Selepas pelbagai teaser dibuat dalam helah petunjuk tersembunyi menerusi imej-imej di akaun Instagram Toyota USA, kini satu lagi teaser berkaitan Toyota GR Corolla disiarkan – kali ini ia muncul dalam iklan GR86 untuk pasaran Amerika Syarikat!

Iklan yang dimaksudkan adalah iklan bertajuk “The Focus Group” – yang sebenarnya sambungan dari iklan “The Pitch” untuk GR Supra 2022 sebelum ini. Iklan berkenaan memaparkan bagaimana dua orang dari kumpulan kreatif yang lebih muda ‘berperang idea’ dengan kumpulan korporat yang lebih tua.

Kumpulan muda berkenaan mencadangkan idea-idea yang lebih mengujakan, memaparkan pemandu Formula Drift Fredric Aasbø melakukan pelbagai aksi stunt menggunakan GR86 tersebut, yang nyata menggembirakan “kumpulan sasaran” untuk iklan itu.

Manakala kumpulan korporat yang lebih berusia pula mencadangkan idea-idea bosan seperti memaparkan GR86 dipamerkan di pusat membeli belah, ia boleh diparkir dengan mudah serta menampilkan fungsi kamera undur, yang nyata membosankan penonton.

Namun kumpulan korporat berkenaan memberikan idea terakhir untuk memaparkan barisan kesemua barisan model Gazoo Racing Toyota bergerak dalam formasi-V. Tetapi buat masa sekarang GR hanya ada dua model di Amerika Syarikat iaitu GR Supra dan GR86, sudah tentu formasi-V berkenaan tidak dapat dilakukan.

Dan tiba-tiba, sebuah hatchback misteri muncul diakhir iklan ini – berdasarkan lampu belakang, ia sememangnya sebuah Corolla Hatchback – asas kepada GR Corolla yang disahkan akan dilancarkan di Amerika Syarikat tahun ini, sebagai ganti kepada model homolagasi Kejohanan Rali Dunia (WRC) Toyota GR Yaris yang tidak dibawa ke pasaran berkenaan.

Unit Toyota GR Corolla yang muncul diakhir video berkenaan dilihat masih lagi dibalut dengan pelekat penyamaran celoreng merah-putih-hitam GR, diberikan spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta tampil dengan bunyi ekzos yang garang.

Menerusi teaser yang disiarkan oleh Toyota USA sebelum ini, model berkenaan dibayangkan akan diasaskan dari Corolla Hatchback dengan platform TNGA-C, dan menerima sistem mekanikal yang sama seperti GR Yaris termasuk enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four.

Melalui dokumen dalaman yang tertiris dari pengedar Toyota mengandungi maklumat berkenaan pelancaran produk baharu dan juga acara yang bakal dilangsungkan tahun ini pula, GR Corolla dilihat dijadualkan akan mula dijual di Amerika Syarikat bermula pada bulan Oktober tahun ini.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia tahun lalu.