasarkan gabungan jarak pemanduan yang sama sehingga 2,100 km untuk versi PHEV model akan datang, seperti yang diperoleh BYD Qin L DM-i dan Seal 06 DM-i.

    Buat masa ini, versi plug-in hybrid bagi Prius generasi kelima diberikan pek bateri 13.6 kWh, yang membolehkan PHEV berkenaan mencapai jarak gerak hingga 105 km.

    Imej render digital Corolla generasi akan datang yang digambarkan oleh penerbutan terbabit, mungkin klihatan seperti model baharu yang bakal diperkenalkan, dan Touring (station wagon) yang dipamerkan nampaknya menampilkan garisan bonet yang lebih rendah, dan condong hungga ke tiang-A kereta ini, sama seperti Prius generasi kelima yang membuat penampilan sulungnya pada November 2022.

     
     
  • DBKL pergiat usaha tunda kenderaan tersadai

    DBKL pergiat usaha tunda kenderaan tersadai

    Sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membiarkan kenderaan tersadai di merata tempat memang menyebalkan, seolah tiada kesederan sivik dan hanya mementingkan diri sendiri. Malah isu ini juga boleh menyebabkan kekurangan petak parkir terutamanya di kawasan perumahan, selain menjadi halangan lalu lintas dan tempat pembiakan makhluk perosak.

    Bagi mengatasi pemasalahan ini daripada terus berlarutan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah untuk mempergiatkan usaha menunda kenderaan-kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai ini ke depoh kenderaan buruk di Salak Selatan, Taman Connaught dan Pantai Sentral setelah tempoh notis yang diletakkan di kenderaan buruk tersadai ini tamat.

    Dalam masa yang sama, DBKL turut menyarankan agar para pemilik kenderaan usang ni mengambil inisiatif untuk menyelesaikan hal kenderaan tersebut.

    “Kalau ada modal boleh baik pulih, boleh juga dilerai dan dijual sebagai alat ganti kenderaan malahan ada sesetengah pemilik kenderaan yang kreatif menjadikan kenderaan usang mereka sebagai hasil seni.. yang penting kena bertanggungjawab pada kenderaan usang masing-masing,” kongsi DBKL menerusi laman Facebook rasminya.

    DBKL turut bermakat, ada segelintir pemilik yang marah-marah selepas kenderaan buruk mereka ditunda dengan alasan mereka masih mahukan kenderaan tersebut, walau pun telah dibiarkan tersadai berbulan-bulan, malah bertahun lamanya. Notis telah dikeluarkan oleh DBKL, tetapi tidak diendahkan, jadi apa lagi pilihan yang ada? Tunda sajalah kenderaan tu ke depoh DBKL kan…

     
     
  • JPJ lantik Aedy Fadly sebagai Ketua Pengarah baru

    JPJ lantik Aedy Fadly sebagai Ketua Pengarah baru

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pelantikan Aedy Fadly Ramli sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa semalam, 23 Julai 2024. Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Rospiagos Taha yang memegang jawatan itu sejak 19 Jun 2023.

    Menurut JPJ, Aedy Fadly berpengalaman dalam perancangan strategik dasar, isu dan sistem berkaitan pengangkutan jalan serta perancangan operasi JPJ semasa menjawat Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ sejak 2021.

    Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Bandar), Universiti Teknologi Berlin, Jerman, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan di Kementerian Pengangkutan, Setiausaha Bahagian Perolehan dan Aset di Kementerian Pendidikan serta pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan.

    “Berdasarkan pengalaman dan kepimpinan, beliau akan terus memacu kecemerlangan JPJ dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini,” menurut JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Sekurang-kurang 6.5j diesel disalahguna, diseludup setiap hari sebelum penyasaran semula subsidi – MoF

    Sekurang-kurang 6.5j diesel disalahguna, diseludup setiap hari sebelum penyasaran semula subsidi – MoF

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan sekurang-kurangnya 6.5 juta liter diesel sehari disalah guna oleh industri atau diseludup ke negara jiran sebelum penyasaran semula subsidi dilaksanakan, laporan Bernama.

    Beliau berkata, menerusi penyasaran semula subsidi diesel telah menyaksikan pengurangan jualan sebanyak 23% atau 6.5 juta liter sehari dari stesen minyak di Semenanjung. Di mana purata jualan harian diesel dari stesen minyak seluruh Semenanjung pada awal Jun adalah 28.6 juta liter sehari, manakala pada awal bulan ini, purata jualan harian diesel menurun kepada 22.2 juta liter sehari.

    “Kesimpulan ini disokong dengan data yang menunjukkan jualan diesel secara komersial telah meningkat sebanyak 4.8 juta liter sehari bagi tempoh perbandingan yang sama.

    Sekurang-kurang 6.5j diesel disalahguna, diseludup setiap hari sebelum penyasaran semula subsidi – MoF

    “Memandangkan kini harga di stesen minyak adalah pada RM3.35 seliter, pihak industri yang sebelum ini membeli diesel bersubsidi telah beralih balik kepada membeli diesel secara komersial,” katanya di Dewan Negara semalam.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar dan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang secara kolektif ingin tahu berkaitan keberkesanan inisiatif Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) selepas penyasaran subsidi diesel.

    Menurut Amir Hamzah, pada masa sama terdapat stesen minyak di kawasan utara Semenanjung Malaysia berdekatan dengan sempadan yang mengalami kejatuhan jualan diesel 40 hingga 50% selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

    “Keadaan ini memaparkan kejatuhan aktiviti penyeludupan ke negara jiran disebabkan pengurangan margin keuntungan penyeludup,” katanya.

     
     
  • Volvo EX30 ditemui di Malaysia – mungkin untuk eksport ke Indonesia, lancar di sini tidak lama lagi?

    Volvo EX30 ditemui di Malaysia – mungkin untuk eksport ke Indonesia, lancar di sini tidak lama lagi?

    Volvo EX30 sudah didedahkan kepada dunia hampir satu tahun, dan nampaknya tidak lama lagi ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV elektrik ini telah ditemui oleh pembaca kami, Fong QL, sewaktu ia sedang diangkut atas treler berhadapan balai polis Klang Selatan, hanya beberapa kilometer dari Pelabuhan Klang.

    Melihat kepada arah tujunya, kereta-kereta ini nampak seperti akan dieskport, mungkin ke Indonesia kerana ia baru sahaja dilancarkan di sana minggu lalu. Dalam pada itu, ia juga boleh diambil sebagai petunjuk bahawa model tersebut sudah mula dipasang di kilang Volvo di Shah Alam – pelancaran untuk pasaran Malaysia juga dijangka berlaku tidak lama lagi.

    Tahun lepas, pengarah urusan Volvo Car Malaysia (VCM), Charles Frump telah memberitahu bahawa EX30 akan tiba sebelum EX90, memberi petunjuk kepada pelancaran tahun 2024. Penemuan model tersebut seperti dalam gambar menguatkan lagi kenyataan tersebut.

    Volvo EX30 ditemui di Malaysia – mungkin untuk eksport ke Indonesia, lancar di sini tidak lama lagi?

    Buat masa ini kita masih tidak tahu spesifikasi model pasaran Malaysia, tapi di Indonesia, SUV tersebut ditawarkan dalam varian Plus dengan satu motor dan Extended Range, dengan harga masing-masing 890,000,000 rupiah (RM256,900) dan 1,160,000,000 rupiah (RM334,900).

    Kedua-dua varian ini menyediakan kuasa 272 PS (200 kW) dan tork 343 Nm pada roda belakang, tetapi bezanya adalah pada saiz bateri. Model permulaan mendapat bateri lithium iron phosphate (LFP) 51 kWh yang mampu memberi jarak gerak WLTP 344 km, manakala model Extended Range menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 69 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 479 km dengan sekali cas penuh.

    Berkenaan pengecasan, EX30 biasa boleh menerima sumber pengecas DC sehingga 150 kW, yang akan mengambil masa 26 minit untuk menaikkan bateri dari 10 ke 80%, sementara Extended Range boleh menerima sumber sama sehingga 175 kWh. Walaubagaimanapun, dengan saiz bateri yang lebih besar, masa yang diperlukan adalah sedikit lebih iaitu 28 minit.

    Volvo EX30 ditemui di Malaysia – mungkin untuk eksport ke Indonesia, lancar di sini tidak lama lagi?

    Antara kelengkapan yang diberi pada EX30 standard adalah termasuk lampu utama LED dengan lampu tinggi aktif, rim 18 inci, sistem tanpa kunci, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci, pengecas tanpa wayar Qi, sistem audio Harman Kardon dengan sembilan pembesar suara, pintu but bukaan kuasa serta kamera undur. Model Extended Range pula menerima rim 19 inci, bumbung panoramik serta kamera 360 darjah.

    Pada bahagian keselamatan, model pasaran Indonesia datang secara terus dengan tujuh beg udara, Autonomous Emergency Braking, Driver Attention Monitor, Blind Spot Monitoring, amaran buka pintu dan sistem pemanduan autonomous Level 2 Pilot Assist yang termasuk Adaptive Cruise Control dengan stop and go dan Lane Centring Assist.

    Sudah tentu, spesifikasi model pasaran Malaysia boleh jadi berbeza, dan ada juga kemungkinan VCM akan memperkenalkan varian paling berkuasa iaitu Dual-Motor Extended Range yang mampu menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak kurang sedikit daripada 460 km dengan menggunakan bateri NMC 69 kWh.

     
     
  • Maserati Grecale 2024 dibuka untuk tempahan di Msia – GT 2.0L hibrid dan Trofeo 3.0T V6, dari RM635k

    Maserati Grecale 2024 dibuka untuk tempahan di Msia – GT 2.0L hibrid dan Trofeo 3.0T V6, dari RM635k

    Maserati Grecale 2024 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu GT hibrid ringkas pada harga RM634,889, dan Trofeo V6 3.0 liter twin-turbo berharga RM1.1 juta. Harga ini sudah dimasukkan sekali dengan cukai dan duti, tetapi tidak termasuk insurans.

    Model GT masih lagi menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo bersama teknologi belt starter-generator (BSG), mampu menghasilkan kuasa 300 PS pada 5,750 rpm dan tork 450 Nm antara 2,000 ke 4,000 rpm, dihantar kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan dan limited-slip differential (LSD) belakang yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pakej kuasa ini membolehkan Grecale GT memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, 0-200 km/j dalam masa 23.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Memegang badannya adalah suspensi yang terdiri daripada tetapan double-wishbone di hadapan dan multi-link di belakang, sementara pengawal serapan aktif dan suspensi udara disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pergi pula kepada model Trofeo, ia mendapat enjin enjin petrol V6 3.0 liter twin turbo, yang berkuasa 530 PS pada 6,500 rpm dan tork 620 Nm antara 3,000 ke 5,500 rpm, dihantar ke semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan serta LSD yang diberikan secara standard.

    Enjin yang lebih berkuasa ini membolehkan Grecale Trofeo memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, 0-200 km/j dalam 13.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 285 km/j. Untuk suspensi, Trofeo mendapat spring udara secara standard. Turut disediakan untuk kedua-dua varian Grecale ini adalah Vehicle Dynamic Control Module (VDCM), yang menyediakan empat mod pemanduan, iaitu Comfort, GT, Sport dan Off-Road.

    Untuk bahagian brek, Grecale GT menggunakan cakera 350 mm di hadapan dan 330 mm di belakang, terletak di sebalik rim bersaiz 20 inci. Trofeo pula diberikan dengan brek lebih besar, iaitu cakera 360 mm di hadapan dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 350 mm di belakang – rim menggunakan saiz 21 inci, dibalut tayar 255/40R21 di hadapan dan 295/35R21 di belakang.

    Maserati Grecale 2024 dibuka untuk tempahan di Msia – GT 2.0L hibrid dan Trofeo 3.0T V6, dari RM635k

    Masuk ke dalam, Grecale 2024 menggunakan panel instrumen digital 12.3 inci, bersama skrin infotainmen 12.3 inci di bahagian tengah serta satu lagi skrin 8.8 inci untuk kawalan fungsi tambahan. Varian Trofeo pula boleh ditambah dengan head-up display.

    Sama seperti sebelum ini, sistem audio Sonus Faber dengan sehingga 21 pembesar suara masih disediakan, manakala bahagian dalam melihatkan balutan kulit “Saffiano-inspired” di papan pemuka, papan pemuka serta panel pintu.

    Kedua-dua versi Grecale ini didatangkan dengan jaminan tiga tahun, tanpa had batuan, dan boleh ditambah dengan jaminan sehingga 10 tahun, yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    GALERI: Maserati Grecale GT 2024

    GALERI: Maserati Grecale Trofeo 2024

     
     
  • Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula tahun ini

    Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula tahun ini

    Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan bermula tahun ini selepas perjanjian konsesi selesai ditandatangan, kata menteri besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

    Menurut Saarani lagi, beliau diberitahu bahawa Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan WISE kini sedang melihat kepada tarikh yang sesuai untuk menandatangani perjanjian tersebut. “Jadi apabila itu sudah selesai, pembinaan boleh dimulakan,” kata beliau kepada media di Ipoh semalam, lapor Bernama.

    Pada Disember 2023, Saarani mendedahkan bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan pembinaan WISE, iaitu satu lebuh raya sepanjang 60 km dari Gopeng ke Kuala Kangsar, yang memintas jajaran Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Beliau juga memberitahu bahawa WISE akan dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

    Pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula tahun ini

    MB Perak itu menjelaskan, WISE akan melengkapkan rangkaian lebuhraya di negeri tersebut yang kerap menghadapi kesesakan teruk terutama di laluan Terowong Menora PLUS. Buat masa ini, pemandu tidak mempunyai alternatif melainkan terpaksa melalui jalan lama yang sempit dari Sungai Siput ke Chemor.

    “Jika tersangkut akibat kemalangan dalam terowong atau di bawah (jalan utama), orang ramai tidak mempunyai pilihan. Tetapi dengan WISE, mereka boleh keluar di Kuala Kangsar dan terus ke Gopeng (untuk terus ke PLUS), atau keluar di Changkat Jering dan mengambil Lebuhraya Pantai Barat,” jelasnya.

     
     
  • Belum ada tarikh laksana pelarasan subsidi RON95

    Belum ada tarikh laksana pelarasan subsidi RON95

    Belum ada lagi tempoh untuk memulakan pelarasan semula subsidi petrol RON95 dalam masa terdekat. Ini yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dilaporkan oleh The Star.

    Ini adalah kerana kerajaan ingin memastikan yang orang ramai faham sepenuhnya pelaksanaan subsidi bersasar diesel terlebih dahulu. “Perkara ini belum dibincangkan. Kami akan uruskan perkara berkaitan subsidi diesel terlebih dahulu, untuk memberikan penjelasan yang tepat terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan kerana selalu ada pihak yang akan memanfaatkan isu ini,” jelas beliau.

    Awal bulan ini, Anwar berkata yang belum ada kertas dasar lagi berkaitan pelaksanaan pelarasan semula subsidi petrol RON95, tetapi menekankan bahawa subsidi RON95 petrol sudah sepatutnya ditarik balik lama dahulu, walaupun itu bukanlah perkara mudah untuk dilakukan.

    Tambah beliau, pelarasan subsidi bahan api perlu dilakukan untuk mengimbangi pendapatan negara dan membayar hutang negara. Penarikan semula subsidi secara keseluruhan menjadi sebahagian daripada cara yang perlu diambil untuk meningkatkan pendapatan negara, termasuk mengurangkan perbelanjaan dan meminjam hanya jika benar-benar diperlukan untuk tujuan pembangunan.

    “Langkah lain termasuklah melaksanakan undang-undang cukai yang lebih cekap. Jika kita tidak melakukan ini, pendapatan negara tidak akan bertambah, tetapi hutang kita akan terus meningkat,” jelas beliau.

     
     
  • Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

    Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

    Model terbaru Lexus di Malaysia, Lexus LBX diperkenalkan secara rasmi hari ini untuk pasaran tempatan. Menggantikan UX sebagai model paling kompak dan mampu milik jenama itu di sini, ia merupakan sebuah SUV hibrid segmen B dengan saiz yang lebih kecil daripada BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA.

    LBX merupakan model CBU dari Jepun dan dijual dengan harga bermula RM238,888 bagi varian Premium yang paling asas, hinggalah kepada RM268,888 untuk varian Luxury. Jika pelanggan memilih skim warna dua-tona dengan bumbung hitam, tambahan RM1,500 akan dikenakan untuk kedua-dua varian.

    LBX datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan juga jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya, dengan pilihan untuk tambahan dua tahun lagi.

    Nama yang merupakan singkatan kepada Lexus Breakthrough Crossover (LBX) ini dibangun menggunakan platform segmen B Toyota New Global Architecture (GA-B) — versi Lexus bagi model global Toyota Yaris Cross (dan berbeza dengan versi ASEAN yang menggunakan Daihatsu New Global Architecture).

    Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

    LBX mempunyai ukuran 4,190 mm panjang, 1,825 mm lebar dan 1,560 mm tinggi — ini 310 mm lebih pendek, 20 mm kurang lebar dan 82 mm lebih rendah berbanding X1, dengan jarak rodanya 2,580 mm yang 112 mm lebih pendek. Ia juga hanya 125 mm lebih panjang berbanding Perodua Ativa.

    Bagaimanapun, model ini dibangunkan untuk memberi pengalaman pemanduan yang lebih premium. Binaan badannya menggunakan bahan pelekat sktruktural dan bahagian kimpalan pendek untuk meningkatkan keteguhan, dengan komponen ringan seperti bonet aluminium dan bahagian resin/plastik turut dimanfaatkan.

    Suspensi belakang LBX menggunakan jenis torsion beam, yang menurut Lexus telah diberikan keseimbangan untuk dan kestabilan pemanduan dan keselesaan penumpang. LBX juga dilengkapi ciri Vehicle Braking Posture Control untuk mengimbangkan daya brek depan dan belakang secara automatik untuk mengurangkan olengan.

    Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

    Hanya satu unit janaan kuasa ditawarkan, iaitu M15A-FXE 1.5 liter NA kitaran Atkinson tiga-silinder yang menghasilkan 91 PS pada 5,500 rpm dan 120 Nm tork dari 3,800 hingga 4,800 rpm. Ini digandingkan juga dengan sebuah motor elektrik 94 PS/185 Nm dan eCVT generasi baru serta bateri nickel-metal hydride untuk menghasilkan output keseluruhan 136 PS. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat.

    Rekabentuk umum LBX menerima sentuhan yang sama daripada model lain seperti Lexus NX, RX dan RZ. Spindle grille kini diolah menjadi “spindle body” dengan mengekalkan bukaan trapezoid yang lebih kecil. Palang warna perak di atasnya pula menghubungkan lampu LED dengan DRL dengan kesan visual seperti keningnya.

    Dari sisi, rekaan berkotaknya memperlihatkan jarak roda yang panjang dengan bahagian overhang yang pendek. Jalur krom di atas tingkap dilanjutkan ke spoiler belakang dan memberikan kesan bumbung apung kepadanya. Di belakang, lampu dengan kelebaran penuh dihadirkan, dihiasi ejaan Lexus yang jelas. Tempat nombor plat pula dialihkan ke bahagian bampar.

    LBX Premium menggunakan rim aloi 17-inci kelabu dengan jejari V, sementara Luxury menerima rim 18-inci jejari Y dua tona. Turut membezakan varian Luxury ialah bodykit, yang melibatkan skirting depan dan belakang sengan bahagian perak di tengah, serta tiang C dengan permukaan bertekstur yang berselang jalur kesat dan berkilat.

    Di dalam, LBX tampil dengan rekaan kabin yang lebih ringkas. Konsol tengahnya menempatkan skrin sentuh 9.8-inci dengan antaramuka Tazuna yang terkini (tiada ciri Remote Touch), dan menyokong sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar. Suis fizikal untuk pendingin dwi-zon — dengan ciri Panasonic nanoe X ioniser — ada tersedia.

    Untuk pemandu, klsuter instrumen digital ada di depan — tujuh-inci untuk Premium, 12.3-inci untuk Luxury — dan juga head-up display untuk Luxury. Selain itu ada empat slot USB-C dengan kuasa hingga 15 watt, serta pengecas tanpa wayar Qi. Enam pembesar-suara datang standard, sementara Luxury menerima sistem bunyi premium Mark Levinson dengan 13-pembesar suara.

    Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

    Ruang but agak kecil dengan 315 liter, tetapi boleh dilanjutkan kepada 992 liter dengan penyandar kerusi 60:40 direbahkan. Ciri standard lain termasuklah sistem tanpa kunci, cermin pandang belakang anti-silau, sistem tunjuk arah, pintu ruang barangan berkuasa dan kamera undur. Luxury pula menerima tambahan sistem kamera 360-darjah dengan fungsi telus, cermin pandang belakang digital serta bantuan Lexus Teammate Advanced Park.

    Aspek kelengkapannya pula terdiri daripada lapan beg udara sebagai standard serta ciri lengkap di bawah Lexus Safety System+. Ini termasuklah AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, Active Cornering Assist, pengesan papan tanda trafik, peninjau titik buta, amaran bukaan pintu dan lampu tinggi automatik.

    Enam pilihan warna badan disediakan: Silver Metallic, Astro Grey Metallic, Sonic Chrome, Sonic Copper, Sonic Quartz dan Black Mica. Terdapat tiga lagi warna khas yang perlu ditempah jika mahu — Red Spinel, Passionate Yellow dan Deep Azure Mica Metallic.

    Lexus LBX Premium 2024

    Lexus LBX Luxury 2024

     
     
  • CFMoto 800MT Explore Edition dilancar di Malaysia – beg barangan datang secara standard, RM57,800

    CFMoto 800MT Explore Edition dilancar di Malaysia – beg barangan datang secara standard, RM57,800

    CFMoto Malaysia hari ini memperkenalkan satu versi baru bagi model touring/adventure mereka, iaitu 800MT Explore Edition. Ia dijual pada harga RM57,800 tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    CFMoto 800MT Explore Edition didatangkan secara standard dengan beg barangan, yang mana unit di bahagian tepi berkapasiti masing-masing 35 liter dan 28 liter, sementara yang di belakang berkapasiti 36 liter. Kotak barangan aluminium ini boleh dikunci dan dicabut bagi memudahkan pengguna.

    Menggerakkan 800MT Explore Edition adalah enjin dua silinder selari DOHC penyejukan cecair 799 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 89.8 hp pada 9,250 rpm dan tork 75 Nm pada 8,000 rpm.

    Menjadikan ia sesuai dengan sasaran penggunaannya adalah rim spoked dengan saiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, masing-masing dibalut tayar Michelin 110/80 dan 150/70. Brek adalah daripada J.Juan, dengan tetapan cakera 320 mm berkembar di hadapan dan unit tunggal 260 mm di hadapan.

    Tetapan roda ini kemudiannya dipegang oleh suspensi Kayaba boleh laras di hadapan dan belakang, yang kemudiannya menjadikan tinggi tempat duduknya 825 mm dan kelegaan dari tanah 190 mm. Berat keseluruhan 800MT Explore adalah 231 kg tidak termasuk beg barangan.

    CFMoto 800MT Explore Edition dilancar di Malaysia – beg barangan datang secara standard, RM57,800

    Walaupun dijual pada harga tidak sampai RM60k, 800MT Explore Edition tidak kekurangan pada bahagian teknologi, dengan antara yang diberi adalah skrin TFT lapan inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk memaparkan navigasi, memainkan muzik dan pelbagai fungsi lain.

    Kemudiannya untuk membantu kawalan penunggang, motosikal ini datang dengan beberapa mod termasuk Enduro dan Pro, serta kawalan cengkaman dan ABS yang boleh ditutup. Satu lagi ciri istimewanya adalah radar belakang RDS, yang boleh mengeluarkan amaran seakan pemerhati titik buta. Turut diberi adalah sistem kunci pintar serta semua lampu yang menggunakan unit LED.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025