Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Citroën Basalt 2024 bakal tiba di Malaysia – SUV coupé pertama jenama ini yang berasaskan-C3 kompak

    Citroën Basalt 2024 bakal tiba di Malaysia – SUV coupé pertama jenama ini yang berasaskan-C3 kompak

    Seperti yang kita sedia maklum, Citroën bakal kembali ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Malah jenama Perancis ini juga telah membuat penampilan dalam Malaysia Autoshow beberapa bulan lalu. Stellantis Malaysia meletakkannya sebagai jenama mass market di bawah Peugeot. Bagi mengalu-alukan ketibaan kembali jenama ini, difahamkan model Basalt bakal diperkenalkan di pasaran kita tidak lama lagi.

    Ia dimaklumkan sendiri oleh Jamie Francis Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia menerusi LinkedIn bahawa model terbabit akan tiba di sini tidak lama lagi. Basalt merupakan SUV coupé yang diasaskan dari C3 dan C3 Aircross, banyak berkongsi persamaan pada bahagian hadapan, tetapi ditampilkan sedikit berbeza pada bamparnya yang diadaptasikan dari model konsep Basalt Vision, dengan menambah gaya yang unik ala coupe yang lebih landai pada hujungnya.

    Citroën Basalt 2024 bakal tiba di Malaysia – SUV coupé pertama jenama ini yang berasaskan-C3 kompak

    Citroën Basalt Vision

    Basalt juga direncanakan akan dipasarkan di India pada bulan hadapan sebagai pesaing kepada Tata Curvv. Setakat ini tiada perincian lanjut mengenainya, namun kami menjangkakan SUV ini akan ditawarkan dengan enjin 1.2 liter naturally-aspirated dan pengecas turbo PureTech tiga-silinder sama seperti C3.

    Ia mampu menghamburkan kuasa masing-masing cecah 82 PS/115 Nm dan 110 PS/190 Nm, disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima- atau enam-kelajuan. Namun untuk pasaran Malaysia, Basalt dijangka menerima kotak gear automatik enam-kelajuan seperti C3 Aircross.

    GALERI: Citroën Basalt Vision

     
     
  • Lorong kiri, kecemasan ditutup di KM335.7-KM336.6 di Tapah-Bidor, Lebuhraya PLUS hingga 23 Ogos 2024

    Lorong kiri, kecemasan ditutup di KM335.7-KM336.6 di Tapah-Bidor, Lebuhraya PLUS hingga 23 Ogos 2024

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pelaksanaan penutupan lorong kiri dan lorong kecemasan di antara KM335.7 hingga KM336.6 (arah selatan) di laluan Tapah-Bidor, Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini (29 Julai) hingga 23 Ogos 2024.

    Ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan turapan konkrit dilaksanakan di lokasi terbabit secara berperingkat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh tersebut.

    “Walau bagaimanapun, lorong kanan di laluan terbabit dibuka seperti biasa untuk laluan pengguna. Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

    “Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS (petugas lebuhraya) ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi pembantu maya PUTRI, Aplikasi X@plustrafik, Papan Tanda Elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia serahkan empat EV kepada Tengku Zafrul untuk misi ‘Push for Net Zero’

    Mercedes-Benz Malaysia serahkan empat EV kepada Tengku Zafrul untuk misi ‘Push for Net Zero’

    Baru-baru ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mempersembahkan empat unit kenderaan elektrik (EV) EQ kepada Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Model EV terbabit ialah EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+, dan EQS 500 4Matic.

    Ia bertujuan memberikan peluang kepada MITI merasai pengalaman menerokai permotoran EV, ke arah mencapai misi “Push for Net Zero” di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

    “Kami akan mewujudkan pra-kondisi bagi barisan kereta baharu neutral CO2 menjelang 2039, manakala kadar transformasi ditentukan oleh keadaan pasaran dan keperluan pelanggan kami. Kami yakin dengan sokongan penuh daripada pihak pemegang saham kami, kami bukan sahaja akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi dalam industri,” kata CEO dan presiden Mercedes-Benz Malaysia Amanda Zhang.

    Di Malaysia, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) menerima pengecualian cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2025, manakala EV pemasangan tempatan (CKD) terus mendapat pengecualian untuk dua tahun lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2027.

    Awal bulan lalu, struktur cukai jalan baharu bagi kenderaan elektrik di Malaysia telah didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, yang sebahagian besarnya lebih murah daripada cukai jalan bagi kenderaan berkuasa pembakaran dalaman (ICE). Lihat struktur cukai jalan EV di sini.

     
     
  • GALERI: Art of Speed 2024 – lambakan jentera kustom

    GALERI: Art of Speed 2024 – lambakan jentera kustom

    Hari ini, acara kustom culture antara yang terbesar di Malaysia, Art of Speed (AOS) 2024 mula dibuka untuk pengunjung, dengan menampilkan pelbagai pameran dan acara, untuk kenderaan ubah suai serta dunia gaya hidup yang berkaitan.

    Kami juga sempat singgah ke Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang untuk menyaksikan sendiri keunikan acara ini dan di sini anda boleh lihat antara jentera serta keadaan sekitar tapak acara pada hari pertama acara yang sudah masuk tahun ke-13 ini.

    Sudah tentu, gambar-gambar yang kami paparkan di sini tidak menampakkan semua kawasan pameran serta kenderaan yang dipamerkan, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh lihat kepelbagaian yang disediakan untuk pengunjung.

    Seperti yang ramai tahu, AOS adalah satu acara yang banyak mengetengahkan dunia kustom kenderaan, dan seperti tahun-tahun sebelum ini, antara yang menjadi tumpuan adalah pertandingan AOS Invitational Build-Off, melibatkan 10 pembina khas yang akan merebut hadiah wang tunai dan juga peluang untuk menghantar motorsikal kustom mereka ke Jepun untuk acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

    Kemudiannya, ada juga kenderaan yang dibawa dari luar negara, termasuk motosikal kustom Vincent Black Shadow oleh Katie’s Customs dan Harley-Davidson Panhead STOOP Motorcycles dari Jepun, beberapa buah kereta dari Thailand dan pelbagai lagi.

    Selain dewan A yang menampilkan pameran utama, beberapa dewan lagi turut memuatkan pameran dengan konsep berbeza seperti gaya hidup luar (outdoor) dan konvensyen pengumpul Hot Wheels. Anda boleh saksikan semua ini dengan hadir sendiri ke MAEPS sama ada hari ini atau esok sepanjang ia sedang berlangsung.

     
     
  • Neta GT dipertonton di M’sia — EV sports coupe dua-pintu dengan janaan 462 PS dan 580 km jarak CLTC

    Neta GT dipertonton di M’sia — EV <em>sports coupe</em> dua-pintu dengan janaan 462 PS dan 580 km jarak CLTC

    Ketika pelancaran Neta X semalam, ada satu lagi model jenama itu yang turut dipamerkan: Neta GT. Merupakan sebuah kereta sports coupe dengan kuasa 462 PS (456 hp atau 340 kW) dan 620 Nm, ia menggunakan platform Shenhai dan mula diperkenalkan di China Mei lalu dalam dua varian.

    GT mempunyai ukuran dimensi 4,715 mm panjang, 1,979 mm lebar, 1,415 mm tinggi dengan jarak roda 2,770 mm — ini mirip dengan ukuran Mercedes-AMG GT generasi kedua.

    Varian pertama ialah GT 560 yang dijual dengan harga 188,800 yuan (sekitar RM121k) dan menawarkan jarak 560 km mengikut kitaran CLTC. Varian ini menggunakan bateri 64.27 kWh yang memacu motor elektrik di belakang dengan janaan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat dan mampu mencapai laju maksimum 190 km/j.

    Neta GT dipertonton di M’sia — EV <em>sports coupe</em> dua-pintu dengan janaan 462 PS dan 580 km jarak CLTC

    Varian lebih tinggi pula GT 580 AWD dengan harga 226,800 yuan (sekitar RM146k), dengan tambahan satu lagi motor elektrik di gandar depan dengan janaan yang sama yang di belakang, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat. Kapasiti baterinya juga lebih besar dengan 78 kWh, dan jarak yang diberikan ialah 580 km.

    Untuk pengecasan AC, Neta GT memerlukan 11 jam untuk versi GT 560 manakala 14 jam untuk GT 580 AWD — dengan kapasiti maksimum untuk kedua-duanya ialah 6.6 kW. Untuk pengecasan DC pula (tiada kapasiti dinyatakan), dari kadar 30%-80% memerlukan 30 minit untuk kedua-dua varian.

    Neta GT dipertonton di M’sia — EV <em>sports coupe</em> dua-pintu dengan janaan 462 PS dan 580 km jarak CLTC

    Varian paling tingginya juga menerima tambahan kelengkapan seperti tayar Michelin Pilot Sport 4, serta angkup brek kekal empat-piston di depan dan angkup brek apung piston tunggal di belakang. Kelengkapan lain yang ada adalah seperti rim 19-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, pelantar pengecasan tanpa wayar 50W, kerusi sport bersepadu, kawalan pendingin dua zon, sistem bantuan pemandu canggih Neta Pilot 2.5 (termasuk AEB dan kawalan melayar adaptif), sistem infotainmen dengan skrin 17.6-inci dengan 12-pembesar suara.

    Sebagai pilihan, turut ditawarkan ialah pakej sensor penuh untuk fungsi ADAS serta sports kit. Sebelum ini, Neta GT pernah juga dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 dan belum pasti sama ada model ini akan dilancarkan di Malaysia atau tidak.

     
     
  • Beberapa jalan di Bandar Sunway ditutup pada 27-28 Julai untuk acara Sunway Rapid Good Run 2024

    Klik untuk besarkan

    Makluman buat penduduk sekitar Bandar Sunway atau pun yang mahu ke sana pada hujung minggu ini. Dimaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan yang akan ditutup pada 27 hingga 28 Julai (Sabtu-Ahad ini) demi kelancaran acara larian Sunway Rapid Good Run 2024.

    Di mana ia membabitkan Jalan Lagoon Selatan (di hadapan Sunway Geo) yang akan ditutup pada jam 9 malam esok (27 Julai) hingga jam 12 tengahari pada 28 Julai. Namun jalan bertentangannya pula akan dibuka secara aliran kontra. Manakala pada Ahad pula, jalan terbabit juga akan ditutup sepenuhnya dari Sunway Geo hingga ke lampu isyarat Monash University dari jam 12 tengahmalam hingga 12 tengahari.

    Begitu juga dengan Jalan Lagoon Timur (PJS 9/1) yang akan ditutup sepenuhnya pada Ahad ini, iaitu dari Sunway Pyramid hingga ke Lebuhraya NPE, dari jam 4 pagi hingga 7.30 pagi.

    Klik untuk besarkan

    Jalan lain yang terlibat dengan penutupan separa pula ialah Persiaran Lagoon dan Jalan PJS 11/15, dari 12 tengahmalam hingga 12 tengahari. Begitu juga dengan Jalan PJS 11/7, Jalan PJS 11/9, Jalan Tasik Selatan dan Persiaran Tasik Barat yang akan ditutup dari jam 4 pagi hingga 10 pagi.

    Untuk peserta Sunway Rapid Good Run 2024 yang memandu sendiri ke lokasi acara, anda boleh meletakkan kenderaan anda sama ada di Kompleks BRT Sunway atau pun Sunway University.

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas BRT laluan Sunway turut memaklumkan perkhidmatan bas terbabit akan beroperasi dari aras jalan raya pada Ahad ini, dari jam 6 pagi hingga 11 pagi. Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari, Sunway Lagoon dan Sunway Setia Jaya.

     
     
  • Proton Iriz Supercar Team RX Racing menang pusingan 5 dan 6 Kejohanan Rallycross British 2024

    Proton Iriz Supercar Team RX Racing menang pusingan 5 dan 6 Kejohanan Rallycross British 2024

    Jentera Rallycross kategori FIA Supercars yang dibina Team RX Racing, Proton Iriz RX Supercar telah mencatatkan keputusan terbaiknya dalam Kejohanan Rallycross British Trofi 5 Negara apabila menyapu bersih kemenangan di pusingan ke-5 dan ke-6 bagi musim 2024 di Litar Lydden Hill hujung minggu lalu.

    Bagi pusingan tersebut, Team RX Racing merubah starteginya dengan memberikan jentera Iriz RX Supercar berkenaan untuk dipandu oleh juara tahun lalu iaitu Patrick O’Donovan. Manakala Ollie O’Donovan, ayah kepada Patrick dan pemandu sebenar Iriz berkenaan beralih bagi memandu Ford Fiesta.

    Patrick tidak mensia-siakan peluang memandu jentera terbaharu yang dibangunkan oleh Team RX Racing tersebut dengan memenangi kesemua perlumbaan dari peringkat kelayakan sehingga peringkat akhir, bukan hanya pada pusingan ke-5, malah melakukan perkara yang sama pada pusingan ke-6!

    Pada peringkat akhir pusingan ke-5 yang berlangsung pada hari Sabtu, Patrick selesa mendahului perlumbaan dari mula hingga akhir. Manakala Ollie memberikan saingan sengit terhadap John McCluskey yang memandu Ford Fiesta pasukan Murray Motorsport. McCluskey berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat kedua, dan Ollie melengkapkan podium di tempat ketiga.

    Manakala perlumbaan peringkat akhir pusingan ke-6 yang berlangsung pada hari Ahad, Michael Leonard yang Ford Fiesta berjaya berlepas dengan baik untuk mendahului perlumbaan, namun ia masih berjaya dipintas oleh Patrick. Walaupun Leonard memberikan aaskan yang sengit, Patrick masih mampu bergelar juara. Tempat ketiga untuk pusingan ke-enam ini diisi oleh Tristan Ovenden yang memandu Citroen DS3.

    Dengan kemenangan besar ini, Patrick O’Donovan melebarkan lagi jarak pendahuluan pungutan matanya dan dilihat berpotensi untuk sekali lagi bergelar juara keseluruhan tahun ini.

     
     
  • EV terjual lebih banyak dari model petrol penuh di Singapura untuk separa pertama 2024; naik 218.1%

    EV terjual lebih banyak dari model petrol penuh di Singapura untuk separa pertama 2024; naik 218.1%

    Singapura mencatatkan jualan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 6,019 unit untuk enam bulan pertama tahun ini, lapor akhbar Business Times. Dengan angka tersebut, ini bermakna jualan untuk EV di republik itu untuk separa tahun ini naik sebanyak 218% berbanding hanya 1,892 EV yang terjual pada tempoh sama tahun lalu.

    Bukan itu sahaja, rekod berkenaan juga telah mengatasi jualan kenderaan yang dijana sepenuhnya oleh enjin pembakaran dalaman yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 3,531 unit dari Januari hingga Jun tahun ini. Ini membolehkan model-model EV menguasai 32.4% dalam jualan keseluruhan kenderaan, sementara bahagian pasaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya pula jatuh dari 42.4% kepada hanya 19% untuk separa pertama tahun ini.

    Peningkatan jualan EV ini berkemungkinan dipacu oleh pengenalan model-model yang mesra COE (Sijil Hak Memiliki Kenderaan) Kategori A seperti yang ditawarkan oleh BYD dan Tesla. Bagi melayakkan sesebuah model itu menerima kelayakan COE Kategori A tersebut, EV berkenaan perlu dilengkapi dengan motor elektrik yang hanya menghasilkan kuasa maksima 150 PS.

    Mei lalu Tesla baru sahaja melancarkan Model 3 110 pacuan roda belakang di Singapura bagi melayakkannya menerima COE Kategori A ini.

    EV terjual lebih banyak dari model petrol penuh di Singapura untuk separa pertama 2024; naik 218.1%

    Walau bagaimanapun, segmen yang menguasai pasaran automotif Singapura untuk enam bulan pertama 2024 masih lagi menggunakan bahan api fosil iaitu kenderaan yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid petrol-elektrik. Sebanyak 8,922 unit kenderaan hibrid telah dijual di Singapura untuk separa pertama tahun ini, menguasai 48% dari keseluruhan pasaran.

    Ini menunjukkan jumlah jualan tersebut naik sebanyak 62.6% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan rekod jualan 5,486 unit mewakili 41.5% bahagian pasaran. Namun untuk model hibrid dengan bateri lebih besar iaitu plug-in hybrid mencatatkan jalan kurang memberangsangkan dengan pendaftaran hanya 96 unit untuk separa pertama 2024, atau hanya memegang 0.5% bahagian pasaran berbanding 1.1% pada enam bulan pertama tahun lalu.

    Secara keseluruhan jualan kenderaan penumpang di Singapura naik sebanyak 40.5% kepada 18,576 unit dari 13,224 unit pada separa pertama 2023.

     
     
  • Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

    Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

    Chevrolet Corvette generasi kelapan C8 kini akhirnya menerima varian prestasi ZR1, yang menerima pelbagai peningkatan, dengan antara yang utama adalah enjin V8 5.5 liter twin turbo yang dipanggil sebagai LT7 dan mempunyai kuasa seperti supercar.

    Menurut Chevy, sistem forced induction pada C8 ZR1 ini terdiri daripada dua pengecas turbo ball bearing monoscroll 76 mm bersepad dengan manifold ekzos, wastegate elektronik serta kalibrasi anti-lag enjin pintar.

    Selain daripada sistem turbo itu sendiri, enjin LT7 ini juga mempunyai head yang khas untuknya, kebuk pembakaran CNC lebih besar, sistem intake serba baru, profail pemasaan dan angkatan cam khas, pengimbang piston dan connecting rod, serta muncung sistem suntikan bahan api kedua.

    Chevrolet Corvette ZR1 2025 diperkenal – enjin V8 5.5 liter twin turbo, kuasa 1,064 hp dan tork 1,123 Nm

    Enjin ini asalnya menggunakan asas daripada unit LT6 pada Z06, tetapi hasil daripada semua perubahan ini, ia berjaya menghasilkan 1,064 hp pada 7,000 rpm dan tork 1,123 Nm pada 6,000 rpm. Ini sekaligus menjadikan LT7 sebagai enjin V8 paling berkuasa pernah dihasilkan di Amerika Syarikat, dan enjin V8 paling berkuasa pernah dipasang pada Corvette dari kilang.

    Untuk bertahan dengan kuasa ini, transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang digunakan turut menerima peningkatan untuk menjadikannya lebih kuat, dan kuasa dihantar kepada roda belakang. Menurut Chevy, C8 ZR1 boleh melakukan masa pecutan suku batu tidak sampat 10 saat, manakala laju maksimum pula lebih daripada 346 km/j.

    Menjalankan tugas henti pada kereta berkuasa ini adalah brek cakera karbon seramik 400 mm di hadapan (paling besar pernah dipasang pada Corvette) dan cakera 390 mm di belakang. Untuk badan pula, dua tetapan disediakan, dan penyerap Magnetic Ride diberikan secara standard.

    Tetapan pertama nampak tidak keterlaluan dengan badan yang lebih bersih serta spoiler kecil, tetapi untuk tetapan kedua, ia datang dengan splitter hadapan gentian karbon, panel tambahan tepi kenderaan, bukaan udara tepi dengan salut penyejuk brek, tambahan panel aerodinamik serta tayar Michelin Pilot Sport 4S yang membalut rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.

    Untuk tetapan yang paling ganas, Chevy menyediakan pakej prestasi ZTK, yang menyediakan panel tambahan lebih agresif bersama sayap belakang besar, dan kebanyakannya menggunakan gentian karbon. Turut diberi dalam pakej ini adalah spring suspensi yang lebih keras, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.

    Sementara bahagian luar menyaksikan perubahan yang banyak berbanding model biasa, bahagian dalam pula adalah sama sahaja, kecuali sedikit sentuhan seperti lencana ZR1 serta corak jahitan khas. Pemilik bagaimanapun masih boleh mengubah suai warna atau tema kenderaan ini melalui pilihan yang diberikan dalam katalog.

     
     
  • Insiden kebakaran berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya – tren beroperasi guna satu platform sahaja

    Insiden kebakaran berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya – tren beroperasi guna satu platform sahaja

    Rapid KL memaklumkan bahawa terdapat insiden kebakaran kecil berlaku berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya sebentar tadi. Justeru, pihaknya telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif, di mana tren akan beroperasi menggunakan satu platform (Platform 2) di Ara Damansara, Lembah Subang dan Kelana Jaya.

    “Penumpang yang ingin ke Putra Heights dan Gombak perlu menunggu tren di platform 2. Untuk bantuan, penumpang boleh merujuk Pegawai Stesen atau Polis Bantuan. Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda,” kata Rapid KL menerusi Facebook rasminya.

    Sebelum tren alternatif diaktifkan, pihak Rapid KL memaklumkan tren dari Putra Heights terpaksa berpatah balik di Ara Damansara. Selain itu, tren perantara turut diaktifkan di antara Ara Damansara dan Kelana Jaya (hanya di Platform 2). Sementara tren dari Gombak akan berpatah balik di Kelana Jaya.

    Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya diminta sentiasa mengikuti laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan kemaskini selanjutnya dan sila rancang perjalanan anda sewajarnya.

     
     
  • LRT3: Penutupan lorong, lencongan trafik di KM8.0-KM8.6 di Lebuhraya Persekutuan pada 29 Julai-31 Dis

    LRT3: Penutupan lorong, lencongan trafik di KM8.0-KM8.6 di Lebuhraya Persekutuan pada 29 Julai-31 Dis

    Untuk pengguna Lebuhraya Persekutuan, ini ada makluman penting buat anda. Terdapat penutupan lorong dan lencongan trafik yang akan dilaksanakan di lebuhraya terbabit bermula hujung bulan ini untuk kerja-kerja pembinaan LRT Laluan Shah Alam atau LRT3.

    Menurut Setia Utama LRT 3, kontraktor bagi projek LRT3, akan ada penutupan lorong berselang di KM8.0 hingga KM8.6 di Lebuhraya Persekutuan iaitu di laluan menghala ke Kuala Lumpur dari 29 Julai hingga 31 Disember 2024, Isnin hingga Ahad, antara 11 malam dan 5 pagi sepanjang tempoh tersebut.

    Sepanjang tempoh tersebut, dua lorong akan kekal tersedia untuk pengguna yang menuju ke Kuala Lumpur (seperti yang ditunjukkan pada peta di atas). Katanya lagi, Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) telah meluluskan penutupan lorong dan lencongan lalu lintas yang terbabit. Tarikh sasaran pembukaan LRT3 Laluan Shah Alam ialah 1 Mac 2025.

     
     
  • Sindiket curi kenderaan di Johor tumpas – hanya 30 saat dengan guna jammer untuk bawa lari kereta

    Sindiket curi kenderaan di Johor tumpas – hanya 30 saat dengan guna jammer untuk bawa lari kereta

    Dalam hanya 30 saat sahaja, sindiket curi kenderaan mampu mencuri kenderaan walaupun dipasang dengan sistem penggera dan immobilizer, kata polis Johor.

    Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, sindiket tersebut menyasarkan hanya membawa lari kenderaan mewah dan pacuan empat roda (4X4) untuk dijual kepada pasaran gelap di negara jiran. Menyifatkan sebagai sindiket yang celik teknologi, mereka hanya beroperasi dalam kumpulan seramai dua orang untuk mencuri kenderaan mewah, laporan MalayMail.

    “Sindiket ini aktif sejak lima hingga enam bulan dan selalunya bergerak dalam kumpulan dua atau tiga orang dan menggunakan kereta yang disewa. Modus operandi sindiket terbabit menggunakan pengaturcara elektronik untuk memasuki dan menghidupkan mana-mana kenderaan moden tanpa kunci,” katanya dalam sidang media semalam di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

    Selain itu, sindiket terbabit juga akan menggunakan alat dipanggil ‘jammer’ untuk mematikan semua peralatan GPS dan sebagainya dalam masa 30 saat saja sebelum mereka melarikan kenderaan berkenaan, memetik laporan Harian Metro.

    Beliau turut berkata, berdasarkan statistik dari Januari lalu hingga kini, jumlah kehilangan kenderaan 4×4 dan kenderaan mewah di kontinjen ini adalah sebanyak 69 buah yang mana ia mengakibatkan kerugian RM8.8 juta. Di mana sasaran sindiket adalah Toyota Hilux, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Toyota Fortuner yang mana kenderaan mewah serta 4X4 itu mempunyai permintaan di pasaran luar negara.

    “Kenderaan curi ini akan dihantar ke negara jiran menggunakan jalan darat. Sebuah kenderaan dianggar dijual antara RM30,000 hingga RM40,000.

    “Selain tiga sindiket curi kenderaan mewah dengan lapan tangkapan turut ditumpaskan adalah dua kumpulan curi kereta lama tempatan dengan enam tangkapan dan tiga kumpulan curi motosikal tempatan dengan 10 tangkapan. Sebanyak 81 kenderaan dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 25 kereta, sebuah van, empat lori, 51 motosikal dan 13 rangka motosikal selain turut merampas 30 komponen kenderaan dan pelbagai peralatan curi kenderaan,” katanya lagi.

    Tambah beliau, operasi bersepadu yang digelar Ops Lejang itu dilancarkan di seluruh negeri Johor bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu. Ia bertujuan untuk mengekang kejadian jenayah daripada terus berleluasa terutamanya jenayah harta benda yang membabitkan kes curi kenderaan.

    “Fokus sasaran operasi adalah untuk mengesan dan menangkap suspek terbabit, pemeriksaan bengkel kenderaan, kedai menjual dan membeli alat ganti kenderaan. Operasi ini turut menyasarkan bekas penjenayah, orang yang dikehendaki polis dan mereka yang berpotensi untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

     
     
  • Honda akan tutup salah satu kilang pemasangannya di China, henti produksi disalah satu fasilitinya tahun ini

    Honda akan tutup salah satu kilang pemasangannya di China, henti produksi disalah satu fasilitinya tahun ini

    Baru-baru ini Honda dilaporkan bakal menutup salah satu kilang pemasangan kenderaannya di Thailand akibat permintaan yang menurun selepas menerima saingan sengit dari jenama-jenama dari China. Nampaknya perkara yang serupa menimpa Honda di China di mana Reuters melaporkan bahawa jenama automotif Jepun itu akan menutup salah satu kilang pemasangannya di republik tersebut lewat tahun ini.

    Jurucakap Honda memberitahu agensi berita berkenaan bahawa syarikat itu bakal menutup salah satu dari empat kilangnya di China yang beroperasi menerusi kerjasama dengan entiti tempatan iaitu Guangzhou Automobile Group (GAC) pada Oktober ini. Kilang tersebut menghasilkan sedan Accord di fasiliti No.4, yang telah dibuka hampir dua dekad dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 unit kenderaan.

    Ia juga akan menghentikan sementara pengeluaran di kilang lain yang beroperasi di negara ini melalui kerjasama berasingan bersama Dongfeng mulai November. Fasiliti tersebut merupakan salah satu daripada tiga kilang yang dikendalikan bersama Dongfeng, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 240,000 kenderaan. Oleh itu, kapasiti pengeluaran tahunan Honda di China akan menyusut daripada 1.49 juta unit kepada 1.2 juta unit.

    Jurucakap itu turut menyatakan, dengan perubahan ini Honda akan berusaha untuk mengoptimumkan pengeluarannya di China, ketika ia bergelut dengan situasi sukar yang disebabkan oleh persaingan sengit daripada jenama-jenama tempatan. Namun Honda mempunyai rancangan bagi merebut semula bahagian pasaran dengan mengalihkan tumpuannya ke arah penghasilan kenderaan elektrik (EV).

    Kilang khas EV Dongfeng Honda (kiri) dan GAC Honda Honda (kanan)

    Honda mensasarkan untuk menaikkan semula pengeluaran tahunan di China kepada 1.44 juta kenderaan dengan memulakan produksi di dua kilang EV yang sedang dibina melalui kerjasama dengan GAC dan Dongfeng, dengan pengeluaran dijangka bermula di kedua-dua kilang baharu akhir tahun ini.

    Kilang EV khusus GAC Honda yang terletak dalam daerah pembangunan ekonomi dan teknologi Guangzhou, akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 120,000 unit. Begitu juga dengan fasiliti EV khusus Dongfeng Honda baharu, yang terletak di zon pembangunan ekonomi Wuhan di Wilayah Hubei, juga akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan asas sebanyak 120,000 unit.

    Honda dan Nissan adalah antara jenama Jepun di mana China telah menjadi pasarannya yang kukuh sebelum ini, tetapi merudum selepas kebangkitan jenama-jenama tempatan yang menawarkan kenderaan dengan harga lebih rendah tetapi dilengkapkan dengan pelbagai perisian yang banyak.

    Berita berkenaan penutupan kilang-kilang Honda di China ini timbul selepas laporan pertama dari Nikkei semalam yang melaporkan rancangan Honda untuk mengurangkan sekitar 30% kapasiti pengeluaran tahunannya di pasaran itu.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia melantik Nadia Trimmel sebagai timbalan presiden jualan dan pemasaran

    Mercedes-Benz Malaysia melantik Nadia Trimmel sebagai timbalan presiden jualan dan pemasaran

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan pelantikan Nadia Trimmel sebagai timbalan presiden bagi jualan dan pemasaran Mercedes-Benz Cars Malaysia dan Asia Tenggara (SEA II) berkuatkuasa 1 Julai 2024. Trimmel mengambil alih jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Bettina Plangger, yang kini bertanggungjawab menggalas tugasan bagi projek strategik dalam Wilayah Luar Negara di Stuttgart, Jerman.

    Trimmel, yang memiliki ijazah sarjana muda dalam pemasaran dan ekonomi dari University of the Witwatersrand dan MBA dari Manchester Metropolitan University, menyertai Mercedes-Benz pada 2014 sebagai pengurus besar, jualan dan dan dua tahun kemudian telah memegang peranan sebagai MD, Mercedes-Benz Vans Afrika Selatan.

    Dengan kerjaya dalam industri automotif yang menjangkau hampir 25 tahun, termasuk peranan penting dalam pemasaran, jualan dan selepas jualan di Ford dan Nissan, Trimmel memainkan peranan penting daripada pasukan kepimpinan eksekutif Mercedes-Benz Afrika Selatan.

    “Memikul peranan baharu ini, saya sangat teruja untuk menyertai pasukan eksekutif SEA II dan saya berharap dapat menyumbang ke arah membentuk strategi kami dalam landskap automotif di Malaysia dan rantau SEA II yang lebih besar. Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan pasukan, rakan kongsi runcit kami dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengukuhkan kedudukan pasaran kami melalui strategi jualan yang inovatif dan inisiatif pemasaran yang mengutamakan pelanggan,” katanya.

    Tambahnya, “Ia adalah masa yang menarik untuk berada di barisan hadapan bagi perubahan dengan pelaksanaan model operasi jualan baharu kami, Retail of the Future baru-baru ini. Saya yakin bahawa kami akan mewujudkan standard kejayaan baharu untuk Mercedes-Benz di rantau ini.”

     
     
  • Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

    Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

    Proton mengesahkan bahawa produksi Saga akan dipindahkan dari Shah Alam ke Tanjong Malim pada 2026, dan oleh itu ia akan membina fasiliti stamping baharu di Proton City bagi memudahkan proses tersebut kelak. Majlis pecah tanah untuk barisan yang dikenali sebagai Stamping E dan Stamping F tersebut telahpun berlangsung pada 23 Julai lalu, dan pengumuman rasminya dibuat hari ini.

    Menurut Proton pelaburan berjumlah RM253 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, yang dijangka juga akan menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Dua barisan stamping baharu ini adalah penambahan kedua yang dirancang oleh Proton bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran alat gantinya selepas kilang untuk barisan stamping D dirasmikan pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

    “Penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton kerana ia memberi kami lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran. Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026,” kata CEO Proton Dr Li Chunrong.

    Barisan Stamping E bakal menampilkan proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.

    Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan, kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah pengeluar automotif nasional itu lagi, barisan stamping baharu ini akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import untuk model-modelnya, dan ia akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan. Pada masa yang sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

    Produksi Saga akan dipindah ke Tanjong Malim pada 2026 – Proton mulakan projek tambah kilang stamping

    “Ketika Proton bergerak ke arah menyatukan operasi pengeluaran kami di Tanjong Malim, kami terus berusaha untuk meningkatkan penyumberan alat ganti tempatan kami. Selain daripada pertimbangan kos dan keselamatan alat ganti, kami terus mempertahankan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri automotif melalui penciptaan pekerjaan pada pelbagai peringkat,” tambah Dr. Li.

    Selepas produksi MPV Proton Exora ditamatkan di Shah Alam pada Oktober tahun lalu, Saga kini merupakan satu-satunya model yang masih dihasilkan di kilang asal Proton yang terletak di Hicom Shah Alam tersebut. Ini bermakna operasi kilang yang mula mengeluarkan unit sulung Proton Saga generasi pertama pada 9 Julai 1985 itu akan dihentikan selepas 41-tahun pada 2026 nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025