Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Peugeot 2008 versi yang dikemaskini telah dilihat di Malaysia, seperti gambar yang dikongsikan di laman Facebook Peugeot Citroen Club Malaysia. Ia menunjukkan unit 2008 tersebut dengan trade-plate, dan seperti sedang bergenti di kawasan rehat lebuh raya.

    Ini kelihatan seperti versi model enjin pembakaran dalaman bagi crossover segmen B tersebut, mengenakan penampilan facelift untuk wajah depannya yang mirip pada versi model elektriknya e-2008, yang juga sudah pernah dilihat di Malaysia tahun lalu.

    Sudut bamparnya dijangka akan menampilkan DRL tiga-garis seperti e-2008, sementara grilnya hadir dengan corak kemasan menegak, berbeza daripada versi melintang sebelum ini.

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Bahagian belakangnya pula menegaskan bahawa ini adalah model dengan enjin biasa: corong ekzos serta bucu bawah bampar yang tidak ada pada model e-2008. Untuk pasaran luar, tiga pilihan enjin ditawarkan, terdiri daripada dua unit 1.2 liter tiga-silinder petrol dan seunit enjin diesel 1.5 liter empat-silinder. Untuk Malaysia, kemungkinan versi petrol yang akan ditawarkan.

    Mungkin juga ia dari versi yang menjana kuasa paling tinggi iaitu PureTech 130, dengan output 136 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan; untuk Malaysia, versi automatik tentunya. Ini bersamaan dengan model yang ditawarkan di Malaysia ketika ini, dengan enjin 1.2 liter Puretech turbocas petrol yang menjana 130 PS/230 Nm dan diganding bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Untuk ruang dalaman, kemungkinan kelengkapan yang ada akan sama dengan versi e-2008. Ini termasuklah kluster instrumen digital 10-inci, skrin sentuh infotaimen 10-inci (yang lama tujuh-inci), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, warna baru untuk lampu ambient lapan warna dan tiga slot USB-C; dua di depan, satu di belakang.

    Masih belum disahkan bila sebenarnya Peugeot 2008 facelift ini akan diperkenalkan di Malaysia. Dengan versi elektrik e-2008 dirancang untuk dilancarkan di sini, kemungkinan versi enjin biasanya juga akan diperkenalkan sekali — kerana Peugeot 2008 sebelum ini memang sudah dipasang di Gurun, dan bakal diikuti oleh model elektriknya, dengan kemungkinan bateri buatan tempatan juga.

     
     
  • Polis bakal beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 23-27 Jun di semua kaunter trafik daerah di Kelantan

    Polis bakal beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 23-27 Jun di semua kaunter trafik daerah di Kelantan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 23 hingga 27 Jun 2025 (Isnin-Jumaat).

    Menurut JSPT Kelantan, pemberian diskaun saman trafik terpilih itu ditawarkan di seluruh kaunter saman trafik daerah di negeri ini, dari jam 8 pagi hingga 4 petang, selama 5 hari pada tarikh berkenaan. Bayaran boleh dilakukan secara tunai atau pun menggunakan kad debit/kredit.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman emalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di negeri Kelantan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Kerajaan tidak akan naikkan harga petrol RON95 walau pun berlaku lonjakan harga minyak global – PM Anwar

    Kerajaan tidak akan naikkan harga petrol RON95 walau pun berlaku lonjakan harga minyak global – PM Anwar

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengekalkan harga petrol RON95 pada paras siling sedia ada walaupun berlaku lonjakan harga minyak mentah global susulan ketegangan geopolitik yang melibatkan Iran dan Israel.

    Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa harga RON95, yang telah kekal pada kadar tetap RM2.05 seliter sejak Februari 2021, tidak akan dinaikkan kerana langkah itu akan memberi kesan kepada rakyat dan juga ekonomi, laporan Bernama.

    Tambah beliau walaupun kenaikan harga minyak memberi manfaat kepada syarikat petroleum negara, kerajaan berhasrat untuk mengelakkan bebanan kos bahan api yang lebih tinggi ke atas rakyat.

    “Harga minyak turun naik. Buat masa ini ia agak rendah. (Jika) berlaku kenaikan mendadak, hasilnya baik untuk Petronas, tetapi ia menjejaskan negara-negara lain. Kita tidak menaikkan harga bahan api kerana kesannya kepada rakyat,” katanya.

     
     
  • Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya KESAS banjir pagi ini – beberapa lokasi di Shah Alam, Klang dinaiki air

    Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya KESAS banjir pagi ini – beberapa lokasi di Shah Alam, Klang dinaiki air

    Hujan lebat yang melanda kebanyakan tempat telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Antaranya ialah Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menuju ke Klang yang dilaporkan turut digenangi air dan menyebabkan kesesakan trafik di lokasi berkenaan.

    Menerusi hebahan di Facebook, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memaklumkan terdapat penutupan lorong di plaza tol berkenaan iaitu membabitkan lorong W01,W02 dan W03. Ini turut melibatkan lorong motosikal yang ditutup buat sementara berikutan air masih bertakung di lokasi berkenaan

    Utusan Malaysia pula melaporkan beberapa jalan utama di sekitar Shah Alam dan Klang turut dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. Antara kawasan-kawasan terjejas ialah Jalan Kebun Barat dan Lorong Haji Yusof di Shah Alam. Manakala di Klang pula, dilaporkan limpahan air berlaku di jalan-jalan utama Bandar Puteri, Sentosa dan Bulan Simpang Lima.

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat. Dan segeralah berpindah ke lokasi yang selamat sebelum keadaan kian meruncing.

     
     
  • JPJ umum gangguan capaian rangkaian di kaunter, kios, MySikap, MyJPJ dll – 20-22 Jun, 10mlm-6pg

    JPJ umum gangguan capaian rangkaian di kaunter, kios, MySikap, MyJPJ dll – 20-22 Jun, 10mlm-6pg

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan terdapat gangguan capaian rangkaian pada 20 hingga 22 Jun 2025, dari jam 10 malam hingga 6 pagi di semua platform dan perkhidmatannya.

    Menurut JPJ, gangguan capaian rangkaian ini disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan perkakasan keselamatan rangkaian di pusat data JPJ. Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan data utama JPJ terjamin serta memastikan semua perkakasan keselamatan berfungsi dengan optimum tanpa gangguan dalam menyokong operasi harian JPJ.

    Gangguan capaian ini melibatkan perkhidmatan di Kaunter JPJ Negeri, cawangan dan UTC, portal MySikap (awam & rakan niaga), Integrasi Bersama Agensi & Rakan Niaga, Vehicle Entry Permit(VEP) (portal serta pembayaran), Road Charge (RC) melalui e-Wallet, aplikasi MyJPJ, JPJ Mobile, JPJeBID dan juga kios JPJ.

    Diharapkan semua pengguna yang memerlukan perkhidmatan JPJ menerusi platfrom berkenaan, dapat bersabar dan menangguhkan urusan tersebut buat sementara waktu sehingga kerja selenggara berkenaan diselesaikan dan capaian dapat berfungsi seperti biasa.

     
     
  • Tawaran tengah tahun MG Malaysia – diskaun RM7k untuk MG5, 12-bulan ansuran percuma untuk MG4

    Tawaran tengah tahun MG Malaysia – diskaun RM7k untuk MG5, 12-bulan ansuran percuma untuk MG4

    MG Motor Malaysia kini sedang mengadakan promosi pertengahan tahun menampilkan tawaran menarik untuk sedan segmen-B MG5 dan juga EV MG4.

    Bagi mereka yang berminat dengan MG5, ia kini diberikan diskaun sebanyak RM7,000 menjadikan harga jualan atas jalan tanpa insurannya turun dari RM93,900 kepada hanya RM86,900, iaitu harga yang sama ketika ia dijual dalam tempoh promosi selepas dilancarkan tahun lalu.

    Untuk pasaran Malaysia SAIC Motor meletakkan model ini dalam saingan segmen-B, namun ia menampilkan saiz yang hampir sama dengan saingan segmen-C. Sedan ini hadir dengan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm. Jadi berbanding Honda City, MG5 ini adalah 86 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan jarak rodanya adalah 80 mm lebih jauh.

    MG5 pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya. Nak tahu prestasinya? Kami sudah pandu uji model ini dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Tawaran tengah tahun MG Malaysia – diskaun RM7k untuk MG5, 12-bulan ansuran percuma untuk MG4

    Manakala untuk MG4, MG Malaysia menawarkan promosi “Pandu Sekarang, Bayar Kemudian” di mana ia diberikan bayaran ansuran bulanan percuma untuk 12 bulan pertama untuk varian Lux, manakala varian Standard diberikan ansuran percuma selama lapan bulan.

    MG4 Standard dijual pada harga RM104,629 merupakan varian asas untuk EV ini di Malaysia. Ia menerima motor elektrik berkuasa 170 PS/250 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat, dan dibekalkan dengan bateri LFP 51 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 350 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Manakala varian Lux pula dijual pada harga RM129,629, menampilkan motor elektrik berkuasa 203 PS yang membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, tetapi diberikan bateri lebih besar iaitu bateri NMC berkapasiti 64 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 435 km juga dalam kitaran WLTP.

    Varian Lux Extended Range dengan jarak gerak sejauh 520 km dan juga varian Xpower yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat tidak disebut dalam promosi ini, jadi kedua-duanya tidak tersenarai untuk menerima tawaran pertengahan tahun MG Malaysia ini.

     
     
  • Potensi kereta naik harga akibat perlaksanaan duti OMV baru tahun depan kukuhkan permintaan 2025

    Potensi kereta naik harga akibat perlaksanaan duti OMV baru tahun depan kukuhkan permintaan 2025

    Ingat lagi cadangan berkaitan nilai pasaran terbuka atau open market value (OMV)/402 sebelum ini? Yang mana jika itu dilaksakan berpotensi untuk menaikkan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) antara 10%-30%, dan telah ditangguh oleh kerajaan hingga Januari 2026, setelah ditangguh banyak kali sebelum itu. Pakar dari BIMB Securities menjangkakan perkara ini akan merancakkan lagi pembelian kenderaan, terutama pada suku keempat tahun ini, lapor The Edge.

    “Jangkaan terhadap duti OMV baru, yang berpotensi mula dilaksanakan pada 2026, akan menggalakkan pembelian awal dan melonjakkan jualan suku keempat tahun ini. Kami mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor automotif, yang disokong oleh daya tahan daripada permintaan yang sihat serta dasar pendapatan yang menyebelahinya,” jelas nota kajian BIMB Securities. Kenangi Investment Bank juga turut menyokong teori pembelian awal ini.

    Bagaimanapun, gangguan rantaian bekalan global, sentiment konsumer yang lemah berikutan peningkatan kos sara hidup dan saingan kuat China — termasuk perang harga EV — kekal menjadi risiko utama, tambahn BIMB Securities.

    Potensi kereta naik harga akibat perlaksanaan duti OMV baru tahun depan kukuhkan permintaan 2025

    Berapa banyak kenderaan baru yang akan dibeli oleh warga Malaysia tahun ini, selepas rekod 816,747 unit yang dicatat tahun lalu? RHB Investment Bank menjangkakan 730,000 unit, Hong Leong Investment Bank dengan 750,000 unit, CIMB Research dengan 760,000 unit, Maybank Investment Bank Research dengan 790,000 unit dan Kenanga Investment Bank dengan 805,000.

    Jika merujuk jangkaan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), angka rasminya ialah 780,000 unit bagi tahun 2025, dan ketika ini kita sedang berada di tahap 41% (setakat Mei, TIV yang direkodkan ialah 316,737 unit, kurang 5% berbanding tempoh sama pada 2024 dengan 333,309 unit)

    Mei 2025 menyaksikan sejumlah 68,007 unit kereta baru dijual di Malaysia (+12.4% berbanding April dengan 60,527 unit), dipacu oleh jualan kenderaan penumpang yang kukuh, yang mencatatkan peningkatan 12.1% peningkatan berbanding bulan sebelumnya kepada 55,971 unit. Jualan kenderaan komersial pula naik 15.2% kepada 5,250 unit.

     
     
  • Lebuhraya DASH bakal laksana latihan kecemasan di Plaza Tol Denai Alam jam 10 pagi pada 20 Jun 2025

    Lebuhraya DASH bakal laksana latihan kecemasan di Plaza Tol Denai Alam jam 10 pagi pada 20 Jun 2025

    Makluman buat pengguna Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), syarikat konsesinya, Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas), telah mengumumkan bakal melaksanakan satu latihan kecemasan simulasi di plaza tol Denai Alam esok (20 Jun) jam 10 pagi. Latihan ini akan melibatkan kedua-dua arah masuk dan keluar di plaza tol tersebut.

    Di mana latihan ini melibatkan koordinasi antara operasi tol, pengurusan trafik dan perkhidmatan sokongan pelanggan, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Prolintas terhadap keselamatan dan kesiapsiagaan. Prolintas juga berkata latihan kecemasan ini bertujuan menguji protokol tindak balas kecemasan dan tahap persediaan dalam menangani situasi yang melibatkan gangguan elektrik di plaza tol.

    Selain itu, ia juga akan membantu memperkemas koordinasi antara agensi serta penyelarasan operasi bersama pihak berkuasa yang berkaitan. “Prolintas komited untuk memastikan pasukan kami dapat bertindak balas dengan cekap terhadap sebarang insiden, dengan mengutamakan keselamatan pengguna lebu raya pada setiap masa,” kata Mohamad Idros Mosin, Pengarah Eksekutif Prolintas.

     
     
  • JPJ eBid: JYD dan TDD bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Terengganu ini bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYD bakal dibuka bidaannya bermula 23 Jun. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 27 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 Jun 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TDD, bakal dibuka bidaan mulai 24 Jun. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 Jun 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Malaysia akan jadi hos bagi pusingan pembukaan perlumbaan Michelin 24H Series Middle East 2025/2026

    Malaysia akan jadi hos bagi pusingan pembukaan perlumbaan Michelin 24H Series Middle East 2025/2026

    Malaysia telah dipilih untuk menjadi hos bagi perlumbaan pembukaan Michelin 24H Series Middle East 2025/2026, yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada minggu pertama Disember nanti.

    Ini merupakan kunjungan julung kali siri itu bagi negara timur jauh, dengan pusingan latihan serta kelayakan dijangka akan berlangsung pada 5 Disember, dan diikuti oleh perlumbaan selama 12 jam tanpa henti pada 6 Disember. Menurut penganjurnya, Creventic, lebih daripada 20 penyertaan telah diterima bagi panganjuran sulung Michelin 12H Malaysia.

    Kategori Michelin 24H Series Middle East pertama kali diperkenalkan pada musim sejuk siri 2022/2023 bagi memberikan peluang tambahan kepada pasukan terlibat untuk melanjutkan program perlumbaan mereka memasuki tahun baru berikutnya. Selepas musim perlumbaan sulung di Malaysia bagi 2025/2026, akan berlangsung pula Michelin 24H Dubai dari 9-11 Januari serta Michelin 6H Abu Dhabi dari 16-18 Januari.

    “Kami di Creventic sangat teruja dengan pengumuman ini untuk kunjungan sulung kami ke SIC di Malaysia bagi pusingan pertama Michelin 24H Series Middle East. Litar tersebut merupakan antara yang terbaik di dunia sukar permotoran, dan pemilihan Sepang untuk dimasukkan dalam kalendar kami adalah cerminan daripada keinginan pasukan dan pesaing dalam siri ini sendiri,” jelas Pengurus Acara Komersial Creventic, David Vink.

    “Kunjungan ke Sepang selalu menjadi permintaan pasukan terlibat dalam Michelin 24H Series sejak beberapa tahun lalu. Kami sangat gembira kerana akhirnya permintaan itu menjadi kenyataan tahun ini,” tambahnya.

     
     
  • Volvo ES90 EV akan masuk ke Malaysia awal tahun depan, sedan S90 facelift tiada dalam perancangan

    Volvo ES90 EV akan masuk ke Malaysia awal tahun depan, sedan S90 facelift tiada dalam perancangan

    Sedan elektrik penuh Volvo ES90, yang diperkenalkan pada Mac lalu dijangka memasuki pasaran Malaysia seawal tahun 2026. Tidak seperti SUV EX90 baru dan XC90 facelift yang menawarkan pilihan enjin berbeza, ES90 pula hanya akan hadir sebagai satu-satunya sedan elektrik Volvo di negara ini, tanpa versi enjin pembakaran dalaman (ICE).

    Menurut pengarah urusan Volvo Car Malaysia & Thailand, Chris Wailes, model facelift bagi S90 tahun 2025 yang telah menerima perubahan besar tidak akan dibawa masuk ke Malaysia untuk menggantikan model S90 facelift sedia ada. Stok model S90 lama telah pun habis dijual awal tahun ini dan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) juga tidak akan diteruskan pada 2025.

    Walaupun hanya satu model sedan akan ditawarkan, Wailes yakin bahawa ES90 mampu menarik perhatian pembeli di Malaysia. “Model ini sangat berbeza daripada apa yang ada di pasaran sekarang. Saya rasa ia boleh menarik minat pembeli yang biasa memilih sedan, yang memang ramai di Malaysia, untuk mempertimbangkan pilihan baharu seperti ES90,” jelas beliau.

    Volvo ES90 EV akan masuk ke Malaysia awal tahun depan, sedan S90 facelift tiada dalam perancangan

    Apabila ditanya sama ada Volvo merancang untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh model sedan lain seperti S60 dan S90, Wailes memberi bayangan bahawa jenama itu tidak akan melupakan pelanggan sedia ada mereka.

    “Ramai pelanggan kami sebelum ini membeli bukan sahaja generasi terkini S60, tetapi juga model-model terdahulu. Jadi kami tidak akan abaikan mereka begitu sahaja. Dalam pelan produk kami hingga selepas tahun 2030, ada banyak perkara yang sedang dirancang. Banyak yang sedang berlaku di belakang tabir dan lebih banyak berita akan diumumkan dalam bulan dan tahun mendatang. Buat masa ini, tunggu dan lihat,” tambah beliau.

    Satu perkara yang pasti, pasaran Malaysia tidak akan lagi menerima model wagon atau estate dalam masa terdekat. Kata Wailes, “buat masa terdekat, ya, model itu tidak lagi akan ditawarkan. Namun, kami akan menilai semula dan memperkenalkan sesuatu yang baru – mungkin sedikit berbeza daripada apa yang ditawarkan sekarang, tetapi dijangka memberikan lebih nilai kepada pengguna,” katanya lagi.

     
     
  • Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

    Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

    Nama Hongqi mungkin agak dikenali; cabang kenderaan mewah bagi FAW dan juga merupakan jenama automotif paling tua di China, dengan sejarah panjang pengeluaran kenderaan untuk pemimpin di negara itu. Ada kemungkinan juga pernah melintas nama L5; kereta flagship keluaran jenama itu yang mana sebuah daripadanya pernah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

    Namun ia sangat langka untuk ditemukan kerana hanya dijual di China, dan kini ditukar nama kepada Guoli (bermaksud “pemberian negara”). Mungkin, kerana kelangkaannya itulah ia dilaporkan menjadi pemecah rekod bagi produk eksport tunggal dari China yang paling mahal, yang bertukar tangan dnegan kos 11 juta Yuan (RM6.5 juta).

    Menurut Car News China, unit tersebut yang dieksport dari Erdos, China menuju Emiriah Arab Bersatu, telah dibeli oleh Stanislav Semenov, pengasas dan CEO Eqvilent, sebuah firma perdagangan kuantitatif yang berpusat di Dubai. Kereta berkenaan ditempah ketika Auto Shanghai pada April lalu. Harga jualan bagi model terbabit ialah 7.18 juta yuan (RM4.2 juta), dengan unit yang dieksport ini telah diberikan kelengkapan tersendiri oleh Lanting Yayun yang melibatkan kos tambahan.

    Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

    Kereta mewah Guoli ini berada diposisi lebih atas daripada barisan kenderaan Golden Sunflower oleh Hongqi, dan model generasi sebelumnya pernah digunakan secara rasmi untuk Presiden Xi Jinping, sebelum beralih kepada model N701 yang lebih besar, yang dibangunkan khusus untuknya. Guoli mempunyai ukuran 5,980 mm panjang, 2,090 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, hampir sama panjang dengan Rolls-Royce Phantom Extended.

    Rekaan ala retro yang digunakan padanya adalah untuk menyamai kereta terawal teresebut, dengan lampu utama bulat, gril krom besar di depan, cermin menegak, tiang C tebal serta lampu belakang menegak dengan jalur krom melintang di bahagian belakang. Perhiasan di bonet yang berkilau dan boleh disembunyikan juga condong 23.5 darjah — dikatakan menunjuk ke arah bintang utara Polaris.

    Di dalam lebih meriah. Ada paparan instrument digital 12.3-inci, skrin infotainmen 16.2-inci serta augmented-reality head-up display. Skrin tengah tersebut boleh dinaikkan lagi dari paras papan pemuka, serta ada karpet tebal serta kemasan hijau berkilat yang kelihatan seperti batu jade di ruang berkenaan. Kerusi depan juga boleh dilarask ke 14-arah dan ada ciri pemanas, memori serta urutan.

    Hongqi Guoli (L5) jadi produk eksport tunggal paling mahal China — RM6.5 juta untuk kereta terpakai!

    Suasana paling mewah tentunya di bahagian belakang. Kerusinya boleh dilaras ke 16-arah, ada 16 pembesar suara serta perehat kepala dengan larasan kuasa empat-arah, dan juga lipatan kerusi hanya dengan satu sentuhan. Ada juga cermin hias, tirai serta pelindung matahari tersedia. Kaca akustik pula digunakan untuk semua bahagian, serta pembatal kebisingan asing memastikan kesenyapan untuk penumpang.

    Lanting Yayun untuk Semenov ini pula diilhamkan daripada Orchid Pavilion Gathering dari 353 CE, dengan penyudah biru dan bonet, bumbung dan but perak, dan menggunakan rim 21-inci krom.

    Kereta ini dilengkapi dengan enjin 4.0-liter V8 dengan pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 381 PS dan 350 Nm yang disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan. Guoli bagaimanapun sebuah kereta yang berat, dengan 3,150 kg, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan mampu mencapai laju maksimum 220 km/j.

    Hongqi L5 untuk Yang di-Pertuan Agong

     
     
  • Lalamove bekerjasama dengan Changan Kaicene keluarkan van elekrik Duola Bafang di China

    Lalamove bekerjasama dengan Changan Kaicene keluarkan van elekrik Duola Bafang di China

    Syarikat penghantaran terkenal, Lalamove kini melangkah masuk ke dunia pembuatan kenderaan elektrik (EV) dengan menurut laporan Car News China, ia bakal melancarkan jenama automotif baru dikenali sebagai Duola Auto dan model pertama mereka ialah sebuah van elektrik yang dinamakan sebagai Duola Bafang.

    Nama ini membawa maksud “menarik lebih banyak barang dari semua arah” sementara reka bentuknya ringkas dengan terdapat panel rata di hadapan tanpa logo – sesuai dijadikan ruang pengiklanan. ‘Mukanya’ pula seakan memberi reaksi terkejut, namun secara keseluruhan ia masih kelihatan seperti van biasa.

    Dari segi saiz, Duola Bafang mencatat ukuran panjang 5,095 mm, lebar 1,870 mm dan tinggi 1,990 mm, dengan jarak roda 3,300 mm. Ruang kargonya berkeluasan 7.8 meter padu (3,085 mm x 1,705 mm x 1,485 mm), cukup besar untuk kegunaan penghantaran. Ia dilengkapi tiga tempat duduk di hadapan, satu pintu gelangsar di sebelah tepi dan pintu belakang berkembar yang boleh dibuka sehingga 270 darjah.

    Lalamove bekerjasama dengan Changan Kaicene keluarkan van elekrik Duola Bafang di China

    Van ini digerakkan oleh motor elektrik 128 PS, dengan sokongan oleh salah satu daripada tiga pilihan bateri: CATL 43.53 kWh, FinDreams 43.06 kWh atau EVE Energy 41.86 kWh. Jarak perjalanan maksimum dianggarkan sekitar 305 kilometer.

    Menurut dokumen rasmi daripada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), van ini dibangunkan bersama syarikat Changan Kaicene – satu jenama kenderaan komersial di bawah Changan. Besar kemungkinan Changan Kaicene bertanggungjawab dalam proses pembuatan manakala Lalamove menguruskan reka bentuk dan teknologi.

    Mengikut data terkini tahun 2024, sebanyak 40% daripada tempahan di platform Lalamove sudah dihantar menggunakan kenderaan tenaga baharu, dengan jumlah jarak perjalanan mencecah 7.4 bilion kilometer. Lalamove juga telah membina lebih 940,000 stesen pengecasan di 338 bandar.

     
     
  • Ferrari dilaporkan tangguh rancangan untuk EV keduanya hingga 2028 kerana kurang permintaan

    Ferrari dilaporkan tangguh rancangan untuk EV keduanya hingga 2028 kerana kurang permintaan

    Menurut laporan Reuters, Ferrari telah menangguhkan rancangan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) keduanya disebabkan kekurangan permintaan terhadap EV mewah berprestasi tinggi. Ada sumber memberitahu penerbitan tersebut bahawa EV kedua jenama tersebut pada asalnya dijadualkan diperkenalkan pada tahun 2026, namun kini telah ditunda sekurang-kurangnya sehingga tahun 2028.

    EV kedua belum diumumkan secara rasmi oleh Ferrari, dan pengeluar kereta dari Itali itu juga enggan mengulas mengenai penangguhan yang didakwa. “Sebagai sebahagian daripada perancangan dalaman Ferrari yang tidak didedahkan, sebuah model EV kedua telah dirancang untuk dilancarkan sekitar akhir tahun 2026. Namun kini ia mungkin akan ditangguhkan sekurang-kurangnya hingga tahun 2028,” kata salah satu sumber, yang turut menambah bahawa permintaan sebenar dan mampan untuk sebuah kereta sport elektrik adalah tidak tidak wujud,” lapor Reuters.

    Menangguhkan rancangan untuk memperkenalkan model EV kedua memberi lebih masa kepada Ferrari untuk membangunkan teknologi dalaman yang berpotensi bagi menarik minat pembeli, yang ketika ini menunjukkan minat yang sangat sedikit atau hampir tiada langsung. Laporan turut menyatakan bahawa rancangan untuk EV kedua itu telah ditangguhkan dua kali iaitu pada awalnya ditangguhkan selama setahun, dan kini dijadualkan paling awal pada tahun 2028.

    Ferrari sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan memperkenalkan EV pertama pada Oktober tahun ini menerusi proses tiga peringkat, yang akan berakhir dengan tontonan perdana peringkat global dijangka berlangsung pada musim bunga tahun depan (sekitar bulan Mac hingga Mei), dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada Oktober 2026. Model ini dijangka berharga sekurang-kurangnya 500,000 euro (sekitar RM2.4 juta), dan akan menjadi model edisi terhad yang bersifat simbolik.

    Dalam masa yang sama, dikhabarkan beberapa pengeluar kenderaan lain turut mengkaji semula rancangan EV mereka, termasuk Maserati yang membatalkan model elektrik MC20 Folgore. Sementara itu, Porsche masih belum mendedahkan bila pengganti EV bagi 718 Cayman dan Boxster akan dilancarkan, manakala Lamborghini turut menangguhkan pelancaran EV pertamanya dari tahun 2028 ke 2029.

     
     
  • Honda akan hasilkan semula komponen alat ganti untuk model lama yang telah dihentikan produksi

    Honda akan hasilkan semula komponen alat ganti untuk model lama yang telah dihentikan produksi

    Honda mengumumkan bahawa ia akan mula memproduksi semula komponen alat-alat ganti untuk beberapa modelnya yang telah lama dihentikan. Program ini bukan hanya untuk pelanggannya di Jepun, tetapi ia akan dibuat secara global bermula musim bunga 2026.

    Menurut Honda program ini dibuat khas untuk pelanggan yang mahu memandu kereta-kereta Honda mereka dalam tempoh lebih lama, dan program ini dapat memastikan pelanggan-pelanggan berkenaan memastikan kereta masing-masing berada dalam keadaan yang baik dalam tempoh yang lama.

    “Sehingga sekarang, Honda telah terus membekalkan komponen pembaikan dengan komponen asli untuk kenderaan selepas produksinya ditamatkan dalam tempoh tertentu. Namun, ia menjadi semakin sukar untuk membekalkan semua komponen asli bagi kereta lama.

    “Dengan kerjasama dari pelbagai rakan perniagaan, kami telah mempertimbangkan untuk memproduksi komponen alternatif untuk komponen yang tidak lagi dihasilkan dan dibekalkan. Sebagai tambahan, ada juga evolusi teknologi seperti pembuatan semula dan cetakan 3D, dan kemungkinan untuk kaedah pembuatan serta perolehan baharu untuk terus membekalkan komponen kini turut sedang berkembang.

    “Berdasarkan inisiatif-inisiatif dan latar belakang ini, Honda telah mengambil keputusan untuk menerima guna komponen yang memenuhi standard kualiti dalam aspek fungsi dan prestasi sebagai “komponen serasi yang tulen” dan akan membekalkannya secara global,” kata Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Honda akan hasilkan semula komponen alat ganti untuk model lama yang telah dihentikan produksi

    Honda turut menyatakan bahawa program ini akan dimulakan dengan penghasilan semula alat-alat ganti untuk NSX generasi pertama, dan kemudian akan dikembangkan kepada model-model sports yang lain.

    Dengan bermulanya program ini juga, Honda akan menghentikan program “NSX Refresh Plan” yang dijalankan untuk pemilik-pemilik NSX untuk memastikan kereta mereka sentiasa dalam keadaan segar ditawarkan sejak 1993, dan ia akan digantikan dengan program restorasi baharu yang akan menggunakan alat-alat ganti asli bagi melayan lebih banyak permintaan pelanggan.

    Untuk yang berminat dengan program ini, Honda menyatakan bahawa lebih maklumat dan perincian berkenaan servis baharu dan pembekalan komponen ini akan diumumkan pada musim luruh tahun ini.

    Program penghasilan semula komponen kenderaan untuk model-model lagenda ini turut telah dimulakan oleh jenama-jenama Jepun yang lain. Nissan menerusi program Nismo Heritage Parts telah pun menghasilkan semula pelbagai alat ganti untuk model Skyline GT-R R32, R33 dan R34 termasuk menawarkan enjin baharu RB26DETT. Begitu juga dengan Toyota dengan program GR Heritage Parts menawarkan semula alat-alat ganti asli untuk model-model ikonik seperti Corolla AE86, Supra A70 dan A80, 2000 GT dan Land Cruiser BJ40.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025