Subaru secara rasminya telah memperkenalkan Subaru Levorg STI Sport. Walaupun ia diberikan lencana ‘STI’, wagon ini hanya diberikan talaan semula pada bahagian suspensi dan menerima kit-kit kosmetik menampilkan imej yang lebih sporty.
Rombakan pada bahagian suspensi melibatkan pemadanan penyerap hentak Bilstein DampMatic II pada bahagian hadapan, bersama spring yang dipertingkatkan dan talaan keseluruhan sepenuhnya dilakukan pada bahagian suspensi tersebut. Levorg STI Sport menerima bampar hadapan baharu yang lebih tajam, rekaan gril hadapan yang berlainan serta set roda aloi baharu berdiameter 18-inci.
Keseluruhan badan Levorg STI Sport menerima semburan warna khas WR Blue Pearl. Pada bahagian dalaman pula, wagon ini menerima upholstery balutan berwarna Bordeux Red bersama kemasan-kemasan berwarna hitam. Juga di tampilkan perincian berupa lencana-lencana STI yang boleh dijumpai pada perehat kepala tempat duduk, roda stereng dan juga plat bendul sisi.
Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. Levorg STI Sport masih lagi dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin boxer 1.6 liter turbo berkuasa 168 hp atau enjin boxer 2.0 liter turbo 298 hp. Kedua-dua pilihan enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT automatik dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.
Subaru Levorg bakal dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini. Dijangkakan, tiada pilihan enjin 2.0 liter untuk pasaran Malaysia di mana pelanggan disini hanya menerima enjin boxer 1.6 liter turbo dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 168 hp/250 Nm dan dipadankan dengan kotak gear CVT Lineartronic Subaru.
Volkswagen Polo sedan telah pun diperkenalkan seara eksklusif di Rusia. Dikenali sebagai Polo GT, model ini menerima enjin yang berbeza dan beberapa elemen yang berlainan, malahan nampak lebih sporty, menurut Cars.ru.
Polo GT ini dilengkapi dengan enjin 1.4 liter pengecas turbo TSI yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 125 hp. Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan sebagai standard, serta pilihan dua-klac DSG tujuh-kelajuan.
Di bahagian luarannya, model GT didatangkan dengan gril hadapan sarang lebah dan corong udara plastik, bersama bumbung dan cermin hitam berkilat. Selain itu, ia turut menampilkan spoiler pada boot lid, paip ekzos berkembar krom dan roda 16-inci.
Manakala di bahagian dalamnya pula, ia menampilkan ambang sisi dengan logo GT, roda stereng sport yang leper di bawah dengan balutan kulit, tempat duduk upholstery bercorak petak dan pedal aluminium. Malah ia juga turut didatangkan dengan kawalan suhu, tingkap berkuasa untuk semua pintu dan tempat duduk dengan haba panas sebagai elemen standard.
Malah turut dikhabarkan, 300 pembeli pertama bakal ditawarkan dengan unit pilihan putih atau pun perak dengan jaluran hitam dan merah pada hud dan boot lid sebagai hadiah percuma.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, pembinaan laluan basikal perlu diperbanyakkan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di stesen pengangkutan awam, lapor The Sun Daily. Menurut beliau langkah tersebut akan menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif.
Ia juga akan mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran udara di ibu kota berkenaan. “jika lebih banyak laluan basikal dibina, ia akan memudahkan warga kota ke tempat kerja dengan berbasikal ke stesen bas dan LRT. Ia juga akan mewujudkan gaya hidup yang sihat kerana berbasikal boleh meningkatkan kecerdasan badan dan minda seseorang,” kata Ahmad Fauzi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan membelanjakan sejumlah RM5 juta untuk menambah bilangan laluan basikal di ibu kota berkenaan pada Ogos tahun lalu. Penambahan tersebut termasuk lagi dua laluan basikal dari Wangsa Maju ke Taman Melati sejauh empat kilometer dan penambahan lagi dua kilometer dari Wangsa Maju ke Taman Batu Muda.
Turut dilaporkan pelan asal projek tersebut turut melibatkan pemanjangan jaringan laluan basikal di Cheras dan Wangsa Maju. Langkah untuk mempromosi budaya berbasikal di kalangan rakyat Malaysia turut termasuk kempen ‘Kuala Lumpur Car-free Morning’ yang dianjurkan DBKL bermula awal tahun ini. Pada Ahad pertama dan ketiga setiap bulan, dari 7.30 hingga 9.30, beberapa batang jalan akan ditutup untuk kenderaan bermotor dan hanya dibuka untuk mereka yang berbasikal.
Jika ia diperkenalkan dalam bentuk protaip pada Tokyo Auto Salon 2016 Januari lalu, kini ia telah pun ditampilkan sebagai model produksi.
Tidak seperti S660 edisi Mugen, RA ini kelihatan lebih agresif jika dilihat dari sudut penampilannya, Bahagian luarannya dipertingkatkan termasuk menampilkan gril gentian karbon, logo ‘Mugen RA’, ekzos paip-berkembar sport dan roda aluminium yang lebih ringan dari BBS.
Ditampilkan dengan rim bersaiz 15-inci untuk hadapan dan 16-inci di belakang yang dibaluti tayar Yokohama Advan Neova AD08R 165/55R15 (hadapan) dan 195/45R16 (belakang). Casisnya juga dipertingkatkan termasuk suspensi yang ditala semula dan menampilkan peredam boleh laras Bilstein.
Di dalamnya, S660 Mugen RA ini ditampilkan dengan tempat duduk kulit berwarna merah, roda stereng balutan kulit baharu, jahitan kontras, butang penghidup enjin ‘Mugen’, panel instrumen ‘Mugen’, siri plat nombor dan kekemasan gentian karbon. Tombol gear gentian karbon turut ditampilkan bagi varian manual, sementara versi CVT pula menerima pedal penukar gear balutan kulit.
Jika anda mengharapkan ledakan kuasa yang lebih mengagumkan, tiada. Menurut peraturan bagi kelas kei car di Jepun, enjinnya terhad pada 660 cc dengan kuasa tidak melebih 64 PS, dan S660 Mugen RA ini tiada perubahan, masih mengekalkan S07A 660 cc, enjin tiga-silinder pengecas turbo DOHC – 64 hp dan 104 Nm.
Harga yang ditawarkan ialah 2,890,000 yen (RM107,002). Dan hanya ada 660 unit sahaja Honda S660 Mugen RA sahaja yang diproduksikan. Dan ia hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja, dan dijangkakan mula dijual pada 3 Oktober ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menangkap sembilan orang Ulat Parkir di tempat berasingan pada operasi khas yang dijalankan Sabtu lalu, lapor Bernama.
Operasi bersepadu yang turut disertai oleh pihak polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen tersebut dijalankan di lapan lokasi sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dan satu lagi di Shah Alam. Kawasan bandar yang terlibat termasuk Kampung Baru, Jalan Medan Tuanku, Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 dan Jalan Ampang. Operasi yang dijalankan di Shah Alam adalah di kawasan Uptown Seksyen 24.
Tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah, manakala seorang suspek lain adalah warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan. Mereka yang ditangkap berumur antara 28 hingga 53 tahun.
Beliau dilaporkan turut berkata risikan dijalankan JPJ selama tiga hari dan aduan orang ramai itu mendapati mereka (ulat parkir) mengenakan bayaran parkir haram bermula RM5 hingga RM15 di kawasan terlibat. Kesemua suspek diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan direman selama tiga hari.
“Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan Jalan Duta pada Isnin ini,” kata beliau.
Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak bayaran daripada mana-mana orang berkenaan penjagaan kenderaan bermotor.
Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Volkswagen Beetle dan Beetle Cabriolet telah pun menerima peningkatan kecil. Model Bug ini telah diberikan pilihan lebih individual, Denim baharu dan varian Beetle Exclusive dengan kekemasan yang lebih bersesuaian. Walau bagaimana pun tiada perubahan pada bahagian enjin, masih menawarkan tiga enjin petrol dan dua diesel, 105 PS hingga 220 PS.
Juga ditawarkan dengan pilihan warna baharu termasuk Bottle Green Metallic dan White Silver Metallic. Bagi barisan Basic dan Design, bamparnya telah direka semula dan kini lebih sporty. Bagi barisan elemen R-Line (atau sebelum ini dikenali sebagai Beetle Sport) ia turut menerima bampar baharu termasuk corong tambahan di atasnya.
Selain itu, ia turut menampilkan lampu belakang LED, roda “Philadelphia” 17-inci dan “Ravenna Adamantium” 18-inci, yang merupakan pilihan bagi Design Line dan R-Line.
Di dalamnya, pencahayaan pada panel instrumen juga lebih terang, didatangkan dengan dail baharu dan pengayaaan terkini pada pad pemuka untuk Design Line dan R-Line. VW juga menampilkan tiga material baharu upholstery dan pakej gaya kontemporari untuk pilihan secara personal. Turut ditawarkan ialah “Black Style Package” dengan kekemasan hitam pada roda, perumah cermin dan bumbung.
Manakala pakej pilihan R-Line pula menampilkan logo R-Line pada panel ambang dan perehat kepala serta roda stereng sport R-Line. Malah pembeli juga boleh menempah fabrik “Kyalami” atau kulit “Vienna” bagi tempat duduk.
Model istimewa turut diumumkan termasuk Beetle Denim yang hadir dengan unit terhad untuk pasaran Amerika Syarikat. Bahagian dalamannya dibaluti jeans, warna luaran “Stonewashed Blue Metallic” dan roda “Circle” 17-inci dan “Dark Graphite” bersama set perumah krom. Manakala model istimewa “Allstar” bakal tiba hujung tahun ini.
Beetle Exclusive juga ditampilkan dalam barisan keluarga baharu Beetle ini. Ia berasaskan elemen Design dan R-Line, dan diberi penambahan aloi dengan gaya “Twister”, pad pemuka berwarna hitam dan ambang panel aluminium dengan perkataan “Volkswagen Exclusive”, kekemasan tempat duduk kulit “Nappa” dan “Cool”.
Model-model Beetle yang dipertingkatkan ini boleh didapati di pasaran Eropah. R-Line tampil dengan enjin berkuasa 220 PS dan boleh ditempah mulai pertengahan Jun ini.
Seperti yang diumumkan minggu lalu, Renault mendedahkan Clio RS paling ‘gila’ pernah dihasilkan pada Grand Prix Monaco hujung minggu lalu iaitu model konsep Renault Clio RS 16. Kereta konsep ini dibina sempena ulang tahun ke-40 Renault Sport dan kembalinya Renault ke kancah Formula 1 sebagai pasukan penuh.
Apa yang membuatkan pocket-rocket ini lebih gila dari versi standard? Berbanding Clio RS 200 EDC dan Clio RS 220 Trophy yang menggunakan enjin 1.6 liter turbo, perut RS 16 ini disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang diambil terus dari Renault Megane RS 275 Trophy-R
Cabaran terbesar yang dihadapi pasukan jurutera RS 16 ini adalah bagaimana untuk memuatkan enjin, transmisi dan sistem penyejukkan yang lebih besar dari Megane terpantas dalam barisannya ke ruang enjin Clio yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, usaha mereka berhasil dengan jayanya dan projek tersebut mengambil masa selama lima bulan.
Dengan enjin yang jauh lebih berkuasa, bahagian lain turut dipertingkat bagi memastikan Clio ini mampu untuk menampung tambahan kuasa tersebut. Perubahan yang dilakukan termasuk melebarkan lagi badan kereta ini dengan 60 mm tambahan dan disesuaikan dengan roda aloi berdiameter 19-inci. Sistem ekzos juga dipertingkatkan dengan pemadanan sistem ekzos berkembar lengkap dari Akrapovic. Bahagian lain yang turut disentuh semula termasuk talaan pada sistem suspensi dan juga sistem penyejukkan.
Bahagian luaran menyaksikan lampu kabus LED RS Vision dengan motif ‘chequered-flag‘ pada setiap sisi bampar yang menampilkan teknologi multi-faceted reflector ekslusif. Keseluruhan badan kereta ini diberikan warna signatur RS iaitu Sirius Yellow dan digabungkan dengan perincian hitam kilat pada cermin sisi, bumbung dan bahagian bawah spoiler belakang, mencerminkan imej kereta F1 RS 16 pasukan Formula Satu Renault Sport.
Setelah versi standard Nissan GT-R facelift 2017 diperkenalkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 hujung Mac lalu, kini penala rasmi Nissan iaitu Nismo memperkenalkan pula Godzilla baharu versi mereka. Nissan GT-R Nismo facelift 2017 ini diberikan sedikit peningkatan pada sistem suspensi untuk pengedalian lebih jitu dan sentuhan semula pada rekaan bahagian luaran dan dalaman bagi memberi imej sebuah model dari Nismo.
Pada bahagian hadapan, jentera sport ini menerima gril berbentuk V-motion yang lebih besar dan membolehkan lebih banyak udara masuk ke bahagian ruang enjin tanpa mengorbankan prestasi aerodinamiknya. Liang sirip pada sisi bampar baharu turut meningkatkan downforce dan menghalakan angin ke ruang roda bagi meningkatkan lagi tahap aerodinamiknya. Sepasang tip ekzos berkembar yang berbentuk empat segi menggantikan tip ekzos berbentuk oval sebelum ini. Keseluruhan pakej aerodinamik tersebut memberikan daya downforce paling tinggi pada sebuah kereta buatan Nissan setakat ini.
Model talaan Nismo ini menerima rombakan sepenuhnya pada bahagian dalaman. Berbanding GT-R standard yang menampilkan tema yang lebih mewah dan premium, model Nismo ini menampilkan rekaan yang berasaskan dari mana ia bermula iaitu litar lumba. Papan pemuka, roda stereng, perehat tangan tengah kesemuanya telah menerima balutan Alcantara untuk memberikan imej sebuah kereta lumba sebenar. Tempat duduk Recaro yang dibalut dengan kulit diambil terus dari Nismo GT-R terdahulu.
Sistem infotainmen baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci bersepadu dengan sistem navigasi. Butang kawalan audio yang sebelum ini berjumlah 27 unit dikurangkan kepada hanya 11 unit. Suis kawalan Display Command yang dilengkapkan pada konsol terowong transmisi gentian karbon membolehkan kawalan untuk sistem infotaimen menjadi lebih mudah.
GT-R facelift standard sememangnya mempunyai kerangka asas yang telah diperteguhkan. Untuk model ini, jurutera Nismo telah menala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng membolehkan pengendalian 2% lebih baik pada ujian masa laluan slalom dan prestasi meredah selekoh berbanding model sebelum ini. GT-R Nismo 2017 turut menerima sistem suspensi Damptronic dari Bilstein seperti model sebelum ini bagi membolehkan kuasa dari enjin disalurkan sepenuhnya ke permukaan jalan.
Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. GT-R talaan Nismo ini masih menggunakan enjin VR38DETT V6 3.8 liter dengan dua unit pengecas turbo berdiameter besar spesifikasi GT3 high flow. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa 600 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 652 Nm bermula 3,600 hingga 5,600 rpm, dialirkan ke kesemua roda melalui sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro dan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ telah mengeluarkan 91 notis temu siasat kepada pemilik kenderaan yang didapati menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya PLUS, di Melaka, Ahad lepas sehingga menghalang laluan ambulans, laporan Bernama.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancang dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, notis itu dikeluarkan JPJ Melaka pada minggu lepas setelah selesai siasatan terhadap rakaman video orang awam mengenai kejadian berkenaan.
“Semua pemilik kenderaan yang terlibat diberi tempoh 14 hari untuk tampil ke pejabat JPJ dan disiasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti pemandunya,” katanya.
Yusoff berkata pemilik kenderaan terbabit perlu tampil bagi proses mengenal pasti siapa yang memandu kenderaan berkenaan ketika kejadian, untuk tindakan selanjutnya.
“Kami menghantar notis ke alamat pemilik yang didaftarkan melalui nombor pendaftaran kenderaan yang kita peroleh daripada rakaman video pada waktu kejadian,” katanya.
“Sekiranya mereka tidak terlibat dengan perbuatan itu, mereka perlu membuat laporan polis untuk disiasat,” katanya sambil menjelaskan kemungkinan nombor pendaftaran itu palsu.
Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang.
Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama yang sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.
Antara faktor kemalangan jalan raya ialah penggunaan tayar celup yang sememangnya berisiko tinggi kerana sukar bertahan lama dan mudah tertanggal, ujar Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus.
Beliau berkata tayar celup mudah tertanggal di atas jalan raya berbanding tayar asli yang boleh membawa risiko kepada pengguna jalan raya lain, laporan Bernama.
“Tindakan saman boleh dikenakan kepada mereka yang menggunakan tayar celup,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata kenderaan berat dilihat gemar menggunakan tayar celup kerana ia lebih murah berbanding tayar asli. Ada yang hanya mencecah RM50 hingga RM80 sebiji iaitu 50% hingga 70% lebih rendah harganya berbanding tayar tulen.
Mercedes-Benz Malaysia strengthens CSR efforts, including free Child Car Seat Rentals with paultan.org
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkukuhkan komitmen CSR mereka dalam negara dengan mengumumkan akan menyumbang lebih RM200,000 untuk inisiatif yang menyokong perkembangan dan pembangunan masyarakat Malaysia.
Inisiatif tersebut adalah berlandaskan empat cabang utama CSR yang digunakan oleh MBM iaitu keselamatan jalan raya, seni dan budaya, pelaburan dalam ilmu pengetahuan dan tanggungjawab sosial korporat. Untuk aspek pertama, MBM meneruskan kerjasama mereka dengan Driven Communication (paultan.org) dengan menyumbang 135 tempat duduk kanak-kanak tambahan yang bernilai RM50,000, menerusi inisiatif Mobile Kids, untuk Program Sewaan Tempat Duduk Kereta Kanak-kanak.
Program tersebut yang sebelum ini dilancarkan bersama paultan.org pada 2015, berperanan untuk memberikan pendidikan kepada keluarga berhubung keselamatan jalan raya dengan menyediakan tempat duduk kereta kanak-kanak untuk disewa, berasaskan konsep ‘siapa cepat dia dapat’. Program tahun lalu menyaksikan MBM menyumbangkan sejumlah 110 tempat duduk kereta kanak-kanak untuk program tersebut. Dengan langkah ini, jumlah keseluruhan sumbangan syarikat tersebut adalah sebanyak 245 tempat duduk kereta kanak-kanak.
Untuk memastikan seni pertunjukan Malaysia terus dipromosikan, MBM akan mengumumkan tajaan tambahan sebanyak RM120,000 kepada KLPac. MBM percaya seni mempunyai kuasa yang kuat untuk menghubungkan kreativiti dan inovasi, dan setakat ini mereka telah menyumbang lebih dari RM1.2 juta bagi tujuan tersebut.
Untuk golongan muda, dimana pendidikan merupakan aspek utama bagi menghasilkan pemimpin masa hadapan, MBM turut menyumbangkan sejumlah 205 unit komputer terpakai untuk sekolah rendah dan organisasi tidak berasaskan keuntungan. Teach Malaysia dan Monfort Boys Town akan menerima 50 buah komputer, manakala tiga lagi sekolah rendah vernakular akan menerima 35 unit komputer untuk setiap sekolah.
MBM turut akan meneruskan sambutan tahunan mereka untuk meraikan kanak-kanak semasa musim perayaan, dimana mereka menggalakkan kakitangannya untuk berkongsi hadiah terpilih dengan kanak-kanak yang memerlukan. Program ini memberikan peluang kepada kakitangan MBM untuk menceriakan kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
Kakitangan MBM juga akan terlibat dengan program pembersihan pantai pada tahun ini sebagai salah satu usaha untuk memastikan alam sekitar terpeihara. MBM juga turut menyokong pekerjanya yang akan mengambil bahagian dalam Maraton Kuala Lumpur Standard Chartered, yang dijadualkan akan berlangsung pada Ogos ini. Sebagai penaja korporat untuk maraton tersebut, MBM turut akan menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Hospis Malaysia.
“CSR merupakan sebahagian daripada komitmen kami kepada masyarakat Malaysia. Kami mahu menjadi pembantu untuk generasi akan datang, dan sumbangan kepada masyarakat dengan cara yang penuh bermakna. Apabila kami menolong mereka yang memerlukan ia benar-benar akan membuat perubahan kepada dunia. Hari ini menjadi penanda pelancaran kempen yang kami harap akan memberikan harapan baharu dalam kehidupan pelbagai kumpulan yang terlibat,” kata presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner.
Video di bawah memaparkan testimonial daripada ibu bapa yang mengambil bahagian dalam kempen sewaan tempat duduk kereta kanak-kanak semasa musim balik kampung tahun lalu.
Ford kini menawarkan Ford Fusion 2017 dengan pilihan varian Energi plug-in hybrid, yang dikatakan mampu “pergi lebih jauh berbanding yang lain.” Dengan satu isian penuh tangki petrol dan sekali cas bateri penuh, sedan ini mampu untuk bergerak sejauh 982 km (610 batu).
Perubahan yang dilakukan pada unit perisian janakuasa hibrid dan sistem regenerative braking membolehkan Fusion plug-in hybrid baharu ini bergerak lebih jauh dari model 2016 sebelum ini yang mencatatkan perjalanan sejauh 885 km (550 batu) dengan kondisi yang sama. Jarak perjalanan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya boleh dipandu sehingga sekitar 34 km (21 batu). Apabila cas bateri berkurangan, enjin petrol akan dihidupkan dan kereta ini akan berfungsi sama seperti kereta hibrid biasa.
Ford berkata, jarak 610 batu Fusion Energi adalah tiga kali lebih jauh berbanding Tesla Model 3, yang didakwa menawarkan jarak keseluruhan sejauh 346 km (215 batu). Tambah syarikat itu lagi, “Model 3 tidak menggunakan petrol, jadi ia perlu dicas semula sebaik sahaja cas bateri habis.”
“Kereta hibrid plug-in merupakan kereta elektrik sepenuhnya sehingga ia kehabisan bateri, selepas itu ia akan berfungsi seperti kereta hybrid konvensional. Dengan cas bateri penuh dan setangki penuh petrol, Fusion Energi mampu bergerak dari San Diego, melalui Los Angeles dan seterusnya ke San Francisco, dan masih ada lagi baki jarak 110 batu (177 km),” kata Wade Jackson, Pengurus Jualan untuk Ford Fusion.
Ford Fusion Energi merupakan salah satu daripada enam kenderaan elektrik keluaran Ford, yang selain itu turut termasuk Fusion Hybrid, C-Max Hybrid dan Energi, Focus Electric serta Lincoln MKZ Hybrid. Ford berkata, mereka akan menambah 13 lagi kenderaan elektrik dalam barisan model mereka menjelang 2020 dengan pelaburan sejumlah US$4.5 bilion, dan lebih 40% dari barisan model mereka akan dijana dengan elektrik menjelang 2020.
Mercedes-Benz Malaysia telah membuka laman web mikro baru khas bagi tujuan ‘teaser’ untuk Mercedes-Benz E- Class generasi ke-10 yang bakal menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Dijangkakan E-Class W213 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dengan varian tunggal E 200 dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 184 hp/300 Nm, memandangkan generasi sedia ada turut hanya ditawarkan dengan varian sedemikian. Selepas itu, pasaran global akan menerima E300 yang berkuasa 245 hp, dan juga E 400 yang berkuasa 333 hp dengan enjin 3.0 liter turbo V6, tetapi masih lagi belum jelas adakah pasaran Malaysia turut akan menerima varian-varian tersebut.
Diasaskan dari platform Modular Rear Architecture (MRA) yang dikongsi bersama C-Class, E-Class menampilkan rekaan yang lebih menarik serta rekaan dalaman yang menerapkan rekaan dari S-Class. Pelbagai ciri utama yang menarik turut ditampilkan seperti lampu hadapan Multibeam 84-LED, kunci digital yang berfungsi hanya menggunakan telefon pintar sebagai kunci menerusi Near Field Communication (NFC), paparan COMAND baharu serta pad sesentuh pada roda stereng untuk mengawal pelbagai fungsi.
Banyak lagi teknologi yang ditampilkan pada model generasi baharu ini seperti sistem Remote Parking Pilot yang membolehkan kereta tersebut bergerak keluar dan kedalam petak parkir secara automatik (dikawal menggunakan telefon pintar), Bantuan Brek Aktif, Evasive Steering Assist yang mengesan dan membantu kawalan stereng ketika mengelak halangan, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif, Pre-Safe Plus dan pelbagai lagi.
Sistem Pre-Safe pada model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem Impulse side baharu (menggunakan peninggi tempat duduk untuk menolak penumpang menjauhi bahagian sisi yang dilanggar untuk memberikan ruang selamat yang lebih baik) dan sistem Sound (memberikan bunyi prima pada telinga penumpang menggunakan isyarat gangguan pendek sekiranya ia mengesan pelanggaran dengan bunyi dentuman yang kuat akan berlaku). Juga masih belum jelas, adakah ciri-ciri ini akan ditawarkan untuk E-Class pasaran Malaysia.
GALERI: W213 Mercedes-Benz E-Class di Bangkok International Motor Show 2016
Pejabat pembelian Volkswagen ASEAN yang sebelum ini ditempatkan di Kuala Lumpur akan berpindah ke Thailand. lapor Bangkok Post. Pejabat baharu berkenaan akan mula beroperasi Ogos ini di kilang pemasangan Scania yang terletak di Samut Prakan.
Keputusan untuk memindahkan pejabat berkenaan ke Thailand adalah kerana 700 syarikat pembekal komponen VW terletak di negara gajah putih tersebut, berbanding dalam Malaysia yang hanya terdapat sebanyak 200 syarikat, jelas Noshir Desai, Pengurus Besar untuk perolehan pejabat VW rantau ASEAN.
VW menghantar komponen kenderaan bernilai 136 juta euro dari ASEAN ke Wolfsburg tahun lalu, meningkat sebanyak 21%. Separuh dari jumlah keseluruhan tersebut adalah dari Thailand. Perpindahan ini akan membolehkan VW lebih dekat dengan jumlah majoriti vendor mereka dalam rantau ini. VW mempunyai operasi dalam empat negara ASEAN iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Esekutif VW tersebut enggan untuk memberi sebarang perkembangan terkini untuk projek akan datang seperti pembangunan kereta-eko Thai. VW merupakan antara 10 pemohon untuk skim berkenaan, dan lembaga pelaburan negara berkenaan telah pun meluluskannya sebelum skandal “dieselgate” melanda syarikat tersebut tahun lalu.
Kejadian baru-baru ini di mana sebuah ambulan yang laluannya ke tempat kemalangan terhalang berikutan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan laluan kecemasan seterusnya menutup laluan tersebut telah mendorong kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Ini boleh dilakukan menerusi bukti berdasarkan gambar dan video.
Pembantu Pengarah (operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail menyarankan agar pengguna jalan raya mengambil gambar mereka yang menyalahgunakan laluan kecemasan dan menghantarnya kepada JPJ, lapor The Sun. Beliau berkata jumlah mereka yang menyalahgunakan laluan tersebut semakin meningkat, terutamanya ketika waktu puncak.
“Orang ramai boleh melaporkannya ke JPJ, tolong ambil juga gambar kereta mereka sebagai bukti,” kata beliau kepada wartawan. Beliau menyatakan mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan lorong keselamatan ini menyebabkan unit tindakan pantas lambat tiba ke tempat berlakunya kemalangan. Beliau juga menggesa orang ramai untuk membayangkan akibatnya jika ahli keluarga mereka yang lambat menerima bantuan ketika kemalangan sedemikian kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pengguna jalan raya ini.
Sementara itu, tujuh pemilik kenderaan yang menyebabkan laluan kecemasan sepanjang laluan Lebuhraya PLUS Simpang Ampat, Alor Gajah pada 22 Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo. Beliau berkata kenderaan-kenderaan berkenaan jelas menghalang laluan ambulan semasa kejadian kecemasan tersebut berlaku. Mereka akan didakwa di bawah Undang-undang Trafik 1959, yang akan membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara untuk kesalahan kali pertama.
Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan Km228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.