Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri penghujung tahun 2019. Hanya dalam masa kurang dua minggu lagi, tahun 2020 akan menjengah, dan 2019 akan meninggalkan kita dengan seribu satu pencapaian dan juga kenangan. Di dalam artikel khas ini, kami akan menyorot kembali perkembangan utama dunia automotif tempatan sepanjang tahun. Tumpuannya tentulah terhadap dua jenama pengeluar kenderaan Malaysia, Proton dan Perodua, serta beberapa lagi hal berkaitan.

Agak menarik untuk perhatikan perkembangan dua jenama tempatan ini sepanjang 2019. Setelah beberapa tahun, kedua-dua Proton – dan Perodua terutamanya – menunjukkan pencapaian yang membanggakan; angka jualan dan perkongsian pasaran misalnya kembali dipelopori dua jenama tempatan ini, mengatasi jenama-jenama pengeluar bukan nasional lainnya.

Seperti yang ditunjukkan oleh data jualan yang biasa kami laporkan setiap bulan, Perodua terus berada dikedudukan teratas dan terus-menerus mendapatkan sokongan daripada pengguna. Ini bukanlah rahsia, jenama ini berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jenama nombor satu di Malaysia untuk saban tahun kebelakangan ini.

Cuma yang lebih menyenangkan, Proton yang sebelum ini ketinggalan dari segi angka jualan dan penawaran produk yang mendapat perhatian pasaran, kini telah kembali menduduki tangga kedua (mengatasi Honda), hanya dalam tempoh setahun selepas mendapat sokongan daripada Geely. Dua pengeluar nasional kita kini kembali menduduki dua tempat teratas, dengan penawaran produk-produk yang tentunya semakin bertambah baik dan mempunyai nilai tersendiri bagi pengguna.

Perodua terus fokus

Walaupun diasak dan sedikit sebanyak terkesan dengan perkembangan yang ditunjukkan Proton, sambutan terhadap produk-produk Perodua tidak pula berkurangan. Dan, jenama ini dalam masa yang sama enggan untuk duduk selesa tanpa melakukan apa-apa. Tahun ini saja Perodua memiliki beberapa penanda aras baru yang cukup membanggakan.

Pada 2019, Perodua bermula awal dengan pengenalan model SUV Aruz, yang dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Januari lalu. Pengenalan awal tahun ini membolehkan Perodua mempunyai banyak masa untuk menjual dan menyerahkan model ini kepada pembeli sepanjang tahun 2019. Aruz juga menjadi satu-satunya model kenderaan yang mendapat carian tertinggi diinternet di Malaysia, seperti yang didedahkan oleh Google.

Dengan harga varian paling lengkap RM77,900, Aruz juga menjadi taruhan yang sangat meyakinkan dengan ciri keselamatan yang mantap. Yang dimaksudkan misalnya penarafan ASEAN NCAP lima-bintang yang diraih, serta kelengkapan seperti Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang ada padanya, melanjutkan lagi komitmen Perodua terhadap keselamatan yang sebelum itu pernah ditunjukkan pada Myvi.

Kita tinjau pula angka-angka pencapaian Perodua. Sebulan selepas pengenalan Aruz, Perodua mengumumkan bahawa syarikat itu telah berjaya mengatasi rekod jualan tertinggi yang dicatatkan sepanjang 2018. Sejumlah 227,243 unit berjaya dijual – mencatatkan peningkatan 10.9% dari tahun sebelumnya, antara lain turut disebabkan oleh tempoh bebas cukai GST selama tiga bulan.

Prestasi cemerlang ini diteruskan pula bagi tempoh suku pertama 2019, dengan 82,700 unit terjual. Ini menjadi pencapaian terbaik bagi tempoh suku tahun yang pernah diperoleh – 9.5% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dengan perkongsian pasaran naik direkodkan sebanyak 43%. Menjelang tengah tahun, Perodua mencatatkan 121,800 unit (naik 4% bagi tempoh sama tahun sebelumnya, 41.1% perkongsian pasaran). Sasaran tahunan juga dinaikkan menjadi 235,000 unit.

Jika berkaitan model baru atau dipertingkatkan, pengenalan seterusnya ialah Axia facelift yang mula dibuka untuk tempahan pada bulan Ogos dan dilancarkan pada September 2019. Pengenalan ini juga menyaksikan pertambahan penawaran (varian baru dan juga pakej kelengkapan/aksesori) diberikan kepada Axia, yang pertama kali menerima facelift pada Januari 2017.

Dari sudut keselamatan juga banyak peningkatan yang diberikan. Dijual pada harga bermula dari RM24,090 (kereta paling murah di Malaysia), Axia turut menerima ciri VSC dan ASA 2.0 bagi varian yang lebih tinggi. Tidak lupa juga dengan pengenalan Axia Style yang mencerap penggayaan crossover. Dikala semua merasakan tidak ada lagi berita baru dari Perodua selepas itu, bocor pula gambar model yang sedang diuji.

Yang dimaksudkan ialah kelibat “Toyota Avanza aneh” yang dilihat sedang diuji di Genting Highlands. Turut diuji bersama ialah Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga. Telahannya adalah, unit berkenaan merupakan unit pembangunan model Alza terbaru – untuk menggantikan model MPV yang sudah 10 tahun berada dalam pasaran tempatan itu.

Kemudian, ada satu lagi model ujian dengan pelekat samaran dilihat. Kali ini lebih pelik, ia seolah-olah menggunakan bentuk luaran “Axia wagon”; nampak lebih panjang dan besar. Adakah ini model baru SUV segmen B D55L? Ini kemudiannya membawa pula kepada kemunculan “SUV baru” yang dipamerkan oleh Daihatsu ketika Tokyo Motorshow 2019.

Model ini memberi petunjuk yang lain pula, kerana ia ada iras sentuhan rekaan ala Myvi yang terkini. Model berkenaan kemudiannya kita kenali dengan nama Daihatu Rocky, atau model bersaudaranya, Toyota Raize. Adakah selamat untuk kita jangkakan model ini akan tiba di Malaysia tahun depan?

Untuk tahun 2020, jika meminjam corak pengenalan model baru oleh Perodua tahun ini, maka kita boleh jangkakan bakal ada satu model baru sepenuhnya, dan satu lagi model sedia ada versi diperkemaskan. Model baru berkenaan sudah tentulah SUV D55L yang dijangka. Bagaimana dengan model facelift?

Jika Alza sebenarnya sudah layak untuk menerima model baru (dan bukannya facelift) kerana usianya sudah 10 tahun dalam pasaran, maka kemungkinan model facelift hanya tinggal satu sahaja, iaitu Bezza yang diperkenalkan pada 2016 dan mungkin sudah masanya untuk diberi sedikit kesegaran baru. Jika ini sampai dahulu, maka Alza baru mungkin lebih lewat. Macam mana pula dengan tekaan anda?

Proton terus bangkit

2019 bagi Proton pula sangat banyak erti dan pencapaiannya. Kehadiran Geely membantu Proton untuk mengorak langkah baru yang lebih bertenaga. Keyakinan jenama ini juga semakin tinggi, dengan sasaran jualan 100,000 unit pada tahun 2020.

Memandang sedikit kebelakang, satu model yang mengocakkan keadaan Proton tahun ini tidak lain dan tidak bukan ialah X70. Diperkenalkan pada hujung 2018, model berkenaan sekarang dipersiap pula untuk versi pemasangan CKD bagi tahun 2020 nanti. Dipasang di kilang baru Proton di Tanjung Malim, ia antara lain melibatkan pelaburan sekitar RM1.2 bilion. Majlis pelancaran pengeluaran model CKD berkenaan baru saja diadakan minggu lalu.

Jika anda tertanya-tanya apa yang boleh dijangkakan daripada X70 CKD 2020 nanti, kami telah sediakan satu komentar video yang ringkas untuk menjawab pertanyaan itu. Jika anda belum tahu tentang itu, sila tonton video berkenaan di sini. Antaranya, walaupun rekabentuk X70 kekal sama, ia berkemungkinan besar akan menerima peningkatan dan kelainan penawaran untuk prestasi dan penampilan yang lebih baik.

Proton juga tidak hanya bergantung kepada satu model baru itu sahaja. Selain X70, tahun ini juga telah menyaksikan pengenalan model dipertingkatkan bagi Persona, Iriz, Exora dan Saga. Ini empat model facelift terbaru dalam satu tahun. Paling tidak usaha ini perlu diberikan pujian, kerana ia menunjukkan komitmen Proton untuk benar-benar kembali dan meraih semula kepercayaan pengguna dari lapisan masyarakat yang pelbagai.

Persona dan Iriz diperkenalkan terlebih dahulu pada Februari 2019. Ia tidak hadir tanpa kejutan; kedua-dua model ini diperkenalkan dengan pengurangan harga – sekitar RM4.1k bagi Iriz dan RM5k bagi Persona. Exora menyusul kemudiannya, dengan kemaskini yang tidak terlalu banyak, tetapi turut menerima penurunan harga sekitar RM2.5k – Exora terbaru ini menerima pertambahan kelengkapan seperti head unit GKUI, “Hi Proton” dan capaian 4G.

Hero antara empat model facelift ini tentulah Proton Saga 2019 yang diperkenalkan pada Ogos lalu. Saga turut menerima kebanyakan pembaharuan yang diberikan kepada tiga model sebelumnya itu. Antara sentuhan yang dikongsi ialah gril “Infinite Weave” serta pertambahan kelengkapan yang lebih baik. Tambah menarik, harganya berkurangan sekitar RM2k. Penting juga untuk dinyatakan semula, Saga tidak lagi menggunakan transmisi CVT, sebaliknya beralih kepada automatik empat-kelajuan daripada Hyundai dengan pengenalan ini.

Saga serta-merta memberi sumbangan penting kepada angka jualan Proton, mencatatkan sekitar 70% daripada jualan keseluruhan. Sejak pengenalannya pada Ogos itu, 35,000 tempahan telah diterima, dengan jualan mencecah angka 4,000 unit bagi tiga bulan berturut. X70 pula menyumbang 19% daripada jualan keseluruhan – dua model ini membentuk 90% daripada jualan keseluruhan Proton.

Berkaitan jualan keseluruhan, bagi 10 bulan pertama 2019, Proton telah mencatatkan 79,423 unit jualan, membolehkan syarikat itu mengatasi kedudukan Honda yang merekodkan 71,489 unit (Perodua kekal teratas dengan 201,562 unit). Selain itu, juga langkah penting untuk Proton ialah pengenalan identiti korporat baru yang diperkenalkan pada September. Ini merangkumi logo baru, serta slogan Inspiring Connections. X70 CKD 2020 akan menjadi model pertama yang menggunakan logo baru ini.

Apa yang boleh dijangkakan dari Proton untuk tahun 2020? Yang pasti, X70 CKD akan mula berada di bilik pameran pada suku pertama tahun depan. Selain itu, model Proton X50 yang lebih kecil dan menggunakan asas Geely Binyue juga disebut-sebut akan masuk pasaran paling lewat pada suku ketiga tahun depan. Ini kita perlu tunggu dan lihat bila sampai waktunya.

Jenama kereta nasional terbaru dan… kereta terbang?

Lain-lain perkembangan yang tak kalah meraih perhatian ramai ialah pengumuman jenama kereta nasional terbaru negara. Ini mula dicanang dan dibualkan selepas Pakatan Harapan mengambil tampuk pemerintahan negara, dan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun M. Selepas beberapa desas-desus, akhirnya pada Ogos 2019, kerajaan menamapak sebuah syarikat, DreamEdge sebagai pengelola kepada projek berkenaan.

Majlis pengumuman itu diadakan di ibupejabat DreamEdge di Cyberjaya, berserta pelan perancangan bagi projek berkenaan. Yang disebut-sebut sebagai kereta pertama projek itu ialah sebuah “sedan segmen B yang besar” dengan janaan enjin konvensional atau pun hibrid. Daihatsu Japan juga disebut-sebut sebagai rakan atau pembekal teknologi.

Jika mengikut garis masa yang dibentangkan, Ogos lalu sepatutnya model mock-up keupayaan kejuruteraan kereta itu perlu siap; bagaimanapun pihak media tidak mendengar apa-apa perkembangan tentang perkara ini. Prototaip pertama pula ditetapkan untuk ditunjuk atau disiapkan awalnya pada bulan Mac 2020. Namun perkara ini kemudiannya dianjak kepada pertengahan 2020. DreamEdge mensasarkan untuk menjual 3,000 unit kereta sebulan bagi tahun pertama. Adakah kita masih memerlukan kereta nasional yang baru ini?

Seperkara lagi yang tak kurang menariknya ialah pengumuman tentang “kereta terbang” atau sebetulnya dron untuk pengangkutan udara. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof nampak begitu bersungguh-sungguh dengan hal ini. Bagaimanapun, perkembangan yang berlanjutan selepas itu masih tidak meyakinkan ramai warga Malaysia tentang siapa yang akan bertanggungjawab terhadap projek ini.

Prototaip pertamanya didedahkan ketika LIMA ’19 di Langkawi. Dikenali sebagai Vector, ia sebenarnya lebih tepat jika dirujuk sebagai model skala. Dan ketika itu, Aerodyne Group, sebuah syarikat tempatan dengan kepakaran teknologi dron yang terlibat di dalam penyediaan itu. Khabarnya ketika awal pengumuman itu, projek ini perlulah diterajui oleh syarikat tempatan; untuk menggalakkan percambahan teknologi dan industri tempatan.

Alih-alih, dalam perkembangan terakhir tentang dron besar ini, menteri yang sama khabarnya akan melakukan ujian penerbangan unit berkenaan. Selepas itu baru terdedah, yang unit ujian dimaksudkan itu bukanlah prototaip bagi Vector yang dicadang pada awalnya, melainkan unit dari pengeluar China, Ehang 216. Bagaimanapun, ujian penerbangan itu tidak dapat dijalankan kerana tiada permit – walaupun ia dicanangkan oleh seorang menteri.

Harapnya dengan semua perkembangan setahun terakhir ini, kita akan melangkah ke tahun 2020 dengan penuh keyakinan dan perkasa, bukannya ke sebuah daerah utopia yang meragukan.