Menerusi gambar-gambar intipan sebelum ini, prototaip Toyota Supra generasi baharu dilihat menggunakan komponen dalaman yang sama dengan kembarnya, BMW Z4. Manakala menerusi pendedahan model konsep perlumbaan Gazoo Racing Supra yang didedahkan bulan lalu, bentuk asas papan pemuka jentera berkenaan pula kelihatan.
Menerusi imej spyshot yang baharu kami terima ini nampaknya Supra sudahpun diberikan panel instrumen digital khas yang direka untuknya – menampilkan takometer sebagai watak utama diletakkan pada bahagian tengah. Namun pada bahagian lain seperti roda stereng, pedal penukar gear, skrin infotaimen utama dan juga tombol gear nampaknya masih sama seperti BMW.
Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.
Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Ogos tahun lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti.
Sebelum ini juga CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice bahawa kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.
Namun sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.
Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.


Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800
Toyota Hiace
dari RM169,000