Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: GWM Haval H6 HEV 2024 – boleh bersaing dengan lawan dari Jepun, Korea dan Proton X70?

    PANDU UJI: GWM Haval H6 HEV 2024 – boleh bersaing dengan lawan dari Jepun, Korea dan Proton X70?

    Akhir-akhir ini GWM Malaysia nampak agak sibuk dengan sub-jenama EVnya iaitu Ora, dan terbaharu ia turut membawa SUV off-road dengan casis ladder frame, Tank. Dalam perancangannya untuk aktif semula dalam pasaran Malaysia, jenama Haval juga telah di bawa semula ke sini dengan membuka tempahan untuk Haval H6 baru-baru ini.

    Dan sebelum pelancarannya yang bakal dibuat bila-bila masa sahaja dari sekarang (dijadualkan pada suku ke-3 tahun ini), penulis bersama rakan-rakan media yang lain telah diberikan peluang untuk merasai sendiri prestasi SUV ini menerusi satu sesi pandu uji yang bermula dari Pusat 3S GWM USJ menuju ke Desaru, Johor.

    H6 yang diterima untuk pasaran Malaysia ini merupakan model generasi ketiga yang telah diperkenalkan di China sejak 2020. Di sini, H6 hanya ditawarkan dalam varian hibrid (HEV), di mana varian itu membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Mac 2021.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Toyota Australia telah mengumumkan trak pikap bersaiz penuh yang dibina untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Tundra bakal dijual di negara berkenaan pada November ini, sebaik sahaja ia menerima kelulusan dari Toyota Motor Corporation di Jepun.

    Kelulusan yang dimaksudkan tersebut adalah proses kejuruteraan semula ia dibuat bagi mengubah model pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dibuat di Amerika Syarikat kepada versi pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk dijual di Australia.

    Kerja-kerja kejuruteraan ini telah dibuat oleh Walkinshaw Automotive Group, dan model dalam versi RHD tersebut kelak akan diproduksi di fasiliti syarikat tersebut yang terletak di Melbourne, Australia. Toyota juga mengesahkan bahawa ini merupakan kali pertama ia bekerjasama dengan pihak ketiga dalam projek sedemikian.

    “Tundra telah direka semula sepenuhnya oleh jurutera Toyota yang bekerjasama rapat dengan Walkinshaw dan menggunakan banyak bahagian dan komponen daripada model Toyota lain seperti Land Cruiser 300 Series untuk memastikan standard kualiti yang paling tinggi,” kata Naib Presiden Toyota Australia Sean Hanley.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan lulus untuk dijual di Australia bermula November ini

    Untuk permulaan Tundra hanya akan ditawarkan dalam varian kemasan Limited ketika dilancarkan nanti, kemudian akan diikuti oleh varian tertinggi pada suku kedua 2025. Kedua-dua varian berkenaan hanya akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid i-Force Max yang menghasilkan kuasa keseluruhan 437 hp dan tork maksima 790 Nm.

    Ia menggandingkan enjin petrol V35A-FTS 3.5 liter V6 turbo dan juga unit motor elektrik (juga berfungsi sebagai generator) yang diletakkan di antara enjin dan transmisi. Motor generator tersebut menerima kuasa yang dibekalkan oleh bateri hibrid nikel-logam 288-volt yang disimpan di bawah tempat duduk belakang.

    Kuasa dialirkan ke roda menerusi sistem 4WD separa-masa dengan transfer case jenis dual range. Tundra pasaran Australia ini juga disahkan mempunyai kapasiti brek tunda setinggi 4.5 tan.

    Antara perincian standard untuk Toyota Tundra Limited pasaran Australia ini termasuk rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, tempat duduk balutan kulit dengan larasan elektrik, pemanas dan liang pengudaraan, skrin infotainmen 14-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto hubungan wayar, penghawa dingin dua-zon dan pengawal brek treler.

    Manakala varian tertinggi yang belum didedahkan namanya akan diberikan gril hadapan lebih unik, rim aloi kemasan hitam, bahagian belakang dengan serlahan hitam, bumbung panaromik dan juga beberapa perubahan estetika lain.

    Ia juga menerima tingkat taraf bahagian kabin dengan diberikan fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, pemanas dan liang pengudaraan pada tempat duduk belakang, pemanas pada roda stereng, kolum stereng larasan kuasa dan paparan head-up 10.9-inci. Lebih perincian untuk model ini akan diumum hampir pada pelancarannya kelak.

     
     
  • Subaru Outback 2024 dilancar di Malaysia — 2.5L XT turbo dan NA; EyeSight standard; dari RM280k

    Subaru Outback 2024 dilancar di Malaysia — 2.5L XT turbo dan NA; EyeSight standard; dari RM280k

    Model generasi keenam Subaru Outback kini dilancarkan di Malaysia, lima tahun selepas model wagon tinggi ini membuat penampilan globalnya pada April 2019. Malaysia menerima veris pra-facelift bagi model ini, sama seperti yang diberikan untuk pasaran Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Jepun (di sana dikenali dengan nama Legacy Outback).

    Dua varian ditawarkan di sini, dengan yang paling lengkap ialah Outback 2.4 XT Touring EyeSight yang kini sedang dipertontonkan di The Gasket Alley di Petaling Jaya, dari 20-21 September 2024. Dijual dengan harga RM310,390 atas jalan tidak termasuk insurans, ia disertai oleh varian Outback 2.5i-T EyeSight yang dijual dengan harga RM280,390 — RM30,000 lebih murah.

    Seperti nama XT yang digunakan, varian paling tinggi itu menampilkan enjin petrol turbocas FA24F yang turut digunakan untuk WRX. Unit 2.4 liter boxer empat-silinder ini menghasilkan sebanyak 249 PS (246 hp atau 183 kW) dan 350 Nm, dengan kuasa disalurkan ke semua empat rodanya melalui Lineartronic CVT (dengan lapan mod maya) dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive dengan Active Torque Split. Varian XT ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dengan laju maksimum 221 km/j.

    Subaru Outback 2024 dilancar di Malaysia — 2.5L XT turbo dan NA; EyeSight standard; dari RM280k

    Enjin yang sama digunakan untuk 2.5i-T ES, tetapi ia enjin boxer FB25D dari varian berbeza 2.5 liter NA empat-silinder yang menjana 188 PS (185 hp atau 138 kW) dan 245 Nm. Malaysia menjadi satu daripada dua negara ASEAN yang diberikan dua pilihan varian ini selain Filipina. Thailand, Vietnam dan Indonesia semuanya menerima versi enjin NA.

    Seperti model terkini Subaru yang lain, Outback 2024 ini dibangun menggunakan Subaru Global Platform (SGP) yang lebih teguh dan selamat, dinamik dan NVH yang lebih baik. Ia mempunyai ukuran sedikit lebih besar daripada versi lamanya — 4,870 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda 2,745 mm.

    Untuk pemanduan dipermukaan lebih mencabar dan tidak rata, Outback didatangkan dengan jarak tanah 213 mm dan ciri X-Mode yang terdiri daripada pacuan off-road Snow/Dirt, Deep Snow/Mud dan Normal. Ciri Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) juga diberikan standard, memberikan mod pemanduan Sport dan Intelligent.

    Subaru Outback 2024 dilancar di Malaysia — 2.5L XT turbo dan NA; EyeSight standard; dari RM280k

    Rekaan luarannya terdiri daripada rekaan gril bentuk segi heksagon dengan lampu utama LED bersegi dan DRL bentuk C, body caldding hitam serta lampu kabus depan dan belakang. Varian XT diberi kelainan dengan adanya muncung ekzos berkembar, lampu kabus depan denam elemen LED dan lencana di pintu ruang barangan.

    Di dalam, ia mirip rekaan kabin bagi WRX dan Levorg, dengan ciri seperti skrin sentuh infotainmen di tengah bersaiz 11.6-inci menegak. Ciri Apple CarPlay dan Android Auto juga disediakan, disokong oleh sistem bunyi Harman Kardon dengan 11-pembesar suara.

    Ciri lain yang ada termasuk kerusi balutan kulit Nappa, kerusi depan larasan kuasa (10-arah untuk pemandu, 8-arah untuk penumpang), sunroof elektrik, stereng dengan pemanas, kawalan pendingin dua-zon, sistem tanpa kunci dan butang penghidup, penyandar belakang boleh rebah, pintu ruang barangan berkuasa bebas berkendalian tangan serta sistem peninjau pemandu.

    Bagi sistem bantuan pemandu, Outback dilengkapi dengan EyeSight 4.0 yang masih menggunakan dua kamera, tetapi dengan sudut pandangan yang lebih lebar serta dipasang lebih dekat dengan cermin depan. Ini membolehkan fungsi canggih seperti Autonomous Emergency Steering, sementara fungsi sedia ada Adaptive Cruise Control kini ditambah baik dengan ciri ke tengah lorong.

    Lane Departure Warning bertambah baik dengan adanya fungsi Lane Departure Prevention. Fungsi sedia ada dan dikekalkan adalah seperi Pre-Collision Braking (sistem AEB), Subaru Rear Vehicle Detection dan High Beam Assist. Kelengkapan antara dua varian ini juga sangat mirip, dengan yang membezakan adalah sistem janaan kuasa. Outback adalah unit CBU dari Jepun, begitu juga dengan semua model akan datang Subaru di Malaysia kelak.

     
     
  • Leapmotor C10 ditunjuk di Malaysia dalam versi RHD — 218 PS, bateri 69.9 kWh, jarak 420 km WLTP

    Leapmotor C10 ditunjuk di Malaysia dalam versi RHD — 218 PS, bateri 69.9 kWh, jarak 420 km WLTP

    Pertama kali ditunjuk di sini pada Mei lalu, dan kemudian pernah dilihat sedang diuji bulan lalu, Leapmotor C10 kini dipertontonkan secara rasmi di Malaysia. Pengedarnya, Stellantis Malaysia mempamerkan kereta ini versi pemanduan sebelah kanan sebelum pelancarannya yang dijangka diadakan pada Oktober nanti.

    SUV elektrik ini merupakan model pertama Leapmotor (nama Cinanya Ling Pao, dan boleh dilihat logi LP turut digunakan) untuk pasaran Malaysia. Mempunyai ukuran dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,825 mm, SUV dalam segmen D ini akan bersaing dengan model seperti Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro — tetapi hanya hadir dengan lima-tempat duduk sahaja. Dalam kalangan EV, C10 ini akan menjadi pesaing kepada BYD Atto 3 dan juga Proton eMas 7.

    Leapmotor C10 ditunjuk di Malaysia dalam versi RHD — 218 PS, bateri 69.9 kWh, jarak 420 km WLTP

    Spesifikasi bagi model tempatan masih belum didedahkan, tetapi ada beberapa perkara yang sudah disahkan bagi penawarannya di Malaysia. Unit yang ditunjuk ini menggunakan motor tunggal pacuan roda belakang — sama seperti yang ditawarkan di pasaran global, termasuk Australia. Motor berkenaan mempunyai output 218 PS (160 kW).

    Untuk bateri, ia menggunakan jenis lithium iron phosphate (LFP), dengan dua kapasiti sebagai pilihan — 52.9 kWh dan 69.9 kWh. Bagaimanapun di Malaysia, hanya bateri kapasti lebih tinggi itu akan ditawarkan di sini.

    Jarak perjalanan bagi unit spesifikasi global C10 menyatakan 420 km kitaran WLTP boleh dicapai bagi satu cas penuh. Belum ada petunjuk tentang kapasiti pengecas AC dalamannya (11 atau 22 kW), begitu juga belum disahkah kadar maksimum pengecasan DC. Namun laman web Leapmotor menyatakan yang bateri LFP ini boleh dicas dari 30%-80% SoC dalam masa 30 minit menggunakan pengecasan DC.

    Leapmotor C10 ditunjuk di Malaysia dalam versi RHD — 218 PS, bateri 69.9 kWh, jarak 420 km WLTP

    Bagi pasaran Australia, dua varian Leapmotor C10 akan dijual di sana, Style dan Design. Malaysia mungkin akan menerima satu daripadanya iaitu spesifikasi lebih tinggi Design, dengan rim 20-inci (18-inci untuk varian Style), yang pada unit yang ditunjukkan ini diberikan tayar Dunlop e.Sport Maxx bersaiz 245/45.

    Varian Design ini juga menampilkan balutan kerusi kulit silikon Oeko-Tex (yang kalis cecair dan mesra bayi) serta ciri pintu kargo berkuasa, seperti yang dapat dilihat pada unit yang dipertontonkan ini bersama dengan pilihan warna kabin dalamannya.

    Kelengkapan lain yang ditawarkan secara standard bagi Leapmotor C10 ialah skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, dengan tunjuk arah satelit, Wi-Fi, Bluetooth (tiada Apple CarPlay atau Android Auto), dan juga kluster instrumen digital 10.25-inci serta sistem kawalan pendingin dua zon.

    Lain-lain kelengkapan terdiri daripada bumbung kaca tetap panoramik dengan penghadang matahari larasan elektrik, sistem audio dengan 12-pembesar suara, kerusi depan berliang dengan pemanas, pengecas telefon tanpa wayar, lampu ambient dan kad kunci NFC — yang perlu diletak di konsol tengah untuk menghidupkan kenderaan ini.

    Turut diberi petunjuk ialah versi global C10 ini akan menerima suspensi talaan Maserati yang khusus untuk pasaran eksport. Untuk keselamatan, C10 dilengkapi dengan tujuh beg udara, ADAS Tahap 2 dengan 16 fungsi berkaitan (pasaran eksport bagaimanapun tidak akan menerima Lidar seperti di China) serta kamera 360-darjah. Stellantis menjangkakan C10 ini akan menerima penarafan Euro NCAP lima-bintang tidak lama lagi.

    Untuk harga, masih belum ada sebarang petunjuk yang tepat untuk Leapmotor C10. Stellantis Malaysia bagaimanapaun sebelum ini menyatakan yang harganya akan berada dalam lingkungan yang sama dengan kebanyakan EV popular di Malaysia. Ini mungkin merujuk kepada BYD Atto 3 (RM149,800). Apa pun, semuanya akan disahkan ketika pelancarannya nanti.

     
     
  • Chery Omoda 5 facelift – foto awalan didedah, terima bampar, gril hadapan dan rekaan rim aloi baharu

    Chery Omoda 5 facelift – foto awalan didedah, terima bampar, gril hadapan dan rekaan rim aloi baharu

    Selepas dua tahun dalam pasaran, SUV segmen-B Chery Omoda 5 nampaknya bakal masuk ke fasa facelift pertama. Imej awalan model berkenaan telah pun didedahkan oleh Omoda Russia, di mana pada pasaran tersebut model ini dijual bukan dengan logo Chery, tetapi sebagai sub-jenama Omoda dikenali sebagai Omoda C5.

    Hanya satu foto awalannya ditunjukkan, dan ia mendedahkan bahagian hadapan model tersebut. Dapat dilihat ia diberikan bampar baharu yang direka bagi membentuk elemen-X pada bahagian muka, dengan gril pada bahagian bawah direka lebih besar.

    Manakala pada gril utama ia bukan sahaja sedikit kecil, elemen rekaan krom sebelum ini telah diganti dengan elemen rekaan batu permata yang hadir dalam kemasan warna badan. Kluster lampu nyalaan siang yang nipis seperti kening masih lagi kekal sama, tetapi jalur grafik LED di dalamnya kini lebih halus nampak seperti diambil dari versi EVnya iaitu Omoda E5.

    Chery Omoda 5 facelift – foto awalan didedah, terima bampar, gril hadapan dan rekaan rim aloi baharu

    Chery Omoda 5 sedia ada

    Perubahan lain yang boleh dilihat termasuk perapi paling belakang pada tiang-D kini turut menerima warna badan berbanding hitam berkilat sebelum ini, dan rim aloinya juga kini menerima rekaan baharu.

    Dikhabarkan model facelift ini masih menerima kelengkapan mekanikal yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit rangkaian kuasa dengan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 147 PS dan tork maksima 230 Nm digandingkan bersama kotak gear CVT.

    Bagi pasaran luar Malaysia Omoda 5 juga sebenarnya sudah diperkenalkan dalam varian GT yang bukan sahaja menerima a enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS/290 Nm dan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, malah sistem suspensi torsion beam di belakang juga diganti dengan sistem multilink.

    Chery Omoda 5 facelift – foto awalan didedah, terima bampar, gril hadapan dan rekaan rim aloi baharu

    Chery Omoda 5 sedia ada

    Chery Malaysia turut bakal mengasingkan model Omoda menjadi sub-jenama yang berdiri sendiri selepas ini. Kalau mengikut strategi eksport Chery di pasaran lain, Omoda dan Jaecoo kini dijadikan satu entiti di bawah jaringan pengedaran sama dikenali sebagai O&J.

    Ini kerana untuk teaser Omoda C9 untuk pasaran Malaysia yang disiarkan baru-baru ini, ia dibuat oleh laman-laman sosial Jaecoo Malaysia dan juga Omoda Malaysia yang baru diwujudkan. Sekiranya strategi O&J ini berlangsung di Malaysia kelak, Omoda C9 tersebut bakal dilancarkan dan dijual dalam bilik pameran yang sama dengan Jaecoo.

    Dan tidak mustahil sekiranya model facelift Omoda 5 ini tiba di Malaysia, ia turut akan dijual menerusi jaringan O&J ini dengan nama Omoda C5. Namun untuk model sedia ada, Omoda 5 dan Omoda E5 masih lagi dijual menerusi jaringan pengedaran Chery Malaysia.

     
     
  • Proton X90 — 20 unit disediakan sebagai kenderaan bagi peserta acara WCEC ke-17 di KL, 9-11 Sept

    Proton X90 — 20 unit disediakan sebagai kenderaan bagi peserta acara WCEC ke-17 di KL, 9-11 Sept

    Awal bulan ini, Proton menyediakan 20 unit Proton X90 Flagship bagi Persidangan Usahawan Cina Sedunia ke-17 (WCEC) sebagai kenderaan digunakan oleh tetamu dan peserta, terutamanya tetamu luar negara, pengurusan tertinggi serta pelbagai ahli perniagaan ketika acara itu berlangsung di Pusat Persidangan KLCC dari 9-11 September lalu.

    Kenderaan yang dipinjamkan itu bertujuan untuk mengangkut peserta dalam keadaan selesa sepanjang acara yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).

    Selesai acara WCEC tersebut, X90 turut digunakan untuk mengangkut rombongan yang diketuai oleh Naib Presiden, Persatuan Cina Luar Negara, Cheng Hong dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kongres Rakyat Wilayah Sichuan, Wang Yanfei ke Melaka untuk melawat beberapa kawasan pelancongan.

    “Dengan menyediakan 20 unit X90 untuk acara ini, kami mempamerkan komitmen untuk kecemerlangan serta memupuk hubungan ekonomi yang lebih kukuh melangkaui sempadan negara. Usaha ini mewakili kesungguhan kami untuk membangunkan masa depan bersama dan mengukuhkan kerjasama global dalam industri automotif,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.

    Acara berkenaan dihadiri oleh 4,000 peserta dari China, America, Middle East, Africa dan Eropah dijangka bakal menyaksikan peluang perniagaan bernilai RM2 bilion tercipta, terutamanya melalui padanan perniagaan serta misi pasca-persidangan yang akan mempamerkan potensi pelaburan negara ini kepada khalayak dunia.

     
     
  • SAIC Maxus eTerron 9 tiba di Eropah – trak pikap elektrik dengan kuasa 442 PS, jarak gerak 430 km

    SAIC Maxus eTerron 9 tiba di Eropah – trak pikap elektrik dengan kuasa 442 PS, jarak gerak 430 km

    Maxus, satu jenama di bawah pengeluar kenderaan China, SAIC, memperkenalkan sebuah trak pikap elektrik baru untuk pasaran Eropah, dipanggil eTerron 9. Dikatakan sebagai “trak pikap elektrik 4×4 pertama di Eropah yang dibina atas platform elektrik khas, eTerron 9 ini akan mula dijual suku keempat tahun ini di benua itu, dengan harganya akan diumum kemudian.

    Di China, trak ini dipanggil sebagai Interstellar X, dan ia mencatat ukuran panjang 5,500 mm, lebar 2,005 mm, tinggi 1,860 mm dan jarak roda 3,300 mm. Sebagai perbandingan, ini menjadikan ia 140 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger dan 175 mm lebih panjang berbanding Toyota Hilux.

    Daripada aspek rekaan, SAIC memberitahu, trak ini menerapkan konsep penampilan baru kenderaan elektrik mereka, dengan DRL berbentuk C yang disambungkan dengan jalur lampu, serta tulisan Maxus besar di tengah. Kemudiannya terdapat kemasan plastik di keliling lengkuk roda serta penutup bahagian barangan belakang bukaan kuasa.

    Selain daripada itu, pembahagi antara tempat duduk belakang dengan ruang barangan juga boleh dibuka, membenarkan pengguna memasukkan barang panjang sehingga 2,400 mm. Di hadapan pula, ruang barangan (frunk) yang disediakan berkapasiti 236 liter.

    Masuk ke dalam, anda boleh melihat kemasan kulit dua tona bersama dua skrin TFT lebar untuk panel instrumen dan sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai konsol tengah seakan terapung, roda stereng dua cabang serta kemasan metalik di beberapa tempat.

    Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik dan datang dengan liang udara serta fungsi mengurut, sementara tempat duduk di sebelahnya boleh dilipat hampir rata untuk memberi ruang baring sehingga 1,700 mm. Tempat meletak barang juga ada banyak, sehingga 20 di sekeliling kereta.

    SAIC Maxus eTerron 9 tiba di Eropah – trak pikap elektrik dengan kuasa 442 PS, jarak gerak 430 km

    Menggerakkan trak ini adalah pek bateri ‘Tetris’ 102 kWh yang mampu memberikan jarak sehingga 430 km mengikut standard WLTP. Bateri ini boleh dicas menggunakan sumber DC sehingga 115 kW, dan menaikkan tahap bateri 20-80% dalam masa 40 minit. Turut disediakan adalah soket kuasa yang boleh mengeluarkan 2.2 atau 6.6 kW.

    Tenaga daripada bateri itu disampaikan kepada sepasang motor elektrik – yang terletak di setiap gandar – memberikan kuasa keseluruhan 442 PS (436 hp atau 325 kW), membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Menurut SAIC, trak ini boleh menunda sehingga 3.5 tan dan membawa berat sehingga 620 kg.

    Pemandu juga disediakan dengan ATS (All-Terrain System) serta enam mod pemanduan, termasuk pilihan yang boleh diubah. Turut diberitahu, trak ini menggunakan rekaan badan semi-monocoque dengan ciri keselamatan dan ketahanan yang dipertingkat, dan datang dengan suspensi udara boleh laras.

     
     
  • Curi kabel di laluan motosikal – lampu terowong terganggu, penunggang diminta berhati-hati

    Pengguna laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan Kuala Lumpur pastinya tahu, antara masalah utama laluan tersebut adalah keadaan gelap apabila malam, dan boleh menjadi satu ancaman kepada penunggang.

    Jabatan Kerja Raya (JKR) cuba memperbaiki keadaan ini, tetapi nampaknya ia dibantutkan oleh penyangak. Satu muatan yang dinaikkan oleh laman Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR dalam Facebook menunjukkan satu kes pencurian kabel berlaku di terowong di bawah persimpangan Batu Tiga hala ke Klang.

    Bukan sikit, tetapi kata muatan tersebut, ‘habis licin’ semua kabel bawah tanah untuk lampu jalan menghala ke terowong tersebut dan di dalam terowong itu sendiri. Walaubagaimanapun, pasukan CKE menyatakan, mereka akan cuba untuk mengaktifkan lampu terowong terlebih dahulu.

    Muatan tersebut turut menyatakan keluhan kerana peruntukan untuk senggaraan susah untuk diterima, dan sekarang mereka perlu dapatkan peruntukan baru pula lagi untuk membuat kerja pembaikan.

    Penunggang motosikal yang melalui kawasan ini diminta berhati-hati kerana melalui gambar yang dimuat naik, kita dapat melihat terdapat serpihan konkrit dan tanah yang dikorek memasuki bahagian jalan, boleh membahayakan penunggang.

     
     
  • JPJ tambah dua lokasi baharu bagi pemasangan tag RFID untk VEP kenderaan milik warga Singapura

    JPJ tambah dua lokasi baharu bagi pemasangan tag RFID untk VEP kenderaan milik warga Singapura

    Bagi kelancaran urusan pemilik kenderaan Singapura yang mahu memasang tag RFID permit kemasukan kenderaan (VEP), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewujudkan dua lokasi fasiliti tambahan bagi tujuan tersebut bermula Ahad ini, 22 September 2024.

    Menurut JPJ, lokasi fasiliti berkenaan ialah di JPJ Negeri Johor yang bertempat di Kompleks JPJ, Taman Daya, JB yang menyediakan kapasiti sebanyak 800 kenderaan untuk memasang tag berkenaan. Selain itu, fasiliti yang sama turut disediakan di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Selatan yang terletak di Jalan Kebun Teh Lama, Larkin, yang mampu memasang tag untuk 400 kenderaan sehari.

    “Pada masa ini, lokasi pemasangan tag RFID VEP adalah di VEP Collection Centre (VCC), Danga Bay, Johor Bahru dengan kapasiti hanya 300 kenderaan sehari sahaja. Pertambahan dua lokasi baharu ini berupaya untuk meningkatkan lagi jumlah pemasangan tag tersebut kepada 1,500 kapasiti sehari.

    JPJ tambah dua lokasi baharu bagi pemasangan tag RFID untk VEP kenderaan milik warga Singapura

    “Usaha ini adalah untuk memudahkan pemasangan tag RFID VEP ke atas kenderaan warga Singapura yang telah membuat pendaftaran VEP secara dalam talian dan dibantu oleh pegawai-pegawai di lokasi tersebut,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Mulai 1 Oktober tahun ini, kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, yang akan digunakan untuk pembayaran tol serta caj RM20 setiap caj kemasukan. Mereka yang ditangkap tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabit kesalahan.

    VEP bertindak seperti “kad pengenalan” untuk kenderaan yang memasuki Malaysia dan akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan kesalahan trafik. Pemandu kenderaan Singapura digesa menyelesaikan saman trafik tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia, di mana JPJ akan mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 Januari 2025.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Ogos 2024 turun 2%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Ogos 2024 turun 2%

    Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 71,162 unit kenderaan telah dihantar kepada para pelanggan pada bulan Ogos 2024. Walau bagaimana pun, angka tersebut dilihat kurang berbanding jualan yang dicatatkan pada Julai 2024 yang mencecah 71,730 unit atau 0.8% dari aspek peratusan.

    Bagi data tahunan pula, jumlah kenderaan yang terjual pada Ogos 2024 pula adalah kurang 2% berbanding 72,844 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala jumlah keseluruhan tahunan setakat ini (YTD) mencatatkan rekod sebanyak 533,301 unit, hampir 6% lebih tinggi berbanding tempoh Januari-Ogos yang sama tahun lepas, yang menyaksikan 503,783 penghantaran.

    Bagi produksi kenderaan pula, sebanyak 73,966 unit telah dikeluarkan di kilang pemasangan untuk sepanjang Ogos 2024, di mana ia lebih 9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Manakala bagi YTD pula, untuk lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 536,313 unit telah dikeluarkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Tidak seperti laporan sebelumnya untuk Julai 2024, MAA ada menyebut ramalan tentang jualan yang akan berlaku untuk bulan September 2024. Pada Julai tahun ini, persatuan itu menyemak semula ramalan untuk tahun ini sepenuhnya dengan meningkatkan sasaran sebanyak 765,000 unit berbanding perancangan asal 740,000 unit. Berdasarkan angka YTD setakat ini, kita telah pun mencapai lebih kurang 70& dengan berbaki empat bulan lagi sebelum 2024 melabuhkan tirainya.

     
     
  • Mitsubishi Xpander masih guna kotak gear 4AT di Malaysia kerana ia lebih tahan lasak, respon lebih baik

    Mitsubishi Xpander masih guna kotak gear 4AT di Malaysia kerana ia lebih tahan lasak, respon lebih baik

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 sudah pun dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan hari ini. Dan seperti yang diketahui, model pasaran Malaysia ini menerima peningkatan yang sama dari segi rupa sama seperti pasaran lain, bersama penambahan beberapa perincian lebih baik.

    Namun, ada satu perubahan yang diterima pada pasaran luar tetapi tidak diberikan di Malaysia iaitu transmisi – Xpander facelift untuk pasaran lain sudahpun diberikan kotak gear CVT, tetapi model pasaran Malaysia ini masih kekal menggunakan transmisi automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Dalam sesi temu bual bersama media selepas majlis pelancaran yang berlangsung pagi tadi, kami sempat bertanya kepada CEO Mitsubishi Motors Malaysia Shinya Ikeda berkenaan perkara ini, dan beliau memberitahu bahawa faktor kebolehpercayaan, ketahanan dan juga respon pemanduan yang diberikan merupakan aspek yang diambil kira bagi mengekalkan kotak gear 4AT tersebut di sini.

    Mitsubishi Xpander masih guna kotak gear 4AT di Malaysia kerana ia lebih tahan lasak, respon lebih baik

    “Kami percaya untuk kategori kenderaan ini, dengan persekitaran ini (keadaan tempatan), kebolehpercayaan dan ketahanan. Kadangkala CVT mungkin tidak memberikan respons yang tajam, tetapi kami sedang mempertimbangkan pengenalan CVT pada masa hadapan,” katanya.

    Walaupun memberikan pengalaman pemanduan yang kurang seronok berbanding 4AT, kotak gear CVT telah terbukti menawarkan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Contoh mudah yang boleh dilihat adalah bagaimana Perodua Myvi generasi ketiga yang menawarkan penjimatan bahan api 5% lebih baik dengan bertukar dari kotak gear 4AT kepada CVT pada model facelift walaupun kekal dengan enjin yang sama.

    Namun faktor kebolehpercayaan pengguna di Malaysia juga perlu diambil kira, dan contoh yang boleh dilihat bagaimana keyakinan pembeli Proton Saga yang semakin meningkat apabila Proton beralih dari kotak gear CVT kepada 4AT pada sedan segmen-A berkenaan.

    Mitsubishi Xpander masih guna kotak gear 4AT di Malaysia kerana ia lebih tahan lasak, respon lebih baik

    Mitsubishi Xpander merupakan MPV bukan nasional paling laris di Malaysia buat masa sekarang, dan MMM dapat menjual secara purata 10,000 unit setahun sejak ia dilancarkan di sini pada lewat 2020. Walaupun ia menerima kelengkapan yang sangat asas kerana pada asalnya menang direka untuk pasaran ‘Low-MPV’ di Indonesia, Xpander jelas memenuhi keperluan untuk pengguna di Malaysia.

    Dengan model facelift ini MMM turut menyasarkan penguasaan lebih besar dalam bahagian pasaran dari 12-13% kepada 14%. Ikeda menyatakan ini adalah didorong dengan keputusan Honda Malaysia untuk menamatkan jualan BR-V, dan saingan Xpander dalam pasaran MPV mampu milik bukan nasional hanyalah Toyota Veloz.

    Mitsubishi Xpander facelift pasaran Malaysia masih mengekalkan enjin 4A91 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm. Ia juga masih ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan menerusi kilang Hicom di Pekan, Pahang, tetapi kini menampilkan dua varian iaitu varian asas dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,980, dan varian Plus berharga RM109,800.

    GALERI: Mitsubishi Xpander Plus 2024

    GALERI: Mitsubishi Xpander 2024

     
     
  • Toyota GR Supra dengan enjin NA V8 5.0 liter bakal gegar Kejohanan Supercar Australia bermula 2026

    Toyota GR Supra dengan enjin NA V8 5.0 liter bakal gegar Kejohanan Supercar Australia bermula 2026

    Toyota Australia mengumumkan bahawa ia bakal bertanding dalam kejohanan touring car ikonik di negara itu iaitu Repco Supercars Championship bermula musim 2026. Dan untuk itu, Toyota telah membuat keputusan untuk memilih kereta sport tertinggi dalam barisan model Gazoo Racing buat masa sekarang iaitu GR Supra sebagai jentera untuk berlumba.

    Kereta lumba tersebut akan direka oleh pasukan pereka Toyota Australia, dan pembangunannya dibuat dengan rakan kerjasama homologasi iaitu Walkinshaw Andretti United (WAU) – pasukan yang sebelum ini sudahpun mencatatkan rekod sebanyak 191 kemenangan, enam juara kategori pemandu dan tujuh kemenangan pada pusingan perlumbaan Bathurst 1000.

    Dan untuk berlumba dalam kategori tertinggi kejohanan ini, kereta lumba GR Supra berkenaan akan dibina berdasarkan undang-undang GEN3 Supercars, bermakna ia perlu dijana oleh enjin V8 NA 5.0 liter.

    Oleh itu Toyota Australia mengumumkan bahawa GR Supra GEN3 Supercars ini akan disumbat dengan enjin V8 empat-aci sesondol 2UR-GSE 5.0 liter NA yang diambil dari perut model produksi seperti Lexus IS 500 F Sport Performance, Lexus LC 500, Lexus GS F dan Lexus RC F.

    Berdasarkan lakaran digital dan juga model skala kecil yang didedahkan, kereta lumba GR Supra GEN3 Supercars ini akan menampilkan banyak inspirasi rekaan dari model konsep asal Supra A90 iaitu Toyota FT-1. Ia termasuk pada bahagian ‘hidung’ dan lekuk pada bonet hadapan. Bentuk badan kereta lumba ini juga kelihatan sedikit berbeza dengan model produksi jalan raya GR Supra.

    Sekurang-kurangnya empat GR Supra GEN3 Supercars akan dihasilkan oleh pasukan tersebut, dan Toyota Australia juga sudah mengesahkan bahawa ia akan dipandu oleh Chaz Mostert dan Ryan Wood. Toyota Australia juga mengumumkan komitmen mereka untuk berlumba sekurang-kurangnya selama lima musim dalam perlumbaan ini.

    Toyota GR Supra dengan enjin NA V8 5.0 liter bakal gegar Kejohanan Supercar Australia bermula 2026

    “Di Toyota, kami telah bermain dengan idea untuk bersaing dalam Supercars selama lebih daripada 20 tahun dan kini dengan kereta yang betul, pasukan yang betul, dan perkongsian yang sangat kuat dengan Kejuaraan Supercars Repco, masanya sudah pasti tepat,” kata naib presiden jualan Toyota Australia, Sean Hanley.

    Repco Supercars Championship sebelum ini terkenal di seluruh dunia dengan nama Kejohanan V8 Supercars Australia, dan ia menjadi medan pertarungan antara dua ikon yang dibangunkan di benua itu iaitu kereta-kereta ‘muscle’ keluaran Holden dan juga Ford Falcon dalam beberapa generasi.

    Ford masih kekal dalam kejohanan ini dengan menggunakan Mustang, sementara jenama Holden yang sudahpun berkubur kini diwakili oleh satu lagi jenama di bawah General Motors iaitu Chevrolet yang kini mempertaruhkan Camaro GEN3 Supercars.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

    Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 yang baru dilancarkan hari ini bukanlah satu-satunya model baru yang akan diperkenalkan tahun ini oleh pengeluarnya. Ketika majlis pelancaran pagi tadi, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Shinya Ikeda mendedahkan, akan ada satu lagi model yang akan diperkenalkan tahun ini, tanpa menyebut model yang mana satu yang dimaksudkannya.

    Bagaimanapun, tidak terlalu sukar untuk meneka model mana yang akan memasuki pasaran tempatan itu — berkemungkinan besar ialah Triton generasi ketiga, yang baru sahaja dilancarkan di Thailand pada Julai tahun lalu, dan kemudian di Indonesia beberapa bulan lalu. Selain itu, Triton juga merupakan model sedia ada dalam pasaran tempatan dan sudah sampai masa untuk memperkenalkan pengganti model tersebut.

    Tambahan pula, MMM sebelum ini pernah memaklumkan yang syarikat itu sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan model baru pikap tersebut sebelum hujung tahun ini. Dua petunjuk ini sudah cukup untuk mengiyakan ramalan tentang Triton.

    Mitsubishi Motors Malaysia akan lancar satu lagi model tahun ini — Triton generasi ketiga bakal tiba

    Belum ada sebarang tarikh diberikan, tetapi ia pasti akan berlangsung dalam suku terakhir tahun ini. Di Thailand, Triton baru ini ditawarkan dalam tiga jenis badan — double-cab, single-cab dan club-cab dengan ruang kargo di belakang kerusi depan. Jenis double-cab tentulah yang paling relevan untuk pasaran tempatan di sini.

    Dari segi saiz, Triton baru ini lebih besar dan menggunakan ladder frame rekaan baru yang mempunyai 65% lebih kawasan silang-seksyen berbanding model semasa, menjadikannya lebih kukuh. Ia juga menggunakan unit janaan kuasa yang baru, unit 4N16 2.4 liter empat-silinder sebaris yang menggantikan unit 4N15, serta lengkap dengan VGT common rail dan intercooler DOHC.

    Pasaran Thailand menerima tiga versi janaan enjin, dengan yang pertama 150 PS (148 hp atau 110 kW) pada 3,500 rpm dan 330 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm. Ini diikuti dengan janaan pertengahan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 3,500 rpm dan 430 Nm dari 2,250 hingga 2,500 rpm, dan yang ketiga adalah yang paling berkuasa, 204 PS (201 hp atau 150 kW) pada 3,500 rpm dan 470 Nm dari 1,500 hingga 2,750 rpm. Indonesia pula menawarkan enam varian (empat double-cab dan dua single-cab), dengan pilihan enjin janaan pertengahan yang sama.

    Triton ini juga akan hadir dengan rekaan dalaman baru dengan banyak penambahbaikan. Kelengkapan yang akan turut ada ialah kawalan pendingin dua zon, pengecas telefon tanpa wayar, paparan kluster instrumen pemandu dengan paparan LCD tujuh-inci pelbagai maklumat dan balutan kulit.

    Bagi aspek keselamatan, ciri seperti Forward Collision Mitigation (AEB), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang ada sebelum ini dikekalkan, dengan tambahan ciri Adaptive Cruise Control untuk model terbaru ini.

     
     
  • Mitsubishi pertimbang bawa Xpander Hybrid & Cross, kotak gear CVT ke Malaysia pada masa akan datang

    Mitsubishi pertimbang bawa Xpander Hybrid & Cross, kotak gear CVT ke Malaysia pada masa akan datang

    Selepas melancarkan model facelift untuk Mitsubishi Xpander hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sedang mempertimbangkan untuk membawa pula dua lagi varian MPV berkenaan ke pasaran tempatan iaitu Xpander dengan unit rangkaian kuasa hibrid iaitu Xpander HEV dan juga Xpander Cross, iaitu versi dengan gaya lebih lasak seakan sebuah SUV.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh CEO syarikat tersebut, Shinya Ikeda dalam sesi soal jawab bersama media sebentar tadi. Kedua-dua variasi model berkenaan kini sudahpun diperkenalkan pada pasaran negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

    Bagi Xpander Hybrid, ia menerima sistem hibrid e:Motion, menampilkan enjin petrol 4A92 1.6 liter empat silinder kitaran Atkinson berkuasa 95 PS dan tork 134 Nm, yang kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid litium ion.

    Mitsubishi pertimbang bawa Xpander Hybrid & Cross, kotak gear CVT ke Malaysia pada masa akan datang

    Manakala roda hadapan Xpander Hybrid ini digerakkan terus dengan motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm, namun dalam situasi tertentu seperti pada kelajuan lebih tinggi, motor dan enjin berkenaan dikunci menggunakan klac bagi bersama-sama untuk memacu roda hadapan.

    Di Thailand unit rangkaian kuasa ini hibrid ini bukan hanya ditawarkan pada Xander biasa, malah turut hadir dalam versi Xpander Cross. Model Cross tersebut pula menampilkan kit seperti skid plate pada bampar hadapan dan belakang, pelindung-pelindung sekeliling badan dan juga rel bumbung bagi memberikan imej sebuah kenderaan off-road.

    Dalam sesi soal jawab yang sama, Ikeda turut mendedahkan bahawa MMM juga sedang mempertimbangkan untuk menukar kotak gear 4AT yang masih digunakan pada Xpander facelift pasaran Malaysia yang baru dilancarkan ini kepada transmisi CVT, sama seperti Xpander di pasaran lain.

    Buat masa sekarang model-model Xpander bukan hibrid pada pasaran luar Malaysia masih lagi menggunakan enjin 4A91 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm. Namun untuk model facelift, hanya pasaran Malaysia yang masih menggunakan kotak gear 4AT konvensional, manakala pasaran lain sudahpun menggunakan kotak gear CVT.

    Mitsubishi Xpander facelift masih ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan menerusi kilang Hicom di Pekan, Pahang. Ia kini menampilkan dua varian iaitu varian asas dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,980, dan varian Plus berharga RM109,800.

    Sekiranya MMM benar-benar memperkenalkan dua varian yang disebut tadi, dengan harga yang sudah tentu lebih tinggi, adakah anda sanggup membeli sebuah MPV segmen-B pada harga lebih RM110k? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.

    GALERI: Mitsubishi Xpander HEV di BIMS 2024

    GALERI: Mitsubishi Xpander Cross HEV di BIMS 2024

     
     
  • Polis Selangor bakal beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 20-21 Sept 2024 di Hotel Wyndham, Klang

    Polis Selangor bakal beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 20-21 Sept 2024 di Hotel Wyndham, Klang

    Kontijen Polis Selangor bakal menawarkan diskaun saman trafik bagi kesalahan terpilih sebanyak 50% pada 20 hingga 21 September 2024 (Jumaat-Sabtu ini) bertempat di Hotel Wyndham, Klang. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar. Selain itu, saman atas kesalahan kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori dan saman ubahsuai ekzos juga tidak layan menikmati tawaran diskaun ini.

    Jadi, jika anda berada di Klang atau daerah sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025