Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • AES dan KEJARA akan dilaksanakan serentak Mac ini

    AES_Camera

    Bagi usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya Mac ini.

    Menerusi laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata, keputusan pelaksanaan dua skim itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dalam masa terdekat sebelum ia dilaksanakan.

    “Kita tidak boleh lagi berdolak dalik dalam isu keselamatan. Kerajaan terpaksa ambil inisiatif yang serius iaitu kuatkuasakan semula AES.

    “Menerusi KEJARA pula, kita akan tolak mata demerit pemandu. Bila disaman, kita akan tolak mata bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Bila sampai 20 mata, kita akan gantung lesen pemandu,” katanya yang turut menegaskan AES dan KEJARA adalah salah satu cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya.

    “Tujuan utama kita nak selamatkan nyawa. Kerajaan tak berniat nak denda pemandu tetapi kita nak ubah sikap pemandu agar mereka bertanggungjawab terhadap jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, pada masa ini terdapat 14 kamera AES masih berfungsi. Pada 18 Disember 2012, Peguam Negara memutuskan supaya pelaksanaan AES dikaji semula berikutan ia mendapat tentangan hebat daripada rakyat.

     
     
  • Proton dedah info enjin GDi dan TGDi – timing chain, transmisi CVT baharu, maksimum 180 hp/250 Nm

    Proton-new-engine-tests-1

    Dalam sidang media yang berlangsung petang ini di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam, turut diadakan lintas langsung bersama pasukan jurutera Proton yang terlibat dengan pembangunan enjin baharu ini yang kini berada di United Kingdon (UK). Diketuai oleh Ketua Pegawai Teknikal Proton, Rashid Musa, ia turut disertai oleh Ricardo dan Lotus yang bekerjasama dalam satu pasukan.

    Empat siri enjin baharu Proton ini merangkumi enam varian enjin yang diklasifikasikan sebagai 1.0L tiga-silinder VVT (Pemasaan injap boleh laras), 1.2L tiga-silinder VVT, 1.3L empat-silinder GDI (pancitan bahan api secara terus), 1.5L empat-silinder, 1.3L empat-silinder TGDI (pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo) dan 1.5L empat-silinder TGDI.

    Menurut Rashid, projek pembangunan enjin baharu Proton ini melibatkan 200 jurutera yang mengambil masa selama 40 bulan dengan kos pelaburan bernilai RM600 juta untuk melengkapkan kesemua varian enjin tersebut.

    Proton_New_Engine_Team_PTBM

    Kesemua enjin tersebut akan diuji secara kompresensif di Lotus dan Ricardo, dan oleh jurutera Proton sendiri. Ia juga akan diuji di 25 dyno test centre dengan masa ujian 250,000 jam. Ia juga akan diuji dengan jarak perbatuan sehingga 4.8 juta km di jalan raya bagi mencabar keupayaan enjin ini hingga ke tahapnya.

    Daripada enam enjin tersebut, 1.5 liter TGDi merupakan yang paling berkuasa dengan kuasa maksimum sehingga 180 hp dan puncak tork 250 Nm. Walau bagaimana pun, kuasa dan tork yang mampu dihasilkan oleh lain-lain varian tidak dinyatakan. Namun Proton mendakwa, kesemua enjin ini mampu mencapai prestasi 25% lebih tinggi berbanding enjin Proton sedia ada. Bukan itu sahaja, enjin ini juga boleh menggunakan bahan api sekurang-kurangnya RON95.

    Malah menurut Rashid, enjin baharu ini juga akan dipadankan dengan transmisi CVT baharu (daripada Jatco) yang lebih efisien berbanding yang ada pada model sedia ada. Proton kini dalam proses terakhir untuk penjana kuasa ini bagi model masa akan datang.

    Selain itu, enjin baharu ini juga menepati piawaian Euro 6C serta bakal menampilkan belt-driven starter generator, fungsi start/stop, Dual VVT dan timing chain. Bagi sudut penjimatannya, Proton mensasarkan emisi CO2 adalah di bawah 99 g/km. Bagi enjin 1.0 liter, penjimatan bahan apinya dianggarkan sebanyak 5.0 liter per 100 km dan 4.0 liter per 100 km bagi tambahan sesetengah teknologi.

    “Projek ini dilihat mampu membawa Proton ke tahap yang lebih kompetitif dan mampu mencipta sejarah yang tersendiri buat Proton,” ujar Rashid.

    Enjin baharu ini dijangka bakal dibawa pulang ke Malaysia pada September ini. Manakala aplikasi pertama enjin ini dijangka pada akhir tahun 2017.

     
     
  • Proton sedang membangunkan enjin baharu dengan teknologi GDi dan TGDi – 4 siri baharu, 6 varian

    Proton-new-engine-first-firing

    Bagi membuktikan kesungguhannya di dalam industri automotif, Proton sedang membangunkan barisan enjin baharu. Projek membangunkan enjin baharu ini telah mula berlangsung sejak Mac tahun lalu dan bekerjasama dengan Ricardo dan Lotus. Proses pembangunan enjin baharu ini dijalankan di United Kingdom (UK).

    Menurut Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton, sebanyak empat siri enjin baharu iaitu dua daripadanya enjin dua-silinder, 1.0 liter dan 1.2 liter serta enjin empat-silinder bagi kapasiti 1.3 liter dan 1.5 liter.

    Empat siri enjin baharu ini merangkumi enam varian enjin yang diklasifikasikan sebagai 1.0L tiga-silinder VVT (Pemasaan injap boleh laras), 1.2L tiga-silinder VVT, 1.3L empat-silinder GDI (pancitan bahan api secara terus), 1.5L empat-silinder, 1.3L empat-silinder TGDI (pancitan bahan api secara terus dengan pengecas turbo) dan 1.5L empat-silinder TGDI.

    Proton-new-engine-tests-2

    Datuk Harith turut berkata, bagi enjin 1.5 liter iaitu mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan puncak tork 250 Nm.

    “Ia merupakan enjin yang sangat bagus. Bukan setakat daripada segi prestasi yang lebih memberangsangkan, malah ia juga bakal memberikan penjimatan bahan api yang lebih optimum iaitu 25% lebih bagus berbanding enjin yang digunakan pada model Proton sedia ada. Malah enjin ini juga 20% lebih baik dari segi prestasinya.”

    “Enjin ini akan diuji bagi jarak perbatuan merangkumi 4.8 juta km. Ia dijangka bakal dibawa pulang ke Malaysia pada September ini. Manakala aplikasi pertama enjin ini dijangka pada akhir tahun 2017,” ujar Datuk Harith.

    Proton mempunyai alasan sendiri mengapa UK menjadi pilihan untuk membangunkan enjin baharu ini. Di mana menurut Datuk Harith, kedua-dua pihak berkenaan mempunyai teknologi ini telah memahami konsep enjin yang Proton kehendaki termasuklah berhubung dengan enjin NE01 iaitu enjin hasil kerjasama antara Proton dengan Petronas. Malah teknologi GDi dan TGDi ini turut dikongsikan antara Petronas dan Ricardo.

    Sambung Datuk Harith lagi, “Enjin ini juga menepati piawaian standard emisi bagi seluruh dunia. Malah menepati EURO6C yang bakal digunakan menjelang tahun 2020.”

     
     
  • Kesinambungan sistem AP Terbuka selaras dengan misi NAP bagi kukuhkan penyertaan bumiputera – MITI

    2015-Toyota-Alphard_005-Alphard-G-F-Package-e1453092688587

    Keputusan kerajaan untuk meneruskan sistem Permit Import (AP) Terbuka seperti mana selaras dengan misi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi penyertaan bumiputera dalam merancakkan lagi ekonomi negara, menurut laporan The Sun.

    “Kesinambungan sistem AP Terbuka ini akan memperluaskan lagi penyertaan daripada syarikat baharu bumiputera di dalam industri. Ia mampu menyalurkan mekanisme bagi memperkukuhkan dan meningkatkan lagi penyertaan bumiputera serta menambahkan ekuiti sedia ada iaitu sebanyak 36% di dalam sektor ini, ” ujar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    autowp.ru_toyota_estima_aeras_1

    Kenyataan menerusi e-mel tersebut turut menyebut satu jumlah tertentu bagi yuran yang dikutip menerusi sistem AP Terbuka ini akan diperuntukan untuk melaksanakan langkah yang telah digariskan di dalam NAP 2014 bagi meningkatkan daya saing syarikat bumiputera dalam teknologi, pembangunan modal insan dan rantaian bekalan.

    Menurut The Sun lagi, namun ada kebimbangan lain yang timbul iaitu merangkumi kesan negatif pada imej jenama yang dimiliki pengeluar komponen tulen (OEM), pelaburan oleh OEM, pendapatan kerajaan dalam soal cukai, implikasi pada industri-industri sokongan dan sektor perkhidmatan lain, komitmen antarabangsa di Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan perjanjian perdagangan bebas, dan pelaburan yang diperbuat oleh pemegang AP semasa.

    Walau bagaimana pun, MITI turut berkata perkara ini akan dikaji oleh perunding yang dilantik. “Perunding yang dilantik untuk kajian ini telah berunding dengan persatuan yang mewakili pelbagai kumpulan di industri automotif seperti pemasang, pemegang francais dan peniaga kereta terpakai. Beberapa OEM utama juga terlibat dalam rundingan ini. Maka, pendapat dan kebimbangan industri diambil kira dan ia akan dikaji semula,” ujar kenyataan tersebut.

    harrier-hybrid-0014

    MITI turut mendedahkan, antara pihak yang terbabit di dalam rundingan ini termasuklah Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur & Selangor serta Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (Pekema).

    Selain itu, ia juga melibatkan pertemuan dengan OEM termasuk BMW Group Malaysia, Honda Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia dan UMW Toyota Motor. Malah pandangan daripada beberapa persatuan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan Yayasan Kepimpinan Perdana turut diambil kira.

    Sistem AP ini telah diperkenalkan pada tahun 70an untuk menggalakkan penyertaan bumiputera di dalam industri penjualan kereta terpakai. Namun ia menjadi isu besar sejak sedekad yang lalu apabila ada yang mendakwa, sistem ini telah dimonopoli oleh individu tertentu termasuk terdapatnya “Raja AP”.

    Isu yang diketengahkan oleh MITI ini melibatkan dua perkara iaitu francias bagi AP untuk pemegang francias rasmi bagi pengeluar kenderaan (seperti Honda Malaysia, Bermaz Motor dan BMW Malaysia, sekadar beberapa contoh) dan AP Terbuka untuk bumiputera yang mengimport kenderaan dari pelbagai jenama dan jenis. The Sun turut mengeluarkan angka terkini daripada MITI yang menunjukkan kini terdapat 100 syarikat memegang AP Terbuka ini dan 22 syarikat lain sebagai Francias AP.

    nap-2014-ap_BM

    Sebelum ini, terdapat perancangan untuk memansuhkan sistem ini. NAP 2009 turut menyebut AP Terbuka ini sepatutnya ditamatkan pada akhir 2015, dan Francias AP pula akhir tahun 2020. Pada NAP 2014, kerajaan berkata akan melantik syarikat bertauliah untuk melakukan kajian yang lebih mendalam terhadap kesan penamatan AP Terbuka ini terutamanya pada syarikat bumiputera.

    Namun pada 23 Disember tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum sistem ini sepatutnya ditamatkan, MITI telah mengumumkan polisi AP Terbuka ini bakal diteruskan tetapi dengan peningkatan daripada sistem sedia ada. Di mana peningkatan ini belum dimaktubkan, dan mungkin akan dilaksana mulai 1 Januari 2017.

    “Pihak kerajaan akan melancarkan satu program untuk pengagihan yuran AP Terbuka ini untuk membuatkan semua pihak menikmati faedah daripada polisi baharu ini. Perincian mengenai program ini akan diumumkan kemudian,” ujar MITI lagi.

    Tambahnya lagi, “”Pasukan penyelidikan juag memberi pendapat bahawa sistem AP Terbuka ini akan memberi peluang kepada orang awam membeli kereta import terpakai pada satu harga saingan. Mereka juga mendapati pengagihan dan pengimportan industri kereta terpakai turut memberi sumbangan tinggi kepada industri automotif dan pembangunan sosioekonomi negara.”

    Mark-X-12-e1453090477152

    Kementerian terbabit juga menjelaskan sistem AP Terbuka ini turut menyumbang kepada perniagaan sokongan dan sektor perkhidmatan termasuk pembankan, insurans, perkapalan dan logistik yang dijangka menyumbang sebanyak RM450 juta setiap tahun, di samping RM2 bilion nilai daripada cukai dan yuran kepada kerajaan setiap tahun.

    Sistem ini, di mana Institut Automotif Malaysia (MAI) pernah tidak bersetuju mengenainya, turut akan memberikan peluang pekerjaan sebanyak 3,800 lebih tinggi dan pendapatan sederhana turut bertambah serta meningkatkan antara 5% daripada 36% ekuiti bumiputera di dalam sektor automotif.

    Menurut MITI lagi, “Jika sistem ini ditamatkan, tiada lagi kereta import terpakai akan dibenarkan masuk ke negara ini dan sekali gus mengenepikan peluang orang ramai untuk membeli kereta sedemikian. Juga peratusan penyertaan ekuiti bumiputera di sektor automotif akan berkurangan sebanyak 31%.”
    .

     
     
  • TPPA membolehkan automotif Malaysia bersaing rapat dengan Thailand dan Indonesia – Frost & Sullivan

    HondaJazz5

    Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal memberikan petanda yang baik buat sektor automotif Malaysia dan membolehkan negara ini untuk bersaing secara lebih kompetitif dengan Thailand dan Indonedia, menurut firma perunding Frost & Sullivan.

    Memetik laporan yang disiarkan oleh Bernama, Timbalan Presiden Mobiliti, Vivek Vaidya berkata, “Malaysia akan mempunyai peluang yang lebih kompetitif sebagai hab eksport untuk kompenen auto di rantau ASEAN.

    “Thailand telah pun mendahului Malaysia dalam perjanjian pertukaran percuma ini dan mereka turut mempunyai kelebihan untuk dipergunakankan. Justeru, TPPA dilihat sebagai tiket untuk Malaysia membeli perjanjian dengan Jepun, Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan Amerika Latin.”

    Menurut Vivek lagi, TPPA akan membantu syarikat Malaysia untuk meningkatkan lagi pasaran, membina lebih banyak peluang bagi kemahiran dan pertukaran teknologi dalam industri

    “Tetapi pemain industri tempatan harus mengadaptasi langkah yang dilakukan oleh pasaran lain dan perlu menjadi lebih kompetitif. Tidak boleh menguruskan bisnes seperti biasa, perlu ada perubahan,” sambungnya lagi.

    Di mana pakatan perdagangan ini akan membolehkan pemain industri menyertai negara-negara lain di bawah TPPA, yang mana menjelaskan 40% Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tanpa melalui cukai atau pun sekatan-sekatan kastam.

    Mercedes-E300-Hybrid-2_BM

    Vivek juga berkata jenama seperti Mercedes, Honda dan pengeluar komponen tulen (OEM) serta pembuat komponen lain yang mempunyai kilang di Malaysia akan dapat terus beroperasi di negara ini.

    “Apabila Malaysia menjadi sebahagian dari TPP, daya tarikan strategik Malaysia sebenarnya bertambah disebabkan oleh akses pasaran kepada negara-negara anggota TPP yang lain,” ujarnya lagi.

    Satu lagi negara yang mempunyai kelebihan signifikan dari TPP bagi sektor automotif ini ialah Vietnam.
    Di mana negara tersebut turut dilihat memiliki banyak kelebihan kerana ia lebih kompetitif daripada segi tenaga buruh.

    Sebanyak 12 negara dijangka bakal menandatangai pakatan perdagangan ini pada Februari depan, walau bagaimana pun ia tidak akan mempunyai sebarang kesan pada pasaran kereta tahun ini.

    “Ia akan bermula selepas tahun 2018, tetapi bagi sektor automotif, pengurangan cukai dan penghapusan cukai eksais hanya akan bermula dari tahun 2020,” ujar Vivek.

    Pada minggu lalu, firma perunding Frost & Sullivan telah mengumumkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bakal dikurangkan pada 1.44 peratus ke 648,000 unit pada tahun 2016 berbanding jumlah yang dijangka pada tahun lalu iaitu sebanyak 657,500 unit.

     
     
  • SPYSHOT: Subaru XV 2016 kelihatan di Bangsar

    Subaru-XV-facelift-spyshot_BM

    Sebelum majlis pelancarannya yang dijadualkan pada 20 Januari ini, model facelift Subaru XV 2016 kelihatan di Bangsar, walau pun sisi badannya dihiasi pelekat berwarna-warni.

    Menerusi foto yang dirakam ini, kelihatan indikator pada lampu belakang XV ini kini dilitupi gelas kaca jernih berbanding yang berwarna pada model sedia ada. Manakala rel bumbung juga dihiasi dengan kekemasan aluminium menyerlahkan lagi gaya sporty. Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang begitu jelas kelihatan bagi model facelift ini melainkan menerusi pandangan hadapannya.

    Bahagian hadapannya memiliki persamaan rekaan dengan model yang pernah diperkenalkan di Bangkok pada tahun lalu. Ini termasuklah gril hadapan haksagon yang diberi penambah baikan, lampu utama halogen baharu dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk-C dan lampu posisi berbentuk-L berdekatan dengan lampu kabus. Malah XV facelift ini juga tampil dengan rim aloi yang telah ditambah baik bersaiz 17-inci.

    2016_Subaru_XV_Thailand-27_BM

    Bagi bahagian kabinnya, XV facelift ini masih mengekalkan bentangan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Namun terdapat beberapa penambahan elemen termasuklah sistem multimedia dengan skrin sesentuh 6.2-inci (atau unit double-DIN), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, 4WD, pedal aloi, paparan pelbagai-info, butang kawalan tambahan pada roda stereng dan tempat duduk berkuasa elektrik. Malah jahitan kontras turut menjadi ‘hiasan’ pada XV ini.

    Di bawah hudnya, terletak penjana kuasa 2.0 liter DOHC empat-silinder Boxer yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan puncak tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Kuasa ini disalurkan menerusi transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan, ke Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD).

    Subaru XV 2016 di Thailand Motor Expo 2015

     
     
  • Ford Malaysia tawar rebat tunai sempena CNY

    Photo 4 - Count The Kam

    Ford dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan ‘Ford CNY Promo’ untuk memulakan sambutan Tahun Baru Cina (CNY). Promosi itu menawarkan rebat sehingga RM10,000 untuk kenderaan Ford terpilih dari sekarang hingga 31 Mac ini.

    Ford CNY Promo membolehkan para pelanggan memandu pulang model Ford kegemeran mereka pada harga lebih murah. Ia menawarkan rebat tunai menarik sehingga RM10,000 untuk sporty Fiesta, sehingga RM5,000 untuk SUV urban kompak versatil Ecosport dan sehingga RM3,000 bagi pembelian SUV Kuga penuh gaya.

    Bagi menambah ketenangan minda, Ford turut menawarkan promosi servis istimewa kepada pelanggan mulai sekarang hingga 15 Februari.

    Pemilik Ford yang membawa kenderaan mereka ke pusat servis untuk melakukan servis atau penyelenggaraan akan menerima pemeriksaan 27 poin secara percuma oleh juruteknik bertauliah Ford. Ford juga menawarkan diskaun sebanyak 10 hingga 20 peratus ke atas kos buruh dan alat ganti untuk kebanyakan pakej servis yang paling popular. Manakala pelanggan yang berbelanja lebih daripada RM300 akan menerima barangan eksklusif Ford.

    Sebagai tambahan kepada ‘Ford CNY Promo’, sesiapa sahaja yang memandu uji model baharu Ford mulai 16 hingga 24 Januari layak menerima penyusun but kereta. Mereka yang membuat tempahan sepanjang tempoh itu juga akan menerima sekaki payung Ford dan satu penyangkut/alat penyusun serba guna.

    Sepanjang tempoh yang sama, Ford turut mengadakan peraduan ‘Count The Kam’ yang menyeronokkan. Untuk peluang memenangi 200,000 AirAsia Big Points dan hadiah-hadiah lain, para peminat Ford boleh mengunjungi bilik pameran Ford SDAC PJ2 dan meneka jumlah buah limau mandarin yang diletakkan di dalam sebuah EcoSport, rakam selfie dengan kereta dan muat naik ke laman Facebook Ford Malaysia di www.facebook.com/Ford Malaysia.

     
     
  • MINI Malaysia memperkenalkan waranti yang lebih komprehensif untuk semua model baharu

    MINI 4 Years Unlimited Mileage Warranty (2)

    MINI Malaysia telah mengumumkan program waranti perbatuan tanpa had selama empat tahun dengan servis berjadual percuma untuk semua MINI yang didaftarkan mulai 1 Januari 2016.

    Program waranti dan servis baharu ini menawarkan perlindungan tambahan selepas tahun ketiga pemilikan, di mana waranti yang disokong oleh pengeluar akan diteruskan ke tahun keempat dengan jarak perbatuan tanpa had. Bukan itu sahaja, program ini turut merangkumi servis berjadual dan penyelenggaraan secara percuma sehingga 60,000km berdasarkan kepada sistem Condition Based Service (CBS) pada MINI berkenaan.

    Skop servis yang ditawarkan dalam program waranti baharu ini termasuklah servis pemeriksaan kenderaan, penukaran minyak enjin dengan penapis dan pengisian semula minyak baru. Sementara komponen-komponen pula terdiri daripada penapis udara, penapis mikro, palam pencucuh dan bendalir brek. Bagaimanapun, komponen seperti brek hadapan dan belakang, termasuk cakera dan pad brek serta penggilap cermin utama kini tidak dimasukkan ke dalam program jaminan dan servis berkenaan.

    Bagi kenderaan yang didaftarkan pada Disember 2015, MINI Malaysia menawarkan satu pakej istimewa untuk pelanggan menaik taraf daripada pakej MINI Service Inclusive FIX selama tiga tahun/50,000km kepada program waranti perbatuan tanpa had selama empat Tahun dengan servis berjadual percuma yang baharu. Pakej yang dinaik taraf ini akan merangkumi program servis penuh daripada pakej jaminan sebelum ini, yang turut meliputi pad brek, cakera brek dan penggilap cermin.

    Bagi menikmati waranti ini adalah berdasarkan kepada servis berjadual yang dicadangkan oleh pengeluar di mana-mana Pengedar Sah MINI di seluruh negara. Sekiranya servis dilakukan oleh bengkel tidak bertauliah, Pengedar Sah MINI berhak untuk menolak apa jua tuntutan kerana kerosakan itu mungkin berlaku akibat kualiti servis yang tidak bagus atau penggunaan alat ganti tiruan.

     
     
  • Rewaco RF-1 LT-2 bakal dipasarkan di Malaysia – padanan enjin 1.5 liter turbo, kotak gear Punch CVT

    Rewaco RF-1 LT-2 Turbo Malaysia  001

    Rewaco dari Jerman merupakan pembuat motosikal roda tiga sejak tahun 1990. Kini antara modelnya iaitu RF-1 LT-2 telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

    Dijanakan oleh enjin 4A91T 1.5 liter empat-silinder buatan Mitsubishi, ia turut dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT, iaitu unit yang sama pada Proton Suprima S, Preve dan Exora CFE.

    Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 140 hp pada 6,000 rpm dengan puncak tork 210 Nm pada 2,500 rpm. Motosikal roda tiga ini seberat 705 kg dan memiliki dua tempat duduk. Malah varian tiga tempat duduk juga turut ditawarkan.

    Enjinnya terletak di bawah bahagian badannya dan satu intercooler turut diletakkan di atasnya bersama sebuah kipas elektrik kecil bagi menyejukkan enjin sewaktu motosikal ini berhenti. Kotak gearnya juga terletak di bahagian relung enjinnya.

    Model RF-1 yang dipaparkan menerusi foto-foto ini adalah prototaip untuk pasaran Malaysia dan kini sedang diperiksa untuk mendapatkan kebenaran bagi jualan pasaran tempatan.

    Motosikal roda tiga ini memiliki ukuran 3550 mm panjang dan 1880 mm lebar, iaitu menyamai saiz Perodua Axia.

    Rewaco RF-1 LT-2 Turbo Malaysia  004

    Mengendalikan RF-1 ini tidaklah sesukar mana, ia hanya memiliki dua kawalan iaitu pendikit dan brek kaki. Jangan risau tentang keseimbangan kerana ia kan motosikal beroda tiga. Sesiapa sahaja boleh belajar menunggangnya dalam tempoh beberapa minit sahaja. Tuil gearnya pula terletak pada tangki iaitu di antara tempat letak kaki penunggang, dan ia seperti tuil gear pada kereta transmisi CVT.

    Terdapat tiga ruang penyimpanan barang iaitu dua kotak di kedua sisi tempat duduk pembonceng dan satu lagi kotak di belakang motosikal.

    RF-1 ini akan diimport oleh Punch Powertrain Malaysia. Punch juga sedang mencari rakan pengedar di Malaysia untuk model motosikal roda tiga dan berkuasa tinggi buatan Rewaco. Jika di USA, RF-1 ini dijual pada harga USD45,000 (RM196,000).

    Agak-agak, berapakah harga jualannya di Malaysia? Dan apakah komen anda mengenai kehadiran RF-1 ini negara kita? Kongsikan komen anda bersama kami.

     
     
  • Honda Civic Type R solekan khas di Tokyo Auto Salon

    Mugen_Civic_TypeR_Front_BM

    Honda Civic Type R telah menerima suntikan selepas jualan oleh beberapa syarikat penalaan (tuner) khas untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon tahun ini.

    Jentera JDM yang ditala khas ini oleh dua jenama talaan terkenal iaitu Mugen dan Modulo menjadikan perhatian ramai dalam acara pameran automotif tersebut.

    Mugen, telah menampilkan kit penggayaan yang lebih agresif pada Civic Type R ini. Ia dimulakan dengan bampar yang direka khas bersama kekemasan beefier splitter berwarna hitam dengan kontras hitam sutera pada bahagian badannya. Sedikit serpihan hitam turut ditambah termasuk pada bahagian skirting sisi yang lebar dan wing belakang yang lebih ringan berbanding versi standard.

    Mugen_Civic_TypeR_back_BM

    Malah apa yang dilakukan oleh Mugen ini lebih pada penampilannya, tetapi tidak mengubah langsung bagi sudut teknikal dan mekanikal. Begitu juga dengan varian Modulo yang didatangkan dengan imej yang lebih garang termasuk menampilkan penutup tangki minyak baharu, skirting sisi yang lebih garang dan sedikit sentuhan merah pada bahagian badannya.

    Honda Civic Type R ini telah dilancarkan pada Oktober lalu sempena dengan Tokyo Motor Show 2015. Ia digambarkan sebagai “model Type paling ekstrem dan paling berprestasi tinggi yang pernah dibangunkan”.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 310 PS dan tork 400 Nm antara 2,500 dan 4,500 rpm.

    Enjin ini turut ditampilkan dengan pengecas turbo baharu, yang bekerjasama dengan sistem Variable Timing and Lift Electronic Control (VTEC) dan Dual-Variable Timing Control (VTC) ciptaan Honda.

    Penjana kuasa ini juga turut berpadu tenaga dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 km/j.

    Galeri Honda Civic Type R 2015

     
     
  • Mercedes-Benz GLE 250 d, GLE 400 4Matic telah dilancarkan di Malaysia – 3.0L V6, harga dari RM487k

    2016-mercedes-benz-gle-400-suv-launch-official-001

    Selain Mercedes-Benz GLC 250 4Matic, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut membawa masuk model SUV mewah GLE 250 ke pasaran tempatan. Didatangkan dengan dua varian iaitu GLE 250 d dan GLE 400 4Matic, kedua-duanya telah diberi penambah baikan pada bahagian luaran dan dalaman, serta turut menampilkan teknologi baharu bagi menaik taraf penjana kuasanya.

    Varian GLE 400 dijanakan oleh enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 333 PS dari 5,250 hingga 6,000 rpm dan puncak tork 480 Nm antara 1,600 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi 7G-Tronic, yang mampu memacu SUV ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mencapai kelajuan maksimum pada 247 km/j. Penggunaan bahan apinya pula tercatat sekitar 8.8 liter bagi setiap 100 km.

    2016-mercedes-benz-gle-400-suv-launch-official-005

    Manakala bagi varian diesel GLE 250 d 4Matic pula, ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter bi-turbo empat-silinder, yang telah diberi penambah baikan untuk penjimatan bahan api yang lebih optimum iaitu sekitar 5.4 liter bagi setiap 100 km. Manakala kuasa yang mampu dihamburkan mencecah 204 PS pada 3,800 rpm dan puncak tork 500 Nm antara 1,600 hingga 1,800 rpm. GLE 250 d 4Matic turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic, yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat serta berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 212 km/j.

    Bagi rekaan luarannya, ia telah diberi suntikan yang lebih segar berbanding model terdahulu. Bahagian hadapannya lebih berketerampilan dengan padanan gril yang berimej lebih mantap. Selain itu, lampu belakangnya juga telah direka semula serta paip ekzoz yang pula lebih menonjol.

    Kedua-dua varian juga diserlahkan dengan rekaan luaran AMG Line dengan pakej pengayaan lebih elegan termasuk menampilkan rim aloi lima-jejari bersaiz 20-inci bagi GLE 250 d dan 21-inci dengan jejari-berkembar bagi GLE 400. Kedua-duanya juga ditampilkan dengan bumbung matahari.

    Bagi bahagian kabinnya, antara perubahan yang dilakukan ialah roda stereng tiga-jejari baharu, corong udara tengah yang direka semula serta skrin sistem hiburan COMAND Online yang ditampilkan umpama tablet.

    Kedua-dua varian juga menampilkan skrin bersaiz 8.0-inci dan sistem COMAND turut didatangkan bersama pemain DVD dan pengesan tanda trafik termasuk fungsi amaran salah jalan. Model GLE ini turut menawarkan pakej Sistem Hiburan Tempat Duduk Belakang sebagai standard termasuklah dua paparan bersaiz 20.3-inci dan kit bebas tangan Kleer.

    GLE 400 juga didatangkan dengan kekemasan AMG Line untuk bahagian dalaman termasuk tempat duduk sport balutan kulit Artico buatan tangan, roda stereng sport balutan kulit Nappa, kluster instrumen dan pedal sport keluli tahan karat.

    Warna baharu juga ditawarkan untuk bahagian kabin termasuk ginger beige, espresso brown, saddle brown dan porselin.

    GLE turut menampilskan sistem Dynamic Selecr yang menawarkan empat mod pemanduan (Individual, Comfort, Slippery & Sport) dengan hanya memutar tombol kawalan yang terletak di konsol tengah. Malah varian GLE 400 pula ditawarkan satu lagi mod pemanduan tambahan iaitu Offroad.

    Elemen standard yang turut ditawarkan bagi kedua-dua varian termasuklah lampu utama Intelligent LED, Bantuan Tambahan Lampu Tinggi Adaptif dan penutup ruang kompakmen Easy-Pack. Malah GLE 250d
    turut didatangkan sengan suspensi keluli Kawalan Ketegaran sebagai standard. Manakala GLE 400 pula ditampilkan dengan suspensi Sistem Redaman Adaptif.

    Bagi kit keselamatannya, GLE 250 d didatangkan dengan Collision Prevention Assist Plus dan Lane Tracking Package (Bantuan Titik Buta, Bantuan Kekal Laluan). Manakala GLE 400 pula didatangkan dengan pek Bantuan Pemanduan Tambahan termasuk Bantuan Stering, BAS PLUS dengan Bantuan Lintasan Trafik, Brek Pra-Keselematan Pengesan Penjalan Kaki, Amaran Impak Belakang, Bantuan Titik Buta Aktif dan Bantuan Kekal Laluan Aktif.

    Bagi model import sepenuhnya (CBU) ini, varian Mercedes-Benz ini ditawarkan pada harga RM486,888 untuk GLE 250 d 4Matic dan RM568,888 bagi GLE 400 4Matic, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan daripada MBM.

    GALERI: Mercedes-Benz GLE 400 4Matic

     
     
  • Volkswagen Sri Hartamas dilancarkan

    Volkswagen-Sri-Hartamas-3S-Centre-01_BM

    Pusat 3S Volkswagen Sri Hartamas telah dilancarkan petang tadi oleh Volkswagen Malaysia dan FA Wagen Sdn. Bhd.

    Memiliki keluasan lebih 30,670 kaki persegi melibatkan tiga tingkat, Volkswagen Sri Hartamas bersedia untuk memenuhi semua keperluan pemilik kenderaan Volkswagen daripada jualan sehinggalah aspek selepas jualan yang merangkumi servis umum & pantas, diagnostik dan pembaikan utama.

    Pusat servis ini mempunyai lapan ruang penyelenggaraan bersama sepasukan 15 orang juruteknik berpengalaman dan bertauliah. Mereka mampu mendiagnos apa jua isu dengan efisien, pantas serta menawarkan servis berkualiti kepada pelanggan.

    FA Wagen Sdn. Bhd. telah melabur sebanyak RM5 juta untuk lokasi, bangunan, kemudahan serta ruang penyelenggaraan. Di samping peralatan dan kelengkapan diagnostik yang diluluskan oleh Volkswagen.

    Volkswagen-Sri-Hartamas-3S-Centre-02_BM

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Kerjasama kami dengan FA Wagen bermula pada tahun 2007 dan sejak itu telah mencapai banyak kejayaan. Pelaburan ke atas infrastruktur merupakan salah satu usaha kami untuk menambah baik perkhidmatan dan pengalaman pemilikan secara keseluruhannya. Volkswagen Malaysia akan terus fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan.”

    Pengarah Urusan FA Wagen Sdn. Bhd., Cheng Seng Fook berkata, “FA Wagen berbangga untuk memperkenalkan pusat servis 3S terkini kami kepada anda. Kami mengakui bahawa para pelanggan adalah keutamaan kami. Maka, kami lihat wujud keperluan sebuah pusat servis Volkswagen di Sri Hartamas. Kami telah melabur sebanyak RM5 juta ke atas cawangan ini untuk meningkatkan lagi jenama Volkswagen.”

    Volkswagen Sri Hartamas beroperasi dari Isnin hingga Ahad, termasuk cuti umum untuk bilik pamerannya mulai jam 8.30am hingga 6pm. Manakala bahagian selepas jualan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.45 petang. Hari Sabtu pula, ia beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 12:30 tengahari.

     
     
  • Puspakom tawar 25 peringkat pemeriksaan kenderaan persendirian sukarela secara percuma sempena CNY

    Gambar_ Peringkat -peringkat Pemeriksaan Kenderaan Sukarela

    Sempena dengan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Puspakom akan menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) Percuma mulai 17 sehingga 29 Januari 2016. Ia meliputi 25 peringkat pemeriksaan untuk semua pemilik kenderaan persendirian.

    Pemilik kenderaan boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa di semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu.

    Pemeriksaan VVI yang merangkumi peringkat seperti Ujian Pengeluaran Asap, Gelincir Sisi, Bahagian Atas dan Bawah kenderaan, Brek dan Suspensi dapat memberi pencerahan kepada pelanggan mengenai bahagian-bahagian kenderaan yang berkemungkinan rosak dan memerlukan perhatian. Laporan melalui pemeriksaan VVI ini dapat memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Kempen VVI secara percuma ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kenderaan di kalangan orang ramai, terutamanya mengenai kepentingan menjalankan pemeriksaan kenderaan secara berkala. Inisiatif ini juga adalah seiring dengan seruan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi pada musim perayaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke pusat pemeriksaan kami untuk menjalani VVI secara percuma. Pelanggan boleh terus mengunjungi cawangan kami tanpa perlu menunggu dan membuat temujanji. Melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan adalah sama penting. Ini boleh menjamin keselamatan kenderaan dan orang tersayang anda.”

    Pelanggan boleh menjalani VVI secara percuma dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan). Untuk maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my.

     
     
  • Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto dibuka di Kota Kinabalu

    Mertzyu Auto Nissan 3S Centre

    Mertzyu Auto Sdn Bhd, pengedar sah Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd (ETCM) telah melancarkan secara rasmi Pusat 3S pengedar pertamanya di Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini.

    Pembukaan ini mencatat sejarah sebagai pusat 3S ‘hibrid’ Nissan yang pertama seumpamanya. Ia mewakili kerjasama pertama di antara Tan Chong dengan pengedarnya sebagai pusat jualan, servis dan alat ganti yang beroperasi sepenuhnya. Metzyu Auto menjalankan operasi jualan bagi kereta Nissan sementara Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS) menjalankan operasi Selepas Jualan untuk servis dan alat ganti.

    Memiliki keluasan penuh 40,000 kaki persegi, bilik pameran ini mampu mempamerkan sehingga enam buah kereta pada satu-satu masa. Terdapat lima ruang servis di Pusat Servis ini yang mampu menyelenggara sehingga 30 buah kenderaan pada operasi penuh.

    Ribbon Cutting_Mertzyu Auto Nissan 3S Centre

    Pengarah Urusan Mertzyu Auto Sdn. Bhd., Oi Thiam Seng berkata, “Dengan pelaburan sekitar RM1.5 juta, ia merupakan pusat sehenti yang menawarkan kemudahan buat para pelanggan untuk memandu uji rangkaian model Nissan, melakukan servis dan mendapatkan alat ganti dengan semuanya di bawah satu bumbung.”

    Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto mengadaptasi standard identiti Global Retail Visual Nissan demi menawarkan perkhidmatan 3S sepenuhnya, mengekalkan perhubungan pelanggan yang berkualiti. Antara kemudahan tambahan yang ditawarkan termasuklah tempat cuci kereta, perkhidmatan merias, pembelian dan memperbaharui insurans, petak penghantaran dengan penghawa dingin dalaman, sebuah lounge dan tempat minum bersama ketersambungan WiFi demi keselesaan pelanggan.

    Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengurus Besar Kanan ETCM, Christopher Tan menjelaskan bahawa Kumpulan Tan Chong telah mengembangkan rangkaiannya dengan agresif di kawasan Malaysia Timur sejak dua tahun lalu.

    “Pasaran Malaysia Timur amat penting buat ETCM. Kami kini mempunyai 14 buah cawangan dan pengedaran di Malaysia Timur dengan tiga pusat 3S di Sarawak dan empat 3S di Sabah. Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto nyata mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan menerusi penawaran barisan model Nissan yang mantap dan menarik,” katanya.

    Mertzyu Auto merupakan sebahagian daripada rangkaian 20 pengedar Nissan yang mantap di seluruh negara. Penambahan pengedar telah dirancang untuk tahun 2016.

    Waktu operasi untuk bilik pameran Mertzyu Auto Nissan adalah dari 8.00 pagi – 9.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu, dan 9.00 pagi – 5.00 malam setiap hari Ahad dan Cuti Umum. Pusat Servis TCEAS pula dibuka dari 8.30 pagi – 5.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dilancarkan – RM329k

    GLC 250 4MATIC (5)

    Sebuah lagi SUV baharu dari Mercedes-Benz telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia yang pastinya mampu menambat hati golongan kelas atasan. Mercedes-Benz GLC 250 4Matic telah pun dilancarkan semalam di KLPAC, dengan tag harga RM328,888 (bersama GST dan tanpa insurans).

    Tampil dengan falsafah reka bentuk yang lebih sensual dan memiliki kemodenan estetika pada sudut padangan klask yang lasak, GLC 250 4Matic turut mempunyai sedikit sentuhan gaya model seniornya, G-Class, tetapi lebih berciri moden.

    Daripada sudut pandangan hadapan, karakteristiknya juga terserlah dengan gril radiator tiga-dimensi bersama satu ram berkembar serta menempatkan logo jenama ini pada garisan rekaan baharu. Malah padanan lampu hadapan LED bersama Sistem Pencahayaan Pintar turut memberikan pandangan yang cukup mantap buat SUV ini. Bampar hadapan dengan ‘underguard’ bersepadu turut didatangkan dengan ciri tambahan bagi versi off-road dengan satu sudut tuju yang lebih besar serta ditambah dengan versi AMG yang bergaya.

    Bagi profil sisinya pula, ia kelihatan umpama model coupe namun masih mengekalkan imej yang elegan. Garisan sisinya lebih landai dan mantap.

    Pada bahagian belakangnya pula, terserlah imej penuh maskular dengan garisan kontur yang berorientasi melintang dan padanan lampu belakang LED. Ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang bagi memberikan imbasan penuh sporty.

    GLC 250 4MATIC (2)

    Menjengah bahagian kabinnya, rekaan penuh elegan merajai segenap ruang. Malah rekaannya juga telah dipertingkatkan dengan gaya yang lebih moden dan mewah. Padanan material berkualiti tinggi yang memberikan ilham gaya mewah turut dapat dilihat menerusi kekemasan kayuan pada papan pemuka serta pilihan kulit nappa. Bumbung matahari yang boleh dibuka turut menjelmakan imej elegan dan serba mewah itu.

    Rekaan utama pastinya lebih tertumpu pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem hiburan Audio 20 CD, skrin paparan bersaiz tujuh-inci, sistem navigasi Garmin Map Pilot, sistem Burmester Surround Sound dengan 13 speaker dan kamera belakang 360-darjah.

    GLC 250 4MATIC (35)

    Walau pun kelihatan agak kecil daripada pandangan luaran, namun ruang kabin dan tempat penyimpanan barang di bahagian belakang amat memuaskan. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 40/20/40 dengan menawarkan ruang kargo yang lebih luas iaitu mencecah 1,600 liter iaitu lebih 500 liter dalam keadaan normal. Pintu kargo juga boleh dibuka secara automatik dengan sistem ‘HANDS FREE ACCESS’.

    Bagi aspek keselamatan, SUV ini turut dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus, Crosswind Assist, Attention Assist dan Active Parking Assistant sebagai standard.

    GLC 250 4Matic ini dipadankan dengan enjin 2.0-liter dengan hamburan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 350 Nm antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Padanan enjin dan transmisi ini membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya tercatat sekitar 6.5 hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km (menurut ujian European NEDC).

    Terdapat lima mod permanduan bagi Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual dengan tombol kawalannya terletak pada konsol tengah. Manakala Pakej Kejuruteraan Off-Road juga ditampilkan termasuk fungsi Aturan Kelajuan Menurun Bukit, off-road, dan laluan licin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024