Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

Mitsubishi baru sahaja mendedahkan model konsep baharunya yang diberi nama XFC Concept, prebiu untuk SUV kompak yang bakal diproduksi untuk pasaran ASEAN dan akan mula dijual pada tahun hadapan. Model konsep tersebut akan membuat kemunculan sulungnya di Vietnam Motor Show 2022 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober nanti.

Menurut Mitsubishi, model konsep ini disifatkan sebagai “rakan yang paling sesuai untuk kehidupan yang mengujakan” dan “ia menawarkan rekaan yang berkuasa dan mengkagumkan untuk sebuah SUV, utiliti seperti kemudahan untuk dikendali dan ruang kargo yang cukup, keselesaan termasuk ruang dalaman paling baik dalam kelasnya, serta pengendalian di atas jalan raya yang selamat walaupun pada permukaan lasak atau jalan yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat.”

Untuk rekaan luaran, ia diberikan muka terbaharu Dynamic Shield, menampilkan lampu hadapan berbentuk-L bersama jalur-jalur lampu nyalaan siang LED di bawahnya yang nampak seperti liang udara – kedua-dua lampu berkenaan digabungkan menjadi bentuk-T. Kesemua ruang roda dibentuk seakan flare, manakala garis badannya direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas.

Ia juga menerima kemasan pada tiang-C yang memberikan kesan seakan bumbung terapung, manakala di belakang ia diberikan lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka. XFC Concept turut menerima lampu brek pada spoiler bumbung yang unik kerana diletakkan pada posisi menegak, dan sepasang perumah ekzos pada bawah bampar direka dengan bentuk heksagon dan turut dikelilingi jalur LED.

Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

Bagi rekaan kabin XFC Concept ini pula, ia disasarkan untuk memberikan sudut penglihatan sebelah hadapan. Dapat dilihat ia diberikan dua skrin paparan lebar sebagai paparan instrumen digital dan juga unit infotaimen yang menurut Mitsubishi mampu memberikan informasi seperti sistem navigasi, kondisi permukaan jalan dan lain-lain.

Mitsubishi turut menyatakan bahawa XFC Concept ini diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, di mana mod Wet adalah pertama kali diperkenalkan untuk Mitsubishi yang dihasilkan khas untuk pemanduan di rantau ASEAN – di mana hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa.

“Kami akan melancarkan SUV kompak baharu secara berturut-turut di pasaran ASEAN termasuk Vietnam pada tahun fiskal 2023, [dan] kami merancang untuk menambah varian elektrik kepada barisan untuk dilancarkan di kawasan luar Asean,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

Untuk model produksi sebenar yang akan dihasilkan kelak, Mitsubishi masih belum memberikan sebarang bayangan spesifikasi teknikalnya. Namun ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander.

Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

Model tersebut bakal berhadapan terus dengan SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV dan sebagainya. Rekaan luaran dan dalaman versi produksi untuk SUV segmen-B ini kelak mungkin akan dipengaruhi oleh XFC Concept ini, seperti Xpander yang menerima banyak rekaan dari XM Concept yang didedahkan di Indonesia pada 2016.

Bulan lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.

Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran. Ia sudah tentu berbeza dengan ASX generasi baharu pasaran Eropah kerana Mitsubishi mengesahkan bahawa SUV kompak baharu tersebut direka bagi disesuaikan untuk pemanduan di Asia Tenggara sama seperti Triton, Pajero Sport dan Xpander.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required