Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Malaysia Speed Festival 2023 semakin maju – MSF Superturismo dan MSF Superbikes hujung minggu ini

    Malaysia Speed Festival 2023 semakin maju – MSF Superturismo dan MSF Superbikes hujung minggu ini

    Mula dianjurkan pada tahun 2010, Malaysia Speed Festival (MSF) kini melangkah lebih ke hadapan dengan tahun ini dengan dua daripada siri perlumbaan yang dianjurkan, iaitu MSF Supermoto dan Saga Cup dinaik taraf secara rasmi dan dikenali sebagai Malaysia Supermoto Championship dan Malaysia Saga Cup Championship.

    Selain daripada dua siri ini, MSF juga akan mengembangkan lagi siri perlumbaannya yang lain termasuk MSF Touge Hill Climb, MSF Super Turismo dan MSF Superbikes. Selain daripada itu, satu lagi siri baru yang melibatkan perlumbaan 88 pusingan di Litar Sepang akan diperkenalkan, dengan menggunakan nama Merdeka 88 Endurance.

    “2022 adalah satu tahun yang hebat bagi kami di MSF. Pada tahun itu, kami berjaya mengembangkan acara yang dianjurkan oleh MSF, dari perlumbaan untuk kereta saloon dan juga superbike di Litar Sepang, ke pelbagai lagi negeri dan segmen di Malaysia.”

    “Dorongan daripada kejayaan itu, kami sasarkan 2023 untuk mencatat kejayaan yang lebih besar. Tahun ini kami mensasarkan untuk menaik taraf beberapa komponen dalam siri, selari dengan aspirasi kami untuk menyebarkan keseronokan, keterujaan serta sukan permotoran mampu milik kepada rakyat Malaysia,” kata pengarah acara MSF, Adian Yein Khalid.

    Minggu ini, dua siri MSF akan berlangsung di Litar Sepang, iaitu MSF Superturismo dan MSF Superbikes, dengan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan suasana dan menikmati keterujaan perlumbaan.

    Dalam MSF Superturismo terdapat kategori Ultimate, Super, Production dan Saga Cup, sementara MSF Superbikes dibahagikan kepada kategori All Stars, GP Master, GP Pro, GP X dan Super Rookie. Pusingan seterusnya untuk dua siri ini adalah pada 9 Julai, 17 September dan 22 Oktober, sementara MSF Superturismo akan mempunyai tambahan satu lagi pusingan (pusingan kedua) pada 11 Jun.

    Maklumat lanjut berkenaan aktiviti MSF, penyertaan ataupun cara berkunjung boleh didapati di msfracing.com.

     
     
  • PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup hensem, prestasi power, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

    PANDU UJI: Nissan Almera Turbo – cukup <em>hensem</em>, prestasi <em>power</em>, tapi kenapa kurang atas jalan raya?

    Penulis masih ingat, ketika kami menyiarkan laporan-laporan awal berkenaan Nissan Almera generasi terkini iaitu N18 selepas ia diperkenalkan buat pertama kali diperingkat global pada April 2019, ramai yang memberikan komen positif terhadap model berkenaan.

    Maklumlah, Almera generasi sebelum itu (N17) hadir dengan rupa yang pelik sehingga ada yang menyifatkan sukar untuk membezakan bahagian hadapan dan belakangnya, manakala model generasi baharu ini pula tampil sebagai sebuah sedan yang cukup sporty dengan perbezaan antara kedua-duanya bagai langit dengan bumi.

    Model ini akhirnya rasmi dijual pada pasaran Malaysia pada lewat 2020. Namun setelah sekitar tiga tahun dalam pasaran, masih sukar untuk kita lihat kelibat Almera ini di atas jalan raya, berbanding seteru-seteru utamanya iaitu Honda City dan Toyota Vios. Apa yang tidak kena? Jadi kami ambil sebuah Almera ini untuk dipandu uji.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • VIDEO: MPV plat pendaftaran S’pura isi petrol RON95 – petugas stesen minyak segera hentikan pam

    VIDEO: MPV plat pendaftaran S’pura isi petrol RON95 – petugas stesen minyak segera hentikan pam

    Satu lagi video viral yang dikongsikan menerusi saluran Youtube SG Road Vigilante SGRV yang memaparkan seorang penumpang MPV Honda Odyssey dengan plat pendaftaran Singapura SLK366U telah mengisi minyak petrol RON 95 di sebuah stesen minyak Shell Lingkaran Kedua, Gelang Patah, Johor.

    Walau bagaimana pun, tindakan individu tersebut disedari oleh petugas stesen Shell itu yang dengan pantas menghentikan proses pengisian minyak tersebut. Namun tidak diketahui tindakan yang diambil oleh stesen minyak berkenaan kerana sedutan video berkenaan ‘terpotong’ begitu sahaja. Dengan sedutan seterusnya kelihatan individu berkenaan terus memasuki kenderaan dan berlalu pergi.

    Apa pun, tindakan pantas petugas stesen minyak berkenaan wajar dipuji kerana berjaya ‘mengekang’ tindakan warga asing yang ‘mencuri’ subsidi yang sepatutnya menjadi hak rakyat Malaysia sahaja.

    Sebelum ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

     
     
  • Lebih 80% faktor utama kemalangan jalan raya berpunca dari sikap manusia – Timbalan MOT

    Lebih 80% faktor utama kemalangan jalan raya berpunca dari sikap manusia – Timbalan MOT

    Berdasarkan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), lebih 80% faktor utama kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian di negara ini adalah berpunca daripada sikap manusia.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, rumusan berdasarkan kajian terbabit juga turut mendapati faktor rekaan, infrastruktur dan keadaan jalan hanya menyumbang sekitar 13% kepada kemalangan maut di jalan raya, laporan Berita Harian.

    Beliau turut berkata, selain itu, kira-kira 7% kemalangan menyebabkan kematian adalah berpunca daripada keadaan kelayakan jalan atau aspek teknikal kenderaan bermotor yang digunakan.

    “Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS telah melaksanakan pelbagai program intervensi bagi menangani isu keselamatan jalan raya secara berterusan.

    “Sebagai contoh, program Kesedaran Keselamatan dan Advokasi Terfokus untuk Pengguna Jalan Raya (SAFER) telah dilaksanakan JPJ di seluruh negara dengan memfokuskan kumpulan sasar berbeza, dalam memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, khususnya kepada penunggang motosikal. Ini kerana lebih 60% kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi. Ia adalah bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai punca dan penyelesaian dilaksanakan kementerian berkenaan isu kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas.

     
     
  • Polis nasihati pemandu lebih berhati-hati jika melalui jalan ditenggelami banjir – bahaya mungkin menanti

    Polis nasihati pemandu lebih berhati-hati jika melalui jalan ditenggelami banjir – bahaya mungkin menanti

    Seperti yang kami laporkan semalam, negeri Johor terutamanya di daerah Segamat, Kota Tinggi dan Masai sedang dilanda banjir besar. Setakat ini, mangsa banjir di sana telah melonjak seramai 25,213 mangsa.

    Dan semalam juga, seorang pekerja kilang kelapa sawit menjadi korban banjir pertama di negeri tersebut selepas Toyota Avanza dipandu dihanyutkan arus deras di Jalan GSA Chamek, Kluang. Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa K Sarathkumar, 20-an ditemukan dalam kenderaannya itu kira-kira 12.20 tengah hari, laporan Harian Metro.

    Manakala di Pahang juga, terdapat beberapa daerah turut dinaiki banjir. Di Kuantan, dua sahabat berdepan detik cemas selepas kereta yang mereka naiki dihanyutkan arus deras di Jalan Kampung Jara, Maran. Dalam kejadian tersebut, Mohamad Shah Bahanan dan Mohd Izuan Ismail yang bekerja sebagai pemandu Alam Flora Sdn Bhd Maran dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Maran.

    Mohamad Shah berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya dari Felda Jengka 20, Maran dalam perjalanan ke tempat kerja. Menurutnya, dia tidak menyedari ada air di atas jalan sebelum mendapati kereta dinaiki mereka dihanyutkan arus deras.

    Berikutan keadaan sekarang ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkongsikan pengingatan menerusi laman Facebook rasminya buat semua pemandu dan penunggang motosikal.

    Polis nasihati pemandu lebih berhati-hati jika melalui jalan ditenggelami banjir – bahaya mungkin menanti

    “JSPT menyarankan semua pemandu sentiasa berhati-hati semasa melalui jalan yang dinaiki air demi keselamatan diri dan harta benda agar selamat sampai ke destinasi. Namun, terdapat juga sesetengah pengguna kenderaan yang sanggup meredah banjir dan mereka berjaya melepasinya. Tetapi, jangan disangka semua kenderaan mampu melepasinya kerana ada ramai yang tersangkut akibat kenderaan mengalami kerosakan.

    “Untuk itu, JSPT ingin berkongsi kepada semua terutama pemandu kenderaan akan risiko yang bakal berlaku sekiranya meredah banjir. Sentiasa peka pada situasi semasa, rancang perjalanan dan patuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

    Menerusi info grafik yang dikongsikan, selain faktor keselamatan dan nyawa, apabila kenderaan meredah air banjir terdapat beberapa risiko yang mungkin menanti. Antaranya enjin kenderaan boleh mati akibat ‘hydrolock’ apabila air memasuki ruangan kebuk enjin. Bahkan komponen-komponen kenderaan juga berpotensi rosak.

    Selain itu kenderaan tersebut mungkin tersangkut dalam banjir dan tidak dapat bergerak sama sekali, maka kebarangkalian timbul risiko terhadap keselamatan dan nyawa pemandu serta penumpang.

    Untuk itu, jangan sesekali ‘berani’ meredah laluan yang ditenggelami banjir kerana kita tidak tahu apa bahaya yang menanti. Jika bernasib baik, anda mungkin mampu mengharungi banjir tersebut hingga ke laluan yang selamat. Namun jika sebaliknya… (anda tahu kebarangkaliannya bukan?)

     
     
  • KL Car Free Morning pada 5 & 12 Mac dibatalkan

    KL Car Free Morning pada 5 & 12 Mac dibatalkan

    Pihak pengurusan KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan tidak akan dilangsungkan pada Ahad ini, 5 Mac dan juga minggu hadapan, 12 Mac 2023.

    Pembatalan KLCFM disebabkan terdapat dua acara bakal berlangsung di lokasi yang berkenaan iaitu Kuala Lumpur City Day Half Marathon 2023 pada 5 Mac, manakala OCBC Cycle (The City Ride 2023) pada 12 Mac.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Penunggang motosikal tular tunjuk samseng di S’wak ditangkap – empat rekod jenayah, positif dadah

    Penunggang motosikal tular tunjuk samseng di S’wak ditangkap – empat rekod jenayah, positif dadah

    Penunggang motosikal yang tular beberapa hari lalu dengan melakukan provokasi terhadap pemandu sebuah kereta di Jalan Tabuan Tranquality, Kuching Sarawak kini sudah ditangkap.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun telah ditangkap di sebuah rumah di Kampung Beradek Ulu, Kuching pada 27 Februari 2023.

    Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan kes rompak dan samun, serta didapati positif dadah jenis metamphetamine. Suspek kemudiannya direman selama tiga hari untuk melengkapkan siasatan di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beberapa hari lalu tular satu video yang menunjukkan seorang penunggang motosikal melakukan provokasi terhadap pemandu sebuah kereta dengan menunggang secara melulu dan menunjukkan aksi lagak samseng sehingga menahan kereta tersebut sehingga berhenti. Penunggang motosikal Y15ZR itu juga didapati tidak memakai helmet.

     
     
  • Nissan Leaf 2023 bakal tiba dalam masa terdekat

    Nissan Leaf 2023 bakal tiba dalam masa terdekat

    Dari hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook Nissan Malaysia bulan lalu, Nissan Leaf generasi kedua bagi model tahun 2023 nampaknya akan tiba di sini tidak lama lagi. Dengan jelas hantaran berkenaan memaklumkan bahawa model terbabit akan sampai dalam masa terdekat.

    Perubahan facelift bagi Leaf 2022 agak minimal. Bahagian luaran hanya melibatkan kemaskini untuk rekaan gril dan penggunaan logo baru jenama berkenaan, begitu juga dengan rekaan rim dan lampu belakang, serta pilihan warna baru.

    Tiada perubahan dalaman yang diberikan, maka kabinnya kekal sama seperti sebelum ini, selain logo baru yang menggantikan logo lama. Kelengkapan lain seperti skrin sentuh infotainmen NissanConnect dengan Android Auto/Apple CarPlay, teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan ProPILOT serta servis lain juga masih dikekalkan.

    Kemaskini terbaru ini juga tidak melibatkan sebarang perubahan mekanikal. Untuk itu, Leaf terus ditawarkan dengan dua konfigurasi output yang sama seperti sebelum ini. Model paling asas, yang diperkenalkan di sini pada 2019, datang dengan bateri 40 kWh dan motor elektrik yang menjana 150 PS (148 hp) dan 320 Nm tork yang memacu roda depan, dan dapat memberikan jarak perjalanan sejauh 311 km (kitaran NEDC).

    Satu lagi ialah versi e+ yang menggunakan bateri 62 kWh dan output lebih tinggi dengan 217 PS (214 hp) dan 340 Nm. Ada kemungkinan kemaskini 2023 untuk pasaran tempatan di sini akan terus menawarkan versi bateri 40 kWh.

    Belum ada petunjuk berkaitan harganya, tetapi ia tidak akan berbeza terlalu banyak dari versi sebelumnya, yang dijual pada harga RM188,888 ketika pengenalannya pada 2019, sebelum menjadi RM168,800 dan kemudiannya RM175,800.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Mac – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 2-8 Mac – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 2 hingga 8 Mac 2023, tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel. Ini merupakan minggu kesepuluh harga runcit petrol dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Buat masa ini, kerajaan masih belum mengumumkan mekanisme bagi subsidi bersasar untuk petrol RON95. Untuk makluman anda, tanpa subsidi kerajaan, petrol RON95 dijual pada harga RM3.22 seliter di Malaysia.

     
     
  • Banjir kilat di Sarawak — mangsa cecah 278 orang

    Banjir kilat di Sarawak — mangsa cecah 278 orang

    Jumlah mangsa banjir di Kuching, Bau dan Siburan di Sarawak pagi tadi sudah mencecah 278 orang, berbanding 127 orang semalam, menurut laporan Bernama. Dan, susulan daripada itu, enam pusat pemindahan banjir telah dibuka untuk menampung jumlah mangsa terlibat, seperti dikongsikan oleh sekretariat Jabatan Pengurasan Bencana Negeri.

    Pusat penempatan sementara yang terbesar menempatkan seramai 124 orang daripada 26 keluarga, dengan dua lagi pusat dengan masing-masing menempatkan 76 mangsa dari 17 keluarga dan 22 mangsa dari lima keluarga. Di Bau, dua pusat pemindahannya masing-masing menempatkan 20 mangsa dari lapan keluarga dan sembilan mangsa dari dua keluarga. Sementara di Siburan, satu pusat pemindahan dibuka, menempatkan 27 mangsa dari lapan keluarga.

    Banjir kilat di Sarawak — mangsa cecah 278 orang

    Dengan negeri Johor juga dilancar banjir kilat, dan berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, Sarawak juga telah dikeluarkan status amaran bagi kemungkinan hujan berterusan, termasuk juga negeri Perak, Terengganu, Pahan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya setakat jam 1.05 pm hari ini.

    Bagi pemilik kenderaan, jangan lupa untuk dapatkan perlindungan banjir bagi insuran kenderaan anda. Ia satu perkara yang diperlukan ketika ini. Jika anda belum tahu tentang ini, kami ada sediakan laporan sebelum ini berkaitan cara dan kira-kira yang terlibat. Jangan lupa untuk lindungi kenderaan anda, terutama mereka yang tinggal di kawasan yang berkemungkinan tinggi dan kerap banjir. Semuanya boleh di rujuk di sini.

     
     
  • Harga Tesla apabila dibeli melalui saluran rasmi di Malaysia – bolehkah harga di Thailand jadi petunjuk?

    Harga Tesla apabila dibeli melalui saluran rasmi di Malaysia – bolehkah harga di Thailand jadi petunjuk?

    Memandangkan sekarang kita sudah tahu Tesla akan masuk secara rasmi ke Malaysia, mungkin ramai yang akan mula mempertimbangkannya sebagai kereta yang akan dibeli, termasuk mereka yang sebelum ini tidak pernah tertarik dengan kereta elektrik jenama Amerika Syarikat itu.

    Beralih kepada kenderaan elektrik ini pertamanya anda perlu mengatasi halangan mental berkenaan idea menggunakannya sebagai kereta harian dan bukannya kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), dengan kebimbangan terhadap perkara seperti jarak gerak bateri dan keberadaan pengecas sebagai penghalang utama.

    Kemudiannya, walaupun anda sudah boleh menerima perkara ini, dan membuat keputusan mahu memiliki sebuah kereta elektrik, datang pula kerisauan tentang servis selepas jualan Tesla di Malaysia. Pusat servis rasmi paling dekat dengan kita sekarang adalah di Singapura, dan pemilik yang menyertai program pajakan Greentech pula diketahui telah menghantar kenderaan mereka sehingga ke Hong Kong untuk kerja-kerja baik pulih yang besar.

    Mereka yang membeli daripada pengimport persendirian pula setakat ini menghantar Tesla mereka ke bengkel luar yang dikendalikan oleh warga Malaysia seperti Exotic Mods, yang setakat ini diketahui agak bagus. Melalui pemerhatian kami, tidak pernah lagi kami dengar Tesla yang tidak boleh dibaiki.

    Harga Tesla apabila dibeli melalui saluran rasmi di Malaysia – bolehkah harga di Thailand jadi petunjuk?

    Jadinya, berapa harga Tesla yang diimport secara rasmi ke Malaysia ini? Sekarang ini kenderaan elektrik yang diimport penuh (CBU) diberikan pengecualian duti import dan eksais. Satu-satunya duti yang perlu mereka bayar adalah SST sebanyak 10%.

    Besar kemungkinan harga model yang dibawa secara rasmi oleh Tesla Malaysia akan menjadi lebih rendah berbanding Tesla yang dibawa masuk oleh pengimport persendirian. Tetapi berapa sebenarnya? Mungkin kita boleh mengambil harga di negara jiran, Thailand sebagai rujukan.

    Di sana, hanya ada dua model yang sedang dipasarkan secara rasmi, iaitu Model 3 dan Model Y, sementara Model S dan Model X masih belum ada. Berikut adalah harganya:

    Tesla Model 3 SR+ – THB 1,759,000
    Tesla Model 3 LR – THB 1,999,000
    Tesla Model 3 P – THB 2,309,000
    Tesla Model Y SR+ – THB 1,959,000
    Tesla Model Y LR – THB 2,259,000
    Tesla Model Y P – THB 2,509,000

    Mengikut kadar tukaran wang hari ini, harga di atas apabila ditukar ke ringgit Malaysia adalah:

    Tesla Model 3 SR+ – RM225k
    Tesla Model 3 LR – RM256k
    Tesla Model 3 P – RM296k
    Tesla Model Y SR+ – RM251k
    Tesla Model Y LR THB RM290k
    Tesla Model Y P – RM322k

    Ditambah pula 10% untuk SST, mungkinkah harga Tesla di Malaysia nanti berada pada lingkungan ini?

    Tesla Model 3 SR+ – RM247k
    Tesla Model 3 LR – RM281k
    Tesla Model 3 P – RM326k
    Tesla Model Y SR+ – RM276k
    Tesla Model Y LR THB RM319k
    Tesla Model Y P – RM354k

    Apa pendapat anda dengan kebarangkalian harga ini? Adakah ia cukup membuatkan anda tertarik untuk memiliki sebuah Tesla di Malaysia? Jika ya, model apa dan varian apa yang sedang anda pertimbangkan? Beritahu kami dalam ruangan komen.

     
     
  • Honda Malaysia tawar rebat hingga RM4k sepanjang Mac 2023 – Accord, CR-V, City termasuk hatchback

    Honda Malaysia tawar rebat hingga RM4k sepanjang Mac 2023 – Accord, CR-V, City termasuk hatchback

    Selepas perayaan Tahun Baharu Cina, lebih kurang tiga minggu lagi bulan Ramadan pula bakal tiba dan pertengahan bulan hadapan, kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Sudah tentu ada di antara kita yang sedang ‘berangan’ untuk membawa kenderaan baharu balik ke kampung halaman.

    Memahami kehendak itu, seperti musim perayaan lain, Honda Malaysia tidak ketinggalan untuk menawarkan kempen promosi, kali ini dengan “Kongsi Bersama Rewards” untuk sepanjang Mac 2023.

    Kempen ini adalah untuk kereta yang didaftarkan pada Mac 2023, dengan jumlah penjimatan sehingga RM4,000. Ia bukanlah melibatkan stok lama, sebaliknya model tahun 2023 ‘fresh dari oven!’. Model yang mengambil bahagian ialah City, City Hatchback, Accord dan CR-V.

    Klik untuk besarkan

    Rebat terbesar pastinya untuk kereta bersaiz besar iaitu Accord yang merupakan sedan segmen-D dengan menerima penjimatan sehingga RM4,000. Diikuti dengan SUV CR-V yang menerima rebat sebanyak RM3,000.

    Manakala kesemua lima varian City sedan – S, E, V, V-Sensing dan RS – menerima rebat sebanyak RM2,000, lebih RM1,000 berbanding yang ditawarkan kepada lima varian City Hatchback.

    Kalau ikutkan rebat yang ditawarkan memanglah tidak banyak mana pun, tetapi untung jugalah sebab ia melibatkan kereta keluaran 2023, bukannya stok lama. Sama ada anda sedar atau tidak, insentif yang diberikan tidaklah seperti waktu pasca-pandemik yang pernah ditawarkan sebelum ini.

     
     
  • Tesla bakal buka pusat jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger di M’sia – Tengku Zafrul

    Tesla bakal buka pusat jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger di M’sia – Tengku Zafrul

    Tidak lama lagi rakyat Malaysia berpeluang untuk membeli kenderaan elektrik Tesla secara terus dari Tesla Motors. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri MITI Tengku Zafrul menerusi paltform media sosial rasminya sebentar tadi.

    Menurut Tengku Zafrul, Tesla akan membuka pejabatnya di sini bersama dengan pusat jualan dan pusat servis serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia. Tambahnya, kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif ‘BEV Global Leaders’ bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

    Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia. Tesla merupakan pemohon pertama inisiatif yang ditawarkan oleh MITI.

    Tesla bakal buka pusat jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger di M’sia – Tengku Zafrul

    Kehadiran Tesla di Malaysia juga dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.

    “Kami gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia.

    “Walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara pro-perdagangan, pro-industri dan pro-pelaburan.

    “Kami juga akan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” katanya.

     
     
  • Johor dilanda banjir kilat – 1,591 mangsa dipindahkan; hujan lebat dijangka berterusan hingga Khamis

    Johor dilanda banjir kilat – 1,591 mangsa dipindahkan; hujan lebat dijangka berterusan hingga Khamis

    Hujan yang turun secara berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa daerah di Johor sekali lagi dilanda banjir kilat. Seramai 1,591 mangsa dari empat dari empat daerah terbabit telah dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi, laporan Bernama.

    Antara lokasi yang dilanda banjir kilat ialah Kampung Plentong Baru, Jalan Kangkong, Jalan Mawar, Jalan Kongkong dan Jalan Bunga Tanjung yang terletak di Masai. Selain itu, lokasi lain termasuk Batu 19, Sungai Tiram, Kluang, Jalan Sungai Tiram (Senai), Chaah (Segamat), Labis, Kangkar Tebrau, Kota Tinggi dan Kota Masai.

    Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, terdapat beberapa laluan yang ditutup kerana ditenggelami banjir. Ini termasuk Kluang-Mersing (Padang Hijau), Jalan Mohd Salim, Jalan Jemaluang Batu Pahat di daerah Mersing, dan beberapa jalan di Kota Tinggi (Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Kota Kecil, Jalan Kota Tinggi-Kluang (Kampung Jawa), Jalan Kota Tinggi-Kluang (Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab) dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (Kampung Batu 25).

    Johor dilanda banjir kilat – 1,591 mangsa dipindahkan; hujan lebat dijangka berterusan hingga Khamis

    “Diharap pengguna jalan raya merancang perjalanan masing-masing disebabkan terdapat beberapa laluan ditenggelami banjir dan berlaku tanah runtuh di beberapa daerah,” kata JKR Johor.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menjangkakan hujan lebat berterusan sehingga Khamis ini di beberapa buah negeri. Paras air pada tahap berbahaya juga telah dicatatkan di beberapa sungai di Johor. Apa pun, harap semua mangsa yang terlibat teruslah bersabar menghadapi ujian ini.

    Kita memang tidak dapat mengelakkan risiko bencana banjir, namun berapa ramai di antara kita yang menyedari kepentingan mengambil insurans kenderaan termasuk menyertakan sekali insurans bencana alam? Ketahuilah bahawa kos untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir bukannya kecil. Justeru, peruntukan sedikit modal untuk menambah kos insurans kenderaan anda dengan perlindungan bencana alam termasuk banjir.

     
     
  • DRB-Hicom University rai 1,076 graduan termasuk 7 pemegang ijazah PHD pertamanya dalam majlis konvo

    DRB-Hicom University rai 1,076 graduan termasuk 7 pemegang ijazah PHD pertamanya dalam majlis konvo

    DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM U) telah meraikan usaha tekun dan pencapaian pelajarnya dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung padaq 25-26 Februari lalu di Pekan, Pahang.

    Majlis konvokesyen ke-7 sebanyak tiga sesi ini merupakan yang pertama kalinya diadakan secara fizikal selepas tidak dilaksanakan selama tiga tahun susulan pandemik COVID-19. Dalam majlis tersebut, DRB-HICOM U telah menganugerahkan PhD, ijazah sarjana dan sarjana muda, diploma, sijil profesional dan sijil kemahiran kepada sejumlah 1,076 graduan.

    Disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Dato’ Sri Syed Faisal Albar yang menganugerahkan skrol kepada graduan pada sesi pertama. Manakala, Naib Canselor Prof. Dato’ Sr. Dr. Omar Osman
    menganugerahkan skrol bagi sesi-sesi berikutnya.

    Prof. Omar dalam ucapannya berkata, universiti ini turut menganugerahkan tujuh ijazah PhD buat pertama kalinya pada konvokesyen ini. Dalam masa yang sama, beliau menyeru graduan agar terus berusaha menimba ilmu kerana ini akan memberi peluang kepada mereka untuk mencapai aspirasi mereka.

    “Insya-Allah, kita akan melihat lebih ramai graduan PhD dihasilkan oleh Universiti ini selaras dengan usaha Universiti dalam pelaksanaan jaringan penyelidikan antara pihak universiti, kerajaan dan swasta,” katanya.

    Selain itu, pihak universiti turut menganugerahkan Hadiah Buku, Anugerah Khas, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pengerusi dan Anugerah Canselor kepada 75 graduan tahun 2020, 2021 dan 2022.

    Dalam ucapan daripada penerima Anugerah Pengerusi 2022, Abdullah Hakim Yunus menyeru rakan-rakan graduan untuk terus mengejar impian mereka, berkembang dan berusaha untuk mencapai kejayaan. Hakim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Mekatronik) dengan Kepujian dengan memperolehi PNGK 3.96.

    Penerima Anugerah Canselor 2022, Aiza Syahira Azhar, yang kini merupakan kakitangan di DRB-HICOM U, menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dengan PNGK3.96. Aiza turut mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah mengorbankan masa, tenaga dan buah fikiran dalam mendidik, membimbing dan menyampaikan ilmu kepada pelajar.

    Sehingga kini, 34 program akademik di DRB-HICOM U telah diberi akreditasi penuh dengan empat program baharu dijangka diiktiraf pada suku pertama 2023.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025