Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

Toyota Vios generasi keempat sudah pun dilancarkan di beberapa buah negara ASEAN termasuk Thailand, Laos dan terbaharu adalah Indonesia. Model generasi baharu itu dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden berbanding model generasi ketiga yang telah pun mula dijual sejak 2013.

Seperti yang kita tahu, Vios mempunyai kembar hatchbacknya iaitu Yaris. Bagi yang belum mengetahui, Yaris untuk pasaran ASEAN adalah berbeza dengan Yaris yang dijual di Jepun dan juga Eropah. Untuk rantau ini, secara asasnya Yaris merupakan sebuah Vios tanpa ‘punggung’ dan diganti dengan pintu hatch. Jadi bagaimana dengan model generasi baharu ini? Adakah Yaris ASEAN generasi baharu turut akan dihasilkan diasaskan Vios generasi keempat dengan platform DNGA?

Menurut pengarah pemasaran PT Toyota Astra Motor (TAM) Anton Jimmi Suwandy ketika pelancaran Vios 2023 di Indonesia tempoh hari, Yaris generasi baharu pasti akan diperkenalkan selepas ini, namun statusnya sekarang masih di peringkat kajian pasaran.

Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

“Sudah tentu untuk setiap produk, bukan hanya Yaris, kita perlu lihat dahulu tahap jualan dan penerimaannya dalam pasaran. Dan untuk waktu ini, kami muktamadkan untuk melancarkan Vios terlebih dahulu. Jadi untuk Yaris pada waktu ini masih dalam peringkat kajian pasaran sambil kami melihat minat pengguna pada masa hadapan,” kata Anton dalam laporan Autonetmagz.

“Kita tidak akan melupakan Yaris, jadi kita juga akan terus mengkaji berkenaan pasarannya, tapi untuk waktu ini melihat dari pasaran keseluruhan, bukan hanya untuk Indonesia malah pada peringkat global, Vios terlebih dahulu muncul. Ini bukan bermaksud Yaris tidak ada pengganti, yang pasti kami akan terus membuat kajian pasaran berkenaan hal ini,” jelas Anton lagi.

Namun bagi kita di Malaysia, sekiranya Yaris dihasilkan berdasarkan Vios generasi keempat ini nanti, agak menarik untuk dilihat bagaimana UMW Toyota ‘menjarakkan’ penawaran antara Yaris dengan hatchback segmen-B dari jenama tempatan iaitu Perodua. Ini kerana Vios 2023 ini nampaknya menggunakan terus enjin yang sama dengan Perodua Alza dan Myvi facelift 2022 iaitu unit 1.5L 2NR-VE Dual VVT-i.

Toyota Yaris dengan platform DNGA bakal muncul – mungkin bakal jadi kembar kepada Perodua Myvi?

Enjin pada Vios berkenaan ditala bagi menghasilkan 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm – ‘sebiji’ sama dengan angka talaan pada Perodua Alza, dan hanya 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi. Ini berbeza dengan model generasi sebelumnya kerana Vios/Yaris menerima enjin 2NR-FE Dual VVT-i, yang bukan sahaja menghasilkan kuasa lebih tinggi (107 PS/140 Nm), malah blok enjin tersebut adalah diperbuat dari aluminium berbanding blok besi tuang untuk enjin 2NR-VE.

Perincian pada Myvi buat masa sekarang juga tidak kurang hebatnya – sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 pada Myvi adalah hampir sama dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang ditawarkan pada Vios 2023, menawarkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi seperti Kawalan Kekal Lorong (LKC) dan juga cruise control adaptif (ACC). Namun satu perincian yang kurang pada Myvi adalah sistem Low Speed Follow, yang tidak membolehkan ACC digunakan ketika dalam kesesakan trafik.

Perodua Myvi generasi sedia ada ini sudah pun berada sekitar lima tahun dalam pasaran, diperkenalkan sejak penghujung 2017. Jadi tidak mustahil ia akan menerima model generasi baharu mungkin dalam masa 2-3 tahun dari sekarang, dan sudah tentu ia turut bakal dihasilkan dengan platform DNGA seperti dua model terbaharu Perodua iaitu Ativa dan juga Alza 2022.

Untuk pengetahuan anda, fasiliti R&D Perodua di Rawang buat masa sekarang bukan calang-calang – ia adalah jauh lebih lengkap berbanding fasiliti Astra Daihatsu Motor di Indonesia. Pada 2020, Perodua telah mengumumkan fasiliti berkenaan akan menjadi menjadi hab R&D untuk pasaran ASEAN dan bakal membangunkan empat model baharu berdasarkan platform DNGA, bukan sahaja untuk model-model mereka sendiri, malah untuk Daihatsu serta syarikat induknya iaitu Toyota.

Dua model sudahpun didedahkan iaitu kembar Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan kembar Perodua Alza/Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz. Berdasarkan apa yang diumumkan Perodua pada 2020, ada kemungkinan besar Vios 2023 yang sebelum ini dikenali dengan kod projek D92A juga telah mendapat kerjasama pembangunan dengan Perodua.

Persoalannya selepas ini – Toyota dan Perodua kedua-duanya memerlukan hatchback segmen-B generasi baharu yang diasaskan dari platform DNGA, adakah ianya akan dibangunkan berasingan atau di buat bersama? Dengan fakta bahawa Vios dan Myvi kini berkongsi enjin dan sistem keselamatan yang hampir sama, ada kemungkinan Yaris dan Myvi akan menjadi kembar seperti Perodua Alza dan juga Toyota Veloz bukan?

GALERI: Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required