Tahun 2016 menyaksikan begitu banyak model terbaharu mahu pun facelift dilancarkan di pasaran Malaysia. Bukan itu sahaja, industri automotif tempatan turut ‘disemarakkan’ dengan pelbagai berita hangat, terutamanya harga bahan api yang naik-turun-naik, juga kenaikan harga kenderaan di pasaran, tragedi kemalangan bas ekspres yang mengorbankan banyak nyawa, kemajuan sistem pengangkutan awam khususnya LRT dan MRT yang baru dilancarkan sebelum 2016 melabuhkan tirainya serta pelbagai momen pahit-manis.

Walau bagaimana pun, bukanlah suatu kejutan buat pasukan kami kerana dalam banyak artikel yang disiarkan untuk tahun ini, perkhabaran daripada Proton yang paling menerima perhatian yang cukup hangat. Ya, cukup hangat, sehangat nama Proton yang sedang melalui pelbagai ujian dan cabaran untuk terus kekal di dalam industri ini.

Buktinya, dari 10 artikel terhangat 2016, tujuh daripadanya dimonopoli oleh Proton termasuk model-model yang dilancarkan pada tahun lalu. Proton Persona 2016 mengungguli kedudukan dengan menguasai hampir 40% perhatian para pembaca, diikuti oleh Proton Saga. Pesaing rapat Proton dalam industri ini iaitu Perodua turut berjaya menempatkan dirinya di tangga ke-tujuh dengan artikel sempena pelancaran model Bezza.

Manakala dua artikel lain iaitu mengenai lesen memandu/menunggang dan budaya ‘hellaflush’ turut menjadi perhatian pembaca paultan.org/bm. Berikut merupakan 10 artikel terhangat di sini, yang mendapat perhatian ‘boombastik’ dari anda. Apa pun, terima kasih tidak terhingga di atas sokongan anda, dan teruskan bersama kami untuk mendapatkan berita muktahir, terhangat dan terkini mengenai industri automotif dalam dan luar negara.

10. Proton Ertiga – perincian dan penawaran bagi setiap varian; enjin 1.4 liter, ASEAN NCAP empat bintang

Proton Ertiga yang dilancarkan pada November lalu merupakan model ke-empat yang dilancarkan untuk tahun 2016 sahaja. Sebelum dilancarkan, sudah ramai yang tidak sabar untuk mengetahui perincian lanjut apa yang ditawarkan untuk kesemua varian tersebut. Bukan setakat mekanikal, malahan elemen yang ada pada bahagian luaran dan dalamannya juga didedahkan secara rasmi.

9. PANDU UJI: Proton Saga 2016 – selamat tinggal imej dulu; ini adalah permulaan baharu yang meyakinkan

Memang cukup ramai rakyat Malaysia yang ingin mengetahui kelebihan dan kekurangan yang ditonjolkan pada Proton Saga 2016. Apatah lagi apabila Proton sendiri mengesahkan telah melakukan banyak perubahan dan pembaharuan pada Saga versi terbaharu ini. Jadi, untuk mendapatkan kepastian sejauh mana kebenaran yang didakwa oleh pihak Proton, ulasan pandu uji ini banyak membongkarkan rahsianya.

8.Proton Persona 2016: Perbandingan dengan model lama, serta sedan segmen-B dan Perodua Bezza

Satu lagi model Proton yang dilancarkan pada tahun lalu, Persona 2016, yang berjaya mencuri perhatian ramai. Walau pun begitu, masih ada lagi yang sangsi, apakah Persona 2016 ini lebih baik daripada model sebelumnya. Dan adakah ia boleh mengatasi populariti Perodua Bezza? Menerusi artikel ini, pembaca dapat mengetahui perbandingan di antara Persona 2016 dengan model lama, serta sedan segmen-B yang lain dan juga Bezza.

7.Perodua Bezza dilancarkan, enjin 1.0L VVT-i dan 1.3L Dual VVT-i, harga bermula dari RM37K hingga RM51K

‘Anak bongsu’ Perodua yang pantas meledak menawan perhatian ramai. Mungkin ramai yang menganggap kelahiran Bezza ini merupakan suatu kejutan memandangkan sebelum ini Perodua lebih tertumpu pada model kompak. Namun kejutan ini memang cukup berjaya, menjadikan Bezza sebagai model sedan dengan harga yang cukup berpatutan yang terlaris di pasaran buat masa sekarang.

6.MPV Proton Ertiga dilancarkan – enam-tempat duduk, 1.4 liter VVT, harga bermula RM58,800 – RM64,800

Menutup tahun 2016, Proton melancarkan model kerjasama Suzuki-Proton, MPV kompak Ertiga enam-tempat duduk. Memberikan satu lagi penawaran buat rakyat Malaysia yang inginkan sebuah kenderaan untuk seisi keluarga.

5.Proton Saga 2016 kini dilancarkan secara rasmi – 4 varian, 1.3L VVT, dari RM36,800 hingga RM45,800

Saga merupakah model pertama yang dilancarkan oleh Proton iaitu pada tahun 1985. Namun untuk versi 2016, ia masih menjadi perhatian termasuklah generasi muda. Dengan pelbagai pembaharuan yang ditampilkan, Saga 2016 juga ditawarkan dengan harga yang cukup berbaloi.

4.Kenapa JPJ buru ‘rim dan tayar kangkang’?

Rencana khas mengenai budaya ubahsuai “Stance & Fitment”(Snf) atau dikenali juga sebagai “Hellaflush”, juga menerima perhatian pembaca. Menerusi rencana ini, kami dapatkan pendapat eksklusif daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi merungkai lebih lanjut mengenai trend ini.

3.Pemandu atau penunggang tanpa lesen akan terus dihadapkan ke mahkamah, kenderaan turut disita

Mungkin artikel ini menjadi ‘suatu perkhabaran ngeri’ dan ‘amaran lebih jelas’ buat mereka yang tidak memiliki memandu atau menunggang motosikal secara sah. Malahan berita ini turut menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

2.Proton Persona 2016 – Perincian ringkas, penawaran dan pilihan varian serta spesifikasi yang diketahui

Seperti yang dikatakan, model-model Proton yang dilancarkan pada tahun lalu memang cukup ditunggu ramai, ini termasuklah dengan Persona 2016. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kami sudah membongkarkan perincian setiap varian dan spesifikasi lengkapnya.

1.Proton Persona 2016 secara rasminya dilancarkan – 1.6L VVT, empat varian, harga bermula RM47k

Artikel mengenai pelancaran Proton Persona 2016 mengungguli carta artikel Paultan.org/bm bagi tahun 2016. Malah tiga daripada 10 yang disenaraikan, memang berkaitan dengan Persona 2016. Adakah ini menandakan harapan orang ramai terhadap Proton masih tinggi? Cabaran bagi Proton untuk terus berdaya maju dan terus menyingkirkan kelemahan yang semalam ini menghantui syarikat pengeluar kereta nasional ini.