Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan prestasi jualan keseluruhan bagi tahun 2017 iaitu mencapai 12,045 unit berbanding 11,779 unit pada 2016, sekaligus berjaya memecahkan rekodnya tersendiri di pasaran tempatan. Dengan jumlah tersebut, ia juga menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3% bagi perkongsian pasaran, malah terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama premium No.1 di negara ini.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian sepanjang 2017 yang dianggap sebagai sejarah dalam penubuhan syarikat ini di Malaysia. Ia terdorong daripada usaha pasukan kami dalam memperkenalkan barisan model baharu, dan mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami termasuk menambah bilik pameran dan pusat servis pada tahun lalu,” ujar Dr Claus Weidner, Presiden dan CEO MBM.

Seperti tahun 2016, pada tahun lalu MBM juga telah melancarkan 17 model baharu, dan daripada itu, MBM telah mencatatkan jualan sebanyak 7,041 unit bagi limosin pemasangan tempatan (CKD) dengan barisan E-Class yang dilancarkan pada April lalu telah menjadi model terhangat dalam segmen tersebut iaitu merangkumi 35%.

Manakala bagi segmen SUV pula, ia telah mencapai jualan keseluruhan sebanyak 2,599 unit, yang dirangsang oleh pengenalan model GLC 200 dan GLE43 OrangeArt Edition.

Bagi model kompak pula, pengenalan terhadap model GLA turut melonjakkan lagi angka jualan jenama ini, di mana secara keseluruhan di bawah segmen ini, ia telah mencapai sebanyak 2,031 unit. Sementara itu, untuk barisan Mercedes-Benz Dream Cars termasuk E-Class Coupe, C-Class Coupe, AMG 43 Series dan AMG GT R, telah memperoleh jualan sebanyak 374 unit.

“Daripada keseluruhan jumlah jualan yang diumumkan ini, bulan Jun 2017 telah mencatatkan rekod yang tertinggi iaitu mencecah 1,210 unit. Kenderaan CKD kami terutamanya barisan E-Class dan GLC baharu telah membantu melonjakkan prestasi jualan secara keseluruhan. Kami sangat berterima kasih kepada para pelanggan yang masih setia dan mempercayai produk dan perkhidmatan kami. Dengan solusi mobiliti inovatif serta inisiatif digital yang bakal diperkenalkan, kami berharap ia dapat membantu meneruskan kejayaan ini pada masa hadapan,” ujar Mark Raine, Timbalan Presiden, Pemasaran & Jualan MBM.

Selain daripada jualan, perkhidmatan selepas jualan juga banyak membantu mengekalkan Mercedes-Benz sebagai jenama premium No.1 di Malaysia. Pada tahun lalu sahaja, MBM telah membuka empat cawangan Autohaus baharu dan lima cawangan yang dinaiktaraf, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 33 cawangan di seluruh Malaysia.

Manakala sebanyak 128,072 kenderaan Mercedes-Benz telah diselenggara di kesemua pusat servis mereka yang bertauliah di seluruh negara, di mana ia merupakan angka tertinggi bagi skor Indeks Kepuasan Pelanggan bagi perkhidmatan selepas-jualan MBM buat setakat ini. Bukan itu sahaja, pada tahun lalu, rangkaian servis Mercedes-Benz juga telah diiktiraf di peringkat global bagi fasiliti mengecat dan mengetuk badan dan implementasi bagi Service Differentiation – My Service.

Kilang produksi Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, juga telah mencatatkan sebanyak 9,286 unit daripada 12 model CKD, dengan model terbaharu yang dipasang, GLC 200. Kesemua 12 model CKD ini telah menerima pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), di mana tiga daripadanya adalah model hibrid iaitu S 400 h, C 350 e dan E 350 e.

Bagi 2018 pula, Dr Weidner mengharapkan MBM mampu memacu langkah yang lebih gemilang, walau bagaimana pun beliau enggan mendedahkan jumlah model yang bakal dilancarkan tahun ini. Pada tahun lalu, MBM merencana untuk memperkenalkan model facelift bagi S-Class dijangka pada suku ketiga tahun ini.

Namun pada akhir sesi pembentangan prestasi 2017 yang berlangsung pagi tadi, MBM turut memaparkan slide model EQ yang merupakan barisan kenderaan elektrik dengan imej yang penuh futuristik. Adakah ia antara model yang bakal dibawa masuk ke Malaysia pada tahun ini? Kita nantikan perkembangan selanjutnya.