Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

Kereta rali yang dihasilkan untuk produksi jalan raya, Toyota GR Yaris disahkan akan membuat kemunculan sulungnya di Thailand bulan hadapan. Menurut laporan Headlightmag, Yaris yang dihasilkan untuk asas jentera WRC tersebut akan didedahkan pada Thailand International Motor Expo 2020 di Bangkok, kemudian tempahannya akan mula di buka dan pelanggan akan menerima kereta mereka pada tahun hadapan.

Tidak seperti Toyota 86 dan GR Supra yang dihasilkan bersama pengeluar lain, GR Yaris adalah kereta sport yang dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota selepas 20-tahun. Model ini adalah jentera yang dibangunkan khas menerusi permintaan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team iaitu Tommi Makinen, bagi membolehkan mereka mendapat asas sebuah jentera rali yang lebih kompetitif pada masa hadapan.

Walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama dengan Yaris biasa pasaran Jepun dan Eropah, GR Yaris ini menampilkan lebih banyak ciri tersendiri yang tidak dikongsi dengan Yaris standard, dan memerlukan ia dipasang di fasiliti GR Factory khas terletak di di kilang Motomachi, Toyota City, Jepun.

Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

GR Yaris mungkin berkongsi rekaan lampu hadapan dan belakang yang sama dengan Yaris standard, namun model yang jauh lebih berkuasa ini dihasilkan hanya dalam bentuk badan tiga-pintu yang jauh lebih kuat, berbanding lima pintu pada Yaris biasa.

Dengan badan yang berbeza dan bespoke ini juga membolehkan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Selain itu, GR Yaris juga menerima panel-panel badan yang lebih ringan dan kuat seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium.

Jentera rali jalan raya ini ia dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm – didakwa enjin produksi paling berkuasa dalam kelasnya buat masa sekarang. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan iMT, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four, secara tidak langsung ini adalah model kesinambungan dari jentera-jentera Celica GT-Four Toyota sebelum ini.

Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring dengan klac pelbagai lapisan, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Model paling tinggi GR Yaris RZ dan juga versi yang diberikan Circuit Pack di Eropah turut menerima LSD jenis torsen di gandar hadapan dan belakang. Berbanding model Yaris biasa yang hanya memacu roda hadapan dan disertakan hanya sistem suspensi torsion beam di belakang, gandar untuk sistem GR-Four ini pula bergandingan dengan sistem suspensi bebas dari jenis double wishbone.

Malah sistem brek parkir elektronik pada Yaris biasa turut digantikan dengan brek tangan manual pada GR Yaris ini, dan Toyota turut menghasilkan sistem agar kuasa pada gandar belakang diputuskan ketika brek tersebut ditarik, memudahkan pemandu membuat aksi hand brake turn atau memulakan aksi drift.

Toyota GR Yaris akan tiba Thailand bulan depan!

Toyota GR Yaris ini didedahkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 awal tahun ini, dan mula dijual di Jepun Jun lalu. Ia juga telah dilancarkan di Eropah minggu lalu, dan harga untuk model tertinggi dengan Circuit Pack pada pasaran Jerman adalah 36,740 euros (RM178,800) – lebih kurang dengan harga Honda Civic Type-R FK8 pada pasaran sama.

Tempahan untuk model ini turut sudah dibuka untuk pasaran Australia pada September lalu, dan kesemua 1,000 unit untuk kumpulan pertama sudah pun habis ditempah hanya dalam masa enam hari.

Selepas Thailand, adakah pasaran lain di ASEAN akan menerima GR Yaris ini? Kita di Malaysia mungkin turut akan menerimanya selepas ini – Julai lalu, pengedar Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motor (UMWT) sudah pun menaikkan satu hantaran di laman media sosial mereka, yang mungkin adalah teaser untuk GR Yaris tersebut.

Tambahan pula, UMWT telah pun melantik berberapa pengedar untuk mengoperasikan GR Garage di Malaysia bagi menjual GR Supra yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Fasiliti dah bersedia, memang tak mustahil GR Yaris akan dijual di sini. Harga? dengan trend yang ditunjukkan bahawa model ini dijual pada harga lebih kurang Civic Type R diseluruh dunia, ia mungkin akan dijual pada harga lebih RM300k di sini.

GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required