Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

Selepas mula menghasilkan Saga pada tahun lalu, fasiliti pemasangan Proton di Pakistan milik Al-Haj Automotive kini mula menghasilkan pula SUV segmen-C Proton X70 CKD di kilang berkenaan. Unit pertama X70 secara rasminya keluar dari barisan produksi kilang tersebut semalam, disaksikan tetamu-tetamu kehormat yang diketuai oleh duta jenama Proton Pakistan, Shahid Afridi iaitu pemain kriket dan bekas ketua pasukan kriket kebangsaan negara berkenaan.

Ketika dilancarkan di Pakistan pada Disember 2020, X70 yang dibekalkan terus dari kilang Proton Tanjung Malim (CBU) dijual pada harga Rs 4,890,000 (RM116,153) untuk varian Executive AWD dan Rs 5,390,000 (RM 128,030) untuk Premium 2WD. Harga lebih murah untuk model-model CKD yang bakal dipasang di Pakistan juga telah diumumkan pada hari yang sama iaitu bermula Rs 4,690,000 (RM111,402) untuk Executive serta Rs 4,990,000 (RM118,528).

Proton Pakistan juga memberikan waranti selama lima-tahun/150,000, iaitu pengeluar pertama yang menawarkan waranti sedemikian di pasaran tersebut. Berbeza dengan X70 pasaran Malaysia yang dijana oleh enjin 1.8 liter T-GDI, versi pasaran Pakistan ini diberikan enjin lebih kecil 1.5 T-GDI. Ini adalah untuk disesuaikan dengan konfigurasi cukai di negara tersebut, membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.

Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

Enjin 1.5 T-GDI pada X70 pasaran Pakistan ini adalah sama dengan enjin tiga-silinder pada Proton X50 pasaran Malaysia, menghasilkan menjana 176 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia turut digandingkan dengan transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT.

Dari segi penawaran kelengkapan untuk setiap varian, model pasaran Pakistan ini dilihat sama dengan versi pasaran Malaysia. Model Executive hadir dengan ciri seperti lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, upholsteri kulit sintetik dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem infotainmen dengan fungsi “Hi, Proton” dalam bahasa inggeris (hanya untuk infotainmen dan pendingin hawa), kamera 360 darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga rim aloi 18-inci.

Manakala untuk versi Premium, ia diberikan tambahan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, sistem “Hi Proton” untuk kawalan cermin tingkap, penderia kaki untuk pintu tailgate berkuasa, rim aloi 19-inci dan juga ciri seperti varian Premium X di Malaysia iaitu bumbung panaromik.

Model paling tinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan yang memberikan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), cruise control adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem, Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

Untuk warna badan pula, X70 1.5 T-GDI pasaran Pakistan ini diberikan empat pilihan yang sama seperti di Malaysia iaitu Snow White, Armour Silver, Ruby Red dan Space Gray. Tiada pilihan warna Jet Grey dan Cinnamon Brown di sana, tetapi pelanggan di Pakistan menerima satu warna unik iaitu Quartz Black.

Kilang Proton milik Al-Haj Automotive yang terletak di Karachi ini sepatutnya mula beroperasi sebelum berakhir tahun 2020, namun ia hanya beroperasi secara rasmi pada Oktober 2021. Kilang ini dapat direalisasikan menerusi perjanjian yang dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak pada Mac 2019 dengan pelaburan awalan bernilai USD30 juta (sekitar RM125 juta).

Kilang ini dibina di luar kawasan bandar, dijangka mempunyai kapasiti 25,000 unit satu tahun. Pelan asal kilang ini diumumkan pada tahun 2019, dengan pelaburan awal USD30 juta (sekitar RM121.9 juta). Dalam masa tiga tahun pertama, kilang ini dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila operasinya berjalan penuh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required