Sime Darby hari ini melancarkan sebuah anak syarikat baru yang dinamakan sebagai Kineta, yang bertindak menyediakan penyelesaian mengecas kenderaan elektrik di Malaysia. Syarikat ini membawa pelbagai barisan produk daripada jenama pengecas terkenal seperti Wallbox, StarCharge, Tritium, Autel dan pelbagai lagi, dengan tetapan AC dan juga DC.
Terbuka untuk jualan kepada individu dan juga perusahaan, Kineta telah melantik pembekal dan pemasang pengecas EV sendiri untuk jenama di bawah Sime Darby Motors yang menjual EV, termasuk BMW, Hyundai, Porsche, Volvo dan BYD.
Pada masa ini, Kineta mengendalikan pengecas EV yang terletak di pusat pameran Auto Bavaria, di mana penggunaannya boleh ditempah melalui aplikasi Go To-U yang dikendalikan oleh TNBX, iaitu sebuah anak syarikat Tenaga Nasional. Selain daripada itu, Kineta juga mempunyai kerjasama dengan Ecoride dan Mydin untuk pemasangan dan pengurusan pengecas kenderaan.
Pemilik EV yang mahu mendapatkan pengecas kenderaan rumah melalui Kineta boleh memilih pelbagai produk, antaranya Wallbox Pulsar Plus yang datang dalam beberapa konfigurasi (7.4 kW dan 22 kW), dan pakar terlatih akan memberikan nasihat berguna serta pilihan alternatif yang tersedia.
Kineta terletak di Sime Darby Motors City, Ara Damansara. Kawasan ini menempatkan pusat pameran dan servis pelbagai jenama dan tidak lama lagi akan disertai oleh BYD. Apabila pusat pameran BYD dibuka, Kineta akan memasang empat lagi pengecas di situ.