Suzuki secara rasminya telah kembali semula ke Malaysia, diuruskan oleh Naza Eastern Motor dan telah melancarkan hot-hatch kompak Swift Sport pada April lalu. Dan dengan petunjuk baharu disiarkan di laman Facebook rasmi syarikat tersebut, nampaknya mereka bakal memperkenalkan satu lagi model ikonik, iaitu SUV kompak Suzuki Jimny generasi terkini.

Teaser tersebut dibuat dengan menyiarkan iilustrasi muka hadapan Jimny, bersama kapsyen “hanya satu-satunya…kembali.” Kami sebelum ini sebenarnya sudah menjangkakan bahawa Jimny bakal menjadi model kedua dilancarkan di Malaysia selepas Swift Sport selepas Naza Eastern menyatakan bahawa mereka bakal melancarkan satu lagi “ikon” Suzuki pada separa kedua tahun ini.

Juga sama seperti Swift Sport, Jimny juga dijangka bakal tiba di Malaysia sebagai model yang diimport sepenuhya (CBU), di mana Naza Group sebelum ini telah menyatakan bahawa perniagaan mereka dalam sektor automotif kini akan ditumpukan hanya kepada CBU buat masa sekarang.

SUV off-road sebenar berkenaan juga berkemungkinan mendarat di Malaysia dengan enjin petrol NA K15B 1.5 liter empat silinder berkuasa 102 PS (100 hp) dan tork maksima 130 Nm, sama seperti yang diterima pada pasaran ASEAN lain iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.

Walaupun Jimny generasi baharu ini masih ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan, bagi pasaran Malaysia tidak mustahil ia hanya datang dengan kotak gear empat-kelajuan automatik seperti penawaran yang dibuat pada Swift Sport.

Jimny secara normalnya hanya akan memacu roda belakang, namun ketika berhadapan dengan situasi sukar, pemandu boleh menggunakan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro yang dibekalkan, menampilkan gear 2H, 4H dan nisbah rendah 4L. Untuk pengetahuan anda juga, Di Jepun Jimny masih diklasifikasikan sebagai sebuah Kei-Car dan dijana oleh enjin turbo 660 cc tiga-silinder.

Dengan struktur cukai khas sebagai sebuah Kei-Car, Jimny dijual pada harga 1,611,500 yen (RM61,116) untuk varian tertinggi XG dengan kotak gear 4AT di Jepun. Namun di Indonesia, harga model Sierra dalam varian paling rendah mencecah hampir dua kali ganda iaitu 395.5 rupiah (RM115,669). Hah, agak-agaknya berapa pula harga di Malaysia nanti?