Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subsidi RON95 – tukar cip MyKad yang rosak secara percuma di kaunter, pejabat JPN; 23 Sept-7 Okt

    Subsidi RON95 – tukar cip MyKad yang rosak secara percuma di kaunter, pejabat JPN; 23 Sept-7 Okt

    Susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai pelaksanaan inisiatif BUD195 buat rakyat Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.

    Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, JPN telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak. “Trend permohonan ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan iaitu sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos.

    “Manakala bagi bulan September, sehingga 21 haribulan sahaja, JPN telah menerima sebanyak 22,858
    permohonan. Berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, penukaran cip MyKad rosak secara percuma ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada
    Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.

    “Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar.

    “Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUD195,” sambungnya lagi yang sebelum ini berkongsikan video mengenai mekanisme subsidi RON95 di salah sebuah stesen minyak di Cyberjaya.

    Pagi tadi, Anwar mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak. Walau bagaimana pun, katanya, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh 300,000 anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima STR mulai 28 September.

    Katanya, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi ini dan menerima kuota sebanyak 300 liter petrol RON95 sebulan.

     
     
  • GALERI: GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia – lebih besar dari Proton X70, dianggar RM130k, 1.5 TGDI

    GALERI: GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia – lebih besar dari Proton X70, dianggar RM130k, 1.5 TGDI

    Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) iaitu pengedar GAC di Malaysia bakal melancarkan satu lagi model dari jenama China tersebut iaitu SUV segmen-C, GAC Emkoo. SUV ini sebenarnya sudahpun didedahkan beberapa kali sebelum ini termasuk yang terakhir di acara PACE Julai lalu, dan tempahannya sudah dibuka sebelum dilancarkan tidak lama lagi.

    Sebelum dilancarkan juga, kami sekali lagi diberikan peluang untuk melihat model ini dengan lebih dekat di mana WTAC telah mendedahkan beberapa perincian berkenaan SUV ini serta perbezaan varian yang bakal ditawarkan. Seperti yang telah disebut sebelum ini, GAC Emkoo bakal ditawarkan dalam dua varian di Malaysia iaitu varian Premium yang dijangka akan dijual pada harga RM120,000 dan juga unit yang kami terima kali ini iaitu varian Premium Pro dengan harga jangkaan RM130,000.

    GAC Emkoo ini juga merupakan salah satu model yang diasaskan dari Global Platform Modular Architecture (GPMA) binaan GAC sendiri, dan ia turut dikongsi bersama oleh ‘adiknya’ iaitu SUV segmen-B GS3 Emzoom. Ketika dilancarkan kelak, Emkoo bakal mempunyai kelebihan dari segi saiz kerana menampilkan dimensi panjang 4,680 mm, lebar 1,901 mm dan jarak roda 2,750 mm.

    GALERI: GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia – lebih besar dari Proton X70, dianggar RM130k, 1.5 TGDI

    Sebagai perbandingan, Proton X70 tampil dengan dimensi panjang 4,526 mm, lebar 1,831 mm, dan jarak roda sejauh 2,670 mm. Ini bermakna berbanding Proton X70, GAC Emkoo ini adalah 154 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 80 mm lebih jauh.

    Bagi pasaran lain, GAC Emkoo ini ada ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo, 2.0 liter turbo, dan juga 2.0 liter hibrid. Namun untuk pasaran Malaysia, Emkoo hanya ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) sahaja bagi kedua-dua varian.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 177 PS pada takt 5,500 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,400 hingga 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu sepenuhnya roda hadapan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, serta penggunaan bahan api serendah 6.6 liter untuk setiap 100km – dakwaan ini adalah keputusan dalam kitaran ujian standard di China iaitu NEDC.

    GALERI: GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia – lebih besar dari Proton X70, dianggar RM130k, 1.5 TGDI

    Seperti juga Emzoom, Emkoo juga menerima rekaan bersegi ala-kapal angkasa. Ia menerima lampu hadapan LED yang bersambung dengan lampu nyalaan siang LED, di mana lampu dengan “sistem gaya matriks” ini turut menampilkan fungsi lampu tinggi adaptif. Lampu tersebut mengapit rekaan gril berbentuk-V, yang didakwa bermaksud ‘victory’ (kejayaan).

    SUV ini juga menerima rekaan pembuka pintu tenggelam, rekaan bumbung ‘terapung’ dengan tiang-A digelapkan serta tiang-C yang tebal, serta rel bumbung berwarna perak yang direka seakan bersambung dengan spoiler.

    Di belakang, lampu SUV ini direka seiring dengan rupa muka belakang itu sendiri seakan menonjolkan huruf-X menerusi grafik LED yang menyala. Bahagian bawah bampar agak ‘sibuk’ dengan ‘diffuser’ yang menampilkan lampu mengundur di bahagian tengah bersama dua reflektor melintang serta dua liang udara palsu pada kedua-dua sisi.

    GALERI: GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia – lebih besar dari Proton X70, dianggar RM130k, 1.5 TGDI

    Kedua-dua varian menerima rim aloi dua-tona 19-inci bersama tayar 235/55/R19 dan cermin sisi kawalan elektrik, namun hanya varian Premium Pro diberikan bumbung panaromik dan juga cermin sisi dengan fungsi pemanas, pandangan ke bawah ketika parkir dan juga memori. Manakala untuk fungsi pintu tailgate belakang bantuan kuasa, ia diberikan secara standard untuk Premium Pro, dan pelanggan yang membeli varian Premium ditawarkan secara opsyen dengan tambahan bayaran.

    Beberapa perincian unik juga anda boleh lihat pada rekaan dalam GAC Emkoo ini, antaranya liang penghembus udara dengan bentuk seakan silinder, serta pembuka pintu bersaiz besar yang perlu ditarik ke atas. Tiada suis fizikal untuk kawalan penghawa dingin dan audio, di mana kedua-dua perincian tersebut diganti dengan suis maya yang sentiasa berada di kiri dan kanan skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci yang terletak di tengah papan pemuka.

    Skrin tersebut turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kedua-dua varian juga datang dengan pad pengecas tanpa wayar 50W yang diletakkan pada konsol tengah, di mana bahagian tersebut turut menempatkan dua pemegang cawan, tombol gear dengan kemasan kristal, suis brek parkir elektrik, butang penghidup enjin dan suis lampu isyarat kecemasan.

    Upholsteri kulit sintetik adalah standard untuk kedua-dua varian. Bagi tempat duduk hadapan, varian Premium diberikan tempat duduk pemandu dengan fungsi larasan kuasa enam-hala dan juga liang pengudaraan, manakala varian Premium Pro ditambah dengan fungsi larasan elektrik 12-hala bersama memori pada tempat duduk pemandu, serta tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan elektrik empat-hala dan liang pengudaraan.

    Manakala untuk pemandu skrin 7-inci diberikan untuk paparan instrumen digital bagi varian Premium, manakala varian Premium Pro ditambah dengan paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, paparan head-up yang dipancarkan cermin hadapan. Selain itu varian paling mahal itu juga menerima penambahan Ionizer udara dengan penderia kualiti udara serta lampu suasana kabin pelbagai warna.

    Untuk keselamatan, kedua-dua varian berkongsi kelengkapan yang hampir sama. Ia termasuk enam-beg udara, kamera pemantau 540-darjah dan pemantau tekanan angin tayar. Kedua-dua varian juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi kawalan stereng seperti bantuan kekal tengah lorong dan sebagainya. Namun hanya varian Premium Pro yang diberikan sistem bantuan parkir automatik penuh (FAPA) yang membolehkan SUV ini diparkir secara automatik tanpa dipandu oleh pemandu.

    Dengan kelengkapan keselamatan yang dibekalkn tersebut membolehkan GAC Emkoo menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) baru-baru ini.

    Lima warna badan akan ditawarkan pada GAC Emkoo pasaran Malaysia ini iaitu Star Lake Green, Super Star Silver, Graphite Grey, Asphalt Black dan Frost White. SUV ini juga akan ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di mana produksinya telah bermula Jun lalu di kilang milik Tan Chong di Segambut, Selangor.

     
     
  • Pakcik Shell demo pembaca MyKad di pam minyak untuk RON95 bersubsidi RM1.99 – tak perlu ke kaunter

    Pakcik Shell demo pembaca MyKad di pam minyak untuk RON95 bersubsidi RM1.99 – tak perlu ke kaunter

    “Pak Cik Shell” yang merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain, telah memuat naik di akaun Instagramnya @pakcikshell satu demo bagaimana pengesahan MyKad untuk pembelian RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter berfungsi terus di pam minyak, tanpa perlu ke kaunter juruwang.

    Video tersebut bermula dengan Pak Cik Shell membersihkan cip MyKad menggunakan pemadam – sesuatu yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia, dan pasti kita semua pernah melakukannya sebelum ini, terutamanya di bank, betul tak?

    Seterusnya, beliau menyentuh kad debit Visa pada terminal pembaca untuk membuat bayaran menggunakan konsep PayWave. Kemudian, beliau memasukkan pula MyKad ke dalam slot pembaca fizikal untuk pengesahan.

    Beberapa saat kemudian, nampaknya keseluruhan proses selesai dan beliau boleh terus mengisi minyak. Menerusi perkongsian ini, nampak gayanya pam minyak Shell akan dilengkapi dengan terminal pembaca MyKad, sekali gus tidak perlu ke kaunter juruwang untuk pengesahan.

    Walau bagaimana pun, demo ini dilakukan di dalam pejabatnya dan bukannya di pam minyak sebenar. Mungkin kerana sistem tersebut masih belum diaktifkan di pam minyak.

    Jika semua syarikat minyak memasang terminal pembaca MyKad di pam, nampaknya pengesahan MyKad di kaunter hanya diperlukan untuk bayaran tunai. Pastinya ia lebih memberikan pilihan dan kemudahan kepada para pengguna dengan cara yang lebih efektif, sama ada menggunakan bayaran secara tunai mahu pun transaksi menggunakan kad debit/kredit.

     
     
  • JPJ buka semua cawangan pada hujung minggu untuk baharui lesen memandu – berkuatkuasa 27 Sept-26 Okt

    JPJ buka semua cawangan pada hujung minggu untuk baharui lesen memandu – berkuatkuasa 27 Sept-26 Okt

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaaan subsidi petrol RON95, pihaknya bersiap siaga dan bersedia untuk menambah waktu pengoperasian kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pertambahan waktu operasi berkenaan adalah berkuatkuasa pada 27 September hingga 26 Oktober 2025 yang melibatkan hari Jumaat dan Sabtu bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah serta hari Sabtu dan Ahad untuk negeri-negeri lain, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

    “Penambahan waktu operasi kaunter ini adalah bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.

    “Untuk rekod, terdapat sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, manakala sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuatkuasa,” katanya.

    JPJ buka semua cawangan pada hujung minggu untuk baharui lesen memandu – berkuatkuasa 27 Sept-26 Okt

    Justeru, katanya, JPJ mengambil kesempatan ini ingin mengingatkan bahawa bagi pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, individu terbabit diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu (IM) berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu.

    Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka.

    “Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah,” tambahnya lagi.

     
     
  • Apa jadi dengan penyelarasan subsidi petrol RON 95? Bertahun-tahun bincang, kenapa tak dilaksanakan?

    Apa jadi dengan penyelarasan subsidi petrol RON 95? Bertahun-tahun bincang, kenapa tak dilaksanakan?

    Melalui pengumuman hari ini, Kerajaan Madani akhirnya mengesahkan bahawa subsidi penuh bagi petrol RON95 untuk semua rakyat Malaysia akan diteruskan. Ini bertentangan dengan hasrat yang diluahkan oleh kerajaan sejak beberapa tahun sebelumnya untuk mengurangkan beban tanggungan subsidi bahan api oleh negara, seperti yang telahpun sempat dimulakan untuk bahan api diesel.

    Dalam perkembangan terkini, harga baru RM1.99 seliter bagi petrol RON 95 akan diberikan secara terhad dengan kuota 300 liter sebulan, sebelum harganya akan menjadi RM2.60 seliter (dan akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa) bagi penggunaan yang melebihi kuota berkenaan dalam bulan yang sama.

    Ini bagaimanapun akan dikecualikan kepada sektor pengangkutan awam, kenderaan barangan dan e-hailing yang berdaftar, yang akan menerima kadar lebih rendah. Pengesahan MyKad untuk tujuan ini juga didakwa akan menghindari salah guna oleh warga asing dan juga mengurangkan risiko penyeludupan petrol bersubsidi rentas sempadan.

    Sudahnya, apa yang terjadi dengan pelan penyelarasan semula subsidi yang dijadikan “slogan” kerajaan selama ini? Apakah Malaysia tidak perlu lagi untuk “mengoptimumkan sumber negara untuk manfaat warganya dan mengurangkan pembaziran subsidi”?

    Apa jadi dengan penyelarasan subsidi petrol RON 95? Bertahun-tahun bincang, kenapa tak dilaksanakan?

    Cakap-cakap tentang subsidi bersasar ini mula kedengaran tidak lama selepas kerajaan yang ada hari ini membentuk kerajaan, dengan laporan terawal kami berkaitan hal tersebut adalah pada Disember 2022. Kerajaan sebelum itu juga ada menyatakan hasrat yang sama. Dan, pada 2024, subsidi untuk diesel telah dikurangkan dan diselaraskan semula, dengan jangkaan bahawa petrol RON 95 akan mengikut jejak yang sama.

    Pengumuman pelaksanaannya ketika itu berkali-kali telah ditangguh; bermula dari separuh kedua 2024, kemudian dialih ke pertengahan 2025 dan akhirnya pengumuman yang sama sekali terbalik itu diumumkan hari ini ketika kita penuju minggu terakhir September 2025.

    Selama tempoh tersebut, kita diyakinkan dan diminta untuk percaya bahawa subsidi bersasar sangat perlu dilakukan dalam tempoh terdekat untuk “menyelamatkan kewangan negara”, dan bahawa “kerajaan tiada pilihan lain”, serta Malaysia perlu berhenti “memberi subsidi kepada golongan kaya”, dan seterusnya “90% daripada pengguna tidak akan terkesan”.

    Semua itu adalah “slogan-slogan” yang membingit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hanya untuk kita akhirnya tiba di titik yang mana subsidi bahan api tersebut akan diberikan sepenuhnya, bahkan lebih daripada kadar ketika ini dengan RM2.05 untuk seliter.

    Apa jadi dengan penyelarasan subsidi petrol RON 95? Bertahun-tahun bincang, kenapa tak dilaksanakan?

    Itu belum lagi mengambil kira perbincangan tentang bagaimana untuk melaksanakan agihan subsidi bersasar ini, untuk membezakan mereka yang menerima harga dengan subsidi dan mereka yang menerima harga tanpa subsidi. Masih ingat dengan pendaftaran PADU? Apa jadi dengan masukan data untuk platform itu, yang antara lain pernah juga digembar-gemburkan untuk digunakan bagi tujuan menentukan penerima subsidi bersasar ini?

    Perkembangan terbaru dengan RON 95 ini meneruskan corak yang sama daripada kerajaan hari ini, seperti apa yang dapat kita lihat berkaitan pelaksanaan Cukai Barangan Mewah (HVGT) yang ditujukan untuk barangan mewah, yang disasarkan untuk golongan kaya, yang hingga hari ini masih belum jelas perincian atau bila ia akan dilaksanakan. Jadi, dengan keputusan terbaru ini, adakah kedudukan kewangan negara sudah keluar daripada tahap cemas dan mempunyai cukup sumber?

    Jumaat lalu, The Star melaporkan yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, penjimatan daripada penyelarasan semula subsidi akan digunakan untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan prasarana asas, termasuk kemudahan yang terkesan oleh banjir besar di Sabah. Apa jadi dengan usaha-usaha itu selepas ini?

    Apa jadi dengan penyelarasan subsidi petrol RON 95? Bertahun-tahun bincang, kenapa tak dilaksanakan?

    Untuk pengguna pula, masih belum diketahui adakah dengan perlunya mengesahkan MyKad di stesen minyak akan menyebabkan beratur panjang dan lama di kaunter? Walaupun kerajaan menyebut akan ada terminal di pam serta aplikasi pembayaran dalam talian telefon juga akan boleh digunakan untuk tujuan tersebut, semua itu masih samar-samar. Misalnya, tidak semua pam di semua stesen ada pengimbas untuk kad, dan bukan semua orang menggunakan aplikasi dalam telefon pintar seperti yang dinyatakan.

    Selain itu, dengan harga RON 95 akan menjadi paling rendah sejak 2019, apa akan jadi dengan usaha kerajaan untuk merancakkan penerimaan dan penggunaan EV di Malaysia?

    Begitu juga, apa akan jadi dengan subsidi bersasar terhadap bahan api diesel yang sudah dilaksanakan? Tidak adil kepada pengguna kenderaan diesel jika perkara itu tidak dilakukan terhadap petrol. Pengguna diesel warga Malaysia yang menerima RM200 sebulan sekiranya pendapatan isi rumah mereka kurang daripada RM100,000 setahun (tidak lebih RM8,333 sebulan) dan tidak memandu kenderaan mewah yang berusia kurang daripada 10 tahun.

    Semua ini perlu kita perhatikan perkembangannya menjelang pelaksanaan hujung bulan ini.

     
     
  • Pengecualian cukai SST 10% untuk motosikal bawah 150 cc ditarik balik, MASAAM hantar surat rayuan?

    Pengecualian cukai SST 10% untuk motosikal bawah 150 cc ditarik balik, MASAAM hantar surat rayuan?

    Pada tahun 2018, semasa kerajaan beralih daripada sistem cukai GST kepada SST, motosikal kapasiti bawah 150 cc telah diberikan pengecualian, namun ia sudah pun berakhir 30 Jun lalu. Bermakna bermula 1 Julai 2025, motosikal dalam kategori ini kembali dikenakan SST sebanyak 10%.

    Ini sekaligus menimbulkan kerisauan kerana tambahan kos ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengeluar, tetapi juga pengguna secara terus. Apabila dikira sekali dengan cukai ini, harga jualan motosikal di pasaran sudah tentu akan meningkat.

    Risau ia akan menjejaskan penjualan motosikal dalam kategori ‘mampu milik’ ini, Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) dikhabarkan menghantar permohonan rasmi kepada pihak kementerian kewangan untuk memberi pengecualian cukai jualan kepada motosikal berkapasiti bawah 150 cc seperti sebelum ini.

    Menurut sumber kami, permohonan itu telah dihantar sejak 6 Ogos lalu, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas atau arahan lanjut daripada pihak kementerian kewangan.

     
     
  • Honda ADV 160 terima skrin TFT lima inci, fungsi sambungan RoadSync di Indonesia – dari RM9.4k

    Honda ADV 160 terima skrin TFT lima inci, fungsi sambungan RoadSync di Indonesia – dari RM9.4k

    Di pasaran negara jiran, Indonesia, Honda memperkenalkan ADV 160 baru, yang ditawarkan dalam tiga versi iaitu CBS, ABS dan RoadSync. Harganya bermula 37.3 juta rupiah (RM9,400) untuk CBS dan pergi sehingga 41.95 juta rupiah (RM10,600) untuk RoadSync.

    Peningkatan utama bagi skuter bergaya adventure ini adalah di bahagian teknologi, di mana semua varian kini diberikan dengan skrin TFT lima inci serta soket pengecas USB-C baru. Untuk mengawal fungsi pada skrin ini, sudah tentu, terdapat tambahan butang baru di bahagian kiri pemegang.

    Varian paling tinggi pula kemudiannya dinaik taraf lagi dengan sistem sambungan kepada aplikasi RoadSync, yang membolehkan pengguna menikmati fungsi tambahan seperti kawalan panggilan dan muzik, serta paparan mesej dan navigasi.

    Sementara reka bentuk asasnya termasuk lampu hadapan dan belakang masih lagi sama, anda akan dapat melihat perubahan pada bahagian panel tepi (hadapan) yang kini nampak lebih tegap dan mempunyai tambahan lubang udara.

    Ciri-ciri mekanikal tidak berubah, dan ADV 160 baru ini masih lagi menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 16 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, ABS (untuk dua varian tertinggi), dua penyerap hentak Showa degan tabung, tangki bahan api 8.1 liter, penghadang angin boleh laras serta ruang barangan 30 liter di bawah tempat duduk.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Sistem subsidi bersasar untuk petrol RON95 tidak akan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan terminal pembaca MyKad, seperti yang ditunjukkan dalam sebuah video tular baru-baru ini.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam laporan Bernama menyatakan bahawa kaedah lain seperti aplikasi pembayaran milik syarikat minyak juga akan digunakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan subsidi tanpa kesulitan.

    Beliau memberi contoh aplikasi Setel (Petronas) dan aplikasi Shell sebagai alternatif yang akan menyokong proses semakan kelayakan dan pembayaran untuk subsidi petrol RON95, yang dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM1.99 seliter.

    Dalam video yang tular minggu lalu, seorang petugas stesen minyak dilihat menggunakan terminal khas untuk menyemak kelayakan pelanggan. MyKad dimasukkan ke dalam mesin dan selepas beberapa saat (dijangka untuk menghubungi sistem PADU), paparan akan menunjukkan sama ada individu tersebut layak menerima subsidi.

    Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Sekiranya layak, paparan akan berwarna biru, manakala paparan merah menunjukkan sama ada kuota telah habis atau individu tidak layak. Selepas pengesahan, pelanggan boleh memilih jumlah RON95 yang ingin dibeli sebelum membuat pembayaran.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan terdahulu pada Ogos 2025 telah pun memaklumkan bahawa selain MyKad, kaedah lain seperti e-dompet dan aplikasi syarikat minyak sedang dipertimbangkan.

    Penggunaan aplikasi ini bukanlah sesuatu yang baru, malah ia lebih mudah kerana proses e-pengesahan identiti (e-KYC) — termasuk muat naik gambar MyKad dan swafoto — telah lama digunakan dalam aplikasi seperti Setel dan Shell. Ini membolehkan maklumat pengguna dihubungkan terus dengan nombor MyKad untuk semakan kelayakan subsidi melalui pangkalan data kerajaan.

    Bagi pengguna yang ingin bersedia lebih awal dan mengelakkan penggunaan terminal fizikal, anda digalakkan untuk memuat turun aplikasi syarikat minyak yang berkaitan dan mendaftar akaun dengan segera.

     
     
  • Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

    Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

    Subaru Forester generasi ke-enam telah pun dibuka pra-tempahan untuk pasaran Malaysia menjelang pelancaran rasminya tidak lama lagi. Menurut Motor Image Malaysia, SUV ini sedang dipertontonkan di Subaru Petaling Jaya sejak semalam (21 September) sebelum dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih di seluruh negara bermula 27 September ini.

    Pertama kali didedahkan di peringkat global pada November 2023, Forester terbaharu ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan dua tingkat dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.

    Serlahan lain yang ditonjolkan termasuklah seksyen kecil pada tiang-A dan -D yang kini berwarna hitam sekali gus memberikan gaya ala “bumbung terapung”, manakala lampu belakang berbentuk-C sebelum ini digantikan dengan unit berbentuk tiga segi. Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester baharu ini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).

    Di dalamnya, papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu, dengan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak menjadi tumpuan utama. Ia turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka. Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kekal seperti mana yang ada pada model terdahulu.

    Berdasarkan ruangan pendaftaran minat, Forester spesifikasi Malaysia akan dijanakan oleh enjin boxer petrol 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia. Kuasa disalurkan menerusi kotak gear CVT Lineartronic dan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

    Ciri kelengkapan lain termasuklah Dual X-Mode, lapan beg udara, EyeSight 4.0 (merangkumi kamera stereo, kamera monokular sudut lebar dan penderia radar), kamera pandangan pelbagai sudut 360-darjah, alas pengecas tanpa wayar, pintu but belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

    GALERI: Subaru Forester di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2025

     
     
  • GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Seperti yang kami pernah uar-uarkan sebelum ini, GMW Malaysia nekad untuk melancarkan MPV PHEV mewahnya, Wey G9, sebelum tirai 2025 berlabuh. Namun bagi menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya kelak, Wey G9 atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Wey 80 dipertontonkan secara eksklusif dan tempahannya juga telah dibuka secara rasmi.

    GWM Malaysia berkata, nama G9 mempunyai makna simbolik yang tersendiri. Di mana ‘G’ melambangkan “ikatan kasih sayang yang menghubungkan generasi”. Bagi angka ‘9’ pula, mencerminkan “keutuhan dan impian perpaduan keluarga”. Manakala ‘WEY’ pula diilhamkan dari pengasas jenama ini iaitu Jack Wey dan ia digambarkan sebagai jaminan untuk kualiti premium, teknologi dan keselamatannya.

    Untuk pasaran tempatan, GMW Malaysia juga telah mengesahkan Wey G9 ini akan hadir dengan unit pemasangan tempatan (CKD), yang akan diproduksi oleh EP Manufacturing (EPMB) di fasiliti di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka bermula hujung tahun ini. Malah negara kita juga akan menjadi hab pengeluaran MPV PHEV versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang turut akan diimport ke negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Bagi harganya, ia masih belum didedahkan, namun GMW Malaysia berkata, ia akan ditetapkan di bawah RM300k. Nampak gayanya harga yang kompetitif ini pastinya akan memberikan cabaran buat pesaing rapatnya dari barisan MPV EV termasuk Denza D9 yang berharga dari RM259k, Zeekr 009 (RM350k-RM360k), Xpeng X9 (dari RM271k), GAC M8 (dari RM333k) serta MPV mewah enjin pembakaran dalaman (ICE) sepenuhnya, Toyota Alphard (dari RM538k) dan Vellfire (dari RM438k).

    Bagi ‘menghidupkan jantungnya’, Wey G9 disuapkan dengan enjin 1.5 turbo empat-silinder sebaris yang digabungkan bersama Hi4 plug-in hybrid system terkini dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) empat-kelajuan. Ia juga dilengkapi Intelligent Electronically Controlled Four Wheel Drive (AWD) serta tiga pilihan mod kuasa iaitu EV, EV Priority dan Smart Hybrid.

    Bagi angka prestasinya, enjin ICE ini mampu menghamburkan sehingga 150 PS (148 hp atau 110 kW) antara 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 240 Nm pada 1,800 hingga 4,000 rpm, ditambah lagi dengan kuasa elektrik cecah 109 PS (107 hp atau 80 kW)/170 Nm untuk motor hadapan dan 184 PS (181 hp atau 135 kW)/232 Nm bagi motor belakang. Sekaligus menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 442 PS (436 hp atau 325 kW) dan 642 Nm. Ia membolehkan Wey G9 ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan mencapai kelajuan maksima pada 200 km/j.

    GWM mendakwa penggunaan bahan api bagi Wey G9 adalah sekitar 1.2 liter bagi setiap 100 km. Manakala dengan bateri Ternary Lithium berkapasiti 44.2 kWh, motor elektriknya mampu memberikan jarak gerak dengan pacuan elektrik sepenuhnya sekitar 170 km mengikut kitaran NEDC, atau lebih kurang 145 km jika mengikut standard WLTP.

    Jika bateri dicas menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan mengambil masa sekitar 26 minit untuk capai 30-80%. Atau jika mengecas dengan unit AC berkapasiti 6.6 kWh pula, status pengecasan antara 15-100% boleh dicapai dalam 6.5 jam.

    Mengenai bateri, GWM berkata unit tersebut dilengkapi dengan perlindungan keselamatan bateri empat kali ganda dan telah melepasi tidak kurang daripada 89 ujian, termasuk 55 ujian prestasi (BMS, output kuasa, pengecasan pantas), 19 ujian kebolehpercayaan (getaran, hentakan mekanikal, remukan, hentakan bawah badan), dan 15 ujian keselamatan (terma, suhu berlebihan, arus berlebihan, terlebih cas, litar pintas), tanpa sebarang kegagalan direkodkan.

    Untuk rekaan luarannya, Wey G9 ini bagaikan jelmaan Alphard versi China yang menampilkan wajah yang garang dan elegan terutamanya dengan gril radiator besar dengan kemasan krom yang menyerlah dan lampu utama LED yang unik. Ia juga diberikan rim aloi bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 5 245/50 R18, pemegang pintu krom yang selari antara pintu hadapan dengan pintu gelangsar elektrik, bumbung suria panoramik, rel bumbung dan tailgate kuasa.

    Bagi pencahayaan MPV ini, GWM menterjemahkan konsep Crystal Lighting System WEY yang jelas pada bahagian belakangnya yang menggabungkan palang lampu melintang dan lampu tiga jaluran menegak yang menggunakan unit LED turut menambahkan rekaan mewah MPV PHEV ini.

    Untuk bahagian kabinnya, ia menawarkan pilihan warna sama ada hitam atau pun coklat. Antara ciri kelengkapan baharu yang diberikan termasuklah roda stereng dua-jejari, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan skrin sesentuh infotaimen bersaiz 15.6-inci, sistem operasi terkini GWM iaitu Coffee OS 3.

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon yang menawarkan ketetapan berasingan untuk penumpang hadapan dan belakang, sistem penapisan udara dan pensterilan UV serta ruangan penyejukan mini berkapasiti 12.5 liter pada bahagian perehat tangan hadapan.

    Bagi tempat duduknya, ia dibaluti material kulit Nappa dan konfigurasi kedudukan 2-2-3 dengan barisan kedua Zero-gravity yang menampilkan kerusi kapten yang dilengkapi kawalan pelarasan tempat duduk fizikal yang terletak di bahagian hadapan tepi selain fungsi ventilasi dengan zon urut 10-poin.

    MPV PHEV ini memiliki dimensi berukuran 5,050 mm panjang, 1,960 mm lebar, 1,900 mm tinggi dengan jarak roda cecah 3,085 mm dan disertakan dengan 155 mm bagi jarak kelegaan tanah. Jika tempat duduk di barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ia boleh meningkatkan kapasiti penyimpanan barang dari 233 liter menjadi 1,725 liter.

    Bagi pasaran Malaysia, Wey G9 ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu kelabu, hitam dan putih. Buat masa ini, harga jangkaannya ditetapkan di bawah RM300k dan tempahannya juga telah dibuka, sementara menantikan pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat (Q4) tahun ini. Adakah MPV PHEV pertama yang bakal dijual di Malaysia ini menarik perhatian anda terutamanya bagi yang belum bersedia memilih MPV EV? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

     
     
  • RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak.

    Walau bagaimana pun, katanya, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh 300,000 anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima STR mulai 28 September.

    “Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu. Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan Madani dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah.

    “Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi RON95 ini. Semua rakyat yang berkelayakan bakal menerima kuota sebanyak 300 liter petrol RON95 sebulan. Manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka,” katanya yang mengumumkan berita itu pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi ini.

    RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Manakala golongan bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter, tambahnya.

    Penyasaran subsidi RON95 ini adalah di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) di mana kerajaan menepati janji mengurangkan harga RON95 untuk rakyat Malaysia, daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.

    Menerusi pengumuman ini juga, Anwar menyatakan bahawa warganegara berpeluang menikmati subsidi RON95 tanpa mengambil kira pendapatan di mana kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak untuk menerima subsidi ini.

    “Seperti langkah penghargaan SARA, tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya.

    RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95. Justeru, rakyat dinasihati semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu yang sah.

    Manakala bagi proses untuk memanfaatkan harga subsidi dimudah cara iaitu tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi di mana ia hampir serupa dengan proses transaksi semasa cuma ditambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar dan disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga dipam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.

    Bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti Touch’N Go dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad pada setiap transaksi.

    Perincian lanjut berhubung mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

     
     
  • 2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif; semak, baharui segera jika ingin terus memandu – JPJ

    2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif;  semak, baharui segera jika ingin terus memandu – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mendapati sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompetan (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pihaknya ingin menegaskan bahawa semua individu yang memandu suatu kenderaan motor di atas jalan hendaklah mempunyai Lesen Memandu yang sah dan berkuatkuasa selaras dengan ketetapan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

    “Adalah menjadi kesalahan bagi pemegang lesen tersebut sekiranya mereka memandu dengan menggunakan lesen yang tidak aktif serta akan menimbulkan pelbagai risiko berbangkit kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Sekiranya pemegang lesen terbabit masih berhasrat untuk memandu suatu kenderaan motor di atas jalan, individu terbabit adalah diwajibkan untuk menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana Institut Memandu (IM) yang berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu tersebut selaras dengan ketetapan Akta 333,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, pihaknya menyeru kepada semua pemegang lesen CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun untuk segera mengambil tindakan membuat pembaharuan lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara bagi mengelak kewajipan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP02 dan KPP03).

     
     
  • Honda Beat Malaysia dapat dua warna baru – RM6,090

    Honda Beat Malaysia dapat dua warna baru – RM6,090

    Skuter kelas permulaan Honda iaitu Beat sekali lagi disegarkan semula dengan penambahan dua warna baru, hitam dan putih. Ia dijual pada harga RM6,090 tidak termasuk insurans, sementara dua warna sebelum ini, iaitu Matte Silver dan Green juga masih dijual pada harga sama.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l.

    Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 88 kg.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

     
     
  • Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Proton X50 2025 yang baru saja dilancarkan di Malaysia pada 24 Julai lalu dengan cepat telah mencatatkan penerimaan yang boleh dibanggakan. Dalam tempoh tujuh hari selepas dilancarkan, sebanyak 999 unit SUV kompak berkenaan telah diserahkan kepada pelanggan. Dan, sepanjang bulan Ogos 2025 pula, sejumlah 4,287 unit telah terjual.

    Selepas ada kesempatan memandu SUV tersebut dalam perjalanan pergi-balik ke Ipoh minggu lalu, boleh difahami kenapa ramai pengguna menggemari model ini. Ada banyak hal yang diberi kemaskini dan peningkatan, yang secara langsung telah memberi kesan terhadap aspek pemanduan dan keselesaannya.

    Dengan enjin baru i-GT 1.5 liter turbo empat-silinder yang menggantikan unit tiga-silinder yang lama, enjin baru ini ternyata memberikan kelancaran dan maklum balas yang sangat baik. Lebih penting, dari dalam kabin, enjin berkenaan tidak memberikan rasa getaran yang ketara, begitu juga dengan menyumbang kepada suasana kabin yang lebih senyap. Secara ringkas, dari aspek ini, Proton X50 2025 lebih diperhalusi pengalaman pemanduannya.

    Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Dengan output kuasa yang semakin bertambah pula 181 PS dan 290 Nm (naik 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin versi TGDi paling berkuasa untuk X50 sebelum ini), maklum balas pemanduannya juga lebih baik dan dirasakan lebih bertenaga, walaupun masih menggunakan transmisi DCT 7-kelajuan yang sama.

    Penggunaan minyak juga menjadi lebih baik: atas kertas, tetapan janaan kuasa yang baru ini memberikan 4.7% lebih jimat untuk kadar penggunaan petrol.

    Selain itu, ada beberapa perkara yang membezakan varian Flagship yang paling tinggi berbanding varian Premium pertengahan. Dari luaran, ia dibezakan dengan bumbung hitam dan juga spoiler belakang yang tajam dan besar.

    Di dalam, Flagship dilengkapi pula dengan cermin pandang belakang anti-silau, kemasan hitam-merah untuk kabin, pelapik bumbung hitam, penghadang matahari separa telus di depan, bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari larasan elektrik, pengecas tanpa wayar Qi (sebelah pemandu) serta ciri Park Assist.

    Sementara menanti video ulasan Proton X50 2025, kami bawakan dulu galeri penuh dengan perincian varian Flagship untuk anda teliti dan dekati.

     
     
  • JPJ WPKL keluarkan 1,672 saman dalam Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan antara 1-17 Sept

    JPJ WPKL keluarkan 1,672 saman dalam Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan antara 1-17 Sept

    Sejak 1 September lalu, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah memeriksa sebanyak 8,225 kenderaan berat dan mengeluarkan sejumlah 1,672 notis saman menerusi Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan. Operasi berkenaan dijalankan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam sektor pengangkutan barangan dan perkhidmatan awam.

    Menerusi operasi yang sama juga, dalam tempoh 17 hari pertama bulan ini, jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan adalah sebanyak 575 buah dan lapan buah kenderaan telah disita iaitu sebuah lori tipper, dua buah lori roll-on roll-off dan lima lori kargo kecil yang didapati melakukan pelanggaran peraturan yang serius dan berulang kali.

    Tambah JPJ WPKL lagi, operasi ini memberi fokus kepada empat kesalahan utama iaitu memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, lesen dan insurans tamat tempoh, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan (C&U).

    “JPJ WPKL turut melaksanakan pendekatan advokasi di lokasi operasi, serta menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang. Usaha ini bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara. Orang awam digalakkan menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau E-mel: [email protected],” kata JPJ WPKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2025, menurut JPJ, pelaksanaan operasi ini adalah susulan peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, berpunca daripada kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah dan sikap pemandu yang cuai.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025