Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bas alami masalah brek rempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Batu Pahat

    Bas alami masalah brek rempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Batu Pahat

    Sebuah bas milik Kolej Vokasional Batu Pahat telah merempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang, Batu Pahat, pagi tadi. Difahamkan bas berkenaan mengalami masalah brek, lalu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat.

    Kemalangan itu juga menyebabkan sebahagian besar kenderaan termasuk kereta mewah Mercedes Benz mengalami kerosakan teruk, laporan Berita Harian.

    Pemandu bas yang enggan dikenali berkata, dia sudah habis menekan brek bas sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit. Malangnya, disebabkan brek bas mengalami kerosakan, kenderaan dipandu lelaki berusia 50-an itu meluncur dan merempuh beberapa kenderaan lain.

    “Bas ini sudah berusia 26 tahun, ada kalanya dihantar untuk selenggara. Sebelum ini, bas ini kerap alami kerosakan walaupun diselenggara,” katanya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 10.30 pagi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah bas dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek. Bas itu melanggar 11 kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun kemalangan itu hanya membabitkan kerosakan semua kenderaan dan kecederaan ringan.

    “Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.” katanya.

     
     
  • Michelin Malaysia perkenal tiga tayar motosikal baharu; Michelin Power 6, Power GP 2, Anakee Road

    Michelin Malaysia perkenal tiga tayar motosikal baharu; Michelin Power 6, Power GP 2, Anakee Road

    Michelin Malaysia hari ini melancarkan tiga siri tayar baharu untuk kegunaan motosikal pada pasaran tempatan, iaitu Michelin Power 6, Michelin Power GP 2, dan Michelin Anakee Road. Ketiga-tiga siri tayar ini direka khas untuk kegunaan tertentu dan untuk spesifikasi motosikal tertentu, namun yang pasti kesemuanya memfokuskan aspek prestasi sebagai antara kerekter utama.

    Bagi Michelin Power 6, ia adalah tayar prestasi yang direka untuk kegunaan harian di atas jalan raya “dengan keterujaan tunggangan ibarat di atas litar lumba”, dakwa Michelin dan menambah tayar ini memberikan “cengkaman optimum dalam keadaan basah dan kering, pengendalian serba sporty, serta kelincahan yang diilhamkan oleh kepakaran Michelin dalam sukan permotoran”

    Michelin menyatakan bahawa Power 6 ini sesuai digunakan untuk motosikal 300cc ke atas, disediakan dalam pelbagai saiz, tetapi hanya untuk rim 17. Ia dijual pada harga bermula RM1,020 hingga RM2,000 setiap set.

    Beralih ke Michelin GP2, jenama itu menyatakan bahawa tayar ini pada asalnya dicipta untuk kegunaan litar lumba, namun kini ia diperakui untuk digunakan di jalan raya. Tayar ini sesuai digunakan untuk motosikal super sport, termasuk jentera 600cc ke atas dan ia “menawarkan daya cengkaman yang cemerlang di atas permukaan basah dan juga kering, satu anjakan yang besar dalam aspek pengendalian bagi kondisi jalan raya Malaysia,” dakwa Michelin.

    Michelin GP2 ini juga hanya tersedia untuk rim 17-inci dalam pelbagai saiz, dijual pada harga bermula RM1,300 hingga RM1,700 setiap set.

    Manakala yang terakhir iaitu Michelin Anakee Road merupakan tayar yang direka untuk motosikal denai (trail motorcycle) dengan corak bunga berunsur kembara, di mana 90% kemampuannya adalah bagi kegunaan jalan raya dan 10% untuk permukaan off-road.

    Tayar Michelin Anakee Road ini ditawarkan untuk rim 17, 18 dan 19-inci dalam pelbagai saiz, dijual pada harga bermula RM1,300 hingga RM1,700 setiap set.

    “Kami berasa teruja untuk mendemonstrasikan dedikasi Michelin untuk mengadaptasi mengikut keperluan pengguna yang kian berubah, melalui perluasan barisan produk motosikal kami yang serba inovatif. Menerusi semangat inovasi yang menunjangi pendekatan strategik Michelin, kami bertekad untuk memajukan produk-produk tayar motosikal kami bagi mengekalkan kedudukan Michelin sebagai penanda aras dalam industri ini buat para penunggang dan juga pihak OEM, serta berbesar hati untuk menunaikan keperluan pengguna motosikal di seluruh Malaysia yang gemar menunggang di atas jalan raya ataupun di litar lumba,” kata Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura, dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana.

     
     
  • Op Selamat 22 catat penurunan kes kemalangan, kadar kematian juga turun 10% sepanjang musim Aidilfitri ini

    Op Selamat 22 catat penurunan kes kemalangan, kadar kematian juga turun 10% sepanjang musim Aidilfitri ini

    Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 telah pun berakhir dengan merekodkan penurunan sebanyak 1.41% berbanding tahun lalu. Menurut Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain, menerusi Op Selamat 22, sebanyak 8,862 kes kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 8,989 kes pada tahun lalu.

    Selain itu, kes kemalangan maut mencatatkan penurunan sebanyak 10% dengan 105 kes direkodkan berbanding 117 kes pada tahun sebelumnya. Manakala jumlah kematian akibat kemalangan pula merekodkan 119 kes iaitu pengurangan sebanyak tujuh kes berbanding 126 kes pada 2023.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi iaitu 79 kematian dalam Op Selamat pada kali ini berbanding 80 kematian yang direkodkan pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, antara punca utama kemalangan adalah kerana kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan yang selamat antara kenderaan.

    Walau bagaimana pun, untuk musim Aidilfitri kali ini, difahamkan PDRM telah mengeluarkan jumlah saman yang tinggi iaitu meningkat sehingga 292%, iaitu 29,216 saman pada tahun sebelumnya, naik ke 114,467 saman tahun ini. KPN berkata jumlah saman yang tinggi dikeluarkan adalah sebagai peringatan kepada pemandu supaya mematuhi peraturan jalan raya. Sementara itu, bilangan pecah rumah menurun 31% daripada 272 kes kepada 189 kes tahun ini.

     
     
  • Michelin jamin semua tayar keluarannya sesuai untuk kegunaan EV, tak perlu hasilkan siri tayar berlainan

    Michelin jamin semua tayar keluarannya sesuai untuk kegunaan EV, tak perlu hasilkan siri tayar berlainan

    Oleh kerana kenderaan elektrik penuh (EV) dihasilkan dengan karekter unik yang berbeza berbanding kereta-kereta dengan enjin pembakaran dalaman seperti tork yang lebih besar dan juga menampilkan berat lebih tinggi kerana bateri bersaiz besar yang dipadankan, beberapa pengeluar tayar kini telahpun mengeluarkan produk-produk yang lebih spesifik untuk kegunaan EV.

    Namun untuk Michelin, gergasi tayar dari Perancis itu menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan produk sedemikian. Ini kerana Michelin mendakwa bahawa semua barisan tayarnya yang dijual dalam pasaran buat masa sekarang sudahpun sesuai digunakan untuk EV.

    Menurut pengarah urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media tengah hari tadi, tayar-tayar keluaran Michelin disahkan sentiasa bersedia untuk digunakan pada EV dengan teknologi termaju diterapkan dalam pembuatannya, bagi menawarkan nilai terbaik yang dibelanjakan oleh pelanggannya.

    Michelin jamin semua tayar keluarannya sesuai untuk kegunaan EV, tak perlu hasilkan siri tayar berlainan

    “Memandangkan tork serta-merta motor elektrik dan berat bateri, tayar cenderung haus lebih cepat pada EV berbanding dengan kenderaan pembakaran dalaman. Tayar Michelin direka bentuk untuk menawarkan kelebihan yang ketara dari segi jangka hayat berbanding pesaingnya,” kata Michelin dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Michelin mempunyai rekod kecemerlangan yang terbukti dalam memenuhi prestasi keperluan kenderaan elektrik, termasuk faktor seperti rintangan golekan, prestasi jangka masa panjang, kapasiti beban, dan operasi yang senyap. Hasilnya, tayar Michelin memberikan keseimbangan prestasi optimum dan nilai untuk wang kepada pemilik kenderaan elektrik,” tambah syarikat itu lagi.

     
     
  • smart Malaysia perkenal program rujukan Refer & Reward – terima ganjaran untuk pandu uji, pembelian

    smart Malaysia perkenal program rujukan Refer & Reward – terima ganjaran untuk pandu uji, pembelian

    smart Malaysia memperkenalkan program Refer & Reward, yang diberitahu “direka untuk menguatkan talian antara komuniti bersemangat smart sambil meraikan kesetiaan dan semangat pemilik yang dihargai.”

    “Sasaran kami dengan program rujukan Refer & Reward ini adalah untuk meningkatkan lagi semangat pemilik smart yang setia dengan memberikan mereka peluang untuk berkongsi sayang mereka kepada jenama ini dengan orang lain. Melalui rujukan, kami mahu mencipta komuniti smart yang berkembang maju di mana ahli rasa bernilai dan saling berhubungan,” kata CEO smart Malaysia, Zhang Qiang.

    Di bawah program ini, pemilik smart boleh mendapat ganjaran apabila mengambil bahagian. Setiap pandu uji yang berjaya diuruskan melalui rujukan akan diberikan 5,000 mata smart, yang bersamaan dengan RM50. Jika pandu uji melalui rujukan ini membawa pula kepada pembelian, 50,000 mata akan diberi, bersamaan RM500. Lebih tinggi lagi, jika membeli smart kedua, anda akan menerima 100,000 mata ganjaran, bersamaan RM1,000.

    smart Malaysia perkenal program rujukan Refer & Reward – terima ganjaran untuk pandu uji, pembelian

    Mata ganjaran ini smart ini boleh digunakan untuk bayaran mengecas melalui aplikasi Hello smart. Kemas kini akan datang pada aplikasi ini akan membenarkan mata tersebut juga digunakan untuk data internet dalam kereta serta baragan rasmi smart. Perujuk juga akan menjadi keutamaan dalam undangan acara smart.

    Jika anda bercadang untuk memiliki sebuah EV, pilihan yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang ada banyak, tetapi smart mungkin boleh menyediakan sesuatu yang unik, terutamanya bagi mereka yang baru beralih daripada kereta enjin biasa. Berita tentang smart #1 di sini.

     
     
  • Nissan Qashqai facelift 2024 – SUV generasi ketiga dapat perubahan gaya luar dan dalam, teknologi baru

    Nissan Qashqai facelift 2024 – SUV generasi ketiga dapat perubahan gaya luar dan dalam, teknologi baru

    Lebih sedikit daripada tiga tahun selepas Nissan Qashqai generasi ketiga diperkenalkan kali pertama, ia sekarang diberikan facelift dengan perubahan gaya diberi pada bahagian dalam dan luar, sementara teknologi pula dipertingkat.

    Dilihat dari luar, muka Qashqai ini sekarang lebih menyerupai EV Ariya dengan gril yang lebih besar manakala DRL pula dijadikan lebih unik – jalur lampu atas boleh bertukar kepada lampu penunjuk arah sequential. Lampu hadapan yang lebih tajam kini mempunyai fungsi lampu tinggi adaptif.

    Perubahan bahagian belakang adalah lebih ringkas, dengan lampunya masih mempunyai bentuk sama, tetapi dengan pencahayaan yang mengikut bahagian hadapan, lensa lutsinar serta warna merah yang lebih terang. Untuk model facelift ini, pembeli boleh mendapatkan varian N-Design yang datang dengan kemasan bawah serta keliling roda warna sama seperti badan, dan rim 20 inci.

    Bergantung kepada varian, ia boleh datang dengan kemasan yang berbeza dan juga saiz rim antara 18 inci ke 20 inci. Pilihan warna ada tiga iaitu Pearl White, Pearl Black dan Deep Ocean, dengan dua daripadanya (kecuali hitam) boleh didapati dengan bumbung dua tona.

    Masuk ke dalam, varian yang lebih tinggi mendapat balutan Alcantara pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka serta penutup konsol tengah. Corak kemasan juga adalah lain, sementara tempat duduk dibalut dengan kulit. Menjadikan model ini lebih premium, ia datang dengan lampu suasana.

    Susun atur dan bentuk papan pemuka tidak jauh berbeza berbanding model sebelum facelift tetapi ia sekarang dipasang dengan sistem infotainmen Nissan Connect yang lebih berkuasa dan mempunyai fungsi servis Google seperti Google Maps, Google Assistant, Google Play dan pelbagai lagi – dipaparkan pada skrin sesentuh yang lebih besar.

    Nissan Qashqai facelift 2024 – SUV generasi ketiga dapat perubahan gaya luar dan dalam, teknologi baru

    Peningkatan teknologi lain yang dibuat pada Qashqai adalah termasuk kamera keliling kenderaan dengan fungsi 3D, sistem pengesan objek bergerak serta pandangan paparan hadapan tanpa hud yang membolehkan pemandu nampak kedudukan roda dari belakang, pada skrin.

    Selain daripada itu, panel instrumen digital boleh memberikan paparan yang berbeza mengikut mod termasuk “minimal” yang lebih ringkas serta paparan aliran kuasa bagi model e-Power.

    Qashqaihanya akan ditawarkan dengan penggerak yang mempunyai bantuan kuasa elektrik termasuk sistem e-Power yang menggunakan motor elektrik 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 330 Nm untuk menggerakkan roda hadapan. Motor ini mendapat kuasa daripada bateri 1.8 kWh, yang dicas secara penuh hanya oleh enjin petrol tiga silinder turbo 156 PS (154 hp atau 115 kW) di bawah hudnya. Enjin itu langsung tidak disambungkan kepada roda.

    Selain daripada model e-Power, SUV itu juga boleh didapati dengan enjin petrol empat silinder 1.3 liter turbo yang mendapat bantuan hibrid ringkas 12 volt untuk menghasilkan kuasa sama ada 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 240 Nm, atau 158 PS (156 hp atau 116 kW) dan 270 Nm. Ia dipadankan sama ada dengan transmisi manual enam kelajuan atau CVT – pilihan pacuan semua roda turut disediakan.

    Akhir sekali untuk sistem bantuan pemandu, Qashqai facelift mendapat fungsi Autonomous Emergency Braking yang dipertingkat untuk memberi maklum balas lebih pantas, Emergency Lane Keep System yang terus aktif apabila kereta baru dihidupkan serta Speed Assistance System.

     
     
  • Suzuki Malaysia siar teaser model baru – skuter Avenis 125 dan Burgman 125, harga bermula RM7k?

    Pengedar rasmi motosikal Suzuki di Malaysia melalui laman media sosialnya telah menyiarkan satu gambar teaser yang memberi bayangan ketibaan model baru dengan slogan “The Urban Arrow” dan “The Elegant Performer.”

    Memang sukar untuk mengetahui gambar teaser yang dikeluarkan sebenarnya adalah model apa, tetapi melihat kepada slogan tersebut, ia sebelum ini pernah digunakan pada skuter Avenis 125 dan Burgman 125 untuk pasaran lain.

    Ketibaan dua skuter ini bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana ia sudah pernah dibawa untuk pameran kepada awam sewaktu pameran Kuala lumpur Bike Show 2023 Ogos tahun lalu. Reka bentuk Avenis 125 dan Burgman 125 mungkin berbeza, tetapi penggeraknya adalah sama, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan udara 124 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik, berkuasa 8.7 PS/10 Nm.

    Menjadikan dua skuter ini nampak sedikit pelik adalah roda yang kecil, iaitu bersaiz 12 inci di hadapan, dibalut tayar 90/90 dan 10 inci di belakang, dibalut tayar 90/100. Sistem brek pula hanya bahagian hadapan menggunakan unit cakera sementara di belakang masih dram dan tiada ABS pada dua skuter ini.

    Menurut maklumat yang kami terima sebelum ini, Avenis 125 dan Burgman 125 akan dipasang di dalam negara, dan harganya perlu dijadikan lebih rendah berbanding skuter 150 cc yang popular di pasaran. Jangkaan yang diberi adalah sekitar RM7k ke RM8k.

    GALERI: Suzuki Avenis 125

    GALERI: Suzuki Burgman 125

     
     
  • Kisah masyarakat di Aidilfitri – mudahkan perjalanan orang ramai yang berhadapan kesesakan lalu lintas

    Kisah yang tular di laman media sosial baru-baru ini mengenai sekumpulan masyarakat berbangsa Cina di Ladang Bikam yang sanggup bersengkang mata dan berganding bahu untuk ‘membaikpulih’ ‘jalan tikus’ bagi pemandu yang datang dari arah Perak untuk ke selatan. Dikongsikan oleh saudara Zairul Annuar menerusi Facebook, yang berkata, pada mulanya dia menggunakan lebuhraya dari Simpang Pulai untuk menuju ke arah selatan. Namun oleh kerana lebuhraya terlalu sesak, dia mengambil keputusan untuk masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

    Dengan berpandukan Google Maps, dia sekeluarga meneruskan perjalanan dan aplikasi terbabit ada memaklumkan berlaku kesesakan di jalan yang sedang dilalui dan menyarankan laluan alternatif, yang kemudiannya membawa menggunakan jalan kampung yang akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.

    Menurut Zairul, selepas melewati kawasan perumahan terbabit, dia sampai ke jalan yang tidak bertar menuju ke ladang kelapa sawit yang gelap. Namun tetap meneruskan perjalanan sehinggalah terserempak dengan beberapa kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan memaklumkan kepadanya jalan di hadapan sempit dan tidak boleh dilalui.

    “Mereka mengarahkan kami agar berpatah balik. Semua kereta di belakang kami juga diminta melakukan perkara yang sama. Setelah berpatah balik, kami telah sampai semula ke kawasan perumahan tadi. Tiba-tiba kereta kami diberhentikan oleh sekumpulan lelaki berbangsa Cina,” katanya.

    Kumpulan terbabit bertanya adakah Zairul mahu ke KL dan meminta untuk meneruskan perjalanan. Kata mereka, “ Jangan patah balik. Itu tadi depan u tak boleh jalan kan? Takpa. Kita bawa backhoe kasi repair itu jalan. U tunggu sekejap. Kalau u patah balik pun tak da guna, jalan Ladang Bikam sana jem manyak teruk sebab ada accident. Nanti u sudah keluar nanti ini jalan, jangan ikut Ladang Bikam, u ikut jalan Bidor sampai KL” ujar seorang lelaki Cina pertengahan umur.

    Malahan kumpulan lelaki Cina berkenaan sepakat untuk membantu para pemandu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka.

    “Pada masa yang sama kami lihat sebuah backhoe bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan. Kami pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan. Sebaik sampai di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui,” sambung Zairul.

    Kisah yang dikongsikan oleh Zairul ini mendapat perhatian yang meluas di kalangan netizen dan juga pihak media. Malahan ramai netizen yang memuji tindakan kumpulan penduduk terbabit.

    “Hati saya rasa terharu. Penduduk Cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang-orang Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur. Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong. Hebat orang-orang Cina Perak. Power. Ini barulah bangsa Malaysia,” kongsi Zairul lagi.

    Begitu juga dengan tindakan beberapa individu di tepi jalan di Jalan Pantai, Kampung Beris Tokku, Setiu, Terengganu yang berkongsi rezeki dengan memberi potongan tembikai kepada perantau yang berdepan kesesakan jalan raya. Kisah yang dikongsikan oleh pemilik akaun Tiktok @aiman92 ini juga berjaya mencuri tumpuan netizen di laman media sosial.

    Perkongsian oleh pemilik akaun Tiktok @r.nissss juga mencuri tumpuan netizen, apabila memaparkan keluarganya di Kampung Saujana, juga di daerah Setiu, yang memberikan kemudahan menggunakan tandas di rumahnya secara percuma kepada orang ramai yang tersangkut dalam kesesakan trafik di hadapan rumahnya. Malah keluarganya turut menyediakan air minuman secara percuma kepada orang ramai yang berhenti di rumahnya.

    Sifat sebeginlah yang sepatutnya ditanam dalam masyarakat kita, tidak kira bangsa mahu pun agama. Saling membantu, menghormati dan bertoleransi. Kita tidak akan rugi apa-apa jika sifat sebegini diamalkan, bahkan inilah yang dikatakan masyarakat majmuk dan muhibah. Syabas untuk anda semua! Kita bangsa Malaysia!

    @mankidal92 kongsi2 rezeki ketika jln tengah jem. Hati2 memandu semua, semoga selamat sampai ke destinasi. Amin. #kampungberistokku ♬ original sound – LaguRaya

    @r.nissss tandas free 2.0 2024🥰 #jemraya #raya2024 #alamakrayalagi ♬ Alamak Raya Lagi DEFAM – De Fam

     
     
  • Peugeot 408 2024 – penampilan awam pertama di Malaysia dari 20-21 April; CKD; lancar Mei ini

    Peugeot 408 2024 – penampilan awam pertama di Malaysia dari 20-21 April; CKD; lancar Mei ini

    Peugeot 408 2024 direncana akan ditampilkan buat pertama kali untuk tontonan khalayak awam di Malaysia pada 20 hingga 21 April ini, sempena dengan rumah terbuka Sinar Raya anjuran Peugeot Malaysia. Acara ini akan berlangsung di beberapa bilik pameran Peugeot terpilih, jadi bagi yang berminat untuk melihat fastback crossover secara lebih dekat, anda boleh mendaftar minat di sini, malah boleh juga membuat pra-tempahan.

    Dijadual akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada Mei ini 408 ditawarkan dengan tiga varian pemasangan tempatan (CKD), termasuk model asas Allure, spesifikasi pertengahan Premium dan model tertinggi GT. Belum ada harga rasmi diumumkan, namun kami dimaklumkan bahawa pembeli sasaran 408 ini adalah mereka yang mempertimbangkan sama ada membeli Honda Civic atau Accord, jadi harganya mungkin sekitar RM140k hingga RM150k.

    Kesemua varian dipadankan dengan enjin PureTech pengecas turbo yang sama, dengan unit 1.6 liter empat-silinder berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm pada 2,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Menerusi risalah spesifikasi yang bocor, varian Allure didatangkan dengan ciri standard seperti lampu utama LED dengan lampu tinggi automatik, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik dan roda aloi 18-inci dengan kemasan Granite Grey. Manakala untuk dalamnya, pilihan asas ini diberikan tempat duduk upholstery separa kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa, kluster instrumen digital 10-inci, skrin sesentuh infotainmen 10-inci dan sistem bunyi bersama enam-pembesar suara.

    Ia juga diberikan enam beg udara, kamera undur, penderia parkir belakain, pengesan isyarat trafik dengan info pengehad kelajuan, bantuan kekal lorong, kawalan kelajuan dan brek parkir sendiri.

    Manakala varian Premium diberikan roda aloi 18-inci dalam kemasan Granite Black, tempat duduk upholstery kulit Nappa hitam, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, bantuan kekal lorong termaju, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta dan aamaran mengundur.

    Peugeot 408 2024 – penampilan awam pertama di Malaysia dari 20-21 April; CKD; lancar Mei ini

    Senarai bilik pameran Peugeot yang mengambil bahagian untuk majlis Sinar Raya

    Bagi model spesifikasi tertinggi GT, senarai kit ditambah dengan roda aloi 20-inci Monolithe Black, lampu utama matrix LED, tempat duduk upholstery kulit Nappa dalam rona Naboo Blue, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi urut, kluster instrumen ‘3D Quartz Display’ 10-inci, sistem bunyi Focal, kamera 360-darjah, skrin sesentuh infotaimen 10-inci dengan panel sentuh boleh ubah sepenuhnya untuk akses yang lebih pantas bagi sesetengah fungsi.

    Model semasa 408 diperkenalkan di peringkat global pada Jn 2022 dan menerima rekabentuk yang lebih radikal dari model terdahulu yang menggunakan bentuk badan sedan, kini diubah menjadi crossover. Dibangunkan dengan platform EMP2 rekaan Stellantis, 408 berukuran 4,687 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,510 mm tinggi dan jarak rodanya 2,787 mm. Ddibandingkan dengan Civic yang berukuran 4,678 mm panjang, 1,802 mm lebar, 1,415 mm tinggi dan jarak roda cecah 2,735 mm.

    GALERI: Peugeot 408 2024 dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANM dan VML sedia untuk dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan WP Kuala Lumpur bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANM dibuka bidaan bermula esok, 19 April 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 23 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 April 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VML, dibuka bidaan mulai 20 April 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 April 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Neta tawar jaminan sepanjang hayat bagi tempoh terhad dan program kesetiaan pelanggan Neta V

    Neta tawar jaminan sepanjang hayat bagi tempoh terhad dan program kesetiaan pelanggan Neta V

    Bermula 1 April hingga 30 Jun 2024, Neta menawarkan jaminan sepanjang hayat untuk bateri bagi model V kepada 500 unit terawal yang dibeli dalam tempoh berkenaan. Untuk melayakkan pelanggan menikmati tawaran ini, kenderaan yang dibeli juga perlu didaftarkan sebelum 31 Julai 2024.

    Tawaran ini bagaimanapun hanya sah untuk pemilik pertama sahaja, dan pemilik Neta V sedia ada — yang ketika ini sekitar 100 unit sudah terjual — turut akan menikmati jaminan bateri tersebut. Antara syarat lain yang digariskan kepada pemilik ialah jarak perjalanan Neta V mereka tidak boleh melebihi 30,000 km setahun, dan pelindungan yang diberikan ini adalah termasuk untuk bateri, motor elektrik dan MCU.

    Ia juga hanya sah untuk pemilik dan pengguna persendirian sahaja, dan kereta tersebut perlu dihantar untuk servis mengikut jadualnya di pengedar sah Neta, serta hanya melibatkan penggunaan alat ganti tulen sahaja.

    Namun, untuk melayakkan pemilik menikmati pelindungan ini, tiada sebarang modifikasi boleh dilakukan terhadap Neta V mereka, begitu juga kerosakan bateri itu bukan lah disebabkan oleh kemalangan, banjir atau kebakaran (kerana semua situasi yang dinyatakan ini sudah dilindungi oleh insurans).

    Neta tawar jaminan sepanjang hayat bagi tempoh terhad dan program kesetiaan pelanggan Neta V

    Selain itu, Neta turut memperkenalkan Program Kesetiaan Neta. Pemilik Neta V yang ikut serta program berkenaan berpeluang menerima ganjaran sehingga RM24,300. Antara kelebihan yang diberikan antaranya adalah termasuk Ganjaran Iklan RM24,300 bagi pemilik yang ikut serta menampalkan logo Neta di kereta mereka dan menjadi duta jenama berkenaan untuk tempoh lima-tahun.

    Begitu juga ada diskaun 21% yang akan diberikan untuk aksesori terpilih. Bagi pemilik yang memerlukan kereta selain EV untuk perjalanan jauh misalnya, mereka juga boleh menikmati kereta sewa percuma — serahkan Neta V anda untuk sementara waktu dan bertukar kepada kereta enjin pembakaran biasa dan gunakannya secara percuma untuk maksimum 10 hari dalam setahun (ketika ini ditawarkan di Careplus Mall Seremban).

    Selebihnya, pemilik turut berpeluang untuk ikut serta memenangi hadiah dan baucar melalui cabutan bertuah, peraduan media sosial serta program rujukan ketika mencadangkan pelanggan baru yang berpotensi untuk sama-sama menjadi pemilik Neta V.

     
     
  • Neta bakal perkenal dua lagi model baru tahun ini — Aya dan X jadi model terawal pemasangan CKD

    Neta bakal perkenal dua lagi model baru tahun ini — Aya dan X jadi model terawal pemasangan CKD

    NETA mungkin menjadi jenama yang agak baru di Malaysia. Tetapi di China, jenama yang bernaung di bawah syarikat Hozon New Energy Automobile Co. Ltd. itu sudah mula ditubuhkan sejak 10 tahun lalu. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini ada dua perkembangan utama yang sudah berlangsung — pengenalan model Neta V pada Oktober tahun lalu yang sekaligus menjadi EV paling murah dalam pasaran tempatan tahun lalu, dan pengumuman serta majlis pecah tanah bagi kilang pemasangan NexV Manufacturing di Rembau, Negeri Sembilan pada Januari lalu.

    Semua aktiviti yang melibatkan jenama Neta di Malaysia juga adalah merupakan usahasama antara GoAuto dan juga Careplus melalui penubuhan dua syarikat baru berasingan — NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) yang akan menguruskan hal-hal pengilangan dan pengeluaran, sementara Intro Synergy Sdn Bhd (ISSB) akan bertindak menguruskan pengedaran dan jualannya. Dengan kilang yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025 nanti, Neta nampak serius untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV tempatan.

    Neta bakal perkenal dua lagi model baru tahun ini — Aya dan X jadi model terawal pemasangan CKD

    Dalam kunjungan dan taklimat media di Neta Auto dan yang juga merupakan pejabat urusan Careplus di Seremban hari ini, syarikat itu mendedahkan bahawa akan ada dua lagi model baru yang akan diperkenalkan tahun ini untuk pasaran tempatan seawal Mei ini. Dan, dua model yang dimaksudkan ialah Neta Aya (atau Neta V-II seperti yang baru diperkenalkan di Thailand, dan juga SUV Neta X).

    Kedua-dua model tersebut juga akan menjadi model terawal yang bakal dipasangkan di kilang NMSB di Rembau kelak. Neta Aya CKD dijangka akan diperkenalkan pada bulan Mac 2025, sementara Neta X CKD akan masuk pasaran pada Oktober 2025. Jika Neta V yang ada ketika ini merupakan model paling asas dalam barisan model keluaran Neta, Neta Aya pula merupakan model yang lebih tinggi dengan melibatkan teknologi canggih seperti ADAS yang akan turut disertakan.

    Neta bakal perkenal dua lagi model baru tahun ini — Aya dan X jadi model terawal pemasangan CKD

    Neta X pula (juga baru diperkenalkan di Thailand bulan lalu) merupakan penawaran SUV daripada jenama tersebut. Bagaimanapun, ada model lain yang lebih menarik dan berprestasi dalam barisan kenderaan Neta. Satu daripadanya ialah Neta S, sudah pernah dipertontonkan di sini. Sebuah lagi model prestasi, Neta GT turut akan dipertontonkan di Malaysia, pada bulan Mei nanti.

    Pembinaan kilang NMSB pula akan dijalankan dalam tiga fasa. Fasa 1 melibatkan pemasangan dan juga litar ujian. Kapasiti pengeluaran kilang ini boleh mencapai maksimum 50k unit setahun dengan dua shift. Ia juga melibatkan 44 stesen — Trim Line (16 stesen), Chassis Line (12 Stesen) dan Final Line (16 stesen).

    Neta bakal perkenal dua lagi model baru tahun ini — Aya dan X jadi model terawal pemasangan CKD

    Namun, untuk tahun pertama operasi, NMSB hanya mensasarkan 10,000 unit pengeluaran kenderaan sebagai permulaan. Pembinaan fasa kedua kilang NMSB pula melibatkan kemudahan mengecat, sementara fasa ketiga — yang juga sangat penting — ialah kemudahan pengeluaran dan pemasangan bateri.

    Kilang berkenaan juga akan menampung pemasangan kenderaan untuk tujuan eksport, termasuk untuk jenama-jenama OEM yang lain yang dijangka akan turut menggunakan kemudahan kilang tersebut. Antara jenama yang sudah didedahkan akan turut dipasang di sini ialah Skyworth, begitu juga dengan kenderaan komersil dari China iaitu Higer dan Yutong. Ia tidak hanya akan memasang kenderaan dengan teknologi tenaga diperbaharui, tetapi turut mampu menampung pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman biasa dan juga motosikal.

    Neta V-II di Bangkok Motor Show 2024

    Neta X di Bangkok Motor Show 2024

    Neta GT di Bangkok Motor Show 2024

    Neta Auto Seremban

     
     
  • Harga minyak 18-24 April – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 18-24 April – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel untuk minggu bertarikh 18 hingga 24 April 2024.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

    Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengapungan mengikut harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion, walau pun ini bermakna harganya dijangka meningkat hingga 64% bagi RON95 dan 61% bagi diesel.

     
     
  • Perkhidmatan bas perantara disediakan secara percuma untuk acara Madani Raya di JB esok

    Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri bermula di Johor Bahru, esok (18 April 2024). Manakala enam lagi majlis yang sama dirancang diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

    Untuk acara di JB, ia akan dilangsungkan di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, bermula jam 4 petang hingga 7 malam. Bagi menjayakan acara berkenaan, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut menawarkan perkhidmatan bas perantara percuma dan orang ramai yang mahu menyertai sambutan Hari Raya itu boleh memarkir kenderaan masing-masing sama ada di Giant Tampoi atau Danga Bay Convention Centre dan menaiki bas yang disediakan untuk ke Angsana.

    Bas perantara dari Giant Tampoi dan Danga Bay Convention Centre akan mula bergerak antara jam 3 petang hingga 4.30 petang untuk perjalanan pergi ke Angsana, dan perjalanan pulang dari jam 6.30 petang hingga 7.30 malam. Para pengunjung disarankan untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara dari dua lokasi yang dinyatakan ini memandangkan kawasan sekitar Angsana pasti akan sesak sepanjang penganjuran acara sambutan Hari Raya berkenaan.

     
     
  • Projek pembinaan PJD Link dibatalkan – Fahmi Fadzil

    Projek pembinaan PJD Link dibatalkan – Fahmi Fadzil

    Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

    Katanya, keputusan tersebut dibuat oleh Jemaah Menteri hari ini, selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

    “Jemaah Menteri membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link yang memohon lanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat. Kerajaan menolak permohonan itu.

    “Sebelum ini pihak syarikat sudah memohon dua kali lanjutan bagi memenuhi syarat ditetapkan. Akibat daripada kegagalan itu, maka projek terbabit tidak diteruskan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pada Ogos tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan PJD Link yang pernah diumum batal mungkin akan dipertimbangkan semula sekiranya ia mampu menepati keperluan dan memuaskan hati penduduk terlibat.

    Walau bagaimana pun, pada bulan lalu, Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula pembinaan PJD Link ini untuk menyuraikan trafik di kawasan itu yang semakin serius, laporan Harian Metro.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025