Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota kurangkan 100k unit pengeluaran global bagi Jun — perintah berkurung di Shanghai antara punca

    Toyota kurangkan 100k unit pengeluaran global bagi Jun — perintah berkurung di Shanghai antara punca

    Toyota mengumumkan yang syarikat itu akan menggantungkan operasi pada hari-hari terpilih sepanjang Mei dan Jun di beberapa kilangnya di Jepun. Dan ini ada kaitannya dengan kesan pandemik Covid-19 yang masih memberi kesan kepada segenap aktiviti kehidupan hari ini.

    Menurut pengeluar kenderaan Jepun itu, penyesuaian terhadap perancangan pengeluaran itu disebabkan oleh gangguan bekalan alatan sebagai kesan kepada perintah berkurung ketika ini yang dikenakan di Shanghai, serta kesukaran mendapatkan bekalan semikonduktor.

    Toyota menambah, rancangan pengeluarannya bagi Jun akan dikurangkan sebanyak 100,000 unit menjadi 850,000 unit (2,500 unit di Jepun dan 600,000 unit pasaran luar), dan angka ini juga akan menjadi purata sehingga Ogos nanti.

    Bagi tempoh penuh fiskal tahun 2023, Toyota tidak mengubah anggaran pengeluarannya iaitu sebanyak 9.7 juta kenderaan di seluruh dunia. Walaupun begitu, syarikat itu memaklumkan bahawa faktor luaran menjadikannya sukar untuk merancang, walaupun masih akan berusaha mengeluarkan seberapa banyak kenderaan yang boleh.

     
     
  • JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    JPJ telah mengumumkan yang nombor plat BQY, AML dan VJB adalah siri berikutnya yang akan dibuka untuk bidaan melalui platform dalam talianya, JPJ eBid.

    Nombor plat semasa bagi Selangor ketika ini ialah “BQY”, dan ia akan dibuka untuk tender pada 25 Mei, esok. Tempoh bidaan dalam JPJeBid adalah lima hari, berakhir 10 pm pada 29 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan diumumkan pada keesokan harinya, 30 Mei. Keseluruhan proses kini dalam talian sejak beberapa waktu kebelakangan ini, dan pembida akan dimaklumkan melalui emel.

    Kini ditawarkan untuk bidaan ialah siri Perak “AML”. Tempoh bidaan bermula 23 Mei dan tamat pada 10pm, 27 Mei. Begitu juga dengan siri Wilayah “VJB” yang dibuka pada 21 Mei dan bakal berakhir 10pm esok, 25 Mei. Keputusan akan dimaklumkan sehari selepas tarikh bidaan ditutup.

    JPJ eBid: Plat BQY, AML, VJB dibuka untuk bidaan

    “BQY” adalah aksara terdekat untuk mendapatkan perkataan “BOY”. AML pula boleh menjadi singkatan kepada Aston Martin Lagonda pada 1980an dahulu, dan mungkin sesetengah kaki kereta pernah melihat Aston Martin dengan plat AML yang mungkin milik pengeluarnya di UK.

    Kalau anda ada kereta baru yang bakal tiba dan inginkan nombor plat dari siri yang membawa makna kepada anda, maka ini caranya untuk anda memilih sendiri dan mencuba nasib. Lebih penting, dengan cara ini anda akan dapat melangkau harga tinggi yang ditetapkan oleh penjual semula dan juga tiada yuran runner.

     
     
  • Australia uji tanda jalan menyala-dalam-gelap; sebahagian dari pakej keselamatan RM12.5 juta

    Australia uji tanda jalan menyala-dalam-gelap; sebahagian dari pakej keselamatan RM12.5 juta

    Anda mungkin ada terlihat hantaran-hantaran media sosial yang menunjukkan jalan-jalan raya yang diberikan tanda-tanda dan garisan menggunakan bahan menyala-dalam-gelap ini bukan? Jalan-jalan tersebut sebenarnya berada di Australia – syarikat tempatan negara berkenaan, Tarma Linemarking telah dipilih oleh pihak berkuasa keselamatan pengangkutan jalan raya VicRoads, bersama syarikat keselamatan permukaan OmniGrip bagi menguji tanda-tanda jalan raya foto-pendarkilau di jalan raya terpilih sekitar Victoria.

    Penggunaan tanda-tanda jalan yang menyala-dalam gelap ini merupakan sebahagian dari program keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh Regional Roads Victoria, dan ia adalah salah satu dari tiga inisiatif Pakej Inovatif negeri tersebut, dengan pelaburan berjumlah AUD$4 juta (RM12.5 juta) telah dibuat bagi aplikasi di 70 lokasi seluruh Victoria, sebagai sebahagian dari peruntukan program keselamatan raya negeri yang bernilai AUD$245 juta (RM763 juta).

    Menurut Tarmac LineMarking dalam hantaran Facebook terbaharu mereka menyatakan bahawa “semua penduduk merentas Gippsland, dari Philip Island hingga ke sempadan” akan dapat merasai pengalaman menggunakan jalan raya dengan tanda jalan menyala-dalam-gelap berkenaan.

    Perkara kedua dari tiga inisiatif Pakej Inovatif program keselamatan di negeri berkenaan adalah tanda jalan dengan reflektor yang mampu membalikkan cahaya dalam kadar lebih tinggi, dengan penggunaan manik kaca lebih tebal serta tambahan termoplastik pada car tanda jalan berkenaan.

    Manakala perkara ketiga dalam pakej tersebut adalah penggunaan taktil LED pada lintasan pejalan kaki, iaitu lantai LED yang akan memberikan warna nyalaan (merah dan hijau) sama dengan lampu isyarat bagi memberikan isyarat lebih jelas kepada pejalan kaki, terutamanya untuk mereka mempunyai pengilhatan yang berkurangan atau terganggu.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Sudah lebih setahun Mercedes-Benz EQS diperkenalkan di peringkat global, kini pengeluar kereta Jerman tersebut telah menambah dua lagi varian baharu untuk pelanggan buat pilihan iaitu EQS 450 4Matic dan EQS 500 4Matic.

    Dengan pertambahan dua varian baharu ini, secara keseluruhannya menjadikannya sebanyak enam varian bagi famili EQSm termasuk EQS 450+ dan EQS 580 4Matic yang diperkenalkan April tahun lalu, diikuti dengan EQS 53 4Matic+ di bawah payung AMG pada September dan EQS 350 pada November.

    Kedua-dua EQS 450 4Matic dan EQS 500 4Matic didatangkan dengan dua motor elektrik – satu pada setiap gandar – untuk pacuan semua-roda dan berkongsi bateri yang sama iaitu lithium-ion dengan kapasiti tenaga 107.8 kWh. EQS 450+ pacuan roda-belakang juga menggunakan bateri yang sama, tetapi hanya varian asas EQS 350 menggunakan kapasiti yang lebih kecil iaitu 90.6 kWh.

    Mercedes-Benz EQS dapat varian EQS450, EQS500 4Matic – jarak hingga 685 km, bakal tiba di Malaysia?

    Bagi kuasa yang dihamburkan, EQS 450 4Matic menawarkan 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan tork 800 Nm, yang membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat. Sementara itu, EQS 500 4Matic pula dengan kuasa yang lebih padu mencecah 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan 855 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    Walau pun menawarkan angka prestasi dan masa pendikitan yang berbeza, kedua-dua varian baharu ini ditawarkan dengan jarak yang sama iaitu 685 km bagi pengecasan penuh mengikut kitaran-WLTP, iaitu lebih baik daripada EQS 350, EQS 580 4Matic dan EQS 53 4Matic+, tetapi tidak boleh menandingi EQS 450+.

    EQS dijangkakan bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, malah teaser bagi model ini telah pun dipaparkan menerusi laman web Mercedes-Benz Malaysia. Syarikat ini juga semakin memperhebatkan promosi barisan kenderaan elektriknya bermula dengan pelancaran EQA pada Mac tahun ini.

     
     
  • Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mengesahkan kerajaan telah memberikan kelulusan berprinsip untuk tiga projek lebuhraya baharu di Lembah Klang. Ia melibatkan projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya – Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).

    Menurut beliau, pembinaan lebuhraya baharu itu bakal mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan.

    “Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya. Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif (pengguna) pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

    Lebuh raya di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk sejak dua minggu lalu ekoran pertambahan kenderaan yang semakin tinggi selepas penarikan balik sekatan pergerakan Covid-19.

    Tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang telah dapat kelulusan berprinsip bagi atasi kesesakan – Menteri

    Walau bagaimana pun, katanya, pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya disebabkan oleh kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.

    “Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuhraya baharu) tidak dapat menampung (jumlah trafik semasa). Sebab itu itu di peringkat kerajaan, kita buat juga pengangkutan awam seperti MRT, LRT. Ini sebahagiannya untuk memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan kepada rakyat.

    “Kalau ada 60% mengguna jalan raya, 40% lagi guna pengangkutan awam ianya akan dapat mengimbangi dengan peningkatan kenderaan, ia juga dapat mengurangkan kesesakan jalan,” ujarnya.

     
     
  • Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Selepas ditunjukkan dalam bentuk konsep ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 Januari lalu dengan nama K-EV Concept X-Style, model produksi sebenar K-Car berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) Mitsubishi itu kini telah diperkenalkan secara rasmi di Jepun dengan nama Mitsubishi eK X EV.

    Seperti model berkuasa petrolnya iaitu eK X (X disebut sebagai ‘cross’) yang merupakan kembar kepada Nissan Dayz, eK X EV ini pula adalah kembar kepada Nissan Sakura di mana kedua-duanya masih merupakan produk yang dibangunkan dan diproduksi di bawah program kerjasama Nissan Mitsubishi Kei Vehicle (NMKV).

    Sakura dan eK X EV berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol.

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan. Juga sama seperti Sakura, model Mitsubishi ini turut dibekalkan dengan bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh.

    Bateri berkenaan memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1). Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), bateri berkenaan boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. Ia juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan

    Rupa luaran eK X EV ini nampaknya masih sama seperti eK X bukan-EV. Ia diberikan muka Dynamic Shield dengan elemen ‘X’, bersama lampu nyalaan siang LED tirus di atas dan lampu utama pada bampar seperti Mitsubshi Xpander. Tiang-C K-Car ini hadir dengan kemasan berwarna hitam bagi menampakkan bumbungnya seakan terapung, bersama lampu belakang yang direka menegak.

    Mitsubishi eK X EV didedah di Jepun – K-Car elektrik bermula RM64k, 64 PS/195 Nm, jarak gerak 180 km

    Walau bagaimanapun, masih terdapat sedikit perbezaan kecil antara eX X EV dengan versi hibrid petrol. Antaranya pada bahagian gril tanpa lubang aliran udara serta diberikan bar melintang untuk eK X EV ini, dan juga lampu kabus berbentuk empat segi berbanding bulat pada eK X biasa.

    Bentuk asas papan pemuka model EV dengan model petrol bagi eK X berkenaan juga masih sama, tetapi dibezakan oleh pelbagai perincian. Antara perbezaan pada eK X EV ini termasuk paparan instrumen digital, skrin sesentuh infotainmen lebih tersendiri dengan pilihan tujuh- atau sembilan inci bergantung kepada varian, tombol gear lebih unik, kawalan penghawa dingin digital dan pelbagai lagi.

    Kedua-dua varian eK X EV ini iaitu model asas G dan varian tertinggi P hadir dengan sistem bantuan pemanduan Mi-Pilot secara standard. Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, bantuan dan amaran kekal lorong, lampu tinggi automatik, kawalan salah tekan pedal dan juga pengecam tanda trafik.

    Manakala sistem keselamatan lain yang dibekalkan pada K-Car elektrik ini termasuk tujuh-beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, sistem brek ABS bersama EBD, penderia parkir hadapan dan belakang serta bantuan mula mendaki.

    Perincian-perincian lain yang turut didatangkan pada Mitsubishi eK X EV ini termasuk lampu-lampu LED (lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang, serta lampu kabus hanya untuk varian P), pilihan upholsteri hitam atau kelabu (kulit sintetik ditawarkan sebagai opsyen), enam pembesar suara, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup, sistem Mitsubishi Connect (opsyen untuk model G), serta rim aloi 14-inci untuk varian G dan 15-inci untuk varian P.

    Mitsubishi eK X EV ini dijual pada harga bermula 2.398 juta yen (RM82,638) untuk model asas G, sehingga 2,932,600 yen (RM101,052) untuk model tertinggi P. Ia adalah jauh lebih mahal dari versi petrol dimana Mitsubsishi eK X biasa dijual pada harga antara 1.463 juta dan 1,688,500 yen (RM50,412 dan RM58,183).

    Walau bagaimanapun, dengan subsidi kenderaan tenaga bersih yang diberikan kerajaan Jepun, pelanggan bakal menerima penjimatan bernilai 550,000 yen (RM18,952), membolehkan ia dijual pada harga 1.848 juta yen (RM63,709). Jika dicampur sekali dengan skim pencukaian untuk kereta-eko dan kenderaan ringan serta subsidi dari majlis perbandaran (450,000 yen (RM15,512) di Tokyo, eK X EV ini boleh dibeli dengan harga serendah 1.018 juta yen (RM35,092).

     
     
  • Pelumbaan drag haram kena gempur dengan polis di Seremban 2 – Sembilan pemandu ditahan, kereta disita

    Pelumbaan drag haram kena gempur dengan polis di Seremban 2 – Sembilan pemandu ditahan, kereta disita

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan serbuan yang dilakukan bagi membanteras aktiviti kumpulan kereta dalam perlumbaan drag dengan bunyi ekzos bising di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan, pada awal pagi Ahad.

    Menurut Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Nadzri Hussain, operasi sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman pada jam 1 pagi itu mengesan sembilan buah kereta yang melakukan perlumbaan ujian kelajuan.

    Katanya, aksi bersaing sesama sendiri dengan deruan enjin itu dilakukan beberapa pusingan hingga membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

    “Kesemua pemandu berusia 19 hingga 39 tahun telah ditahan untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sembilan buah kereta jenis Proton Satria, Proton Saga, Proton Wira, Perodua Myvi, Honda CR-Z dan Honda Civic telah disita untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Tambah Mohd Nadzri lagi, individu yang ditangkap dan sitaan kenderaan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

    Katanya, serbuan itu dijalankan berikutan aduan awam yang diterima pihaknya pada 15 Mei lalu berkenaan kumpulan terbabit yang berlumba, ekzos bising selain memainkan muzik yang kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.

     
     
  • Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM23,500

    Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM23,500

    Bersempena dengan pembukaan pusat pameran Royal Enfield di Petaling Jaya, pengedar rasmi baru motosikal jenama itu, Didi Group juga telah melancarkan dua model untuk pasaran Malaysia iaitu Classic 350 dan Meteor 350. Dua model ini menggunakan asas sama, tetapi mempunyai gaya yang berbeza.

    Memacu dua model ini adalah enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Perbezaan di antara Classic 350 dan Meteor 350 dapat dilihat jelas melalui penampilannya, dan ini termasuk bahagian fender hadapan dan belakang, perumah lampu, penghadang angin hadapan, tangki, tempat duduk dan ekzos.

    Kemudiannya, Classic 350 didatangkan bersama rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 120/80 sementara Meteor 350 dipasang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 100/90 dan 140/70.

    Kelengkapan lain untuk dua motosikal ini adalah sama, iaitu fork teleskopik 41 mm, dua penyerap hentak di belakang dengan pelarasan pra beban, brek cakera tunggal 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan, cakera 270 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS two-channel serta panel instrumen gabungan analog dan digital.

    Bergantung kepada warna dan aksesori, Classic 350 dijual pada harga antara RM23,500 hingga RM24,500 manakala Meteor 350 pula dijual pada harga antara RM24,300 hingga RM25,200. Yakin dengan kemampuan motosikal ini, Didi Group menyediakan jaminan (tanpa had batuan) serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun, dan servis percuma sebanyak tiga kali.

    GALERI: Royal Enfield Classic 350

    GALERI: Royal Enfield Meteor 350

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2022 turun 23% kepada 56k unit walaupun pada musim Raya

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2022 turun 23% kepada 56k unit walaupun pada musim Raya

    Ternyata April bukanlah bulan yang menyerlah untuk industri automotif, masih ada beberapa isu yang menjadi pendorong jualan bagi pasaran tempatan tidak begitu memberangsangkan. Selain isu bekalan kekurangan cip semikonduktor, masalah tempahan tertangguh juga menjadi faktor utama yang menyebabkan jualan kenderaan mengundang rasa dukacita.

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan bagi bulan April jatuh sebanyak 23% berbanding bulan sebelumnya, hanya terjual sekitar 56,213 unit, walau pun pelbagai promosi menarik dianjurkan bagi musim perayaan Aidilfitri.

    Walau bagaimana pun, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6% berbanding April 2021, namun jualan terkini bagi tahunan telah mencapai kenaikan 8% atau lebih 16,000 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan jumlah 215,965 unit.

    Prestasi jualan yang kurang memberangsangkan ini turut melibatkan dua jenama kenderaan yang berada di tangga teratas iaitu Perodua dan Proton, atas faktor yang sama iaitu kekurangan bekalan komponen selain kelewatan penghantaran. Malahan banyak syarikat yang telah memenuhi carta jualan pada bulan sebelumnya bagi tempoh tahunan kewangan yang berakhir pada 31 Mac, turut mencatatkan penurunan.

    Apa yang membimbangkan, MAA menjangkakan jualan bagi Mei juga kekal pada paras yang lebih kurang sama yang didorong isu bekalan cip dan kelewatan penghantaran yang masih berterusan, selain waktu bekerja pada bulan ini yang lebih pendek disebabkan musim perayaan Aidilfitri.

     
     
  • Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Hyundai Sonata generasi kelapan boleh dikatakan sebagai Sonata paling cantik berbanding generasi-generasi sebelumnya. Namun lain pula yang ditunjukkan dari segi prestasi jualan – model generasi terkini berkenaan kini jatuh ke tangga keenam sebagai model paling laris di Korea Selatan, berbanding tempat pertama bagi model generasi sebelum itu.

    Menurut portal berita Chosun, jualan Sonata jatuh kerana rekaan sedan berkenaan yang dilihat sebagai ‘terlalu radikal’ oleh pelanggan-pelanggan di pasaran Korea Selatan. Oleh sebab itu, sumber dalaman dari Hyundai memberitahu Chosun bahawa produksi Sonata bakal dihentikan tidak lama lagi, dan barisan produksi tersebut akan digunakan untuk memasang lebih banyak kenderaan elektrik penuh (EV).

    Hyundai kini sedang membangunkan sedan elektrik bersaiz sederhana dikhabarkan akan digelar Ioniq 6. Sedan EV tersebut akan diasaskan dari platform E-GMP yang sama dengan hatchback EV Ioniq 5. Model berkenaan akan didedahkan tahun ini, dan Hyundai tidak mempunyai rancangan untuk menghasilkan Sonata dalam versi EV.

    Produksi Sonata akan dihentikan kerana tak laku, Hyundai akan lebih tumpu penghasilan model EV

    Sumber dalaman tersebut turut menyatakan bahawa masih ada kemungkinan Hyundai memproduksi Sonata elektrik, tetapi projek tersebut bukan keutamaan mereka. “Kami tak boleh sisihkan terus Sonata elektrik, tetapi kami mengutamakan pembangunan kereta elektrik kompak berbanding kenderaan bersaiz sederhana yang kurang popular,” katanya.

    Sonata generasi terbaharu ini sudah pun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia diimport terus dari Korea Selatan dan ditawarkan dalam hanya satu varian iaitu 2.5 Premium, dijual pada harga RM189,888. Model tersebut dijana oleh enjin 2.5 liter Smartstream empat silinder MPI menghasilkan 180 PS/232 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama pedal penukar gear.

     
     
  • Litar Sungai Petani tertangguh kerana kurang dana, k’jaan Kedah cadang jual tanah untuk biayai kos – MB

    Litar Sungai Petani tertangguh kerana kurang dana, k’jaan Kedah cadang jual tanah untuk biayai kos – MB

    Projek pembangunan litar lumba di Sungai Petani Kedah sudahpun disebut-sebut sejak 2014. Namun setelah beberapa kali bertukar kepimpinan kerajaan negeri, bayang litar berkenaan masih juga belum nampak. Apa sudah jadi?

    Menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, pembinaan litar yang sebelum ini berjalan, namun tertangguh sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan dana. Beliau menyatakan bahawa pembinaan litar tersebut akan menggunakan reka bentuk asal yang menelan kos RM30 juta. Oleh itu, kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian tanah yang akan dibangunkan litar lumba tersebut untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pembinaannya

    “Tanah untuk dibangunkan litar itu luas ada 100 ekar (40.4 hektar) lebih. Tanah itu milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

    “Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan litar itu dan RM10 juta dibelanjakan untuk kerja tanah bagi pembinaan litar itu.

    “Sekarang baki tinggal RM20 juta dan memang tidak cukup untuk membina litar itu dan perlu cari dana lain. Selain itu bayaran kepada pihak perunding projek RM890,000 juga tidak dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” katanya dalam laporan Bernama.

    Litar Sungai Petani tertangguh kerana kurang dana, k’jaan Kedah cadang jual tanah untuk biayai kos – MB

    Rancangan untuk membina litar lumba di Sungai Petani ini telah diumumkan pada 2014 oleh Menteri Besar Kedah ketika itu, Mukhriz Mahathir. Litar sepanjang 1.6 km tersebut dijangka akan siap pada 2017.

    Walau bagaimanapun tiada sebarang litar kelihatan pada 2017, apabila Perdana Menteri ketika itu Najib Tun Razak mengumumkan bahawa beliau telahpun meluluskan dana berjumlah RM30 juta bagi membangunkan litar di Sungai Petani berkenaan.

    “Litar ini akan memberi manfaat kepada golongan belia, Mat Rempit tidak perlu lagi berlumba atas jalan raya. Mereka boleh berlumba sepuas-puasnya di atas litar selepas ini,” kata Najib ketika itu yang menyatakan bahawa sasaran pembinaan litar berkenaan adalah untuk menghentikan masalah lumba haram.

    Namun Menteri Besar Kedah ketika itu, Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bahawa kerajaan Kedah tidak mahu tergesa-gesa untuk membina litar berkenaan kerana kos untuk menyelenggara litar tersebut mungkin tinggi.

    Litar Sungai Petani tertangguh kerana kurang dana, k’jaan Kedah cadang jual tanah untuk biayai kos – MB

    Manakala Muhammad Sanusi pula mendedahkan tempoh hari bahawa kerajaan negeri sebelum ini mengubah pelan asal litar itu untuk menjadikannya lebih besar dengan menggunakan piawaian antarabangsa membabitkan kos RM73 juta, kemudian ia terhenti kerana kos tinggi dan KBS juga tidak dapat menyalurkan peruntukan tambahan diperlukan.

    Menurut beliau lagi, bagi memastikan projek itu dapat berjalan semula, kerajaan negeri akan menggunakan pelan dan reka bentuk asal membabitkan kos RM30 juta, namun perlu mencari sumber dana baharu bagi menampung kekurangan peruntukan.

    “Sekarang ini kita di peringkat jual tanah. Tanah itu akan dibahagikan kepada dua bahagian dengan sebahagian akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baharu,” katanya.

    Muhammad Sanusi turut tidak boleh memberikan jangkaan bila litar berkenaan akan siap buat masa ini memandangkan pihaknya masih di peringkat mendapatkan dana yang akan membabitkan proses pindah milik tanah dan pembayaran dengan pelbagai pihak.

     
     
  • Pengendali e-hailing akan diminta beri penjelasan ekoran isu kenaikan tambang mendadak – Dr. Wee

    Pengendali e-hailing akan diminta beri penjelasan ekoran isu kenaikan tambang mendadak – Dr. Wee

    Sejak kebelakangan ini, ramai pengguna perkhidmatan e-hailing merungut mengenai kenaikan kadar tambang yang membebankan. Malahan ada kadar tambang bagi sesetengah destinasi yang berlipat kali ganda walau pun bukan pada waktu puncak.

    Isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan yang mengesahkan syarikat pengendali perkhidmatan terbabit akan diminta untuk kemukakan penjelasan.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, walau bagaimana pun, setakat ini belum ada kesahihan berhubung perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan kementeriannya akan memanggil pengendali e-hailing untuk menjawab aduan pengguna, laporan Bernama.

    “Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak. Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat.

    Pengendali e-hailing akan diminta beri penjelasan ekoran isu kenaikan tambang mendadak – Dr. Wee

    “Sebagai pembuat dasar, kita tidak mahu melihat mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan,” katanya kepada pihak media bagi mengulas isu ini.

    Tambah beliau, mana-mana syarikat e-hailing perlu menerangkan justifikasi jika berlaku kenaikan harga kerana pihaknya melihat daripada sudut pengguna.

    “Kenapa sebelum ini tidak berlaku (kenaikan harga), saya rasa ini antara soalan yang relevan dikemukakan rakyat, saya sudah minta supaya perkara ini diterangkan. Saya minta APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) tengok balik dan minta syarikat ini terangkan dan jelaskan kenapa kenaikan harga berlaku.

    “Saya jangka sehari dua ini, syarikat ini patut terangkan kepada rakyat barulah kita lihat dasar apa yang perlu kita buat seperti menggalakkan lagi persaingan supaya harga akan turun,” katanya.

    Pengendali e-hailing akan diminta beri penjelasan ekoran isu kenaikan tambang mendadak – Dr. Wee

    Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengemukakan alasan sekiranya berlaku kenaikan harga contohnya disebabkan kesesakan.

    “Kita nak dengar sebab mereka, mungkin disebabkan kesesakan, tetapi takkan dulu tak sesak, kenapa sekarang baru sesak. Bagaimanapun, kita dengar, jadi saya rasa mereka juga rasa terpanggil dan terangkan sebab, sama ada diterima atau tidak,” katanya.

    Kenaikan tambang e-hailing dikatakan naik sehingga 400% pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna dan disifatkan sebagai tidak masuk akal. Sekaligus orang ramai mendesak agar kerajaan untuk masuk campur bagi menyelesaikan isu ini.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya mula beroperasi pada 16 Jun 2022 – Fasa 1 ada 12 stesen, Fasa 2 pada Jan 2023

    MRT Laluan Putrajaya mula beroperasi pada 16 Jun 2022 – Fasa 1 ada 12 stesen, Fasa 2 pada Jan 2023

    Selepas perancangan asalnya untuk mula beroperasi pada November 2021 tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terkini MRT Laluan Putrajaya dijadualkan bakal dibuka pada jam 3 petang pada 16 Jun 2022, menurut laporan FMT.

    Untuk Fasa 1 ini, ia melibatkan sebanyak 12 stesen seperti yang tersenarai di bawah:

    • Kwasa Damansara (P) (pertukaran ke MRT Laluan Kajang)
    • Kampung Selamat
    • Sungai Buloh (P) (pertukaran ke KTM Pelabuhan Klang)
    • Damansara Damai (P)
    • Sri Damansara Barat (P)
    • Sri Damansara Sentral (P)
    • Sri Damansara Timur (P) (pertukaran ke KTM Pelabuhan Klang)
    • Metro Prima (P)
    • Kepong Baru
    • Jinjang (P)
    • Sri Delima
    • Kampung Batu (pertukaran ke KTM Seremban)

    Stesen yang bertanda (P) di dalam senarai turut dilengkapi dengan lot parkir. Begitu juga dengan stesen pertukaran turut ditanda dalam senarai.

    Fasa 1 dengan 12 stesen pertama dari Kwasa Damansara ini, melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km. Di mana tempoh waktu perjalanan tren dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dianggarkan dalam 24 minit.

    Manakala untuk Fasa 2 pula dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2023, jika mengikut perancangan awal. Ia bakal melibatkan 24 stesen dari sejumlah 36 stesen secara keseluruhannya dengan jajaran sepanjang 57.7 km iaitu dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah, yang menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • AD: Acara myTukar Jom Raya hujung minggu ini — 1k kereta, Raytech tint dan baucar Shopee percuma

    AD: Acara myTukar <em>Jom Raya</em> hujung minggu ini — 1k kereta, Raytech <em>tint</em> dan baucar Shopee percuma

    Mencari tawaran terbaik untuk kereta terpakai? Kalau begitu, akan ada banyak tawaran diberikan di acara Jom Beraya Di myTukar yang berlangsung hujung minggu ini, dari 20 hingga 22 Mei, di myTukar Retail Experience Centre di Puchong South, Selangor dan Plentong, Johor Bahru.

    Anda akan mempunyai banyak pilihan kenderaan terpakai untuk dipertimbangkan, terdiri daripada kereta harian bajet hinggakan kepada sedan premium. Dan, sudah tentu ada banyak juga SUV, MPV dan trak pikap. Dengan lebih daripada 1,000 kenderaan tersedia untuk dipilih, anda pasti berjumpa dengan pilihan yang sesuai.

    Untuk menjadikan tawarannya lebih mengujakan, MyTukar turut menyediakan hadiah bagi setiap pembelian kenderaan di acara berkenaan. Yang dimaksudkan ialah filem penapis haba Raytech percuma dan baucar Shopee bernilai RM200. Anda juga turut berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai hingga RM12,000, termasuk percutian 3H/2M ke Langkawi.

    Anda tak perlu risau dengan kualiti pembelian yang dibuat. Semua kereta yang ada di acara berkenaan telah melalui pemeriksaan 160-poin dan pembaikan untuk membolehkannya menerima label myTukar Certified: ini bermakna tiada perubahan dilakukan terhadap bacaan meter dan tidak pernah berlaku sebarang kemalangan teruk, baik kebakaran atau banjir ke atas kereta terbabit. Setiap kenderaan juga datang dengan jaminan 12-bulan bagi enjin dan kotak gear.

    Membuat pembelian juga mudah, memandangkan myTukar akan menguruskan pemeriksaan Puspakom dan pendaftaran dengan JPJ untuk anda. Begitu juga untuk mendapatkan pinjaman dan insuran untuk kereta — anda tidak perlu risau kerana boleh memilih daripada senarai bank dan syarikat insuran yang telah disediakan.

    Lebih penting, sekiranya anda sukar untuk datang mengambil kenderaan yang dibeli, syarikat ini akan menghantar kereta anda ke rumah. Membeli kereta tidak pernah semudah ini, jadi berkunjunglah ke myTukar Retail Centre di Puchong dan Plentong hujung minggu ini — dari 9.30 pagi hingga 6.30 malam — untuk mencari kereta anda yang berikutnya.

    Google Maps: MyTukar Retail Centre – Puchong
    Lot 14225, KM 3, 8, Lebuhraya Damansara – Puchong, 47100 Puchong, Selangor

    Google Maps: MyTukar Retail Centre – Plentong
    Lot 150114, Jalan Masai Lama, Taman Perindustrian Plentong, 81750 Johor Bahru, Johor

     
     
  • Volkswagen Malaysia umum rakan pengedarnya di seluruh negara kini merupakan pusat 3S atau 4S

    Volkswagen Malaysia umum rakan pengedarnya di seluruh negara kini merupakan pusat 3S atau 4S

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan semua wakil pengedarannya di negara ini kini adalah pusat 3S atau 4S. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares untuk meningkatkan pengalaman pemilikan bagi pelanggannya.

    Buat masa ini, terdapat 17 rakan pengedar dan satu perkhidmatan penyelenggaran Volkswagen, yang terletak di kawasan strategik di seluruh negara, yang memberikan kemudahan jualan dan selepas jualan. Ia terdiri daripada 14 pusat 4S (jualan, selepas jualan, alat ganti, dan perkhidmatan baik pulih dan mengecat kenderaan), manakala lagi tiga pula ialah pusat 3S (jualan, selepas jualan dan alat ganti), serta satu pusat 2S (penyelenggaran dan alat ganti). Kesemua kumpulan pengedar ini dilengkapi kepakaran dan fasiliti untuk mengendalikan perkhidmatan baikpulih dan mengecat kenderaan).

    Bagi memperkukuhkan lagi rangkaian pengedarannya, VPCM turut meneruskan kerjasama dengan rakan pengedar untuk meningkatkan kepuasan pengalaman dengan memberikan perkhidmatan pada tahap tertinggi, dan profesional. Ini terbukti dengan penarafan yang diberikan oleh para pelanggan menerusi Car.Advisor.

    Di mana Volkswagen Malaysia memperoleh 4.93 mata dari lima mata penuh untuk pengalaman jualan menerusi Car.Advisor, sementara perkhidmatan selepas jualan pula menerima 4.76/5 mata – keputusan tahunan ini dikeluarkan pada April 2022.

    Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, pihaknya percaya dengan pengalaman pemilikan yang lancar dan tidak dapat dilupakan oleh para pelanggan. “Perkhidmatan pelanggan membuatkan banyak perbezaan kerana ia meningkatkan pengalaman pemilikan. Kini dengan adanya rangkaian pusat 4S dan 3 S yang kukuh, kami dapat menyediakan kemudahan untuk para pemilik Volkswagen di seluruh negara.

    “Kami juga mengamalkan ketelusan dengan kepuasan pelanggan kami kerana penilaian dan ulasan tersedia di tapak web Car.Advisor, dan ini mendorong kami dan rakan kongsi pengedar kami untuk terus menambah baik tawaran kami.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025