Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GOyang-GOyang bersama Caltex dan TNG Digital — terima ganjaran 1,000 Caltex Point bernilai RM10

    GOyang-GOyang bersama Caltex dan TNG Digital — terima ganjaran 1,000 Caltex Point bernilai RM10

    GOyang-GOyang bersama Caltex dan TNG Digital (TNGD) dan anda berpeluang mendapat ganjaran menarik ketika membuat isian semula minyak kenderaan. Dengan hanya beberapa langkah mudah, anda boleh memperoleh 1,000 Caltex Point bernilai RM10 yang boleh dibelanjakan untuk bahan api.

    Memanfaatkan ciri GOyang-GOyang baharu dari TNGD, langkah pertama adalah menerima notifikasi melalui aplikasi TNG eWallet ketika anda berada 5 km dari stesen Caltex. Masuk aplikasi berkenaan dan pilih ikon GOyang sebelum menggoncang telefon, dan anda akan diberikan satu kod rujukan.

    Seterusnya, salin kod rujukan berkenaan dan masukkan ke dalam aplikasi CaltexGO atau laman portal ketika pendaftaran sebelum membuat transaksi bahan api bernilai RM30 atau lebih di mana-mana stesen Caltex. Setelah selesai, anda akan terus diberikan 1,000 Caltex Point bernilai RM10. Ya, semudah itu!

    Dengan CaltexGO, anda boleh menikmati semua ganjaran ini dan banyak lagi, sebagai tambahan kepada manfaat lain yang turut ditawarkan. Ini termasuklah kelayakan memperoleh mata ganjaran yang boleh ditebus dengan bahan api, serta pelbagai promosi dan tawaran eksklusif lainnya.

    Aplikasi ini juga memudahkan isian semula bahan api di stesen Caltex melalui beberapa pilihan pembayaran dan semakan transaksi mudah. Daftar dengan CaltexGO sekarang dan nikmati ganjaran GOyang-GOyang dan banyak lagi.

     
     
  • Cycle & Carriage bakal edar kereta Stellantis Malaysia bermula dengan Peugeot, jenama lain menyusul

    Cycle & Carriage bakal edar kereta Stellantis Malaysia bermula dengan Peugeot, jenama lain menyusul

    Cycle & Carriage (C&C) telah mengumumkan kerjasama dengan Stellantis Malaysia yang bakal menyaksikan syarikat itu menjadi pengedar rasmi bagi beberapa jenama di bawah Stellantis. Ini akan dimulakan dengan Peugeot, yang pernah diwakili oleh C&C dari tahun 2002 hingga 2007, sebelum jenama itu diambil alih kendaliannya oleh Nasim (Kumpulan Syarikat Naza) pada 2008.

    Menjelang suku keempat tahun ini, dua bilik pameran sedia ada C&C yang terletak di Cheras dan Batu Caves akan mula mempamerkan dan menjual kenderaan Peugeot di bawah satu bumbung, serta menawarkan sokongan jualan dan lepas jualan yang berkaitan.

    Akan datang, C&C juga mengintai untuk mengedarkan semua jenama yang berada di bawah naungan Stellantis Malaysia, dengan perluasan rangkaian pengedarnya di kawasan Utara dan Selatan Semenanjung menjelang 2025. C&C juga sudah bekerjasama dengan Stellantis di Singapura dan Vietnam, menjadikan kerjasama di Malaysia ini satu pencapaian baru yang sangat penting bagi kedua-dua syarikat.

    “Kami teruja untuk memulakan fasa baru bersama Stellantis Malaysia, untuk menawarkan barisan produk penuh kepad pelanggan, yang disertai dengan pengalaman dan kepakaran automtotif dalam sejarah panjang 125 tahun C&C,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Thomas Tok.

    Cycle & Carriage bakal edar kereta Stellantis Malaysia bermula dengan Peugeot, jenama lain menyusul

    Thomas juga mendedahkan bahawa pasukan pengurusan yang berasingan dari pihak mereka yang akan mengendalikan jenama Stellantis. Bilik pameran Peugeot di dua lokasi terawal itu juga bakal berkongsi ruang dengan jenama Mercedes-Benz yang turut diedarkan oleh C&C, tetapi masing-masing dengan penampilan dan keperluan yang berbeza, menepati setiap satunya secara unik. Selain itu, sebuah lagi premis turut akan dibuka di George Town, Pulau Pinang dalam masa terdekat.

    “Kerjasama dengan C&C merupakan pencapaian tersendiri buat Stellantis Malaysia, dan kami berbesar hati untuk mengalu-alukan rakan pengedar baru ke dalam rangkaian yang semakin berkembang. Ini cerminan kepada kesungguhan kami untuk memberikan khidmat dan nilai terbaik kepada pelanggan. Reputasi C&C juga selari dengan nilai yang kami junjung dan kami bersedia untuk mencipta standard baru dalam industri untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik,” ujar Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais.

     
     
  • Petronas buka tiga stesen minyak perintis pertamanya di Brazil dengan kerjasama SIM Distribuidora

    Petronas buka tiga stesen minyak perintis pertamanya di Brazil dengan kerjasama SIM Distribuidora

    Petronas hari ini mengumumkan bahawa inisiatif pelesenan pertamanya dengan kerjasama SIM Distribuidora (SIM) telahpun secara rasmi dilancarkan, menyaksikan tiga stesen minyak perintis Petronas akan beroperasi di Brazil.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Petronas menyatakan bahawa tiga stesen minyak perintis itu terletak di lokasi urban yang strategik, dan bukan sahaja menawarkan bahan api Petronas Primax, malah turut menjual barisan produk pelincir Petronas Syntium serta menyediakan pelbagai perkhidmatan lain yang direka perkhidmatan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan yang menjadi pemandu setiap hari di jalan raya.

    “Untuk julung kalinya, pelanggan di Brazil boleh merasai produk yang dihasilkan menerusi Teknologi Bendalir kami dan memenangi anugerah Solutions yang telah menjadi juara dalam Formula Satu. Selain itu, dengan flit kenderaan Brazil yang besar di rantau Amerika Latin memberi kami peluang untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih luas,” kata Naib Presiden, Penapisan, Perdagangan dan Pemasaran Petronas, Ahmad Adly Alias.

    “Kami teruja untuk mempunyai pelanggan sendiri di Brazil, yang mungkin telah melihat logo kami di Autodromo Jose Carlos Pace atau litar Interlagos, alami sendiri kepakaran penyelesaian termaju kami, dan bukan sekadar pelincir,” tambahnya.

    Menurut Petronas, model kerjasama ini merupakan pendekatan pelesenan jenama pertamanya untuk masuk ke segmen peruncitan baharu dalam pasaran global, di mana rakan kerjasamanya akan bertanggungjawab dari segi kewangan dan aspek operasi stesen-stesen minyak tersebut.

    “Bersama-sama dengan rakan kongsi, kami komited untuk memberikan nilai dalam mencapai cita-cita bersama untuk bertumbuh,” tambah Ahmad Adly.

    Ini bukan kali pertama Petronas bekerjasama dengan SIM kerana syarikat tersebut sudahpun menjadi pengedar minyak pelincir bertauliah Petronas. SIM juga telah mempunyai jaringan 540 stesen runcit merentas tiga negeri di bahagian selatan Brazil.

    “Kami berbangga untuk melancarkan tiga stesen pertama ini dan membangunkan perkongsian strategik ini dengan Petronas di Brazil ini. Kami percaya bahawa ini akan menjadi pilihan baharu yang menakjubkan untuk pengguna dan pengedar kami,” kata Neco Argenta, Presiden Kumpulan Argenta, iaitu syarikat induk bagi SIM.

     
     
  • Tesla Model S langgar penunggang motosikal di AS dan sebabkan kematian – sistem Full Self Driving aktif

    Tesla Model S langgar penunggang motosikal di AS dan sebabkan kematian – sistem Full Self Driving aktif

    Sebuah Tesla Model S tahun 2022 yang telah bertembung dengan sebuah motosikal dan menyebabkan kematian penunggangnya di Seattle Washington, Amerika Syarikat dikatakan mempunyai fungsi Full Self Driving yang sedang aktif sewaktu ia berlaku, lapor Associated Press.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil Washington State Patrol, Deion Glover keadaan ini disahkan selepas siasatan dibuat dengan mengumpul data daripada perakam kenderaan yang terlibat.

    Pemandu Model S tersebut yang berusia 56 tahun dilaporkan memberitahu polis bahawa beliau sedang menggunakan fungsi Autopilot, dan melihat kepada telefon bimbit semasa kenderaan sedang bergerak. “Tahu-tahu beliau kata terdapat bunyi dan kenderaan melompat ke hadapan sambil memecut dan berlanggar dengan motosikal di hadapan beliau,” kata wakil polis dalam laporan AP.

    Penunggang motosikal berusia 28 tahun yang dilanggar oleh Model S itu ditemui di bawah kereta, dan disahkan mati di tempat kejadian, manakala pemandu kereta pula ditahan untuk siasatan kes kematian “berdasarkan pengakuan tidak memberi perhatian sewaktu memandu, semasa berada dalam mod Autopilot dan gangguan daripada telefon semasa bergerak hadapan, sambil memberi kepercayaan kepada jentera untuk memandu bagi pihak beliau,” tertulis dalam dokumen yang diperhati oleh AP.

    Tesla Model S langgar penunggang motosikal di AS dan sebabkan kematian – sistem Full Self Driving aktif

    Sebelum ini sudah ada pemandu Tesla yang dibawa ke perbicaraan kerana menyebabkan kemalangan semasa menggunakan fungsi pemanduan sendiri dan membawa kepada kematian. Antaranya adalah pada tahun 2022, di mana seorang pemandu Model S didakwa kerana menyebabkan kematian dua individu pada tahun 2019 di Los Angeles, California.

    Dalam kes itu, Model S tersebut melanggar sebuah Honda Civic di satu persimpangan, selepas ia keluar daripada lebuh raya, melanggar lampu merah pada kelajuan 74 bsj (119 km/j) dan kemudian bertembung dengan Civic yang disebut tadi.

    Seorang jurutera Tesla membuat pengakuan bahawa pemandu Model S ini masih meletakkan satu tangan di roda stereng, tetapi laporan menunjukkan tiada sebarang input brek sepanjang enam minit sebelum perlanggaran tersebut, dan pendakwa raya mengatakan sistem Autosteer serta Traffic Aware Cruise Control kenderaan tersebut sedang berfungsi pada waktu ia berlaku.

     
     
  • Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

    Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

    Hampir tiga tahun lalu Honda telah mengembalikan semula nama ‘Integra’ di pasaran China dengan memperkenalkan model kembar kepada Civic generasi ke-11 yang menggunakan muka hadapan dan lampu belakang yang sedikit berbeza. Ia tidak sama dengan Acura Integra yang diperkenalkan di Amerika Syarikat yang menampilkan rupa yang lebih unik serta bahagian belakang direka sebagai liftback.

    Kini Integra China berkenaan diperkenalkan pula dalam versi edisi terhad yang dikenali sebagai Honda Integra Anniversary Limited Edition. Ia menampilkan pakej penggayaan istimewa dengan tambahan bayaran 1,688 yuan (sekitar RM1k) untuk model yang dijual bermula 129,900 yuan (RM83k) hingga 186,900 yuan (RM119k) tersebut.

    Pakej berkenaan terdiri dari set pelekat badan dengan grafik jalur merah bermula dari penutup bonet hadapan merentas bumbung hingga ke penutup but belakang, jalur sisi pada pintu hadapan dengan tulisan ‘Limited Edition’ yang agak besar bersama ayat ‘Integrate Your Desire’ yang lebih kecil di bawahnya dan juga penutup cermin sisi juga dalam kemasan merah.

    Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

    Manakala pada bahagian kabin, serlahan merah turut diberikan pada perapi suis cermin sisi pada pintu dan juga kemasan sekeliling liang penghembus udara pada papan pemuka yang turut lengkap dengan grafik ‘Limited Edition’ yang sama seperti di luar.

    Bukan itu sahaja, pakej edisi terhad ini juga turut memberikan aksesori termasuk botol air, beg bagasi dan beg sandang semuanya dengan grafik tulisan Integra, membolehkan anda menunjuk bahawa anda memiliki model istimewa ini walaupun tidak memandunya.

    Pakej Anniversary Limited Edition ini boleh dipadankan pada kedua-dua versi unit rangkaian kuasa dipasaran berkenaan iaitu 1.5 liter Turbo dan 2.0 liter hibrid e:HEV, yang masih sama seperti apa yang ditawarkan pada Honda Civic di Malaysia.

    Bagi model petrol penuh, enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkenaan menghasilkan kuasa 182 PS dan tork maksima 240 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT untuk memacu roda hadapan. Sementara bagi model hibrid e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa i-MMD yang menggandingkan enjin 2.0 liter NA dan dua buah motor elektrik.

    Enjin kitaran Atkinson tersebut menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 182 di mana tugas utamanya adalah sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion sistem hibrid itu. Manakala tayar hadapan pula digerakkan oleh motor elektrik utama berkuasa 184 PS dan tork maksima 315 Nm.

    Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, enjin petrol 2.0 liter tersebut masih akan membantu motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.

    Honda Integra pasaran China ini dipasarkan dan diproduksi secara eksklusif oleh kerjasama GAC-Honda, sementara satu lagi kerjasama iaitu Dongfeng-Honda mempunyai hak eksklusif yang sama untuk memasang dan memasarkan Honda Civic generasi ke-11 di sana.

     
     
  • Pusat 3S Chery Kluang kini dibuka secara rasmi

    Pusat 3S Chery Kluang kini dibuka secara rasmi

    Chery Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pusat 3S yang menyediakan bilik pameran dan pusat servis baharunya di Kluang, Johor kini sudah dibuka secara rasmi. Fasiliti berkenaan dikendalikan oleh rakan pengedarnya iaitu Li Koon Auto Sdn Bhd.

    Pusat 3S Chery Kluang ini terletak di No. 5 & No. 6, Jalan Kluang Perdana 1, Taman Kluang Perdana, dengan keluasan 896 meter persegi. Selain dari ruang yang komprehensif pada bilik pameran, fasiliti ini turut menampilkan pusat servis dengan empat ruang kerja dan kesemua juruteknik yang bertugas telah mendapat latihan yang cukup, menurut Chery Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Ketika kami meluaskan jaringan kami di Johor, matlamat kami adalah untuk memberi perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih luas, mendekati komuniti yang bersemangat di Muar, Skudai, Johor Bahru, dan kini Kluang. Ini merupakan pengembangan strategik yang membolehkan lebih ramai pelanggan kami merasai kemudahan yang tiada tandingannya, perkhidmatan yang berkualiti dan komprehensif yang Chery diraikan,” kata Pengarah Rangkaian Chery Malaysia Soon Boon Ping.

    Buat masa sekarang Chery sudahpun mempunyai enam bilik pameran dan lima pusat servis di Johor, bersama dua lagi pusat pembaikan badan dan cat.

    “Misi kami adalah untuk menawarkan kenderaan berkualiti tinggi dan memastikan setiap pelanggan menerima penjagaan yang terbaik dan sokongan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” tambah Soon lagi.

    Bilik pameran Chery Kluang ini dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang termasuk cuti am. Manakala pusat servis pula di buka bermula 8 pagi hingga 5.15 petang dări Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12.45 tengah hari pada hari Sabtu (tutup setiap Ahad dan cuti am).

     
     
  • Projek perintis Demand-Responsive Transit (DRT) berakhir hari ini — terima maklum balas baik

    Projek perintis <em>Demand-Responsive Transit</em> (DRT) berakhir hari ini — terima maklum balas baik

    Projek perintis Demand-Responsive Transit (DRT) Selangor yang dimulakan pada 22 November tahun lalu akan berakhir hari ini selepas lapan bulan dijalankan. Bukti konsep (POC) telah dijalankan di lapan zon di negeri tersebut bertujuan untuk mengumpul data berkaitan corak penggunaan.

    Menurut Ahli Exco bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, projek perintis DRT ini telah menerima maklum balas positif berkaitan permintaan serta keperluan untuk servis berkenaan. “Selain itu, kerajaan negeri telah menerima permohonan untuk melanjutkan servis DRT supaya ia boleh membantu agenda untuk memperbaiki pengangkutan awam di Selangor,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dilapor oleh Sinar Harian.

    Ng menambah, berikutan selesainya projek perintis ini, kerajaan negeri menggalakkan penyedia servis DRT tersebut yang telah menjalankan projek rintis berkenaan di bawah program Mobiliti Selangor untuk meneruskan servis berkenaan dengan kadar sama RM2 bagi setiap perjalanan di zon sedia ada sehingga Disember nanti.

    Projek perintis <em>Demand-Responsive Transit</em> (DRT) berakhir hari ini — terima maklum balas baik

    “Bagi tujuan ini, kerajaan negeri kini sedang memperhalusi kaedah yang betul supaya warga Selangor boleh terus menikmati servis DRT ini,” ujarnya dengan menambah pejabatnya juga akan menjalankan kajian terperinci untuk projek berkenaan. “Kami akan membentangkan laporan dan mencadangkan pelaksanaan penuh DRT di Selangor kepada pihak berkuasa negeri,” jelas ADUN Kinrara tersebut.

    Dua penyedia servis DRT yang terlibat ialah Badan Bas Coach dan Asia Mobility Technologies. Penyedia kedua ini merupakan antara yang disorot berita tidak lama dulu kerana diketuai oleh suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

    Berkaitan kontroversi itu, kerajaan negeri memberi maklum balas bahawa kedua-dua syarikat itu dipilih melalui kaedah request-for-proposal (RFP) dan hanya mereka yang mempunyai kepakaran dan kebenaran untuk POC daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (APAD). Selain itu, sejak beberapa waktu sebelum ini, Rapid KL juga telah mengendalikan van DRT di bawah perkhidmatan mereka.

     
     
  • Wmoto ES250i Special Edition tiba di Msia – RM14,508

    Wmoto ES250i Special Edition tiba di Msia – RM14,508

    Skuter yang sudah berusia dua tahun di Malaysia, Wmoto ES250i kini diberikan varian baru yang dipanggil sebagai Special Edition dengan pilihan warna terdiri daripada putih dan hitam. Harga yang disiarkan MForce Bike Holdings adalah RM14,508 tidak termasuk insurans.

    Ini sekaligus menunjukkan harganya sudah meningkat sedikit berbanding model yang diperkenalkan pada tahun 2022 berharga RM13,888, sedangkan perinciannya masih sama dan cuma berbeza pada warna. Jaminan yang diberikan untuk skuter ini adalah dua tahun tanpa had batuan.

    Keistimewaan ES250i adalah ia mempunyai saiz hampir seperti Yamaha NMax dan Honda PCX, tetapi dipacu oleh enjin satu silinder SOHC 244 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik (EFI), mampu menghasilkan kuasa 21 hp pada 8,500 rpm dan 21 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Spesifikasi skuter ini juga boleh dikatakan menarik kerana ia didatangkan dengan sistem brek ABS two-channel dengan tetapan cakera 240 mm di hadapan dan belakang berserta angkup J.Juan, lampu hadapan projector LED berserta DRL, sistem kunci pintar serta suspensi Kayaba (fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang).

    Rim menggunakan saiz 13 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 12 liter. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, meter gabungan digital dan analog, transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat serta ruang simpanan di bawah tempat duduk. Satu lagi yang istimewa, ES250i turut datang dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar, yang boleh mengeluarkan amaran apabila angin di dalam tayar tidak cukup.

     
     
  • Continental perluas teknologi kedap kendiri ContiSeal untuk lebih banyak tayarnya dalam pasaran Malaysia

    Continental perluas teknologi kedap kendiri ContiSeal untuk lebih banyak tayarnya dalam pasaran Malaysia
    Continental Tyre Malaysia mengumumkan bahawa ia kini telah memperluaskan lagi penawaran teknologi kedap sendiri ContiSeal pada lebih banyak pilihan jenis dan saiz rim tayar-tayarnya yang dijual dalam pasaran tempatan.

    Menurut CTM, teknologi yang membolehkan tayar yang bocor membuat kedapan sendiri secara automatik ini akan mengurangkan risiko tayar pancit terutamanya di jalan raya Malaysia yang sering menghadapi hujan lebat, jumlah trafik yang tinggi, jalan berlubang dan serpihan jalan.

    Teknologi ContiSeal ini diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2003, dan ia ditambah baik dari masa ke masa selama dua dekad, dan kini ia membolehkan pengedapan segera sebanyak 80% daripada semua tusukan, serta 99.9% daripada tayar pancit sehingga diameter 5mm apabila tusukan berlaku, dakwa Continental.

    Menurut pengeluar tayar dari Jerman itu lagi, ketahanan dan keanjalan tayar ContiSeal dipertingkatkan menerusi proses pemvulkanan, seterusnya menghasilkan bunyi rongga (cavity noise) yang boleh mengurangkan sehingga 3dB melalui ruang jisim yang diminimumkan dalam tayar.

    Dengan kemampuan menyumbat lubang sehingga diameter 5mm, Continental mendakwa teknologi ini menghasilkan pengedap kedap udara yang menghalang udara daripada bocor. Lapisan pengedap yang digunakan pada bahagian dalam tayar di kawasan bunga itu memastikan tayar mengekalkan integriti dan prestasinya, walaupun dalam keadaan yang ketat dan mencabar.

    Continental perluas teknologi kedap kendiri ContiSeal untuk lebih banyak tayarnya dalam pasaran Malaysia

    Continental juga menyatakan bahawa pengguna tidak perlu segera untuk menukar tayar di tepi jalan sekiranya ada objek asing seperti paku menusuk tayar kerana lubang tetap tertutup walaupun objek yang menusuk itu tercabut. Prestasi teknologi pengedap kendiri ini turut didakwa tidak terjejas oleh faktor persekitaran, dengan hayat perkhidmatan yang melebihi tayar itu sendiri bagi memberikan perlindungan yang berterusan sepanjang jangka hayat tayar.

    Berbanding tayar jenis run-flat, Continental menyatakan bahawa tayar ContiSeal ini berfungsi seperti tayar standard tanpa mengorbankan keselesaan dan tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan khusus. Ia juga tidak mempunyai had pada pengendalian, kelajuan dan jarak seperti tayar run-flat kerana tayar ContiSeal mengekalkan integriti dan prestasi walaupun selepas pancit.

    “Meskipun tayar pengedap kendiri mungkin pada awalnya adalah lebih mahal, dalam jangka panjang tayar ini merupakan penjimatan kos untuk pemilik kereta, sekali gus mengurangkan keperluan untuk bantuan di tepi jalan, penundaan atau penukaran tayar dengan kerap.

    “Tambahan pula, Continental menjamin ContiSeal di bawah waranti pembuatan standardnya; sekiranya berlaku sebarang kecacatan prestasi pengedap untuk tusukan dalam lingkungan 5mm (di kawasan bunga), bayaran balik waranti pro rata akan diberikan,” kata Continental dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Continental perluas teknologi kedap kendiri ContiSeal untuk lebih banyak tayarnya dalam pasaran Malaysia

    Ia juga menambah bahawa dengan pembelian tayar ContiSeal, pengguna jalan raya juga boleh meraih manfaat daripada Total Confidence Plan (TCP), yang menyediakan penggantian tayar satu sama satu untuk kerosakan jalan yang tidak dijangka dalam tahun pertama, dengan tuntutan diuruskan dengan mudah melalui aplikasi Conti TCP.

    Continental menyasarkan matlamat untuk menawarkan sepenuhnya teknologi ContiSeal ini menjelang Julai 2024 untuk kesemua model tayar popular iaitu UltraContact UC7, PremiumContact C (PCC) dan UltraContact UC6 SUV, dalam saiz antara 16” hingga 20”. Ia akan dijual menerusi mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai e-dagang Shopee dan Lazada rasmi Continental.

    Syarikat itu juga menyatakan disebabkan keupayaan pengedap kendiri yang berkesan, ramai pemandu mungkin tidak menyedari sebarang tusukan atau objek tajam menembusi tayar ContiSeal. Oleh itu ia menasihatkan pengguna agar sentiasa memantau sebarang penurunan tekanan tayar menerusi sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS) kenderaan masing-masing dan membuat pemeriksaan tayar secara berkala oleh pakar tayar untuk memastikan integriti tayar yang berterusan dan jangka hayat produk.

    Selain itu Continental juga menasihatkan pengguna tayar dengan teknologi ContiSeal ini agar melawat kedai pengedar tayar untuk pemeriksaan menyeluruh bagi mengelakkan kelembapan daripada memasuki tayar melalui sebarang tusukan, yang seterusnya boleh merosakkan struktur dalamannya.

     
     
  • BBS sekali lagi difailkan untuk muflis buat kali kelima; gaji pekerja sudah tidak dibayar sejak Mei lalu

    BBS sekali lagi difailkan untuk muflis buat kali kelima; gaji pekerja sudah tidak dibayar sejak Mei lalu

    Selain dari berita pembuat tempat duduk Recaro dari Jerman yang difailkan untuk muflis, pengeluar rim terkenal yang juga berasal dari negara sama iaitu BBS turut juga telah memfailkan prosiding insolvensi di mahkamah tempatan Rottweil di Jerman. Difahamkan bahawa BBS telah berhenti dari membayar gaji pekerjanya sejak Mei lalu.

    Ini bukan kali pertama BBS muflis, di mana syarikat tersebut sebenarnya sudah diisytihar muflis pada 2007, 2010, 2020, 2023, dan terbaharu ini merupakan kali yang kelima.

    “Kami tidak akan mengecewakan orang yang perlu menempuh jalan ini bersama kami. Kami tidak akan berputus asa dengan jenama BBS, yang bagi kami adalah salah satu jenama global terbesar Jerman. Kami mempunyai rancangan dan kami berazam untuk melaksanakannya,” kata ISH Management Services, yang memiliki BBS Automotive GmbH sebelum pemfailan baru-baru ini, lapor Motor1.com.

    Berita ini agak mengejutkan operasi-operasi BBS diluar negara yang sebenarnya beroperasi secara bebas. Presiden BBS America Craig Donnelly memberitahu Motor1 bahawa operasi BBS di AS disahkan di bawah pemilikan berbeza dan berita ini tidak akan mengubah operasinya.

    BBS sekali lagi difailkan untuk muflis buat kali kelima; gaji pekerja sudah tidak dibayar sejak Mei lalu

    “Kami bebas daripada keseluruhan situasi ini. Tetapi ia adalah keadaan yang tidak baik untuk semua orang secara keseluruhan, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada ketika ini,” katanya.

    Kami turut difahamkan BBS Japan turut tidak mempunyai sebarang hubungan ekuiti dengan BBS Automotive GmbH di Jerman menerusi kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu ketika BBS diisytihar muflis sebelum ini. BBS Jerman menghasilkan rim jenis logam tuang, manakala BBS Japan menghasilkan dan menjual rim aloi forged. BBS Japan tidak mengimport atau menjual rim BBS dari Jerman.

    BBS Japan juga menjelaskan bahawa BBS Motorsports, pengeluar rim perlumbaan yang berpangkalan di Jerman, adalah anak syarikat 100% milik BBS Japan dan merupakan syarikat berasingan daripada BBS Automotive GmbH. BBS Japan memiliki tanda dagangan jenama BBS untuk rim aloi forged dan kesan kebankrapan BBS Automotive GmbH dianggap ‘kecil’.

     
     
  • Recaro Automotive failkan untuk muflis di Jerman

    Recaro Automotive failkan untuk muflis  di Jerman

    Pembuat tempat duduk kereta sporty dan juga untuk perlumbaan, Recaro Automotive difailkan untuk muflis 29 Julai lalu di Jerman menerusi Mahkamah Daerah Esslingen. Menurut syarikat itu, insolvensi ini adalah akibat daripada masalah kewangan yang ketara akibat kenaikan harga yang melampau dalam tahun-tahun krisis kebelakangan ini dan kehilangan kontrak utama.

    Selain itu, ia turut disebabkan oleh produk warisan dan operasi perniagaan yang terkesan telah menjejaskan pembangunan penawaran produk baharu syarikat semasa pengurangan serantau dalam perbelanjaan pembelian kenderaan.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, telah dinyatakan bahawa mahkamah meluluskan pentadbiran sendiri permulaan pada 29 Julai 2024 dan melantik peguam Holger Blümle daripada firma guaman Schultze & Braun sebagai penjaga awal syarikat itu. Sementara itu, firma perunding antarabangsa Baker Tilly pula menyediakan nasihat undang-undang sepanjang proses tersebut.

    Pada Selasa lalu, pekerja syarikat telah dimaklumkan mengenai ketidakmampuan pembayaran bayar gaji namun gaji mereka akan dijamin melalui pembayaran insolvensi. Recaro akan terus menghasilkan produk-produknya menerusi produksi penuh
    semasa prosiding insolvensi kerana syarikat terus memenuhi semua pesanan sedia ada dan pertanyaan pelanggan baharu.

    Menurut laporan Autocar pula pekerja-pekerja mendakwa tidak mengetahui proses muflis yang sedang berlaku, dalam masa yang sama kesatuan sekerja IG Metall yang mewakili 215 pekerja syarikat berkenaan di kilang Recaro terletak di Kircheim unter Teck, Jerman menuntut agar pihak pengurusan syarikat bersikap telus dalam perkara ini.

    Recaro Automotive failkan untuk muflis  di Jerman

    Laporan ini turut menyebut pemfailan muflis ini hanya akan melibatkan Recaro Automotive, sementara divisi lain yang menghasilkan tempat duduk pesawat, kerusi pejabat, kerusi permainan dan tempt duduk kanak-kanak tidak terjejas setakat ini.

    Recaro bermula apabila pembuat pelana, Wilhelm Reutter mula membuat rekaan dan membina badan serta kemasan dalaman kereta pada 1906. Manakala asas kepada perniagaan sekarang ditubuhkan pada 1963 apabila Reutter menjenamakan semula syarikatnya (REutter and CAROsserie) sebagai pakar dalam pengeluaran tempat duduk dan komponen tempat duduk, dan dua tahun selepas itu tempat duduk sport pertama Recaro telah dilancarkan pada 1965.

    Namun Recaro Automotive sebenarnya telah keluar dari Recaro Holding iaitu syarikat induk Recaro Group lebih 10 tahun yang lalu. Malah Recaro Automotive juga sudah beberapa kali bertukar pemilik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan telah dijual kepada pembekal komponen automotif dari Amerika Syarikat iaitu Johnson Controls pada 2011.

    Pada 2016, Recaro Automotive bernaung di bawah pembekal automotif Adient. Manakala pada tahun 2020, syarikat itu telah dijual Raven Acquisitions, firma pelaburan milik persendirian yang berpangkalan di Detroit, Michigan, yang terus melesenkan nama Recaro daripada Recaro Holding.

     
     
  • Proton eMas EV bakal didedahkan Jumaat ini – model pertama disahkan rebadge dari Geely Galaxy E5

    Proton eMas EV bakal didedahkan Jumaat ini – model pertama disahkan <em>rebadge</em> dari Geely Galaxy E5

    Proton baru sahaja membuat pengumuman bahawa model EV pertamanya yang dikenali sebagai siri eMas bakal didedahkan tiga hari lagi, iaitu pada Jumaat minggu ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman-laman sosialnya, dan dengan jelas imej teaser yang dipaparkan merupakan bayangan sisi yang seiras dengan Geely Galaxy E5.

    Model ini dijangka akan digelar sebagai eMas7 atau eMas E7, seperti yang sudah didaftarkan oleh Proton di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Tiada sebarang petunjuk berkenaan spesifikasi teknikal diumum oleh Proton sebelum ini, namun ia dijangka banyak berkongsi perincian dengan Galaxy E5.

    Geely Galaxy E5 baru sahaja didedahkan di China pada Mei lalu. Ia diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), digerakkan dengan sebuah motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS/320 Nm. Di China, E5 ditawarkan dalam dua versi bateri litium logam fosfat (LFP), masing-masing berkapasiti 49.52 kWj untuk jarak gerak 440 km dan 60.22 kWj untuk jarak gerak 530 km, kedua-duanya dalam kitaran ujian CLTC.

    Proton eMas EV bakal didedahkan Jumaat ini – model pertama disahkan <em>rebadge</em> dari Geely Galaxy E5

    Bayangan digital Proton eMAS7/eMas E7 yang dihasilkan oleh Theophilus Chin berasaskan Geely Galaxy E5

    Antara perincian lain yang dilengkapkan pada Galaxy E5 di China ini termasuk paparan instrument dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 15.4-inci, disambungkan kepada sistem bunyi Flyme Sound 1,000 watt dengan 16-pembesar suara.

    E5 dijual pada harga bermula 123,000 yuan (RM78,300) sehingga 157,000 yuan (RM100,100). Jika dilihat pada penawaran model-model rebadge Proton-Geely sebelum ini, harga untuk model pertama eMas ini kelak mungkin sedikit tinggi di Malaysia.

    Pengumuman yang dibuat oleh Proton sebentar tadi ini sebenarnya agak mengejutkan. Ini kerana sebelum ini Proton menyatakan model ini hanya akan didedahkan pada bulan Disember nanti.

     
     
  • RM4 bilion diperlukan untuk selenggara jalan, tapi hanya RM1 bilion diperuntukkan – menteri kerja raya

    RM4 bilion diperlukan untuk selenggara jalan, tapi hanya RM1 bilion diperuntukkan – menteri kerja raya

    Tidak dapat dinafikan, banyak jalan persekutuan di negara kita tidak berapa bagus dan menunjukkan kurangnya kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan. Ada sebab ia berlaku dan kebanyakannya adalah berkaitan dengan duit.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dana yang diterima setiap tahun hanya cukup untuk meliputi suku bahagian daripada apa yang diperlukan – lapor Bernama. Alexander turut memberitahu, sekitar RM4 bilion diperlukan setiap tahun untuk menyelenggara semua jalan persekutuan dalam negara, tetapi untuk beberapa dekad, kami hanya memperoleh bajet sekitar RM1 bilion.

    “Ini adalah penyebab kepada tunggakan dalam menyelenggara dan membaiki jalan. Untuk menambah baik kualiti jalan melalui penyelenggaraan, kami harap dapat menerima bajet lebih daripada RM1 bilion dalam bajet akan datang, memandangkan peruntukan sekarang cuma meliputi 25% sahaja,” kata beliau dalam satu acara di Tawau, Sabah sambil mengumumkan peruntukan RM130 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan jalan di negeri itu.

    RM4 bilion diperlukan untuk selenggara jalan, tapi hanya RM1 bilion diperuntukkan – menteri kerja raya

    Alexander berkata, kementerian beliau akan memohon untuk peruntukan yang lebih tinggi tahun hadapan di bawah program istimewa untuk menambah baik jalan, memandangkan Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan 2026 sebagai Tahun Melawat Malaysia.

    “Fokus berterusan untuk menyelenggaran jalan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk terus memberikan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua warga Malaysia,” kata Alexander.

    Beliau turut mengambil maklum tentang aduan orang ramai berkenaan isu lampu jalan dan menggesa syarikat konsesi untuk mengambil penyelesaian yang praktikal dalam kemampuan kewangan mereka, termasuk memasang pemantul cahaya atau lampu dengan kuasa solar.

     
     
  • Porsche Taycan facelift 2024 di M’sia — lapan varian, hingga 1,034 PS, 678 km jarak EV, dari RM575k

    Porsche Taycan facelift 2024 di M’sia — lapan varian, hingga 1,034 PS, 678 km jarak EV, dari RM575k

    Porsche Taycan versi facelift terkini diperkenalkan di Malaysia bulan lalu ketika acara Porsche World Roadshow, selepas pertama kali ditunjuk di peringkat global pada Februari lalu. Pengenalan terbaru ini menyaksikan Taycan diberika kemaskini dari segi rekaan serta peningkatan dari sudut penjana kuasanya.

    Perubahan dari segi rekaan antaranya melibatkan bampar depan dengan bahagian lampu utama yang lebih ringkas dan tirus (dengan pilihan LED matrix empat-projektor). Ada juga pilihan untuk logo Porsche dengan lampu di belakang serta fender yang tampil lebih melengkung yang ketara.

    Rekaan bampar yang lebih tajam juga diberikan untuk varian Turbo dan Turbo S, dengan adanya kemasan permukaan Turbonite kelabu (termasuk untuk lencananya) serta elemenn rekaan dari versi sebelum ini untuk membezakannya dengan varian lain.

    Porsche Taycan facelift 2024 di M’sia — lapan varian, hingga 1,034 PS, 678 km jarak EV, dari RM575k

    Di dalam, antara kelengkapan yang ada ialah paparan instrumen digital melengkung 16.8-inci, skrin sentuh infotainmen 10.9-inci, skrin format menegak berasingan 8.4-inci serta skrin sentuh 10.9-inci pilihan untuk penumpang. Semuanya menggunakan perisian terbaru sama seperti Porsche Cayenne, dengan visual 3D untuk sistem bantuan pemandu, paparan situasi bateri serta aplikasi yang disokong.

    Kemaskini lain yang diberikan pula ialah rekaan stereng dengan ciri butang berbeza berbanding sebelumnya, pemilih mod pemanduan rotari standard dengan butang tekan jika ada pilihan pakej Chrono Sport. Dengan pengenalan varian baru Turbo GT, kini ada lapan varian Taycan untuk dipilih. Berikut secara ringkas spesifikasi dan kelengkapan bagi setiap satu varian yang ada:

    Porsche Taycan facelift 2024 di M’sia — lapan varian, hingga 1,034 PS, 678 km jarak EV, dari RM575k

      Porsche Taycan – RM575,000

    • Output motor elektrik: 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 410 Nm dengan atau tanpa overboost diaktifkan (Performance Battery); 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan 420 dengan atau tanpa overboost diaktifkan (Performance Battery Plus); RWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 4.8 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 230 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; Performance Battery 89 kWh kasar (82.3 bersih); Performance Battery Plus 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 503-590 km (Performance Battery); 579-678 km (Performance Battery Plus)
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam masa lima jam (Performance Battery) atau enam jam (Performance Battery Plus)
    • Pengecasan DC: 270 kW, 10-80% dalam 18 minit (Performance Battery); 320 kW, 10-80% dalam 18 minit (Performance Battery Plus)
    • Cukai jalan EV: RM545 (Performance Battery); RM615 (Performance Battery Plus)
    • Porsche Taycan 4S – RM675,000

    • Output motor elektrik: 462 PS (456 hp atau 340 kW) nominal, 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 695 Nm dengan overboost diaktifkan (Performance Battery); 517 PS (510 hp atau 380 kW) nominal, 598 (590 hp atau 440 kW) dan 710 Nm dengan overboost diaktifkan (Performance Battery Plus); AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 3.7 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 250 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; Performance Battery 89 kWh kasar (82.3 bersih); Performance Battery Plus 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 474-557 km (Performance Battery); 549-642 km (Performance Battery Plus)
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam masa lima jam (Performance Battery) atau enam jam (Performance Battery Plus)
    • Pengecasan DC: 270 kW, 10-80% dalam 18 minit (Performance Battery); 320 kW, 10-80% dalam 18 minit (Performance Battery Plus)
    • Cukai jalan EV: RM715 (Performance Battery); RM915 (Performance Battery Plus)
    • Porsche Taycan Turbo – RM905,000

    • Output motor elektrik: 707 PS (697 hp atau 520 kW) nominal, 884 PS (872 hp atau 650 kW) dan 890 Nm dengan overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 2.7 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 260 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 557-630 km
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Pengecasan DC: 320 kW, 10-80% dalam 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM2,165
    • Porsche Taycan Turbo S – RM1,060,000

    • Output motor elektrik: 775 PS (764 hp atau 570 kW) nominal, 952 PS (939 hp atau 700 kW) dan 1,110 Nm dengan overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 2.4 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 260 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 558-630 km
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Pengecasan DC: 320 kW, 10-80% dalam masa 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM2,915
    • Porsche Taycan Turbo GT – RM1,160,000

    • Output motor elektrik: 789 PS (778 hp atau 580 kW) nominal, 1,034 PS (1,019 hp atau 760 kW) dan 1,240 Nm dengan overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/h time: 2.3 saat (dengan Launch Control); 2.2 saat (dengan Launch Control dan Weissach Package)
    • Laju maksimum: 290 km/j; 305 km/j (dengan Weissach Package)
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Range (WLTP): 528-554 km; 538-555 km (dengan Weissach Package)
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Pengecasan DC: 320 kW, 10-80% dalam 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM3,065
    • Porsche Taycan 4 Cross Turismo – RM625,000

    • Output motor elektrik: 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan 585 Nm dengan atau tanpa overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 4.7 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 220 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 517-613 km
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Pengecasan DC: 320 kW, 10-80% dalam 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM615
    • Porsche Taycan 4S Cross Turismo – RM700,000

    • Output motor elektrik: 517 PS (510 hp atau 380 kW) nominal, 598 PS (590 hp dengan 440 kW) dan 695 Nm dengan overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 3.8 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 240 km/h
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 517-610 km
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Penegcasan DC: 320 kW, 10-80% dalam 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM915
    • Porsche Taycan Turbo Cross Turismo – RM915,000

    • Output motor elektrik: 707 PS (697 hp atau 520 kW) nominal, 884 PS (872 hp atau 650 kW) dan 890 Nm dengan overboost diaktifkan; AWD
    • Pecutan 0-100 km/j: 2.8 saat (dengan Launch Control)
    • Laju maksimum: 250 km/j
    • Bateri: Nickel manganese cobalt; 105 kWh kasar (97 kWh bersih)
    • Jarak (WLTP): 515-597 km
    • Pengecasan AC: 22 kW AC, 0-100% dalam enam jam
    • Penegcasan DC: 320 kW, 10-80% dalam 18 minit
    • Cukai jalan EV: RM2,165

    Penambahbaikan terhadap sistem janaan juga dilanjutkan kepada brek regenratid yang lebih berkuasa yang kini boleh menampung sehingga 400 kW tenaga kinetik, dengan suspensi udara kini adalah ciri standard untuk Taycan. Model pacuan semua roda boleh dipilih untuk dilengkapi dengan palang penstabil Porsche Active Ride, serta pilihan lain termasuk Vectoring Plus (PTV Plus, dengan kunci differential belakang elektronik), stereng roda belakang serta brek karbon seramik.

    Porsche Taycan 2024

    Porsche Taycan 4 Cross Turismo 2024

     
     
  • Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Selepas mendarat di Indonesia Februari lalu, hari ini Suzuki Jimny dalam badan lebih praktikal iaitu Jimny 5-Door dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia ditawarkan dalam hanya satu varian, diimport sepenuhnya (CBU) yang dibawa dari kilang Maruti Suzuki di India, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,950. Sebagai perbandingan, Jimny 3-pintu biasa dijual pada harga RM174,900.

    Model dengan tambahan pintu belakang ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

    Jadi bukan pintu sahaja ditambah, malah bahagian penumpang belakang juga menampilkan ruang kaki lebih luas berbanding versi tiga-pintu. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo maksimum 332 liter jika diperlukan (211 liter sekiranya tempat duduk belaag tidak dilipat).

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Model 5-Door ini menampilkan sudut approach 36 darjah, sudut breakover 24 darjah dan sudut departure 47 darjah, berbanding model tiga pintu biasa yang mempunyai sudut approach 37 darjah, sudut breakover 28 darjah dan sudut departure 49 darjah. Saiz badan yang lebih panjang ini juga menyebabkan radius pusingan bagi model 5-Door lebih besar iaitu 5.7 meter, berbanding 4.85 meter bagi model biasa.

    Pada sebelah luar, gril hadapan model 5-Door ini menerima serlahan kemasan krom yang tidak diberikan pada model tiga-pintu. Selain itu ia diberikan perincian standard lain seperti lampu hadapan projektor LED, lampu kabus hadapan dan juga rim aloi 15-inci yang dibalut dengan tayar 195/80R15.

    Manakala dalam kabin, ia dilengkapi dengan perincian standard seperti sistem penghawa dingin automatik, tempat duduk balutan fabrik, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang lebih besar berbanding versi tiga-pintu yang hanya menerima skrin 6.8-inci.

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Skrin berkenaan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan ia turut memberikan paparan untuk kamera undur yang dipadankan secara standard.

    Untuk unit rangkaian kuasa pula, Jimny 5-Door ini masih lagi menerima enjin yang sama seperti model tiga-pintu, iaitu enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm.

    Model pasaran Malaysia ini hanya menerima pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan konvensional, serta datang standard dengan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

    Manakala untuk keselamatan, model yang lebih panjang ini menerima penambahan beg udara sisi dan tirai, menjadikan jumlah beg udara adalah enam unit secara keseluruhan, berbanding model tiga-pintu yang hanya diberikan dua beg-udara. Tetapi ia masih belum dibekalkan dengan sebarang kelengkapan keselamatan aktif, dan hanya diberikan sistem keselamatan pasif seperti ESP, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS dan BA.

    Lima warna ditawarkan untuk Jimny 5-Door pasaran Malaysia ini. Dua daripadanya iaitu Sizzling Red Metallic dan Chiffon Ivory Metallic menerima bumbung hitam dengan warna spesifik Bluish Black Pearl, manakala tiga pilihan lagi adalah warna monotona iaitu Bluish Black Pearl, Granite Grey Metallic dan Jungle Green.

    Namun terdapat perbezaan harga bergantung pada warna yang dipilih; warna-warna metalik memerlukan tambahan RM1,500 menjadikan harganya RM201,450, manakala warna dua tona dengan bumbung hitam pula perlu ditambah RM2,500 menjadikan harganya RM202,450.

    Untuk setiap pembelian model ini, pengedar rasmi Suzuki di Malaysia iaitu Naza Eastern Motor turut memberikan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025