Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Neta X dilancar di M’sia — tiga varian, bateri 51.8 kWh/62 kWh, jarak hingga 408 km, dari RM120k

    Neta X dilancar di M’sia — tiga varian, bateri 51.8 kWh/62 kWh, jarak hingga 408 km, dari RM120k

    Setelah membuat beberapa kali penampilan di Malaysia dan pernah juga ditunjuk ketika Malaysia Autoshow 2024 pada April lalu, SUV elektrik Neta X kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia melalui pengedarnya, Intro Synergy Sdn Bhd yang juga merupakan anak syarikat GoAuto Group Sdn Bhd.

    Neta X merupakan sebuah SUV elektrik dalam segmen B, akan bersaing antara lain dengan model seperti BYD Atto 3. Ditawarkan dalam tiga varian: iaitu 400 Comfort, 400 Luxury dan yang paling lengkap, 500 Luxury dengan harga masing-masing RM119,888, RM127,888 dan RM135,888.

    Dari segi dimensi, Neta X mempunyai ukuran 4,619 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,628 mm tinggi dengan jarak roda 2,770 mm — angka yang terakhir ini menjadikan luas kabin, terutama bahagian penumpang belakang, adalah kelebihannya. Jarak kelegaan tanah SUV ini tanpa beban pula ialah 156 mm.

    Neta X dilancar di M’sia — tiga varian, bateri 51.8 kWh/62 kWh, jarak hingga 408 km, dari RM120k

    Perbezaan utama antara model dan varian 400 dan 500 Neta X ialah kapasiti bateri dan jarak yang diberikannya. SUV ini akan menggunakan sistem bateri CATL jenis lithium iron phosphate (LFP), dengan siri 400 dilengkapi bateri berkapasiti 51.8 kWh manakala versi 500 dengan bateri 62 kWh. Bagi bateri 62 kWh, ia memberikan jarak perjalanan 480 km NEDC, sementara bagi versi 51.8 kWh dengan jarak 401 km NEDC.

    Untuk pengecasan, ia mampu menampung pengecasan pantas DC sehingga 65 kW yang membolehkan tahap 30-80% baterinya boleh dicapai dalam pengecasan selama 30 minit. Sementara bagi pengecasan AC pula, ia menampung sehingga 6.6 kW dan memerlukan masa sembilan jam pengecasan (unit 51.8 kWh) dan 11 jam (unit 62 kWh). SUV ini juga lengkap dengan fungsi V2L 3.3kW. Bagi pengecasan DC, ia memerlukan masa 30 minit untuk tahap bateri 30%-80%.

    Neta X menghasilkan janaan sebanyak 120 kW dengan tork maksimum 210 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 9.5 saat, manakala laju maksimumnya ialah 150 km/j. Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan jenis MacPherson strut di depan dan jenis multi-link di belakang. Rim pula bersaiz 18-inci dengan profil tayar 225/60R18. Terdapat tiga mod pemanduan disediakan — Eco, Comfort dan Sport dan juga operasi One Pedal, serta ciri Auto Hold.

    Neta X dilancar di M’sia — tiga varian, bateri 51.8 kWh/62 kWh, jarak hingga 408 km, dari RM120k

    Di dalam, Neta X ini turut dilengkapi dengan skrin sentuh 15.6-inci yang menjadi antaramuka hampir keseluruhan kendalian operasinya termasuk sistem tunjuk arah, penstriman muzik dan sambungan telefon pintar serta ciri bantuan suara. ciri Apple CarPlay akan ditawarkan menjelang suku keempat tahun ini. Selain itu, kawalan kenderaan jarak jauh dan tinjauan status masa nyata turut memudahkan pengguna.

    Bagi sistem keselamatan, selain ciri seperti enam beg-udara, varian 400 Luxury dan 500 Luxury turut dilengkapi dengan sistem ADAS dengan 11 sensor, dengan antaranya terdiri daripada ciri seperti amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong, ACC kelajuan penuh, bantuan mengekalkan lorong, bantuan melayar pintar, pengesanan papan tanda trafik, bantuan lampu tinggi, sistem kecemasan pengekalan lorong, amaran lintasan trafik di belakang, bantuan lampu tinggi, pengesanan papan tanda trafik dan sistem pengekalan lorong kecemasan.

    Untuk ruang barangan, keluasan yang tersedia di bahagian but belakang ialah 508 liter. Dengan menurunkan penyandar kerusi belakang dan menurunkan tahap lantai ruang kargonya, kapasiti maksimum untuk barangan akan menjadi 1,388 liter. Lima pilihan warna ditawarkan — Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue dan Amber Brown, dengan dua pilihan warna kemasan untuk ruang kabin: coklat dan hitam.

    Bagi tempahan dari 25-31 Julai 2024, pelangan juga akan menerima RM2,000 iaitu dua kali nilai tempahan, wallbox atau kredit pengecasan ChargEV 2,500 kWh dan pakej penyelenggaraan dua-tahun atau 40,000 km secara percuma. Jaminan standard lima-tahun/100,000 km untuk kereta dan jaminan lapan-tahun/180,000 km untuk bateri turut diberikan.

    Neta X 2024 Malaysia

    Neta X di Malaysia Auto Show 2024

     
     
  • Honda Civic Si facelift 2025 diperkenal – kuasa 200 hp, manual, penampilan baru, suspensi ditala semula

    Honda Civic Si facelift 2025 diperkenal – kuasa 200 hp, manual, penampilan baru, suspensi ditala semula

    Honda Civic Si adalah sesuatu yang sering diidamkan oleh ramai penggemar kereta. Ini kerana ia mengisi ruang antara Civic biasa dengan Type R yang lebih ekstrem. Walaubagaimanapun sampai sekarang kita hanya boleh melihatnya sahaja kerana cuma dijual di Amerika Syarikat (AS), termasuklah model generasi ke-11 yang baru diberi facelift ini.

    Di AS, model baru ini dijual pada harga bermula US$29,950 (RM139,700), dan penampilan, dinamik pemanduan, kelengkapan serta teknologinya dipertingkat, untuk menyertai pakej enjin turbo serta kotak gear manual enam kelajuannya. Malahan, Civic Si ini adalah satu-satunya model dalam kelasnya yang ditawarkan dengan tranmsisi manual.

    Enjin empat silinder 1.5 liter VTEC turbo yang mampu menghasilkan kuasa 200 hp dan tork 260 Nm pada model ini masih tidak diusik, dan transmisi manual enam kelajuannya masih lagi disediakan dengan limited-slip differential jenis helical di hadapan. Walaubagaimanapun, operasi rev-matching transmisi ini telah diperbaiki untuk memberi penukaran kepada gear rendah yang lebih lancar.

    Honda Civic Si facelift 2025 diperkenal – kuasa 200 hp, manual, penampilan baru, suspensi ditala semula

    Kebanyakan usaha yang dibuat pada model facelift ini adalah untuk menjadikan ia sebagai kenderaan yang boleh dipandu dengan lebih tepat. Tiang B-pillar dan bahagian tepi pintu diperkuat dengan pendakap, sekaligus menambahkan ketegaran badan, manakala suspensi pula ditala semula.

    Untuk penampilan, Civic Si ini mendapat peningkatan sama seperti model Civic facelift biasa yang diperkenalkan awal tahun ini, dengan kemasan gril honeycomb yang besar, bukaan udara tengah seperti Civic Type R, bukaan udara lebih nipis di tepi serta lampu belakang LED jenis smoked.

    Barangan khas untuk model Si adalah termasuk splitter hadapan dan spoiler nipis di belakang, dipadankan bersama cermin sisi dan kemasan keliling tingkap hitam dan rim 18 inci gelap. Di sebaliknya terdapat brek yang lebih besar berbanding Civic biasa.

    Di bahagian dalam, Civic Si ini mendapat tempat duduk sports yang mempunyai ciri pemanas, lampu tukar gear (shift light) baru pada panel instrumen, pedal aloi, kemasan serta jahitan merah, dan tombol gear gabungan kulit dan aluminium. Turut diberikan secara standard adalah bumbung suria serta sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara.

    Selain daripada itu, model facelift ini juga datang dengan skrin sesentuh sembilan inci untuk sistem infotainmen, lengkap dengan servis Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Play Store. Selain sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengguna juga masih boleh menyambungkan telefon pintar mereka dengan menggunakan soket USB-C yang disediakan.

    Pakej sistem bantuan pemandu Honda Sensing pada Civic Si ini telah dipertingkat dengan pengesanan motosikal serta basikal yang lebih baik, untuk sistem Autonomous Emergency Braking, serta maklum balas yang lebih normal bagi sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist.

     
     
  • Guna sistem pajak kenderaan pilihan lebih baik dari beli jika guna bawah lima tahun – pensyarah UTM

    Guna sistem pajak kenderaan pilihan lebih baik dari beli jika guna bawah lima tahun – pensyarah UTM

    Rasa puas memiliki sesuatu adalah antara sebab utama ramai yang membeli kenderaan, selain merasakan mereka memiliki satu aset, meskipun harganya pada kebiasaan akan jatuh. Walaubagaimanapun menurut pakar akademik, pajakan (leasing) atau langganan boleh menjadi alternatif yang lebih baik berbanding beli (termasuk melalui sewa beli), jika anda cuma merancang untuk menggunakannya tidak sampai lima tahun.

    Pensyarah kanan pengajian ekonomi dan kewangan Universiti Teknologi Mara (UTM), Zetty Zahureen Mohd Yusoff berkata, ini adalah disebabkan pengguna boleh jimat banyak kos awal dan bayaran bulananan sepanjang tempoh tersebut .Beliau menambah, individu yang mempunyai perancangan untuk menukar kenderaan setiap beberapa tahun sepatutnya mengambil kira sistem pajakan kerana ia lebih lebih fleksibel.

    “Memiliki sesebuah kenderaan bermakna mereka mempunyai aset pada penghujung tempoh perjanjian sewa beli. Walaubagaimanapun, jika anda merancang untuk bertukar kenderaan setiap beberapa tahun, pajakan menawarkan lebih fleksibiliti, memandangkan ia membenarkan anda untuk memandu kenderaan baru setiap beberapa tahun. Beli membawa makna mereka perlu komited dengan satu kereta sahaja untuk tempoh lebih panjang, tetapi memberikan kepuasan memiliki apabila ia sudah habis dibayar,” kata Zetty kepada The Sun.

    Beliau berkata lagi, pajakan kenderaan juga dapat mengurangkan beban bagi mereka yang tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan, memandangkan pengguna tidak perlu membayar kos servis melalui pajakan, sementara jika memiliki kenderaan, semuanya perlu dibayar oleh pemilik.

    Guna sistem pajak kenderaan pilihan lebih baik dari beli jika guna bawah lima tahun – pensyarah UTM

    Selain daripada itu, Zetty juga berkata bahawa pengguna cuma perlu membayar jumlah susut nilai apabila sampai hujung tempoh pajakan, dan bukannya nilai penuh apabila dibandingkan dengan perjanjian pemilikan kenderaan selama sembilan tahun. Kemudiannya, beliau juga memberitahu bahawa perjanjian pajakan memberi pelindungan daripada susut nilai kenderaan kerana pemajak akan memulangkan kembali kenderaan di hujung tempoh.

    Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat beberapa sekatan dalam pajakan, seperti pengguna tidak boleh mengubah suai kenderaan mengikut suka, dan beberapa perkara lain perlu diambil kira sebelum membuat keputusan.

    “Keputusan membeli atau memajak kenderaan sepatutnya selari dengan situasi kewangan, gaya hidup serta keperluan automotif jangka masa panjang seseorang,” kata Zetty.

    Biasanya, rakyat Malaysia memilih sistem sewa beli untuk memiliki sesebuah kenderaan, tetapi anda bagaimana? Adakah sudah sampai masa kita beralih kepada sistem pajak ini pula?

     
     
  • BMW M5 G90 2024 dengan barangan M Performance Parts – kit badan gentian karbon dan pelbagai aksesori

    BMW M5 G90 2024 dengan barangan M Performance Parts – kit badan gentian karbon dan pelbagai aksesori

    BMW M5 G90 yang baru sahaja didedahkan kepada dunia bulan lalu, dalam keadaan asalnya sudah cukup garang. Tapi, kalau ada yang rasa itu masih tidak cukup, ini dia BMW perkenalkan, barangan dari katalog M Performance Parts.

    Bermula pada bahagian luar, terdapat splitter dua bahagian di hadapan, panel tambahan kepada side skirt serta diffuser belakang lebih besar, dan semuanya dibuat daripada gentian karbon. Turut ditambah adalah spoiler nipis atas penutup but.

    Kemudiannya untuk bahagian ekzos, anda boleh mendapatkan muncung ekzos titanium dan gentian karbon, lengkap dengan cop logo M5, manakala bumbung boleh dinaik taraf dengan unit gentian karbon. Turut disediakan adalah penutup tempat isi minyak gentian karbon, lencana M Performance serta penutup injap angin tayar M. Rim M Performance masih belum ada pada M5 ini, dan ia hanya akan diperkenalkan tahun hadapan.

    Pada bahagian dalam, anda boleh menghias M5 ini dengan alas kaki M Performance, sementara barangan lain yang disediakan adalah seperti beg untuk tayar serta pelindung kunci yang diperbuat daripada kulit Nappa.

    BMW M5 G90 ini mengejutkan ramai kerana ia adalah M5 pertama yang menggunakan enjin dengan bantuan kuasa elektrik, iaitu gabungan enjin petrol V8 4.4 liter twin turbo 600 PS/750 Nm dengan motor elektrik 197 PS/280 Nm. Transmisi adalah unit automatik M Steptronic lapan kelajuan.

    Walaupun dengan kuasa keseluruhan 727 PS dan tork 1,000 Nm, pecutan 0-100 km/j M5 G90 sedikit perlahan berbanding M5 F90 sebelum ini (3.5 saat) kerana 500 kg lebih berat, berkemungkinan disebabkan barangan sistem hibrid termasuk bateri yang berkapasiti 22.1 kWh.

     
     
  • Peugeot Malaysia akan buka 30 pengedar menjelang penghujung 2024, servis selepas jualan ditambah baik

    Peugeot Malaysia akan buka 30 pengedar menjelang penghujung 2024, servis selepas jualan ditambah baik

    Daripada 14 pengedar Peugeot yang sedia ada sekarang, Stellantis Malaysia memberitahu, mereka akan meningkatkan rangkaian pengedar kepada 30 menjelang hujung tahun ini. Penambahan ini turut akan melibatkan negeri Sabah, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.

    Dalam laporan itu juga tertulis bahawa pengedar akan diberi sedikit fleksibiliti tahun ini bagi melengkapkan ubah suai serta penambah baikan yang perlu, bagi mencapai standard yang sama dengan imej korporat yang akan digunakan tahun depan.

    “Kami percaya ia akan menguatkan lagi kehadiran jenama ini di Malaysia, serta memberikan pelanggan keyakinan bahawa Stellantis dan Peugeot akan tinggal lama di sini,” pengarah urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais memberitahu Business Times.

    Peugeot Malaysia akan buka 30 pengedar menjelang penghujung 2024, servis selepas jualan ditambah baik

    “Kami berbesar hati untuk berkongsi bahawa pasukan selepas jualan kami telah berjaya mengurangkan senarai open part dari 7,000 ke 499 unit bersamaan pengurangan 93%. Kami juga mengambil alih 2,500 kes terbuka dan telah berjaya menyelesaikan 95% daripadanya,” kata Morais.

    Pusat hubungan pelanggan syarikat itu terus dikembangkan bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pekerja pusat panggilan telah ditambah dari lima orang kepada 13 orang bagi memperbaiki kadar panggilan tidak terjawab dari 53% kepada 2%, tambah Morais.

    Stellantis Malaysia memulakan operasi sebagai pengedar rasmi Peugeot Mac lalu, dan di bawah kendaliannya, mereka telah melancarkan Peugeot 408 2024. Ketibaan jenama lain di bawah kumpulan yang sama juga sedang dirancang, termasuk Jeep, Citroen serta Leapmotor.

     
     
  • Leapmotor C10 tiba di M’sia tidak lama lagi – Stellantis sahkan EV mampu milik ini dilancar pada Q4 2024

    Leapmotor C10 tiba di M’sia tidak lama lagi – Stellantis sahkan EV mampu milik ini dilancar pada Q4 2024

    Leapmotor bersedia untuk membuat debut pelancarannya di Malaysia pada suku keempat 2024, ujar Pengarah Urusan Stellantis Malaysia Jamie Morais seperti yang dilaporkan oleh NST. Ini adalah jangka masa yang sama yang direncanakan oleh Leapmotor International, usaha sama antara Stellantis dan pembuat kereta China itu, yang diumumkan beberapa bulan lalu.

    “Pertama, kami mempunyai Leapmotor, yang akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Ia akan menjadi jenama pertama kami yang menjual hanya kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran Malaysia. Kami akan membawa masuk Leapmotor C10, yang secara unik berada dalam segmennya sendiri dan merupakan model global pertama Leapmotor,” kata Morais.

    C10 akan menjadi model pertama Leapmotor yang memasuki pasaran sini dan sebelum ini pernah dipertontonkan pada Mei lalu. Merupakan SUV segmen-D, ia memiliki dimensi berukuran 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,285 mm, yang meletakkan sama kelas seperti Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro.

    Harga rasminya masih belum didedahkan namun difahamkan C10 akan ditawarkan dengan harga berpatutan, dan Morais juga berkata sebelum ini, ia akan dijual pada julat lebih kurang sama dengan “model EV paling popular di Malaysia buat masa sekarang”.

    C10 juga merupakan model global pertama bagi Leapmotor yang diperkenalkan di IAA Mobility pada 2023, dibangunkan dengan platform LEAP 3.0 bersama binaan elektrikal 800V untuk pengecasan pantas sehingga 4C. Dengan “C” menunjukkan berapa kali bateri boleh dicas dalam satu jam. Bateri yang dicas penuh dikatakan memberikan jarak sehingga 420 km mengikut piawaian WLTP.

    Berdasarkan maklumat daripada kementerian industri dan teknologi maklumat (MIIT) China, C10 dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan dua kapasiti iaitu 69.9 kWh dan 52.9 kWh. Ia turut ditawarkan dengan motor-tunggal, pacuan roda-belakang dan juga larasan dwi-motor, pacuan semua-roda, dengan output kuasa dari 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 340 PS (335 hp atau 250 kW).

    GALERI: Leapmotor C10 EV dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • JPJ lanjutkan tarikh akhir bidaan nombor plat BSA hingga 10 malam ini gara-gara serangan siber

    Klik untuk besarkan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan tempoh bidaan bagi siri nombor plat BSA dilanjutkan sehingga jam 10 malam ini. Ini kerana terdapat serangan siber bermula jam 8 malam di mana bidaan tersebut sepatutnya tamat pada jam 10 malam tadi, 24 Julai 2024.

    Serangan siber tersebut mnjadi penyebab proses JPJ eBid mengalami gangguan, sekaligus menyukarkan para pembida untuk membuat urusan yang sepatutnya.

    Oleh itu, tarikh akhir bidaan bagi siri nombor plat BSA kini ialah 10 malam ini, 25 Julai. “JPJ memohon maaf atas kesulitan yang berlaku akibat gangguan teknikal yang tidak dijangka itu,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Porsche Taycan Turbo GT 2024 di Malaysia – EV fokus untuk litar dengan 1,108 PS/1,340 Nm, dari RM1.16j

    Porsche Taycan Turbo GT 2024 di Malaysia – EV fokus untuk litar dengan 1,108 PS/1,340 Nm, dari RM1.16j

    Selepas empat bulan berjaya menakluki gelaran sebagai kereta elektrik (EV) produksi terpantas di Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 7.55 saat, Porsche Taycan Turbo GT telah pun selamat tiba di pasaran Malaysia. Jentera EV prestasi tinggi ini ditawarkan pada harga bermula RM1.16 juta iaitu lebih RM100,000 berbanding Turbo S.

    Sama seperti Cayenne Turbo GT, penggunaan nama “Turbo” dan “GT” itu menunjukkan Taycan Turbo GT ini menggabungkan prestasi padu Turbo dengan konsep serba ringan GT. Dengan itu, Porsche telah memeras lebih lagi kuasa daripada dua motor yang digunakan dan masih rasa tidak perlu untuk menggunakan tetapan tiga motor seperti Plaid dan Lucid Air Sapphire.

    Apa yang dilakukan adalah memasukkan motor belakang yang lebih berkuasa (inverter dengan amp lebih tinggi dan silicon carbide semiconductor yang lebih cekap), mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 789 PS (580 kW). Ini mungkin nampak rendah berbanding Taycan Turbo S yang mencatat 932 PS (685 kW) pada overboost, tetapi Turbo GT ini mempunyai semua kuasa pada setiap masa dan semasa menggunakan launch control, ia boleh naik sehingga 1,033 PS (760 kW) untuk masa dua saat.

    Secara maksimumnya, motor elektrik ini boleh menghasilkan 1,108 PS (815 kW) dan tork 1,340 Nm. Sebahagian daripadanya disimpan untuk ciri baru Attack Mode, yang dapat memberikan tambahan 163 PS (120 kW) sehingga 10 saat apabila butang khas ditekan atau pedal sebelah kanan ditarik.

    Porsche Taycan Turbo GT 2024 di Malaysia – EV fokus untuk litar dengan 1,108 PS/1,340 Nm, dari RM1.16j

    Walaupun dengan prestasi yang meningkat sebegini, Turbo GT cuma lebih pantas 0.1 saat apabila melakukan pecutan 0-100 km/j, dengan catatan 2.3 saat. Peningkatannya lebih terasa pada kelajuan tinggi, dengan pecutan 0-200 km/j dapat dibuat dalam masa 6.6 saat, iaitu lebih pantas sekitar satu saat. Laju maksimum pula 30 km/j lebih tinggi berbanding Turbo S, iaitu 290 km/j.

    Bagi meringankan kereta ini, Porsche antaranya telah menggunakan gentian karbon pada kemasan b-pillar, pelindung cermin sisi, plat tepi pintu serta tempat duduk. Kemasan pada bahagian but juga dijadikan lebih ringan manakala fungsi bukaan kuasa untuk penutup but itu telah dicabut.

    Ia juga dipadankan dengan rim aloi 21-inci dengan bentuk yang mengambil kira pengurangan berat dan penyejukan brek, serta brek karbon seramik yang direka semula dan menjadi dua kilogram lebih ringan. Yang sebenarnya, ia tidaklah begitu ringan lagi, kerana cuma kurang lima kilogram berbanding Turbo S, dengan catatan 2,290 kg.

    Porsche Taycan Turbo GT 2024 di Malaysia – EV fokus untuk litar dengan 1,108 PS/1,340 Nm, dari RM1.16j

    Untuk menjadikannya lebih ringan, pemiliknya perlu mendapatkan Weissach Package. Di mana beberapa elemen akan dicabut seperti tempat duduk belakang (diganti dengan penutup gentian karbon), jam Sport Chrono, penyerap bunyi serta alas kaki. Selain itu, ia juga akan menggunakan kaca cermin/tingkap serba ringan serta sistem bunyi tanpa pembesar suara di belakang. Dengan semua ini, 70 kg lagi dapat dikurangkan, menjadikannya 2,220 kg.

    Biar pun begitu, dengan pengurangan ini, kereta yang dilengkapi Weissach Package adalah lebih pantas berbanding Taycan Turbo GT biasa. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.2 saat, sementara 0-200 km/j pula dalam masa 6.4 saat. Laju maksimum menjadi 305 km/j.

    Ini adalah spesifikasi di mana Turbo GT mencapai rekod pusingan Nürburgring yang disebutkan di atas, serta rekod EV versi produksi di Laguna Seca dengan masa 1 minit 27.87 saat. Namun demikian, pakej ini adalah pilihan tanpa kos di Malaysia.

    Porsche Taycan Turbo GT 2024 di Malaysia – EV fokus untuk litar dengan 1,108 PS/1,340 Nm, dari RM1.16j

    Berkenana dengan rekabentuknya, Taycan Turbo GT ini lebih rendah dan garang, dengan suspensi udara Porsche Active Ride. Ia juga mendapat splitter besar di hadapan serta sayap Gurney pada spoiler aktifnya. Apabila memilih Weissach Package, sayap ini diganti dengan jenis yang pegun, dan ditambah dengan pelindung angin bawah badan serta diffuser hadapan, memberikan tambahan daya tolak ke bawah (downforce) sebanyak 220 kg.

    Di dalamnya pula, terdapat kemasan yang terdiri daripada kulit serta gentian mikro Race-Tex. Tempat duduknya mempunyai sulaman “Turbo GT” pada penyandar kepala dan di konsol tengah terdapat lencana khas untuk varian ini. Manakala dengan Weissach Package pula, ditambah satu lagi lencana di hadapan pemandu.

     
     
  • Chery sokong Projek Belia Mahir dengan sediakan pekerjaan dalam sektor auto Malaysia – gaji min RM2k

    Chery sokong Projek Belia Mahir dengan sediakan pekerjaan dalam sektor auto Malaysia – gaji min RM2k

    Chery Corporate Malaysia telah menandatangani memorandum sefahaman (MoU) dengan Projek Belia Mahir, sebuah entiti bukan kerajaan di bawah Pertubuhan Pekerja Mahir Kebangsaan. Majlis MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan.

    Kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan peluang kerjaya bagi belia Malaysia. Justeru, ia bersedia untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan untuk pekerja mahir, menawarkan peralihan yang lebih lancar dari tamat pengajian kepada pekerjaan yang menguntungkan dalam industri automotif, kata Chery menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Projek Belia Mahir secara aktif berfungsi untuk menyokong belia yang tidak bekerja, pendidikan atau latihan dengan menyediakan akses kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat latihan vokasional. Projek ini juga membantu mendapatkan penempatan pekerjaan merentasi pelbagai sektor industri

    Chery sokong Projek Belia Mahir dengan sediakan pekerjaan dalam sektor auto Malaysia – gaji min RM2k

    “Dengan pelancaran kilang pemasangan Chery di Shah Alam baru-baru ini, dan banyak lagi dalam perancangan, kami berhasrat untuk memupuk tenaga kerja profesional mahir yang mantap bagi mengekalkan komitmen kami dalam menghasilkan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan yang dihargai.

    “Dengan memperkasakan bakat tempatan dan memupuk kerjasama, kami bukan sahaja menyokong matlamat peralihan industri dan tenaga Malaysia tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif di negara ini,” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia.

    Setelah tamat program latihan dan pendidikan mereka, graduan yang disyorkan oleh Projek Belia Mahir akan berpeluang untuk bekerja di pejabat Chery Corporate Malaysia dan kilang pemasangan. Individu yang layak akan menerima pendapatan bulanan minimum yang kompetitif sebanyak RM2,000, serta faedah kakitangan.

     
     
  • BRT Laluan Sunway bergerak di jalan raya pada 28 Julai – trek bertingkat untuk Sunway Rapid Good Run

    BRT Laluan Sunway bergerak di jalan raya pada 28 Julai – trek bertingkat untuk Sunway Rapid Good Run

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas BRT laluan Sunway memaklumkan perkhidmatan bas terbabit akan beroperasi dari aras jalan raya pada 28 Julai (Ahad) ini, dari jam 6 pagi hingga 11 pagi. Ia adalah bagi kelancaran acara larian Sunway Rapid Good Run 2024 yang akan berlangsung pada hari tersebut.

    Menurut syarikat berkenaan, perkhidmatan BRT akan beroperasi secara percuma di atas jalan raya, dengan kekerapan setiap 30 minit.

    Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan akan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari, Sunway Lagoon dan Sunway Setia Jaya.

    Klik untuk besarkan

    Pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan menunggu di bawah setiap stesen BRT Sunway kecuali di USJ 7 yang akan diubah ke stesen alternatif Hentian Bas SJ692 USJ 7 (di hadapan KK Mart), South Quay (stesen alternatif: Hentian bas SJ67 di hadapan Mydin USJ), Sunway Lagoon (stesen alternatif: Hentian bas di hadapan Sunway Pyramid), Mentari (stesen alternatif: Hentian bas PJ179 Sunway Mentari Barat) dan Sunway Setia Jaya (stesen alternatif: Hentian bas Setia Jaya bertentangan Stesen KTM Setia Jaya).

    “Maklumat serta notis akan dilekatkan di setiap stesen BRT bagi memaklumkan kepada pengguna tentang perubahan operasi serta memudahkan pengguna untuk merancang perjalanan dengan lebih awal. Perkhidmatan BRT ini akan beroperasi seperti biasa selepas jam 11 pagi,” kata Rapid Bus menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Harga minyak 25 Julai-1 Ogos – Tiada perubahan

    Harga minyak 25 Julai-1 Ogos – Tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 25 Julai hingga 1 Ogos 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula, juga dikekalkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia seperti mana yang diumumkan pada 10 Jun lalu. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belum ada lagi tempoh untuk memulakan pelarasan semula subsidi petrol RON95 dalam masa terdekat.

    Ini adalah kerana kerajaan ingin memastikan yang orang ramai faham sepenuhnya pelaksanaan subsidi bersasar diesel terlebih dahulu. “Perkara ini belum dibincangkan. Kami akan uruskan perkara berkaitan subsidi diesel terlebih dahulu, untuk memberikan penjelasan yang tepat terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan kerana selalu ada pihak yang akan memanfaatkan isu ini,” jelas beliau.

     
     
  • Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – RM33,899

    Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – RM33,899

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd hari ini memperkenalkan dua warna baru untuk Rebel 500, iaitu Mat Laurel Green Metallic dan Seal Silver Metallic, sebagai menggantikan warna Candy Diesel Red dan Pearl Smoky Gray sebelum ini, sementara warna Mat Gunpowder Black Metallic masih dikekalkan.

    Harga terkini yang dikeluarkan masih sama seperti tahun lepas, iaitu RM33,899, dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Bahagian lain motosikal dengan gaya bobber ini juga tidak berubah, dan masih seperti model yang dilancarkan pada tahun 2020.

    Menggerakkan Rebel 500 adalah enjin dua silinder selari DOHC 471 cc berkuasa 45.6 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist/slipper.

    Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital berbentuk bulat, manakala tangki pula berkapasiti 11.2 liter. Rim bersaiz 16 inci, dengan tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang manakala brek pada kedua-dua bahagian adalah unit cakera sekali dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Rebel 500 adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 690 mm. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan di belakang terdapat dua penyerap hentak.

     
     
  • Proton eMas beri petunjuk model — S70 Hybrid, Geometry Xingyuan EV dan SUV dari Geely Galaxy E5?

    Proton eMas beri petunjuk model — S70 Hybrid, Geometry Xingyuan EV dan SUV dari Geely Galaxy E5?

    Proton baru saja menunjukkan iklan teaser bagi model elektrik di bawah jenama kenderaan tenaga baru (NEV) eMas (dieja e.MAS) yang bakal diperkenalkan kelak. Awalnya, dijangka mungkin hanya akan ada satu model EV yang menggunakan asas dari Geely Galaxy E5, tapi melalui teaser ini nampaknya akan ada sebuah lagi sedan dan sebuah hatchback/SUV juga.

    Identiti model terbabit bagaimanapun masih dirahsiakan. Cumanya, Geely ada menawarkan beberapa sedan elektrifikasi di China, termasuklah model plug-in hybrid Preface L Zhiqing dan Emgrand L Hi-P, namun siluet bentuk yang ditunjukkan ini sama dengan S70. Ini mungkin memberi petunjuk kepada versi elektrifikasi bagi sedan empat-pintu Proton itu.

    Menguatkan lagi andaian ini, Geely memang sudah menjual versi hibrid bagi Emgrand generasi keempat, yang menggunakan unit 1.8 liter metanol NA empat-silinder dengan janaan 132 PS/175 Nm, yang digandingkan juga dengan sebuah motor elektrik 136 PS/320 Nm, transmisi hibrid khusus (DHT) tiga-kelajuan dan bateri 1.83 kWh.

    Jika benar begitu, ia tidaklah mengejutkan kerana Geely dilaporkan sebelum ini terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk memperkenalkan kereta dikuasakan oleh metanol di sini, walaupun belum ada sebarang perincian berkaitan tempoh pengenalannya lagi. Jika S70 hibrid yang menggunakan metanol betul-betul akan tiba, ini bermakna bahan bakar tersebut juga akan diperkenalkan di sini lebih cepat daripada jangkaan awal.

    Kereta kedua pula sudah tidak asing lagi dikaitkan dengan eMAS, iaitu sebuah SUV yang menggunakan asas dari Galaxy E5, yang mungkin akan diberikan nama eMas7 atau eMas E7. Dijangka akan dijual di China tidak lama lagi, versi dari Geely itu akan ditawarkan dengan motor elektrik tunggal di depan dan menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm tork.

    Pilihan dua kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) diberikan — 49.52 kWh dan 60.22 kWh — memberikan jarak CLTC masing-masing sejauh 440 km dan 530 km. Versi Proton eMas juga boleh dijangka akan menggunakan mekanikal yang sama.

    Bagi model ketiga pula, ini yang paling mengejutkan. Siluetnya mengingatkan kepada smart #1, tetapi kereta itu sudah pun diperkenalkan di Malaysia dan ditawarkan di bawah payung yang berbeza melalui anak syarikat Proton juga, iaitu Pro-Net.

    Jadi, ini menggunakan asas dari model yang mana? Tekaan yang mungkin berasas ialah Geometry Xingyuan, yang memang mempunyai rekaan mirip smart #1 tetapi dengan condong cermin yang kurang tegak. Di China, hatchback elektrik tersebut akan bersaing dengan BYD Dolphin dan di dakwa akan menawarkan kuasa 79 PS (58 kW) dan 116 PS (85 kW) dengan bateri LFP.

    Dengan adanya teaser rasmi ini daripada Proton, kemungkinan untuk kita menerima ketiga-tiga model ini agak tinggi, dengan model pertama dijanjikan bakal diperkenal pada Disember tahun ini. Untuk dua model lagi, belim tahu apakah perancangan sebenarnya. Makin menarik barisan model Proton eMas yang akan tiba nanti?

     
     
  • Trade-in untuk beli Perodua Ativa, Aruz; dua tahun servis percuma, rebat RM2.5k — hingga 31 Julai

    Perodua ketika ini sedang mengadakan promosi trade-in untuk Ativa dan Aruz sepanjang Julai 2024. Kedua-dua SUV dan MPV tujuh-tempat duduk itu boleh menjadi milik anda dengan servis percuma selama dua tahun, dengan pembeli Aruz pula akan menerima rebat tambahan bernilai RM2,500.

    Promo ini seperti dijalankan bersekali dengan bahagian POV kenderaan terpakai syarikat ini, memandangkan pembeli perlu trade-in kereta mereka untuk menikmati tawaran ini. Perodua POV menerima kereta terpakai daripada semua jenama, tetapi hanya akan menjual kereta Perodua. Tawaran ini berakhir 31 Julai nanti.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa satu-satunya model Perodua yang menggunakan enjin turbocas. SUV kompak segmen A itu menjadi model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, dan ia menggunakan enjin 1.0 liter turbo yang menjana 98 PS dan 140 Nm tork dari 2,400-4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear D-CVT, dan dijual dengan harga RM62,500 bagi model asas X hingga RM73,400 bagi varian paling tinggi AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Aruz pula mula diperkenalkan pada 2019 dan merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya dan jarak tanah lebih tinggi daripada kebanyakan SUV (220 mm). Ini juga yang menjadi pembeza utama Aruz dengan sebuah lagi MPV Perodua, Alza yang 60 mm lebih rendah.

    Sistem janaan kuasanya terdiri daripada unit 1.5 liter NA dengan janaan 102 PS/133 Nm dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang memacu roda belakang.

     
     
  • Honda Malaysia serah Civic ke-170,000 dan HR-V ke-150,000 — jualan 1H 2024 naik 16% kepada 39,226 unit

    Honda Malaysia serah Civic ke-170,000 dan HR-V ke-150,000 — jualan 1H 2024 naik 16% kepada 39,226 unit

    Honda Malaysia umumkan yang syarikat itu telah menyerahkan Honda Civic yang ke-170,000 dan HR-V ke-150,000 di Malaysia sejak ia diperkenalkan pada 2000. Dua kereta tersebut, Civic e:HEV RS Platinum White Pearl dan HR-V e:HEV RS Meteoroid Grey masing-masing dibeli oleh Lim Chin Hui dan Asha Waheda.

    Untuk meraikan pencapaian ini, Honda mengadakan majlis penyerahan di Honda Botanic Auto Mall Klang yang dihadiri oleh Lim dan wakil Asha, Achmad Khidir bin Member. Kedua-dua pemilik bertuah itu turut dihadiahkan dengan aksesori tulen Honda bernilai RM10,000.

    Kedua-dua kereta itu adalah sebahagian daripada 39,226 unit kenderaan yang dijual pada separuh pertama 2024, yang mencatatkan 16% peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu. HR-V menjadi model paling laris jualannya untuj Honda dengan menyumbang 28% daripada angka berkenaan. Tidak hairanlah Honda menjual SUV segmen B berkenaan sebanyak itu walaupun diperkenalkan lebih lewat (diperkenalkan pada 2015) berbanding Civic.

    Honda Malaysia juga memaklumkan berlaku peningkatan dalam permintaan bagi teknologi e:HEV, yang ditawarkan untuk City, Civic, HR-V dan CR-V; semua model hibrid ini menyumbang sebanyak 13% daripada jumlah jualan separuh pertama 2024 itu.

    “Sebagai peminat Civic, model generasi ke-11 menggabungkan penampilan yang nampak sofistikated dan kekal dengan imej sporty yang sentiasa menjadi DNA Civic,” jelas Lim. “Model berkenaan mempamerkan sistem janaan hibrid canggih yang lebih praktikal untuk kegunaan harian. Saya kagum dengan prestasi dan kuasa yang disampaikannya.”

    Asha menambah, “Memilih HR-V adalah keputusan mudah untuk saya, yang memang sudah terpesona dengan rekaannya. Selain rupa, HR-V juga menawarkan praktikaliti dan keselesaan terbaik untuk pemandu dan penumpang, menjadikannya model paling sesuai untuk gaya hidup saya.”

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata: “Kami ingin menzahirkan rasa terima kasih kami kepada semua pelanggan di atas sokongan dan kepercaaan yang diberikan kepada jenama kami.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025