Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengemaskini penawaran Tiguan Allspace dengan menyertakan sistem bantuan pemandu IQ.Drive, yang kini standard untuk semua tiga varian yang ada: Life, Elegance dan R-Line 4Motion.

    Dengan pertambahan sistem berkenaan, Tiguan Allspace kini lengkap dengan ciri AEB, kawalan melayar adaptif, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan bantuan lorong. SUV ini juga lengkap dengan ciri pengecas telefon tanpa wayar.

    Selain pertambahan ini, semua kelengkapan kekal sama seperti sebelumnya, termasuk sistem janaan kuasa — Life dan Elegance terus menggunakan enjin 1.4 liter turbo empat-silinder TSI yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork, yang digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan klac berkembar.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Varian R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder TSI yang menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm. Ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Tiguan Allspace menjadi model terbaru yang dilengkapi dengan ciri IQ.Drive, selepas Golf GTi dan Arteon, dan layak untuk Volkswagen Assurance Package (VAP). Ini datang bersama jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 45,000 km.

    Bergantung kepada model, VAP dinilaikan dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak memilih untuk menikmati hal berkenaan hanya akan menerima jaminan dua-tahun dan tanpa had perbatuan — bantuan tepi jalan selama lima-tahun bagaimanapun tetap disertakan.

    Tiguan Allspace kini dijual pada harga RM166,590 atas jalan tidak termasuk insuran bagi bagi varian Life. Ini diikuti Elegance dengan harga RM195,590, dan R-Line 4Motion dengan harga RM247,073.60.

    Semua angka ini tanpa VAP. Jika inginkan lanjutan jaminan dan pakej servis percuma, varian Life dan Elegance akan naik RM8,000, dengan masing-masing menjadi RM174,590 dan RM203,590. VAP untuk varian paling tinggi pula RM10,000, menjadikan harga varian R-Line 4Motion RM257,073.60.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Julai – Tiada perubahan

    Harga minyak 6-12 Julai – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan mengumumkan untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Julai 2023, tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition tiba di Malaysia – RM208k, suspensi Ohlins

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition tiba di Malaysia – RM208k, suspensi Ohlins

    Boon Siew Honda Malaysia mengumumkan ketibaan CBR1000RR-R Fireblade 30th Anniversary Edition ke pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM208,000 tidak termasuk insurans. Model ini datang dalam warna istimewa Pearl Glare White.

    Mengambil asas daripada CBR1000RR-R Fireblade SP yang diperkenalkan pada hujung tahun 2021, model ini menggunakan enjin empat silinder 999 cc berkuasa 214 hp pada 14,500 rpm dan tork 112 Nm pada 12,500 rpm. Jika dibandingkan dengan model generasi sebelumnya, model baru ini mendapat pelbagai peningkatan termasuk pada salur intake dan datang terus dengan ekzos Akrapovic.

    Tiga mod tunggangan disediakan, dan penunggang boleh melaras tahap kuasa enjin, wheelie control, engine brake serta kawalan cengkaman mengikut kesesuaian. Unit IMU six-axis akan mengawal sistem kawalan cengkaman, Wheelie Control, Cornering ABS serta steering damper elektronik HESD.

    Sebagai sebuah model SP, suspensi model ini menggunakan unit Ohlins kawalan elektronik, yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang. Brek menggunakan cakera 330 mm berkembar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.

    Menjadikan versi sambutan ulang tahun ini lebih istimewa adalah ukiran nombor keluaran serta tulisan CBR1000RR-R Fireblade 30th Anniversary Edition pada triple clamp atas, serta logo sambutan ulang tahun tersebut pada tangki bahan api, kunci serta ekzos.

    GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary 2022

     
     
  • Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Perodua mengesahkan bahawa model generasi baharu bagi satu-satunya sedan yang dihasilkan jenama berkenaan iaitu Bezza bakal muncul dalam tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang.

    Perkara ini disebut oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam sidang media Pertandingan Rekaan Sedan Kompak Asia (ACSDC) 2023 di Putrajaya dan dilaporkan oleh akhbar NST. Menurutnya lagi Perodua merancang untuk menghasilkan Bezza generasi baharu tersebut dengan rekaan lebih berorientasikan pengguna di rantau ASEAN.

    ACSDC 2023 dianjurkan sendiri oleh Perodua dengam kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) bagi mengumpulkan rekaan sedan yang memenuhi selera pengguna ASEAN, serta untuk mempromosikan rekaan yang bagus dan merangsang daya saing di kalangan pereka kereta.

    Zainal turut menyatakan pertandingan ini disasarkan untuk menarik lebih banyak idea yang bertenaga serta mencungkil lebih ramai bakat muda yang meminati reka bentuk automotif, dan menambah dengan penyertaan peserta dari negara ASEAN lain ia akan membolehkan pelbagai idea diserap dari serata pelusuk rantau ini untuk menghasilkan rekaan Bezza generasi seterusnya.

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Beliau menjelaskan pertandingan ini akan mengambil masa selama tujuh bulan sebelum lapan peserta akhir dipilih. Peserta-peserta yang berjaya ke peringkat seterusnya itu akan menghasilkan model skala penuh bagi rekaan mereka dan membuat pembentangan berkenaan setiap rekaan pada model tersebut.

    Bos Perodua itu turut menegaskan pertandingan ini bukan hanya akan menjadi platform bagi mengumpulkan inspirasi rekaan, malah itu turut akan menyumbang bagi membawa Malaysia menjadi hab seterusnya untuk rekaan automotif dalam rantau ini.

    Menurut pengarah MRM Husaini Ismail pula berkata menerusi pertandingan ini juga peserta berpeluang untuk memenangi hadiah dan insentif berjumlah lebih dari RM100,000.

    Bagi Bezza generasi sedia ada, ia diasaskan dari hatchback Perodua Axia generasi terdahulu serta ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.0 dan 1.3 liter (Axia hanya hadir dengan enjin 1.0L). Badan atas model berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Perodua di fasiliti R&D yang terletak di Rawang, dan model ini hanya dijual di Malaysia tanpa dijelmakan dalam versi Daihatsu atau Toyota untuk pasaran lain.

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    ‘Resipi’ yang bakal digunakan untuk Bezza generasi baharu berkenaan mungkin sama dengan sebelum ini, dengan menjadikan Axia generasi kedua yang baru dilancarkan pada Februari lalu sebagai asas.

    Bagi Axia 2023 berkenaan, ia dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Model ini masih hanya menerima enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i tiga-silinder berkuasa 67 hp/91 Nm, namun kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah digantikan dengan transmisi D-CVT.

    Axia juga telah diberikan sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 yang memberikan fungsi seperti AEB, amaran pergerakan kereta depan dan lain-lain. Ia juga menerima beberapa perincian yang lebih canggih dari Myvi seperti panel instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7.0-inci.

     
     
  • MRT Laluan Kajang bakal sediakan koc khas wanita

    MRT Laluan Kajang bakal sediakan koc khas wanita

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke bakal mengumumkan fasa percubaan koc wanita bagi perkhidmatan MRT Laluan Kajang dalam masa terdekat ini. Ia sebagai salah satu inisiatif untuk penumpang wanita demi keselesaan dan keselamatan mereka.

    “Koc wanita yang dilaksanakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak beberapa tahun lalu memang satu perkhidmatan diminati golongan wanita.

    “Kita faham pengguna pengangkutan awam terutama wanita ada kebimbangan keselamatan dan ada rasa tidak selesa kalau berpusu-pusu dalam satu gerabak bimbang diganggu dan sebagainya jadi kita akan cuba perkenalkan koc wanita untuk MRT,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Jelasnya, memang ada kekangan dan cabaran apabila memperkenalkan koc wanita dalam MRT.

    “Berbeza dengan komuter KTMB, perjalanannya antara bandar jarak jauh dan tidak banyak stesen. KTMB ada enam koc tetapi MRT dan LRT ada empat koc saja jadi kalau dedikasikan satu koc untuk wanita maka dari segi operasi agak mencabar dan transit pergerakan penumpangnya agak cepat dan sukar kita kawal.

    “Apapun kita akan cuba perkenalkan koc wanita ini untuk MRT dan kita lihat apakah maklum balas daripada rakyat nanti,” katanya.

    Pada 28 April 2010, koc wanita diperkenalkan dalam perkhidmatan tren Komuter dan berjaya menarik minat 60% penumpang wanita.

     
     
  • BYD lancar pakej servis selepas jualan untuk Malaysia – pilihan tempoh tiga ke lapan tahun, dari RM1.7k

    BYD lancar pakej servis selepas jualan untuk Malaysia – pilihan tempoh tiga ke lapan tahun, dari RM1.7k

    Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia telah memperkenalkan beberapa pakej servis untuk pemilik kenderaan jenama itu, yang mengikut selang masa tertentu. Ia antaranya adalah Service Standard Package dan Service Plus Package, dengan harga yang berbeza mengikut tempoh yang dipilih.

    Bagi Service Standard Package, ia ditawarkan untuk tempoh masa tiga, enam atau lapan tahun, atau apabila mencecah 60,000 km, 120,000 km atau 160,000 km. Harganya masing-masing adalah antara RM1,688 ke RM4,888. Dalam pakej ini, antara perkara yang dimasukkan sekali adalah servis minyak reducer, penukaran penapis pendingin hawa, servis bendalir brek, servis coolant dan servis pendingin hawa.

    Pergi pula kepada Service Plus Package, ia ditawarkan untuk tempoh masa enam tahun atau lapan tahun, bersama jarak batuan masing-masing 120,000 km atau 160,000 km. Harganya adalah antara RM7,888 hingga RM12,888.

    Melalui pakej ini, anda akan mendapat servis tambahan yang termasuk penukaran cecair pencuci cermin, penukaran pengelap cermin (depan dan belakang), penukaran bateri kunci kawalan jauh, penukaran bateri 12V, penukaran pad brek (depan dan belakang) serta penukaran cakera brek (depan dan belakang).

    Selain pusat servis, BYD juga mempunyai tiga pusat cat dan badan di sekitar Semenanjung Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Bukit Jelutong dan Johor Bahru. Menurut Sime Darby Motors, ia boleh menerima kerja baik pulih badan kecil dan besar, dan dilengkapi dengan dengan pelbagai peralatan canggih.

     
     
  • Perbandingan spesifikasi Harley-Davidson X440 dan Triumph Speed 400 – kuasa, kelengkapan jauh beza

    Dalam dunia motosikal sekarang sedang hangat tentang kemunculan dua model kapasiti pertengahan yang dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka, Harley-Davidson dan Triumph dengan kerjasama dua pengeluar motosikal terbesar di India, iaitu Hero Motocorp dan Bajaj Motorcycles. Ia adalah Harley-Davidson X440 dan Triumph Speed 400 (dan juga Scrambler 400).

    Dengan spesifikasi penuh yang sudah dikeluarkan apabila kedua-duanya dilancarkan buat pertama kali di India, menarik untuk kita lihat di manakah perbezaannya dan mungkin boleh membantu sekiranya anda berkira-kira untuk memiliki sebuah motosikal klasik moden kelas ini. Walaupun masih awal, ketibaan dua model ini ke pasaran Malaysia adalah tidak mustahil.

    Melihat pertama sekali kepada penampilan, Speed 400 yang dihasilkan oleh Triumph dengan kerjasama Bajaj nampak lebih premium dengan kemasan brushed aluminium, penutup bahagian tepi enjin powder coated, fork berwarna emas, cermin sisi di hujung pemegang serta cat dua tona pada tangki.

    Pergi pula kepada dimensi, Speed 400 menyediakan tempat duduk yang lebih rendah iaitu 790 mm berbanding 805 mm pada X440, manakala jarak roda pula X440 lebih panjang (1,418 mm vs 1,377 mm). Dalam keadaan sedia ditunggang, X440 adalah lebih berat, dengan catatan 190.5 kg, manakala Speed 400 adalah 176 kg. Tangki bahan api X440 adalah 0.5 liter lebih besar, iaitu 13.5 liter, berbanding 13 liter pada Speed 400.

    Pada bahagian enjin, kedua-duanya menggunakan unit satu silinder dengan sistem suntikan bahan api tetapi dengan kapasiti yang berbeza iaitu 398 cc untuk Speed 400 dan 440 cc untuk X440. Walaupun nampak enjin Speed 400 lebih kecil, ia sebenarnya lebih berkuasa dengan mampu menghasilkan 39.5 hp pada 8,000 rpm dan 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Enjin X440 pula cuma mampu menghasilkan 27 hp pada 6,000 rpm dan 38 Nm pada 4,000 rpm.

    Penggunaan nisbah mampatan yang lebih tinggi, iaitu 12:1 pada Speed 400 (berbanding 9.5:1 pada X440) mungkin antara sebab enjinnya menjadi lebih berkuasa, dan ia juga mendapat kelebihan lain seperti DOHC dan sistem penyejukan cecair. Untuk transmisi, kedua-duanya menggunakan unit enam kelajuan.

    Kami menjangkakan terdapat rasa tunggangan yang berbeza antara dua motosikal ini memandangkan ia menggunakan tetapan suspensi yang berlainan di belakang (dua penyerap hentak dengan lengan ayun besi petak pada X440 dan satu penyerap hentak dengan lengan ayun cast aluminium pada Speed 400), sementara fork hadapan adalah sama iaitu unit 43 mm USD (tanpa pelarasan).

    Selain daripada itu, X440 juga datang dengan rim berbeza saiz, iaitu 18 inci dengan tayar 100/90 di hadapan, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang, sementara pada Speed 400, kedua-duanya adalah unit 17 inci (tayar 110/70 dan 150/60). Brek kedua-dua model ini menggunakan tetapan cakera hadapan dan belakang, bersama angkup dari Bybre serta sistem ABS secara standard, tetapi saiz cakera X440 adalah lebih besar (320 mm/240 mm vs 300 mm/230 mm).

    Satu lagi perbezaan besar antara dua model ini adalah pada bahagian meter, di mana Speed 400 masih lagi menggunakan unit gabungan analog dan LCD, sementara X440 mendapat unit TFT 3.5 inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memberikan paparan navigasi bagi varian paling tinggi.

    Melihat kepada kelengkapan lain, kedua-duanya mendapat semua lampu jenis LED, tetapi Speed 400 mendapat satu lagi kelebihan pada sistem keselamatan, di mana ia datang dengan kawalan cengkaman yang boleh ditutup menggunakan suis pada pemegang.

    Akhir sekali berkenaan harga, kita masih belum dapat membuat perbandingan kerana harga untuk Speed 400 masih belum didedahkan, tetapi untuk X440, ia ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara 229,000 rupee (RM13,029) hingga 269,000 rupee (RM15,305).

    GALERI: Harley-Davidson X440

    GALERI: Triumph Speed 400

     
     
  • Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Semalam tular senarai harga untuk Honda HR-V yang naik RM1,100 bermula hari ini, 5 Julai 2023. Namun setelah kami buat semakan di laman web rasmi Honda Malaysia hari ini, bukan hanya harga HR-V yang naik, malah harga Civic dan City Hatchback turut naik.

    Untuk harga baharu City Hatchback, anda boleh semak pada PAUTAN INI. Manakala untuk Civic FE, dapat dilihat kesemua varian yang dijana oleh enjin 1.5L VTEC Turbo naik RM1,200, sementara model hibrid RS e:HEV pula masih lagi kekal.

    Ketika dilancarkan pada Januari 2022, Honda Civic generasi ke-11 ini diperkenalkan dengan harga tanpa cukai jualan (SST) menerusi insentif yang ditawarkan oleh kerajaan sewaktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Harga model ini kemudiannya disemak semula selepas 30 Jun 2022 apabila insentif berkenaan tamat.

    Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Untuk kemaskini terbaharu, bermula hari ini varian paling asas Honda Civic 1.5L E dijual pada harga RM131,900, naik RM1,200 berbanding RM130,700 sebelum ini. Ia diikuti model 1.5 V dijual pada harga RM144,900 (sebelum ini RM143,700), manakala varian tertinggi untuk model dijana enjin turbo iaitu 1.5L RS kini dijual pada harga RM151,900 (sebelum ini RM150,700).

    Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Dan seperti yang disebut tadi, Civic dengan unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD iaitu RS e:HEV masih kekal dijual pada harga RM166,900.

    Awal tahun ini Honda Malaysia ada mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak bercadang menaikkan untuk menaikkan harga model-model baharu keluarannya, namun dengan keadaan ekonomi sedia ada terutamanya nilai ringgit yang kini dilihat semakin lemah, langkah ini nampaknya tidak boleh dielakkan.

    Sekali lagi kami senaraikan harga untuk Honda Civic 2023 pasaran Malaysia bermula 5 Julai 2023 bagi memudahkan rujukan anda:

  • Civic 1.5L E – RM131,900
  • Civic 1.5L V – RM144,900
  • Civic 1.5L RS – RM151,900
  • Civic e:HEV 2.0L RS – RM166,500 (tidak berubah)
  • GALERI: Honda Civic 1.5 RS 2023

    GALERI: Honda Civic 1.5 V 2023

    GALERI: Honda Civic RS e:HEV 2023


     
     
  • Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Selepas mengumumkan kenaikan harga bagi barisan Honda HR-V 2023 di Malaysia, kini tibalah pula giliran harga baharu bagi City Hatchback pula dikemaskinikan. Ia melibatkan kenaikan harga sehingga RM300 untuk kesemua varian, kecuali bagi model spesifikasi tertinggi 1.5L RS yang masih kekal RM109,800 tanpa insurans.

    Bermula dengan varian asas, 15L S kini berharga RM78,900 (sebelum ini RM78,600), 1.5L E pula RM86,900 (sebelum ini RM86,600), 1.5L V berharga RM91,900 (sebelum ini RM91,600), dan 1.5L V Sensing kini RM95,900 (sebelum ini RM95,600); kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Seperti HR-V, terdapat pertambahan surcaj sebanyak RM300 untuk warna luaran Platinum White Pearl.

    Walau pun melibatkan kenaikan harga, namun tiada perubahan spesifikasi untuk City Hatchback di Malaysia. Varian petrol – S, E, V, dan V Sensing – dijanakan oleh enjin 1,498 cc naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 121 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi continuously variable transmission.

    Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Honda City Hatchback 1.5 V

    City Hatchback RS e:HEV pula digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan RS e:HEV. Ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm.

    Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Berikut merupakan harga terkini bagi barisan Honda City Hatchback 2023 di Malaysia:

    • 1.5L S – RM78,900
    • 1.5L E – RM86,900
    • 1.5L V – RM91,900
    • 1.5L V Sensing – RM95,900
    • 1.5L e:HEV RS – RM109,800

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
  • Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Dengan termeterainya perjanjian kerjasama strategik antara Proton dan Aapico Hitech minggu ini, salah sebuah syarikat pengeluar komponen automotif terbesar dari Thailand berkenaan turut mengumumkan bahawa satu lagi kerjasama Aapico akan masuk ke pasaran Malaysia, iaitu pembekalan sistem ekzos kawalan emisi kepada Proton.

    Tugas tersebut akan dilaksanakan menerusi Purem Aapico, iaitu syarikat kerjasama antara pembekal komponen ekzos dari Jerman Purem International dan juga Aapico Hitech. Kedua-dua syarikat itu telah menandatangani perjanjian kerjasama di Thailand pada Ogos tahun lalu, dengan Purem (yang juga merupakan sebahagian dari Eberspacher Group) memegang 51% saham, dan selebihnya dimiliki oleh Aapico.

    Kerjasama ini mensasarkan untuk mengilang dan membekalkan sistem serta komponen ekzos untuk pelbagai pengeluar kenderaan komersil dan juga penumpang bukan hanya di Thailand, malah untuk pasaran ASEAN. Produksi di Thailand akan dibuat di kilang baharu yang sedang dibangunkan di Amata City Rayong, yang terletak kira-kira 100km di tenggara Bangkok.

    Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Walaupun tahun lalu dinyatakan bahawa produksi sistem ekzos untuk pengeluar automotif antarabangsa tersebut akan dibuat di Thailand bermula suku ketiga 2023, komponen untuk Proton ini akan diproduksi di Malaysia oleh operasi Purem Aapico di sini, yang telah diwujudkan pada awal tahun ini dengan nama serta struktur pegangan saham yang sama seperti Purem Aapico Thailand.

    Presiden dan CEO Aapico Hitech Yeap Swee Chuan yang berasal dari Malaysia memberitahu bahawa kerjasama ini telah menggunakan modal pelaburan permulaan bernilai RM30 juta untuk perniagaan di sini. “Kilang sudah hampir siap. Kami menghabiskan masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkannya dan kami sudah pun mula memproduksi komponen ekzos untuk Proton,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh paultan.org.

    Purem Aapico bukan hanya akan membekalkan sistem ekzos kepada Proton, malah ia kini turut mengintai peluang untuk membekalkan komponen kepada OEM lain. Dengan adanya syarikat tersebut di Malaysia, ia akan menjadi pembekal ekzos alternatif selain dari Faurecia Exhaust International, iaitu pembekal ekzos dari Perancis yang kini beroperasi di sini dengan kerjasama DRB-Hicom menerusi syarikat Faurecia Hicom Emissions Control Technologies yang telah bertapak sejak 2012.

     
     
  • Jualan Proton naik 28.6% separuh pertama 2023 – Jun catat 14,351 unit terjual, X90 dominasi SUV segmen-D

    Jualan Proton naik 28.6% separuh pertama 2023 – Jun catat 14,351 unit terjual, X90 dominasi SUV segmen-D

    Proton telah mencatat kejayaan separuh pertama tahun 2023 dengan mencapai jumlah jualan terkumpul terbaik sejak tahun 2012. Dengan 14,351 unit dijual pada bulan Jun (bagi pasaram domestik dan eksport), jumlah jualan kini mencecah 77,321 unit, bersamaan dengan peningkatan 28.6% berbanding tahun sebelumnya. Sekaligus mengatasi pertumbuhan jualan untuk industri lebih daripada tiga kali ganda.

    Bagi bulan Jun 2023, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 61,900 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 23.2% manakala angka pegangan pasaran tahun sehingga kini telah meningkat semula kepada 21.3%, satu peningkatan sebanyak 3.2% dalam tempoh yang sama dari tahun 2022.

    Ini adalah angka pertumbuhan tertinggi di kalangan lima jenama teratas di pasaran automotif Malaysia, yang juga meningkat sebanyak 9.4% pada separuh pertama tahun ini. Di mana lima model keluaran Proton telah mendahului jualan segmen masing-masing pada Jun lalu, termasuk X90 yang mendominasi pasaran SUV segmen-D. Penghantaran X90 kini telah bermula dengan giat dan meningkat lebih daripada empat kali ganda pada bulan Jun. Sebanyak 1,082 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton itu telah diserahkan kepada pelanggan.

    Jualan Proton naik 28.6% separuh pertama 2023 – Jun catat 14,351 unit terjual, X90 dominasi SUV segmen-D

    Manakala Saga mendahului semula sedan segmen-A dengan melepasi angka 6,000 unit buat kali ketiga tahun ini setelah mengakhiri bulan Jun dengan 6,111 unit. Secara kumulatif, 33,325 unit telah dijual setakat ini, yang juga merupakan prestasi terbaik model itu sejak tahun 2012.

    Satu lagi model yang berada di puncak segmen pasarannya pada bulan Jun ialah Persona. Dengan 2,254 unit dijual pada Jun, ia mendahului semula sedan segmen-B sambil mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen keseluruhan selepas enam bulan. Persona juga mencatatkan prestasi terbaik bagi Proton dari segi pertumbuhan jualan individu dengan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 79.4% walaupun terdapat saingan yang lebih baharu dan lebih mahal daripada jenama lain.

    Sementara itu, X50 mengekalkan kedudukannya bukan sahaja sebagai pendahulu keseluruhannya untuk SUV segmen-B, tetapi juga kedudukannya sebagai SUV paling popular di Malaysia, satu kejayaan yang dipegang sejak pelancarannya pada bulan Oktober 2020. Sebanyak 2,449 unit telah dijual pada Jun manakala secara kumulatif, 17,562 unit telah diserahkan tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 9.9% berbanding tahun 2022.

    Peneraju segmen keseluruhan kelima Proton ialah Exora, yang kekal tidak dicabar dalam pasaran MPV segmen-C. Sebanyak 368 unit telah dijual pada Jun, membawa kepada peningkatan terkumpul sebanyak 21.5%..

    Sementara itu, Iriz mencapai jualan sebanyak 842 unit pada Jun, ketiga terbaik dalam segmennya, tetapi jualan keseluruhan telah mencerminkan prestasi Iriz dengan lonjakan 58.6% tahun ini. Bagi X70 pula, ia mencatatkan prestasi kedua terbaiknya untuk tahun ini dengan 1,245 unit dijual bulan lepas.

    “Prestasi Proton pada separuh pertama tahun 2023 patut diberi perhatian kerana kami mencapai permulaan tahunan yang terbaik sejak tahun 2012 dan juga berada di landasan untuk pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut. Angka-angka itu menunjukkan permintaan untuk produk kami kekal kukuh walaupun unjuran pengurangan kuasa beli untuk pengguna, dan ini terbukti dengan kadar pertumbuhan kami yang mengatasi pasaran keseluruhan lebih tiga kali ganda.

    Jualan Proton naik 28.6% separuh pertama 2023 – Jun catat 14,351 unit terjual, X90 dominasi SUV segmen-D

    “Ia juga menunjukkan bahawa strategi kami menawarkan produk berkualiti tinggi dengan teknologi ketersambungan pada harga yang berbeza-beza membolehkan kami meliputi sebahagian besar pembeli kereta Malaysia, ” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Tambah Roslan lagi, untuk separuh kedua tahun ini, Proton lebih yakin kerana mempunyai produk dan strategi promosi untuk meneruskan trajektori pertumbuhan syarikat. “Kami juga akan melaksanakan rancangan kami untuk mengemas kini rangkaian kami, melancarkan kemasukan kami ke pasaran EV Malaysia dengan PRO-NET dan meningkatkan lagi kualiti produk kami melalui pelaburan yang diumumkan tahun ini untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran kami,” katanya.

     
     
  • Kia Niro EV 2023 dilancar di M’sia — jarak perjalanan 460 km, 204 PS, AEB, ACC; harga dari RM257k

    Kia Niro EV 2023 dilancar di M’sia — jarak perjalanan 460 km, 204 PS, AEB, ACC; harga dari RM257k

    Pengedar jenama Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors yang juga anak syarikat Bermaz Auto (BAuto) hari ini memperkenalkan Kia Niro EV untuk pasaran tempatan. Ini merupakan model EV kedua yang ditawarkannya selepas Kia EV6 yang mula dijual pada Jun tahun lalu.

    Niro EV generasi kedua ini merupakan model CBU dari Korea Selatan dan ditawarkan hanya dalam satu varian dengan harga RM256,668 atas jalan tidak termasuk insuran. Ada tiga pilihan warna badan — Snow White Pearl, Mineral Blue dan Cityscape Green — dengan jaminan lima-tahun/150,000 km dan jaminan bateri lapan-tahun/160,000 km.

    Kereta ini mempunyai ukuran 4,420 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,720 mm — ini saiz di antara model Hyundai Kona Electric dan Ioniq 5. Ruang but yang tersedia pula ialah 475 liter, dan boleh menjadi 1,392 liter dengan kerusi barisan kedua direbahkan.

    Kia Niro EV 2023 dilancar di M’sia — jarak perjalanan 460 km, 204 PS, AEB, ACC; harga dari RM257k

    Untuk sistem janaan, Niro EV dilengkapi bateri lithium-ion dengan kapasiti sebanyak 64.8 kWh. Dengan kitaran WLTP, ini mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 460 km, dengan motor elektrik di depan yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) 255 Nm tork — dengan kelajuan maksimum 167 km/j.

    Pengecasan penuh dengan input AC (Type 2) pada kadar 11 kW memerlukan masa enam jam dan 20 minit, sementara dengan DC (CCS2) pada kadar 80 kW boleh mengecas bateri dari 10-80% SoC dalam masa 49 minit.

    Termasuk sekali dalam setiap pembelian ialah kabel pengecas Type 2 tiga-pin biasa yang akan memerlukan 27 jam untuk mengecas menggunakan outlet biasa di rumah (230 V/12 A). Model ini juga menyokong vehicle-to-load (V2L) dengan output sebanyak 3.6 kW untuk menjadi sumber kuasa kepada peranti elektrik lain.

    Kia Niro EV 2023 dilancar di M’sia — jarak perjalanan 460 km, 204 PS, AEB, ACC; harga dari RM257k

    Kelengkapan standard yang ada antara lain ialah rim 17-inci, lampu utama projektor LED automatik, DLR LED, lampu kabus depan dan belakang LED, lampu belakang LED, cermin sisi larasan elektrik dengan pemanas, sunroof, landasan bumbung, pintu barangan larasan kuasa, sensor depan dan belakang, sistem tanpa kunci dan brek parkir elektronik (dengan Auto Brake Hold).

    Di dalam, tersedia dua paparan 10.25-inci, satu untuk kluster instrumen digital dan satu lagi untuk sistem infotainmen, yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Lampu suasana dengan 64-warna juga ada, serta kawalan pendingin dua zon (dengan corong belakang), pengecas telefon tanpa wayar, balutan kulit, lapan-pembesar suara dan kamera undur.

    Kerusi depan berliang dengan larasan kuasa adalah standard, dengan fungsi memori untuk pemandu. Penumpang depan juga boleh memanfaatkan fungsi Premium Relaxation yang meletakkan kerusinya dalam mod “zero-gravity”.

    Kia Niro EV 2023 dilancar di M’sia — jarak perjalanan 460 km, 204 PS, AEB, ACC; harga dari RM257k

    Aspek keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, sistem pasif seperti ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, serta bantuan mula mendaki, peninjau tekanan tayar, pengingat penumpang belakang dan Safe Exit Assist.

    Sistem keselamatan aktif pula merangkumi High Beam Assist, Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist (AEB dengan sokongan keluar simpang), Lane Following Assist dan Smart Cruise Control (kawalan melayar adaptif) dengan fungsi Stop & Go.

     
     
  • LRT Laluan Shah Alam dijadualkan mula beroperasi Mac 2025, 86% siap setakat ini – Menteri MoT

    LRT Laluan Shah Alam dijadualkan mula beroperasi Mac 2025, 86% siap setakat ini – Menteri MoT

    Menteri Pengangkutan (MoT) Anthony Loke mengesahkan LRT3 atau kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam dijadualkan bakal mula beroperasi pada 1 Mac 2025, iaitu 19 bulan dari sekarang. Nampaknya gayanya jangkaan pembukannya yang dinyatakan sebelum ini iaitu Februari 2024 tidak kesampaian.

    Perkara ini diumumkan selepas beliau melawat depoh Johan Setia yang berada di dalam jajaran LRT berkenaan. Menurut Loke lagi, kemajuan projek LRT3 yang sedang rancak dilaksanakan itu setakat ini sudah mencapai 86% termasuk kerja-kerja lain seperti sistem signal, laporan Harian Metro.

    “Kita ada 22 set tren tiga koc, dalam tempoh ini ujian sedang dilaksanakan dan ia bakal memberikan kemudahan kepada lebih dua juta penduduk sekitar Pantai Barat Lembah Klang terutama dari Petaling Jaya ke Klang. (Ini) kawasan yang padat dengan penduduk dan pembangunan dijangkakan setiap hari kita boleh memberikan kemudahan kepada puluhan ribu penumpang menggunakan LRT3,” katanya.

    LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini mempunyai 20 stesen yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

    Ketika projek LRT3 diumumkan buat pertama kalinya pada 2016, ia direncanakan bakal mempunyai 26 stesen, namun perancangan tersebut dirombak semula pada tahun 2018 dengan membatalkan stesen di Persiaran Hishamuddin, Bandar Botanik, Bukit Raja, Raja Muda, Temasya dan Tropicana. Pembatalan stesen berkenaan disebabkan ia berdekatan dengan stesen yang turut tersenarai dalam perancangan awal.

    Pada Jun 2021, Rapid KL telah memaklumkan penerimaan set tren pertama untuk LRT Laluan Shah Alam. Set tren tiga gerabak ini kemudian dihantar ke fasiliti CCRC Rolling Stock (Malaysia) di Batu Gajah, Perak bagi kerja pemasangan bahagian dalaman tren. Difahamkan, LRT Laluan Shah Alam akan mempunyai 22 set tren tiga gerabak dibekalkan oleh CRRC Corporation Limited, China.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRN dan VLB dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan WP Kuala Lumpur dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BRN, mula dibuka bidaan hari ini 5 Julai 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 9 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Julai 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VLB, bakal dibuka bidaan mulai 7 Julai 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Julai 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga Honda HR-V 2023 di Malaysia naik sehingga RM1,100 untuk semua varian, kini bermula RM115,900

    Harga Honda HR-V 2023 di Malaysia naik sehingga RM1,100 untuk semua varian, kini bermula RM115,900

    Walaupun Honda Malaysia menyatakan ia tiada rancangan untuk menaikkan harga model-model baharu keluarannya pada awal tahun ini, nampaknya syarikat berkenaan telah mengalah dengan keputusan tersebut memandangkan keadaan ekonomi sedia ada, terutamanya nilai ringgit yang kini dilihat semakin lemah.

    Bermula hari ini, 5 Julai 2023, harga untuk SUV segmen-B Honda HR-V telahpun dinaikkan untuk kesemua varian. Menerusi satu senarai harga yang bocor semalam, kini model paling asas Honda HR-V iaitu gred 1.5L S dijual pada harga bermula RM115,900, atau RM1,100 lebih mahal berbanding harga yang diumum ketika ia dilancarkan pada Julai tahun lalu iaitu RM114,800.

    Ia diikuti HR-V 1.5 Turbo E kini dijual pada harga RM130,900 (sebelum ini RM129,800), 1.5 Turbo V dijual paa harga RM135,900 (sebelum ini RM134,800) dan varian tertinggi e:HEV RS hybrid dijual pada harga RM141,900 (sebelum ini RM140,800).

    Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan jika anda mahukan warna Premium White Pearl (ditawarkan untuk semua varian), tambahan RM600 perlu dibayar.

    HR-V pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam tiga unit rangkaian kuasa berbeza di mana model asas 1.5L S dijana oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC NA berkuasa 121 PS/145 Nm, varian 1.5 Turbo E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo berkuasa 181 PS/240 Nm.

    Manakala varian RS e:HEV menerima sistem hibrid i-MMD menggandingkan enjin petrol 1.5L NA kitaran Atkinson berkuasa 107 PS/131 Nm serta motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm.

    Sekali lagi kami senaraikan harga untuk Honda HR-V 2023 pasaran Malaysia bermula 5 Julai 2023 bagi memudahkan rujukan anda:

  • HR-V 1.5L S – RM115,900
  • HR-V 1.5T E – RM130,900
  • HR-V 1.5T V – RM135,900
  • HR-V 1.5L e:HEV RS – RM141,900
  • GALERI: Honda HR-V Turbo E 2023

    GALERI: Honda HR-V Turbo V 2023

    GALERI: Honda HR-V RS e:HEV 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025