Jenama kenderaan elektrik baru Volvo yang kini sudah bergerak sendiri, iaitu Polestar telah mendedahkan kereta elektrik penuh pertama mereka, dipanggil sebagai Polestar 2. Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, kereta kompak lima pintu ini akan bersaing dengan Tesla Model 3, dengan prestasi keduanya hampir sama.

Sama seperti coupe Polestar 1, Polestar 2 ini juga adalah versi produksi bagi satu lagi kereta konsep Volvo, iaitu 40.2 yang pernah ditunjukkan pada tahun 2016. Banyak perincian daripada kereta konsep ini dikekalkan, seperti bentuk badan kompak, perincian yang tajam, ketinggian hampir seperti SUV dan kemasan plastik hitam.

Pada bahagian depan, Polestar 2 menggunakan rekaan lampu depan “Thor’s Hammer”, dilengkapi dengan teknologi Pixel LED baru, yang boleh menutup bahagian tertentu waktu lampu tinggi supaya tidak menyilaukan pengguna lain. Lampu ini kemudiannya disambungkan kepada gril dengan perincian berpetak.

Walaupun sekarang ini sudah muncul banyak kenderaan yang menggunakan kamera sebagai pengganti kepada cermin sisi, Polestar 2 masih lagi menggunakan cermin sisi biasa, tetapi dengan sedikit perubahan. Cermin sisi tersebut mempunyai saiz 30% lebih kecil dan aerodinamik kerana tidak mempunyai rangka. Keseluruhan perumah cermin sisi itu akan bergerak apabila dilaras, dan bukannya bahagian cermin sahaja seperti cermin sisi biasa.

Pada bahagian belakang, anda boleh melihat lampu berbentuk C yang bersambung di tengah dengan jalur cahaya penuh yang terdiri daripada 280 LED. Satu lagi perkara menarik, kereta ini boleh mengesan telefon pintar anda menggunakan Bluetooth dari jarak 1.5 meter, dan apabila anda menarik sahaja pembuka pintu, kunci kereta akan dibuka secara automatik.

Sama juga apabila anda masuk ke dalam kenderaan. Tiada kunci yang diperlukan kerana ia boleh mengesan sekiranya anda sudah duduk atas kerusi pemandu, dan kereta akan terus dihidupkan dan bersedia untuk bergerak.

Paling menonjol pada bahagian dalam kereta ini adalah skrin sesentuh 11 inci yang diletakkan secara menegak di tengah papan pemuka, dan mempunyai sambungan kepada sistem infotainmen baru berasaskan Android. Ia dibangunkan bersama dengan Google dan dilengkapi dengan ciri seperti kawalan suara Google Assistant, navigasi Google Maps (termasuk tanda tempat mengecas) dan Google Play Store. Bawahnya pula, di konsol tengah, terdapat tombol gear yang kecil dan beberapa butang lain.

Menurut Polestar, kereta elektrik mereka ini akan ditawarkan dengan penggunaan bahan vegan di dalam secara standard, sekaligus tidak memerlukan lagi bahan kulit. Pembeli juga mempunyai pilihan kemasan fabrik dan bahan Weave Tech baru yang dikatakan mendapat inspirasi daripada sut penyelam (kalis air dan kotoran), atau juga kulit Nappa. Untuk kemasan lain, terdapat beberapa pilihan termasuk polikarbonat 3D dan kayu hitam.

Perincian untuk varian Polestar 2 ini masih belum didedahkan, tetapi syarikat dari Sweden itu ada menyiarkan spesifikasi teknikal awal untuk versi paling tinggi dengan kuasa paling banyak dan jarak gerak paling jauh. Dua motor elektrik digunakan, dengan setiap satunya mampu menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 330 Nm tork, diletakkan pada setiap gandar untuk mewujudkan pacuan semua roda. Secara keseluruhan, kuasanya adalah 300 kW (408 hp) dan 660 Nm tork.

Diletakkan sebagai perbandingan, jumlah kuasa ini adalah sama seperti model plug-in hybrid T8 Twin Engine Volvo, tetapi untuk tork, ia mempunyai lebihan 20 Nm, sekaligus membenarkan Polestar 2 memecut 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat. Dengan penggunaan bateri 78 kWh, Polestar mensasarkan jarak gerak 500 km mengikut kitaran WLTP.

Polestar 2 dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03, dan pek bateri 27 modul padanya disepadukan pada lantai kenderaan, menyumbang kepada casis yang lebih tegar. Ia juga dapat mengurangkan kadar NVH, dengan kebisingan jalan dikatakan 3.7 dB lebih rendah berbanding casis kereta biasa.

Untuk Polestar 2 ini juga, pembeli boleh mendapatkan pakej Performance Pack, yang menambah penyerap Ohlins, brek Brembo, rim aloi forged 20 inci, serta perincian keemasan pada tali pinggang, angkup brek dan penutup injap angin roda. Pengeluaran Polestar 2 akan bermula di China Februari tahun depan dan harga untuk 12 bulan pertama bermula daripada €39,900 (RM184,800), dan pergi sehingga €59,900 (RM277,400).