Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LPT2 dipertingkatkan dengan ciri mesra hidupan liar

    LPT2_PTBM

    Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan laluan di bawah jambatan dan terowong kenderaan (VBC) di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan ditambah baik dengan ciri-ciri mesra hidupan liar.

    Menurut Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata cadangan itu dipersetujui bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada 16 Februari lepas, laporan Bernama.

    “Lokasi terlibat sedang dikenal pasti oleh Jabatan Perhilitan Terengganu dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) dalam persidangan Dewan Parlimen hari ini, yang ingin tahu langkah untuk mengelakkan pencerobohan haiwan demi keselamatan pengguna di LPT2.

    Rosnah turut berkata, bagi tempoh 1 Februari 2015 hingga 29 Februari 2016, terdapat 133 kes kemalangan termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar dicatatkan di LPT2 sepanjang 180 kilometer itu.

    Pencerobohan haiwan ternakan dan binatang liar itu dikatakan berpunca daripada pagar rizab lebuh raya yang telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga membuka ruang haiwan tersebut menceroboh masuk.

    Bagi mengatasi masalah tersebut kementerian telah meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang lebuh raya itu terutama di kawasan berisiko tinggi serta membaik pulih segera pagar rizab yang dirosakkan, katanya.

    Rosnah berkata pengedaran risalah kesedaran kepada penternak berhampiran lebuh raya, pemasangan papan tanda amaran dan peringatan kepada pemandu menerusi Papan Tanda Elektronik VMS serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu turut dilaksanakan.

    Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

     
     
  • Ferrari bakal membangunkan model Dino GT baharu?

    CaliforniaT_Ext_05

    Ferrari California T

    Menurut laporan The Motor Report, Dieter Knechtel selaku Pengarah Urusan Ferrari Far East, berkata, “Satu lagi model baharu selepas California akan dibangunkan di dalam segmen GT.” Beliau berkata demikian ketika menghadiri Australia Grand Prix baru-baru ini.

    Ada sumber mengatakan model baharu yang diperkatakan ini adalah kebangkitan semula Ferrari Dino iaitu jentera sport pacuan roda-belakang yang pernah diproduksikan oleh Ferrari dari tahun 1968 hingga 1976.

    Walau bagaimana pun Knechtel enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai model baharu Ferrari yang bakal dibangunkan itu. Namun mengakui model California T telah mencatatkan rekod kejayaan yang besar dan banyak membantu Ferrari bagi menarik pelanggan baharu termasuk mereka yang tidak pernah memiliki mana-mana model Ferrari tetapi ingin membelinya buat pertama kali.

    Screen Shot 2016-03-31 at 3.48.17 PM

    Ferrari Dino 246 GT 1969

    Walau bagaimana pun, model misteri ini dikatakan tiada dalam perancangan Ferrari dalam tempoh lima tahun ini. Namun Pengerusi Ferrari Sergio Marchionne pernah berkata sebelum ini, berkenaan dengan kebangkitan Dino “ia bukan persoalannya mengapa tetapi bila”.

    Ada laporan menyebut, model kebangkitan semula Dino akan dipadankan dengan enjin-pertengahan dengan biturbo V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 500 hp. Terdapat perkhabaran yang mencadangkan agar jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam kurang 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 322 km/j.

    Baca ulasan pandu uji Ferrari California T di sini.

     
     
  • Penarafan baharu lampu kenderaan di US dinilai

    IIHS

    Institut Insurans Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) di Amerika Syarikat, telah melakukan kajian terhadap lampu utama yang melibatkan lebih 30 jenama kereta bersaiz sederhana. Ia bagi menentukan penilaian penarafan baharu bagi lampu kenderaan yang didorong oleh faktor kebanyakan pemandu sukar melihat semasa memandu pada waktu malam dan ia bukan disebabkan oleh penglihatan mereka.

    Menurut kajian tersebut, daripada lebih 30 jenama kenderaan yang terlibat, hanya satu model sahaja yang didapati mendapat penarafan yang baik. Iaitu daripada jumlah keseluruhan tersebut, satu pertiga hanya mendapat penarafan ‘boleh diterima’, satu pertiga lagi ‘antara boleh dan tidak’ dan bakinya adalah ‘sangat lemah’.

    Di mana Toyota Prius V menjadi satu-satunya model yang mendapat penarafan paling baik daripada keseluruhan 30 kenderaan yang diuji. Prius V menggunakan lampu utama LED dan ia berupaya menerangi jalan lurus yang mencukupi untuk melihat pejalan kaki, penunggang basikal atau halangan lain dalam jarak 118 meter di hadapan. Pada jarak tersebut, biasanya kenderaan akan bergerak selaju 112 km/j dan mempunyai masa yang cukup untuk berhenti dari melanggar halangan tersebut.

    Kajian yang sama turut dilakukan terhadap BMW 3 Series namun didapati model ini cuma menerangi jalan sejauh 39 meter. Pada jarak itu, sebuah kenderaan sepatutnya tidak boleh bergerak melebihi 56 km/j untuk masa berhenti yang cukup.

    IIHS_4

    Kajian yang sama turut mendapati model kenderaan mewah tidak semestinya dilengkapi dengan lampu utama yang baik.

    IIHS membuat kajian lampu tinggi ini di trek iaitu dalam keadaan gelap. Peranti khas digunakan untuk mengukur jarak pencahayaan dari lampu rendah hingga lampu tinggi dengan kenderaan dipandu dalam lima keadaan jalan iaitu laluan lurus, laluan selekoh kiri tajam, laluan selekoh kanan tajam, selekoh kiri berbengkang-bengkok dan selekoh kanan berbengkang-bengkok.

    Kesan silau daripada kenderaan yang datang dari arah hadapan turut diukur iaitu dari lampu rendah dengan senario pemanduan yang sama bagi memastikan ia tidak berlebihan.

    Lampu utama yang diuji adalah diterima daripada pihak pengedar. Walaupun lampu utama pada kebanyakan kenderaan boleh dilaraskan, namun IIHS tidak mengubah sasaran lampu tersebut kerana tidak semua pemandu melakukannya dan sesetengah pengeluar kenderaan juga ada menasihati pengguna supaya tidak berbuat demikian.

    Selepas kenderaan terbabit diuji di trek, jurutera IIHS yang terlibat akan membuat perbandingan antara ukuran jarak penglihatan dan kesan silau untuk mengenal pasti sistem lampu utama yang lebih ideal dan menggunakan satu skim demerit bagi menentukan penarafan.

    Keputusan ujian mendapati, lampu rendah lebih berat berbanding lampu tinggi kerana ia sering kali digunakan. Malah laluan lurus juga lebih berat berbanding jalan berselekoh kerana kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada jalan lurus.

    Manakala kenderaan yang dilengkapi dengan bantuan lampu tinggi, biasanya secara automatik akan menukar antara lampu tinggi-rendah mengikut keadaan jalan. Begitu juga dengan kenderaan yang dilengkapi dengan sistem anti-silau dalam apa jua keadaan jalan, tidak menerima sebarang rating dengan jumlah markah melebihi margin.

    Menurut IIHS, tahap pencerahan lampu kenderaan adalah penting kerana ia memberikan impak yang tinggi terhadap pemanduan khususnya pada waktu malam. Malah di negara berkenaan, dianggarkan separuh daripada 32,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu sering berlaku pada waktu fajar, senja mahu pun malam iaitu disebabkan jarak penglihatan yang rendah.

     
     
  • Pemandu teksi mahu SPAD fokus kepada prosiding mahkamah sebelum benar aplikasi Uber dan GrabCar

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Pemandu teksi mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

    “SPAD perlu fokus untuk berhadapan dengan kami di mahkamah dan bukan bercakap berkenaan mengambil langkah untuk mengawal selia Uber,” kata presiden Jawatankuasa Bertindak Pemandu-pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK) Zailani Isa Usuluddin menurut laporan The Sun.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Zailani berkata kumpulan tersebut tidak akan berhenti menjaga hak pemandu teksi, termasuk akan mengadakan lebih perhimpunan jalanan. Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan protes sebelum ini yang diadakan oleh pemandu teksi sepanjang Jalan Bukit Bintang pada selasa lalu.

    “Kami akan menggunakan semua saluran yang ada termasuk menghantar memorandum kepada kerajaan, menggunakan cara yang dibenarkan dan kami perlu turun ke jalan untuk memastikan suara kami kedengaran,” kata beliau.

    Zailani turut menzahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang sebelum ini menggesa SPAD untuk menyegerakan proses mengawal selia Uber, dan mengatakan, “Menteri berkenaan tidak menghormati proses undang-undang sedia ada. Beliau harus berhenti dari membuat kenyataan mengelirukan kerana masalah ini adalah di bawah SPAD.”

    Big-Blue-Taxi-01

    Kumpulan tersebut juga mendakwa yang SPAD terlalu berlembut dengan servis perkongsian kenderaan tersebut dan tidak mempedulikan hak dan kebajikan pemandu teksi. Ini turut termasuk gagal untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyediakan servis berkenaan menggunakan kereta persendirian sebagai teksi.

    Pemilik Big Blue Capital Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar diatas) berkata beliau akan memfailkan semula injunksi untuk menghentikan pemandu Grab dan Uber dari menyediakan servis mereka di Suria KLCC, di mana syarikat terbabit mempunyai hak ekslusif di situ.

     
     
  • Fasa pertama BRT di Iskandar Malaysia dijangka siap menjelang 2020 – fokus kurangkan kesesakan trafik

    transiskandar

    Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk melaksanakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) yang diyakini mampu menyuraikan kesesakan trafik di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia iaitu di negeri Johor.

    Katanya, projek BRT itu diharap dapat dimulakan tahun depan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama projek tersebut dijangka siap menjelang tahun 2020, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun IRDA masih belum memuktamadkan kos pelaksanaan projek kerana memerlukan masa untuk menyediakan kertas cadangan termasuk modul pembiayaan dan reka bentuk kejuruteraan.

    “Setakat ini kami sudah mendapat mandat daripada kerajaan untuk meneruskan usaha dan menyediakan cadangan asas bagi membolehkan kami menawarkan cadangan kepada mana-mana pihak yang mahu melabur untuk membangunkan sistem ini,” katanya.

    Ismail berkata, IRDA setakat ini juga sudah menentukan jajaran laluan dan rangkaian BRT tersebut yang akan meliputi hampir 90 peratus keseluruhan keluasan wilayah Iskandar Malaysia.

    Beliau berkata sistem BRT terbabit akan berasaskan model yang terdapat di beberapa negara di Eropah dan Asia Pasifik termasuk mengkaji sistem BRT di Brisbane, Australia yang dilihat begitu efisien.

    Ismail berkata fasa pertama pembangunan BRT tersebut merupakan tempoh yang paling penting kerana ia melibatkan jajaran utamanya.

    Menurut Ismail, berdasarkan kajian, kos pembangunan BRT itu dijangka antara lima hingga 10 kali ganda lebih rendah daripada sistem projek landasan transit aliran massa (MRT) atau monorel.

    “Pembinaan infrastruktur sistem ini melibatkan pelaburan daripada kerajaan, namun, kami turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama menyertai pelaksanaannya,” katanya.

     
     
  • PSA Peugeot Citroen dilapor akan membina trak pikap

    Peugeot 504 pick-up

    Autocar UK dan Auto Express melaporkan PSA Peugeot Citroen mungkin akan membina trak pikap dalam usaha untuk mengembangkan lagi pasaran mereka.

    Menurut laporan Autocar, syarikat pengeluar kenderaan dari Perancis tersebut dijangka akan mendedahkan pelan pertumbuhan enam-tahun, diberi nama “Push to Pass” pada 5 April akan datang, dengan menjangkakan sebuah trak pikap satu-tan sebagai salah satu strategi.

    Apabila ditanya berkenaan kenderaan sedemikian, CEO Peugeot Maxime Picat berkata, “Kami sentiasa mempertimbangkan pasaran trak pikap sebagai satu peluang, ia sebahagian dari sejarah kami. Kami akan berfikir berkenaannya. Kami akan mengemaskini strategi kumpulan kami pada hari selasa, 5 April, dan kami akan maklumkan kereta mana yang kami sasarkan. Saya akan mendedahkan selanjutnya kemudian.”

    CEO PSA Eropah, Denis Martin turut senada dengan kenyataan Picat. “Mungkin. Anda akan melihatnya. Ia bukan persoalan untuk hari ini, tetapi anda akan lebih mengetahui pada minggu hadapan,” kata beliau.

    2016-Toyota-Hilux-preview

    Toyota Hilux 2016

    Masalah dengan skala ekonomi mungkin akan menyaksikan PSA Peugeot Citroen tidak membangunkan trak pikap berkenaan sendirian, ini bermaksud mereka mungkin akan berkerjasama dengan pihak yang pernah berkoloberasi dengan mereka sebelum sebagai pilihan yang lebih mudah untuk dilaksanakan.

    PSA sebelum ini telah pun membina van Peugeot Boxer dan Citroen Jumper berdasarkan Fiat Ducato, tetapi projek seterusnya mungkin tidak akan berdasarkan trak Fiat kerana pengeluar dari Itali tersebut hanya mempunyai sebuah trak pikap yang dibina sendiri iaitu Fiat Toro, manakala trak pikap Fiat Fullback dengan casis ladder-frame tradisional, dibina berasaskan Mitsubishi Triton.

    Oleh itu, kerjasma yang lebih praktikal untuk PSA mungkin akan dicapai dengan Toyota yang sebelum ini telah membina bersama kereta bandar Peugeot 108 dan Citroen C1 berasaskan Toyota Aygo, dan juga van Peugeot Traveller dan Citroen SpaceTourer berdasarkan Toyota Proace. Jadi ada kemungkinan trak pikap PSA akan dibina berasaskan Toyota Hilux.

    Jika PSA Peugeot Citroen mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Toyota, ia akan menjadi syarikat kedua yang dikhabarkan akan membina trak pikap berdasarkan Toyota Hilux, setelah Mazda mengumumkan sedang membina Mazda BT-50 generasi seterusnya juga berdasarkan Hilux, menamatkan hubungan kerjasama yang lama mereka bersama Ford.

     
     
  • Renault Kaptur diperkenalkan untuk pasaran Rusia – versi Captur lebih panjang, dilengkapi dengan 4WD

    Renault-Kaptur-10-e1459387899734

    Renault Kaptur akhirnya diperkenalkan bagi pasaran Rusia, selepas imej pengenalannya mula disebarkan dua minggu lalu. Nampak seperti memiliki biasan model Captur kan?

    Ditampilkan dengan gril sarang lebah pada bahagian hadapan bersama logo jenamanya, selain padanan lampu nyalaan siang dan lampu belakang dengan efek 3D memberikan sedikit kelainan buat Kaptur ini.

    Kaptur sebenarnya lebih panjang daripada segi ukurannya berbanding dengan model crossover kompak yang lain. Ia memiliki ukuran 4,333 mm panjang, 1,813 mm lebar, 1,613 mm tinggi dengan jarak roda 2,674 mm. Manakala Captur pula hanya 4,122 mm panjang, 1,778 mm lebar, 1,567 mm tinggi dan jarak roda 2,606 mm.

    Malah bagi menawan laluan yang mencabar di Rusia, Kaptur turut dilengkapi dengan sistem pacuan 4WD, tidak seperti Captur yang hanya dipacu roda hadapan. Manakala sudut pendekatan (approach) dan ketibaan (departure) ialah 20 dan 31 darjah, manakala jarak terendah dengan tanah (ground clearance) ialah 204 mm.

    Ia turut dilengkapi dengan suspensi yang lebih keras dan pengunci perbezaan pusat pada transmisi pacuan semua-roda. Namun, agak pelik kenapa Renault belum bersedia untuk mendedahkan penjana kuasanya, walau pun penah mengatakan ia bakal dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan automatik.

    Bahagian dalamnya juga, berkongsi sedikit bentangan rekaan dengan Captur. Ia menampilkan kluster instrumen dengan sistem hiburan bersama skrin sesentuh tujuh-inci. Ruang kargonya pula dikatakan mampu memuatkan kapasiti sehingga 387 liter, dan boleh mencecah 1,200 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem Kawalan Penghidup Enjin Renault, haba panas bagi tempat duduk hadapan dan cermin hadapan. Kaptur disasarkan mula dijual pada musim panas ini dan ia akan diproduksi di kilang Renault di Moscow.

     
     
  • Mazda tidak bercadang untuk membina lebih enjin berkuasa turbo, tumpu pada teknologi SkyActiv-G

    2017-mazda-cx-9-1_BM

    Mazda menampilkan teknologi enjin SkyActiv-G empat-silinder dengan pengecas turbo pada varian CX-9 2.5T SkyActiv-G mereka. Walau bagaimanapun, ia merupakan enjin SkyActiv-G turbo tunggal dalam barisan enjin Mazda kerana pengeluar kereta dari Jepun tersebut tidak berhajat untuk mengembangkan lagi variannya buat masa sekarang.

    Menurut laporan dari Drive, Mazda tidak bercadang untuk meneruskan pembangunan enjin dengan pengecas turbo berkapasiti kecil untuk model-model utamanya bagi tujuan mendapatkan lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan kadar emisi.

    Pengarah pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak memberitahu Drive, “Jika anda mula menggunakan kuasa dari pengecas turbo, anda secara tidak langsung mula menggunakan lebih bahan api. Enjin turbo berkapasiti kecil bukan sebahagian dari lapangan kami.”

    “Memang benar kami telah memberikan kuasa turbo pada enjin 2.5 liter untuk CX-9 terbaharu tetapi kami percaya kami mampu memberikan kereta kompak kami dengan pembeli yang efisien selepas itu tanpa binaan kompleks pengecas turbo,” tambah beliau. Ketua pereka Mazda, Masashi Nakayama, mengesahkan kepada Drive MX-5 tidak akan menerima bantuan pengecas turbo pada masa akan datang, seterusnya menyokong kenyataan dari Doak.

    mazda_cx-9_2015_technical_see_through_with25l_ge_01-850x6381_BM

    Tanpa mengikut trend pengeluar lain yang cenderung pada pengecas turbo, Mazda kini sedang membangunkan enjin SkyActiv-G generasi seterusnya dengan mensasarkan penjimatan bahan api lebih tinggi iaitu sekitar 25-30%. Angka tersebut bakal dicapai dengan nisbah mampatan yang disasarkan melebihi 14:1, melalui homogeneous charge compression ignition (HCCI) iaitu teknologi yang membolehkan campuran bahan api dan udara di dalam kebuk pembakaran terbakar sendiri melalui tekanan yang dihasilkan oleh omboh tanpa melibatkan percikan api dari palam pencucuh, dijangkakan akan memperoleh nisbah mampatan setinggi 18:1.

    Teknologi penjanaan semula tenaga brek i-ELOOP juga akan ditingkat taraf, tetapi Mazda tidak menjelaskan bagaimana teknologi tersebut diangkat ke peringkat seterusnya, sama ada ke arah teknologi hibrid atau kenderaan berkuasa hidrogen. Teknologi hibrid Mazda sebelum ini telah ditampilkan pada model Mazda 3 Hybrid JDM, yang menggunakan teknologi hibrid disadur terus dari Toyota Prius.

    Walaupun Mazda tidak akan membangunkan enjin turbo berkapasiti kecil dalam masa terdekat, pasukan perlumbaan prototaip Mazda kini sedang membina dua kereta lumba yang dikuasakan enjin perlumbaan MZ-2.0T baharu yang mampu menjana 570 hp. Enjin turbo 2.0 liter tersebut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus, manifold ekzos susunan 4-2-1, sistem pelinciran takungan kering dan juga pengecas turbo Garrett tunggal berdiameter 46 mm menghasilkan nisbah mampatan 13.5:1 di dalam kebuk pembakaran.

    Mazda-prototype-racer-2-e1452502693237_BM

    Enjin tersebut dilihat tidak membawa jenama SkyActiv Mazda seperti enjin perlumbaan diesel sebelum ini yang membawa nama teknologi SkyActiv-D. Enjin tersebut mungkin akan membekal data dan langkah pembangunan awal kepada Mazda jika mereka berminat untuk mengikuti trend pembangunan enjin dunia pada masa akan datang.

    Untuk peminat enjin rotari Mazda, anda tidak perlu bimbang kerana Mazda dilihat sedang berusaha ke arah itu. Pengenalan kereta konsep RX-Vision yang dikatakan akan meneruskan legasi kereta sport siri RX berkuasa rotari Mazda di Tokyo Motor Show 2015 telah pun dilengkapi dengan enjin rotari Mazda generasi baharu membawa nama Mazda SkyActiv-R.

     
     
  • Perlu segera memperbaiki perkhidmatan untuk bersaing dengan Grabcar, Uber – Tengku Adnan

    Malaysia-Taxi-03

    Menerima banyak aduan daripada rakyat dan pelancong mengenai perkhidmatan tidak berkualiti pengusaha dan pemandu teksi, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyarankan agar mereka memperbaiki perkhidmatan masing-masing untuk bersaing dengan Grabcar dan Uber.

    Aduan terbabit biasanya membabitkan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi termasuk tidak menggunakan meter, suka memilih laluan sendiri dan tidak menjaga kebersihan, laporan Bernama.

    “Atas faktor-faktor inilah sebabnya orang menggunakan perkhidmatan alternatif iaitu Uber dan Grabcar,” katanya.

    Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

    Tengku Adnan turut berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa terhadap pemandu teksi kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

     
     
  • 1,290 kenderaan klon bernilai lebih RM40 juta disita di seluruh negara sejak Januari 2015 – KP JPJ

    Cloned-cars-1

    Sebanyak 1,290 kenderaan klon bernilai lebih RM40 juta telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi di seluruh negara sejak Januari tahun lepas.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad, kebanyakan kereta yang disita adalah kereta mewah antaranya Mini Cooper, Lexus, BMW, Mercedes Benz dan Mazda yang diseludup dari Singapura, laporan Bernama.

    “Kebanyakan kenderaan terbabit dirampas di Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadi tumpuan sindiket penyeludupan kereta klon.

    “Kenderaan terlibat dijual dengan harga antara RM30,000 hingga RM40,000 sebuah. Modus operandi sindiket-sindiket kereta klon ialah dengan menjual kenderaan secara tunai selepas mencapai persetujuan dengan pembeli perseorangan melalui iklan dalam talian,” ujarnya.

    Katanya lagi, institusi pembiayaan atau bank tidak akan meluluskan pembelian kereta klon. Jadi, apabila ditawarkan kereta mewah pada harga murah secara tunai, berhati-hatilah kerana kemungkinan besar ia kereta klon dan anda bakal menjadi mangsa.

    “JPJ akan terus melakukan operasi membanteras sindiket kereta klon ini. Dan kami tidak akan kompromi dengan mereka yang terlibat. Bagi pemilik kenderaan klon yang menyerahkan kereta klon masing-masing kepada JPJ atau SPRM, hukuman ringan mungkin akan dipertimbangkan,” sambung Ismail lagi.

    Katanya memiliki kenderaan klon adalah salah di sisi undang-undang negara selain risiko menggunakannya amat tinggi kerana tidak dilindungi insurans.

     
     
  • Lotus sedang membina enjin untuk Proton Iriz Hybrid?

    Lotus-Proton-Iriz-RHEV-engine_BM

    Klik untuk besarkan

    Berdasarkan statistik produksi enjin yang diterbitkan oleh Marklines, portal informasi industri automotif yang bertapak di Jepun, Lotus nampaknya sedang membina sebuah enjin petrol baharu 1.2 liter SOHC tiga-silinder. Lebih menarik lagi, 514 unit enjin tersebut dikatakan telah dibina pada tahun 2015 dan dipasangkan pada Proton Iriz yang kami jangkakan ia bertujuan untuk kegunaan ujian dalaman.

    Jadual di atas yang ditunjukkan kepada kami oleh pembaca, Aero, secara spesifik menunjukkan enjin 1.2 jenis “RHEV” – berkemungkinan dibina berdasarkan barisan enjin baharu Proton yang diumumkan sebelum ini – telah dibina di pangkalan Lotus yang terletak di Hethel, UK. Kami tidak dapat pastikan terma RHEV tersebut merujuk kepada apa, tetapi ia mungkin berdasarkan sistem pemanjangan jarak (REx).

    Sistem pemanjangan jarak secara amnya boleh dikatakan berfungsi sebagai penjana on-board. Ia kebiasaannya digunakan oleh kereta elektrik sepenuhnya untuk membantu mengecas semula bateri kereta tersebut. Seperti yang terdapat pada BMW i3, sistem REx yang dibekalkan secara pilihan dan tidak memacu terus kepada roda.

    Walau bagimanapun, ini mengingatkan kami pada kereta konsep Proton Emas yang dipamerkan pada Geneva Motor Show 2010. Kereta tersebut dilengkapi dengan enjin petrol 1.2 liter tiga-silinder Lotus Range Extender, dan menampilkan motor elektrik tunggal yang mampu menjana 100 hp pada tahap tertinggi dan 60 hp kuasa berterusan.


    Proton Iriz (kiri) dan Proton Emas Concept

    Ia juga turut dilengkapi dengan bateri 11.5 kWh polimer-litium yang berupaya melepaskan kuasa lebih dari 100 kW. Lotus menyatakan bateri tersebut boleh dicas melalui punca elektrik domestik AC 220 hingga 240 volt. Masa mengecas belum lagi diumumkan.

    Unit pemanjang jarak pada kereta konsep Emas, iaitu enjin 1.2 liter tiga-silinder, dikatakan boleh dioptimakan melalui dua poin janaan kuasa, membekalkan kuasa elektrik 15 kW pada 1,500 rpm dan 53 kW pada 3,500 rpm. Kuasa tersebut dihantar kepada bateri melalui penjana elektrik bersepadu.

    Pengalaman Proton dalam pembinaan enjin pemanjang jarak bukan perkara baharu. Pada tahun 2010, Paultan.org telah diberi peluang untuk memandu kereta konsep Proton Exora REEV. MPV elektrik tersebut dilengkapi dengan enjin pemanjang jarak rotari berkapasiti 400 cc, berupaya menjana 50 hp.

    Bukan menjadi satu rahsia yang Proton sedang membangunkan beberapa model berdasarkan Iriz hatchback. Salah satu daripadanya telah dikhabarkan untuk diproduksi sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya pertama negara. Adakah Proton Iriz Hybrid bakal dibina dengan konsep EV dibantu enjin petrol penambah jarak untuk pasaran tempatan? Hanya masa yang akan menentukan.

     
     
  • Servis Pemeriksaan Bergerak Premier Puspakom sasar 60,000 unit kenderaan untuk diperiksa tahun ini

    Puspakom Mobile Inspection Unit -01

    Puspakom menjangkakan sekurang-kurangnya 60,000 unit kenderaan akan menggunakan servis Pemeriksaan Bergerak Premier mereka tahun ini, lapor The Star. Syarikat berkenaan mengatakan servis yang disediakan menerusi unit pemeriksaan bergerak mereka itu telah berkembang dengan stabil sejak 2013.

    Menurut ketua bahagian operasi servis premier Puspakom, Mohd Zuha Mohd Yusof, syarikat pemeriksaan kenderaan berkomputer tersebut mempunyai enam buah treler yang sarat dengan kelengkapan untuk kerja-kerja memeriksa kenderaan di seluruh negara buat masa sekarang.

    “Ia menawarkan servis yang sama seperti di pusat-pusat pemeriksaan Puspakom lain. Bezanya ialah melalui servis ini, kami boleh pergi ke tempat pelanggan terutamanya bagi mereka yang mempunyai kenderaan komersial yang banyak,” jelasnya. Malah Mohd Zuha menambah lagi, servis ini agak popular di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

    puspakom-1

    Unit bergerak ini berupaya untuk membawa kesemua peralatan yang diperlukan untuk memeriksa kenderaan seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, kecuali untuk pemeriksaan awalan. Ia terdiri dari pemeriksaan rutin, khas, penukaran hak milik kenderaan dan juga pemeriksaan secara sukarela – termasuk pemeriksaan pengesahan nombor casis dan enjin, bahagian atas kenderaan, bahagian bawah kenderaan, sistem brek dan juga suspensi.

    Kadar yuran dan caj untuk setiap pemeriksaan adalah berbeza, bergantung pada jenis pemeriksaan yang dilakukan dan jenis kenderaan tersebut. Puspakom turut menyatakan proses pemeriksaan tersebut adalah cepat dan mudah serta keputusan pemeriksaan akan diumumkan segera kepada pelanggan sebaik sahaja selesai diperiksa.

     
     
  • Proton R3 perkenal Program Perlumbaan Pelanggan

    proton-r3-crp-015_BM

    Proton telah mengumumkan divisi perlumbaannya iaitu Proton R3 kini menawarkan Program Perlumbaan Pelanggan (CRP) untuk perlumbaan litar mahupun rali bagi mana-mana pihak yang berminat. Pasukan atau individu kini mempunyai akses terus ke R3 untuk menyewa jentera yang telah terbukti berjaya dalam kedua-dua disiplin perlumbaan.

    Program CRP ini dikatakan sangat fleksibel, dengan program yang boleh direka sesuai dengan setiap permintaan. Opsyen boleh dipilih bermula dari hanya menyewa enjin perlumbaan sehinggalah menyewa sebuah jentera perlumbaan lengkap dari R3.

    Selain dari kelengkapan, pemandu sokongan dan juga kru sokongan penuh juga disediakan, berdasarkan keperluan dan bajet yang ada oleh pelanggan. Khidmat yang disedikan oleh CRP termasuklah sokongan logistik, sokongan penyediaan jentera dan juga akses untuk data telemetri serta memberikan khidmat pakar perlumbaan sama ada jurutera atau juruteknik.

    Khidmat dari pasukan R3 yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perlumbaan, ditawarkan untuk mereka yang ingin bertanding dalam perlumbaan seperti Sepang 1000KM, Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), dan juga Kejuaraan Rali Malaysia (MRC). Selain dari kereta rali Satria Neo yang telah merangkul pelbagai kejuaraan, kereta-kereta binaan R3 lain yang juga telah berjaya dalam Kejuaraan Touring Car Malaysia turut boleh digunakan menerusi program CRP ini.

    Jentera Suprima S MTC yang diperkenalkan pada awal 2014, dilengkapi dengan enjin NA empat silinder 1.6 liter Campro IAFM berkuasa 155 hp dan tork maksima 185 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear ‘dog-box‘ lima-kelajuan dengan nisbah rapat. Badan kereta ini juga telah dibangunkan semula dengan binaan kerangka yang lebih ringan dan diperkuat menerusi pemadanan roll cage enam poin.

    Jentera Iriz R3 MTC turut ditampilkan, dilengkapi dengan enjin CFE 1.6 liter yang diolah semula tanpa bantuan pengecas turbo. Enjin yang mampu menjana 190 hp tersebut dipadankan dengan kotak gear ‘dog-box‘ lima kelajuan. Ubahsuai lain yang dilakukan termasuklah roll cage enam-poin, roda stereng Sparco, set pedal binaan Tonnka, tempat duduk perlumbaan Recaro Pole Position, angkup brek perlumbaan Alcon serta set suspensi perlumbaan boleh laras dari Ohlins.

     
     
  • Menteri Pengangkutan menggesa SPAD segerakan undang-undang kawal selia aplikasi Uber dan GrabCar

    uber-x-car_BM

    Kerajaan menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menyegerakan proses untuk mengawal servis perkongsian kenderaan berdasarkan aplikasi seperti Uber dan GrabCar. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah berkenaan adalah perlu dan berharap suruhanjaya tersebut boleh mempercepatkan proses tersebut, lapor The Star.

    Liow berkata, pemandu Uber perlu mendapatkan lesen kenderaan komersial, dan kereta mereka perlu melalui pemeriksaan mandatori oleh Puspakom. Laporan sebelum ini juga menyebut terma baharu tersebut memerlukan mereka membeli insuran komersil, sama seperti pemandu teksi biasa.

    Isnin lalu, SPAD mengumumkan mereka telah membuat keputusan untuk tidak mengharamkan Uber dan GrabCar, tetapi ia perlu dikawal selia untuk memastikan ia tidak menjejaskan industri teksi sedia ada. Semalam, bantahan terhadap dua aplikasi tersebut dilakukan oleh pemandu-pemandu teksi sekitar Kuala Lumpur sehingga menutup laluan ke Bukit Bintang sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Taxi drivers protest jalan bukit bintang 4

    Sementara itu, SPAD menyatakan usaha untuk menyediakan undang-undang mengawal selia aplikasi perkongsian kenderaan ini sedang dibuat, tetapi proses tersebut akan memakan sedikit masa. Suruhanjaya tersebut juga sedar masalah dan isu yang dihadapi oleh industri teksi, dan sebab itu mereka sedang mencari jalan untuk memperbaiki pendapatan dan kebajikan mereka.

    Pakar industri yang tidak mahu nama mereka disiarkan memberitahu The Star adalah penting untuk membenarkan pemandu menggunakan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut, setelah ia lengkap nanti, ia akan memberikan opsyen kepada pengguna untuk memilih servis pilihan mereka. Tambahnya lagi, pemandu teksi perlu sedar yang mereka perlu memperbaiki servis mereka dan fokus pada aspek itu dan bukan menganjurkan demonstrasi yang tidak memberi faedah kepada sesiapa.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA250 Sport 4Matic kini di Malaysia

    Mercedes-Benz-CLA250-Sport-4Matic-Malaysia-001_BM

    Mercedes-Benz CLA250 Sport 4Matic kini telah memasuki pasaran Malaysia dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM268,888. Varian ini berada diatas CLA 200 tanpa pakej AMG Line yang dijual pada harga RM233,888.

    Dengan harga RM35k lebih mahal, tentulah perbezaan antara dua model berkenaan bukan sekadar rupa dan aksesori-aksesori kecil. Berbanding CLA 200 yang hanya menggunakan enjin petrol 1.6 liter turbo berkuasa 156 hp/250 Nm, CLA 250 dikuasakan dengan enjin sama seperti yang terdapat di dalam perut A 250 Sport iaitu enjin petrol 2.0 liter turbo, berupaya menjana kuasa maksima 211 hp dan tork maksima 350 Nm. Dengan lencana 4Matic dilekatkan pada bahagian belakang kereta ini, sudah tentu kesemua kuasa dari enjin tadi memacu kesemua roda kereta ini menerusi kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar 7G-DCT dan sistem pacuan empat roda 4Matic Mercedes-Benz.

    Padanan kesemua sistem janakuasa dan cengkaman dari sistem pacuan empat roda tadi membolehkan CLA 250 Sport memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.6 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j, berbanding CLA 200 yang memerlukan 8.5 saat untuk memecut dari 0-100 km/j dan hanya mampu mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Dapat disaksikan di dalam gambar, pakej penuh AMG Line didatangkan secara standard untuk CLA 250 Sport. Ia terdiri daripada kit badan penuh yang di serlahkan dengan kemasan berwarna merah, gril hadapan kemasan krom, roda aloi lima-jejari AMG bersaiz 18-inci yang seiras dengan roda aloi A 250 Sport, dan brek cakera ‘cross-drilled‘ disertakan dengan angkup brek berwarna merah di bahagian hadapan.

    Tanpa ‘Night Package’ dinyatakan disini, CLA 250 dilengkapi dengan trim krom di sekeliling tingkap berbandiang CLA 200 yang tidak dilengkapi ciri tersebut. Dapat disaksikan juga cermin sisi diwarnakan dengan warna badan berbanding hanya warna hitam pada model spesifikasi lebih rendah. Ia juga dipasang dengan lampu hadapan bi-xenon lengkap dengan sistem lampu pintar dimana lampu tinggi dikawal secara automatik oleh komputer.

    Kemasan merah pada setiap liang penghawa dingin, dan sulaman benang pada roda stereng, tempat duduk, dan tali keldar diserlahkan daripada kemasan keseluruhan berwarna hitam seiras dengan kabin A 250 Sport. Kombinasi balutan kulit dan gentian mikro Dinamica juga ditawarkan menerusi pakej AMG Line/Sport, bersama roda stereng sport dan pedal aloi.


    Klik untuk besarkan

    Ciri-ciri lain boleh dikatakan agak sama dengan CLA 200. Sistem Audio 20 dengan skrin lapan-inci adalah standard, bersama Bluetooth, sistem penghawa dingin manual serta fungsi auto start/stop. Sistem lampu hadapan dan penggilap automatik, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori dan juga bantuan parkir automatik juga dilengkapkan. Sistem kunci pintar masih lagi tiada seperti sebelum ini.

    Anda boleh menilai dan membuat perbandingan sendiri melalui perincian di Carbase.my untuk setiap varian di dalam barisan model CLA.

    GALERI: Mercedes-Benz CLA 200

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025