Nampak gayanya penggunaan siri nombor plat khas kian popular. Bagi yang ada bajet tertentu, bolehlah membida nombor terbaik yang dipadankan bersama siri plat terbabit.

Terkini, siri plat nombor YY pula muncul yang telah pun boleh dibida dari 15 Mac lalu sehingga 6 April ini. Nombor tersebut dari YY 1 hingga YY 9999, bidaan yang berjaya akan diumumkan pada 30 April ini. Tidak seperti plat UU yang tidak ditawarkan dengan harga minimum, siri plat YY pula mempunyai garis harga asas yang ditetapkan. Harga bidaan paling minimum untuk nombor biasa (contohnya 1389, 3569) adalah RM300, manakala nombor yang lebih dari biasa seperti 2268 dan 9962 ditetapkan pada harga RM1,000.

Manakala untuk nombor tiga berkembar (contoh; 2228, 3336, 6999) ditetapkan pada harga RM2,000, sementara untuk nombor berkembar istimewa (contoh; 2266, 9898) pula RM3,000. Bagi nombor digit berkembar, bidaan bermula RM3,000, dan nombor tiga digit istimewa (3335, 565, 898) pula RM6,000.

Sebelum ini, beberapa siri plat nombor khas telah mendapat perhatian termasuk Q, T1M, NBOS, Y, G, NAAM, F1, GG, SAM, K1M, RIMAU dan banyak lagi.