Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR Corolla facelift 2025 didedah – lebih tork, ada pilihan kotak gear 8AT, suspensi ditala semula

    Toyota GR Corolla facelift 2025 didedah – lebih tork, ada pilihan kotak gear 8AT, suspensi ditala semula

    Toyota hari ini telah pun mendedahkan versi facelift untuk hot-hatch GR Corolla dengan tingkat taraf prestasi yang bukan hanya disumbang oleh peningkatan aspek mekanisma, malah perubahan kosmetik yang dibuat juga disasar bagi menjadikan kereta ini lebih pantas. Juga sama seperti adiknya iaitu GR Yaris facelift yang didedahkan Januari lalu, GR Corolla kini turut ditawarkan dalam versi transmisi automatik menerusi versi facelift 2025 ini.

    Enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus masih digunakan pada GR Corolla facelift ini, dengan angka kuasa yang juga tidak berubah iaitu 304 PS pada takat 6,500 rpm. Namun talaan semula yang telah dibuat membolehkan torknya meningkat sebanyak 30 Nm dari 370 Nm kepada 400 Nm, sama seperti jumlah tork yang dihasilkan pada enjin G16E-GTS dalam perut GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.

    Seperti yang disebut tadi, GR Corolla facelift ini turut sudah ditawarkan dengan kotak gear automatik, sekali lagi ia merupakan kotak gear Gazoo Racing Direct Automatic Transmission lapan-kelajuan (DAT-8AT) yang sama seperti pada GR Yaris facelift dan Lexus LBX Morizo RR.

    Toyota GR Corolla facelift 2025 didedah – lebih tork, ada pilihan kotak gear 8AT, suspensi ditala semula

    Kotak gear automatik ini bukan sahaja dibina untuk ‘dilanyak’ dengan diberikan material klac kalis-haba, sistem kawalan tork baharu dan solenoid linear respon tinggi, malah ia turut diberikan fungsi launch control dan juga perisian yang membolehkan gear diturunkan sepantas mungkin serta dapat memberikan pilihan gear yang tepat menerusi input dari brek dan pedal pendikit, menghasilkan tukaran gear automatik sehebat teknik dari pemandu profesional.

    Transmisi manual enam-kelajuan masih lagi ditawarkan untuk mereka yang lebih gemar menukar gear sendiri dan bermain dengan tiga pedal, tetapi ia telah dipertingkat roda tenaga jenis dwi-jisim (dual mass flywheel). Sistem rev-match automatik yang memberikan blip pada pendikit ketika gear diturunkan tanpa teknik heel & toe juga masih disertakan pada kotak gear ini.

    Sistem pacuan semua roda GR Four yang diinspirasikan dari jentera rali pada GR Corolla ini juga menerima tingkat taraf sama seperti pada GR Yaris. Oleh itu agihan tork antara gandar hadapan dan belakang kini berubah dengan mod Normal adalah 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan), 50:50 untuk Gravel (sebelum ini 30:70 untuk mod Sport). Manakala untuk mod Track yang sebelum ini ditetapkan pada 50:50 telah diubah dengan memberikan agihan yang sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan.

    Toyota GR Corolla facelift 2025 didedah – lebih tork, ada pilihan kotak gear 8AT, suspensi ditala semula

    Toyota juga telah menjadikan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang sebagai perincian standard untuk semua varian GR Corolla, di mana sebelum ini ia hanya dibekalkan secara standard untuk varian Circuit Edition.

    Untuk penulis, tetapan suspensi GR Corolla sebelum ini sudahpun cukup baik, namun Toyota masih membuat talaan yang dipertingkat pada versi facelift 2025. Penyerap hentak bagi model kemaskini ini diberikan spring rebound bina-dalam yang dapat memberikan postur badan kereta dan juga sifat beban permukaan pada roda dalam yang lebih baik, bagi memberikan kestabilan yang lebih tinggi ketika mengambil selekoh.

    Manakala kedudukan cagak trailing arm pada suspensi belakang kini sudah ditinggikan bagi mengurangkan mendap pada bahagian belakang kereta ini yang berlaku setiap kali ia memecut, seterusnya memberikan respon pemanduan lebih baik dan lebih kestabilan ketika membelok.

    Karekter spring dan juga bar penstabil untuk suspensi belakang juga telah diubah bagi dioptimakan, seterusnya meningkatkan kekerasan olengan untuk mendapat cengkaman yang lebih baik dari tayar ketika mengambil selekoh.

    Pada bahagian luaran, perubahan ketara yang boleh dilihat adalah pada rekaan bampar hadapan. Tiada lagi lampu kabus diletak pada bampar berkenaan bagi memberikan ruang liang udara yang lebih besar. Ini dibuat semata-mata bagi memberikan aliran udara untuk penyejukan yang lebih baik, terutamanya untuk penyejuk minyak transmisi pada model automatik.

    Bampar ini juga direka dengan liang yang mangalirkan udara terus untuk menyejukkan sistem brek dan juga tirai udara bagi mengurangkan pergolakan udara dalam ruang roda hadapan, seterusnya meningkatkan kestabilan pengendalian. Bagi model varian tertinggi, GR Corolla kini diberikan sub-radiator tambahan untuk memberikan penyejukan enjin lebih baik.

    Tiada perincian lain diubah pada sebelah luar, di mana ia masih tampil dengan badan, kit aero lain, bumbung gentian karbon serta rekaan rim yang sama seperti sebelum ini. Manakala pada bahagian dalaman, ia kini menerima kabin dengan lebih banyak perapi dan suis-suis Kawalan berwarna gelap menggantikan kemasan Perak sebelum ini.

    GR Corolla sedia ada telah pun berada dalam pasaran Malaysia sejak Februari 2023, dilancarkan kira-kira 10 bulan selepas ia membuat kemunculan sulung global. Jadi ada kemungkinan model facelift ini akan dibawa ke pasaran tempatan tahun hadapan.

     
     
  • Proton eMas 7 ditunjuk — SUV dibangun bersama Geely Galaxy E5; EV pertama M’sia dijual hujung 2024

    Proton eMas 7 ditunjuk — SUV dibangun bersama Geely Galaxy E5; EV pertama M’sia dijual hujung 2024

    Proton akhirnya mendedahkan secara rasmi model EV eMas 7 (ditulis e.MAS 7) kepada umum hari ini dengan mengenakan pelekat samaran. Dan, jangkaan sebelum ini juga tepat: ia merupakan sebuah model yang menggunakan asas sama dengan Geely Galaxy E5 — EV yang dibangunkan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, yang mana menurut Proton, seramai 230 orang tenaga kerja Proton turut terlibat dalam proses keseluruhannya secara bersama.

    Dengan eMas 7 berkongsi model sama seperti Galaxy E5, ini bermaksud ia menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA). Ini adalah hasil daripada Sustainable Experience Architecture (SEA) oleh Geely sendiri, dengan kelebihannya mampu untuk menerima enjin biasa untuk digunakan juga, dan sekaligus membolehkan sistem EV range-extender, plug-in hybrid dan bahkan enjin janaan janaan metanol. Di sini, eMas 7 hanya akan dipasarkan sebagai sebuah kereta elektrik.

    Proton juga menyatakan yang eMas 7 ini merupakan model pertama yang menggunakan Global Modular Architecture (GMA) — hal yang sama, tetapi dengan nama yang berbeza. Ada enam model GMA 01 hingga GMA 06 yang telah disebut dan dirancang ke depan, sama ada EV ataupun PHEV, dengan eMas 7 ialah GMA 01 tersebut

    Proton eMas 7 ditunjuk — SUV dibangun bersama Geely Galaxy E5; EV pertama M’sia dijual hujung 2024

    Geely mendakwa platform GEA merupakan yang pertama di dunia yang menyepadukan kelengkapan, sistem, ekologi serta AI kereta sepenuhnya. Ia juga membolehkan bateri untuk disepadukan ke dalam kerangka badan kenderaan (cell-to-body, CTB) dan bertindak sebagai elemen struktur juga. Ini membolehkan kereta terbabit mempunyai ketahanan torsional sehingga 31,000 Nm per darjah.

    Semua varian eMas 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Kuasa ini dihantar ke roda depan, dan membolehkan kereta ini memecut 0-100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai laju maksimum 180 km/j. Motor berkenaan merupakan unit “12-dalam-1” yang menyepadukan semua sistem utama untuk melonjakkan kecekapannya — sehingga 90.04% mengikut kitaran CLTC China.

    Proton eMas 7 ditunjuk — SUV dibangun bersama Geely Galaxy E5; EV pertama M’sia dijual hujung 2024

    Bateri pula menggunakan jenis lithium iron phosphate (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Dua kapasiti ditawarkan sebagai pilihan di sini — bateri 49.52 kWh dengan jarak perjalanan 440 km dan unit 60.22 kWh yang memberikan jarak 530 km. Semua angka ini adalah mengikut CLTC — jangkakan 20% kurang untuk penggunaan dunia nyata (WLTP sekitar 350 km dan 420 km). Untuk pengecasan DC, 30%-80% memerlukan masa 20 minit sahaja untuk eMas 7.

    Dari segi ukuran, eMas 7 mempunyai dimensi 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm. Sebagai perbandingan, Honda CR-V semasa lebih panjang dengan 4,691 mm, tetapi lebarnya kurang dengan hanya 1,866 mm. Berbanding EV lain, eMas7 lebih besar daripada misalnya BYD Atto 3, smart #1, GAC Aion Y, BMW iX1 dan Chery Omoda E5. Model yang hampir sama saiznya dengan EV Proton ini ialah Neta X, dengan Tesla Model Y yang paling besar.

    Proton eMas 7 ditunjuk — SUV dibangun bersama Geely Galaxy E5; EV pertama M’sia dijual hujung 2024

    Bagaimanapun, untuk harga di pasaran tempatan masih belum ada sebarang petunjuk, sementara Galaxy E5 di China dijual di antara 123,000 dan 157,000 yuan (sekitar RM77k dan RM99k). eMas 7 bagaimanapun merupakan EV yang diimport sepenuhnya, dan disebabkan itu ia tidak mungkin dijual di bawah RM100,000 — tahap minimum yang ditetapkan oleh kerajaan bagi EV CBU hingga hujung tahun depan.

    eMas7 dalam versi CKD — jika ada nanti — barulah akan membolehkan perkara itu dicapai. Semua model yang disebut dalam perbandingan dengan eMas 7 ini — selain model BMW dan Tesla itu — dijual dengan harga antara RM100,000 hingga RM150,000. Proton eMas 7 dijangka mula dijual menjelang penghujung 2024 nanti.

     
     
  • Proton jual 15,103 buah kenderaan pada Julai 2024 – naik 37.3% berbanding Jun, YTD cecah 88,799 unit

    Proton jual 15,103 buah kenderaan pada Julai 2024 – naik 37.3% berbanding Jun, YTD cecah 88,799 unit

    Proton telah mengumumkan berjaya menjual 15,103 buah kenderaan pada bulan Julai tahun ini (domestik dan eksport), bersamaan peningkatan 37.3% (atau 4,104 unit) berbanding jumlah jualan 10,999 unit pada bulan Jun 2024. Ini juga adalah jumlah tertinggi sejak September 2022.

    Bagi tujuh bulan pertama tahun 2024 ini jualan Proton sudah mencecah 88,799 unit, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan jualan kenderaan dalam negara. Syarikat itu menjangkakan, perkongsian pasarannya kini berada di sekitar 20.5%.

    Melihat kepada model, Saga terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan Proton, dengan 7,855 unit berjaya dijual, menjadikan ini pencapaian terbaik bagi model itu sejak Oktober 2013. Jualan keseluruhan Saga bagi tahun ini sudah mencecah 42,693 unit, bersamaan 8.8% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Proton jual 15,103 buah kenderaan pada Julai 2024 – naik 37.3% berbanding Jun, YTD cecah 88,799 unit

    Proton X50 yang baru sahaja diberikan peningkatan untuk tahun 2024 ini menjadi model kedua terlaris Proton, dengan catatan 2,585 unit, membawa jumlah keseluruhannya tahun ini 12,789 unit. Sementara itu, Persona pula mencatat jualan bulanan terbaik 2024 dengan 1,911 unit dijual pada bulan Julai, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini 11,664 unit.

    Bagi model lain, S70 antaranya mencatat jualan 1,636 unit pada bulan Julai, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini 12,550 unit, manakala X70 terjual sebanyak 302 unit – jualan dijangka naik bagi SUV ini dengan ketibaan model facelift 2025 yang baru diperkenalkan hari ini. Iriz terjual sebanyak 537 unit pada bulan Julai 2024 dan X90 pula 277 unit.

     
     
  • Program khas peralihan lesen B2/B1 kepada B dibuka mulai 1 Okt; ada syarat tertentu, caj RM160 – Loke

    Program khas peralihan lesen B2/B1 kepada B dibuka mulai 1 Okt; ada syarat tertentu, caj RM160 – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan program khas peralihan akan diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B bermula 1 Oktober ini.

    “Seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MoT) telah meneliti cadangan yang telah diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri supaya satu kaedah di mana pemegang LMM Motosikal Kelas B1 atau B2 pada masa ini boleh mendapatkan LMM Motosikal Kelas B. Penelitian ke atas cadangan tersebut telah pun dimuktamadkan dan pelaksanaan program khas tersebut mempunyai beberapa syarat tertentu bagi menduduki program peralihan ini,” kata Loke dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarat terbabit ialah individu yang telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minima 10 tahun. Menurut Loke, syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar. Selain itu, pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

    Program khas peralihan lesen B2/B1 kepada B dibuka mulai 1 Okt; ada syarat tertentu, caj RM160 – Loke

    Syarat seterusnya ialah perlukan pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri oleh individu, menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian untuk kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di Institut Memandu (IM) melibatkan program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan/pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam.

    Loke berkata lagi, pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar dikeluarkan oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM. “Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut.

    “Bagi tujuan menjalani program khas peralihan ini, caj perkhidmatan sejumlah RM160 akan dikenakan kepada mana-mana calon bagi menampung kos operasi yang terlibat di IM,” jelas Loke.

    Program khas peralihan lesen B2/B1 kepada B dibuka mulai 1 Okt; ada syarat tertentu, caj RM160 – Loke

    Tambahnya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM. Selain itu, katanya, program khas peralihan ini tidak mempunyai tempoh masa tamat, dan akan diteruskan sehingga satu tempoh yang akan ditentu dan dimaklumkan kemudian.

    Selain daripada pelaksanaan program khas peralihan, Loke turut memaklumkan bahawa lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B. Di mana penggabungan ini ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah pada setiap tahun kerana orang ramai akan terus memilih mendapatkan kelas B sahaja.

    “Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal, dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1. Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.

     
     
  • Proton X70 2025 — empat varian, rekaan bampar baru, IHU 12.3-inci, Apple CarPlay dan Android Auto

    Proton X70 2025 — empat varian, rekaan bampar baru,  IHU 12.3-inci, Apple CarPlay dan Android Auto

    Selepas lebih enam tahun model Proton X70 pertama kali dilancarkan di Malaysia, SUV popular dalam segmen C itu kini diberikan facelift yang ditunggu-tunggu. Juga selepas kira-kira 100,000 unit model berkenaan terjual setakat Mei 2024 untuk pasaran tempatan, model facelift-nya muncul dengan membawakan tidak hanya kesegaran penampilan, tetapi juga banyak lagi penambahbaikan lain diberikan untuk Proton X70 2025.

    Antara yang paling ketara perubahan yang dilakukan ialah untuk bahagian wajah depannya. Rekaan gril X70 2025 ini misalnya telah menuruti pendekataan rekaan gril diamond yang sama seperti X90 dan juga sedan S70 sebelum ini — perincian di antara ketiga-tiganya memang nampak sama, tetapi tidak serupa.

    Rekaan hud juga lain, dengan adanya dua garisan yang lebih ketara di bahagian tengah dengan kedudukan lebih tinggi, dan dilanjutkan ke bahagian fender di sisinya yang juga berbeza daripada model X70 sedia ada. Ini tentulah membawa kepada rekaan lampu utamanya yang kini sedikit lebih nipis dan tampil canggih: ia menggunakan unit lampu LED sepenuhnya dengan rekaan tiga kluster berbeza di dalam perumah — dengan 47 biji lampu LED digunakan, lengkap dengan DRL.

    Proton X70 2025 — empat varian, rekaan bampar baru,  IHU 12.3-inci, Apple CarPlay dan Android Auto

    Bahagian bawah bampar juga diberi rekaan baru dengan kawasan kemasan hitam berkilat yang lebih luas, dengan kemasan jalur melintang yang lebih banyak, termasuk yang melibatkan bukaan udara. Beralih ke tepi pula, bahagian fender tampil dengan rekaan baru. Ada dua rekaan rim baru untuk Proton X70 2025: bagi varian Premium dan Premium X, rim yang diberikan bersaiz 19-inci, manakala untuk Executive bersaiz 18-inci, dengan kedua-dua saiz ini datang dengan rekaan yang berbeza. Varian paling asas, Standard, datang dengan rim 17-inci lama.

    Di belakang, X70 2025 nampak lebih tegap. Rekaan bamparnya juga baru, dengan tambahan kawasan hitam berkilat yang lebih tinggi, memperlihatkan bahagian belakang ini lebih labuh berbanding model sebelumnya. Tidak lupa, pintu ruang barangan di belakang ini juga automatik. Semua ini menyumbang kepada wajah depannya yang lebih muskular.

    Di dalam ruang kabin juga ada banyak kemaskini yang dilakukan. Yang paling utama untuk dinyatakan ialah rekaan roda stereng baru dengan bahagian bawahnya rata. Kluster meter untuk pemandu pula menggunakan paparan kombinasi digital LCD. Juga baru untuk X70 2025 ini ialah Infotainment Head Unit (IHU) yang digunakan, kini dengan skrin lebih besar 12.3-inci, dengan perantinya dipertingkat dengan memanfaatkan dua peproses quad-core, RAM 4GB dan kapasiti simpanan 32 GB.

    Semua varian X70 2025 ini juga akan dilengkapi dengan sistem audia dengan enam-pembesar suara, namun tiada lagi kelihatan jenama Kenwood dan juga tiada sub-woofer. Namun, model facelift ini menerima tweeter baru yang terletak di bahagian tiang A.

    Proton X70 2025 — empat varian, rekaan bampar baru,  IHU 12.3-inci, Apple CarPlay dan Android Auto

    Selain itu, X70 2025 juga dilengkapi dengan slot USB sebelum ini di bahagian sisi konsol tengah diganti dengan jenis USB-C (anehnya ini hanya untuk sebelah penumpang, sebelah pemandu masih gunakan USB-A) sementara di belakang tersedia slot USB-A dan USB-C juga. Slot USB untuk dashcam telah dipindahkan dari bahagian pelapik bumbung ke bahagian sisi kamera ADAS untuk menjadikannya lebih mudah dicapai.

    Proton juga mengesahkan, model X70 terbaru ini akan dilengkapi dengan peranti yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto, yang akan membolehkan pelanggan memuat turut aplikasi berkenaan kelak secara over-the-air (OTA). Selain itu, rekaan papan pemukanya juga baru, melibatkan kemasan ala diamond yang sama seperti gril depan, dan disertakan dengan pilihan 72-warna lampu ambient.

    Kemaskini X70 2025 ini tidak hanya dari segi kosmetik kerana Proton turut melakukan tetapan semula terhadap aspek mekanikalnya. Model X70 2025 ini juga mengandungi sebanyak 360 bahagian baru yang dihasilkan oleh Proton. R&D dan juga ujian juga dijalankan dengan melibatkan 290,000 jam kerja. Lebih penting, untuk memastikan model ini lebih serasi dan disesuaikan dengan keadaan pemanduan di Malaysia, jarak sejauh 4.2 juta kilometer telah dilakukan ke atasnya.

    Untuk itu, ketika sesi pandu uji singkat yang sempat dilakukan di litar ujian Proton tempohari memberi sedikit sebanyak peluang untuk kami merasakan kelainan pemanduannya. Secara ringkas, X70 2025 lebih diperhalus kendalian dan pemanduannya. Sebagai contoh, kabinnya kini dirasakan lebih senyap, sistem suspensinya juga tegap dan memberikan keselesaan, serta respon enjin ketika dikerah adalah lebih lancar dan membolehkan kuasa disalurkan dengan cepat — menjadikan pemanduannya cukup bertenaga. Tiada juga masalah gegaran atau kebisingan yang mengganggu dari enjin 1.5L turbo tiga-silinder yang digunakannya.

    Tentang enjin, ia masih menggunakan unit 1.5L TGDI yang digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menjana sebanyak 130 kW (177 PS) pada 5,500 rpm serta 255 Nm tork antara 1,500-4,000 rpm. Sistem janaan kuasanya kini memberikan bacaan penggunaan minyak yang 4% lebih baik daripada sebelumnya, dengan bacaan 7.3L/100 km.

    Bagi aspek keselamatan pula, antara ciri yang ada ialah kunci automatik ketika pengguna menjauhi kenderaan, kameran 360-darjah yang jelas serta meninjau tekanan tayar (TMS) — selain sistem keselamatan pasif standard yang ada.

    Bagi sistem keselamatan aktif pula, sistem ADAS bagi Proton X70 2025 ini lengkap dengan 13 ciri termasuk AEB dan amaran perlanggaran depan; ACC dengan Stop/Go + Intelligent Cruise Control; amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong dan kawalan ke tengah lorong; bantuan menukar lorong dan amaran ketika membuka pintu; kawalan lampu tinggi pintar; maklumat papan tanda trafik; amaran perlanggaran belakang; dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Semua sekali ada empat varian ditawarkan — Standard, Executive, Premium dan Premium X; semuanya dengan enjin 1.5L TGDI. Setakat ini, harga masih belum diumumkan lagi. Perbandingan spesiifkasi antara varian berkenaan adalah seperti berikut:

    Proton X70 2025 — empat varian, rekaan bampar baru,  IHU 12.3-inci, Apple CarPlay dan Android Auto

      Proton X70 2025 Standard

    • Enjin 1.5L TGDI
    • Transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan
    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Enam beg udara SRS
    • Lampu LED dengan DRL
    • Rim 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • IHU 12.3-inci
    • Kamera undur
    • Walkaway Auto Lock
    • Proton X70 2025 Executive

      Tambahan dari Standard 2WD

    • Rim 18-inci
    • Pintu ruang barangan kuasa elektrik
    • Kerusi balutan kulit
    • Kerusi pemandu larasan kuasa elektrik
    • Kerusi depan berliang
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X70 2025 Premium

      Tambahan dari Executive 2WD

    • Sistem bantuan pemandu ADAS
    • Sistem tinjauan tekanan tayar
    • Rim 19-inci
    • Kerusi balutan kulit Nappa
    • Kerusi penumpang depan berkuasa elektrik
    • Lampu ambient
    • Proton X70 2025 Premium X

      Tambahan dari Premium 2WD

    • Bumbung panoramik

    Terdapat lima pilihan warna disediakan iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baru Marine Blue.

    Proton X70 2025 Premium X

    Proton X70 2025 Premium

     
     
  • Perodua anjur promosi Merdeka – Ativa dapat rebat tunai RM1.5k, RM3k untuk Aruz, hingga 31 Ogos

    Perodua anjur promosi Merdeka – Ativa dapat rebat tunai RM1.5k, RM3k untuk Aruz, hingga 31 Ogos

    Perodua sedang menganjurkan promosi ‘Semangat Kemerdekaan’ untuk Ativa dan Aruz 2024 sepanjang Ogos 2024. Jika menempah SUV kompak pengecas turbo ini, anda bakal menerima rebat tunai bernilai RM1,500, manakala sekiranya memilih MPV tujuh-tempat duduk itu pula, diskaun yang ditawarkan mencecah RM3,000. Tawaran ini sedang berjalan sehingga 31 Ogos 2024.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih kekal sebagai model tunggal Perodua yang diberikan enjin pengecas turbo. SUV segmen-A ini juga merupakan model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, dijanakan oleh enjin 1.0 liter turbo dengan kuasa 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear D-CVT yang kini menjadi tunjang utama bagi peneraju pasaran automotif ini. Ativa ditawarkan pada harga bermula RM62,500 untuk model asas X hingga RM73,400 bagi spesisifikasi penuh AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Bagi Aruz pula, ia diperkenalkan pada awal tahun 2019, merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV dan jarak ground clearance pula lebih tinggi berbanding kebanyak SUV (220 mm). Ini membezakan Aruz daripada satu lagi model MPV keluaran Perodua iaitu Alza. Bagi sesiapa yang inginkan kenderaan tinggi yang jelas pandangan dan mudah melepasi banjir yang tidak serius, Aruz merupakan pilihan yang tepat.

    Penjana kuasanya merangkumi enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan 102 PS/133 Nm, dan kotak gear automatik torque converter empat-kelajuan menyalurkan pacuan ke roda belakang. Passion Red menyertai pilihan warna baharunya pda hujung 2021.

     
     
  • Honda Civic Type R EK9 facelift diiklankan dijual pada harga RM499,000 di Malaysia; ada yang berani?

    Honda Civic Type R EK9 facelift diiklankan dijual pada harga RM499,000 di Malaysia; ada yang berani?

    Anda rasa Honda Civic Type R FL5 yang dijual pada harga RM399,900 sudah cukup mahal? Ini dia kami jumpa satu iklan Civic Type R yang dijual pada harga RM499,000! Malah ia bukannya Civic Type R terbaharu, tetapi merupakan Civic pertama yang menerima lencana Type R iaitu EK9.

    Diasaskan dari Civic generasi keenam dalam badan hatchback, Civic Type R EK9 ini diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1997. Namun unit yang dijual menerusi laman web tempatan JTCars.net ini merupakan model ‘kuoki’ atau facelift (pertama kali muncul pada tahun 1999) keluaran tahun 2000.

    Jadi ia menampilkan bampar hadapan dengan liang udara sisi, tingkap berkuasa, cermin sisi larasan elektrik, sistem penghawa dingin automatik, set pedal aluminium dan juga kemasan konsol tengah gentian karbon.

    Honda Civic Type R EK9 facelift diiklankan dijual pada harga RM499,000 di Malaysia; ada yang berani?

    Menerusi gambar dan spesifikasi yang dinyatakan, unit ini nampaknya masih lagi dalam keadaan hampir standard sepenuhnya, termasuk masih mengenakan rim aloi 15-inci asal, serta ruang dalaman yang masih menggunakan kelengkapan asli dari kilang seperti tempat duduk Recaro berwarna merah, tombol gear titanium, roda stereng keluaran Momo serta set karpet kaki dan karpet utama berwarna merah.

    Bahagian enjin juga kelihatan hampir tidak diusik dengan bacaan odometer kini mencecah 188,000 km. Antara pengubahsuaian kecil yang dibuat termasuk penambahan ‘tower brace’, sistem pengambilan udara asal telah ditukar menggunankan penapis jenis open-pod, penambahan tangki ‘oil catch’ aluminium dan juga unit radiator juga dari material aluminium.

    Dalam keadaan asal enjin B16B 1.6 liter empat-silinder DOHC VTEC dalam perut Civic ini mampu menghasilkan kuasa 185 hp pada takat 8,500 rpm dan tork maksima 160 Nm, diiktiraf sebagai enjin produksi 1.6 liter NA paling berkuasa di dunia pada eranya.

    Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan dilengkapi terus dengan unit LSD dari kilang, bagi memastikan cengkaman maksima dapat diberikan pada kedua-dua roda hadapan walaupun ia sedang mengambil selekoh.

    Apa pun harga tersebut masih merupakan harga yang diberikan oleh penjual, dan bukan harga akhir ketika ia benar-benar dibeli pemilik baharu kelak. Jadi ia masih tidak boleh dianggap sebagai nilai semasa untuk Type R EK9 ini. Lagipun kereta ini datang dengan nombor plat pendaftaran istimewa ‘CEK 9’ yang bukan sahaja menampilkan satu digit, malah abjad yang boleh ditafsir sebagai ‘Civic EK’ sangat ngam dengan unit ini.

    Walaupun harga-harga jentera JDM era 90’an kini sedang meningkat naik, adakah anda rasa ini adalah harga patut untuk Civic berkenaan?

     
     
  • Kastam rampas 200 EV, kenderaan mewah tiada permit import bernilai lebih RM27 juta di Pelabuhan Klang

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 200 kenderaan mewah dan kenderaan elektrik (EV) bernilai lebih RM27.45 juta dalam dua operasi berasingan baru-baru ini. Di mana kesemua kenderaan terbabit cuba diseludup masuk dari sebuah negara di Asia Timur melalui laluan laut.

    Ketua Penolong Pengarahnya Norlela Ismail berkata dalam operasi pertama pada 25 Jun lalu, sepasukan anggota jabatan itu menahan 67 kontena mengandungi 200 kenderaan bernilai kira-kira RM22.66 juta termasuk cukai tidak dibayar, di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

    Antara kenderaan dirampas adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, MINI Cooper dan Chery Omoda.

    “Siasatan awal mendapati 200 kenderaan itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import. Ia dirampas dalam operasi itu dianggarkan bernilai RM20.6 juta dan anggaran duti/cukai berjumlah RM2.06 juta,” katanya menurut laporan NST.

    Dua hari selepas operasi pertama, Laila berkata pihaknya menahan 17 kontena yang mengandungi 31 kenderaan dari lokasi sama. Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan yang dirampas semasa operasi kedua dianggarkan bernilai RM4.79 juta termasuk duti cukai yang belum dibayar.

    “Pihak pengimport mengikrar dagangan sebagai ‘Chery Passenger Car’ melalui Borang Manifes tetapi tidak mempunyai permit import,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 kini di Thailand – bermula RM132k, rupa lebih segar, 1.5L Turbo dan hibrid e:HEV

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 kini di Thailand – bermula RM132k, rupa lebih segar, 1.5L Turbo dan hibrid e:HEV

    Tak sampai tiga bulan selepas membuat kemunculan global di Amerika Syarikat, Honda Civic generasi ke-11 dalam versi facelift kini sudahpun mendarat di rantau ASEAN dengan dilancarkan secara rasmi di Thailand hari ini. Selain dari perubahan dari segi kosmetik, Civic yang disegarkan ini turut menerima beberapa tingkat taraf perincian.

    Untuk pasaran Thailand, Civic ini ditawarkan dalam tiga varian dan dua unit rangkaian kuasa. Bagi mereka yang mahukan enjin petrol sepenuhnya, pilihan hanya terhad untuk varian asas 1.5 Turbo EL+, dijual pada harga 1.03 juta baht (RM132,095). Manakala dua model lebih tinggi iaitu e:HEV EL+ dan e:HEV RS, kedua-duanya menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD 2.0 liter, dijual pada harga masing-masing 1.09 juta baht (RM139,790) dan 1.23 juta baht (RM157,780).

    Rupa luaran Civic FE facelift untuk pasaran Thailand ini tampil serupa dengan model pasara Amerika Syarikat. Ia diberikan gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar.

    Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada. Secara asasnya bahagian belakang masih nampak sama seperti model sebelumnya, tetapi diberikan perubahan pada bahagian grafik lampu.

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 kini di Thailand – bermula RM132k, rupa lebih segar, 1.5L Turbo dan hibrid e:HEV

    Bagi membezakan varian, model 1.5 Turbo EL+ hadir dengan lampu hadapan projektor automatik, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, pembuka pintu kemasan warna badan dan juga sepasang tip ekzos bagi menandakan ia digerakkan dengan enjin petrol sepenuhnya.

    Bagi model e:HEV EL+ pula, ia datang dengan pembuka pintu warna badan dengan serlahan krom, serta tip ekzos yang disorokkan. Manakala lampu hadapan LED dan penderia hujan untuk pengelap cermin diberikan pada model e:HEV EL+ dan e:HEV RS.

    Seperti lazimnya, RS menerima perincian yang paling garang, dengan diberikan kemasan hitam pada pembuka pintu dan antena sirip jerung. Ia juga menerima lencana RS pada gril hadapan, kemasan pada tip ekzos serta spoiler penutup but belakang juga dalam kemasan hitam berkilat.

    Untuk roda, 1.5 Turbo EL+ dan e:HEV EL+ menerima set rim 17-inci dalam kemasan dua tona. Manakala varian e:HEV RS diberikan set rim 18-inci dalam kemasan hitam sepenuhnya.

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 kini di Thailand – bermula RM132k, rupa lebih segar, 1.5L Turbo dan hibrid e:HEV

    Rupa asas bahagian dalaman Civic ini masih lagi kelihatan sama. Semua varian model pasaran Thailand ini menerima kemasan dalaman berwarna hitam, tetapi datang dengan upholsteri berbeza. Varian 1.5L Turbo EL+ dan e:HEV EL+ diberikan upholsteri gandingan kulit sebenar dan kulit sintetik.

    Manakala e:HEV RS pula menerima upholsteri gabungan sued dan kulit sintetik bersama serlahan jahitan benang merah. Varian paling sporty ini juga diberikan pencahayaan pada perapi pintu hadapan dan juga pada ruang kaki.

    Perincian standard yang diberikan adalah termasuk butang penghidup enjin bersama penghidup enjin kawalan jauh dan sistem kunci pintar Honda, sistem pendingin hawa automatik dengan liang kabin belakang dan tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan hala.

    Model dengan unit rangkaian kuasa hibrid pula ditambah dengan tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala, cermin pandang belakang auto-malap dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar. Manakala hanya varian e:HEV RS diberikan diberikan kad untuk sistem kunci pintar dan juga pendingin hawa dua-zon.

    Untuk sistem infotainmen pula, ketiga-tiga varian menerima skrin sesentuh utama sembilan inci yang dilengkapi sistem Google built-in, serta hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Perincian standard lain termasuk empat port USB-C, sistem Honda Connect dan juga lapan pembesar suara. Manakala varian e:HEV RS menerima sistem bunyi Bose Audio Premium dengan 12-pembesar suara.

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa. Model yang dijana oleh enjin petrol penuh menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 178 ps pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.

    Manakala bagi model-model hibrid e:HEV, ia menerima unit rangkaan kuasa i-MMD dengan gandingan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson disuap sistem suntikan bahan api terus berkuasa 141 PS dan tork maksima 182 Nm, bersama dua buah motor elektrik. Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion.

    Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu enjin petrol turut membantu motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up pada transmisi E-CVT, contohnya ketika bergerak pada kelajuan tinggi.

    Untuk model petrol penuh, ia hanya diberikan dua mod pemanduan iaitu Econ dan Normal. Manakala model-model hibrid e:HEV, pemandu boleh memilih empat mod pemanduan iaitu Econ, Normal, Sport dan Individual.

    Sistem keselamatan yang diberikan pada Civic facelift pasaran Thailand ini juga agak tinggi dengan ketiga-tiga varian menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Sistem berkenaan memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong, pengelak keluar laluan bersama amaran keluar lorong, cruise control adaptif bersama Low Speed Follow, dan juga amaran mula gerak kereta hadapan.

    Fungsi lain yang turut diberikan termasuk, pemantau tumpuan pemandu, isyarat berhenti kecemasan, penderia parkir belakang, kamera undur pelbagai sudut, enam-beg udara dan pelbagai lagi. Varian e:HEV EL+ dan RS turut menerima tambahan penderia parkir hadapan serta sistem pemantau titik buta Honda LaneWatch.

     
     
  • Proton X70 2025 facelift didedah — bampar depan dan belakang baru, ada Apple CarPlay dan Android Auto

    Proton X70 2025 <em>facelift</em> didedah — bampar depan dan belakang baru, ada Apple CarPlay dan Android Auto

    Proton X70 2025 facelift akhirnya didedahkan sebelum pelancarannya dan kini dibuka untuk tempahan. SUV segmen C yang menerima banyak penambahbaikan ini boleh ditempah dengan yuran sebanyak RM500 di mana-mana pusat 3S dan 4S Proton.

    Dapat dilihat kemaskini yang diberikan juga dari model Geely Boyue 2022 facelift, dengan lampu reflektor LED penuh yang lebih tirus, rekaan gril besar yang mirip X50 dan S70, rekaan bampar depan dan belakang yang baru dan unik untuk X70 serta rekaan rim 19-inci baru — mungkin untuk model Premium paling tinggi.

    Di dalam, rekaan papan pemuka juga baru untuk model Proton X70 2025 ini, dan diberikan ciri ambient light dengan fungsi ritma yang akan menukar warnanya bergantung kepada muzik yang dimainkan, serta sebuah skrin sentuh untuk infotainmen 12.3-inci (Boyue datang dengan saiz 10.25-inci).

    Perubahan paling utama tentulah adanya ciri Apple CarPlay dan Android Auto yang dinantikan sekian lama. Balutan kulit Nappa juga digunakan untuk kerusi, menggantikan warna coklat sebelum ini bagi X70 Premium.

    Bagaimanapun masih belum didedahkan perincian spesifikasi teknikal X70 2025 yang didedahkan. Namun kita boleh menjangkakan enjin 1.5-liter turbocas TGDi tiga-silinder yang sama akan digunakan, yang menghasilkan 177 PS dan 255 Nm. Begitu juga dengan transmisi, unit klac berkembar tujuh-kelajuan akan dikekalkan.

    Harga dan penawaran varian juga belum didedahkan, namun Proton menjanjikan tawaran menarik terutama untuk pelanggan terawal. Ketika ini, X70 dijual dengan harga RM98,800 bagi Standard, RM110,800 bagi Eksekutif, RM116,800 bagi Eksekutif AWD, RM123,800 bagi Premium dan RM126,800 bagi Premium X.

    Proton X70 2025 Premium X

    Proton X70 2025 Premium

     
     
  • Proton X70 2025 ada Apple CarPlay dan Android Auto?

    Proton X70 2025 ada Apple CarPlay dan Android Auto?

    Dalam satu hantaran di laman Facebook Group X70OCM (Proton X70 Owner Club Malaysia), seorang ahlinya, Fadz Kamaruddin memuat naik sebuah iklan tempahan bagi Proton X70 facelift yang bakal diperkenalkan nanti. Bagaimanapun, masih belum ada tarikh pelancaran yang dikongsikan oleh Proton setakat ini.

    Apa yang menarik, iklan ringkas tersebut menyenaraikan apa yang dilihat sebagai peningkatan yang akan diberikan terhadap SUV X70 2025 itu kelak. Ada lapan perkara yang tersenarai:

    • Rekaan baru untuk bampar depan dan belakang
    • Kelengkapan ADAS Tahap 2
    • Skrin bagi (Infotainment Head Unit) IHU bersaiz 12.3-inci
    • Rekaan rim baru
    • Rekaan panel meter baru
    • kerusi dengan balutan kulit Nappa baru
    • Ambient light
    • Apple CarPlay/Android Auto

    Ciri yang terakhir disenaraikan itulah yang paling menarik perhatian: adakah Proton X70 2024 ketika dilancarkan nanti akan sudah dilengkapi dengan ciri berkenaan? Hal ini menjadi satu pertanyaan yang kerap diajukan kepada Proton, dan sehingga kini masih belum ditawarkan lagi.

    Proton X70 2025 ada Apple CarPlay dan Android Auto?

    Kali terakhir Proton memberi maklum balas rasmi berkaitan ketersediaan ciri ini adalah pada Jun lalu, ketika pelancaran X50 RC 2024 yang ketika itu dijangka sudah akan dilengkapi dengan ciri berkenaan, tetapi sebaliknya tidak.

    Ketika itu, Proton mengesahkan bahawa model kenderaan semasa yang telah ditawarkan — melibatkan X90, S70 dan X50 RC terbaru — tidak akan menerima ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Tiada juga ciri kemaskini over-the-air (OTA) bagi fungsi berkenaan untuk pengguna model sedia sedia ada seperti yang dinyatakan sebelum ini.

    Sebaliknya, dua ciri sambungan telefon pintar itu akan hanya ditawarkan melalui pengenalan model baru, termasuklah X70 facelift yang akan datang, serta versi kemaskini tahun 2025 bagi X90 dan S70. Jadi, kebarangkalian yang sangat tinggi bahawa X70 2024 nanti akan terus dilengkapi dengan ciri Apple CarPlay/Android Auto, setelah sekian lama menunggu.

     
     
  • GWM Haval H6 sah akan lancar di Malaysia Q3 2024

    GWM Haval H6 sah akan lancar di Malaysia Q3 2024

    Mungkin kita sudah dengar banyak kali, GWM Haval H6 akan dilancarkan di Malaysia. Malah, berita ini sudah masuk beberapa tahun. Kini ada perkembangan terbaru, apabila Great Wall Motor mengeluarkan kenyataan berkenaan rancangan syarikat di Malaysia dan menyatakan Haval H6 sah akan dilancar pada suku ketiga 2024. SUV tersebut akan menjadi model CKD pertama GWM di Malaysia, dan dipasang di EPMB Melaka.

    “Penubuhan kilang CKD di Malaysia akan memainkan peranan penting dalam rancangan GWM untuk membuat kehadiran di pasaran ASEAN dengan rangkaian infrastruktur jualan, servis selepas jualan dan alat ganti yang lengkap,” kata GWM.

    “Kerjasama strategik ini dibuat untuk menawarkan barisan kenderaan yang mampu milik dan berkualiti tinggi, sambil mewujudkan lebih banyak peluang kerja kepada rakyat Malaysia. Strategi ini juga mengembangkan rangkaian pengeluaran GWM di luar negara dan lebih memenuhi keperluan pengguna di pasaran luar,” tertulis lagi di dalam siaran akhbar yang dikeluarkan.

    “Komitmen kami untuk memberikan produk inovatif dan servis cemerlang sentiasa menjadi kepentingan dalam misi kami di Malaysia. Kami letakkan sasaran untuk menjadikan GWm sebagai satu jenama yang boleh dipercayai dan dikenali dengan dedikasi kepada kualiti serta kepuasan pelanggan,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Mike Cui An Qi.

    Pernah ditunjukkan sewaktu Malaysia Autoshow awal tahun ini, Haval H6 mempunyai dua varian yang digerakkan oleh enjin hibrid sama, menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan. Kuasa keseluruhannya adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Bagi sistem bantuan pemandu ADAS pula, H6 dilengkapi dengan sensor ultrasonik, kamera dan juga radar untuk memberikan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Wisdom Dodge System yang boleh menjaga jarak selamat daripada kenderaan yang besar.

    GALERI: Haval H6

     
     
  • GWM Tank 300 – lebih 300 tempahan sudah diterima

    GWM Tank 300 – lebih 300 tempahan sudah diterima

    Semasa GWM Tank 300 dilancarkan bulan lalu dengan harga jualan RM250k tidak termasuk insurans, ramai yang ragu-ragu sama ada ia boleh dijual. Nampaknya Great Wall Motor Malaysia ada jawapannya apabila mereka mengumumkan setakat ini sudah lebih 300 tempahan diterima, bermula dari 12 Julai lalu.

    Harga Tank 300 ini memang lebih mahal berbanding kebanyakan SUV China lain, tetapi ia membawa kelebihan sebuah jentera offroad sebenar dengan sistem pacuan empat roda separuh masa yang bermakna anda mendapat mod 2H, 4H, 4L serta pengunci differential hadapan dan belakang kawalan elektronik.

    Selain daripada itu, ia juga mempunyai pelbagai tetapan yang disediakan untuk keadaan jalan berbeza, termasuk fungsi Crawl Control yang boleh mengawal penyampaikan kuasa serta brek apabila bergerak perlahan di atas jalan offroad atau melalui rintangan). Satu lagi fungsi unik adalah Tank Turn, di mana radius pusingan dapat dijadikan lebih kecil apabila roda bahagian dalam diperlahankan apabila membuat pusingan U.

    Hanya satu varian ditawarkan bagi Tank 300 ini di Malaysia, dan ia digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) pada 5,500 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 3,600 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Daripada asepek keselamatan dan sistem bantuan pemandu, Tank 300 datang dengan beg udara hadapan, sisi dan bidai serta sistem ADAS penuh yang termasuk Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Detection, Lane Change Assist dan Rear Cross-Traffic Assist.

    Jika anda rasa Tank 300 yang diimport terus dari China (CBU) dan datang dengan haminan enam tahun tanpa had batuan ini mahal, cuba pula lihat Suzuki Jimny yang baru dilancarkan di Malaysia beberapa hari lalu. Harganya mencecah RM200k dan saiznya pula jauh berbeza. Kelengkapan juga tidak semewah Tank 300.

    GALERI: GWM Tank 300

     
     
  • Xpeng G6 – spesifikasi model Malaysia didedah – dua varian, motor tunggal, jarak gerak sehingga 570 km

    Xpeng G6 – spesifikasi model Malaysia didedah – dua varian, motor tunggal, jarak gerak sehingga 570 km

    Spesifikasi untuk Xpeng G6 yang akan dilancarkan tidak lama lagi untuk pasaran Malaysia telah terdedah dalam internet, dengan dimuat naik oleh Jackson Foo di laman Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club, menunjukkan SUV electric tersebut akan tiba dalam dua varian.

    Kedua-duanya akan menggunakan tetapan satu motor, dengan pacuan 2WD, dan melihat kepada pasaran lain, motor itu akan terletak di belakang dan menggunakan pacuan roda belakang. Dua varian yang disebut adalah 435 Standard dan 570 Long Range, dengan nombor itu merujuk kepada jarak gerak masing-masing 435 km dan 579 km mengikut kitaran WLTP.

    Varian 435 Standard ditulis menggunakan bateri lithium-iron phosphate (LFP) 66 kWh yang boleh dicas menggunakan sumber DC sehingga 215 kW dan baterinya akan naik 10-80% dalam masa 20 minit, sementara apabila menggunakan sumber AC sehingga 11 kW, ia akan naik 5-100% dalam masa 7.5 jam. Motor elektriknya boleh menghasilkan sehingga 255 hp dan 440 Nm.

    Bateri yang digunakan pada varian 570 Long Range adalah lebih besar, iaitu unit nickel manganese cobalt (NMC) 87.5 kWh, yang boleh menerima pengecasan DC sehingga 280 kW, dan bateri akan naik 10-80% dalam masa 20 minit. Untuk pengecasan AC, ia juga boleh menerima sehingga 11 kW, dan bateri akan naik 5-100% dalam masa 9.5 jam. Motor pada varian 570 Long Range ini boleh menghasilkan kuasa 282 hp dan 440 Nm.

    Jumlah kuasa yang terdedah ini menunjukkan ia sama seperti model pasaran Singapura, sementara varian Long Range di Thailand sedikit lebih berkuasa, dengan mampu menghasilkan 296 PS (292 hp).

    Spesifikasi lain yang diketahui setakat ini untuk model pasaran Malaysia adalah kedua-dua varian akan menggunakan rim 20 inci dengan tayar 255/45R20, sementara di dalam terdapat skrin sesentuh 14.96 inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta panel instrumen digital 10.2 inci.

    Jika menggunakan model pasaran Singapura sebagai rujukan, G6 boleh datang dengan ciri seperti lampu utama LED automatik, bumbung panoramik, penutup but bukaan kuasa, tujuh beg udara, pemerhati tekanan angin tayar, dua pad pengecas tanpa wayar 50W, sistem bunyi 18 pembesar suara, kawalan pendingin hawa dua zon serta tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dan liang udara.

    GALERI: Xpeng G6 di Bangkok

     
     
  • Perlumbaan Super GT kembali ke Sepang untuk musim 2025; pusingan ke-3, bermula 27-28 Jun

    Perlumbaan Super GT kembali ke Sepang untuk musim 2025; pusingan ke-3, bermula 27-28 Jun

    GT Association (GTA) hari ini telah mengumumkan kalender sementara untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025, menyaksikan ia bakal kembali ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas untuk pusingan ketiga yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Jun tahun hadapan. Ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sjak 2019.

    Pusingan di Sepang ini sepatutnya berlangsung pada musim 2020 dalam format perlumbaan malam, namun ia terpaksa dibatalkan kerana Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. Sepang juga pernah menganjurkan perlumaan Super GT ini bermula musim 2000 hingga 2013.

    Kehadiran semula perlumbaan Super GT ke Malaysia ini sebenarnya sudah dibayangkan pada awal tahun ini, di mana tiga pengeluar utama yang berlumba iaitu Toyota, Honda dan Nissan telah membuat ujian tayar menggunakan jentera kelas GT500 masing-masing di Sepang pada Januari lalu.

    Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025