Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hong Leong Yamaha panggil semula model YZF-R25

    Yamaha_R25_12-850x567

    Susulan daripada perkembangan diperingkat global oleh Yamaha yang memanggil semula semua model YZF-R25 yang dikilangkan dari 2014 hingga 2016, pengedarnya di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan semula model berkenaan di laman web rasminya.

    Panggilan semula itu adalah berkaitan dua masalah yang dikenal pasti – pemasangan plat tekanan klac dan pam minyak pada model berkenaan.

    Panggilan semula ini melibatkan model YZF-R25 dengan nombor pengenalan kenderaan PMYRG151OE-000XXXX hingga PMYRG151OF-000XXXX, begitu juga dengan unit dengan nombor kerangka (frame number) PMYRG1510G-0004321 hingga PMYRG1510G-0006357. HLYM akan memaklumkan sendiri semua pemilik model berkenaan yang terlibat, bermula awal Ogos nanti.

    Selepas menerima notis itu nanti, pemilik dikehendaki untuk menghubungi pusat servis sah Yamaha berdekatan untuk membuat temu janji untuk menukar komponen yang berkaitan. Sementara itu, mana-mana pemilik Yamaha YZF-R25 boleh menghubungi HLYM menerusi emel [email protected] atau WhatsApp +6017-357 9965 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

    Setakat ini, HLYM masih belum memaklumkan berapa jumlah sebenar motosikal yang terlibat di dalam panggilan semula ini. HLYM juga memohon agar pemilik-pemilik sedia ada model berkenaan untuk bertenang sementara syarikat melalukan panggilan semula ini secara berperingkat.

     
     
  • Nissan Serena generasi kelima kini diperkenalkan

    2016-Nissan-Serena-4-e1468378273530_BM

    Setelah imejnya yang sedang diuji tersebar sebelum ini, kini MPV Nissan Serena generasi kelima baharu secara rasminya didedahkan. Seperti dijangka, Serena baharu ini bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar, malah turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri terkini.

    Bahagian hadapan MPV ini menampilkan muka rekaan signatur V-Motion terbaharu Nissan dengan gril dua bahagian dan garisannya bersambung dengan garisan pada hud hadapan. Sepasang lampu hadapan baharu direka dengan rekaan dua tingkat mengapit gril dan hud baharu bersama lampu kabus baharu.

    Serana baharu juga menerima tema warna dua ton dan tiang-D yang dicat hitam, memberikan gambaran seolah-olah bumbung MPV ini terapung. Tiang-A Serena turut direka dengan lebih kurus berbanding sebelum ini tetapi tidak menjejaskan ketegaran strukturnya. Garisan yang memisahkan tingkat lampu hadapan terus bersambung ke profil sisi MPV ini melalui pintu hadapan dan terus ke rel pintu gelangsar belakang.

    Pada bahagian belakang menyaksikan lampu kombinasi kini lebih pendek dari sebelum ini supaya ia tidak kelihatan sarat apabila digabungkan rekaan “bumbung terapung”. Bahagian tengah antara lampu berkenaan yang telah dihitamkan turut menempatkan logo Nissan di bahagian tengah. Kemasan krom merentasi pintu tailgate belakang turut dipadankan untuk membahagikan antara bahagian yang dihitamkan dan juga bahagian yang dicat dengan warna badan.

    2016-Nissan-Serena-6-e1468378250537_BM

    Ciri-ciri yang dinyatakan diatas adalah untuk Serena varian asas (berwarna biru). Untuk varian Highway Star(berwarna merah), ia dilengkapi dengan kit badan yang meliputi bampar hadapan yang lebih agresif dan lebih kemasan krom untuk menyerlahkan lagi rekaan gril V-Motion. Varian Highway Star turut dipadankan dengan skirt sisi, roda aloi baharu, bampar belakang baharu serta cermin sisi dengan kemasan hitam.

    Bahagian kabin Serena kini lebih anggun dari sebelum ini, sama seperti imej spyshot yang tersebar. Bahagian tingkat atas papan pemuka MPV ini dilengkapi dengan paparan instrumen yang lebar dan menampilkan paparan digital baharu.

    Liang penghawa dingin baharu mengapit skrin sesentuh unit infotaimen manakala suis kawalan unit penghawa dingin diletakkan pada bahagian bawah skrin berkenaan. Pada bahagian paling bawah ruang tengah ini pula menempatkan tuil penukar gear, brek parkir elektronik serta butang penghidup enjin. Keseluruhan ruang tengah berkenaan pula dikelilingi oleh kemasan krom.

    Menurut Nissan, Serena baharu ini “mempunyai ruang dalaman paling lebar dalam kelasnya,” dan majoriti ruangan berkenaan adalah pada bahagian belakang MPV tujuh tempat duduk ini. Untuk varian Highway Star, bahagian belakang berkenaan boleh diakses menerusi pintu gelangsar berkuasa elektrik dan ia boleh dibuka semudah menggelangsarkan kaki anda pada bahagian bawah pintu (kunci pintar perlu berada dalam poket anda).

    2016-Nissan-Serena-5_BM

    Ciri lain yang terdapat dalam Serena baharu ini termasuk tempat duduk “graviti sifar” dari sedan Teana, yang dipasang pada tempat duduk baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris ketiga pula didakwa telah direka untuk memaksimakan keselesaan seperti tempat duduk hadapan dan membantu menyerap kelesuan ketika perjalanan yang panjang.

    Dari segi keselamatan pula, Serena dilengkapi dengan sistem brek kecemasan Nissan, Amaran Keluar Laluan, Monitor Pandangan Sekeliling dan Cermin Pandang Belakang Pintar secara standard. Untuk bantuan pemanduan, MPV ini dilengkapi dengan Bantuan Parkir Pintar dan juga ProPILOT, iaitu sistem pemanduan automatik dari Nissan yang mengawal pedal pendikit, brek dan roda stereng secara automatik semasa memandu di lebuhraya, tidak kira pada keadaan trafik sesak atau tidak.

    MPV ini dikuasakan dengan unit janakuasa S-Hybrid dari model generasi sebelum ini, menggunakan enjin petrol MR20DD 2.0 liter pancitan bahan api terus CVTC berkembar berkuasa 147 PS pada takat 5,600, dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm.

    2016-Nissan-Serena-7_BM

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic dan dibantu oleh motor ECO yang mengawal fungsi Idling Stop dan bertindak sebagai unit alternator semasa nyah pecutan. Motor berkuasa 1.8 kW/200 A berkenaan juga membolehkan fungsi “bantuan tork” berfungsi, memberikan tork tambahan 50 Nm ketika badan MPV dipecut dari kedudukan pegun.

    Tingkat taraf lain yang turut ditampilkan pada Serena generasi baharu ini adalah pengukuhan struktur sekitar pintu belakang dan penambahbaikan komponen pada sistem suspensi seperti penyerap hentak yang lebih besar, yang didakwa Nissan ia membolehkan “refleks yang lebih tajam semasa peralihan sisi,” contohnya ketika menukar laluan secara drastik.

    Nissan Serena generasi kelima ini diproduksi di Nissan Motor Kyushu, dan akan menembusi pasaran Jepun pada hujung Ogos ini dengan harga asas ditetapkan di bawah 3 juta yen (RM114,463). Nissan telah menjual sebanyak 1.5 juta unit Serena sejak ia mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1991

     
     
  • Aston Martin buka bilik pameran sementara di KL

    Selepas beberapa bulan Wearnes dilantik sebagai pengedar baharu bagi Aston Martin di Malaysia, syarikat ini akhirnya telah membuka bilik pameran sementaranya di Kuala Lumpur.

    Terletak di 204, Jalan Ampang, fasiliti yang dikendalikan oleh bekas pengedar Volkswagen ini sepatutnya beroprasi pada akhir tahun lalu, manakala bilik pameran tetap dibina di kawasan berkenaan yang sepatutnta dibuka pada April lalu, namun perancangan tersebut terpaksa diubah.

    Bagi bilik pameran sementara ini, ia mempamerkan Vanquish sejak Jun lalu. Malah Wearnes turut membuka pusat servis sementara di Taman Perindustrian Lingui di Sungai Buloh. Pelanggan yang ingin melihat model yang dipamerkan di bilik pameran boleh menghubungi 03-2161 2221 untuk temujanji. Manakala pemilik Aston Martin yang ingin menghantar kenderaan untuk diselenggara boleh menghubungi 03-6157 6993 untuk temujanji.

    Aston Martin Kuala Lumpur turut menyenaraikan modelnya iaitu Vanquish, DB9, Vantage dan Rapide, selain DB11, menerusi laman web rasminya. Walau bagaimana pun tiada perkhabaran mengenai Vantage GT8 dan GT12 selain Vanquish Zagato, Vulcan dan Lagonda Taraf.

     
     
  • Hyundai Elantra Sport 2017 bakal diperkenalkan – mampu bersaing hebat dengan VW Jetta GLI

    2017elantrasport1-1

    Hyunda Elantra Sport 2017 telah pun dikhabarkan bakal hadir di pasaran sedunia tidak lama lagi. Kembar bagi model Avante Sport ini ditampilkan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder yang sama dipadankan pada Veloster Turbo. Ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 200 hp dan 258 Nm, iaitu kurang 1 hp dan 7 Nm berbanding Veloster Turbo dan Avante. Jentera ini turut didatangkan dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau dual-clutch tujuh-kelajuan.

    Elantra Sport ini turut berkongsi suspensi belakang multi-link baharu yang sama dengan Avante. Ia bagi menggantikan palang suspensi torsion dan membuatkan ia lebih mantap daripada segi pengendaliannya.

    Walau bagaimana pun, Hyundai belum mengumumkan lagi sama ada Elantra Sport ini bakal ditawarkan dengan pilihan pakej ekstrem seperti Avante Sport iaitu bagi palang anti-olengan, pegas dan penyerap hentak.

    2017elantrasport18-1

    Namun Avante Sport dan Elantra Sport masih berkongsi rekaan luaran dan dalaman yang telah dipertingkatkan, membuatkan imejnya nampak lebih classy dan bergaya. Ia turut ditampilkan dengan corong udara yang besar, panel peresap belakang, roda yang dipertingkatkan dan efek yang penuh sporty pada sekeliling badannya. Malah untuk bahagian kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk sport dengan rekaan yang lebih agresif dan roda stereng leper di bawah dengan jahitan merah.

    Biar pun dianggap sebagai pesaing kepada Honda Civic Turbo dan Mazda 3 2.5L, namun sebenarnya kehabatan Elantra Sport ini dikatakan lebih mirip dengan Volkswagen Jetta GLI. Dengan kuasa kuda yang hampir sama iaitu 201 hp bagi Jetta GLI, Elantra Sport ini turut dianggap sebagai ‘Jetta GLI’ versi Korea. Walau bagaimana pun, penganalisis automotif antarabangsa menganggap Elantra Sport menang dari sudut penggayaan luaran dan dalamannya.

    Buat masa ini Hyundai belum mengesahkan bilakah ia akan melancarkan model ini di peringkat antarabangsa. Malah harganya juga belum didedahkan lagi. Mungkin Hyundai mahu membuat sedikit pembaharuan atau perubahan untuk model ini sebelum ia benar-benar bersedia dilancarkan.

     
     
  • Toyota Supra generasi baharu bakal muncul pada 2018

    Toyota_FT1_Studio_002

    Kereta sport flagship Toyota – Supra – bakal membuat kemunculan semula setelah generasi keempatnya dihentikan produksi pada tahun 2002. Menurut laporan Autocar, Supra generasi kelima akan membuat kemunculannya sejurus sahaja BMW Z5 diperkenalkan, di mana kedua-dua jentera ini dibina secara kerjasama antara Toyota dan BMW. Toyota juga sebelum ini telah dilihat mendaftarkan tanda dagangan ‘Supra’ dan difailkan di Pejabat Harta Intelek EU.

    Kedua-dua pengeluar berkenaan telah pun bekerjasama membina platform kereta sport terbaharu ini sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. BMW Z5 sebelum ini dilihat sedang diuji diatas jalan raya, dan Autocar turut menyatakan pembinaan Supra juga berada dalam peringkat yang sama.

    Pembinaan Supra generasi terbaharu ini juga diinspirasikan dari model konsep FT-1 yang pernah dipamerkan di Detroit Auto Show 2014, dan akan diletakkan di atas model 86 dalam barisan kereta sport Toyota. Nama Supra sebelum turut diletakkan pada kedudukan tertinggi setelah ia dipisahkan dari Celica Supra (Celica XX), dan pasangan kembar Corolla AE86 Levin dan Sprinter Trueno berada dibawahnya.

    Oleh itu, Supra generasi baharu ini bakal dijual pada harga yang lebih mahal dari 86 dan dibayangkan bakal menerima unit janakuasa yang kompleks dan binaan menyerupai supercar.

    Toyota_FT1_Studio_004

    Toyota Supra dan BMW Z5 dijangka akan menggunakan sistem hibrid menggabungkan enjin binaan BMW (berkemungkian enjin petrol enam-silinder sebaris) dan motor elektrik yang dikuasakan oleh kapasitor super serta memacu semua roda. Kedua-dua jentera ini juga bakal menerapkan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12.

    Ahli lembaga BMW untuk jualan dan pemasaran Ian Robertson telah menyatakan sebelum ini walaupun kedua-dua jentera ini berkongsi banyak komponen dalam pembinaannya, BMW dan Toyota bersetuju untuk meletakkan Z5 dan Supra dalam dua pasaran kereta sport yang berbeza. “Satu perkara yang pasti sekarang ialah platform yang boleh membuatkan kedua-dua syarikat bekerja,” katanya.

    “Kereta-kereta ini sendiri tidak perlu diletakkan pada kedudukan yang sama. Platform berkenaan boleh diasingkan kepada dua kedudukan. Kerja-kerja konsep, platform yang boleh dibawa dan kini kami mempunyai dua pasukan jurutera yang boleh dibanggakan – satu dari Jerman, satu dari Jepun – di mana mereka akan berjuang dan berselisih pendapat untuk kereta yang mereka mahu.”

    BMW Z5 1

    Apabila ditanya adakah platform berkenaan boleh diubah jarak rodanya antara kedua-dua buah jentera, Robertson menjawab, “Tiada lagi satu platform adalah satu paltform sekarang. Kebanyakkan platform terkini kami adalah boleh diubah.”

    Robertson turut menyatakan walaupun tiada lagi keputusan dibuat untuk produksi, hanya sebuah kilang yang akan digunakan untuk memproduksi kedua-dua buah kereta – berkemungkinan di Amerika Syarikat atau Eropah, bukan di Jepun. “Salah satu langkah untuk peringkat seterusnya adalah membuat keputusan siapa yang akan membina kereta – syarikat mana dan di negara mana. Kami perlu mencari di mana pasarannya dan sama ada ia adalah pasaran terbesar untuk kedua-dua syarikat.”

    Walaupun divisi kereta mewah Toyota – Lexus – mempunyai akses untuk menyertai kerjasama ini, pegawai senior Lexus telah menafikan kemungkinan berkenaan. “Toyota merupakan bahagian lain,” kata bos Lexus Eropah Alain Uyttenhoven. “Kami merupakan sebuah syarikat dan ketua kami adalah Akio Toyoda, dan kami boleh melakukannya. Untuk masa sekarang, kami tidak akan mempunyai platform yang sama antara BMW dan Lexus. Secara jujur, walaupun, kami mempunyai akses sepenuhnya pada Toyota.”

    GALERI: Spyshot BMW Z5


    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
  • VIDEO: Penampilan ringkas Honda CBR250RR 2016

    Video ringkas sepanjang 15 saat bagi model Honda CBR250RR 2016 sudah mula muncul, dikongsikan oleh pengedar motosikal jenama itu di Indonesia, PT Astra Honda. Daripada khabar angin, model ini dijangka akan dilancarkan di sana pada Oktober nanti. Model yang bakal menggantikan model semasa CBR250R silinder tunggal ini menjadi sebuah model yang sangat dinanti-nantikan, terutama bagi pasaran ASEAN.

    Sejak foto-foto awalnya mula beredar di internet, serta penampilan versi prototaip yang dipamerkan ketika pameran di Jepun tahun lalu, model konsep Light Weight Super Sport ketika itu mengundang minat daripada banyak pihak. Ia dilengkapi enjin berkembar selari dengan kapasiti 250cc atau 350cc, bergantung kepada pasaran di mana ia akan dijual kelak.

    Tidak banyak perincian berkaitan motosikal ini yang sudah didedahkan. Yang diketahui setakat ini, ia bakal dilengkapi dengan cekera brek tunggal pada bahagian depan dan belakang, penggunaan lampu LED termasuk lampu nyalaan siang seperti yang dapat dilihat pada foto-foto yang sudah beredar (rujuk galeri).

    Ia berkemungkinan dilengkapi enjin sama dari generasi sebelumnya, dengan kuasa sekitar 25 hp dan 22 Nm tork. ABS mungkin ditawaran sebagai pilihan. Model Honda CBR250R semasa yang dijual di Malaysia ialah RM21,728 hingga RM25,650 (versi Repsol).

     
     
  • JPJ keluarkan 420 saman dalam satu operasi semalam di ibu kota – 24 kenderaan disita termasuk kereta klon

    JPJ_Roadblock1

    Sebanyak 420 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi yang berlangsung semalam di sekitar ibu kota.

    Menurut Pengarah JPJ Datuk Md Ziki A Rahman, operasi yang berlangsung selama empat jam ini tertumpu pada penunggang motosikal, kerana ia melibatkan jumlah yang tinggi dalam kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan ini, laporan New Strait Times.

    “Dalam operasi tersebut, sebanyak 379 saman telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik terutamanya memandu tanpa lesen dan tiada cukai jalan,” ujarnya.

    Md Ziki turut menambah, sebanyak 24 buah kenderaan turut disita, melibatkan 20 buah motosikal, dua buah van termasuk kenderaan klon, dan lori.

    Katanya lagi, “Sebanyak 15 saman di bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut dikeluarkan kepada pemilik yang kenderaannya perlu menjalani pemeriksaan lanjut.”

    Operasi tersebut turut disertai beberapa agensi lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Puspakom, SPAD, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pelancongan.

     
     
  • Renault Megane Sedan dilancarkan, tiada lagi Fluence

    Renault-Megane-Sedan-Fluence-17_BM

    Setelah sekian lama hanya hadir dalam versi hatchback, Renault akhirnya melancarkan Megane Sedan menerusi generasi terbaharu Megane IV. Pada generasi sebelum ini, Renault sebenarnya telahpun memproduksi sedan berdasarkan platform Megane tetapi dengan nama yang lain iaitu Fluence.

    Dengan nama Megane Sedan, bahagian hadapan kereta ini berkongsi muka yang seiras dengan dengan versi hatchback dan wagon, menampilkan lampu panduan LED berbentuk-C dan logo Renault bersaiz besar. Rekaan bampar hadapan juga berkongsi rekaan yang sama dengan model hatchback dan wagon. Pada bahagian belakang pula, sedan ini menerima sepasang lampu belakang ‘two-piece‘ di mana lampu pada bahagian penutup but direka panjang dan mengapit logo Renault pada bahagian tengah.

    Rekaan bahagian dalaman turut berkongsi rekaan dengan model hatchback dan wagon. Papan pemuka sedan ini dilengkapi dengan skrin sesentuh kapasitif 8.7 inci berformat potret (dengan fungsi tekan-untuk-zoom) untuk sistem infotainmen R-Link 2. Skrin pelbagai informasi TFT LCD 7.0 inci, paparan ‘head-up’, dan sistem Multi-Sense dengan lima mod pemanduan turut ditawarkan.

    Renault-Megane-Sedan-Fluence-16_BM

    Renault mendakwa bumbung matahari panaromik gelangsar pada Megane Sedan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam kelas sedan segmen-C. Begitu juga ruang pada tempat duduk belakang yang dikatakan terbaik dalam kelasnya serta ruang but berkapasiti 508 liter yang boleh diakses menerusi sistem Easy Trunk Access – beroperasi tanpa menggunakan sentuhan tangan.

    Diasaskan dari platform CMF C/D (Common Module Family) yang sama seperti Espace dan Talisman baharu, Megane Sedan turut menerima sistem bantuan pemanduan terkini seperti Sistem Brek Kecemasan Aktif (AEBS), amaran keluar laluan dan Bantuan Mudah Parkir yang membolehkan sedan ini memarkir secara automatik pada kedudukan menegak, sisi dan ruang bersudut.

    Lima pilihan enjin ditawarkan meliputi pilihan enjin petrol dan enjin diesel. Dua varian enjin ditawarkan untuk pilihan enjin petrol iaitu enjin SCe 115 1.6 liter NA (115 PS/156 Nm) yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan enjin TCe 130 1.2 liter turbo (130 PS/205 Nm) yang dipadankan sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan EDC.

    Renault-Megane-Sedan-Fluence-9_BM

    Untuk diesel, dua jenis enjin ditawarkan iaitu enjin 1.5 liter turbo diesel dan enjin diesel 1.6 liter. Untuk enjin 1.5 liter turbo diesel, ia hadir dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu Energy dCi 90 (90 PS/220 Nm) dan Energy dCi 110 (110 PS/260 Nm). Varian Energy dCi 90 dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada manual enam kelajuan atau EDC tujuh-kelajuan, manakala varian Energi dCi 110 hanya dipadankan dengan kotak gear EDC tujuh-kelajuan. Enjin 1.6 liter Energy dCi 130 (130 PS/320 Nm) pula hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Renault Megane Sedan akan diproduksi di kilang Bursa, Turki dan akan dijual di lebih 20 negara seluruh dunia termasuk Algeria, Arab Saudi,Australia, Bulgaria, Croatia, Mesir, Emirah Arab Bersatu, Estonia, Hungary, Ireland, Itali, Israel, Latvia, Lubnan, Lithuania, Maghribi, Poland, Republik Czech, Romania, Serbia, Slovenia, Tunisia, Turki dan Ukraine. Malaysia tidak dinyatakan dalam senarai, tetapi berdasarkan model Fluence yang sememangnya telah berada dalam pasaran tempatan, mungkinkah Megane Sedan ini turut akan dibawa masuk ke sini?

     
     
  • Ops Selamat bantu kurangkan kemalangan – PDRM

    Karak-highway-01-850x490

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa kadar kemalangan maut dalam tempoh Ops Selamat 9/2016 yang bermula sebelum Aidilfitri itu berjaya dikurangkan.

    Memetik laporan Bernama, Timbalan Ketua Statistik, Jabatan Penyiasatan dan Trafik Bukit Aman, DSP Yazid Kasim berkata menggunakan laluan kecemasan merupakan kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh pengguna jalan raya.

    “Kami akan umumkan statistik rasmi selepas operasi ini tamat esok,” tambahnya. Beliau turut menjelaskan, matlamat Ops Selamat adalah untuk mendidik orang awam untuk memandu secara berhemah, menghormati pengguna lain dan memastikan mereka mematuhi peraturan lalulintas.

    Selepas 11 hari daripada keseluruhan 15 hari tempoh operasi ini berjalan, sejumlah 15,524 kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara.

     
     
  • SPAD perlu dikembalikan di bawah kuasa Kementerian Pengangkutan supaya lebih telus – 4PAM

    Taxi-protest-SPAD-KL-8-April-2016-feat-1

    Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk mempertimbangkan bagi meletakkan semula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.

    Memetik laporan The Sun, Presidennya, Ajit Johl menyatakan hal ini adalah berikutan cadangan SPAD untuk memansuhkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle, PSV) bagi teksi dan pemandu aplikasi perkongsian kenderaan atas talian.

    Ketika ini, warga Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak memohon lesen PSV daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum mereka boleh memandu bas atau teksi.

    “Dengan pemansuhan PSV kita akan menyaksikan warga asing yang akan memandu teksi, berselindung di bawah penyedia perkongsian kenderaan atas talian. Tindakan SPAD ini seperti bertentangan dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam.

    “SPAD memerlukan menteri sepenuh masa untuk mengendalikannya, agar ia lebih bertanggungjawab dan telus. Keputusan terbaharu SPAD ini sangat meragukan dan perlu dipersoal,” ujar beliau di dalam sebuah kenyataan.

    Ajit turut menyentuh tentang kejadian bas dengan masalah brek baru-baru ini sebagai satu daripada kelemahan sistem sedia ada, dan menekankan bahawa syarikat pengangkutan awam yang terlibat perlu bertanggungjawab ke atas kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mereka.

    Pemandu bas yang melanggar 10 kenderaan dalam kejadian berdekatan Terowong Menora itu pada 11 Julai lalu mempunyai 11 saman bagi pelbagai kesalahan trafik dari 2011 hingga 2015, sementara syarikat pengendalinya juga pernah dikenakan sejumah 63 saman.

     
     
  • Miros akan kaji keperluan pemeriksaan berkala mandatori yang lebih kerap bagi pengangkutan awam

    Bus-10-Cars-NSE

    Ekoran kadar kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam khususnya bas persiaran makin membimbangkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengkaji sama ada pemeriksaan berkala mandatori terhadap pengangkutan awam oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu ditambah.

    Menurut Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon, buat masa ini pemeriksaan berkala mandatori bagi pengangkutan awam hanya diadakan dua kali setahun. Justeru, dengan menambah kekerapan pemeriksaan berkala itu, ia dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan berkenaan, laporan Bernama.

    “Kita akan mengkaji keperluan untuk menambah kekerapan pemeriksaan kenderaan di Puspakom yang sebelum ini hanya dalam tempoh enam bulan sekali. Kajian perlu dilakukan kerana ia turut mempengaruhi banyak faktor termasuk tambahan kos penyelenggaraan yang akan ditanggung pengusaha sekiranya ia dilakukan lebih kerap,” katanya bagi mengulas isu yang dibangkitkan oleh Bernama ini.

    Pada 10 Julai lalu, sebuah bas persiaran dilaporkan telah merempuh 10 buah kenderaan lain dalam satu kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. Kejadian yang berlaku selepas Terowong Menora pada kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada masalah kegagalan brek bas berkenaan.

    Walau bagaimana pun, Wong berkata kemalangan tersebut tidak boleh dikaitkan dengan keadaan jalan di lebuh raya itu yang dikatakan berbahaya kerana pihak berwajib telah mengambil langkah keselamatan tertinggi untuk menyelenggara laluan berkenaan.

    Namun pengguna jalan raya perlu mempertingkatkan pemanduan berhemah dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan pengguna lain apabila melalui kawasan berisiko kemalangan seperti di laluan berhampiran Terowong Menora itu.

    “Pemandu kenderaan awam mahupun persendirian perlu tahu apa yang patut dilakukan sewaktu melalui kawasan curam seperti itu dengan bertindak memperlahankan kelajuan kenderaan mengikut kadar had laju ditetapkan serta menggunakan gear rendah,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi ASX serasi dengan Yuna sejak 4 tahun lalu

    Mitsubishi_Yuna_1

    Pada awal Mei lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kerjasama mereka dengan Yuna dengan melantik penyanyi dan penulis lagu kelahiran Malaysia yang kini sedang menempa di Amerika Syarikat, sebagai duta jenama untuk kempen SUV kompak Mitsubishi ASX.

    Petang tadi, MMM telah menganjurkan majlis minum petang bersama Yuna yang turut dihadiri oleh pihak media, Kelab Pemilik Mitsubishi ASX (MAMOC) dan pengedar bertauliah MMM di Bangsar Shopping Centre.

    Berada di Malaysia buat seketika sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yuna sempat meluangkan masa beberapa jam bagi memeriahkan majlis ini dan turut menyampaikan beberapa buah lagu popularnya termasuk ‘Crush’ dan ‘Terukir Di Bintang’.

    Yuna yang turut memiliki ASX sejak tahun 2012, berkongsi cerita mengapa beliau tertarik dengan model SUV ini. “ASX sangat sepadan dengan saya. Saiznya sangat sesuai dengan saya, melindungi saya dengan ciri-ciri keselamatan, dan saya sangat suka dengan bumbung kaca panaromanya. Malah ia memiliki imej yang cukup bergaya,” ujarnya.

    Buat masa sekarang, Yuna menetap di Los Angeles, selain memiliki single terbaharu bersama penyanyi terkemuka USA, Usher, beliau juga bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi untuk lagu promosi sukan Olimpik 2016 bertajuk ‘Fire’ dan bekerjasama dengan Lenny Kravitz, Diogo Nogeira dari Brazil, Nneka dari Nigeria dan Corrine Bailey Rae dari UK.

    Barisan model Mitsubishi ASX telah diberi nafas baharu dari segi penampilan pada September tahun lalu, dengan sedikit peningkatan dilakukan dan varian asas ASX 2WD GL turut diperkenalkan. Kini ia ditawarkan dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM105,744.31 bagi ASX 2WD GL, RM115,468.71 (ASX 2WD) dan RM129,010.43 (ASX 4WD).

     
     
  • Honda Freed Hybrid 2016 bakal dilengkapi magnet motor elektrik hibrid bebas bahan nadir bumi baharu

    All-new-2016-Honda-Freed-1

    Daido Steel dan Honda kini merupakan syarikat pertama di dunia yang mencapai aplikasi praktikal untuk menghasilkan magnet neodymium melalui proses pemanasan tanpa mengandungi sebarang bahan nadir bumi, tetapi masih mengekalkan sifat kalis suhu tinggi dan prestasi magnetik tinggi yang diperlukan pada sebuah motor hibrid untuk kereta.

    Magnet neodymium tanpa bahan nadir bumi ini akan diperkenalkan pada Honda Freed Hybrid yang dilengkapi sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) Honda dengan Bantuan Motor Bersepadu (IMA) lewat tahun ini. MPV berkenaan juga ditawarkan dalam varian enjin 1.5 liter i-VTEC petrol biasa.

    Teknologi baharu ini membolehkan penggunaan bahan yang berkaitan dengan nadir bumi disingkirkan, yang juga merupakan antara cabaran utama untuk meluaskan penggunaan magnet neodymium. Ia juga akan dapat mengelakkan risiko berkaitan dan mempelbagaikan punca perolehan bahan.

    Magnet neodymium merupakan magnet yang mempunyai daya magnetik yang paling kuat antara semua magnet, dan digunakan dalam motor pacuan untuk kenderaan EV dan hibrid. Magnet ini perlu mempunyai sifat kalis suhu tinggi yang mana campuran bahan nadir bumi berat (disprosium dan/atau terbium) diperlukan untuk mendapatkan sifat tersebut dalam proses penghasilan secara konvensional.

    Walau bagaimanapun, elemen nadir bumi ini terdapat secara tidak tetap di seluruh dunia, dan penggunaannya mempunyai risiko dari segi memperolehinya secara tetap dan kos bahan. Oleh itu, teknologi baharu ini merupakan kejayaan besar buat Honda.

    Daido telah memproduksi magnet neodymium ini secara besar-besaran melalui kaedah ubahbentuk pemanasan, yang berbeza dari kaedah produksi secara pensinteran. Ia membolehkan skala-nanometer butiran kristal dijajarkan secara betul untuk mengesan struktur butiran kristal yang halus sekitar sepuluh kali lebih kecil dari magnet tersinter, membolehkan ia menghasilkan magnet dengan sifat kalis suhu tinggi.

    All-new-2016-Honda-Freed-2

    Untuk magnet baharu ini, Daido mengevolusikan teknologi ubahbentuk pemanasan mereka dan Honda menggunakan pengalaman mereka dalam pembangunan motor pacuan serta mereka semula bentuk magnet berkenaan.

    Honda turut merekabentuk motor baharu yang akan menggunakan magnet baharu ini, dengan mengubah semula bentuk rotor pada motor berkenaan untuk mengoptimakan aliran fluks magnetik. Honda turut mengatakan tork, kuasa dan prestasi kalis suhu adalah sama dengan motor yang menggunakan magnet jenis konvensional.

    Dengan magnet baharu ini, Daido akan memasuki pasaran yang dimonopoli oleh magnet neodymium tersinter. Bermula bulan hadapan, Daido akan memulakan produksi secara besar-besaran dan pembuatan magnet ini akan menggunakan barisan produksi baharu yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun. Daido telah pun mendapatkan serbuk magnetik (bahan asas untuk magnet) dari Magnequench serta akan bekerjasama dengan syarikat dari Kanada berkenaan untuk menghasilkan serbuk magnetik asas baharu bagi mendapatkan sifat magnetik yang lebih baik.

     
     
  • Imej Mazda 3 facelift 2016 baharu didedahkan menerusi brosur untuk pasaran Jepun yang bocor

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-main-2_BM

    Imej Mazda 3 facelift 2016 telah terdedah sepenuhnya – menerusi imej brosur rasmi yang bocor dari CarDrive. Menerusi brosur berkenaan dapat dilihat gril hadapan telah mendapat rekaan semula dengan logo Mazda kini telah diubah kedudukan. Kemasan krom disekeliling gril berkenaan juga dilihat lebih tebal dihubungkan kepada sepasang lampu hadapan LED baharu. Gril hadapan bahagian bawah juga kini lebih besar, dan dilengkapi dengan sepasang lampu kabus baharu.

    Pada bahagian sisi, dapat disaksikan cermin sisi kini dilengkapi dengan lampu isyarat membelok LED baharu, menggantikan lampu sebelum yang diletakkan di sudut cermin berkenaan. Sedikit perubahan dilakukan pada bahagian belakang model hatchback di mana ia menerima sentuhan semula pada lampu kabus dan elemen reflektor. Walau bagaimanapun, untuk model sedan tiada perubahan dapat dibuat.

    Lapan warna baharu ditawarkan untuk model ini iaitu Soul Red Premium Metallic, Machine Gray Premium Metallic, Eternal Blue Mica, Sonic Silver Metallic, Titanium Flash Mica, Deep Crystal Blue Mica, Jet Black Mica dan Snow Flake Pearl.

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-6_BM

    Untuk bahagian dalaman, ia masih mengekalkan rupa asalnya dan menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen MZD Connect serta paparan instrumen Mazda terkini. Model pasaran Jepun ini juga turut dilengkapi sistem penghawa dingin dua zon yang mirip kepada sistem pada mazda 6 sedan, berbeza dengan model pasaran Malaysia yang hanya menampilkan sistem penghawa dingin zon tunggal.

    Perubahan yang dapat dilihat menerusi model facelift ini adalah pada roda stereng rekaan baharu serta brek parkir elektronik seperti yang terdapat pada model CX-5 facelift dan 6. Sistem brek parkir elektronik baharu tersebut juga menyebabkan rekaan pada konsol tengah berubah, yang kini dilengkapi ruang storan dengan penutup gelangsar.

    Untuk pilihan enjin pula, model JDM ini menawarkan dua enjin diesel SkyActiv-D (1.5 liter dan 2.2 liter), enjin petrol 1.5 liter petrol SkyActiv-G serta varian hibrid yang dikuasakan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G digabungkan dengan teknologi hibrid diambil dari Toyota Prius.

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-10_BM

    Kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive dan transmisi manual SkyActic-MT serta sistem pacuan semua roda Mazda i-Activ boleh dipilih oleh pembeli, bergantung pada jenis enjin yang pilih. Ciri lain yang turut disertakan pada sistem pacuan termasuk sistem brek regeneratif Mazda (i-ELOOP), i-Stop, sistem sokongan pemandu (i-DM) dan pemilihan mod pemanduan (mod Sport).

    Model yang dikemaskini ini turut dilengkapi dengan sistem Kawalan G-Vectoring Mazda terbaharu, yang didakwa oleh Mazda sendiri dapat mengurangkan sudut putaran stereng semasa membelok, dan juga kadar yang mana memusingkan roda stereng. Ini dapat dicapai dengan menurunkan tork enjin dengan menala semula pemasaan sistem nyalaan, berdasarkan input pada stereng. Sistem ini merupakan sebahagian dari sistem SkyActiv-Vehicle Dynamic Mazda.

    Untuk sistem keselamatan pula, Mazda 3 baharu ini dilengkapi dengan pakej i-Activsense Mazda yang meliputi Lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Sokongan Brek Bandar Pintar/Undur (SCBS/R), Kawalan Kelajuan Radar Mazda (MRCC), Sistem Amaran Keluar Laluan (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LAS). Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pengesan Tanda Amaran Trafik (TSR), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

     
     
  • Ford F-150 EcoBoost V6 2017 – 375 hp/637 Nm

    7cc89bde62b545d49bd770a9132a10f2

    Ford akhirnya mendedahkan kuasa kuda sebenar enjin 3.5 liter V6 EcoBoost yang akan menjana trak F-150 2017, menggantikan enjin 3.5 liter EcoBoost sedia ada yang diperkenalkan pada 2009. Enjin V6 baharu ini menghasilkan kuasa dan tork maksima yang lebih tinggi, menjadikan F-150 trak pikap paling berkuasa dalam kelasnya – sama ada berkuasa petrol atau diesel.

    Enjin V6 3.5 liter dengan pengeces turbo berkembar ini menghasilkan kuasa 375 hp dan tork maksima 637 Nm – 10 hp dan 68 Nm lebih berkuasa dari enjin 3.5 liter V6 sedia ada. Enjin baharu ini akan dipadankan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik yang dibina dengan kerjasama General Motors. Walau bagaimanapun, catatan penggunaan bahan api belum lagi didedahkan secara rasmi oleh pihak Ford. Juga dilaporkan, enjin F-150 versi Raptor baharu bakal menghasilkan kuasa sekitar 450 hp.

    Dalam pasaran, F-150 baharu ini bakal bersaing dengan trak-trak pikap lain seperti Chevrolet Silverado 6.2 liter V8 (420 hp/624 Nm) dan Dodge Ram 1500 EcoDiesel (240 hp/569 Nm). F-150 juga bakal bersaing dengan Nissan Titan XD 5.0L V8 diesel (310 hp/752 Nm) yang bersaiz lebih besar walaupun ia bukanlah pencabar dalam kelas yang sama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025