Selepas Suzuki Swift generasi baharu masuk kepasaran, sudah tentu versi MPV yang diasaskan dari platform yang sama iaitu Ertiga turut akan diperkenalkan. Tahun lalu khabar dari Indonesia mengatakan MPV generasi baharu berkenaan bakal didedahkan di negara tersebut pada separuh pertama tahun ini, manakala unit protaipnya yang sedang diuji juga telah ditemui di India.

Selain dari imej bayangannya yang telah dihasilkan berdasarkan rupa Swift terbaharu dan gambar intipan di India tersebut, ini ada satu lagi petunjuk berkenaan rupa Ertiga generasi seterusnya tersebut – Autonetmagz melaporkan bahawa Ertiga bakal dilengkapi dengan papan pemuka yang diambil dari Suzuki Dzire atau Swift versi sedan yang kini berada di pasaran India.

Oleh itu, rekaan pada papan pemuka berkenaan akan menyaksikan perubahan yang besar dari generasi Ertiga sedia ada. Elemen asas rekaan antara dua model tersebut sememangnya berbeza di mana Dzire menampilkan lebih bersudut dari Suzuki/Proton Ertiga yang berada dalam pasaran sekarang, termasuk pada liang-liang penghawa dingin dan juga pada konsol tengah.

Rekaan pada suis-suis kawalan penghawa dingin dan sistem infotaimen turut berubah, manakala ruang storan kecil pada bahagian atas glove box turut ditiadakan. Untuk menampakkan ia lebih premium dari sebelum ini, kemasan panel-panel kayu palsu juga diberikan pada papan pemuka tersebut.

Papan pemuka Suzuki Dzire (kiri) dan Proton Ertiga (kanan)

Dijangkakan rupa yang lebih moden pada bahagian dalaman ini turut akan dibawa ke bahagian luaran. Dzire dan Swift generasi terkini dibina berasaskan platform Heartect baharu yang lebih tegar dan juga menampilkan pelbagai komponen yang lebih ringan – ciri ini tentu dibawa bersama pada Ertiga generasi baharu berkenaan.

Ia juga dijangka bakal dijana barisan enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu enjin petrol NA 1.4 liter berkuasa 92 PS/130 Nm dan juga versi diesel dengan enjin 1.3 liter turbo berkuasa 89 hp/200 Nm yang turut disertakan dengan sistem hybrid ringkas. Transmisi juga dijangka sama dimana model petrol ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, manakala model diesel dipadankan dengan hanya manual enam-kelajuan.

Kita di Malaysia turut menerima Ertiga generasi sedia ada, namun seperti yang diketahui ia diproduksi di kilang Proton serta dijual dengan logo jenama automotif nasional berkenaan. Buat masa ini, Proton dilihat lebih menumpukan kerjasama mereka terhadap rakan strategik baharu dari China iaitu Geely, dan tidak diketahui sama ada mereka berminat atau tidak untuk membawa Ertiga generasi baharu ke sini.