Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 5 Series G30 CKD di M’sia: 530i M Sport, RM389k

    BMW 5 Series G30 CKD di M’sia: 530i M Sport, RM389k

    Hujung Mac lalu, BMW 5 Series G30 telah pun dilancarkan di Malaysia, dengan kesemua modelnya adalah dalam bentuk import sepenuhnya (CBU). Setelah enam bulan berlalu, model versi pemasangan tempatan (CKD) pula hadir di pasaran tempatan. Sedan eksekutif ini masih menawarkan varian tunggal iaitu 530i M Sport dengan harga kurang RM10,000 berbanding CBU, ditawarkan pada RM388,800 atas jalan tanpa insurans.

    Bagi versi CKD ini, ia hanya tidak menampilkan kawalan kelajuan adaptif dengan stop/go, namun masih mengekalkan elemen standard yang sama seperti model CBU. Pada bahagian luarannya, ia turut didatangkan dengan pakej M Sport sepenuhnya, termasuk lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi auto, lampu kabus LED, roda aloi dwi-jejari 664 M 19-inci, brek M Sport dengan kaliper biru dan kekemasan alumnium sutera BMW Individual.

    Lain-lain elemen dalam senarai termasuklah kemasukan tanpa kunci Comfort Access, tempat duduk hadapan sport larasan berkuasa dengan memori, kawalan suhu automatik empat-zon, bumbung matahari berkaca, tirai suria untuk tingkap sisi (manual) dan cermin belakang (elektrik), pencahayaan ambien 11-warna, tailgate berkuasa dengan operasi bebas tangan dan suspensi M Sport dengan Kawalan Peredam Dinamik.

    BMW 5 Series G30 CKD di M’sia: 530i M Sport, RM389k

    Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi Professional yang ditingkatkan dengan skrin sesentuh 10.25-inci dan kawalan gerak isyarat, bersama paparan instrumen pelbagai-fungsi 12.3-inci penuh, kamera undur, Bantuan Parkir dengan parkir selari automatik dan tegak, sistem bunyi sekeliling Harman Kardon 600 watt dengan 16 pembesar suara. Malah Display Key turut dikekalkan.

    Bagi aspek keselamatan, 530i M Sport CKD ini juga dilengkapi pakej Driving Assistant termasuk menambah Approach Control Warning dan Person Warning dengan City Brake, yang berfungsi pada kelajuan di antara 10 km/j dan 600 km/j untuk pejalan kaki dan 80 km/j untuk kenderaan lain. Lain-lain elemen termasuk Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Rear Collision Prevention dan Rear Crossing Traffic Warning.

    BMW 5 Series G30 CKD di M’sia: 530i M Sport, RM389k

    Varian ini turut dijanakan oleh enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo dengan valvetronic dan double-VANOS, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dari ZF, dan mampu mencatatkan 6.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.8 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 132 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

    Pembeli boleh memilih warna luaran seperti Sophisto Grey Brilliant Effect, Alpine White, Mediterranean Blue dan dua warna baharu iaitu Carbon Black Metallic dan Bluestone Metallic. Sementara pilihan warna hitam (dengan jahitan biru kontras) atau Cognac Dakota bagi kulit upholstery untuk kabin. Ia turut hadir dengan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had, pakej servis percuma selama lima tahun dan waranti tayar untuk dua tahun.

     
     
  • Ford daftar paten meja boleh lipat dengan beg udara

    Ford daftar paten meja boleh lipat dengan beg udara

    Ford nampaknya mengambil langkah awal untuk pembangunan konsep dalam kereta autonomous, apabila dilaporkan oleh Motor1 telah mendaftar paten untuk rekaan meja boleh simpan dengan beg udara di sekelilingnya. Beritahu Ford kepada Motor1, meja ini bukanlah untuk van yang besar, tetapi lebih kepada kereta autonomous penuh masa hadapan.

    Imej yang didapati ini jelas menunjukkan keadaan kereta tanpa pemandu, dengan semua empat orang yang berada di dalamnya menghadap di antara satu sama lain. Meja ini sebenarnya boleh dilipat masuk ke dalam lantai, tetapi jika berlaku kemalangan sewaktu ia tegak di atas, ia mempunyai beg udara di sekelilingnya.

    Melihat kepada kenderaan autonomous yang masih memerlukan banyak perkara sebelum menjadi realiti sepenuhnya, meja ini juga masih belum pasti bila akan digunakan.

     
     
  • Mazda CX-5 2017 – harga untuk M’sia dirujuk semula; lima varian CKD akan ditawar, harga bermula RM134k

    Mazda CX-5 2017 – harga untuk M’sia dirujuk semula; lima varian CKD akan ditawar, harga bermula RM134k

    Satu senarai harga baru bagi Mazda CX-5 2017 telah muncul, sekaligus membatalkan senarai yang muncul pada penghujung Ogos yang lalu. Jumlah varian bagi model yang belum dilancarkan lagi ini masih sama, tetapi harganya dilihat menjadi lebih murah.

    Mengimbas kembali maklumat yang diketahui, CX-5 baru akan ditawarkan dalam lima varian, iaitu 2.0G 2WD GL, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS. Dengan setiap pembelian, pemilik akan diberi jaminan selama lima tahun atau 100,000 km, dan pakej servis percuma tiga tahun atau 60,000 km.

    Melalui senarai ini, anda boleh melihat, bermula dengan model 2.0G 2WD, varian GL diletakkan pada harga RM134,205.50, manakala GLS pula RM148.205.50. Harga ini adalah harga atas jalan tetapi tidak termasuk insurans. Kedua-dua model 2.0G 2WD ini dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G petrol 2.0 liter, dan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive, menghasilkan kuasa 162 hp dan 210 Nm.

    Terletak lebih tinggi adalah varian petrol 2.5G 2WD GLS yang disenaraikan pada harga RM160,596.70. Varian ini menggunakan enjin SkyActiv-G 2.5 liter berkuasa 192 hp dan 257 Nm tork. Ia kemudiannya diikuti oleh varian berenjin diesel SkyActiv-D 2.2L dengan kuasa 173 hp dan 420 Nm. Anda boleh memilihnya sama ada dalam pacuan dua roda (2.2 2WD GLS) pada harga RM164,179.10 atau pacuan semua roda (2.2D AWD GLS) yang berharga RM174,779.10.

    Perlu diingat harga ini adalah untuk kemasan cat solid, sementara cat metalik memerlukan tambahan RM400. Jika anda mahukan warna premium Mazda iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake Pearl White, anda perlu menambah RM2,000 lagi. Pilihan lain yang memerlukan kos tambahan adalah sistem navigasi pada harga RM1,270 dan tempat duduk kulit pada RM2,900. Dua pilihan ini hanya disediakan untuk varian asas 2.0G 2WD GL sahaja.

     
     
  • Plat nombor siri G oleh Yayasan Lee Chong Wei – bidaan digit tunggal bermula dari RM250k, G1 RM500k

    Plat nombor siri G oleh Yayasan Lee Chong Wei – bidaan digit tunggal bermula dari RM250k, G1 RM500k

    Makin kerap pula kemunculan plat nombor siri khas bagi kenderaan di Malaysia. Terkini, giliran siri G pula mencuri perhatian, yang dikendalikan oleh Yayasan Lee Chong Wei. Plat numbor G 1 hingga G 9999 telah pun diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah membuka bidaan sehingga 29 September dan keputusannya akan disiarkan pada 9 Oktober ini.

    Difahamkan hasil jualan plat nombor ini adalah bagi sumbangan buat tabung yayasan tersebut untuk memberikan manfaat kepada program dan persatuan sukan termasuk para atlet yang berpotensi menyumbang pingat emas untuk Malaysia sepanjang penganjuran Olimpik 2020 di Tokyo kelak.

    Plat nombor siri G oleh Yayasan Lee Chong Wei – bidaan digit tunggal bermula dari RM250k, G1 RM500k

    Klik untuk besarkan

    Harga bidaan minimum ditetapkan bagi beberapa kategori, bergantung pada keistimewaanya nombor terbabit. Bidaan minimum bermula dari RM2,500 untuk nombor biasa sehingga RM250,000 bagi ‘G 2’ hingga ‘G 10’. Manakala ‘G 1’ pula dijual dengan bidaan minimum sebanyak RM500,000 atau sehingga mana angka tertinggi mampu dicapai.

    Sebelum ini, terdapat beberapa plat nombor siri bagi pendaftaran kenderaan yang menarik. Antaranya ‘US’, ‘RIMAU’, ‘GT’, ‘VIP’, ‘PERFECT’, ‘NAAM’ dan banyak lagi, selain beberapa plat di bawah JPJ negeri termasuk ‘AKU’, ‘RR’ serta ‘DDD’.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bagi Ogos 2017 naik 6.5%

    MAA: Jualan kenderaan bagi Ogos 2017 naik 6.5%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi bulan Ogos 2017, di mana sebanyak 51,720 unit kenderaan telah pun dihantar. Rekod ini mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5% atau pun lebih 3,167 unit berbanding bulan Julai 2017.

    Menurut MAA, kempen promosi yang dianjurkan oleh syarikat kereta serta pelaksanaan pesanan tertangguh (dengan sistem e-daftar telah kembali beroperasi seperti biasa) telah menyumbang kepada peningkatan ini.

    Berbanding pada tempoh yang sama pada tahun 2016, jumlah jualan bagi Ogos 2017 adalah 499 unit atau 1% lebih rendah. Manakala bagi keseluruhan jumlah dalam industri (TIV) tahunan sehingga Ogos telah mencatatkan sebanyak 384,730 unit, di mana ia 4% lebih tinggi daripada yang direkodkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu (370,152 unit).

    Bagi September pula, MAA menjangkakan keputusan yang lebih kurang sama dengan Ogos, atas faktor waktu bekerja yang lebih pendek dan kempen promosi yang berterusan.

     
     
  • Yamaha RXZ TwinBoss Art of Speed 2017 – pemenang bertuah bawa balik motosikal dua enjin binaan khas

    Yamaha RXZ TwinBoss Art of Speed 2017 – pemenang bertuah bawa balik motosikal dua enjin binaan khas

    Festival kenderaan Art of Speed 2017 telah melabuhkan tirai 30 Julai lalu, dan dua pengunjung bertuah yang hadir ke pameran seni kustom automotif itu telah diumumkan sebagai pemenang dua buah motosikal – satu CMC XY400, dan satu lagi motosikal Yamaha RXZ TwinBoss yang diubah suai secara ekstrem dan menggunakan dua enjin.

    Hari ini, telah berlangsungnya majlis penyampaian motosikal Yamaha RXZ TwinBoss kepada pemenangnya, iaitu Mohd Fadly bin Mohd Zerain, berusia 42 tahun dari Puncak Alam, Selangor. Juruteknik sebuah syarikat swasta ini diangkat sebagai pemenang setelah cabutan yang dilakukan pada hari Ahad, 30 Julai mengumumkan nama beliau.

    “Saya tahu ada cabutan bertuah sebuah motosikal semasa acara ini, dan telah membeli sebanyak tujuh keping tiket masuk. Sasaran saya sebenarnya adalah motosikal CMC XY400, tetapi masih bersyukur mendapat motosikal Yamaha RXZ TwinBoss yang cukup unik ini,” kata beliau.

    Yamaha RXZ TwinBoss Art of Speed 2017 – pemenang bertuah bawa balik motosikal dua enjin binaan khas

    Kunci diserahkan dan proses penukaran nama dilakukan terus antara pengasas Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar dan Fadly, dan selepas ini, motosikal tersebut akan dihantar terus ke rumah beliau. Untuk pengetahuan umum, motosikal binaan khas ini bukan untuk kegunaan jalan raya biasa.

    Bagi yang mahu mengetahui lebih lanjut berkenaan motosikal ini, anda boleh merujuk kembali artikel yang pernah kami tulis, sewaktu motosikal itu masih dibina dan belum siap sepenuhnya di sini. Untuk imbasan, RXZ TwinBoss menggunakan dua buah enjin 135 cc dua lejang, dan kuasa disampaikan menerusi satu kotak gear. Badan motosikal ini pula menggunakan bentuk yang dipanggil sebagai Digger, iaitu inspirasi daripada motosikal pecut drag.


    GALERI: Yamaha RXZ TwinBoss dalam pembinaan

     
     
  • Harga bahan api 21-27 Sept – semua dilaporkan turun

    Harga bahan api 21-27 Sept – semua dilaporkan turun

    Berita ini mungkin akan memberikan sedikit kelegaan buat kita semua. Selepas beberapa minggu ia dilaporkan naik (walau sedikit, tetapi lama-lama boleh membukit juga!), untuk minggu bertarikh 21 hingga 27 Sept, harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dilaporkan menurun.

    Untuk RON 95, daripada RM2.21 seliter pada minggu sebelumnya, ia dilaporkan turun sebanyak 2 sen, menjadi RM2.19 seliter. Manakala RON 97 pula dilaporkan turun sebanyak 3 sen iaitu daripada RM2.52 seliter menjadi RM2.49 seliter. Bagi diesel pula, ia mengalami penurunan sebanyak 4 sen, iaitu menjadi RM2.10 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 M pula RM2.20 seliter.

    Semua harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12 tengah malam 21 Sept sehingga Rabu hadapan (27 Sept) hadapan.

     
     
  • Nissan melepasi 150 juta kenderaan yang diproduksi

    Nissan melepasi 150 juta kenderaan yang diproduksi

    Nissan, syarikat yang mula diasaskan sejak 84 tahun lalu, kini telah memproduksi kenderaan mereka yang ke-150 juta. Syarikat yang berpusat di Yokohama ini mengambil masa selama 57 tahun (1933 hingga 1990) untuk mencapai angka 50 juta yang pertama, dan 16 tahun kemudian (2016), ia telah mencecah 100 juta. Sejak itu, bahagian produksi semakin agresif mendaki ke puncak, dan hanya mengambil masa selama 11 tahun untuk mencapai lagi 50 juta.

    Produksi terbesar bagi kenderaan Nissan dimonopoli oleh Jepun dengan merangkumi 58.9% atau 88.35 juta unit, diikuti dengan US (10.8%), China (7.9%), Mexico (7.9%), UK (6.2%), Asia (5.8%) dan Sepanyol (2.4%). Malahan Tan Chong Motors iaitu pengedar kenderaan rasmi Nissan di Malaysia, turut mempunyai kilang pemasangan bagi jenama itu di Vietnam, Myanmar dan dua lagi di negara ini iaitu Serendah (yang memasang Almera) dan Segambut. Fasiliti pemasangan mula beroperasi sejak tahun 1976.

    Awal Jun lalu, Carlos Ghosn, pengerusi ahli lembaga pengarah Nissan Motor, mengumumkan Pakatan Renault-Nissan, yang kini telah disertai oleh Mitsubishi, mampu memintas Toyota dan Volkswagen Group sebagai pendahulu pemasaran global pada tahun ini.

    Pakatan tersebut telah mengumumkan berjaya menjual 5,268,079 unit bagi kenderaan Nissan, Renault, Mitsubishi dan Dacia bagi separuh pertama 2017. Di mana Nissan sendiri telah menyumbangkan sebanyak 2,894,488 unit, dengan kedudukan yang paling kukuh di pasaran US, China dan Jepun. Manakala VW Group pula telah mencapai 5,115,900 unit kenderaannya bagi tempoh yang sama.

     
     
  • Bagaimana rupa Vespa jika ia bukan sebuah skuter? Ini enam contoh bayangan yang dilukis secara digital

    Bagaimana rupa Vespa jika ia bukan sebuah skuter? Ini enam contoh bayangan yang dilukis secara digital

    Dalam pasaran motosikal, terdapat pelbagai nama atau kategori yang diberikan berdasarkan bentuk atau kegunaan masing-masing. Antaranya seperti cruiser, easy rider, cafe racer, bobber, sports, naked, adventure, touring dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun bagi Vespa yang telah wujud sejak tahun 1946, motosikal mereka sentiasa mempunyai bentuk sebuah skuter, walaupun ada di antaranya (model-model awal) menggunakan transmisi manual.

    Sebuah syarikat pengedar motosikal Harley-Davidson di United Kingdom, iaitu Jennings Harley-Davidson telah menunjukkan daya kreativiti dengan membayangkan bagaimana sekiranya Vespa menghasilkan motosikal berbentuk selain skuter, dan ia diterjemahkan kepada lukisan digital. Enam contoh dihasilkan dan mungkin ada di antaranya kelihatan terlalu unik bagi sesetengah orang.

    Daripada semua rekaan Vespa chopper, sports, touring, off-road, cafe racer dan Tron yang dihasilkan ini, beberapa konsep rekaan unik Vespa dikekalkan iaitu kepuk hadapan, pelantar letak kaki dan panel belakang yang menggelembung. Kelengkapan lain, berserta enjinnya juga dilihat diubah mengikut kesesuaian.

    Bagaimana rupa Vespa jika ia bukan sebuah skuter? Ini enam contoh bayangan yang dilukis secara digital

    Sebagai contoh, Vespa chopper yang dihasilkan dalam lukisan digital ini mempunyai pemegang tinggi, fork lebih condong dan kedudukan yang menyandar, manakala enjinnya pula dilihat mempunyai tali sawat yang terdedah seperti kebanyakan chopper ubah suai yang berada atas jalan.

    Bagi Vespa cafe racer pula, anda boleh melihat pada kepuk hadapannya, lampu utama berbentuk bulat disepadukan sekali, dan ia mempunyai cermin sisi di hujung pemegang, tempat duduk rata, enjin boxer seperti model BMW klasik serta ekzos beralun seperti unit Leo Vince.

    Anda boleh melihat contoh-contoh lain yang dihasilkan oleh Jennings Harley-Davidson ini melalui galeri yang berada di bawah. Ada yang menarik perhatian anda atau mahu cuba ubah suai Vespa menjadi sebegitu?

     
     
  • Bentley Bentayga Le Mans Edition oleh Kahn Design

    Bentley Bentayga Le Mans Edition oleh Kahn Design

    Kahn Design adalah sebuah syarikat pengubah suai kenderaan dari United Kingdom yang cukup terkenal dengan hasil kerja pada kenderaan mewah. Kini, hasil terbaru syarikat itu boleh dilihat pada Bentley Bentayga, yang dinamakan sebagai model Le Mans Edition.

    Dalam rupa asalnya sahaja Bentley Bentayga sudah mampu menarik banyak perhatian, dan dengan modifikasi yang diberikan oleh Kahn Design ini, ia jadi lebih menonjol. Pertama sekali, terdapat warna yang dipanggil sebagai Volcanic Rock Satin, dan beberapa bahagian dibuat daripada gentian karbon, termasuk spoiler bampar hadapan, sayap belakang, gril depan dan kemasan keliling tingkap.

    Penambahan lain yang diberi adalah termasuk kemasan tepi pada bampar hadapan, perincian warna Shadow Satin di bampar belakang dan rim 23 inci gabungan warna Diamond Mirror dan Gloss Black Le Mans yang direka oleh pengasas syarikat itu sendiri, iaitu Afzal Kahn.

    Pada bahagian dalam, kereta tersebut menerima pakej balutan kulit hitam berliang Kahn 3D Herringbone, serta roda stereng Kahn dan panel pintu yang dibalut kulit hitam serta kemasan sekitar pembuka pintu warna High Gloss Shadow.

    Mereka yang mahukan lebih lagi keistimewaan pada kereta ini boleh memilih banyak lagi warna dan kombinasi kulit atau fabrik untuk bahagian yang dimahukan, termasuk kulit Nappa dan Alcantara. Contoh di dalam gambar ini ditawarkan pada harga 169,999 pound (RM963,899).

     
     
  • HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    Perkembangan terkini mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) – Malaysia dan Singapura akan berbincang mengenai pungutan tiket dan tambang (TFC) pada 9 dan 10 Oktober ini.

    Perkara yang bakal dibincangkan antara MyHSR Corp Sdn Bhd dari Malaysia dan Land Transport Authority (LTA) dari Singapura, turut berkata, syarikat yang mengkhususkan dalam TFC dipelawa untuk berkongsi teknologi dan pembangunan tiket terkini bagi membangunkan pendekatan TFC yang mantap bagi projek HSR, laporan Bernama.

    Di mana input daripada perbincangan akan diambil kira apabila MyHSR Corp dan LTA menstruktur ekosistem pungutan tiket dan tambang, termasuk bagaimana syarikat aset dan syarikat operasi terlibat dalam proses tiket.

    HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    Kedua-dua pihak menjangkakan sistem tiket mesra penumpang yang mengguna pakai teknologi tiket terkini di samping memastikan perjalanan lancar sepanjang ekosistem HSR, dengan mengambil kira elemen rentas sempadan projek itu serta pengendali berasingan bagi perkhidmatan antarabangsa dan domestiknya.

    HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

     
     
  • CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancar untuk M’sia – harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430

    CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancar untuk M’sia – harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430

    Dua motosikal baru yang diimport dari China, iaitu CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430, termasuk GST tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran. Motosikal ini diedarkan oleh CMC Global, dengan Ario 110 sudah boleh didapati di wakil pengedarnya manakala Buccaneer 250i pula bermula pada bulan Oktober.

    CMC Ario 110 adalah sebuah kapcai berenjin 107 cc satu silinder empat strok dengan sistem penyejukan udara dan penyampaian bahan api karburetor. Ia dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Ia disediakan dengan pemula enjin elektrik dan tendang, suspensi Kayaba depan dan belakang, brek cakera dua piston di hadapan, brek dram di belakang, rim sport 17 inci dan tangki minyak 4 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 105 kg dan di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan kecil untuk meletakkan barang-barang penting. Terdapat dua warna yang ditawarkan untuk Ario 110 iaitu merah dan hitam.

    Italjet Buccaneer 250i pula adalah sebuah motosikal yang menggunakan gaya cafe racer klasik, dan dikuasakan oleh enjin dua silinder V 250 cc empat strok dengan sistem penyejukan udara dan kawalan suntikan bahan api elektronik. Transmisi yang digunakan mempunyai lima gear, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 19 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik, brek cakera 280 mm, angkup brek dua piston dan rim 17 inci, manakala di belakang terdapat suspensi monoshock boleh laras untuk pra beban, brek cakera 240 mm dan rim 15 inci. Berat keseluruhannya adalah 128.5 kg dan datang dengan tangki minyak 14 liter.

    Sesuai dengan bentuknya sebagai sebuah cafe racer, Buccaneer 250i datang dengan hanya satu tempat duduk, tetapi anda masih boleh memilih tetapan yang datang dengan dua tempat duduk. Antara kelengkapan lain motosikal ini adalah plet nombor perlumbaan di hadapan dan tepi, meter analog (tiada tahap rpm), penutup tempat mengisi bahan api krom dan pacuan rantai. Warna yang ditawarkan adalah kuning keemasan, hitam dan hitam matte.

    Kedua-dua CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i menerima penarafan emisi Euro 3 dan didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

    GALERI: CMC Ario 110


    GALERI: Italjet Buccaneer 250i

     
     
  • Kerjasama antara Zhejiang Geely dan Proton contoh yang baik bagi inisiatif OBOR – pengerusi Li Shufu

    Kerjasama antara Zhejiang Geely dan Proton contoh yang baik bagi inisiatif OBOR – pengerusi Li Shufu

    Berita yang diterbangkan dari China ini menyebut kerjasama antara pengeluar kereta dari China, Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) dan Proton Holdings Bhd menjadi contoh yang baik bagi inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) China, menurut pengerusi Geely, Li Shufu.

    Katanya lagi, ekonomi China berada pada fasa peralihan yang penting, dan syarikat, sebagai syarikat pembuatan kereta multinasional China, terlibat secara aktif dalam OBOR, laporan Bernama.

    “Hasil perjanjian antara Geely dengan Proton pada Jun lalu, contoh syarikat meneruskan inisiatif OBOR, terutamanya dalam pembangunan kereta dan infrastruktur,” katanya dalam Forum Kerjasama Media mengenai OBOR 2017 di China, semalam.

    Shufu berkata meneroka global adalah penting tetapi lebih penting untuk membangunkan budaya korporat.

    “Kunci kepada perkara itu adalah integrasi, keterangkuman dan budaya terbuka,” katanya.

    Beliau berkata inisiatif pembangunan perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan tetapi turut melibatkan nilai sosial dan tanggungjawab sosial korporat.

     
     
  • Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan varian baharu bagi Ford Ranger yang dikenali sebagai XL Standard. Diposisikan pada varian permulaan bagi double-cab bagi barisan T6 Ranger, ia ditawarkan dengan harga yang begitu kompetitif iaitu RM83,588 untuk Semenanjung dan RM89,388 bagi Timur Malaysia (atas jalan, tanpa insurans), lebih murah berbanding 2.2L XL Manual iaitu lebih RM10,000.

    Ranger XL Standard dijanakan oleh enjin diesel 2.2L TDCi empat-silinder, dengan hamburan kuasa 125 PS dan tork 320 Nm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Disebabkan ia boleh dikategorikan sebagai varian asas, jadi apa yang diharapkan biarlah pada kadar sederhana. Ia ditampilkan dengan bampar hadapan yang tidak bercat, dan menggunakan roda keluli bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 215/70 seperti mana varian 2.2L Single Cab 4WD MT.

    Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Spesifikasi lain termasuklah 4×4 shift-on-the-fly (ESOF) dan elemen keselamatan termasuk dua beg udara hadapan, ABS, EBD dan tiga poin tali pinggang keledar untuk kelima-lima tempat duduk.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah pemijak sisi, kawalan kemasukan tanpa kunci, kargo belakang serta pengesan parkir undur. Ranger XL Standard boleh didapati dengan dua pilihan warna luaran iaitu Cool White dan Meteor Grey.

     
     
  • Misteri ‘kereta kamera’ yang merakam pecutan 0-400-0 dalam masa hanya 42 saat Bugatti Chiron terbongkar

    Lebih seminggu lalu, Bugatti menggemparkan dunia automotif dengan menyiarkan video hypercar terbaharu mereka mencatatkan rekod dunia membuat pecutan dari keadaan pegun hingga 400 km/j kemudian berhenti sepenuhnya semula dalam masa hanya 42 saat. Namun, satu lagi persoalan, kereta apa yang mereka gunakan untuk merakam aksi berkenaan? Pastinya ia sebuah jentera yang lebih laju bukan?

    Ada yang membuat spekulasi kereta yang membawa kamera berkenaan adalah sebuah Toyota Supra. Namun perkara sebenar telah didedahkan oleh Motor1 – ia dibuat dengan menggunakan sebuah lagi Bugatti Chiron.

    Menurut Motor1, Chiron berwarna putih berkenaan dilengkapi dengan rig kamera istimewa bagi memberikan rakaman imej sebuah lagi Chiron yang berwarna hitam secara stabil. Namun pada video pendedahan berkenaan (video di bawah) tidak langsung menunjukkan bagaimana rupa rig tersebut.

    Chiron yang berwarna hitam itu dipandu oleh pemandu IndyCar dan juga bekas pelumba Formula 1, Juan Pablo Montoya – berjaya mencatatkan kelajuan 400 km/j dalam masa 32.6 saat pada jarak 2,621 meter, dan kemudian membrek bagi memberhentikan kereta sepenuhnya dalam masa 9.3 saat dengan jarak 491 meter.

    Bugatti Chiron merupakan model gantian hypercar sebelum ini iaitu Bugatti Veyron, dan ia baharu sahaja diperkenalkan pada tahun lalu. Kereta luar biasa ini dijana enjin W16 8.0 liter dengan empat pengecas turbo berkuasa 1,500 PS dan tork maksima 1,600 Nm. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 420 km/j.

    GALERI: Bugatti Chiron

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025