Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Selepas mendarat di Indonesia Februari lalu, hari ini Suzuki Jimny dalam badan lebih praktikal iaitu Jimny 5-Door dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia ditawarkan dalam hanya satu varian, diimport sepenuhnya (CBU) yang dibawa dari kilang Maruti Suzuki di India, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,950. Sebagai perbandingan, Jimny 3-pintu biasa dijual pada harga RM174,900.

    Model dengan tambahan pintu belakang ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

    Jadi bukan pintu sahaja ditambah, malah bahagian penumpang belakang juga menampilkan ruang kaki lebih luas berbanding versi tiga-pintu. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo maksimum 332 liter jika diperlukan (211 liter sekiranya tempat duduk belaag tidak dilipat).

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Model 5-Door ini menampilkan sudut approach 36 darjah, sudut breakover 24 darjah dan sudut departure 47 darjah, berbanding model tiga pintu biasa yang mempunyai sudut approach 37 darjah, sudut breakover 28 darjah dan sudut departure 49 darjah. Saiz badan yang lebih panjang ini juga menyebabkan radius pusingan bagi model 5-Door lebih besar iaitu 5.7 meter, berbanding 4.85 meter bagi model biasa.

    Pada sebelah luar, gril hadapan model 5-Door ini menerima serlahan kemasan krom yang tidak diberikan pada model tiga-pintu. Selain itu ia diberikan perincian standard lain seperti lampu hadapan projektor LED, lampu kabus hadapan dan juga rim aloi 15-inci yang dibalut dengan tayar 195/80R15.

    Manakala dalam kabin, ia dilengkapi dengan perincian standard seperti sistem penghawa dingin automatik, tempat duduk balutan fabrik, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang lebih besar berbanding versi tiga-pintu yang hanya menerima skrin 6.8-inci.

    Suzuki Jimny 5-Door dilancar di Malaysia – RM199,950, 1.5L NA, 105 PS/134 Nm, transmisi 4AT, lebih praktikal

    Skrin berkenaan menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan ia turut memberikan paparan untuk kamera undur yang dipadankan secara standard.

    Untuk unit rangkaian kuasa pula, Jimny 5-Door ini masih lagi menerima enjin yang sama seperti model tiga-pintu, iaitu enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm.

    Model pasaran Malaysia ini hanya menerima pilihan kotak gear automatik empat-kelajuan konvensional, serta datang standard dengan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

    Manakala untuk keselamatan, model yang lebih panjang ini menerima penambahan beg udara sisi dan tirai, menjadikan jumlah beg udara adalah enam unit secara keseluruhan, berbanding model tiga-pintu yang hanya diberikan dua beg-udara. Tetapi ia masih belum dibekalkan dengan sebarang kelengkapan keselamatan aktif, dan hanya diberikan sistem keselamatan pasif seperti ESP, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS dan BA.

    Lima warna ditawarkan untuk Jimny 5-Door pasaran Malaysia ini. Dua daripadanya iaitu Sizzling Red Metallic dan Chiffon Ivory Metallic menerima bumbung hitam dengan warna spesifik Bluish Black Pearl, manakala tiga pilihan lagi adalah warna monotona iaitu Bluish Black Pearl, Granite Grey Metallic dan Jungle Green.

    Namun terdapat perbezaan harga bergantung pada warna yang dipilih; warna-warna metalik memerlukan tambahan RM1,500 menjadikan harganya RM201,450, manakala warna dua tona dengan bumbung hitam pula perlu ditambah RM2,500 menjadikan harganya RM202,450.

    Untuk setiap pembelian model ini, pengedar rasmi Suzuki di Malaysia iaitu Naza Eastern Motor turut memberikan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu.

     
     
  • BMW M4 Competition Coupé facelift di GIIAS 2024

    BMW M4 Competition Coupé facelift di GIIAS 2024

    BMW M4 facelift G82 2024 yang didedahkan kepada dunia awal tahun ini menjadi antara kereta yang dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Malahan, unit yang dibawa itu juga turut dipasang dengan beberapa aksesori daripada katalog M Performance.

    Antaranya, untuk bahagian luar adalah termasuk gril, panel aero tambahan tepi bampar hadapan, pelindung cermin sisi, bukaan udara pada fender, spoiler atas penutup but dan diffuser belakang gentian karbon. Memenuhi lagi bahagian belakangnya adalah sistem ekzos M Performance, dengan empat muncung, dibuat daripada titanium dan tujuh kilogram lebih ringan berbanding ekzos asal.

    Untuk model facelift ini, M4 G82 menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo S58 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 530 PS pada 6,250 rpm dan tork 650 Nm dari 2,750 rpm ke 5,730 rpm (untuk versi Competition). Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Dalam keadaan asal. M4 G82 facelift ini dipasang dengan rim 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, yang masing-masing kemudiannya dibalut dengan tayar 275/35R19 dan 285/30R20.

    Masuk ke dalam, model facelift ini membawa rekaan stereng baru dengan terdapat penanda tengah merah serta berbentuk rata di bawah. Kemudiannya pada unit yang dipamerkan di GIIAS ini, ia ditambah lagi dengan kemasan gentian karbon pada stereng, pedal penukar gear, papan pemuka serta sekitar pemilih gear.

    Di Indonesia, BMW M4 Competition Coupé G82 facelift ini dijual pada harga bermula 2,457,000,000 rupiah (RM698,666).

     
     
  • Honda e:N1 dipertonton di Indonesia – HR-V versi EV dengan kuasa sehingga 204 PS, mula dijual pada 2025

    Honda e:N1 dipertonton di Indonesia – HR-V versi EV dengan kuasa sehingga 204 PS, mula dijual pada 2025

    Selepas dipertontonkan kali pertama di ASEAN sewaktu Bangkok Motor Show Mac lalu, Honda e:N1 kini dibawa pula ke pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Bukan sekadar dibawa untuk tontonan, Honda juga menyatakan keinginan untuk menjual HR-V versi elektrik itu di Indonesia, bermula tahun depan.

    Juga dikenali sebagai e:NS1 di China dan e:Ny1 di Eropah, e:N1 ini dipacu oleh motor elektrik hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm. Dengannya, kenderaan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

    Bateri 68.8 kWh yang digunakan pada model ini boleh memberikan jarak gerak sehingga 412 km mengikut kitaran WLTP, manakala pengecasan pula boleh dibuat menggunakan sama ada menggunakan sumber AC sehingga 11 kW (10-80% dalam masa enam jam) atau DC sehingga 78 kW (0-80% dalam masa 45 minit).

    Pada bahagian luar, e:N1 dapat dibezakan melalui gril tertutup, yang juga menempatkan soket sambungan kepada pengecas serta bampar hadapan yang mempunyai kemasan berbentuk L di penjuru. Melengkapkan penampilannya adalah lencana khas Honda untuk EV.

    Masuk saja ke dalam anda terus boleh melihat skrin sesentuh menegak 15.1 inci, yang digunakan untuk sistem infotainmen, serta boleh disambung kepada telefon menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 10.25 inci sementara pada konsol tengah tiada lagi tombol gear dan ia diganti dengan pemilih jenis butang.

    Ramai di Indonesia mengharapkan e:N1 ini akan dijual seperti kereta biasa, sementara di Thailand ia cuma boleh disewa melalui 12 syarikat sewa kenderaan di sana. Bagi kita di Malaysia pula, Honda Malaysia pernah memberitahu mereka ingin memberi fokus kepada model hibrid terlebih dahulu kerana ia adalah lebih praktikal buat masa ini.

     
     
  • Smart Lane tidak dapat diaktifkan di Lebuhraya KLK disebabkan bahu jalan tak cukup lebar, laluan berbukit

    Smart Lane tidak dapat diaktifkan di Lebuhraya KLK disebabkan bahu jalan tak cukup lebar, laluan berbukit

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan laluan Smart Lane di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor antaranya perlu mengambil kira laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan.

    Katanya, aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum Smart Lane itu dibenarkan untuk diaktifkan di mana-mana bahagian lebuhraya adalah kelebaran bahu jalan sedia ada dan faktor geometrik jajaran lebuh raya terlibat, laporan Bernama.

    “Atas sebab itulah Smart Lane ini tidak dapat dilaksanakan di Lebuhraya KLK kerana kelebaran bahu jalan di lorong kecemasan tidak mencukupi untuk dilalui oleh kenderaan selain laluan yang berselekoh serta berbukit di sepanjang lebuh raya berkenaan,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan Smart Lane di Lebuhraya KLK untuk mengurangkan kesesakan terutamanya pada hujung minggu.

    Jelasnya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi ANIH Berhad (ANIH) telah merancang beberapa tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi isu kesesakan di KLK.

    Beliau berkata tindakan itu antaranya melaksanakan penyaluran lorong di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu antara KM64.3 berdekatan susur persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), di pusingan U di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dan jalan susur ke Genting Highlands, bagi mengurangkan ‘konflik’ dan melancarkan pergerakan trafik.

     
     
  • Tiga jalan di Putrajaya ditutup sementara pada 31 Julai 2024 sempena sambutan Hari Pahlawan – JSPT KL

    Tiga jalan di Putrajaya ditutup sementara pada 31 Julai 2024 sempena sambutan Hari Pahlawan – JSPT KL

    Makluman buat penduduk atau anda yang berada di sekitar Putrajaya, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan bahawa terdapat tiga jalan di sana yang akan ditutup sementara mulai jam 7.30 pagi esok (31 Julai). Ia adalah sempena sambutan Hari Pahlawan yang akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Laman Putra 4 Presint 1.

    Menurut beliau, tiga jalan terbabit ialah Jalan Persiaran Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah; Jalan Lebuh Perdana Timur dan laluan sekitar Kompleks E.Di mana semua laluan akan dibuka semula secara berperingkat selepas tetamu kehormat tiba di majlis mengikut masa ditetapkan.

    “Bagi laluan kenderaan di Bulatan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah akan diberhentikan seketika semasa lagu Negaraku berkumandang. Laluan berkenaan akan dibuka semula selepas selesai acara tembakan meriam dilakukan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, pihaknya menempatkan 82 pegawai dan anggota bagi mengawal lalu lintas sepanjang majlis itu berlangsung.

    “Pengguna jalan raya terutama petugas yang akan melalui lokasi penutupan jalan dinasihatkan merancang perjalanan dan hadir awal ke pejabat bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-88862138 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

     
     
  • Kanak-kanak pandu kereta: Patutkah ibu bapa sekadar dikenakan tindakan hukuman denda, bukan dipenjara?

    Kanak-kanak pandu kereta: Patutkah ibu bapa sekadar dikenakan tindakan hukuman denda, bukan dipenjara?

    Sejak semalam tular di laman media sosial video seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu Perodua Viva bersama dua lagi adiknya yang masih kecil. Walau pun ‘sekadar’ memandu di kawasan perumahan, namun tindakan tersebut masih boleh dianggap berbahaya, bukan sahaja kepada pemandu cilik dan dua adiknya itu, bahkan melibatkan keselamatan orang sekeliling. Apatah lagi ia berlaku pada waktu malam.

    Menurut wanita yang merakamkan video berkenaan, kereta dipandu remaja terbabit agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah untuk berhentikan keretanya. Wanita berkenaan juga mendakwa remaja terbabit sudah dilihat beberapa kali memandu kereta di Taman Putra Impiana, Puchong.

    Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan bapa remaja terbabit sudah dipanggil untuk tampil di pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang malam tadi untuk memberi keterangan.

    “Siasatan awal mendapati kanak-kanak berusia 12 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva bersama adik-adiknya yang masing-masing berusia 4 dan 6 tahun untuk bersiar-siar di taman perumahan kediaman, jam 8 malam, Ahad lalu. Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang,” katanya.

    Kanak-kanak pandu kereta: Patutkah ibu bapa sekadar dikenakan tindakan hukuman denda, bukan dipenjara?

    Persoalan, di manakah ibubapanya pada saat itu? Adakah ibu bapanya menyedari tindakan anaknya yang masih di bawah umur memandu? Siapa yang mengajarnya memandu?

    Ini bukan kes pertama seumpamanya berlaku di negara kita. Pada tahun 2020, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun didapati memandu sebuah kereta Proton Saga secara bersendirian di Rembau, Negeri Sembilan. Di mana kanak-kanak terbabit mendakwa dia diajar memandu oleh bapanya.

    Pada tahun lalu pula, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu Proton Saga di Jalan Banting-Pandamaran.

    Dan ingatkah anda kes yang juga berlaku pada tahun lalu, sebuah Toyota Vios terbabas dan didapati ia dipandu oleh sepasang adik beradik lelaki yang masing-masing baru berumur tiga dan enam tahun. Kejadian berkenaan berlaku di Langkawi. Menerusi video yang tular, kedua-dua beradik tersebut memandu kereta berkenaan untuk ke kedai, dan ia dipandu dengan cara abangnya mengawal roda stereng sementara adiknya pula mengawal pedal pendikit.

    Kanak-kanak pandu kereta: Patutkah ibu bapa sekadar dikenakan tindakan hukuman denda, bukan dipenjara?

    Menurut Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kesemua kes yang melibatkan pemandu di bawah umur disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan, si bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

    Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Rasanya, setakat ini, tindakan yang dikenakan sekadar hukuman denda. Mungkin masih belum ada ibu atau bapa yang dikenakan hukuman penjara di atas kecuaian masing-masing atau pun hilang kelayakan memandu. Kalau setakat hukuman denda, bayar sajalah waima berapa amaun yang ditetapkan oleh mahkamah. Kemudian, kes sebegini tidak diambil sebagai pengajaran atau pun iktibar oleh orang lain, lalu ia berlaku lagi pada masa akan datang walau pun ‘jarang-jarang’.

    Jadi, apa pendapat anda berkenaan dengan kes ini? Biar sekadar hukuman denda atau pun patut dikenakan tindakan yang lebih berat agar ia menjadi pengajaran untuk semua pihak supaya mengutamakan keselamatan anak-anak?

     
     
  • Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Lambakan model-model EV dari China ke Thailand nampaknya bukan hanya menjejaskan pengeluar-pengeluar kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman dari Jepun seperti Honda yang baru-baru ini dilaporkan bakal menutup salah satu kilang pemasangannya di sana, malah ia kini telah menjejaskan keseluruhan industri automotif negara itu termasuk segmen EV itu sendiri.

    Kedatangan model-model EV China ini ke Thailand adalah hasil dorongan yang diberikan oleh kerajaan negara itu sendiri, yang menawarkan subsidi besar bagi menggalakkan penggunaan EV dan juga menarik pelaburan-pelaburan dari pengeluar automotif Tanah Besar bagi membina kilang di sana. Namun strategi ini tidak mendatangkan keuntungan seperti dijangka, sebaliknya ia menyebabkan pengeluaran EV yang lebih dari permintaan, seterusnya memberikan kesan buruk ke atas industri secara keseluruhan, lapor Nikkei Asia.

    Menurut jabatan eksais Thailand, sebanyak 185,029 unit EV telah di bawa masuk ke negara itu sejak 2022 selepas kerajaan memulakan program subsidi, yang menawarkan geran kepada pengeluaran-pengeluar EV China sehingga 150,000 baht (RM19,350) untuk setiap kenderaan. Walau bagaimanapun, data jabatan pengangkutan awam Thailand hanya merekodkan pendaftaran sebanyak 86,043 unit EV di sana, menunjukkan sekurang-kurang 90,000 unit EV masih lagi tidak terjual.

    Lambakan unit-unit EV yang tidak terjual ini kemudiannya telah menyebabkan perang harga tercetus, yang akhirnya turut memberikan kesan tidak langsung kepada pengeluar dalam segmen kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman serta rantaian pembekal tempatan.

    Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Bagi pembuat kereta, sekiranya penghentian produksi dan penutupan kilang berlaku, rantaian bekalan juga semestinya terjejas, dan menyebabkan banyak pengeluar alat ganti terpaksa ditutup kerana pembuat EV China yang diberikan bersubsidi ini tidak membeli komponen dari sebahagian besar daripada mereka.

    Program subsidi ini juga menghapuskan tarif ke atas EV China yang diimport untuk dijual di Thailand, dengan syarat syarikat China berkenaan perlu menghasilkan EV dengan jumlah yang sama di Thailand dengan unit yang telah mereka import ke negara itu sejak 2022. Produksi disasarkan untuk bermula tahun ini, dan kenderaan yang diberikan subsidi dibenarkan untuk dijual sama ada dalam negara atau dieksport.

    BYD yang baru membuka kilang pembuatannya di Thailand, telah menjadi pengeluar paling agresif berbanding enam pembuat lain yang turut telah melabur di bawah skim yang sama. Jenama itu telah mengurangkan harga model Atto terbaharu sebanyak 340,000 baht (RM43,900), atau 37% lebih murah berbanding harga pelancaran 899,000 baht (RM116,000). Neta pula telah mengurangkan harga model V-II sebanyak 50,000 baht (RM6,450), atau 9% lebih murah dari 549,000 baht (RM70,850) yang diumumkan ketika pelancaran.

    Keadaan ekonomi Thailand yang sedang lemah juga memainkan peranan dalam kemerosotan yang dilihat dalam sektor automotif ini, kerana kini lebih ramai orang kurang membuat pembelian yang mahal. Hanya 260,365 kenderaan dijual dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, turun 23% daripada tempoh yang sama tahun lalu, dan ia merupakan rekod jualan paling rendah dicatatkan dalam sedekad, lapor Persekutuan Industri Thai.

    Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Gelombang daripada semua ini sudah tentu menjangkau keseluruhan sektor automotif, yang menggaji lebih 750,000 pekerja dan menyumbang kira-kira 11% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), menjadikannya penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi kerajaan negara itu.

    Jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman telah mula jatuh sejak subsidi EV mula mengurangkan harga kereta dalam segmen tersebut. Honda adalah yang paling terkesan kerana jenama Jepun itu 90% model keluarannya di Thailand adalah model yang digerakkan oleh enjin konvensional.

    Awal bulan ini, Honda mengumumkan bahawa ia akan menghentikan pemasangan kenderaan di kilangnya di Ayutthaya menjelang 2025 dan menyatukan operasi di kilangnya di wilayah Prachinburi. Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan pengeluaran tahunan di Thailand kepada 120,000 unit setahun, turun daripada 270,000 unit setahun.

    Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Ada juga pengeluar Jepun lain menghentikan sepenuhnya produksi mereka, dengan Subaru telah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi pemasangan kereta di Thailand (dan Malaysia) menjelang akhir tahun ini. Suzuki dijangka akan mengikut langkah sama menjelang 2025.

    Penurunan dalam skala ini telah secara semula jadi turut menjejaskan pembuat alat ganti kenderaan yang membekalkan komponen. “Tempahan alat ganti telah menurun sebanyak 40% setakat tahun ini,” kata Sompol Tanadumrongsak, presiden Persatuan Pengilang Alat Ganti Thai, dan menyatakan bahawa setiap pemasang kereta telah “memotong kapasiti sebanyak 30% hingga 40% setakat tahun ini.”

    “Kebanyakan pembuat alat ganti tempatan memendekkan operasi mereka kepada hanya tiga hari seminggu apabila permintaan menurun,” katanya, sambil menambah bahawa lebih dari 10 syarikat telah terpaksa menutup perniagaan. Sompol menjangkakan industri akan terus menguncup kerana ia sedang melalui fasa yang disifatkan akan menjadi peralihan kepada EV secara kasar.

    Lambakan EV China di Thailand – 90,000 unit tidak terjual, jejaskan sektor automotif secara keseluruhan

    Sompol menyatakan bahawa vendor-vendor tempatan di Thailand ini tidak membekalkan komponen kepada kilang-kilang yang memasang EV di negara tersebut. Ini kerana jenama-jenama dari tanah besar tersebut menggunakan asas operasi lazim dengan bergantung pada import dari China atau pada rantaian bekalan kos rendah mereka sendiri.

    Buat masa sekarang, kerajaan Thailand tidak menunjukkan sebarang tanda untuk mengubah hala tuju dasar walaupun tekanan terhadap pembuat kereta tradisional dan pembekal alat ganti mereka. “Kami gembira terdapat lebih banyak pembuat EV China melabur di sini di Thailand kerana ia mencerminkan bahawa mereka yakin tentang dasar kami untuk menyokong EV,” kata Narit Therdsteerasukdi, setiausaha agung lembaga pelaburan negara (BoI).

    “Bagaimanapun, adalah bagus jika anda boleh memberi sokongan kepada pengeluar alat ganti kami dengan menggunakan beberapa alat ganti kereta keluaran syarikat Thailand,” katanya.

     
     
  • Art Of Speed 2024: Jentera JDM penuhi dewan utama

    Art Of Speed 2024: Jentera JDM penuhi dewan utama

    Sejak mula diperkenalkan pada 2012, Art of Speed (AOS) merupakan acara yang dibayangi oleh budaya ubahsuai custom yang lebih berat ke arah Hot Rod dan Chopper gaya Amerika Syarikat.

    Namun sebagai acara yang berpusat di Malaysia, tidak boleh tidak acara ini turut perlu mengketengahkan genre yang popular di kalangan peminat modifikasi tempatan iaitu Model Domestik Jepun (Japan Domestic Model atau JDM).

    Sebenarnya model-model JDM dalam AOS ini anda boleh jumpa sejak dari edisi pertama penganjurannya menerusi model-model Old School yang dibawa oleh BWB. Manakala beberapa tahun kebelakangan ini, AOS turut mendapat sokongan dari No Equal untuk membawa model-model JDM era 90’an dan awal millenium menerusi ruangan Neat Fest.

    Pelbagai model JDM yang boleh anda temui dipamerkan diruangan Neat Fest tersebut ketika berlangsungnya AOS 2024 di MAEPS hujung minggu lalu, antaranya pelbagai Civic yang disumbat dengan enjin K20 dan pengecas turbo, pelbagai Toyota Supra, Nissan Skyline GT-R, Lancer Evolution dan pelbagai lagi.

    Dan antara yang istimewa boleh anda temui adalah Honda Civic generasi ke kelima dalam varian badan Coupe dua-pintu, sepasang Porsche RWB sebenar yang dibina oleh Akira Nakai ketika kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

    Qartel juga ada mempamerkan dua buah Honda istimewa iaitu Civic EK dengan enjin siri K dan panel badan hampir kesemuanya menggunakan gentian karbon, serta sebuah S660 yang sarat dengan peralatan Mugen.

    Manakala di ruangan BWB, terdapat pelbagai model yang agak sukar untuk kita temui seperti Nissan Skyline generasi C10 dan C110, Mazda RX3, Nissan Fairlady Z generasi pertama dan lain-lain.

    Ada juga bengkel-bengkel dan pemilik persendirian yang membawa model-model JDM Old School seperti Datsun Sunny Truck (Sanitora), Toyota Celica generasi pertama, Datsun Sunny California B310 wagon dan macam-macam lagi.

    Kebanyakkan model-model JDM Old School ini tampil dengan gaya Kyushu Kai, tetapi ada yang lebih berani hadir dengan tema Bosozoku yang lebih liar, dilengkapi paip ekzos ‘tembak bulan’, overfender serta rim melampau lebar dan sebagainya.

     
     
  • Xpeng G6 ditemui di Malaysia – pesaing Tesla Model Y bakal tiba, kuasa sehingga 296 PS, jarak 570 km?

    Xpeng G6 ditemui di Malaysia – pesaing Tesla Model Y bakal tiba, kuasa sehingga 296 PS, jarak 570 km?

    Sebelum pelancarannya berlaku tidak lagi, Xpeng G6 kini sudah ditemui atas jalan di Malaysia. Gambar unit yang tidak mempunyai sebarang pelekat ini dimuat naik pengguna Facebook, Daryl Tan di paultan.org Automotive/Car Discussion Group, dengan mengatakan EV tersebut ditemui di Teluk Panglima Garang, Selangor.

    Seperti yang sudah diketahui, Bermaz Auto berjaya memperoleh hak mengedar kenderaan Xpeng di Malaysia, dan G6 akan menjadi model pertama yang dilancarkan. Di Singapura dan Thailand, tempahan untuk model ini sudah pun dibuka dengan dua varian ditawarkan iaitu Standard Range dan Long Range.

    Untuk pasaran Singapura, varian Standard Range datang dengan motor elektrik belakang berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan tork 440 Nm, manakala varian Long Range mempunyai tork yang sama, tetapi dengan kuasa lebih tinggi, iaitu 286 PS (282 hp atau 210 kW).

    Varian Standard Range dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 66 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 435 km (WLTP) dan boleh dicas menggunakan sumber AC sehingga 11 kW dan DC sehingga 215 kW.

    Bagi Long Range pula, ia menggunakan bateri nickel cobalt manganese (NCM) dengan kapasiti 87.5 kWh, memberikan jarak gerak sehingga 570 km. Pengecasan menggunakan sumber DC bagi varian ini ditinggikan sehingga 280 km dan bateri boleh naik 10-80% dalam masa 20 minit.

    Sementara itu di Thailand, G6 juga datang dengan versi elektrik di belakang, yang menjadikan kuasanya lebih tinggi 296 PS (292 hp atau 218 kW) dan tork 440 Nm. Pilihan bateri masih sama seperti model di Singapura.

    Setakat ini kita masih belum mengetahui perincian berkenaan model ini di Malaysia, tetapi penawaran di dua negara jiran ini boleh dijadikan sebagai rujukan. Untuk harga, memandangkan model ini meletakkan Tesla Model Y yang berharga RM191,000 sebagai sasaran, ia mungkin boleh jadi lebih murah.

    GALERI: Xpeng G6 di Bangkok

     
     
  • Kos kembalikan 5 stesen LRT3 Laluan Shah Alam telan RM3.8b, termasuk sistem, tren, 150 bas pengantara EV

    Kos kembalikan 5 stesen LRT3 Laluan Shah Alam telan RM3.8b, termasuk sistem, tren, 150 bas pengantara EV

    Ketika lawatannya ke Stesen Pasar Jawa LRT3 Laluan Shah Alam di Bandar Klang pagi tadi, menteri pengangkutan Anthony Loke turut mengumumkan bahawa Jemaah Menteri sudahpun meluluskan peruntukan untuk mengembalikan skop asal projek berkenaan menerusi mesyuarat yang berlangsung pada 5 Julai lalu.

    Keputusan tersebut dilihat selari dengan dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu. Dan ini bermakna lima stesen yang digugurkan dari laluan LRT3 tersebut sebelum ini sudahpun diberi lampu hijau untuk kembali di bina.

    Lima stesen tersebut adalah Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan juga Bandar Botanik. Namun untuk stesen keenam yang digugurkan iaitu di laluan bawah tanah sejauh 2km di Persiaran Hishamudin Shah Alam masih kekal tidak akan di bina.

    Pembinaan kelima-lima stesen ini akan bermula sebaik sahaja selepas LRT3 Laluan Shah Alam ini beroperasi pada suku ketiga 2025. Perkhidmatan LRT3 sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang dengan 20 stesen, tidak termasuk lima stesen yang akan dikembalikan tersebut.

    Menurut Loke, pembinaan lima stesen ini akan mengambil masa selama dua tahun (dijangka siap pada 2027) dan ia tidak akan menggangu sebarang operasi perkhidmatan LRT3 berkenaan.

    Mengulas lanjut, Loke menyatakan bahawa kos untuk mengembalikan LRT3 ini ke skop asal menelan belanja sekitar RM3.8 bilion. Namun kos tersebuh bukan hanya untuk lima stesen, ia juga turut termasuk untuk kos penambahan tujuh set tren dengan tiga koc, depoh tren yang lebih besar di Johan Setia dan juga pembeliannya 150 unit bas EV untuk pengangkutan pengantara.

    Dengan penggunaan bas EV tersebut juga memerlukan tiga depoh untuk mengecas dan ia turut termasuk dalam kos tambahan itu, selain dari kos-kos yang melibatkan sistem dan integrasi lain.

    Loke juga menambah, dalam skop asal projek ini ia tidak termasuk sekali bas pengantara. Namun dengan komitmen kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam negara adalah penting untuk mengembalikan skop asalnya bersama penambahan keterhubungan perjalanan akhir seperti bas pengantara ini, kata Loke.

    “Saya berharap bahawa tambahan skop ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik sistem pengangkutan awam kita, dan memang kita komited untuk memastikan tambahan LRT3 ini akan menyumbang kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih banyak khususnya di Lembah Kelang,” kata Loke lagi.

    Menurutnya lagi, selepas siap nanti LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

    GALERI: Stesen Pasar Jawa LRT3 Laluan Shah Alam

     
     
  • Nammi 01 EV dikesan di M’sia – bakal dilancar di sini?

    Nammi 01 EV dikesan di M’sia – bakal dilancar di sini?

    Memandangkan kenderaan elektrik (EV) kian diterima baik di pasaran tempatan, membuatkan lebih banyak model EV akan dilancarkan di sini. Ini termasuklah Nammi 01, satu lagi EV yang juga dikenali sebagai Dongfeng Box. Model ini telah dikesan di Puchong oleh pembaca paultan.org, yang hanya mahu dikenali sebagai “EV fan”.

    Nammi 01 dibangunkan dengan platform Quantum Architecture No. 3 oleh Dongfeng, dengan padanan motor pacuan tunggal sehingga 163 PS di mana ada beberapa saluran berita China mendakwa motor tersebut hanya menghasilkan kuasa sekitar 95 PS. Motor tersebut dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 42.3 kWh, yang didakwa mampu memberikan jarak gerak hingga 430 km mengikut standard ujian CLTC, dan kelajuan tertinggi sekitar 140 km/j.

    Berukuran 4,030 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,660 mm, Nammi 01 ini lebih pendek sebanyak 260 mm berbanding BYD Dolphin, tetapi lebar 40 mm, dan jarak rodanya juga lebih pendek sebanyak 40 mm berbanding model BYD itu. Untuk kelengkapan keselamatan, Nammi 01 dilaporkan akan menampilkan fungsi ADAS termasuk menyokong bantuan pemanduan Tahap 2.

    Bulan lalu, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menerusi anak syarikatnya Central Auto Distributors Bhd (CADB), telah menandatangani perjanjian sefahaman dengan NexV Manufacturing untuk memasang Dongfeng Box/Nammi 01.

    Menurut Pekema, NexV akan menyediakan kemudahan untuk pemasangan tempatan Nammi 01, manakala CADB akan mengendalikan pemasaran dan pengedaran produk. Dengan pengesahan NexV berhubung pemasangan Nammi 01/Dongfeng Box untuk kegunaan tempatan, maka sahihlah EV kompak ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

    GALERI: Dongfeng Box a.k.a. Nammi 01 di Auto China 2024

     
     
  • Art Of Speed 2024: Proton untuk tatapan antarabangsa

    Art Of Speed 2024: Proton untuk tatapan antarabangsa

    Kita di Malaysia biasanya kalau sebut tentang ‘mazhab’ modifikasi kereta, sudah tentu ramai yang ‘berkiblatkan’ Jepun atau JDM sebagai panduan. Namun sebenarnya Malaysia ada asas modifikasi unik yang tiada di negara lain kerana kebanyakkan ‘mat-mat kereta’ di sini akan bermula hobi mengubahsuai kenderaan masing-masing dengan dua kereta jenama tempatan sama ada Proton atau Perodua.

    Jadi budaya ini sangat perlu untuk ditonjolkan dalam acara-acara tempatan dengan kehadiran pengunjung-pengunjung serta media-media antarabangsa seperti Art Of Speed (AOS). Acara sebegini amatlah penting untuk menunjukkan kepada dunia originaliti kita berbanding untuk memperlihatkan sama ada kita di sini ‘lebih JDM’ berbanding scene di Jepun sana.

    Syukur ada beberapa buah Proton yang hadir dipamerkan dalam dewan utama iaitu Dewan A di AOS 2024 yang berlangsung di MAEPS Serdang hujung minggu lalu. Dan yang menjadi kegemaran penulis adalah sebuah Proton Satria Neo berwarna perak yang diapit oleh sekumpulan jentera Continental dan JDM dalam ruang pameran yang di selia oleh No Equal.

    Satria Neo merupakan hatchback yang bukan sahaja tampil dengan rupa yang begitu agresif, malah model ini mempunyai sejarah sukan permotoran yang begitu cemerlang kerana casis binaan jurutera tempatan bersama Lotus yang boleh dikatakan sebagai ‘over engineered‘. Jadi dengan tampil dipentas sebegini, ia mungkin boleh menarik lebih minat orang luar untuk mengenali dunia automotif tempatan.

    Neo yang dipamerkan ini pula sebenarnya milik seorang pelumba muda Malaysia yang kebelakangan ini mencipta pelbagai rekod ‘time attack‘ di litar Sepang iaitu Amer Harris. Kereta ini bermula sebagai Satria Neo varian asas 1.6 M-Line, tetapi kini berubah dengan rupa seakan model edisi terhad yang dihasilkan hanya untuk litar iaitu Satria Neo Clubsport.

    Untuk itu, bahagian luar kereta ini menerima spoiler hadapan dan spoiler bumbung belakang R3. Dan untuk lebih kelihatan lebih fokus untuk kegunaan litar, ia menggunakan bonet hadapan gentian karbon, dilengkapi kill switch pada penutup cowl pengelap cermin serta cangkuk tunda yang dibiar melekat pada bampar hadapan.

    Dan yang paling menarik adalah pada aspek stance – kereta ini diberikan set rim aloi Rays Engineering TE37 dengan jejari concave di hadapan dan Racing Hart Superlative di belakang, dibalut dengan tayar perlumbaan Hankook Ventus TD, kesemuanya kelihatan ‘sendat’ dan tenggelam pada ruang roda.

    Satu lagi hatchback Proton yang menarik perhatian di sini adalah sebuah Satria R3. Semua dah tahu, Satria R3 ini boleh dianggap versi Type R yang dihasilkan oleh sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu Race Rally Research (R3) di bina hanya 150 unit. Dan unit yang dipamerkan ini adalah antara yang paling istimewa kerana ia adalah unit pertama yang menerima talaan penuh R3 Stage 3!

    Dalam dewan ini juga terdapat dua buah coupe Proton yang boleh dikira rare kerana jumlah produksi hanya sekitar 5,000 unit iaitu Proton Putra. Unit Putra yang berwarna perak mengenakan muka yang disalin dari Mitsubishi Lancer Evolution II, sementara yang berwarna bira tampil lebih agresif dengan banyak komponen karbon serta muka Lancer Evolution III bersama bampar hadapan rekaan HKS Kansai.

     
     
  • Honda Ye S7 – gambar rasmi SUV elektrik didedah, akan lancar untuk pasaran China hujung tahun ini

    Honda Ye S7 – gambar rasmi SUV elektrik didedah, akan lancar untuk pasaran China hujung tahun ini

    Selepas mendedahkan beberapa buah model kenderaan elektrik (EV) di bawah jenama Ye, termasuk P7, S7 dan GT Concept, Honda kini mendedahkan lebih maklumat berkaitan SUV Ye S7, yang akan dijual di pasaran China, dan dipasarkan oleh Dongfeng Honda.

    Berdasarkan asas Architecture W yang dikeluarkan oleh Honda untuk kenderaan elektrik, Ye S7 mencatat ukuran panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak roda 2,930 mm. Rimnya menggunakan saiz 21 inci dan dibalut tayar 265/45R21.

    Honda Ye S7 ini mempunyai kaitan rapat dengan P7, tetapi dengan penggayaan yang berbeza di hadapan dan belakang. S7 menggunakan lampu DRL dengan pencahayaan berbentuk Y, manakala pada P7 ia lebih kepada bentuk C. Di belakang, S7 mendapat bentuk lampu menegak dengan jalur cahaya penyambung di bahagian tengah, menghasilkan corak seperti H besar.

    Setakat yang didedahkan, S7 akan mempunyai dua tetapan iaitu motor tunggal RWD dan dua motor AWD, dengan kuasa masing-masing 204 PS dan 272 PS. Car News China melaporkan, Ye S7 akan menggunakan bateri ternary lithium daripada CATL dan memberikan jarak gerak sekitar 500 km.

    Pada bahagian dalam, SUV ini dilihat mempunyai skrin sesentuh berbentuk menegak di bahagian tengah, yang juga digunakan untuk kawalan sistem penting, manakala butang pemilih mod transmisi berada di konsol tengah, berhampiran pad pengecas tanpa wayar.

    Car News China melaporkan lagi, Ye S7 dan P7 keluaran GAC akan dilancarkan untuk pasaran menjelang akhir tahun ini, sementara model yang lebih futuristik iaitu GT Concept memberi petunjuk awal kepada sedan yang akan dilancarkan pada tahun 2025.

    Honda Ye P7 2024

    Honda Ye S7 2024

    Honda Ye GT Concept 2024

     
     
  • LRT3 Laluan Shah Alam bakal beroperasi pada suku ke-3 2025; 95% kerja fizikal siap sebelum ujian berjalan

    LRT3 Laluan Shah Alam bakal beroperasi pada suku ke-3 2025; 95% kerja fizikal siap sebelum ujian berjalan

    Pagi ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah membuat tinjaun ke salah sebuah stesen LRT3 Laluan Shah Alam yang sedang dalam pembinaan, iaitu Stesen Pasar Jawa, Klang. Dalam sesi yang sama, Loke turut mengumumkan status projek berkenaan kepada pihak media.

    Menurut Loke, kerja-kerja fizikal projek LRT3 Laluan Shah Alam ini termasuk semua stesen sepanjang laluan sudahpun 95.6% siap, dan ia akan mencapai 100% pada bulan Oktober nanti. Selepas itu, kerja-kerja lain termasuk melengkapkan perisian, pengintegerasian sistem dan sebagainya akan mengambil masa beberapa bulan sehingga awal tahun depan.

    Apabila kesemuanya lengkap, kerja-kerja menguji pula akan berlangsung selama tiga hingga empat bulan, sebelum LRT3 Laluan Shah Alam ini beroperasi sepenuhnya untuk digunakan oleh orang ramai dijangka pada suku ketiga 2025, jelas Loke.

    Projek ini pada asalnya dijangka akan beroperasi pada bulan Mac tahun hadapan, namun menurut Loke, kelewatan pembukaan ini dalah disebabkan beberapa perkara seperti pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa kerja tergendala.

    “Namun begitu, pihak Prasarana bersama-sama pihak kontraktor dan juga semua pihak terlibat dalam projek ini telah pun berusaha untuk mengejar kembali masa yang telah pun lewat dan kita berjaya mengurangkan kelewatan itu. Dijangkakan ia akan dapat bermula pada suku ketiga, bulan Ogos atau bulan September,” jelas Loke.

    Menurutnya lagi, selepas siap nanti LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

    Perkhidmatan LRT3 sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Dalam sidang media hari ini Loke turut mengumumkan bahawa lima stesen yang digugurkan sebelum ini sudahpun diberi lampu hijau untuk kembali di bina dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu, selari dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu.

    Lima stesen tersebut adalah Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan juga Bandar Botanik. Loke memberitahu pembangunan lima stesen ini akan berlangsung selama dua tahun selepas LRT3 Laluan Shah Alam ini beroperasi pada suku ketiga 2025, dan ia tidak akan menggangu sebarang operasi perkhidmatan tersebut.

     
     
  • MPV Denza D9 dilihat di M’sia — pesaing Alphard jana 374 PS; EV dengan jarak CLTC 620 km, ada PHEV

    MPV Denza D9 dilihat di M’sia — pesaing Alphard jana 374 PS; EV dengan jarak CLTC 620 km, ada PHEV

    Denza (atau Shenzen BYD New Energy) merupakan sebuah jenama kenderaan China yang nampak seperti akan diperkenalkan di Malaysia. Ini kerana, model D9 jenama itu sudah dilihat sedang diuji di sini. Dikongsikan oleh Akmal Azmi dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook, MPV berkenaan dilihat sedang dicas. Versi pemanduan sebelah kanan model ini sudah dilancarkan di Hong Kong Jun lalu.

    D9 yang dilancarkan di China pada Ogos 2022 telah diberikan kemaskini tahun ini dan ditawarkan dalam bentuk pacuan elektrik sepenuhnya dan juga plug-in hybrid (dinamakan DM-i). Versi EV pula ditawarkan dalam tiga varian — 620 Premium, 600 4WD Premium dan 600 4WD Flagship — dengan harga antara 379,800 hingga 469,800 yuan (sekitar RM234k-RM300k).

    MPV Denza D9 dilihat di M’sia — pesaing Alphard jana 374 PS; EV dengan jarak CLTC 620 km, ada PHEV

    Semua varian D9 EV menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) oleh BYD sendiri dengan kapasiti 103 kWh, yang menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum 166 kW. Varian paling asas 620 Premium memanfaatkan motor elektrik di depan yang menjana 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat serta jarak perjalanan maksimum 620 km mengikut standard CLTC.

    Dua varian “4WD” berikut punya menerima tambahan satu lagi motor elektrik di belakang dengan janaan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan 110 Nm dengan output semua roda secara keseluruhan ialah 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan 470 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat serta jarak perjalanan menjadi 600 km.

    Bagi versi DM-i PHEV pula, ia datang dalam lima varian: 970 Deluxe, 1050 Premium, 980 4WD Premium, 980 4WD Premium Edition dan 980 4WD Flagship dan dijual dengan harga antara 339,800 dan 449,800 yuan (RM218k-RM288k).

    Sistem PHEV ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo cas empat-silinder petrol yang menghasilkan 139 PS (137 hp atau 102 kW) dan 231 Nm, dan dibantu sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 340 Nm. Varian AWD pula ditambah sebuah lagi motor elektrik di belakang dengan janaan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan 110 Nm.

    Varian asas 970 Deluxe dilengkapi dengan bateri 20 kWh yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 45 kW dan menyediakan jarak EV sejauh 103 km, manakala jarak hibrid sehingga 970 km CLTC.

    Semua varian yang lain menerima bateri 40 kWh dengan kadar pengecasan DC yang lebih tinggi 80 kW yang memberikan jarak elektrik dan hibrid yang lebih jauh. Jarak EV bagi 1050 Premium ialah 200 km manakala jarak hibridnya 1,050 km. Tiga varian “4WD” lainnya pula memberikan 190 km jarak elektrik dan 980 km jarak hibrid.

    Agak sukar untuk menentukan varian atau janaan mana unit yang sedang diuji di Malaysia ini kerana wajah depannya diselindung — rekaan gril antara yang membezakan variannya. Versi EV sepenuhnya menggunakan panel hitam dengan jalur krom menegak, sementara versi DM-i dengan jalur panel krom.

    Dari segi saiz, D9 memiliki dimensi 5,250 mm panjang, 1,960 mm lebar, 1,920 mm tinggi dengan jarak roda 3,110 mm. Ini menjadikanny lebih besar daripada Toyota Alphard yang dijual di sini dan menyamai saiz Zeekr 009 (ini model EV sepenuhnya) yang juga bakal dilancarkan di sini. Adakan Denza D9 ini juga sah bakal masuk ke pasaran tempatan?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025