Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 31 jalan ditutup di Klang pada 22 September sempena acara Selangor Police Integrity Marathon 2024

    31 jalan ditutup di Klang pada 22 September sempena acara Selangor Police Integrity Marathon 2024

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan telah mengumumkan terdapat beberapa jalan di sekitar Klang akan ditutup sementara dan dilencongkan pada Ahad ini (22 September) bagi kelancaran acara Selangor Police Integrity Marathon 2024. Acara larian berkenaan akan diadakan di Stadium Sultan Suleiman, Klang bersempena Sambutan Hari Polis Ke-217.

    Menurut Hussein, penutupan jalan berkenaan bermula seawal jam 4 pagi pada hari berkenaan dan berakhir pada 10 pagi atau sebaik sahaja acara tamat sepenuhnya. “Sebanyak 31 jalan dan laluan akan ditutup sepenuhnya atau secara berperingkat bagi menjayakan acara ini, di mana ia melibatkan penyertaan hampir 5,000 peserta yang terdiri daripada warga PDRM Selangor bersama masyarakat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jalan yang ditutup sepenuhnya ialah:

    • Jalan Padang
    • Jalan Istana
    • Jalan Limau
    • Jalan Raja Jumaat
    • Jalan Stesen 2
    • Jalan Pegawai
    • Jalan Tengku Kelana 2

    31 jalan ditutup di Klang pada 22 September sempena acara Selangor Police Integrity Marathon 2024

    Jalan dan laluan yang akan ditutup secara berperingkat:

    • Jalan Istana
    • Jalan Dato Hamzah
    • Jalan Mohet
    • Jalan Tali Air
    • Jalan Taman Istana
    • Bulatan Simpang Lima (menghala Jalan Istana)
    • Persiaran Tengku Ampuan Rahimah (satu lorong)
    • Jalan Sri Siantan
    • Jalan Tun Dr Ismail
    • Jalan Damak
    • Jalan Sungai Jati
    • Jalan Kampung Jawa
    • Jalan Kota Raja
    • Jalan Dato Mohd Sidin
    • Jalan Landasan
    • Jalan Kampung Kuantan
    • Jalan Bukit Kuda
    • Jalan Batu Tiga Lama
    • Jambatan Musaeddin
    • Jalan Tengku Diaudin
    • Jalan Stesen
    • Jalan Besar
    • Jalan Raya Timur
    • Jalan Kota Raja

    Beliau turut berkata, “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelak daripada melalui laluan-laluan yang terlibat dan mencari jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan dan menjamin keselamatan peserta larian. Laluan alternatif yang ada termasuk Jalan Tengku Kelana, Lorong Kota Raja 4, dan Lorong Kota Raja 6. Pengguna jalan raya dinasihati agar mematuhi arahan polis trafik yang bertugas di lokasi”.

     
     
  • Benda Chinchilla 500 diperkenal di China – enjin v-twin 475 cc 52 hp, meter TFT, tiba di Malaysia tahun depan

    Benda Chinchilla 500 diperkenal di China – enjin v-twin 475 cc 52 hp, meter TFT, tiba di Malaysia tahun depan

    Motosikal Benda sudah pun berada di Malaysia sejak Mei lalu, dengan pengenalan dua model pertamanya iaitu Napoleon Bob dan Dark Flag V4. Sekarang melalui maklumat yang kami terima, penawaran produk Benda ini akan bertambah, dan salah satu yang akan tiba ke negara kita tahun depan adalah Chinchilla 500 ini.

    Ia baru sahaja diperkenalkan oleh Benda semasa China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), dan merupakan model naik taraf bagi Chinchilla sebelum ini, dengan membawakan pelbagai peningkatan. Penggeraknya adalah enjin v-twin 52 hp/48 Nm, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta sistem tali sawat untuk memusingkan roda belakang.

    Sebagai sebuah model yang dipertingkat, model ini sekarang dapat mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi, iaitu 150 km/j, sementara berat keseluruhannya juga sudah berkurang tiga kilogram, menjadi 212 kg. Tinggi tempat duduk adalah 705 mm.

    Selain daripada itu, ia juga dijadikan lebih selesa untuk penunggang, dengan ergonomik yang telah diperbaiki serta tempat duduk yang menggunakan rekaan serta bahan baru. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 16 liter.

    Chinchilla 500 ini boleh dianggap sebagai sebuah cruiser yang lebih ringkas daripada Benda, dengan tiada kelengkapan yang rumit seperti suspensi udara atau panel aktif seperti yang berada pada model mereka yang lain. Antara yang tersedia adalah termasuk sistem ABS dan kawalan cengkaman, meter TFT dengan sambungan bluetooth, rim 16 inci serta fork USD di hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2024 dilancarkan di Malaysia – 1.5L dikekal dengan 4AT, dua varian, CKD; dari RM100k

    Mitsubishi Xpander 2024 dilancarkan di Malaysia – 1.5L dikekal dengan 4AT, dua varian, CKD; dari RM100k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun melancarkan model facelift bagi Xpander 2024 pada hari ini. Model pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi dari kilangnya di Pekan, Pahang ini ditawarkan dengan dua varian iaitu Xpander dengan harga bermula RM99,980 dan model spesifikasi tertinggi Xpander Plus pula berharga RM109,980. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Pembeliannya turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dan tanpa had perbatuan.

    MPV tujuh-tempat duduk ini diberikan imej yang diperbaharui dan lebih segar dengan banyak ciri terkini yang ditampilkan. Bermula dengan imej hadapan Dynamic Shield dipadankan bersama lampu utama LED projektor yang lebih besar dengan bentuk-T dan palang krom yang lebih tebal. Lampu utama ini juga ditampilkan lima kluster yang menempatkan lampu LED automatik. Juga tidak ketinggalan, lampu nyalaan siang (DRL) dengan bentuk nipis sekaligus memberikan imej yang nampak lebih agresif.

    Bahagian gril yang menempatkan logo Mitsubishi ditampil lebih ringkas dengan dua jaluran kelabu gelap, sementara gril jaring di bawahnya meliputi kawasan yang lebih besar juga di bahagian bawahnya. Bahagian bawah bamparnya pula turut terletak lampu kabus dengan kemasan perak. Untuk varian Plus, ia menggunakan banyak kemasan perak/krom di bahagian bamparnya bagi membezakannya dengan varian asas yang lebih banyak diberikan kemasan dan perincian hitam.

    Mitsubishi Xpander 2024 dilancarkan di Malaysia – 1.5L dikekal dengan 4AT, dua varian, CKD; dari RM100k

    Bahagian sisinya turut diperbaharui dengan menampilkan roda aloi dua-tona gaya-blade 17-inci baharu dibaluti tayar 255/55 dan kemasan warna perak yang ditampilkan pada bahagian bawah pintu.

    Di belakangnya pula, diberikan spoiler yang lebih besar, diserlahkan lagi dengan bampar belakang rekaan baharu yang lebih bersudut bersama reflektor menegak, selain rekaan lampu belakang yang baharu yang lebih kemas dalam perumah gelap.

    Bukan sahaja menampilkan imej luaran yang diperbaharui, malah Xpander 2024 ini juga ditambah ketinggiannya dari tanah sebanyak 20 mm, berbanding model sebelum ini, kini dengan jarak dari permukaan tanah mencecah 225 mm. Jika dibandingkan dengan model pesaingnya yang lain, Xpander mempunyai kelebihan 5 mm berbanding Perodua Aruz. Bagi Toyota Veloz dan Perodua Alza pula, masing-masing mempunyai ketinggian 190 mm dan 160 mm, ini bermakna Xpander mempunyai kelebihan sekitar 65 mm bagi ketinggian dari permukaan tanah (ground clearance).

    Selain itu, ukuran dimensi lain masih dikekalkan iaitu 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar, 1,730 mm tinggi serta jarak roda 2,775 mm. Sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan sepenuhnya, kapasiti ruang penyimpanan barang di belakang menjadi 495 liter, dan mampu mencecah hingga 837 liter jika ditambah dengan tempat duduk barisan kedua yang turut dibaringkan.

    Untuk bahagian kabinnya juga diberikan beberapa ciri yang dinaiktaraf, termasuk menampilkan imej papan pemuka yang diberikan rekaan baharu walau pun masih ringkas sahaja susunan komponennya. Bukan itu sahaja, ciri baharu lain termasuklah kini diberikan kawalan suhu digital, pengecas tanpa wayar, dan brek parkir elektroik (EPB) dengan fungsi penahan automatik bagi menggantikan brek tangan yang digunakan sebelum ini. Selain itu balutan kulit dengan rona coklat menjadi kemasan untuk bahagian pintu, perehat tangan pada tempat duduk barisan kedua dan juga papan pemuka.

    Kelengkapan standard lain untuk bahagian kabin termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan pelbagai-info 4.2-inci (antara dua dail analog), empat port USB (dua unit USB-A dan USB-C di hadapan, dua lagi di belakang), corong pendingin hawa dengan kawalan untuk penumpang barisan kedua, tiga soket 12V (hadapan, konsol tengah, barisan ketiga) dan roda stereng tilt/telescopic dengan butang kawalan audio/cruise. Manakala unit utamanya terdiri daripada skrin sesentuh 9.0-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto, kamera undur dan kamera 360-darjah.

    Mitsubishi Xpander 2024 dilancarkan di Malaysia – 1.5L dikekal dengan 4AT, dua varian, CKD; dari RM100k

    Walau pun imej luaran dan bahagian dalamnya ada peningkatan, namun untuk aspek mekanikal Xpander 2024 ini tidak banyak yang berubah. Ia menggunakan penjana kuasa 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder MIVEC DOHC dengan hamburan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat-kelajuan (4AT) yang lama, walaupun versi facelift ini di pasaran negara Asean lain telah ditawarkan dengan CVT.

    Bagi suspensi pula, ia diberikan topang MacPherson dengan palang penstabil di hadapan, dan torsion beam di belakang. Untuk brek pula ia menggunakan jenis cakera berliang di depan dan brek dram di belakang.

    Manakala bagi aspek keselamatan, Xpander 2024 ini masih dilengkapi dua beg udara, ABS, Isofix, EBD, bantuan mula mendaki (HSA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC) dengan Kawalan Cengkaman (TC), Sistem Bantuan Brek (BAS) dan sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS). Ternyata belum ada ‘nasib’ untuk Xpander 2024 pasaran Malaysia menerima sistem ADAS yang terdiri daripada AEB, amaran penukaran lorong dan sebagainya.

    Walau bagaimana pun, untuk varian tertinggi Xpander Plus diberi ciri tambahan iaitu kamera tinjauan sekeliling (varian asas hanya diberikan kamera undur), perakam video digital DVR depan dan belakang, serta penderia undur.

    Untuk warna luarannya, selain merah yang dianggap sebagai hero color, pilihan lain termasuklah
    Diamond Black Mica, rona baharu Graphite Gray (seperti unit di dalam galeri foto di bawah) dan jika mahu Quartz White Pearl akan dikenakan kos tambahan sebanyak RM300.

    Ketika tempahannya mula dibuka, Mitsubishi Malaysia menawarkan Naturehike Camping Wagon bernilai RM400 secara percuma kepada 500 pelanggan terawal yang mendaftar secara dalam talian melalui Mitsubishi Online Showroom. Sekali lagi, Xpander 2024 ditawarkan dengan dua varian iaitu Xpander yang ditetapkan pada harga atas jalan RM99,980 dan model spesifikasi tertinggi Xpander Plus pula berharga RM109,980.

    Mampukah Xpander 2024 mengekalkan rekod sebagai MPV bukan-nasional yang terlaris di Malaysia dalam tiga tahun berturut-turut? Adakah dengan imej yang lebih segar dan menarik serta menampilkan pelbagai ciri yang dinaiktaraf ini mampu dijadikan taruhan untuknya kekal cemerlang dalam jualan yang sebelum ini mencecah lebih 40,000 unit sejak pertama kali dilancarkan pada tahun 2020?

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

    Mitsubishi Xpander 2024

     
     
  • Jentera F1 Mercedes W15 E guna livery khas rai ulangtahun ke-50 Petronas di GP Singapura minggu ini

    Jentera F1 Mercedes W15 E guna livery khas rai ulangtahun ke-50 Petronas di GP Singapura minggu ini

    Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas bakal menampilkan grafik badan istimewa pada jentera lumba W15 E Performance dalam perlumbaan Grand Prix Singapura hujung minggu ini, bagi meraikan ulangtahun ke-50 penaja utamanya iaitu syarikat petroleum nasional Malaysia, Petronas.

    Livery perlumbaan berkenaan menampilkan warna rasmi Petronas iaitu Hijau Emerald bagi menggantikan warna Perak ikonik jentera lumba Mercedes bermula dari ‘muncung’ kereta tersebut sehingga ke bahagian pod sisi di mana terletaknya skrip Petronas.

    Juga terdapat logo Pertronas dengan grafik sambutan 50 tahun syarikat itu diletakkan pada kereta lumba ini seperti pada bahagian hadapan dan juga di bahagian bawah panel sisi sayap belakang.

    Jentera F1 Mercedes W15 E guna livery khas rai ulangtahun ke-50 Petronas di GP Singapura minggu ini

    Petronas menjadi penaja utama untuk Mercedes-AMG selepas pasukan itu mula berlumba semula dalam Formula 1 pada 2010. Kerjasama berkenaan membawa kepada kejayaan besar di mana pasukan Mercedes-AMG Petronas berjaya merangkul tujuh gelaran juara dunia untuk pemandu dan lapan gelaran juara pengeluar ketika era hibrid F1 dari 2014 hingga 2021. Manakala untuk jentera W15 E sedia ada, ia sudahpun memenangi tiga perlumbaan dalam kejohanan F1 musim ini.

    Dengan perlumbaan yang berlangsung hanya di seberang Tambak Johor, prinsipal pasukan Toto Wolff dan juga kedua-dua pemandu pasukan ini iaitu Lewis Hamilton dan George Russell bakal bertandang ke Malaysia pada minggu hadapan bagi meraikan ulangtahun setengah abad ini.

    “Kami berharap dapat meneruskan hubungan ini untuk tahun-tahun yang akan datang, dan dengan cabaran yang menarik di hadapan seperti pengenalan bahan api mampan pada 2026. Oleh itu, livery ini bukan sahaja untuk menyambut sambutan ulang tahun ke-50 Petronas, tetapi mencerminkan kepentingan Petronas dalam sejarah pasukan kami dan mengenang perjalanan ini bersama-sama,” kata Wolff.

    Jentera F1 Mercedes W15 E guna livery khas rai ulangtahun ke-50 Petronas di GP Singapura minggu ini

    “Sejak saya menyertai pasukan pada 2013, Petronas sentiasa berada di sana setiap langkah. Mereka telah memainkan peranan yang sangat penting dalam kejayaan yang kami nikmati dan telah membantu saya untuk memenangi enam gelaran juara dunia untuk pemandu. Oleh itu, adalah satu keistimewaan untuk meraikan peristiwa penting ini, dan perjalanan kita bersama-sama, pada perlumbaan yang begitu penting,” kata Lewis Hamilton.

    Musim ini merupakan penampilan terakhir untuk Hamilton dalam pasukan Mercedes-AMG sebelum berpindah ke pasukan Ferrari musim hadapan. “Livery ini kelihatan luar biasa. Saya tidak sabar untuk melihatnya di dalam kereta di garaj esok dan kemudian untuk berada dikokpit pemandu pada hari Jumaat,” tambahnya lagi.

    “Sebagai rakan kongsi utama dan teknikal, Petronas adalah penting untuk semua yang kami lakukan di litar. Hebat untuk menyedari kepentingan hubungan ini pada perlumbaan yang paling dekat dengan tempot asalnya,” kata George Russell pula.

    “Saya juga tidak sabar untuk ke Malaysia minggu depan untuk meneruskan sambutan. Ia sentiasa hebat untuk melawat Menara Petronas di Kuala Lumpur dan bertemu dengan ramai orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat sejak 50 tahun yang lalu dan akan terus melakukannya hingga 50 tahun akan datang,” tambahnya lagi,

     
     
  • SUV Omoda C9 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi; bakal jadi sub-jenama Chery, dijual bersama Jaecoo?

    SUV Omoda C9 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi; bakal jadi sub-jenama Chery, dijual bersama Jaecoo?

    Akaun Instagram Jaecoo Malaysia telah berkongsi satu foto teaser sebuah SUV dengan bahagian belakang yang landai. Dan dengan logo Omoda di letak pada bucu atas kanan hantaran foto berkenaan, adalah jelas SUV itu adalah model Omoda C9. Foto tersebut bukan hanya dikongsi oleh akaun Jaecoo Malaysia, malah ia turut disertakan pada akaun Instagram Omoda Malaysia yang baru diwujudkan.

    Nampaknya Chery Malaysia turut bakal mengasingkan model Omoda menjadi sub-jenama yang berdiri sendiri. Dan kalau mengikut strategi eksport Chery di pasaran lain, Omoda dan Jaecoo kini dijadikan satu entiti di bawah jaringan pengedaran sama dikenali sebagai O&J. Malaysia juga nampaknya bakal mengikut strategi tersebut selepas ini.

    Di Malaysia, Jaecoo sememangnya merupakan jenama dengan pengurusan serta jaringan pengedaran dan pusat servis berasingan dari Chery. Sekiranya strategi O&J ini berlangsung di Malaysia kelak, Omoda C9 nampaknya bakal dilancarkan dan dijual dalam bilik pameran yang sama dengan Jaecoo.

    SUV Omoda C9 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi; bakal jadi sub-jenama Chery, dijual bersama Jaecoo?

    Namun kami difahamkan dua model Omoda yang sedia ada telah dijual oleh Chery iaitu Omoda 5 dan versi EVnya iaitu Omoda E5 akan terus dijual oleh Chery Malaysia, bersama barisan model-model Tiggo yang lain.

    Bagi Omoda C9 yang dibayangkan akan dilancarkan tidak lama lagi ini, ia merupakan SUV yang diasaskan dari platform M3X, juga dikenali dengan nama Exeed RX atau Yaoguang di pasaran lain. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,671 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,800 mm.

    Jadi saiz Omoda 9 ini sebenar lebih besar dari Honda CR-V, dan ia berada dalam liga SUV segmen-D seperti Proton X90 serta Chery Tiggo 8 Pro. Walau bagaimanapun Omoda C9 hanya datang dalam konfigurasi lima-empat duduk.

    SUV Omoda C9 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi; bakal jadi sub-jenama Chery, dijual bersama Jaecoo?

    Ia dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan. Berdasarkan spesifikasi Exeed RX pasaran China, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 261 PS dan tork maksima 400 Nm, dan ia turut ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda dan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Juga terdapat Exeed RX dalam varian plug-in hybrid (PHEV) yang menampilkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder turbo, kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) tiga-kelajuan, bersama motor elektrik pada bahagian hadapan serta tambahan motor elektrik pada gandar belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 619 PS dan tork maksima 920 Nm.

    Omoda C9 merupakan salah satu dari model O&J yang dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia sejak Oktober tahun lalu. Dua lagi model adalah Jaecoo J7 dan Jaecoo J8, di mana J7 telah pun dilancarkan sementara J8 sudahpun diprebiu pada awal tahun ini.

    GALERI: Chery Omoda C9 di China

     
     
  • Harga minyak 19-25 September 2024- petrol RON97 dan diesel masing-masing turun enam sen seliter

    Harga minyak 19-25 September 2024- petrol RON97 dan diesel masing-masing turun enam sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa untuk tempoh 19 hingga 25 September 2024, harga runcit bagi diesel di Semenanjung diturunkan lagi sebanyak 6 sen seliter, menjadi RM2.95 seliter. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 juga diturunkan 6 sen seliter, kini menjadi RM3.19 seliter. Namun demikian, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    “Sejak 8 Ogos 2024 sehingga kini, Kerajaan telah menurunkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 40 sen, dan harga runcit RON97 sebanyak 28 sen. Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyesuaikan harga runcit bahan api berdasarkan turun naik pasaran minyak global, sambil menyokong kestabilan harga bagi menjamin kesejahteraan dan kesejahteraan rakyat yang berterusan,” kata MOF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Ford Ranger plug-in hybrid (PHEV) muncul – ganding enjin petrol 2.3L EcoBoost, jarak gerak elektrik 45 km

    Ford Ranger plug-in hybrid (PHEV) muncul – ganding enjin petrol 2.3L EcoBoost, jarak gerak elektrik 45 km

    Selain dari pilihan enjin diesel dan petrol, trak pikap Ford Ranger turut diperkenalkan dalam versi teknologi elektrifikasi – ini dia Ranger plug-in hybrid (PHEV) telahpun membuat kemunculan sulung globalnya di Jerman. Unit rangkaian kuasa PHEV pada trak pikap tersebut menggandingkan enjin petrol turbo empat-silinder sebaris 2.3 liter EcoBoost dengan motor elektrik 75 kW (102 PS), diapit kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari pek bateri 11.8 kWj yang diletakkan pada bahagian tengah kerangka ladder frame trak ini, menawarkan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin petrol dihidupkan sejauh 45 km, berdasarkan kitaran ujian WLTP.

    Bateri berkenaan boleh dicas semula seperti kenderaan elektrik (EV) sebenar menerusi port pengecas yang terletak lebih hadapan berbanding lubang pengisi petrol pada bahagian kiri bed kargo Ranger ini. Ia boleh dicas semula menggunakan penyambung jenis Type 2 dan pengecas AC.

    Ford Ranger plug-in hybrid (PHEV) muncul – ganding enjin petrol 2.3L EcoBoost, jarak gerak elektrik 45 km

    Ford menyatakan bahawa angka kuasa sebenar dan juga spesifikasi Ford Ranger PHEV ini hanya akan didedahkan sebelum ia dilancarkan dalam pasaran, dijadualkan pada 2025 nanti. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyebut bahawa tork untuk unit rangkaian kuasa PHEV tersebut adalah yang paling tinggi ditawarkan untuk versi-versi sedia ada. Buat masa sekarang Ranger dengan tork paling tinggi adalah Raptor dalam versi petrol V6 yang menghasilkan 583 Nm.

    Enjin 2.3L EcoBoost berkenaan sudahpun digunakan pada pelbagai model Ford yang lain, menampilkan talaan-talaan kuasa berbeza. Pada SUV Ford Everest pasaran China misalnya, ia menghasilkan kuasa 275 PS dan tork maksima 455 Nm, manakala pada Ford Mustang generasi ke-tujuh ia menerima talaan 315 hp/475 Nm.

    Jenama Blue Oval itu turut mendakwa Ranger PHEV ini akan memberikan kebolehan yang sama seperti model diesel dan petrol sedia ada. Ia disahkan mempunyai kapasiti menunda sehingga 3,500 kg, kebolehan meredah laluan off-road dengan dilengkapi sistem 4WD dan transfer case jenis dual range serta pengunci differential pada gandar belakang, bersama kebolehan meredah air pada kedalaman 800 mm.

    Ford Ranger plug-in hybrid (PHEV) muncul – ganding enjin petrol 2.3L EcoBoost, jarak gerak elektrik 45 km

    Pemandu akan diberikan empat mod bagi menggunakan sistem elektrifikasi pada Ranger PHEV ini. Untuk mod Auto PHEV, ia menawarkan keseimbangan yang optimal antara prestasi dan keberkesanan bahan api, mod EV Now untuk menggunakan sepenuhnya kuasa elektrik, mod EV Later fokus untuk mengecas bateri bagi membolehkan kuasa elektrik digunakan kemudian, dan mod EV Charge yang mengutamakan pengecasan bateri ketika memandu.

    Satu lagi kelebihan Ranger PHEV ini ialah kuasa dari bateri hibrid turut boleh digunakan untuk memberikan kuasa kepada peralaktan elektrik yang lain, dan anda tidak perlu membawa generator elektrik sekiranya diperlukan. Dengan sistem Pro Power Onboard, ia mampu membekalkan kuasa elektrik sehingga 6.9 kW secara keseluruhan dari soket output 2.3 kW dalam kabin, dan dua lagi soket outlet masing-masing menyediakan kuasa 3.45 kW pada bed belakang.

    Dalam laman sesawang Ford Australia mendedahkan bahawa Ranger PHEV ini akan ditawarkan dalam empat varian di pasaran itu. Varian-varian tersebut adalah PHEV XLT, PHEV Sport, PHEV Wildtrak dan varian tertinggi adalah PHEV Stormtrak.

    Ranger PHEV Stromtrak tersebut akan menerima perincian-perincian seperti rim aloi 18-inci, gril sarang lebah, liang pada fender, set pelekat badan, lampu hadapan LED matriks, sistem rak belakang fleksibel, Pro Trailer Backup Assist dan kamera pemantau 360 darjah. Varian Stromtrak ini juga menerima warna eksklusif Chill Grey dan Agate Black.

    Ford Ranger PHEV ini akan diproduksi di kilang Silveron, Afrika Selatan. Penghantaran bagi pelanggan terawal yang menempahnya dijangka akan bermula tahun hadapan.

    GALERI: Ford Ranger PHEV

     
     
  • Voge RR660S diperkenal di China – enjin empat silinder 663 cc, barangan prestasi, akan masuk M’sia

    Voge RR660S diperkenal di China – enjin empat silinder 663 cc, barangan prestasi, akan masuk M’sia

    Kita di Malaysia mungkin sudah mula kenal dengan jenama Voge, yang membuat penampilan pertama Mei lalu dengan produk pertama mereka di sini, iaitu kapcai dengan bentuk seperti Yamaha Y16ZR, tetapi menggunakan enjin seperti Honda RS150R, dipanggil sebagai Voge FR (Formica Rossa) 150.

    Di pasaran antarabangsa, Voge baru sahaja memperkenalkan model baru, yang dipanggil sebagai RR660S, membawa karekter sebuah motosikal sports, dan dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 663 cc DOHC bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 99.2 hp pada 11,500 rpm dan tork 64 Nm pada 10,000 rpm.

    Model ini masuk ke dalam segmen sportsbike kelas pertengahan dengan membawa aspek prestasi, dilengkapi brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, sistem ABS dan kawalan cengkaman, panel aerodinamik yang berfungsi, quickshifter serta dua mod tunggangan.

    Suspensi bagaimanapun tidak boleh dilaras, melibatkan fork USD 43 mm di hadapan dengan monoshock di belakang, sementara meter TFT yang berada di bahagian kokpit boleh disambung kepada telefon dengan fungsi bluetooth. Kelengkapan lain RR660S ini adalah seperti tangki bahan api 15.5 liter, peletak kaki boleh laras, rim 17 inci dan semua lampu jenis LED. Berat keseluruhannya adalah 215 kg.

    Berita baik untuk penggemar sportsbike di Malaysia, maklumat yang kami terima, Voge RR660S ini juga akan tiba di Malaysia pada tahun hadapan, melalui pengedarnya di sini, MForce Bike Holdings Sdn Bhd. Bagi yang masih belum kenal, Voge ini adalah satu jenama di bawah syarikat Loncin, yang mempunyai hubungan lama dengan BMW dan membekalkan enjin bagi beberapa model jenama Jerman tersebut.

     
     
  • Geely Galaxy Starship 7 didedah — 1.5L plug-in hybrid

    Geely Galaxy Starship 7 didedah — 1.5L <em>plug-in hybrid</em>

    Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China telah mendedahkan perincian bagi model Geely Galaxy Starship 7, yang bakal ditawarkan dengan sistem janaan plug-in hybrid.

    Model ini akan dikuasakan dengan enjin 1.5 liter BHE15-BHF dengan janaan 110 hp, dan disertakan sebuah motor elektrik yang menerima kuasa daripada bateri lithium-iron phosphate (LFP). Menurut Car News China, bateri berkenaan akan dibekalkan sama ada oleh Svolt atau Sunwoda Electronic.

    Geely Galaxy Starship 7 mempunyai ukuran 4,740 mm panjang, 1,905 mm lebar dan 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,755 mm. Untuk rim, dua saiz ditawarkan sebagai pilihan: 18 atau 19-inci, dengan sudut depan dan belakang kenderaan masing-masing 18 dan 20-darjah.

    Spesifikasi model ini seperti yang didedahkan oleh fail kerajaan China menunjukkan yang crossover ini boleh dipilih untuk didatangkan dengan ciri bumbung panoramik, landasan bumbung, pengilap cermin belakang, kemasan skirting sisi, radar belakang dan kamera luar.

    Geely pertama kali menunjukkan Galaxy Starship Concept di Auto China 2024 awal tahu ini, dengan menampilkan pendekatan rekaan moden serta teknologi kepintaran buatan. Model ini dibangun menggunakan Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) oleh Geely sendiri.

    Walaupun versi produksi Galaxy Starship 7 mempunyai lima-tempat duduk, Galaxy Starship Concept pula diberikan rekaan tiga barisan tempat duduk dengan konfigurasi 2-1-2 yang menampilkan kerusi tunggal di barisan kedua dan kerusi panjang untu barisan ketiga. Galaxy Starship Concept dikatakan bakal menampilkan sistem janaan PHEV NordThor generasi baru yang didakwa mampu memberikan jarak lebih 2,000 km.

    Menurut Tycho de Feijter di X/Twitter, Galaxy Starship 7 akan diposisikan di atas Galaxy E5 dan akan dilancarkan di pasaran China pada suku keempat tahun ini. Galaxy E5 merupakan model sama dengan Proton eMas 7 yang ditunjuk di Malaysia sebelum ini, dan dijangka akan mula dijual di sini pada penghujung 2024.

     
     
  • X-Wedge bakal tiba ke Malaysia – motosikal bentuk seperti Harley-Davidson, enjin sehingga 1,979 cc

    X-Wedge bakal tiba ke Malaysia – motosikal bentuk seperti Harley-Davidson, enjin sehingga 1,979 cc

    Pasaran Malaysia akan bertambah meriah dengan pilihan untuk peminat motosikal apabila melalui maklumat yang kami terima, jenama X-Wedge juga akan masuk ke Malaysia tahun hadapan melalui syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd.

    X-Wedge ini memang adalah satu jenama baru, mula membuat kemunculan pada tahun lepas, tetapi mereka yang berada di sebaliknya bukanlah baru dalam industri. Ia adalah satu syarikat kerjasama Kiska (pereka untuk jenama seperti KTM, Husqvarna, CFMoto dan pelbagai lagi), serta Huansong Industrial Group yang sebelum ini merupakan pengeluar barangan enjin aftermarket untuk Harley-Davidson.

    Melalui gambar yang kami sediakan di bawah, anda boleh melihat sendiri, kebanyakan motosikal keluaran X-Wedge ini membawa bukan sekadar konsep, tetapi juga rekaan yang mirip kepada motosikal Harley-Davidson. Selain model cruiser biasa, mereka juga ada mengeluarkan model yang menggunakan tiga tayar (trike), sama ada dengan tetapan dua di hadapan atau dua di belakang.

    Bagi yang mempunyai dua tayar di hadapan, ia mengingatkan kami kepada model Can-Am Spyder, dengan enjinnya menggunakan unit berkapasiti 976 cc dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 80 PS dan 80 Nm. Dipanggil sebagai Walker WR1000, model ini dilihat mempunyai kelengkapan lain seperti meter TFT, gear di tangan, sistem tanpa kunci, kawalan cengkaman dan tangki bahan api 23 liter.

    Melihat pula kepada model tayar dua di belakang yang dipanggil sebagai Vanguard VT2000, ia dikuasakan oleh enjin v-twin 1,979 cc yang mampu menghasilkan tork sehingga 158 Nm dan mencatat berat keseluruhan 505 kg. Sekali dinyatakan, model ini mempunyai bentuk dan rekaan seakan model Harley-Davidson termasuklah bahagian kokpitnya, kemasan enjin, butang-butang kawalan serta penampilan keseluruhan.

    Semasa berkunjung ke kawasan pameran X-Wedge di China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024), kami mendapati ia penuh dengan warga tempatan yang menunjukkan minat dan keterujaan mereka terhadap jenama ini.

    X-Wedge bakal tiba ke Malaysia – motosikal bentuk seperti Harley-Davidson, enjin sehingga 1,979 cc

    Melalui galeri yang kami sediakan di bawah, anda juga boleh melihat ada satu model yang mempunyai tempat duduk tambahan di bahagian tepi atau dipanggil sebagai side car. Model ini bagaimanapun mungkin tidak akan dibawa ke negara kita kerana peraturan untuknya adalah agak ketat.

    Pendapat anda bagaimana? Adakah jenama ini dialu-alukan dalam pasaran kita? Sudah tentu, ia dijangka mempunyai harga yang lebih murah berbanding Harley-Davidson, tetapi memberikan karekter serta penampilan yang sama seperti jenama Amerika Syarikat itu.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan diskaun RM8,000

    Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan diskaun RM8,000

    Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM8,000 menerusi promosi terkini oleh Chery Malaysia. Tawaran diskaun ini sama dengan kadar yang diberikan kepada Omoda 5, tetapi Tiggo 8 Pro ini tidak didatangkan dengan penawaran servis percuma tujuh-tahun.

    Diperkenalkan pada Julai 2023 serentak dengan pelancaran Omoda 5, SUV tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Premium, dijual pada harga atas jalan RM159,800. Tiggo 8 Pro ini juga diberikan ciri standard termasuk lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, serta set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik. Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro

     
     
  • Pengguna Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth elak berhenti di R&R Bagam Ajam susulan ombak besar

    Beberapa hari ini hujan lebat dan ribut melanda negeri di utara tanahair dan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Malahan terdapat juga beberapa kejadian pokok tumbang dan juga ombak besar.

    Seperti di Pulau Pinang, beberapa daerah termasuk di Butterworth dilanda fenomena air pasang besar menyebabkan ombak menghempas kawasan daratan. Termasuklah berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

    Justeru, para pengguna lebuhraya berkenaan dinasihati tidak berhenti di R&R terbabit yang berhadapan dengan laut kerana ombak besar dan keadaan yang tidak selamat. Walau bagaimana pun, R&R Bagan Ajam tidak ditutup kepada pengguna, dan anda masih boleh menggunakan tandas dan surau, namun tolong elak daripada berada berhampiran kawasan rehat.

    Kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di Pulau Pinang & Perlis

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerima hampir 200 aduan pokok tumbang di beberapa lokasi di negeri itu akibat kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari ini. Malam tadi pula, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli melalui satu muat naik di Facebook mengingatkan rakyat negeri tersebut supaya berhati-hati susulan keadaan cuaca yang tidak menentu itu.

    Sila pandu lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini. Kalau ada jalan dinaiki air banjir, tolong jangan selamba redah, dibimbangi keadaan tidak selamat utuk dilalui. Untuk penunggang motosikal, sila berteduh di kawasan yang lebih selamat sekiranya berlaku hujan lebat dan ribut petir.

     
     
  • JPJ Kelantan sita 55 kenderaan dari Thai atas pelbagai kesalahan termasuk tidak patuhi permit antarabangsa

    JPJ Kelantan sita 55 kenderaan dari Thai atas pelbagai kesalahan termasuk tidak patuhi permit antarabangsa

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan telah menyita sebanyak 55 kenderaan dari Thailand dalam sekatan jalan raya sempena Ops Khas ICP secara serentak di tiga lokasi sekitar Rantau Panjang antara 5-16 September 2024. Kenderaan yang disita melibatkan 43 motosikal, tujuh kenderaan pacuan empat roda dan lima kereta.

    Menerusi operasi berkenaan, sebanyak 484 kenderaan diperiksa membabitkan motosikal, kereta, van dan pacuan empat roda dan daripada jumlah tersebut, 104 kenderaan dikenakan tindakan selain 55 kenderaan disita membabitkan tiga kesalahan yang dikesan.

    Kenderaan berkenaan disita kerana melakukan kesalahan termasuk tidak mematuhi peraturan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) di bawah Subseksyen 21(5) APJ 1987 dan di bawah Subkaedah 7(2) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Peredaran Antarabangsa 1967), jika disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah Subseksyen 119(2) tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan. Kesalahan berulang boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, JPJ berkata, kesalahan lain melibatkan memiliki atau menggunakan Kenderaan Motor Asing Yang Tidak Sah Di Sisi Undang-Undang Malaysia sebagaimana dinyatakan di bawah Subseksyen 7(2)(d). Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000.

    Turut dikesan ialah kesalahan Mempamerkan Nombor Pendaftaran Palsu di bawah Subseksyen 108(3)(e) boleh menyebabkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 1 tahun dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

    “Seramai 85 orang pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ Negeri Kelantan termasuk dari lima Stesen Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan telah digerakkan bagi menjayakan operasi pada kali ini dengan mengadakan sekatan jalan raya secara serentak di tiga lokasi sekitar Rantau Panjang.

    “Operasi ini bertujuan menguatkuasakan undang- undang susulan aduan yang diterima mengenai kenderaan dari Thailand yang digunakan di Malaysia tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1957,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna kenderaan Thailand yang melanggar peraturan dan menyita kenderaan mereka. JPJ juga menasihati pemandu warga asing yang ingin memasuki Malaysia supaya mematuhi peraturan dengan memohon Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

     
     
  • Chery Omoda 5 di Malaysia kini ditawarkan pilihan diskaun RM8k atau servis percuma selama tujuh-tahun

    Chery Omoda 5 di Malaysia kini ditawarkan pilihan diskaun RM8k atau servis percuma selama tujuh-tahun

    Setiap pembelian Chery Omoda 5 kini ditawarkan diskaun sebanyak RM8,000 yang termasuk dalam promosi terbaharu dari Chery Malaysia. Ia merupakan salah satu pilihan sama ada rebat tersebut atau pun 100% servis percuma selama lapan-tahun. Dengan menyebut 100%, tawaran ini sepatutnya termasuk alat ganti dan kos buruh, apa pun kena dapatkan pengesahan daripada wakil pengedar.

    Dilancarkan pada Julai tahun lalu, SUV ini hadir hanya dalam dua varian, dijual pada harga bermula RM108,800 untuk varian asas Omada 5 C dan RM118,800 untuk varian tertinggi Omoda 5 H.

    Ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter dengan pengecas turbo. Unit empat-silinder berkenaan menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik yang diberikan sembilan-kelajuan maya.

    Chery Omoda 5 di Malaysia kini ditawarkan pilihan diskaun RM8k atau servis percuma selama tujuh-tahun

    Bersaing dengan dua SUV segmen-B yang menguasai pasaran Malaysia sekarang iaitu Proton X50 dan Honda HR-V, Omoda 5 memiliki ukuran dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,585 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,630 mm.

    Pada Jun lalu, X50 RC dilancarkan, dengan imej yang masih sama, tetapi lebih banyak kelengkapan ditampilkan dan diberikan diskaun sebanyak RM7,000 ketika pelancarannya. Malahan pada bulan lalu, X70 2025 pula dilancarkan dengan diskaun RM7,000 untuk pembeli terawal bagi setiap varian.

    Kalau anda kurang menggemari SUV ‘buatan China’ tersebut, mungkin boleh mempertimbangkan sedan Honda Civic yang kini ditawarkan dengan promosi sehingga RM12k sepanjang bulan ini. Apa pun, pilihan terletak di tangan anda.

     
     
  • KTMB, ERL jalin kerjasama laksana tiket integrasi – boleh beli tiket dua tren berlainan dalam satu transaksi

    KTMB, ERL jalin kerjasama laksana tiket integrasi – boleh beli tiket dua tren berlainan dalam satu transaksi

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah menjalin kerjasama untuk melaksanakan pembelian tiket integrasi bagi memudahkan penumpang membuat pembelian tiket bagi dua perkhidmatan tren berlainan dalam satu transaksi.

    Ia adalah langkah inovatif yang bakal mengubah pengalaman pengguna kerana melalui sistem pembelian tiket yang berkonsep Cross-Selling, pengguna kini boleh membeli tiket untuk dua operator rel yang berbeza dalam satu transaksi, melalui satu platform sahaja. Dengan ini, penumpang tidak lagi perlu membeli tiket secara berasingan apabila menggunakan perkhidmatan tren ETS dan ERL.

    Dengan cara ini para pengguna boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih baik, mengelakkan kesesakan, dan menikmati perkhidmatan yang lebih selesa serta menggalakkan para pengguna menggunakan pengangkutan awam.

    “Inisiatif itu dapat menjimatkan masa penumpang kerana tidak perlu melayari pelbagai laman sesawang untuk mendapatkan tiket. Seterusnya ia juga memudahkan penumpang kerana boleh mendapatkan maklumat (tiket perjalanan) dalam laman sesawang yang beroperasi selama 24 jam.

    “Selain itu, (penumpang) dapat merancang perjalanan dengan lebih efisien serta berpeluang meneroka destinasi baharu di laluan ERL dan KTMB,” kata CEO ERL, Noormah Mohd Noor dalam ucapan perasmian tiket integrasi ERL dan KTMB, di KL Sentral yang berlangsung pagi tadi.

    KTMB, ERL jalin kerjasama laksana tiket integrasi – boleh beli tiket dua tren berlainan dalam satu transaksi

    Katanya, kerjasama ini akan memberi kelebihan kepada ERL dan KTMB dalam meluaskan lagi pasaran baharu serta dapat meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan inisiatif ini.

    “Sebagai permulaan kami memilih lima stesen KTMB yang mempunyai permintaan yang tinggi iaitu Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Bukit Mertajam dan Ipoh. Pada masa hadapan, kami berharap untuk memasukkan lebih banyak stesen KTMB dalam penjualan tiket integrasi ini seperti Pulau Sebang, Segamat, Gemas dan Johor Bahru,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, penumpang kini boleh merancang perjalanan sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Terminal 1 atau Terminal 2 melalui perkhidmatan KLIA Ekspres untuk penerbangan domestik ataupun antarabangsa.

    “Penumpang juga mempunyai tiga pilihan destinasi melalui perkhidmatan KLIA Transit iaitu Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya serta Salak Tinggi. Selain itu, penumpang juga menikmati perjalanan yang cepat, selesa dan 99.7% tepat pada masanya. Kesemua tren ERL juga mempunyai ruang bagasi yang luas serta dilengkapi dengan kelajuan internet 5G percuma sepanjang perjalanan untuk manfaat dan keselesaan penumpang,” katanya.

    CEO KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin pula berkata melalui integrasi tiket ini, pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai penumpang, terutamanya mereka yang mencari perkhidmatan rel dari lapangan terbang ke destinasi yang dituju.

    KTMB, ERL jalin kerjasama laksana tiket integrasi – boleh beli tiket dua tren berlainan dalam satu transaksi

    “Melalui kolaborasi ini juga, kami berharap dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan negara dengan memudahkan akses pelancong ke pelbagai destinasi menarik yang diliputi oleh rangkaian KTMB. Kerjasama ini juga diharap dapat meningkatkan sinergi antara sektor pengangkutan awam dan pelancongan dalam jangka masa panjang,” katanya.

    Jelasnya beliau, perkhidmatan ETS telah mencatatkan peningkatan penumpang sebanyak 23% dari tahun 2022 ke 2023. Sehingga Ogos ini, jumlah penumpang yang telah menggunakan ETS mencapai 2,774,442 orang.

    Sepanjang Ogos lalu, kerjasama ini telah menjual 1,327 tiket melalui kedua-dua platform. Sebanyak 958 tiket melibatkan integrasi dua perkhidmatan, manakala baki 369 tiket adalah untuk perjalanan menggunakan satu perkhidmatan sahaja.

    KTMB juga memberikan diskaun sebanyak RM5 untuk tiket KLIA Ekspres sehingga 19 September kecuali bagi kategori penumpang yang sudah menikmati potongan harga, seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, dan kanak-kanak di mana ia sudah menerima diskaun konsesi mengikut kadar yang ditetapkan​.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025