PANDU UJI: Proton Ertiga, MPV EEV enam-tempat duduk – bakal berikan nilai terbaik untuk pengguna?

front-lamp-brown_protonertiga_bm

Ini kali keempat saya ke litar ujian Proton di Shah Alam dan berkemungkinan kali terakhir untuk tahun ini. Proton berjanji untuk melancarkan empat model tahun ini bermula dengan Perdana, Persona, Saga, dan ini merupakan yang terakhir dari siri tersebut – MPV enam-tempat duduk segmen-B, Proton Ertiga.

Seperti yang diketahui, Ertiga merupakan projek rebadge Proton terbaharu hasil usahasama dengan Suzuki. Proton, Suzuki Motor Corporation dan DRB-Hicom telah menandatangani MoU kerjasama Jun tahun lalu, dan kemudian menyaksikan penutupan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (juga dibawah DRB-Hicom) dan juga kesemua 29 pusat jualannya di Malaysia bertukar kepada Proton Edar pada Januari tahun ini.

Seminggu selepas itu, berita dari Indonesia melaporkan Suzuki Indomobil Sales (SIS) menyatakan, Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula secara CKD di sini mulai suku kedua tahun 2016. Pada bulan April pula, kami mula menerima imej spyshot pertama sebuah Ertiga yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia.

Akhirnya, selepas majlis pelancaran Proton Perdana 2016, CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali telah mengesahkan model pertama hasil kerjasama dengan Suzuki akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini, dan ia sebenarnya sedikit tersasar kerana Ertiga hanya akan dilancarkan minggu hadapan.

logo-brown_protonertiga_bm

Proton belum lagi mengumumkan harga untuk MPV baharu ini, tetapi apa yang pasti ia hadir dengan tiga varian iaitu Executive manual, Executive auto dan juga Executive Plus auto. Ertiga menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dan sebagai sebuah model bertaraf ‘nasional’ sepenuhnya, tentunya ia jauh lebih murah berbanding pesaingnya yang berjenama Jepun seperti Toyota Avanza dan Nissan Grand Livina serta berada hampir atau lebih murah dari pesaing senegara iaitu Perodua Alza.

Tanggapan awal saya ketika pertama kali kain penutup MPV ini dibuka untuk tatapan semua jurnalis yang hadir, Proton Ertiga adalah seperti namanya. Mengapa? Rebadge kali ini memang betul-betul projek ‘menukar logo’. Kesemua rupa luarannya diambil terus dari Suzuki dan Proton hanya menukar logonya sahaja. Namanya juga tidak berubah dan hanya bertukar jenama dari ‘Suzuki’ Ertiga kepada ‘Proton’ Ertiga.

Menurut Suzuki, Er bermaksud R atau Row (baris) dan tiga memang bermaksud angka 3 (tetapi dalam kes ini Suzuki mengambil Bahasa Indonesia kerana Ertiga pada permulaannya memang dibina untuk pasaran Indonesia dan India). Jadi Ertiga secara ringkasnya ialah “Swift dengan tiga baris tempat duduk” – ia sememangnya Suzuki Swift yang ‘dipanjangkan’.

Walaupun Proton seperti sesi-sesi pandu uji prebiu sebelum ini tidak membenarkan kami membawa sebarang kamera dan hanya membekalkan sedikit imej-imej ala-teaser, mudah untuk anda membayangkan rupa sebenar MPV ini. Proton menggunakan muka hadapan Ertiga versi facelift secara keseluruhan dan hanya ditukar logo hadapan sahaja.


Imej bayangan Proton Ertiga oleh Theophilus Chin dalam empat warna, nampak seperti model sebenar

Untuk membezakan varian, Executive Plus diberikan kemasan jalur krom pada perumah lampu kabus hadapan (hanya plastik berwarna hitam untuk varian Executive) dan juga cermin sisi boleh lipat berkuasa lengkap dengan lampu isyarat membelok.

Untuk bahagian belakang pula, Proton menggunakan rekaan pintu tailgate Ertiga pasaran Indonesia versi facelift dengan menampilkan reflektor untuk menghubungkan lampu belakang dan kemasan nombor plat krom tetapi menggunakan bampar versi pre-facelift, dengan tambahan lampu kabus belakang sebagai memenuhi undang-undang UNR100 yang diamalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat masa ini.

Jadi, bayangan yang dibuat oleh pakar render Theophilus Chin adalah tepat sama sekali untuk bahagian muka. Manakala untuk bahagian belakang pula, ia adalah sama seperti model yang kami temui pada GIIAS 2015 tetapi dengan kelainan pada bampar.

Ketiga-tiga varian menampilkan roda aloi lima jejari berkembar berdiameter 15-inci yang sama, dan diambil terus dari Suzuki Ertiga, dibaluti tayar GT Radial Champiro Eco bersaiz 185/65R15. Empat pilihan warna badan diberikan pada Ertiga iaitu Merah Ruby, Perang Carnelian, Kelabu Metal dan Putih Cotton.

proton-ertiga-dimensions

Untuk dimensi, panjang keseluruhan MPV ini adalah 4,265 mm, lebarnya 1,695 mm, manakala tinggi pula ialah 1,685 mm. Oleh kerana juntaian (overhang) pada bahagian depan dan belakangnya agak pendek, jarak roda keseluruhan Ertiga mampu direka lebih panjang iaitu 2,740 mm, seterusnya memberikan keluasan ruang kabin yang agak bagus.

Sebagai perbandingan dengan Alza, Ertiga adalah 5 mm lebih pendek dan jarak rodanya juga 10 mm lebih pendek. Oleh kerana Ertiga mempunyai kelegaan tanah yang agak tinggi iaitu 185 mm (MPV ini direka untuk permukaan jalan yang teruk berdasarkan jalan di kawasan pedalaman Indonesia), Ertiga diukur 65 mm lebih tinggi berbanding Alza.

Ketinggian Ertiga ini adalah 10 mm kurang dari Avanza, namun ia 70 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar serta jarak rodanya 85 mm lebih panjang berbanding MPV dari Toyota itu. Apa yang menarik lagi, walaupun Ertiga 327 mm lebih pendek dan 124 mm kurang lebar berbanding Proton Exora, namun jarak roda Ertiga diukur 10 mm lebih panjang berbanding abangnya itu.

Jadi, dengan dimensi ini, apa yang boleh diterjemahkan pada kabin? Saya mulakan bahagian dalaman dengan bahagian belakang dahulu kerana untuk MPV tiga baris tempat duduk seperti ini, sudah tentu keluasan kabin belakang perkara pertama yang diambil berat. Tempat duduk baris kedua Ertiga boleh digelongsorkan kehadapan/kebelakang bagi membolehkan ruang lutut baris kedua dan ketiga boleh dilaras, sama seperti Alza.

isofix_protonertiga_bm

Oleh kerana ia dibina sebagai MPV enam-tempat duduk, baris kedua direka hanya dengan dua tali pinggang keledar serta diberikan perehat tangan boleh lipat pada bahagian tengah. Berdasarkan pemerhatian saya juga, antara Ertiga, Alza dan juga Exora, Ertiga mempunyai tempat duduk belakang dengan saiz kusyen paling tebal dan selesa, sama seperti sedan biasa.

Antara tiga MPV ini juga, dapat saya rasakan baris ketiga pada Ertiga merupakan yang paling selesa. Sebagai seorang yang berbadan besar (berat melebihi 100 kg dengan ketinggian sekitar 165 cm), duduk pada bahagian baris ketiga ini agak relaks dengan kedudukan lutut tidak terlalu tinggi kerana tempat duduk berkenaan sememangnya tinggi.

Dan disebabkan badan kereta yang tinggi serta jarak roda yang panjang, ruang roda yang ‘menganggu’ garis pintu adalah sangat minimal. Kelebihannya? Pergerakkan keluar/masuk penumpang ke ruang tempat duduk baris ketiga agak mudah dan kaki tidak tersangkut pada bahagian berkenaan.

Saya sedikit bermasalah dengan bahagian tempat duduk baris ketiga Alza. Selain dari akses ke bahagian tersebut yang agak sempit dan ruang kepala yang lebih rendah, posisi tempat duduk Alza juga agak rendah. Kedudukan lutut berada pada paras agak tinggi ketika duduk, membuatkan saya berasa lemas duduk di bahagian tersebut. Mungkin pandangan kita berbeza berdasarkan keadaan dan situasi. Jadi, anda perlu ke bilik pameran setelah Ertiga dilancarkan kelak dan buat penilaian anda sendiri terhadap kedua-dua MPV ini.

bottle-holder_protonertiga_bm

Satu lagi perkara yang diambil berat untuk mereka yang mahu membeli MPV dengan tiga barisan tempat duduk ialah penghawa dingin untuk kabin belakang. Ertiga diberi motor penghembus lengkap dengan cooling coil khas untuk kabin belakang yang diletakkan pada bahagian bumbung antara tempat duduk baris pertama dan kedua.

Walaupun suhu unit penghawa dingin belakang ini tidak boleh dilaras (kelajuan kipas penghembus masih boleh dikawal), kedudukannya yang ideal dan hembusannya yang kuat mampu memberikan udara nyaman terbaik untuk penumpang yang berada di tempat duduk baris terakhir.

Dengan kesemua tempat duduk dibuka, ruang kargo belakang hanya mampu menampung kapasiti 135 liter. Ruang but ini turut diberikan ruang storan tambahan dibawah lantai seperti Nissan Serena S-Hybrid. Jika tempat duduk barisan terakhir dilipat (dengan nisbah pisahan 50:50), kapasiti keseluruhan ruang kargo berkenaan adalah sejumlah 400 liter. Tempat duduk barisan kedua juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk ruang kargo yang lebih luas.

Beralih ke bahagian hadapan, papan pemuka Ertiga, termasuk panel instrumen, adalah seiras dengan Swift. Sistem pemain audio Ertiga hadir tanpa skrin infotaimen, dengan hubungan USB dan AUX tetapi tanpa fungsi Bluetooth. Suis-suis sistem kawalan penghawa dingin manual ini juga merupakan suis putar konvensional tanpa skrin paparan informasi.

Ruang storan yang agak besar diberikan pada bahagian bawah suis kawalan penghawa dingin, yang turut menempatkan soket kuasa 12V serta port USB (satu lagi soket kuasa turut diberikan untuk tempat duduk baris kedua). Roda stereng tiga jejari juga diambil terus dari Suzuki Ertiga/Swift tetapi logo bahagian tengahnya kini telah diberikan logo Proton.

Khas untuk varian Executive Plus, ia diberikan sepasang unit tweeter ditempatkan pada kedua-dua sudut papan pemuka, tempat duduk pemandu dengan ketinggian boleh laras, poket pada bahagian belakang kedua-dua tempat duduk baris pertama (hanya sebelah untuk varian Executive) kemasan krom pada pemegang pintu bahagian dalam serta suis kawalan audio pada roda stereng.

Sedikit mengecewakan, tema kabin Proton Ertiga untuk semua varian hanya diberikan gabungan warna beige dan kelabu (Ertiga pasaran Indonesia juga hanya menerima tema yang sama). Umum mengetahui warna-warna cerah seperti ini amat mudah kotor lebih-lebih lagi sebagai sebuah kenderaan keluarga yang tentunya sering dinaiki oleh kanak-kanak.

Proton Ertiga turut berkongsi enjin yang sama dengan Suzuki Ertiga dan Swift iaitu enjin petrol MPI K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT berkuasa 92 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,000 rpm. Berita baik, enjin Suzuki ini menggunakan rantai pemasa (timing chain) yang mengurangkan kos penyelenggaraan berbanding tali sawat pemasa (timing belt) yang digunakan pada enjin-enjin Proton lain.

proton-ertiga-engine

Hanya varian Executive ditawarkan sama ada dengan transmisi manual lima kelajuan atau kotak gear automatik empat-kelajuan dari Aisin, manakala Executive Plus hanya hadir dengan versi automatik. Menurut Proton, Ertiga manual mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.8 saat dan versi automatik pula 13.9 saat pada pecutan yang sama. Penggunaan bahan api ketika bergerak dengan kelajuan 90 km/j pula dicatatkan 5.7 l/100 km untuk manual dan 6.0 l/100 km untuk automatik.

Tiada isu kurang kuasa pada Ertiga di mana enjin 1.4 liter berkenaan adalah padan untuk kerangka MPV dengan berat tidak sampai 1,200 kg ini, walaupun ia mempunyai kuasa paling rendah berbanding pesaing lain.

Respon yang diberikan oleh kotak gear automatik empat kelajuan MPV ini juga agak baik serta lancar dan diberikan nisbah gear yang agak tepat. Pemanduan cruising dengan kelajuan 110 km hanya memerlukan putaran enjin sekitar 2,900 rpm, menjadikan pemanduan pada kelajuan tersebut agak relaks dan selesa.

Beralih ke versi manual, Ertiga diberikan transmisi yang agak seronok untuk digunakan. Jarak pergerakan antara kedudukan tuil gear agak dekat dan ia agak lembut dan lancar ketika digunakan. Namun, nisbah akhir kotak gear manual ini mungkin sedikit besar dari versi auto kerana pemanduan pada kelajuan 110 km/j menggunakan gear lima memerlukan enjin berputar pada takat 3,200 rpm dan enjin mula meraung pada 3,500 rpm ketika kelajuan mencecah 120 km/j.

Pada sesi kali ini, Proton membuka bahagian litar ujiannya yang digunakan untuk menguji pengendalian serta NVH yang terdiri dari pelbagai permukaan jalan. Ertiga memberikan pengendalian yang bagus ketika dipandu sebagai sebuah MPV, dan turut memberikan keselesaan yang baik kepada penumpang, setaraf dengan MPV-MPV lain dalam saingannya.

Cuma sterengnya sahaja kurang menggembirakan saya. Stereng dengan sistem EPS jelas terasa tidak semula jadi dan pergerakan motor elektrik yang memberi bantuan kuasa memutar menjadikan putaran stereng berkenaan terasa seperti ‘melekit’. Menurut salah seorang jurutera Proton yang membantu semasa sesi ini, mereka mampu menalanya sehingga menjadi sebaik stereng EPS Iriz dan Persona, tetapi syarat rebadge yang ditetapkan Suzuki tidak membenarkan talaan tersebut dibuat.

Untuk keselamatan, Ertiga diberikan dua-beg udara pada bahagian hadapan, rasuk perlindungan sisi, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, serta sistem brek yang dilengkapi dengan ABS serta EBD. Kesemua ciri ini membolehkan Ertiga menerima penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

Adakah Proton Ertiga akan hadir sebagai opsyen yang sangat bernilai untuk rakyat Malaysia? Ia hanya akan terjawab ketika harga MPV enam-tempat duduk ini diumumkan semasa pelancarannya 24 November ini. Jika ia dijual pada harga dalam lingkungan yang sama dengan Alza iaitu sekitar RM52k hingga RM65k, tentunya persaingan sengit akan terjadi antara kedua-dua MPV segmen-B nasional ini.

Walaupun Ertiga mempunyai ruang kabin dan sistem penghawa dingin bahagian belakang yang lebih baik, Alza turut dilihat mempunyai kelebihannya yang tersendiri dengan kelengkapan yang lebih premium seperti skrin infotainmen (beserta sistem navigasi) pada papan pemuka dan bumbung, kamera undur serta upholsteri balutan kulit hitam (kesemua ini hanya untuk varian Advance), lima tempat duduk penuh lengkap dengan tali pinggang keledar tiga cagak pada kabin belakang (tujuh-tempat duduk keseluruhan) dan juga enjin 1.5 liter yang 14 hp/6 Nm lebih berkuasa.

Projek rebadge Ertiga ini adalah lebih kurang sama dengan projek Proton Inspira sebelum ini, maksud saya ia merupakan model yang masih diproduksi serta dijual oleh pengeluar asal. Hentikan pertelagahan berkenaan prinsip itu dan ini, dan lihat dari sudut keuntungan pengguna.

Di Indonesia, varian pertengahan Suzuki Ertiga GX (diletakkan di bawah varian Ertiga Dreza yang lebih tinggi) dilengkapi beg udara dan ABS dijual pada harga Rp.224,500,000 (RM74,064) dan Toyota Avanza Veloz 1.5 Automatik iaitu spesifikasi tertinggi di sana yang dijual pada harga Rp.226,900,000 (RM74,856). Jika anda boleh beli sebuah Suzuki pada harga sebuah Proton, apa lagi yang perlu diperdebatkan? Oh ya, di Indonesia, Mazda turut me’rebadge‘ Ertiga dan dikenali sebagai Mazda VX-1.

GALERI : Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • hafix on Nov 20, 2016 at 5:04 am

    Design seperti biasa. Mengecewakan. Malaysia. ape je yang tak mengecewakan.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 6
  • Edansanto on Nov 28, 2016 at 12:26 am

    Malaysia jalan banyak bukit , banyak flyover , susah nak daki nnt hp kurang , torque kureng …. Adui …

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 3
  • smlok on Nov 28, 2016 at 12:31 pm

    Steering ‘melekit’ is a deal breaker

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 2
  • muhammad faizal bin ismail on Mar 25, 2017 at 7:40 pm

    Bagus serta menawan berniat mahu membeli satu saje

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required