Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI : Mazda CX-3 – bila imej diutamakan

    Mazda-CX-3-2.0L-review-2

    Tidak dinafikan pasaran bagi SUV crossover kian mendapat tempat di pasaran tempatan. Apatah lagi selepas kehadiran Honda HR-V yang sehingga kini mendominasi pasaran dalam segmennya sejak ia diperkenalkan pada Februari 2015. Malah pembeli di Malaysia kian tercari-cari model SUV yang seumpamanya, sebagai memenuhi citarasa dan kehendak masa kini.

    Kehadiran Mazda CX-3 dilihat sebagai pesaing terdekat HR-V. Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada awal Disember lalu, model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (pemasangan di kilang Mazda yang terletak di Hiroshima) hadir dengan satu varian iaitu CX-3 2.0 SkyActiv-G 2WD. Ia dijual pada harga atas jalan RM131,218 (tanpa insurans) iaitu RM13,285 lebih mahal berbanding HR-V 1.8L V iaitu RM117,933.

    Tidak dinafikan harganya agak mahal kerana ia adalah model CBU. Namun Bermaz berkata mereka mempunyai perancangan untuk memasang CX-3 ini di kilang tempatan bagi unit CKD, jadi harganya pasti akan menjadi lebih murah, mungkin lebih kurang sama dengan HR-V.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-7

    Jika bercerita tentang imej yang dipertaruhkan, ya pastinya CX-3 ini mempunyai kelebihan. Apatah lagi bila ia hadir dengan warna badan Soul Red Metallic, cukup seksi dan penuh menguja. Tetapi jika anda rasakan warna ini kurang sesuai dengan citarasa anda, Mazda turut menampilkan warna lain iaitu Crystal White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Deep Crystal Blue.

    Seperti model baharu Mazda yang lain, CX-3 turut menerapkan rekaan Kodo pada keseluruhan wajahnya. Memerhatikan bahagian hadapannya, ia ditampilkan dengan gril yang sedikit lebar dengan bingkai krom di sekeliling, yang bersambung pada lampu utamanya. Manakala lampu utamanya pula kelihatan lebih langsing dengan padanan LED, berbanding dengan reflektor halogen. Malah ia juga didatangkan dengan fungsi automatik on/off, sistem pencahayaan hadapan adaptif yang membantu memberikan lebih pencahayaan sewaktu kenderaan melalui selekoh, larasan automatik dan lampu nyalaan siang LED.

    Di bawah lampu utama, lampu kabus LED dan indikator isyarat juga ditempatkan, dan kemudian di bahagian bawahnya kelihatan kekemasan kepingan hitam berkilat menambahkan lagi gayanya. Pengaruh Kodo juga jelas kelihatan menerusi garisan badan dari hud bahagian hadapan sehinggalah ke atas gerbang roda, merintangi kedua-dua cermin sisi (dengan indikator) dan bahagian bawah badan.

    Ia turut memberikan kesan yang lebih sporty apatah lagi dengan padanan gerbang hitam pekat serta penampilan rim aloi lima-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 215/50R18 Toyo Proxes R40. Malah kekemasan kepingan hitam pekat bersama sentuhan perak yang ditempatkan pada ambang pintu bersambung dari hadapan ke belakang turut menyerlahkan lagi gayanya.

    Bukan itu sahaja, jika dilihat pada sisi, anda akan perasan yang CX-3 ini umpama ditampilkan dengan rekaan ‘bumbung terapung’, dengan tiang-C yang mencipta ilusi tersendiri. Suatu rekaan yang wajar dipuji. Malah anda juga boleh perasan tingkap sisi yang lebih kecil tetapi tidak begitu menonjol.

    Bagi dimensinya, SUV ini berukuran 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,579 mm. Berbanding HR-V yang memiliki ukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm webar 1,605 mm tinggi, dengan jarak roda 2,610 mm. Sekali gus menjadikan CX-3 lebih kecil berbanding model pesaingnya itu.

    Melewati bahagian belakang, lampu belakang dengan LED turut menjadi pilihan, malah ia berbentuk lebih langsing berbanding Mazda 2. Malah terdapat butang kecil di bahagian belakang untuk memudahkan ruang kargo dibuka serta turut ditempatkan kamera undur. Bukan itu sahaja, terdapat lampu kabus/reflektor dan dua corong ekzos krom.

    Secara keseluruhan, gaya yang ditampilkan oleh CX-3 ini cukup rugged dan ranggi, kelibatnya pasti mudah menangkap pandangan mata. Tetapi jika memasuki ruang kabinnya, anda boleh rasakan ia seperti Mazda 2. Tidak seperti HR-V yang menggunakan platform yang sama dengan Jazz, ruang kabin CX-3 lebih kecil seperti Mazda 2.

    Dengan saiz kokpit yang tidak begitu besar, ia turut membantu memudahkan lagi pemandu untuk mencapai segala butang kawalan. Namun jika anda bertubuh sederhana mahu pun kecil, memang cukup sesuai untuk menduduki kabin CX-3 ini. Malah ruang kepalanya juga terasa sedikit luas berbanding Mazda 2, hasil penambahan tinggi iaitu 1,535 mm berbanding Mazda 2 yang hanya 1,495 mm (sedan)/1,470 mm (hatchback). Tetapi jika anda seorang yang tinggi lampai atau bertubuh besar, mungkin ia sedikit kurang selesa atau pun saiz anda sekadar ‘ngam-ngam ho’ untuk berada di dalam perut CX-3 sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang.

    Bentangan dalaman CX-3 juga lebih kurang sama dengan Mazda 2, daripada segi posisi butang kawalan hingga ke corong penghawa dingin, roda stereng, kluster instrumen, elemen gentian karbon tiruan dan juga tempat duduk.

    Apabila duduk di tempat duduk pemandu, terasa badan mudah serasi dan selesa dengannya, hasil pemilihan material upholstery bersama balutan kulit lembut, berbanding kulit-fabrik pada Mazda 2. Begitu juga jika duduk di tempat duduk penumpang. Keselesaannya jelas terasa.

    Malah material kulit lembut juga menjadi pilihan bagi kekemasan bahagian pemegang pintu, seakan sama dengan Mazda 6. Bukan itu sahaja, roda stereng (dengan pedal penukar gear) juga didatangkan dengan butang kawalan baharu termasuk fungsi kawalan kelajuan. Selain itu, elemen lain yang dipertingkatkan termasuklah lampu dan bilah pengilap cermin automatik. Sementara itu, bagi unit hiburan, ia menampilkan skrin sesentuh MZD Connect yang sama seperti Mazda 2, bersama sistem penghawa dingin zon tunggal automatik tiga-dail.

    Malah bahagian konsol tengah yang menjadi perumah bagi Commander Dial yang disambungkan pada sistem MZD kelihatan kemas dan tersusun. Ruang storan di dalam kabin juga agak terhad dan hanya ada satu tempat sahaja untuk anda meletakkan SmartTag, kad akses, kunci dan telefon bimbit, tidak seperti HR-V yang memiliki lebih banyak ruang penyimpanan barang. Sebagai alternatif, anda boleh mengeluarkan tempat pemegang cawan di bahagian konsol tengah untuk menyimpan barang-barang sedemikian dan letakkan botol air anda di tempat pemegang botol di sisi pintu.

    Malah di bahagian atas juga ada tempat penyimpan kaca mata dan juga butang kawalan bagi bumbung matahari yang dilihat sebagai penambah gaya pada CX-3 ini walau pun ia bukanlah suatu keperluan memandangkan cuaca panas di Malaysia pasti tidak tertahan jika bumbung matahari dibiarkan terbuka. Walau pun menjadikan ia lebih bergaya berbanding HR-V.

    Bagi ruang kargo pula, ia hanya berkapasiti 350 liter, berbanding 437 liter pada HR-V. Walau bagaimana pun, jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya, ruang tersebut mampu memberikan kapasiti sehingga 1,260 liter berbanding HR-V yang hanya 1,032 liter. Tetapi kalau bab ini, mungkin HR-V memberikan lebih keistimewaan kerana tempat duduknya boleh dikonfigurasi secara lebih banyak dan dengan adanya Magic Seat yang lebih praktikal.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-76

    Di bawah hudnya, bentangan enjin petrol 2.0 liter SkyAvtic-G dengan output sehingga 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm. Ia juga menampilkan suntikan terus dan sistem melahu Mazda i-Stop bagi memberikan lebih penjimatan. Sebagai perbandingan, HR-V pula hanya dengan enjin petrol 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 hp dan 178 Nm.

    Enjin SkyActiv-G ini juga dipadankan dengan kotak geak SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik, yang menyalurkan kuasa terus ke roda hadapan. Menerusi pemilihan pemanduan, kotak gear juga boleh disambungkan dengan mod Sport yang membolehkan gear melahu dalam masa yang sedikit lama. Sebagai alternatif, anda boleh mengawal gear dengan mod manual dengan menggunakan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

    Bagi aspek keselamatan,CX-3 dilengkapi dengan kawalan kestabilan elektronik DSC, kawalan cengkaman, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek sebagai standand. Malah crossover ini juga menerima jumlah beg udara yang sama seperti HR-V varian V iaitu enam unit, bersama bantuan mula mendaki dan isyarat berhenti kecemasan. Namun model CBU yang dibawa masuk ke sini tidak dilengkapi dengan pakej i-Activ-Sense (Sistem Brek Bandar Pintar, Paparan Pandang Belakang, Amaran Penukaran Lorong dan lain-lain), jika ada, mungkin harganya akan menjadi lebih tinggi.

    Segala mengenai spesifikasinya jelas sudah terjawab bukan? Jadi sudah pasti anda ingin mengetahui soal pemanduan dan pengendaliannya. Tidak sukar untuk mengendalikan CX-3 ini kerana tubuhnya yang kecil namun mampu menghasilkan prestasi yang memberangsangkan. Sesuai dengan tagline bagi kempen baharunya, “Be a Driver”, CX-3 ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

    Mazda-CX-3-2.0L-review-28

    Walau bagaimana pun, jika bercerita tentang pemanduan yang dinamik, CX-3 masih mampu memberikan keselesaan. Malah enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang dipadankan juga adalah sama dengan abangnya iaitu CX-5. Tetapi dengan output CX-5 yang berbeza lebih 1 hp dan kurang 4 Nm berbanding CX-3.Tetapi disebabkan CX-3 bertubuh lebih kecil, enjin ini mampu melonjakkan lebih prestasi kerana bebanan beratnya tidak seperti abangnya. Malah kuasa yang disalurkan terasa lebih lancar.

    Manakala kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan juga boleh dikatakan responsif terutamanya pemanduan di bandar yang sering kali mengundang kesesakan trafik. Tetapi jika berada dalam gear yang rendah, terasa sedikit perlahan untuk mendorong pacuan, tetapi ia dikatakan memberikan nisbah penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Jadi jika inginkan pacuan yang lebih pantas, lonjakan gear dari rendah ke tinggi boleh menggunakan mod Sport. Ia mampu memberikan lonjakan gear yang lebih pantas, dalam masa yang sama merangsang pedal pendikit untuk memuntahkan hamburan kuasa dari enjin dengan lebih pantas.

    Pedal penukar gear dilihat sebagai satu fungsi yang cukup berguna sekiranya gear auto dirasakan agak lambat untuk bertindak terutamanya jika dalam gear rendah. Jadi, pedal penukar gear mampu membantu melonjakkan gear mengikut kemahuan anda untuk memacu jentera bergerak lebih padu. Sebagai contoh, jika anda baru lepas bayar tol, tentu sahaja kenderaan mula bergerak dalam gear rendah, tetapi anda mahukan kelajuan yang lebih maksimum selepas palang tol diangkat. Jadi di sini tugas pedal penukar gear ditagih, anda juga perlu mengawal sendiri penukaran gear sambil menekan sepenuhnya pedal pendikit untuk mendapatkan kelajuan yang diingini.

    Selain itu, sistem suspensi bagi CX-3 ini juga wajar dipuji. Terutamanya ketika melalui selekoh, topang MacPherson (hadapan) dan palang torsion (belakang) bekerjasama erat bagi memberikan lebih kestabilan, malah ia juga meminimakan olengan badan sekali gus membantu pengawalan roda stereng yang lebih jitu. Namun jika melalui permukaan jalan yang agak kasar, kenderaan akan mudah terasa sedikit understeer terutamanya jika dalam kelajuan tinggi. Walau bagaimana pun, ia masih mudah untuk dikawal.

    Tetapi elakkan memandu dalam kelajuan tinggi jika melalui selekoh iaitu antara 60 km/j atau lebih. Walau pun sistem suspensinya bagus, ia tidak memberikan jaminan sepenuhnya untuk pemanduan yang selamat. Jadi usah bersikap ‘kamikaze’ dengan melenjan kenderaan selaju yang mungkin ketika melalui selekoh. Tidak kiralah apa jua kenderaan yang anda pandu.

    Ketika melalui permukaan jalan yang berlopak atau pun yang bertampal, hentakannya masih boleh dirasai terutamanya dalam kelajuan yang tinggi. Walau pun suspensinya terasa stabil, namun hentakannya tidak begitu menyerap dengan baik. Walau bagaimana pun, CX-3 sebenarnya memiliki kesan hentakan yang lebih baik, berbanding model pesaingnya yang lain termasuk HR-V biar pun memiliki sistem suspensi yang sama.

    Bagi penggunaan setiap hari, CX-3 dilihat dilengkapi dengan elemen yang lebih menarik. Ini termasuklah lampu utama LED yang mampu memberikan kesan iluminasi yang lebih bagus dan juga membantu sudut pencahayaan yang lebih tepat terutamanya ketika melalui kawasan berselekoh pada waktu malam.

    Namun, CX-3 tidak dilengkapi dengan fungsi penahan brek automatik, di mana gear perlu diletakkan dalam posisi N, dan brek tangan ditarik terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat. Malah cermin pandang belakang anti-silau juga tidak disertakan, membuatkan pemanduan waktu malam agak kurang selesa.

    Bagi penggunaan bahan apinya, setelah beberapa hari memandu ujinya, keputusan akhirnya menunjukkan penggunaan sekitar tujuh liter bagi setiap 100 km bagi pemanduan kombinasi di bandar dan lebuhraya. Namun jika memandunya hanya di lebuhraya, pastinya penjimatan bahan api lagi boleh diperoleh, itu pun jika anda berhemah menggunakan pedal pendikit. Tidak memecut memanjang atau meminimakan penggunaan brek. Apa pun kalau bab penggunaan bahan api ini, ia juga tertakluk pada cara pemanduan anda.

    Secara konlusi, Mazda CX-3 merupakan crossover yang menarik untuk dimiliki. Terutamanya bagi golongan muda atau yang memiliki keluarga kecil. Di samping memiliki rekaan imej yang menawan, penjana kuasa yang mengagumkan serta pemanduan dinamik yang boleh diharapkan, satu sahaja alasan yang mungkin membuatkan anda harus berfikir banyak kali untuk mendapatkannya iaitu soal harganya yang lebih tinggi berbanding kebanyakannya pesaingnya.

    Walau bagaimana pun, pembeli model Mazda sering kali tidak ‘meletakkan soal harga’ sebagai keutamaan (lihat saja jumlah Mazda 2 di jalan raya sekarang). Juga bukan soal “kekangan ruang”, seperti mana pendapat sesetengah pihak. Bagi mereka, apa yang penting ialah beberapa perkara termasuk pemanduan, imej, material dan praktikalitinya.

    Mungkin bagi pembeli baharu, itu semua terpulang pada penilaian dan bajet anda. Sama ada mahu memilih CX-3 atau HR-V, kerana kedua-dua model ini memiliki keistimewaan yang tersendiri, termasuk elemen yang dipertaruhkan.

    Jadi, jika anda mencari sebuah model crossover yang mempunyai penampilan luaran dan dalaman yang menarik, CX-3 wajar dijadikan pilihan. Tetapi jika anda mahukan harga yang lebih berpatutan, praktikal, imej yang juga menawan, HR-V adalah jawapannya. Apa pun keputusan terletak di tangan anda.

     
     
  • Sistem brek kecemasan automatik bakal dijadikan ciri standard di Amerika Syarikat menjelang tahun 2022

    volvo-city-safety_BM

    Kita di Malaysia mungkin menganggap ia sesuatu yang ‘fancy‘, tetapi dengan kebanyakkan pengeluar kereta di pasaran Amerika yang kini mampu untuk membina sistem brek kecemasan automatik (AEB), sistem berkenaan bakal dijadikan sebagai ciri standard di sana pada masa akan datang.

    Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika dan Institut Insuran Keselamatan Lebuhraya (IIHS) Amerika mengumumkan 20 pengeluar di Amerika telah bersetuju untuk menjadikan sistem AEB sebagai ciri standard pada semua kenderaan baharu menjelang September 2022.

    Senarai pengeluar kenderaan tersebut merangkumi lebih dari 99% pasaran Amerika termasuk, Audi, BMW, Fiat-Chyrsler, Ford, General Motors, Honda, Hyundai, Jaguar Land Rover, Kia, Maserati, Mazda, Mercedes-Benz, Mitsubishi, Nissan, Porsche, Subaru, Tesla, Toyota, Volkswagen, dan Volvo.

    Intipati yang mewajibkan sistem AEB ini dipasang pada semua kenderaan adalah untuk mengelakkan pelanggaran menggunakan sistem tersebut yang akan membrek kereta secara automatik untuk pemandu apabila diperlukan. Menggunakan penderia pada kenderaan, sistem AEB boleh mengesan kemalangan yang bakal berlaku, seterusnya memberi amaran kepada pemandu. Jika pemandu tidak dapat bertindak dalam masa yang cepat, sistem ini akan mengambil alih tugas itu dengan memberhentikan sendiri kereta tersebut

    “Ini merupakan masa yang menarik dalam teknologi keselamatan kenderaan. Dengan langkah proaktif menjadikan sistem brek kecemasan sebagai standard pada kenderaan mereka, kesemua 20 pengeluar ini akan membantu untuk mengelakkan beribu kemalangan dan menyelamatkan nyawa,” kata Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Anthony Foxx.

    NHTSA berkata komitmen oleh 20 pengeluar untuk menjadikan sistem AEB sebagai ciri standard pada kereta baharu mempercepatkan proses tersebut tiga tahun lebih awal berbanding apa yang mungkin dicapai melalui undang-undang formal. Pada masa tersebut, IIHS menjangkakan sistem baharu ini akan mengelakkan lebih daripada 28,000 kemalangan dan 12,000 kecederaan.

     
     
  • Triumph Street Twin 2016 di Malaysia – RM55,900

    2016-Triumph-Street-Twin-2

    Triumph Street Twin 2016, sebahagian daripada barisan terbaharu Bonneville, telah pun berada di Malaysia dan sedang dipamerkan di bilik pameran Fast Bikes, Petaling Jaya.

    Ia merupakan model pertama bagi tahun ini yang didatangkan dengan enjin berkembar penyejuk-air baharu yang juga digunakan bagi Triumph Bonneville T120 dan Thruxton R, Street Twin ini lebih menjurus ke arah rekaan retro untuk bersaing dengan Ducati Scrambler dan Harley-Davidson Iron 883.

    Didatangkan dengan enjin baharu menggunakan penyejuk-cecair bagi memenuhi peraturan emisi, Street Twin ini dipadankan dengan enjin 900 cc parallel-twin dengan EFI yang mampu menberikan kuasa sehingga 54 hp dan tork 80 Nm pada 5,900 rpm.

    Malah Street Twin 2016 ini juga mempunyai lebih tork berbanding model sebelumnya, iaitu lebih 18%, sehingga dari 65.6 Nm. Malah ia memiliki 22% lebih kuasa kuda antara 2,750 dan 4,750 rpm.

    Dengan casis yang direka semula, Street Twin 2016 ini juga dilihat lebih rendah, dengan tempat duduk hanya setinggi 750 mm, berbanding 775 mm pada Harley-Davidson Iron 883. Walau pun imejnya nampak lebih old school, Street Twin ini juga didatangkan dengan ride-by-wire, kawalan cengkaman dan ABS sebagai standard.

    2016-Triumph-Street-Twin-12

    Terdapat lima warna pilihan iaitu Jet Black, Phantom Black, Matte Black, perak dan merah dengan cast wheels dan lampu belakang LED. Soket pengecas USB dan immobiliser juga ditampilkan.

    Terdapat lebih 150 aksesori berlainan dari Triumph untuk Street Twin 2016 ini, dengan tiga kit penggayaan iaitu Urban, Scrambler dan Brat Tracker.

    Di Malaysia, Street Twin dijual pada harga RM55,900 termasuk GST, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Selain itu, Fast Bikes turut mengesahkan model Bonneville T120, T120 Black dan Thruxton R dijangka akan tiba di bilik pameran tidak lama lagi.

     
     
  • SPYSHOT: Audi TT RS Roadster diuji di Nurburgring

    Audi-TT-RS-Roadster-Spy-03_BM

    Musim ujian di litar Nurburgring, Jerman, sudah pun bermula. Salah satu jentera yang dilihat diuji di litar ‘The Green Hell‘ ini ialah Audi TT RS Roadster. Seperti juga model Mk2 sebelum ini, TT terbaharu turut menampilkan varian Coupe dan Roadster.

    Mk3 TT RS masih lagi belum dilancarkan, tetapi coupe berwarna merah ini dilihat sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Sepanyol minggu lalu. Berbanding dengan TTS, yang juga varian Mk3 paling berkuasa dalam pasaran sekarang, TT RS dilengkapi dengan bampar hadapan yang lebih agresif di mana liang kemasukan udaranya direka dengan lebih besar. Bahagian dagu bampar tersebut diwarnakan dengan warna perak serta tertera dekal ‘quattro’ di bahagian bawah gril.

    2016-Audi-TT-RS-spyshot-Spain-e1458020858118_BM

    Gril hadapan varian RS ini turut berbeza dari TTS di mana RS menampilkan motif corak sarang lebah berwarna hitam manakala TTS direka dengan motif corak peti telur. Gambar di Sepanyol tersebut juga memperlihatkan dengan jelas roda aloi bercorak turbin RS coupe ini. Roadster yang kelihatan diuji di litar Nurburgring pula dilihat dilengkapi dengan roda aloi berjejari, kemungkinan set roda tersebut bukanlah yang akan dipadankan pada hari pelancarannya nanti. Turut kelihatan ialah dua tip ekzosnya yang bersaiz agak besar.

    TTS yang sudah pun berada dalam pasaran kini berkuasa 310 hp/380 Nm. Seperti juga pada generasi terdahulu, RS akan mempunyai kuasa tertinggi dalam barisan model TT. TT RS ini mungkin akan dikuasakan dengan enjin turbo 2.5 liter lima-silinder dari RS3 Sportback (367 PS/465 Nm), 2.0 liter turbo dari VW Golf R 400 Concept yang pernah diprebiu sebelum ini, atau enjin 2.0 TFSI TT sedia ada yang diolah semula untuk mengekstrak lebih kuasa. Pilihan sistem transmisi pula mungkin dibarisi oleh kotak gear manual (berdasarkan imej spyshot terdahulu) atau kotak gear klac berkembar S-Tronic, kesemuanya dipadankan dengan sistem pacuan semua-roda quattro.

     
     
  • Toyota 86 facelift 2017 dipertingkatkan enjin dan pengendalian – 205 hp, 214 Nm dan ada HAC

    2017-Toyota-86-Facelift-6-e1458210666655

    Toyota 86 kini kembali dengan model facelift versi 2017 dan ia bakal melakukan penampilan perdana di New York International Auto Show 2016 tidak lama lagi. Mengalami peningkatan yang lebih besar, termasuk perubahan bagi bahagian luaran dan dalaman, termasuk enjin dan suspensi yang juga dipertingkatkan.

    Pada bahagian hadapannya, ia ditampilkan dengan gaya yang lebih agresif termasuk padanan grafik lampu utama baharu dan bampar yang dibentuk semula. Malah logo 86 juga kini terletak di dapra hadapan (bukan lagi di sisi corong) dan juga memiliki lampu utama LED baharu. Bampar belakangnya juga lebih bersudut, manakala padanan lampu belakang LED dan roda rekaan baharu turut menyerlahkan lagi gayanya.

    Walau bagaimana pun, bahagian kabinnya hanya menerima perubahan yang terhad. Hanya roda stereng baharu bersama kawalan audio, material “Grandlux” sentuhan lembut pada keliling panel instrumen dan panel pintu bersama jahitan kontras berwarna perak pada tempat duduk.

    Selain itu, beberapa elemen menarik lain turut ditampilkan, tetapi masih tidak didedah menerusi foto yang disebarkan ini. Toyota 86 2017 dikatakan menjanjikan “prestasi yang lebih mantap dan kawalan yang dipertingkatkan” menerusi olahan semula sistem pegas dan peredam, sementara versi manual (yang dipertingkatkan nisbahnya) pula menerima lebih kuasa dan tork.

    Kini output yang ditawarkan ialah 205 hp dan 214 Nm, berbanding 86 masa kini yang hanya 200 hp dan 205 Nm. Malah Bantuan Mula Mendaki (HAC) turut ditampilkan sebagai antara elemen baharu.

    Di Amerika Syarikat, model baharu ini akan menggantikan Scion FR-S yang telah direhatkan pengeluarannya. Sementara model Scion iM dan iA pula akan dijenamakan semula menjadi Toyota Corolla iM dan Yaris iA di negara tersebut.

     
     
  • AWAS dijangka bakal diimplementasi Mei ini

    AES_Camera

    Pertengahan Februari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit Kejara kini lebih dikenali dengan nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

    Hari ini pula, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mengesahkan AWAS dijangka akan dilaksanakan mulai Mei ini, laporan Bernama.

    Beliau berkata pindaan bagi Akta Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan penggabungan sistem itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.

    “Kita akan laksanakan dalam waktu yang terdekat setelah kita pinda Akta Pengangkutan Jalan yang akan kita bentangkan bulan depan di Parlimen. Kita jangka dalam bulan April dan mudah-mudahan dapat dilaksanakan menjelang Mei,” katanya.

    Beliau berkata berikutan pelaksanaan sistem itu, kementeriannya mencadangkan agar kadar saman AES dikurangkan namun ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

    Ab Aziz berkata pemasangan kamera AES akan ditambah secara berperingkat di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan termasuk di lebuh raya dan jalan persekutuan serta lampu isyarat.

    Melalui AWAS, pemandu yang melakukan kesalahan sehingga mengumpul 60 mata demerit di bawah Kejara akan dikenakan tindakan pembatalan lesen memandu.

    08 Drive_All-New NP300 Navara

    “Sistem demerit ini akan bermula bila pemandu kumpul 20 mata demerit pertama, dia akan diberikan amaran, 20 mata demerit seterusnya akan digantung lesen manakala 20 mata demerit ketiga akan dibatalkan lesen memandu.

    “Sebagai contoh empat mata demerit akan diberikan kepada pemandu yang melanggar had laju, empat mata juga kepada pesalah yang gagal patuhi lampu isyarat dan empat mata seterusnya diberikan kepada pemandu yang memotong di garisan kembar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) berhubung penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu.

    Ab Aziz berkata sistem AWAS juga akan menawarkan program rehabilitasi kepada pemandu yang telah digantung lesen mereka yang akan dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan.

    “Sekiranya pemandu yang digantung lesen hadir program rehabilitasi itu, tempoh penggantungan lesen mereka akan dikurangkan kepada antara tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.

    Beliau berkata pelaksanaan sistem AWAS juga akan merakam gambar pemandu dan kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya dari sudut belakang supaya ia lebih memberi kesan termasuk kepada kenderaan jenis motosikal.

    Ab Aziz turut berkata analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan purata pematuhan had laju di enam lokasi pemasangan kamera AES meningkat daripada 63% kepada 91% selepas lapan bulan pelaksanaan sistem itu.

    Katanya kadar kemalangan maut bagi tempoh sama juga menurun daripada 19 kes kepada 12 kes di 14 lokasi pemasangan kamera AES di seluruh negara.

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2017 akan diproduksi di Thailand – adakah ia bakal diperkenalkan di Malaysia?

    71517_Civic_Hatchback_Prototype-e1456816458771

    Menurut Car Advice, Civic sedan serba baharu akan tiba di Australia sebelum pertengahan tahun ini, diikuti dengan versi hatchback awal 2017. Apa yang lebih menarik lagi ialah kedua-dua model telah sah akan diproduksi di Thailand, atas dasar Perjanjian Perdagangan Bebas Australia bersama negara berkenaan.

    Walau pun kita masih belum melihat Honda Civic Hatchback generasi ke-10 dalam bentuk produksi, namun berita ini sedikit sebanyak memberikan kemungkinan bahawa Civic hatch ini bakal tiba di Malaysia. Di Australia, Civic Hatchback sedia ada diproduksi dari United Kingdom.

    Baru-baru ini Honda Malaysia telah mengumumkan bakal memperkenalkan dua model CKD (pemasangan tempatan) baharu untuk dipasarkan pada tahun ini iaitu Civic serba baharu dan Accord facelift. Ini memungkinkan Civic hatch juga akan termasuk dalam senarai model segmen-C yang akan dipasang di sini pada masa akan datang, seperti mana Mazda 3 hatchback yang kini berada di pasaran tempatan (juga model CKD).

    Bagi versi Australia, Civic generasi ke-10 ini juga menggunakan penjana kuasa yang sama seperti Thailand, iaitu 1.8 liter i-VTEC empat-silinder. Selain itu, ia juga didatangkan dengan enjin yang lebih menarik iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder. Kedua-dua enjin itu akan dipadankan dengan CVT bagi pasaran Thai, tetapi tidak dipastikan adakah Australia juga menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai opsyen.

    GALERI: Honda Civic Hatchback Prototaip

    GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback 2017



    GALERI: Honda Civic Hatchback Prototaip

     
     
  • Hyundai perkenal Limosin Genesis EQ900L di Korea

    Genesis-EQ900L-1_BM

    Hyundai telah memperkenalkan limosin Genesis EQ900L untuk pasaran domestik Korea Selatan. Huruf ‘L’ pada namanya diberikan sempena status limosinnya menampilkan badan EQ900 yang lebih panjang.

    Genesis EQ900 atau dikenali sebagai Genesis G90 di Amerika merupakan sedan mewah Korea Selatan yang bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class, BMW 7 Series dan Audi A8. Ukuran asal EQ900 yang mempunyai panjang 5,205 mm, 1,915 mm lebar dan jarak roda sepanjang 3,160 mm, telah di ‘tarik’ sepanjang 290 mm pada bahagian tiang-B dan pintu belakang untuk menghasilkan model EQ900L ini. Ini memberikan ruang yang sangat luas dibahagian belakang, bagi memastikan keselesaan untuk para ‘Bos’ duduk di bahagian tersebut.

    Genesis-EQ900L-3_BM

    Dengan panjang keseluruhan 5,495 mm, EQ900L adalah lebih panjang dari X222 Mercedes-Maybach. Jika diukur pada jarak rodanya pula, ia kini berukuran 3,459 mm, 85 mm lebih panjang dari Maybach yang diasaskan dari Mercedes S-Class tersebut.

    Genesis versi EQ900 sudahpun disediakan opsyen konsol tengah yang panjang memenuhi bahagian belakang. Menerusi versi EQ900L ini, ia didatangkan standard menempatkan dua buah tempat duduk individu dibelakang larasan berkuasa empat hala, dan boleh diset semula ke kedudukan asal dengan hanya satu butang, persis tempat duduk kapal terbang kelas business.

    Genesis-EQ900L-2_BM

    Kluster yang besar menempatkan pelbagai suis kawalan sistem infotaimen diletakkan diantara tempat duduk tersebut, untuk mengawal skrin yang diletakkan pada tempat duduk hadapan. Tiang-B yang dipanjangkan menempatkan lampu ‘mood’, poket peta dan juga liang penghawa dingin (turut dilengkapi dibelakang perehat tangan hadapan). Keseluruhan bahagian dalaman limosin ini menampilkan kemasan tema kayu gelap dan dibaluti kulit hitam semi aniline, memberikan suasana kelas business sebenar.

    Berbeza dengan EQ900 yang boleh dipilih dengan tiga opsyen enjin iaitu 3.8 liter GDi V6 (315 PS), 3.3 liter T-GDi V6 (370 PS) dan 5.0 liter GDi V8, EQ900L hanya disediakan dengan enjin V8 berkuasa 425 PS dan kesemua kuasa tersebut dialirkan ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda. Ia juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan cermin sisi bersalut krom.

    Genesis EQ900L dijual pada harga 150.2 juta won (RM522,859), berbanding EQ900 V8 standard yang dijual pada harga 114.9 juta won (RM400,079).

    GALERI: Hyundai Genesis EQ900 spesifikasi Korea

     
     
  • Kia Cerato Sport dikesan diuji di lebuhraya Korea

    Kia-Forte-Sport-spyshots-01

    Blog Korea Ubinine berjaya merakamkan foto kereta dengan penyamaran, kemungkinan Cerato (atau Forte bagi sesetengah pasaran) Sport sedang diuji di lebuhraya. Walau pun ia dilitupi penyamaran, namun terdapat beberapa elemen yang agak kelihatan serupa dengan Forte standard.

    Pada bahagian hadapannya, bamparnya kelihatan diberi rekaan semula, sementara pemisahnya diletakkan di bahagian bawah. Manakala pada bahagian belakang, bamparnya juga direka semula, sementara paip dua-ekzos dengan krom serta set lampu belakang pula agak mirip dengan Kia Cadenza K7 sedan.

    Kia-Forte-Sport-spyshots-02

    Sementara itu, logo “T-GDI” kelihatan di sebelah kiri bahagian hadapan gril, memberikan klue tentang penjana kuasa yang bakal ditampilkan pada Cerato Sport ini. Ia adalah enjin 1.6 liter pengecas turbo, iaitu unit yang sama dipadankan dengan Forte Koup generasi kedua dan Forte5 hatchback spesifikasi USA.

    Kuasa yang boleh dihamburkan adalah sekitar 201 hp dan tork sehingga 264 Nm. Bagi transmisi, kemungkinan besar automatik dual-klac tujuh-kelajuan, dan manual enam-kelajuan sebagai opsyen.

    GALERI: Kia Forte 2017 dan Forte5 hatchback spesifikasi USA

     
     
  • Waze versi 4.3 untuk pengguna iOS kini boleh dimuat turun, tampil ciri Planned Drive bantu jadual perjalanan

    Waze-Planned-Drives_All-iOS-Screens_BM

    Berita baik untuk pengguna iOS, Waze telah mengumumkan perisian navigasi tersebut kini boleh diperolehi dalam versi 4.3. Boleh dimuat turun menerusi App Store, kini perisian tersebut dilengkapi dengan ciri baharu iaitu Planned Drives.

    Menurut Waze sendiri, “Planned Drives akan memudahkan perancangan temu janji atau perjalan penting, sama ada pada hari ini atau minggu hadapan.” Waze kini membolehkan anda untuk membuat perancangan awal perjalanan dengan hanya menulis destinasi yang diingini beserta tarikh dan masa yang perlu anda sampai ke destinasi terbabit.

    Kemudian, Waze akan memberikan anda masa yang sesuai untuk anda berangkat ke acara yang telah ditetapkan tersebut. Tambahan lagi, aplikasi ini akan memberikan peringatan sebelum masa berangkat yang telah ditetapkan berdasarkan keadaan trafik sebenar. Ini bakal menyenangkan anda untuk menguruskan perjalanan dan masa serta mengelak dari kesesakan trafik.

    Planned Drive juga menawarkan graf yang menunjukkan waktu kemuncak trafik untuk tujuh hari berikutnya. Ini sudah tentunya bakal memudahkan anda dalam membuat perancangan perjalanan, di mana aplikasi ini turut berkemampuan untuk mengira masa berangkat yang disarankan.

    Untuk pengguna Android, anda perlu menunggu sehingga aplikasi ini disediakan melalui Play Store. Setakat ini, hanya Waze versi 4.0 disediakan untuk pengguna Android.

     
     
  • Harley-Davidson Iron 883 dan Forty-Eight Dark Customs 2016 di Malaysia – RM89k dan RM106k

    2016-Harley-Davidson-Iron-883-and-Forty-Eight-24

    Harley-Davidson Iron 883 dan Forty-Eight Dark Customs 2016 telah pun berada di bilik pameran Harley-Davidson Petaling Jaya. Dengan rekaan grafik pada tangki minyak yang menggambarkan ciri klasik era 70an, kedua-dua model motosikal ini disasarkan pada generasi muda yang baru hendak berjinak-jinak merasai pengalaman menunggang Harley.

    Dengan rekaan yang nampak macam kasar, agresif dan penuh maskulin, Iron 883 dipadankan oleh enjin 883 cc Evolution penyejuk-udara, yang dibangunkan dari enjin Shovelhead dan Ironhead yang menjanakan model Harley-Davidson Sportsters sejak tahun 80an.

    2016-Harley-Davidson-Iron-883-and-Forty-Eight-7

    Pengendaliannya juga telah dipertingkatkan dengan forks (atau dikenali sebagai ‘sepit udang’) bersama katrij peredam dan penyerap hentak belakang Emulsion.yang boleh dilaras untuk pra-tekanan. ABS adalah opsyen bagi Iron 883, dan motosikal ini didatangkan dengan empat skim warna iaitu Charcoal Satin, Black Denim, Olive Gold dan Hard Candy Custom Gold Flake .

    Harga bagi Harley-Davidson Iron 883 2016 ini adalah RM89,000 termasuk GST dan lima tahun waranti, bersama 2 setengah tahun servis percuma dan satu tahun bantuan Harley-Davidson Owners Group.

    2016-Harley-Davidson-Iron-883-and-Forty-Eight-5

    Dengan imej yang sasa, Forty-Eight kelihatan sedikit menakutkan, termasuk dengan tayar hadapan selebar 130 mm. Dengan enjin Evolution 1,200 cc bersama tangki minyak 7.9 liter, menjadikan motosikal ini agak berkuasa.

    Menggunakan kepala aluminium dan silinder yang mendorong pengurangan beratnya, enjin Evolution ini dijanakan oleh EFI. Sama seperti Iron 883, Forty-Eight ini turut menggunakan forks bersama katrij peredam dan penyerap hentak belakang Emulsion. ABS juga ditawarkan sebagai opsyen dan kluster instrumennya kini termasuk takometer digital dan indikator gear.

    Motorsikal ini ditawarkan dengan pilihan warna Vivid Black, Billet Silver, Velocity Red Sunglo dan Olive Gold. Malah Forty-Eight 2016 juga menawarkan dua warna kustom iaitu Hard Candy Cancun Blue Flake dan Hard Candy Gold Flake. Harga yang ditawarkan ialah RM106,000 termasuk GST dan lima tahun waranti, bersama 2 setengah tahun servis percuma dan satu tahun bantuan Harley-Davidson Owners Group.

    GALERI: Harley-Davidson Iron 883 Dark Custom 2016

    GALERI: Harley-Davidson Forty-Eight Dark Custom 2016

     
     
  • VIDEO: Teaser Mercedes-Benz GLC Coupe sebelum muncul di New York International Auto Show 2016

    Imej ‘teaser‘ biasanya disiarkan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan untuk memberitahu kepada umum berkenaan model yang mereka bakal lancarkan dalam masa yang terdekat. Keluar dari kebiasaan, Mercedes-Benz tampil berbeza dengan menyiarkan teaser dalam bentuk video untuk Mercedes GLC Coupe yang bakal dilancarkan 23 Mac hadapan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016.

    GLC versi Coupe ini menampilkan bumbung bahagian belakang yang lebih curam sesuai dengan profil ‘Coupe‘ yang diberi. Video terbabit memaparkan pesaing kepada BMW X4 ini dipandu secara agresif dan melakukan pelbagai aksi menunjukkan ketangkasan dan dinamik pengendaliannya. Bunyi enjin yang garang turut kedengaran, mungkin satu petunjuk dari Mercedes yang GLC Coupe bakal dikeluarkan dalam varian AMG.

    Rupa luaran pada GLC Coupe ini nampaknya tidak lari jauh dari rupa yang pernah di prebiu dalam bentuk konsep di Shanghai Motor Show dan beberapa foto spyshot yang tersebar. Mungkin untuk versi produksi akhir nanti beberapa ubahsuai kecil akan dilakukan.

    Mercedes-Benz-GLC-Coupe-teaser-e1458184340175_BM

    GLC Coupe yang dipaparkan dalam video ini masih lagi disaluti penyamaran pada bahagian hadapan dan belakang. Namun, berdasarkan spyshot crossover ini, penyamaran tersebut tidak banyak menyembunyikan rupa sebenarnya.

    Kebanyakkan elemen rekaan GLC Coupe ini adalah seiras dengan ‘abang besar’ nya iaitu GLE Coupe, di mana GLE Coupe tersebut merupakan versi “Coupe” model GLE. Juga berdasarkan spyshot sebelum ini, spoiler belakang, cermin belakang dengan bentuk melengkung, kedua-dua lampu belakang yang berhubung dengan trim jalur dan posisi lencana adalah seiras dengan GLE Coupe.

    Unit janakuasa akan diumumkan oleh Mercedes-Benz semasa penampilan sulung crossover ini minggu hadapan. Tetapi boleh dijangkakan, ia bakal dikuasakan dengan unit petrol dan diesel yang sama seperti GLC sedia ada.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz GLC Coupe


    GALERI: Mercedes-Benz GLC

    GALERI: Mercedes-Benz GLE Coupe

     
     
  • Scion tC Release Series 10.0 – produksi terakhir Scion, tampil kelengkapan TRD, kit badan rekaan Kei Miura

    Scion-tC-Release-Series-01_BM

    Scion – jenama di bawah naungan Toyota yang memfokuskan penghasilan kereta untuk anak muda, secara rasminya sudah pun ditutup atas sebab berdepan dengan krisis jualan yang merudum. Namun, untuk mengenang kembali penubuhan Scion 14 tahun dahulu, Scion akan melancarkan coupe Scion tC Release Series 10.0 di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 – tempat yang sama jenama Scion ini dilancarkan.

    Scion tC Release Series merupakan model paling popular dalam barisan model mereka. Release Series 10.0 ini dibina dengan kerjasama Kei Miura – pereka kit badan yang popular dengan rekaan ‘Rocket Bunny‘. Coupe tC RS 10.0 berwarna merah Barcelona ini menampilkan kit badan rekaan khas Kei Miura yang terdiri daripada lips spoiler hadapan, panel sisi serta spoiler belakang atas dan bawah. Logo Scion berwarna hitam dan aloi berkilat yang kontras dengan warna badan dipadankan untuk efek yang lebih jelas.

    Scion-tC-Release-Series-02_BM

    Kereta ini tampil lebih rendah setelah dipadankan dengan spring TRD yang bukan sahaja menampakkan ia lebih cantik, malah membantu dalam merendahkan pusat graviti kereta bagi mendapatkan turn-in yang lebih cepat dan respon stereng yang lebih bagus. Ia juga dipadankan dengan dua tip ekzos TRD untuk mendapatkan bunyi yang lebih dalam dan lebih resonan.

    Tema merah-hitam turut dominan pada bahagian kabin menampilkan trim hitam bersulam benang merah pada balutan tempat duduk, penutup brek tangan, dan juga roda stereng. Turut ditampilkan kelengkapan perincian khas Release Series yang merangkumi karpet lantai, pelapik ruang kargo, tali keledar merah dan juga lencana dengan nombor produksi khas Release Series.

    Coupe tC ini dikuasakan dengan enjin empat-silinder 2.5 liter Dual VVT-i 2AR-FE yang mampu menghasilkan kuasa 179 hp dan tork maksima 233 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik dengan sistem Dynamic Rev Management yang akan meninggikan seketika kelajuan enjin ketika gear diturunkan. Untuk varian automatik juga ia dibekalkan dengan penukar gear. Memandangkan jenama Scion ini telah ditutup dan diserapkan terus di bawah jenama Toyota, tC RS 10.0 bakal dijual oleh pengedar Toyota dan hanya dihasilkan sebanyak 1,200 unit sahaja.

    Scion-tC-Release-Series-04_BM

    “Untuk peminat yang mahu menyimpan sebahagian daripada sejarah ini, ini merupakan peluang terhebat untuk memiliki tC terbaik yang pernah kami hasilkan. Dengan peralatan prestasi TRD, kit aero JDM dan warna badan merah-hitam yang menarik, ini merupakan penghargaan yang sesuai untuk misi Scion membina kereta bagi golongan pengguna muda,” kata Naib Presiden Scion Andrew Gilleland.

    “Kami mempunyai ramai peminat yang kesal melihat Scion dialihkan ke Toyota. Tetapi ini merupakan langkah yang betul, dan kami tahu semangat Scion akan terus hidup, jadi kami mengundur diri dengan bergaya,” tambah beliau.

     
     
  • Renault sebar imej pengenalan dan video Kaptur 4×4

    Renault-Kaptur-Teaser

    Renault Rusia telah menyebarkan imej pengenalan dan video model Kaptur 4×4 crossover, yang dirancang bakal diperkenalkan pada 30 Mac 2016. Namun menjadi tandatanya mengapa model yang diproduksi di kilang Renault di Moscow memiliki nama yang seakan sama dengan Captur?

    Menurut laporan, keputusan untuk menggunakan nama ‘Kaptur’ adalah selepas Renault melakukan kaji selidik di kalangan pelanggan Rusia, mendapati huruf ‘K’ memiliki ‘sentuhan Rusia’ dan cukup sesuai bagi model baharu ini.

    Menerusi imej pengenalan yang disebarkan ini, menampakkan lampu utamanya dengan lampu posisi berbentuk-C. Selain itu, garisan luaran hud yang lebih maskulan dengan roda berpaten-bunga dan logo Renault pada bahagian gril.

    Melalui penampilannya, Kaptur bukanlah model Captur yang diberikan nama lain, sebaliknya ia merupakan crossover yang sangat berbeza. Malah Kaptur juga dikatakan menggunakan platform Renault Duster.

    Malah foto spyshot di bawah ini menunjukkan model SUV prototaip Renault tetapi ia agak menampakkan Kaptur. Walau pun sebelum ini, ia hanya digambarkan sebagai Captur yang lebih besar atau pun ‘Grand Captur’.

    Menerusi nama yang dicadangkan itu, Kaptur merupakan kenderaan pacuan semua-roda, sementara Captur pula pacuan roda-hadapan. Walau bagaimana pun, Renault Rusia masih tidak mendedahkan perincian mengenai mekanikal Kaptur. Selain enjin petro pengecas turbo TCe 90 dan TCe 120, mungkin enjin diesel dCi 90 antara pilihan, dengan kotak gear manual dan transmisi dua-klac EDC.

    SPYSHOT: Renault “Grand” Captur

     
     
  • Chevrolet Camaro ZL1 baharu – enjin LT4 6.2L supercharged V8, 640 hp, 868 Nm, auto 10-kelajuan

    2017 Chevrolet Camaro ZL1

    Chevrolet telah pun memperkenalkan Camaro ZL1 yang ditampilkan dengan enjin LT4 6.2 liter supercharged V8 berbanding penjana kuasa LT1 6.2 liter V8 pada SS. Malah bahagian luaran dan dalamannya juga telah banyak dipertingkatkan menjadi lebih mantap dan bergaya.

    Enjin V8 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 640 hp dan tork 868 Nm. Malah ia juga dikatakan akan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau kotak gear automatik baharu 10-kelajuan bersama nisbah keseluruhan 7.39. Bukan itu sahaja, ZL1 ini juga merupakan barisan produk pertama yang dipadankan dengan transmisi ini.

    Malah beratnya juga telah dikurangkan sebanyak 90 kg berbanding model sebelum ini. Sementara itu, bahagian luaran ZL1 ini juga telah menjalani ujian terowong-angin lebih 100 jam dan pengesahan dalam ujian trek bagi meningkatkan aerodinamik dan penyejukannya. Bahagian gril atas dan bawah juga boleh dibuka bagi aliran udara yang lebih baik, sementara hudnya pula didatangkan dengan gentian karbon pada bahagian dalam dan pengekstrak haba pada enjin.

    2017 Chevrolet Camaro ZL1

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pemisah hadapan yang lebih besar, dapra hadapan yang lebih lebar, spoiler belakang seperti sayap. Bukan itu sahaja, elemen-elemen terbabit juga telah ditala dengan lebih baik bagi mempertingkatkan ciri aerodinamik untuk lebih kestabilan pada kelajuan yang tinggi. Ia juga memberikan pengendalian yang lebih baik, malah turut menampilkan suspensi magnetik bagi tujuan tersebut.

    ZL1 turut menerima padanan rim aluminium 20-inci yang dibaluti tayar Goodyear Eagle F1 Supercar bersaiz 285/30ZR20 di hadapan dan 305/30ZR20 untuk belakang. Malah untuk kuasa membrek yang lebih jitu, ia turut dipadankan dengan brek Brembo bersama kaliper hadapan mono block enam-omboh (dengan logo ZL1) dan dua keping rotor hadapan bersaiz 399 mm.

    Di bahagian dalamnya pula, ZL1 dilengkapi dengan tempat duduk hadapan Recaro, roda stereng yang leper di bawah dan tombol gear yang dibaluti kulit lembut. Elemen lain yang ada termasuklah Perakam Data Prestasi Chevrolet, Pemilih Mod Pemanduan, dan ekzos dua-mod.

    Bagi menambahkan pengendalian yang lebih mencabar, ZL1 turut didatangkan dengan sistem ekzos dan kemasukan yang digabungkan dengan pengurusan cengkaman prestasi dan perbezaan slip terhad elektronik. Camaro Zl1 ini bakal berada di pasaran dunia sebelum 2016 menutup tirai.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025